“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, Januari 31, 2011

Lambat kahwin, apa silapnya?


Assalamualaikum warahmatullah,

Seorang sahabat meluahkan 'sukarnya mencari jodoh yang sesuai' ... Apabila ditanya mengapa masih sendirian walaupun usianya sudah mencecah pertengahan tiga puluhan. Saya amat setuju dengannya, memang agak sukar untuk mencari calon suami yang benar-benar boleh diharapkan sebagai seorang pemimpin dan pelindung wanita. Tiba-tiba sahabat bertanya, apakah ada ayat dalam al-Quran yang boleh mendatangkan jodoh dengan cepat dan boleh membuat seseorang jatuh cinta kepada kita? Benarkah ada ayat-ayat al-Quran yang boleh diamalkan sebagai ayat pengasih?

Jawapan saya, "Entahlah, tidak pula saya ketahui." Memang ada banyak ayat-ayat al-Quran yang dikatakan mampu mengeratkan hubungan sesama keluarga, suami atau isteri dan anak-anak, tetapi ayat al-Quran untuk mendatangkan jodoh, tidak pernah saya ketahuan.

Al-Quran dibaca untuk difahami dan diamalkan menjadi petunjuk hidup, kalaulah ada ayat untuk mencari jodoh, pasti ramai yang menyalah-gunakan ayat tersebut untuk kepentingan nafsu mereka. Seperti jampi dan pengasih bomoh kepada pelanggan setianya.

Namun, al-Quran diturunkan untuk misi yang terlalu tinggi nilainya, jauh sekali kedudukannya dari sekadar memuaskan kemahuan nafsu seseorang. Tidak ada ayat khusus merangsang seseorang mencintai diri kita. Al-Quran bukan ilmu guna-guna atau jampi minyak senyonyok!

Lalu, mengapa ada juga yang lambat dapat jodoh? Bukan sedikit yang telah berikhtiar mendapatkan pendamping hidup yang baik, tetapi selalu gagal di tengah jalan. Apa silapnya? Kali ini Laman-Seri kongsikan kesilapan yang mungkin telah kita lakukan tanpa kita sedari.

Kesilapan 1 – Luntur keyakinan kepada Allah

Yang pertama, kesilapan anda ialah telah luntur keyakinan anda kepada Allah SWT. Putus harapan kepada-Nya, menyangka buruk atas ketentuan-Nya dan anda melihat kuasa-Nya lemah kerana tidak boleh memberi apa yang anda minta secepat yang anda mahukan.

Sesungguhnya Allah Taala Maha Halus perkiraan-Nya, setitis ilmu Allah yang jatuh ke bumi menyamai seluruh pengetahuan makhluk-Nya. Siapakah kita yang mahu menilai ketentuan Allah SWT? Pandangan mata dan ketajaman akal manusia takkan mampu menembus hijab-Nya. Apa yang kita rasa baik, belum tentu baik menurut ilmu Allah SWT dan apa yang kita rasa tidak baik boleh jadi itu yang baik di sisi-Nya. Allah Maha Mengetahui kelemahan diri kita. Mungkin jika jodoh anda datang sekarang, ia akan membahayakan agama anda, siapa tahu?

Kesilapan 2 – Berhenti berikhtiar

Kesilapan yang kedua ialah berhenti berikhtiar. Anda nampak tiada apa-apa hasil lalu anda putuskan untuk pasrah. Padahal, Allah Taala tidak akan mengubah nasib seseorang melainkan dia sendiri yang mahu mengubahnya. Apakah cukup ikhtiar anda selama ini? Cuba senaraikan ikhtiar anda selama ini. Mungkin saja ikhtiar anda tidak cukup sebenarnya....

Apakah persediaan-persediaan yang perlu dilakukan? Kecantikan dalaman amat penting untuk menarik hati orang lain. Akhlak dan imej diri mesti dipertingkatkan dengan ilmu yang dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Rasulullah SAW memberi nasihat kepada para lelaki yang mahu memilih wanita untuk dijadikan isterinya dengan beberapa kesempurnaan imej diri seperti mana yang dinyatakan di dalam hadis baginda SAW yang bermaksud, “Wanita itu dikahwini kerana hartanya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya, kerana agamanya. Maka pilihlah yang kuat agamanya, nescaya kamu akan beruntung.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Cuba anda semak kembali adakah keempat-empat ciri itu telah dipersiapkan dalam diri anda? Jika ciri yang tiga tidak mampu, tidak usahlah membazirkan wang untuk membuat pembedahan pelastik dan sebagainya. Maka yang paling utama ialah yang kuat pegangan agamanya. Di situlah penilaian Allah SWT dan Rasul-Nya iaitu bagi lelaki yang soleh untuk wanita yang solehah.

Kesilapan 3 – Guna cara yang bertentangan dengan Islam


Kesilapan berikutnya ialah menggunakan cara dan kaedah yang bertentangan dengan prinsip Islam. Ramai yang pergi meminta tilikan bomoh, mandi bunga, makan ubat jampi dan mengamalkan ilmu pelik-pelik yang sesat. Ada juga yang menjerumuskan diri dalam pergaulan bebas sehingga sanggup menjatuhkan maruah diri semurah-murahnya semata-mata mahu mencari lelaki idaman.

Jika niat dan caranya telah melanggar syariat Allah SWT, maka tidak hairanlah apabila hasilnya pun menjadi begitu tragik. Cari suami di kelab malam, maka akan dapat lelaki kaki perempuan berfoya-foya. Cari yang kaya dan segak, mungkin menimbulkan sakit hati kerana cemburu. Cari yang lebih tua, belum tentu amanah dari yang muda. Yang paling selamat ialah cari yang soleh dan beriman, tidak tinggal sembahyang walaupun tidak sesegak artis tersohor.

Biasanya sikap terlalu memilih yang sempurna boleh menjejaskan jodoh. Pemilih sangat, tetapi tidak mahu istikharah, tidak bertanya pandangan Allah SWT dan langsung menolak tanpa menimbang dengan teliti. Mungkin niat berkahwin telah dicemari oleh niat mahu menunjuk-nunjuk hebat kepada masyarakat sehingga memilih mengikut pandangan masyarakat awam yang jahil.

Memang orang akan kagum jika anda mendapat lelaki gagah, berduit dan tinggi darjatnya tetapi niat anda mesti diperbetulkan. Perkahwinan itu ialah ibadat. Anda mahu menyelamatkan agama dan kehormatan anda dengan cara berkahwin, bukan mahukan glamor dan pujian orang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Ada tiga golongan yang pasti mendapat pertolongan Allah, orang yang berjihad, hamba yang manu membebaskan dirinya dan orang yang mahu berkahwin demi memelihara kesucian dirinya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Kesilapan 4 – Penyakit psikologi

Kesilapan keempat, penyakit psikologi yang dibiarkan membelenggu hati. Dilihat dari mata biasa, semuanya OK; baik hati, peramah, mesra, suka menolong, ilmu dan amalnya cukup, hartanya lebih dari cukup, wajah dan penampilannya solehah. Lalu apa yang silap? Sifat malu yang tidak bertempat, rendah diri yang melampau, putus asa kerana pernah menjalin kisah cinta tapi berhujungkan ‘broken heart’, masih mencintai lelaki yang tidak sudi dan penyakit-penyakit psikologi lainnya... yang mendera perasaan sendiri. Ubatnya hanya satu, bina imej diri yang baru. Anda tidak akan mampu melakukannya sendirian, anda perlukan sahabat yang ikhlas dan mahu menolong. Tidak salah mencurahkan perasaan kepada orang yang amanah supaya dia boleh menolong anda menemukan calon suami yang soleh.

Jodoh perlu dicari diusahakan

Ramai wanita yang terlewat jodohnya bila ditanya, “Apakah agaknya yang menyebabkan jodoh anda ‘liat’ hingga hari ini?” Kebanyakan mereka menjawab, sudah takdir agaknya, atau memang jodoh lambat atau tiada jodoh langsung”. Jawapan sebegini seolah-olah mereka sudah berputus asa dan hampir-hampir berbau ‘menyalahkan’ takdir Allah pula. Ada pula yang menjawab, “Buat apa kahwin, kalau tak pasti akan bahagia” atau “Kahwin itu menyusahkan sahaja”.

Hemmm.... BG tak boleh komen sebab kadang kala memang ada betulnya jawapan mereka. Meskipun perkahwinan tidak semestinya menjanjikan kebahagiaan, namun ia adalah fitrah dan sunah Rasulullah SAW. Berkahwin dikatakan dapat menambahkan iman, mengawal diri daripada berbuat dosa, mematangkan seseorang dengan memikul amanah dan tanggungjawab dengan menjalani kehidupan yang lebih mencabar.

Pernah baca berita ini? Zhang Mengqian seorang gadis, pelajar Universiti Sains Elektronik dan Teknologi di Chengdu, Sichuan di China terkejut apabila ribuan lelaki bujang menawarkan diri untuk menjadi kekasihnya. Ribuan lelaki tersebut menunggu di perkarangan asrama pelajar berkenaan selepas dia menyatakan sedang mencari kekasih yang sesuai menerusi satu mesej pada kad, sempena Hari Wanita.

Kejadian itu berlaku di universiti yang mempunyai nisbah 25 orang lelaki bagi setiap wanita. Pada mulanya, setiap pelajar wanita di universiti itu diminta menulis hasrat yang mereka ingini. Mengqian menulis : “Nama saya ialah Zhang Mengqqian, pelajar gred satu. Saya fikir saya seorang yang menarik tetapi anehnya saya tidak mempunyai teman lelaki. Bagaimanapun, saya percaya kepada takdir. Jika anda mempunyai impian yang sama, sila datang ke bangunan asrama saya dan jeritkan nama saya antara pukul 12.30 hingga 12.50 tengahari pada 11 Mac 2010. saya akan melihat anda dari asrama. Jika anda sesuai dengan citarasa saya, saya akan turun dan berjumpa dengan anda.”

Mungkin kerana terkejut melihat ribuan lelaki yang hadir, pelajar itu langsung tidak keluar dari biliknya. (Agensi 15 Mac 10)

Menarik sungguh cerita ini. Ia membuktikan bukan soal jodoh yang tiada, tetapi tiada usaha untuk memudahkan jopdoh itu terjadi. Buktinya apabila dibuka laluan, bukan seorang dua lelaki yang datang, bahkan sampai beribu-ribu yang hadir. Maka tepatlah teori yang mengatakan jodoh juga seperti mencari pekerjaan, kena diusahakan untuk mendapatkannya. Tidak boleh tinggal terperuk di dalam rumah, tetapi mengharapkan suatu hari dapat bekerja di Putrajaya. Sesuatu itu tidak akan datang bergolek tanpa usaha, jika hendakkan pekerjaan, maka kenalah usaha beli surat khabar atau surf internet untuk mengintai peluang jawatan kosong, isi borang, kirimkan resume, interview, berdoa dan seterusnya bertawakal. Begitu jugalah jika hendak makan, tidak mungkin tiba-tiba ada makanan terhidang di depan mata. Kena usaha beli barang mentah di pasar, potong sayur dan siang ikan, menggoreng, tanak nasi dan hidangkan. Usaha untuk makan juga tidak terhenti di situ, kena pula kaut nasi, ambil lauk dan suapkan ke mulut. Itulah usaha namanya.

Mencari jodoh juga memerlukan usaha. Bukanlah maksudnya anda mesti melakukan seperti apa yang dilakukan oleh Mengqian, tetapi apa yang cuba disampaikan ini sini ialah, betapa perlunya ada sedikit usaha untuk memulakan sesuatu perkara. Hampir semua perkara di dunia ini tidak terjadi dengan sendiri, tidak ada satu aktivitipun yang tidak memerlukan usaha, ia memerlukan usaha (walaupun sedikit) untuk memperolehinya, betul?

Anda tak hendak kahwin kerana takut tidak bahagia? Jika ini yang anda fikirkan, nanti dulu! Bahagia atau tidak, sebahagian besarnya berpunca daripada diri kita sendiri. Bukankah telah dijelaskan tadi, hampir semua perkara di dunia ini memerlukan walaupun sedikit usaha, untuk memperolehinya? Jadi, soal bahagia atau tidak pun boleh bermula daripada usaha yang kita lakukan, berdoa dan bertawakal.

Renung-renungkan....



Rujukan asal : Dr Juanda Jaya & Dr HMTuah

Butiran selanjutnya ...

'Ayah, siapa nak hantar sekolah'

SYAFAWATI bersama anaknya, Izz Ilham dan Puteri Norsyahariah melihat keadaan Mohd Idham di rumah mereka di Taman Wilayah Selayang, semalam.


Mangsa terbabit kemalangan jalanraya bersama majikan cuma boleh gerak mata

KUALA LUMPUR: "Ayah cepatlah bangun, nanti siapa nak hantar kakak ke sekolah." Itulah inilah rintihan Puteri Norsyahariah Idham, 6, dan Izz Ilham Idham, 2, kepada bapa mereka yang terlantar tidak sedarkan diri sejak enam bulan lalu selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Mohd Idham Yahya, 25, bapa dua anak itu terlantar di rumahnya di Taman Wilayah Selayang, di sini selepas otaknya gagal berfungsi akibat gegaran kuat pada kepalanya.
Dalam kejadian pada tengah malam 1 Julai lalu, kereta yang dinaiki bersama majikannya terbabas lalu terjunam dalam gaung berhampiran Gua Tempurung, Perak, menyebabkan majikannya terkorban, manakala Idham mengalami parah pada muka selain patah tulang tangan, paha dan kaki.

Isterinya, Syafawati Nadiah Abdul Ghani, 26, berkata, sebelum kemalangan, suaminya adalah seorang yang penyayang dan rapat dengan dua anak mereka. Namun semua itu hilang dan Idham kini hanya mampu menggerakkan mata, kaki dan tangannya saja.

“Sejak terlantar dia tidak boleh makan dan hanya bergantung kepada susu menggunakan tiub khas yang disalur melalui hidung.

“Dia tidak mampu menelan. Air liur pun akan meleleh keluar. Doktor kata peratusan untuk sembuh sangat rendah, selain bakal kehilangan ingatan dan keupayaan bergerak,” katanya ketika ditemui semalam.

Selepas terbabit dalam kemalangan itu, Idham terlantar koma di Hospital Ipoh selama empat bulan dan sepanjang tempoh itu dia dijaga Syafawati dan ibu Idham, Jamaliah Saidin, 57.

Syafawati yang terpaksa berhenti kerja berkata, keadaan kewangan mereka semakin rumit, ditambah keadaan kesihatan Jamaliah yang tidak menentu.

“Saya terpaksa berhenti kerja kerana ingin menjaga suami. Ibu mentua pun tidak berapa sihat kerana baru menjalani pembedahan membuang batu karang. Ditambah pula dengan anak yang masih kecil, ia memang merumitkan.

“Kami menerima bantuan Baitulmal RM300 sebulan selain bantuan keluarga dan orang ramai. Namun, masih tidak mencukupi kerana kos penjagaan Idham mencecah RM1,000 sebulan,” katanya sambil menambah beliau memerlukan wang untuk membeli susu dan lampin pakai buang suaminya, selain perbelanjaan anak setiap bulan.

Pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh ke rumah Syafawati di 8-2-3, Blok 8, Jalan 20/2A, Taman Wilayah Selayang atau hubungi 012-3416226 atau 03-61366986.

Dipetik dari : BHarian 30/01/2011


Butiran selanjutnya ...

Ahad, Januari 30, 2011

Bersikap positif di tempat kerja


FOKUSKAN diri di tempat kerja dalam memastikan anda dapat menzahirkan kerja yang lebih berkualiti.


PAKAR motivasi ada berkata, 'Anda tidak akan berjaya dan gembira dengan melakukan perkara yang anda sukai. Sebaliknya anda akan cemerlang dan berbahagia apabila anda menyukai perkara yang anda lakukan'.

Persoalannya, adakah sekarang ini anda melakukan pekerjaan yang anda suka atau memang suka melakukan pekerjaan anda ini?

Dua persoalan yang hampir sama ayatnya, cuma perbezaan kedudukannya akhirnya memberikan maksud yang amat ketara.

Bertuahlah jika anda sedang melakukan pekerjaan yang anda suka. Bersyukurlah jika anda suka dengan pekerjaan anda sekarang. Lebih beruntung jika anda sedang melakukan pekerjaan yang anda suka dan suka melakukannya.

Anda rugi jika anda melakukan pekerjaan yang anda suka tetapi anda tidak suka melakukannya. Bertambah rugi jika anda melakukan pekerjaan yang anda tidak suka dan tidak suka melakukannya.

Penting! Pekerjaan bukan semata-mata kerja dan dapat gaji. Kerja adalah amanah. Kerja juga bukan semata-mata cita-cita tetapi adalah satu tanggungjawab. Apabila anda menerima tawaran sesuatu pekerjaan bererti anda memegang amanah dan tanggungjawab untuk melaksanakan pekerjaan tersebut dengan sebaiknya.

Berikut ialah lima tip untuk kekal bermotivasi dalam melaksanakan pekerjaan anda:

1. Ikhlaskan niat bekerja

Tanyalah diri, kenapa aku bekerja? Mahu cari duit? Nak sara keluarga? Bosan duduk saja? Pelbagai alasan boleh diberikan. Cuma satu alasan yang betul dan tepat iaitu untuk melaksanakan amanah Allah.

Pekerjaan anda sama ada sebagai guru, kerani, penoreh getah, buruh kasar atau apa juga pekerjaan yang halal di sisi syarak adalah termasuk dalam kategori ibadah. Jika anda niatkan ikhlas kerana melaksanakan amanah Allah, anda akan mendapat pahala dalam setiap apa juga tindakan yang anda lakukan ketika melaksanakan pekerjaan anda.

Amanah Allah itu luas. Sebagai suami, anda berperanan untuk menyara keluarga. Sebagai anak, anda bertanggungjawab membantu ibu bapa. Hanya dengan bekerja, tuntutan tersebut boleh dilaksana. Lantas, perbetulkan niat dan rebutlah pahala daripada-Nya ketika bekerja.

2. Tanamkan minat dan suka bekerja

Tidak semua individu beruntung peroleh pekerjaan yang diidamkan. Kehendak semasa, mendorong individu memohon dan menerima pekerjaan yang tidak pernah diimpikan.

Bersyukurlah sebab anda diberi peluang dengan menanam azam dan semangat dalam diri untuk menyayangi pekerjaan tersebut dan berusaha untuk berikan yang terbaik. Jika minda anda positif, hasilnya juga akan positif.

3. Anggap pekerjaan sebagai cabaran untuk diri

Pekerjaan bukan mainan, malah bukan juga bebanan. Jadikan pekerjaan anda sebagai satu medan untuk mencabar keupayaan diri. Mungkin ia bukan bidang anda tetapi bila anda diberi jawatan bererti anda diberi kepercayaan. Lantas, buktikan majikan anda tidak salah meletakkan kepercayaannya kepada anda.

4. Tekad untuk jadi lebih baik

Kalau Mat Jenin boleh berangan mahu jadi kaya dan lebih kaya, apakah anda hanya sekadar mahu kekal di takuk lama bertahun lamanya?

Tekadkan azam, jalinkan semangat, sentiasa berusaha dan bertindak agar kedudukan anda bertambah baik dari hari ke hari, tahun ke tahun. Jadikan pekerjaan anda medan persaingan secara sihat agar hidup anda pada masa depan lebih baik.

5. Bertindak demi kecemerlangan

Apabila anda punya azam untuk lebih berjaya, susun strategi agar pekerjaan anda menjadi lebih baik dan mendapat pengiktirafan majikan. Bertindak dengan cara yang baik, dibenarkan syarak dan norma masyarakat.

Ingat! Matlamat tidak menghalalkan cara.




Rujukan : Pn Suzana Ghazali di Kosmo! 07/01/2011

Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

Kurangkan komplikasi semasa meneran


APABILA bercakap mengenai kepentingan kalsium, kebanyakan daripada kita sering kali merujuk zat itu hanya untuk kanak-kanak sebagai sumber tumbesaran tulang.

Bagi orang tua pula, ia penting bagi mengelakkan pereputan tulang. Jarang sekali orang muda atau yang berada di usia pertengahan mengambil berat mengenai pengambilan kalsium dalam struktur diet harian mereka.

Selain diperlukan golongan dewasa yang aktif, tahukah anda bahawa kalsium adalah zat yang amat penting bagi ibu-ibu hamil? Kekurangan pengambilan kalsium atau kealpaan dalam memberi tumpuan terhadap zat kalsium sebenarnya boleh menyebabkan komplikasi semasa meneran saat-saat melahirkan anak. Lebih buruk, kesannya akan berterusan sehingga usia tua.

“Saya terkejut apabila ada doktor yang tidak mempraktikkan pemberian pil kalsium kepada ibu-ibu mengandung ketika membuat pemeriksaan bulanan. Kalsium dilihat sebagai satu zat yang amat penting di samping zat besi, folik, potasium dan lain-lain,” kata pembuka Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya (PPSDSJ), Dr. Delilah Ahmad.

Beliau yang mahu semua ibu hamil tidak memandang remeh keperluan kalsium juga berharap agar golongan suami turut mengambil peranan mengingatkan pasangannya. Apabila berjumpa doktor dalam sesi pemeriksaan, pasangan dinasihatkan agar jangan segan untuk meminta pil kalsium di samping mengamalkan diet tinggi zat kalsium.

“Sebanyak 75% ibu-ibu hamil tidak mengambil keperluan kalsium yang mencukupi dan ketidaksedaran ini akan memberi kesan kepada mereka khususnya pada semester ketiga mereka mengandung dan saat-saat melahirkan anak,” kata beliau.

Jelas Delilah, ibu hamil lazimnya memerlukan 1,200 hingga 1,300 miligram kalsium sehari iaitu tambahan 300 hingga 500 miligram zat yang diperlukan orang dewasa.

IBU hamil perlu sentiasa memastikan kesihatan tulang.


Ia bermakna seseorang itu perlu mengamal pengambilan susu segar sebanyak satu liter setiap hari. Delilah yakin, ibu-ibu sekarang kurang mengamalkan pengambilan susu, sama ada tidak meminatinya atau ada pula yang mempunyai masalah tidak boleh bertoleransi dengan laktosa.

“Jika ibu-ibu hamil ini tidak suka mengambil susu, saya percaya terdapat banyak susu berperisa di pasaran khas untuk mereka. Pengambilan keju, dadih dan makanan yang berkaitan dengan susu juga boleh diamalkan bagi menggantikan susu. Selain produk tenusu, ibu-ibu hamil boleh mengambil makanan pejal yang tinggi zat kalsium termasuk sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan bilis, salah satu makanan yang mempunyai kandungan kalsium paling tinggi,” katanya.

Diet sumber asli

Walaupun ibu-ibu itu dibekalkan dengan pil kalsium, mereka tetap perlu mengamalkan diet sumber asli seperti yang di senaraikan itu. Kalsium yang diambil itu amat berguna untuk kekuatan tulang khususnya bagi ibu-ibu yang memerlukan zat tersebut bagi kekuatan menanggung berat bayi secara fizikal. Selain itu, kalsium juga penting untuk pembekuan darah, menstabilkan transmisi impuls saraf dan untuk merehatkan otot sewaktu berlakunya kontraksi.

“Banyak penyelidikan dan kajian, atau lebih tepat kira-kira 14 kajian yang disenarai dalam Jurnal Persatuan Perubatan Amerika mendapati kalsium yang tidak mencukupi meningkatkan risiko praeklampsia iaitu gejala tekanan darah tinggi,” terang Delilah.

PARA ibu yang tidak boleh bertoleransi dengan laktosa disaran mengambil suplemen kalsium sebagai ganti.


Keadaan itu dikatakan berlaku selepas 20 minggu kehamilan bersama dengan masalah lain. Difahamkan juga pra-eklampsia berpotensi membawa maut bagi ibu dan bayi akibat kenaikan tekanan darah tinggi.

Secara amnya, kalsium yang sedia dimiliki ibu akan diserap oleh bayi semasa dia membesar terutamanya dalam proses pembentukan tulang. Kesan paling ketara adalah ibu hamil akan kekurangan kalsium pada jumlah yang besar khususnya di akhir tempoh kehamilan. Kegagalan menggantikan kalsium yang diserap oleh bayi boleh menyebabkan ibu-ibu itu kehilangan gigi pada usia yang lebih muda daripada sepatutnya. Mereka juga berisiko tinggi menghidap osteoporosis.

“Mereka yang mempunyai ketumpatan jisim tulang yang sangat rendah akibat kekurangan kalsium dan berat tulang yang kecil berpotensi besar mengidap osteoporosis dan pada kadar lebih cepat. Untuk mengesan jisim dan densiti tulang, mereka boleh membuat pemeriksaan di hampir semua klinik umum,” katanya yang turut mencadangkan agar pemeriksaan itu dilakukan sebagai langkah memahami lebih lanjut keadaan tulang badan.

Kehilangan kalsium

Kehilangan kalsium dalam kalangan ibu hamil secara relatif lebih banyak iaitu sekitar 3 hingga 10% berbanding wanita menopaus yang kehilangan 1 hingga 3%.

“Itupun sudah dikira banyak. Bayangkan dengan kehilangan lebih 7%? Kehilangan ini berpunca daripada permintaan yang tinggi terhadap kalsium oleh bayi,” terang Delilah.

Jika ada orang yang berpendapat pengambilan kalsium boleh dikurangkan selepas beranak, itu juga satu tindakan yang salah.

IKAN bilis adalah sumber kalsium paling utama, mudah didapatkan dan senang diintegrasi dalam sajian seharian.


Sebenarnya, ibu-ibu khususnya yang menyusukan anak perlu terus mengekalkan pengambilan kalsium pada kadar yang sama. Kalsium diperlukan untuk mengiringi proses merehatkan otot rahim yang mengecut semula mahupun sewaktu kedatangan haid.

“Selian itu, pengambilan kalsium yang secukupnya didapati boleh mengelakkan masalah kekejangan sewaktu proses bersalin. Kekurangan zat itu juga boleh mengakibatkan masalah kesejukan dan kekejangan pada bahagian kaki. Kekejangan yang berlaku itu boleh mengganggu emosi ibu selain proses bersalin itu sendiri,” kata beliau merujuk kepada komplikasi yang paling digeruni ibu-ibu hamil.

Oleh yang demikian, Delilah menasihati ibu-ibu yang merancang hamil, sedang hamil mahupun yang sudah melahirkan anak supaya mengekalkan mengambil kalsium sama ada berbentuk suplemen mahupun daripada sumber semula jadi.




Sumber : nizha.periswamy@kosmo.com.my di Kosmo! 29/01/2011

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Januari 29, 2011

Melayu Singapura kecewa dengan Kuan Yew

~ gambar dari sumber JMM ~


Desak tindakan undang-undang; permohonan maaf kepada seluruh umat Islam

KENYATAAN bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew bahawa orang Melayu tidak harus terlalu berpegang kuat kepada ajaran Islam bagi membolehkan pelan integrasi masyarakat dilaksanakan dengan sempurna, dalam bukunya Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going, dikecam hebat oleh pelbagai pihak di Singapura dan negara serantau termasuk Malaysia.

Antaranya, termasuk Persatuan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS) yang mahu pihak berkuasa di republik berkenaan mengambil tindakan undang-undang kerana kandungan buku itu yang menghasut. PKMS dalam satu kenyataan yang di e-mel kelmarin, berkata mereka sudah menghantar surat kepada Presiden Singapura, S R Nathan untuk menyatakan kekecewaan dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Kuan Yew.
Surat itu ditanda tangani oleh Presiden PKMS, Ali Asjadi dan Setiausaha Agungnya, Mohamed Nazem Suki.

“Kami berpegang pada Perlembagaan Singapura dalam perjuangan sejak kemerdekaan. Andainya kami tidak menggunakan penyelesaian diplomatik bagi mengatasi perbezaan pendapat di negara ini, Singapura sudah tentunya tidak akan menjadi seperti keadaannya sekarang. Keadaan kepelbagaian di Singapura adalah unik, yang bukannya dicapai dengan secara kebetulan, kerana setiap bangsa dan agama bersetuju dengan prinsip pembangunan negara,” kata Nazem.

PKMS berpendapat kenyataan Kuan Yew menyimpang daripada keadaan sebenar dan menghasut perpecahan kaum dan agama.

“Selama ini Kuan Yew mempertahankan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tetapi nampaknya beliau sendiri melanggar akta itu dengan secara terbuka dan tidak dihormati.”

Pertubuhan berkenaan juga mempersoalkan pihak berkuasa Singapura kerana membenarkan penerbitan buku itu yang mengandungi elemen tertentu yang ternyata bercanggah dengan undang-undang. PKMS, tegas Nazem, ingin meminta penjelasan daripada pihak perundangan Singapura mengenainya.

“Kami turut terbabit dalam pembangunan negara dan berintegrasi dengan masyarakat dan mencapainya. Tetapi kini kami mempersoalkan kenapa Kuan Yew mempertikaikan sebuah agama saja? Apakah niatnya untuk merendahkan mana-mana kaum atau agama?”

Mohamed Nazem berkata, negara berkenaan mempunyai sebuah Pertubuhan Antara Agama Singapura (IRO) bagi menggalakkan perpaduan.

“Di manakah sokongan Kuan Yew terhadap IRO dan semua pertubuhan sosial masyarakat yang menggalakkan harmoni, keamanan dan pemahaman?” tanyanya.

Pergerakan Pemuda PKMS pula mendesak Kuan Yew supaya memohon maaf kepada masyarakat Islam Singapura dan dunia.

“Kami juga menuntut agar buku ‘Hard Truth’ itu diharamkan,” kata Ketuanya, Azhar Ali.

Pergerakan Pemuda PKMS turut menghantar surat kepada Pengerusi dan Mufti Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bagi meminta mereka menasihati Presiden dan Perdana Menteri Singapura supaya melarang penerbitan buku berkenaan.

Di Malaysia, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin mempersoalkan ‘apakah Kuan Yew mahukan orang Melayu meninggalkan sebahagian daripada ajaran Islam untuk diterima sepenuhnya oleh masyarakat Singapura?’

Masyarakat Melayu Islam di Singapura bukannya melaksanakan hukum perundangan Islam seperti hudud, qisas dan takzir, tidak juga mereka cuba mendaulatkan sebuah negara Islam.

“Perlembagaan mereka sekular seperti masyarakat lain. Mereka duduk di rumah pangsa macam orang lain. Anak mereka ke sekolah sekular macam orang lain. Mereka tidak pegang jawatan tinggi dalam mana-mana agensi kritikal, jadi apa maksud Kuan Yew masyarakat Melayu Singapura perlu meninggalkan sebahagian ajaran Islam untuk berintegrasi dengan masyarakat lain di Singapura", tanya Zulkifli dalam blognya.

Kuan Yew nampaknya seolah-olah tidak peduli sama ada kenyataannya boleh membuat orang Melayu terasa kecil hati ataupun marah. Ikut suka hatinya saja hendak menyatakan sesuatu. Dalam menyuarakan pandangan mengenai orang Melayu mahupun negara lain terutama Malaysia, Kuan Yew memang tidak mempunyai finesse atau berhemah tinggi. Sikapnya lebih menjurus kepada Islamofobia, kata Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Mohamed Mustapa Ishak.

“Walaupun Kuan Yew duduk di rantau yang dikelilingi negara Islam, dia masih dibelenggu dengan Islamofobia, seperti orang Amerika yang tidak tahu apa-apa pasal Islam.”

Katanya, Tun Dr Mahathir Mohamed sendiri pun memperjuangkan sikap kesederhanaan ini tetapi bukan dalam erti kata mengurangkan amalan agama Islam.

Dewan Pemuda Masjid Malaysia berkata, Kuan Yew menunjukkan belangnya yang sebenar apabila menimbulkan pandangan berbaur diskriminasi dan prejudis terhadap agama Islam serta hubungan dengan negara jiran, khususnya Malaysia dan Indonesia. Ketua Umumnya, Dr Muhammad Nawar Ariffin berkata Pemuda Masjid kesal dengan sikap Kuan Yew merendahkan kesucian agama Islam dengan menganggapnya sebagai penghalang proses integrasi dan pembangunan negara.

Dengan terluahnya pandangan berkenaan, justeru adalah wajar Kuan Yew henti mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan orang lain, agar beliau tidak akan terus dianggap sebagai seorang pemimpin “yang sudah melalut” kerana faktor usia yang lanjut.




Sumber : Razak Rashid Ghows [bhnews@bharian.com.my] di BHarian 29/01/2011

Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

Botak ganas?

Sucre

Dikatakan, rambut bukan ukuran kacak, betul ke? Bagaimana pula dengan lelaki botak? Ada wanita yang suka tapi ada juga pantas berkata tidak dengan alasan, tidak kacak atau serupa samseng!

Menurut organisasi penyelidikan antarabangsa, Synovate, hanya 12% wanita di Malaysia suka teman lelaki botak manakala di China pula, bilangannya lebih tinggi iaitu sebanyak 28%. Namun, berdasarkan kajian sama, sejauh mana kacak pun lelaki itu, kebanyakan wanita merasakan mandian dan semburan minyak wangi lebih penting daripada rupa paras.

Buktinya, kajian terhadap 10,000 wanita di negara ini mengatakan satu pertiga wanita mementingkan penjagaan kebersihan yang baik sebelum lelaki itu boleh dianggap kacak manakala 20% wanita mengakui ciri kedua penting bagi mereka adalah lelaki yang mempunyai ciri keyakinan tinggi. Ada berita baik untuk lelaki botak kerana kajian sama juga mendapati hanya 1% wanita bersetuju rambut sangat penting untuk mengklasifikasikan seseorang sebagai kacak.

Tak semua lelaki sesuai imej botak

Bagi kakitangan kerajaan, Nurul Hidayah Che’ Man, 29, lelaki botak kebiasaannya nampak garang, macho dan lebih terserlah kejantanannya.

“Tapi, jangan pula fikir semua lelaki sesuai berimej botak kerana hanya segelintir mereka yang berwajah kacak saja saya rasakan sesuai mencukur licin kepala mereka,” katanya.

Pengamal media, Muriza Abdul Hamid, 29, mengakui tidak suka lelaki yang tidak berambut kerana baginya, lelaki botak akan nampak seperti ganas.

“Kalau ada yang rasa lelaki botak itu seksi, saya tidak setuju sama sekali malah jujur dikatakan, saya takut hendak mendekati lelaki botak,” katanya.

Suri rumah, Norizan Abdul Ghani, 30, sering salah melabel lelaki botak sebagai penjahat mungkin kerana penampilannya yang tampak garang.

“Lelaki botak kadang-kadang nampak kacak tapi ramai yang nampak seperti tak kacak daripada kacak. Takut sikit tengok kepala botak malah lelaki tidak layak digelar seksi jika berkepala botak,” katanya sambil tertawa.

Sementara itu, penuntut, Juwieta Jamil, 22, mengakui tidak suka lelaki berkepala botak sama ada kerana fesyen atau disebabkan usia yang meningkat.

“Tapi saya akui, ada segelintir lelaki yang sesuai dengan imej botak tapi mereka tetap kelihatan seperti ganas dan samseng. Nasihat saya, lelaki yang ingin botakkan kepala supaya tanya dulu pendapat daripada orang sekeliling sebelum botakkan kepala kerana saya rasakan, lelaki berperwatakan lembut saja sesuai dengan imej begitu,” katanya.


Scofield dan Lincoln


Komen BG : Kekadang lelaki botak nampak seksi, macam Scofield, Sucre atau Lincoln dalam Prison Break, my favorite series. Tapi kalau silap gaya, lelaki botak nampak seksa... hik... hik...

Anda pula bagaimana?

INFO : Panduan elak botak
  • Amalkan pemakanan seimbang. Hampir 90% komponen penting rambut adalah protein khususnya asid amino. anda juga perlu mendapatkan garam galian terutamannya zat besi, zink, kalsium, magnesium dan kromium harian yang secukupnya. Rambut juga memerlukan vitamin A, B kompleks, C dan D untuk kekal sihat.
  • Penjagaan dan kebersihan kulit kepala juga perlu diberi perhatian selepas seseorang mencecah usia akil baligh kerana kilang minyak yang terdapat [ada setiap folikel rambut mula aktif. Lelaki perlu membasuh rambut lebih kerap, sekurang-kurangnya dua kali sehari.
  • Bilas rambut dengan bersih setiap kali bersyampu. Gunakan syampu yang sesuai dengan kulit kepala.
  • Elakkan menggaru kulit kepala dan digalakkan mengurut lembut kulit kepala bagi melancarkan peredaran darah.
  • Pilih gaya rambut yang mudah dijaga dan cepat kering. Kendalikan rambut dengan lembut dan gunakan sikat yang sesuai untuk menguruskan rambut. Elakkan menggunakan terlalu banyak produk dandanan rambut dan penting untuk anda melindungi kepala daripada sinaran ultra lembayung.




Sumber : Siti Nur Almizan Aripin [snur@bharian.com.my] di BHarian 28/01/2011

Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Januari 28, 2011

Pembela anak yatim dapat ganjaran syurga


~ gambar hiasan dari sumber lazisjateng.or.id ~


Al-Quran beri gambaran jelas umat prihatin, ikhlas bantu golongan miskin dilimpahi rahmat

Assalamualaikum warahmatullah,

Entah apa hendak jadi dengan negaraku Malaysia. Berbagai-bagai kisah salah laku disiarkan di akhbar, sejak 2-3 tahun kebelakangan ini, seolah-olah manusia semakin berlumba-lumba mengejar syurga dunia. Perkara yang didedahkan di Kosmo! kali ini sangat mengejutkan saya dan rakan-rakan sepejabat.



ANGGOTA penguat kuasa menyiasat penghuni sebuah pusat tahfiz di Port Dickson semalam manakala gambar kecil ialah anggota kerja pusat tersebut.


Paksa anak yatim cari dana ~ Kosmo! 27/01/2011

PORT DICKSON – Setelah sekian lama bebas mengeksploitasi kanak-kanak dan remaja miskin serta yatim piatu seramai 83 orang supaya melakukan jualan amal hingga lewat malam setiap hari, sebuah pusat tahfiz di sini diserbu pihak berkuasa kelmarin.

Serbuan ke atas pusat yang terletak di Ambang Kota, Lukut itu dibuat selepas orang ramai mengadu tidak tahan lagi melihat pelajar terbabit dipaksa menjual peralatan ibadah, buku, minyak angin dan kismis tanpa sebarang upah.

Ketika pengusaha pusat tahfiz itu lena tidur, kanak-kanak terbabit terpaksa tidur beralaskan lantai simen setelah kepenatan ‘bekerja’ atas alasan ia adalah sebahagian kurikulum keusahawanan pusat tahfiz tersebut.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berkata, siasatan mendapati kanak-kanak tersebut dibawa dengan kenderaan ke beberapa lokasi sekitar Port Dickson, Seremban, Nilai dan lain-lain tempat untuk menjual barangan tanpa sebarang upah.




SEORANG anggota polis mengambil keterangan daripada kanak, Lukut, Port Dickson semalam.


'Saya dikerah seperti hamba' ~ Kosmo! 28/01/2011

SHAH ALAM – Seorang bekas penuntut di pusat tahfiz, Ambang Kota, Lukut mendakwa, dia pernah dikerah seperti seorang hamba untuk menjalankan kegiatan jualan amal sehingga lewat malam setiap hari.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Naufal, 21, memberitahu, dia mula menuntut di pusat tahfiz tersebut ketika berusia 11 tahun sebelum berpindah ke pusat tahfiz yang sama di Yan, Kedah ketika berusia 13 tahun.

Menurut Naufal, sepanjang enam tahun berada di kedua-dua pusat tahfiz berkenaan, dia diperlakukan seperti seorang hamba dengan setiap pelajar mesti mencapai sasaran jualan sehingga RM300 sehari.

“Jika ia gagal dicapai, kami akan dimarahi dan dikenakan denda. Saya pernah didenda ketuk ketampi sampai lutut saya lembik serta tidak bermaya. Biasanya, kami yang tinggal di Yan ketika itu, akan dihantar sekitar Kuala Lumpur selama tiga hari untuk melakukan aktiviti jualan,” ceritanya sambil menyatakan dia meninggalkan pusat tahfiz berkenaan ketika di tingkatan 4 dan kembali ke pangkuan keluarga kerana tidak tahan diperlakukan seperti hamba.



DALAM al-Quran sebanyak 23 kali disebut perkataan 'yatim' dan penggunaan kata-kata yatim itu merujuk kepada kemiskinan dan kepapaan. Ertinya mereka yang berada dalam golongan yatim (anak yatim) memerlukan perhatian dan pembelaan daripada masyarakat untuk membolehkan mereka hidup selesa dan sempurna seperti orang lain yang mempunyai penjaga (ayah atau ibu).

Al-Quran secara jelas menegaskan dalam beberapa ayatnya yang menyuruh kita berbuat baik kepada anak yatim. Surah al Baqarah, ayat 220, Allah SWT berfirman bermaksud; “Mereka bertanya kepadamu mengenai anak yatim, katakanlah: Memperbaiki keadaan mereka adalah baik.”

Daripada Abu Ummah diceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Mengulas hadis riwayat Ahmad itu, Al-Hafizah Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata: “Cukuplah sebagai bukti yang menetapkan dekatnya kedudukan Nabi dengan kedudukan orang yang mengasuh anak yatim, kenyataan bahawa antara jari tengah dan jari telunjuk tidak ada jari yang lain.”

M Khalilurrahman Al-Mahfani dalam sebuah bukunya mencatatkan mengenai anak yatim: “Anak yatim adalah satu daripada komponen kehidupan yang harus kita rahmati. Dengan kata lain, kita harus menjadi rahmat bagi mereka, bukan menjadi musibah.”

Rahmat bagi mereka dizahirkan dalam bentuk kepedulian yang nyata, antara lain mengasuh mereka dalam keluarga kita, membantu ekonomi dan pendidikan, menjadi orang tua asuh, serta aktif mengelola rumah asuhan. Sesungguhnya Islam adalah agama yang sangat menitikberat kesejahteraan umatnya, terutama nasib golongan yang lemah seperti orang miskin, ibu tunggal dan anak yatim. Sehubungan itu, Allah SWT memerintahkan kepada Nabi-Nya dengan firman-Nya dalam surah Ad-Dhuha ayat 9 yang bermaksud: “Adapun terhadap anak yatim, maka janganlah engkau berlaku sewenang-wenangnya.”

Dalam surah lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka dengan syurga dan kain sutera.” (Surah Al-Insan ayat 12)

Sesiapa yang berlaku tidak baik atau bersikap zalim terhadap anak yatim pasti akan menerima balasan daripada Allah SWT dan golongan ini dianggap antara satu ciri orang yang mendustakan hari akhirat. Firman Allah SWT bermaksud: “Tahukah kamu orang yang mendustakan hari akhir? Itulah orang yang mengherdik anak yatim dan tidak menganjurkan untuk memberi makan orang miskin.” (Surah Al-Ma’un ayat 1-3)

Jelaslah bahawa pahalanya sangat besar bagi sesiapa yang berbuat baik atau memelihara anak yatim. Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang memelihara anak yatim dalam kalangan umat Muslimin, memberinya makan dan minum, pasti Allah SWT akan masukkan ke dalam syurga, kecuali ia melakukan dosa yang tidak boleh diampun.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Banyak hikmah dan kebaikan apabila anak yatim dalam keluarga dan anak yatim itu dijaga dengan baik. Allah SWT akan memberi rahmat dan kasih sayang-Nya dan keluarga kita akan berasakan ketenangan dan kebahagiaan, tetapi jika anak yatim yang ada di bawah peliharaan atau pun jagaan kita diperlakukan tidak baik, maka perbuatan itu akan menerima balasan daripada Allah.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik rumah di antara orang Islam adalah rumah yang didalamnya ada anak yatim yang diperlakukan dengan sebaik-baiknya dan seburuk-buruk rumah adalah rumah yang di dalamnya ada anak yatim, namun diperlakukan dengan buruk.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Allah SWT juga berjanji akan memberi pahala dan ganjaran yang setimpal kepada kaum Muslimin yang membantu meringankan beban anak yatim dengan memberi sumbangan wang ringgit (derma atau sedekah). Banyak sedikit sumbangan yang diberikan itu bukan ukurannya, tetapi keikhlasan yang penting. Allah melihat apa yang ada dalam hati.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Katakanlah, sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (sesiapa yang dikehendaki-Nya)’, dan apa saja yang kamu infakkan, maka Allah akan menggantikannya dan Dialah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” (Surah Saba ayat 39).

Dalam surah lain Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apa saja yang kamu infakkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. Orang yang berbuat zalim tidak ada seorang penolong pun baginya.” (Surah Al-Baqarah ayat 270)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada suatu pagi yang dilalui oleh seorang hamba kecuali dua malaikat turun. Satu daripadanya berkata: Ya Allah, berilah ganti orang yang berinfak (dermawan). Malaikat yang satu lagi berkata: Ya Allah, berilah kehancuran bagi orang yang kedekut.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad dari Abu Hurairah).




Sumber : Ahmad Sabki Mohd Tahir di BHarian 28/01/2011

Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

'Makhluk halus' kutip hutang


KAIN rentang menawarkan perkhidmatan kutip hutang cara halus menimbulkan kemusykilan kalangan penduduk di sekitar Wangsa Maju.


Iklan khidmat tak didaftar berleluasa sekitar Lembah Klang

BANGSAR: Pelik tetapi benar, guna khidmat makhluk halus untuk kutip hutang. Itulah perkhidmatan terbaru yang ditawarkan pihak tertentu kepada orang ramai di Lembah Klang, khususnya mereka yang sukar untuk menuntut hutang daripada pemiutang.

Dengan membayar 30% daripada hasil keseluruhan kutipan hutang, orang ramai berpeluang menggunakan khidmat ‘cara halus’ yang ditawarkan pihak tertentu terbabit melalui banting iklan yang dipasang di pinggir bandar raya dan sekitar Selangor.

Antara perkataan yang tertera di banting iklan berkenaan ialah ‘Perkhidmatan Mengutip Hutang Cara Halus -untuk nilai RM1 juta ke atas.’

Tinjauan mendapati iklan perkhidmatan yang tidak didaftarkan itu meminta pelanggan menghubungi nombor telefon tertera pada banting iklan terbabit bagi mendapatkan khidmat yang ditawarkan. Bagaimanapun, perkhidmatan hanya diberi kepada jumlah kutipan hutang yang melebihi RM1 juta.

Pihak menyediakan perkhidmatan itu yang enggan namanya disiarkan berkata, melalui kaedah yang diamalkannya, khidmat makhluk halus akan digunakan bagi memujuk pemiutang membayar hutangnya kepada pihak yang memberi hutang.

“Pihak yang memberi hutang hanya perlu memberikan nama penuh dan alamat pemiutang. Selepas memperoleh maklumat itu, ia akan dihantar kepada pemiutang yang mengakibatkan pemiutang pasti akan membayar jumlah hutang yang diminta asalkan mempunyai wang,” katanya.

Ditanya mengenai bayaran yang dikenakan ke atas pelanggan, penyedia perkhidmatan dipercayai seorang lelaki dari Sabah berkata, sebagai bayaran pendahuluan, pelanggan akan diminta 5% daripada keseluruhan jumlah kutipan hutang, manakala 25% lagi selepas wang kutipan hutang itu diterima, menjadikan 30% bayaran kesemuanya.

“Jika pelanggan menganggap jumlah bayaran untuk perkhidmatan ini terlalu tinggi dan tidak mampu untuk membayarnya, mereka boleh mengaturkan supaya pemiutang membayar jumlah yang lebih tinggi dari jumlah asal wang yang dipinjamnya, bagi membolehkan pelanggan melangsaikan bayaran perkhidmatan itu. Bayaran yang dikenakan memang sebanyak itu kerana ramai sudah berjaya mengutip hutang mereka dengan cara ini. Kebanyakan yang pernah menggunakan perkhidmatan ini termasuk peniaga dan syarikat besar,” kata lelaki terbabit yang enggan mendedahkan identiti dan alamat pejabatnya.

Sementara itu, tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz ketika diminta mengulas perkhidmatan itu berkata, walaupun membayar hutang itu hukumnya wajib, orang ramai sepatutnya mengelakkan menggunakan perkhidmatan yang membabitkan penggunaan jin untuk mengutip hutang kerana ditakuti ia adalah sihir.

“Penggunaan sihir sepatutnya dielakkan apatah lagi perkhidmatan itu menawarkan cara kepada orang ramai yang memberi hutang untuk mengutip jumlah bayaran lebih tinggi daripada jumlah asal yang dipinjamkannya,” katanya.

Komen Laman Seri : INGAT! Matlamat tidak menghalalkan cara!




Sumber : BHarian 28/01/2011

Butiran selanjutnya ...

Khamis, Januari 27, 2011

Hikmah bertaubat


NIAT untuk bertaubat harus murni kerana ini memberi petanda kepada keikhlasan untuk mencari hidayah. ~ gambar hiasan


Assalamualaikum warahmatullah,

Apakah taubat? Taubat dari segi bahasa bermakna kembali manakala erti istilah ialah kembali mendekatkan diri pada Allah setelah tersasar jauh daripada-Nya.

Taubah adalah magnet paling kuat dan berkesan untuk berubah. Seorang yang jahat akan berubah menjadi baik setelah bertaubat, seorang yang bermulut lancang akan menjadi pendiam dan beradab setelah bertaubat dan seorang yang syirik menjadi alim setelah bertaubat.

Hakikat taubat adalah menyesal terhadap apa yang telah terjadi, meninggalkan perbuatan tersebut serta-merta dan memiliki keazaman yang kuat untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut pada masa yang akan datang. Taubat adalah sebuah keinginan untuk kembali kepada Allah. Landasan taubat adalah mencari Allah. Kecenderungan bertaubat terdetik di hati kerana keinginan yang membuak-buak untuk membuat perubahan dan penyesalan yang tidak terhingga.

Pertama sekali, niat untuk bertaubat harus murni. Kemurnian ini memberi petanda kepada keikhlasan untuk mencari hidayah dan semoga hidayah tersebut akan dilimpahkan ke atas hati yang sedar dan insaf. Kesucian inilah yang menarik kuat kasih sayang Allah.

Junjungan besar Rasulullah mengucapkan doa ini, yang dibaca setiap kali berwuduk iaitu: Ya Allah, jadikan hamba termasuk ke dalam 'At-Tawwabiin' (mereka yang bertaubat), dan jadikan hamba termasuk ke dalam 'al-Muthahhirin' (mereka yang disucikan). Bahkan Rasulullah pun masih memohon kepada Allah untuk dimasukkan ke dalam golongan orang yang bertaubat. Bagaimana pula dengan kita?

Keinginan taubat

Keinginan untuk bertaubat adalah pilihan dan panggilan Allah terhadap hamba yang dikasihi-Nya. Sekiranya terdetik dalam hati dan mulai tumbuh bibit-bibit kegelisahan dalam hidup ataupun rasa kuat keinginan untuk kembali kepada-Nya, itulah tanda Allah sedang memanggil dan insya-Allah, hidayah sedang menusuk ke dalam hati kita.

Kesempatan ini harus digunakan sepenuhnya dan jangan sesekali diabaikan. Peluang sebegini bukannya mudah untuk mendapatkannya kerana hasrat untuk kembali kepada fitrah adalah suara hati setiap orang. Memilih untuk tidak mahu bertaubat dan tidak menghiraukan panggilan-Nya, maka orang itu termasuk orang yang zalim.

Seorang pemuda yang terlalu sedih kerana ditipu rakan wanitanya untuk berkahwin. Kesedihannya sangat panjang. Tiga tahun beliau menyimpan rasa kecewa. Setiap kali ada kesempatan beliau akan pergi ke tempat-tempat mereka pernah bersama, mengingati detik-detik indah dan ternyata keadaan itu membuatkannya berasa gembira. Tetapi apakan daya, wanita yang dicintainya ini seorang yang tidak setia dan tidak boleh dipercayai.

Runtunan hati yang merindui dan mengingati teman wanitanya membuatkan pemuda ini meluahkan isi hatinya kepada kaunselor yang berpengalaman. Mereka berhubung hanya melalui emel dan jawapan yang diberikan telah mengubah persepsinya selama ini.

Selepas tiga tahun menderita, akhirnya beliau melihat masih ada sinar dalam hidup yang tidak pernah beliau fikir. Berikut adalah jawapan yang mengubah paradigma dan membuatkan pemuda ini melihat masa depan yang lebih positif dalam hidupnya. Jawapan kaunselor kepada pemuda itu, begini:

Perasaan cinta kepada wanita itu adalah satu naluri semula jadi seorang insan. Namun, ia bukanlah harus disusuli dengan tindakan dan perbuatan yang melanggar hukum Allah kerana jika ini berlaku maka kita juga akan melawan hukum fitrah.

Cinta yang sejati sebenarnya akan lahir bukan sebelum perkahwinan tetapi selepas berkahwin kerana sesungguhnya Allah yang akan mempertautkan hati dua insan. Jika Allah yang mempertautkan hati, ia akan berkekalan dan besar ertinya dalam kehidupan harian kita ini.

Persoalan mungkin timbul iaitu apa pula perasaan yang sedang saudara dan mungkin ribuan manusia di muka bumi ini merasainya - perasaan yang dirasai kepada seorang wanita sebelum perkahwinan.

Jika perasaan itu mendalam sehingga mengajak kepada satu tindakan yang kurang wajar seperti tidak tidur malam asyik memikirkan si kekasih, rindu dilepaskan dengan berjumpa selalu, yakinlah... dan yakinlah sebenar-benarnya ia bukan datang dari Allah tetapi dari syaitan yang terkutuk!

Syaitan yang membisikkan ke dalam diri seseorang insan itu agar terus berhubungan dan mempunyai perasaan yang bukan-bukan atas nama 'cinta' untuk mendekati seseorang.

Syaitan ada pada setiap diri anak Adam. Cuma bergantung kepada kita. Kalau kita kuat, syaitan tidak boleh buat apa-apa. Tetapi kalau kita lemah, kita mudah akan dipermainkan dan diperkotak-katikkan. Akhirnya, kita akan mudah menjadi hamba syaitan.


KEINGINAN untuk bertaubat adalah pilihan dan panggilan Allah terhadap hamba yang dikasihi-Nya. ~ gambar hiasan ~

Percayalah, perasaan yang anda miliki ini adalah mainan syaitan dan bukannya 'cinta abadi' yang dicari oleh setiap insan.

Pokoknya kita kena bertaubat dan kembali kepada Allah dan tahu cara-cara bagaimana mencari isteri idaman agar dapat mencapai tahap kebahagiaan yang sebenar.

Renung-renungkan....




Rujuk : Kosmo! 22/02/2008 dan Solusi Isu#12.

Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

Kuan Yew sangsi orang Melayu, negara jiran


LKY, takut dengan bayang-bayang???


APAKAH gerangannya dengan bekas Perdana Menteri Singapura sekarang Menteri Mentornya, Lee Kuan Yew ini? Tidak habis-habis menunjukkan sikap berseteru dan bermusuhan hingga berterusan menghina negara ini dan juga orang Melayu termasuk warganya sendiri?

Terakhir ialah pandangannya yang dibukukan dalam terbitan terakhir bertajuk Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going mengenai kedudukan rakyat beragama Islamnya serta perbelanjaan yang begitu tinggi untuk pertahanannya.

Pandangannya terhadap dua topik ini menunjukkan betapa dia dihantui kesangsiannya terhadap orang Melayu/Islam dan jirannya Malaysia dan Indonesia kerana berada di tengah-tengah Alam Melayu. Kesangsiannya itu sudah lama dirasai tetapi kini dia sendiri terang-terangan mengakuinya.

Maka itu tidak menghairankan bagaimana Melayu di Singapura menghadapi pelbagai tekanan walau pun ada antara mereka itu yang pertikaikan pandangan ini seperti wujud cemuhan sesetengah daripada mereka yang menulis kepada Berita Harian Singapura mengecam Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru-baru ini menimbulkan lagi pandangannya bagaimana Melayu Singapura berterusan dipinggirkan.

Peminggiran Melayu di republik itu berlaku sejak awal lagi bermula apabila republik itu dinyahkan dari Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman pada 1965 kerana kempen Kuan Yew dan parti PAPnya pada Pilihan Raya Umum 1964 yang memainkan isu perkauman dengan begitu ketara, tetapi masih gagal mendapat sokongan bukan Melayu. Kempen perkauman itu berlarutan walaupun selepas pilihan raya itu. Kedua-dua hal ini menjadi dendam kesumat dalam sanubarinya hingga mempengaruhi dasar yang dilaksanakannya di republik itu.

Peminggiran Melayu didedahkan dengan panjang lebar oleh Dr Lily Zubaidah, anak bekas Menteri Republik itu Abdul Rahim Ishak serta anak saudara Presiden Pertamanya, Yusof Ishak dalam bukunya The Singapore Dilemma: Political and Educational Marginality of the Malays yang diterbitkan pada 1998.

Dr Lily yang lama menetap di Australia bertugas sebagai pensyarah kanan di University of Sydney menerbitkan buku keduanya berjudul Singapore in the Malay World Jun lalu.

Kedua-dua buku itu mengenai kedua-dua isu yang banyak menghantui pemikiran Kuan Yew hingga ada yang berkata dia sudah hilang pertimbangan waras terhadap kedua-dua isu itu. Dia mendapatkan penasihat Yahudi Israel sejak 1965 yang banyak membantu Singapura dalam hal keselamatan dan pertahanan.

Kuan Yew menggunakan kepakaran Israel dalam keselamatan dan pertahanan kerana wujudnya persamaan kedudukan republik itu di kelilingi Alam Melayu seperti Israel di tengah-tengah Alam Arab. Singapura dan Israel juga mempunyai persamaan rakyat minoriti mereka iaitu orang Arab bagi Israel dan minoriti Melayu di republik itu yang mereka curigai.

Bagi Israel cara menangani kedudukan itu ialah dengan melakukan pelbagai usaha sulit mengadu domba antara negara Arab supaya tidak bersatu seperti juga diusahakan republik itu yang tidak senang melihat wujudnya hubungan akrab antara Malaysia dan Indonesia.

Demikian juga bagaimana wujudnya persamaan terhadap perlakuan Israel yang berterusan mencurigai rakyat minoriti Arabnya yang sentiasa dipantau dan diperhatikan secara sulit oleh badan perisikannya seperti Mossad. Singapura juga dituduh melakukan perkara sama terhadap rakyat berketurunan Melayu dan baru-baru ini menambahkan pengambilan polis cawangan khasnya dikatakan untuk melakukan pemantauan itu dengan lebih menyeluruh.

Jadi, kenyataan terakhir Kuan Yew ini yang mencurigai Melayu yang berpegang kuat ke atas agama Islam hingga menuduh sikap itu menjadi batu penghalang terhadap usaha mengintegrasikan pelbagai kaum di republik itu tidak menghairankan. Maka dia menyarankan rakyat Islamnya, iaitu Melayu melonggarkan pegangan agama mereka untuk berintegrasi, bahkan berkahwin dengan bangsa lain mungkin tanpa pasangan mereka menukar agama untuk memeluk Islam?

Kerajaan PAP Singapura sudah melakukan pelbagai usaha yang sememangnya mendiskriminasi rakyat Islam/Melayunya. Misalnya untuk mengaburi mata ramai bahawa jumlah penduduk Melayu tidak seberapa, orang Melayu dibeza-bezakan dengan mereka berketurunan Jawa atau Bawean (Boyan) yang tidak diterima sebagai Melayu dalam kad pengenalan mereka.

Demikian juga keturunan rakyatnya dari India atau Pakistan berkahwin dengan wanita Melayu tidak diiktiraf sebagai Melayu walaupun sudah beberapa generasi dan mereka sudah pun diserap dan mengamalkan cara hidup Melayu dan bertutur bahasa Melayu di rumah.

Demikian juga orang Melayu dikecualikan daripada menyertai Khidmat Negara (National Service) kerana mencurigai kesetiaan Melayu. Ini memberi kesan buruk kepada anak muda Melayu apabila memohon pekerjaan kerana majikan tidak akan mahu mengambil mereka bekerja selagi tidak mempunyai sijil mengatakan mereka sudah menjalani latihan National Service.

Seperti ditohmahkannya, Kuan Yew amat tidak menyenangi orang Melayu yang banyak menghabiskan masa di masjid menunaikan solat wajib. Di Singapura masjid yang ada bukannya didirikan dengan biaya atau bantuan pemerintah. Semuanya dibiayai derma penduduk setempat, misalnya di kawasan perumahan flet HDB.

Mengikut dasar kerajaan PAP yang diwujudkan oleh Kuan Yew semua flet itu harus mempunyai sehingga 20% penghuni Melayu dan mereka inilah yang mengutip/mengumpul derma mendirikan masjid.

Ini yang tidak disenangi Kuan Yew yang sebolehnya mahu rakyat berketurunan Melayu menyertai balai rakyatnya yang ditubuhkan di setiap kawasan rumah pangsa HDB seperti juga rakyat keturunan Cina dan India. Balai rakyat itu dikendalikan Jawatankuasa Perundingan Rakyat, iaitu pertubuhan akar umbi PAP.

Dalam pertahanan pula seperti ruangan ini sudah beberapa kali sebut beberapa tahun lalu republik itu juga mengikuti jejak Israel berbelanja besar mengadakan pelbagai peralatan canggih khusus untuk tentera udaranya termasuk beberapa skuadron pesawat tempur tentera udaranya yang dilengkapi peluru berpandu terkini yang diperoleh dari Amerika Syarikat.

Ruangan ini sebelum ini mempersoalkan kenapa Singapura perlu berbelanja begitu besar mengadakan peralatan tempur yang begitu canggih termasuk peluru berpandu yang terkini. Peralatan itu bukan hanya untuk pertahanan tetapi ialah untuk bertempur. Siapa yang hendak ditempurinya? Itulah sebabnya beberapa skuadron pesawat tempurnya tidak disimpan di pulau sebesar sekangkang kera itu, tetapi ditempatkan di Australia dan Taiwan, kononnya kalau ia diserang pesawat tempurnya boleh bertindak balas segera.

Terakhir ia membiayai sebahagian kos membangun dan mengadakan suatu sistem perisai udara menggunakan teknologi satelit yang diusahakan Israel diberi nama ‘Dome’ untuk pertahankan pulau itu daripada serangan peluru berpandu.

Republik itu berbelanja sehingga hampir 2.5% daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) bagi pertahanannya hingga mencecah lebih RM30 bilion setahun untuk beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini adalah kerana ia bersikap dikepung hingga takutkan bayang-bayang sendiri. Maka itulah ia membangunkan pulau itu seperti sebuah kubu dan mecurigai jirannya khususnya Malaysia.

Penulis artikel, Rejal Arbee ialah Felo Kanan UKM di BHarian 27/01/2011




Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

Rabu, Januari 26, 2011

Yang menarik mengenai adab makan berjemaah


makan dalam talam dari berlariterbang

Assalamualaikum warahmatullah,

Ramai yang menganggap makan dalam talam dan makan berjemaah itu suatu yang sinonim. Maksudnya, apabila sahaja kita makan beramai-ramai dalam satu bekas (talam), maka itu sudah dikira makan berjemaah.

Hakikatnya tidak begitu. Makan dalam talam tidak semestinya memenuhi konsep makan berjemaah. Ðan begitu juga tidak makan dalam talam, ia tidak boleh dianggap tidak makan berjemaah.

Hendaklah dibezakan antara makan satu bekas (sama ada dalam talam atau dalam bekas-bekas besar seumpamanya) dengan makan secara berjemaah.

Makan dalam talam, hakikatnya adalah satu kaedah sahaja bagi makan secara berjemaah. Jika demikian, mari kita lihat lebih dekat, antara ciri-ciri makan berjemaah :

1 – Ada ketua

Ðalam jemaah mesti ada ketua. Begitulah dalam makan berjemaah. Mesti ada ketua. Ðalam kalangan semua yang makan, siapa yang lebih tua usia, lebih tinggi ilmu dan lebih dari segi kewibawaannya, maka dia boleh dianggap ketua.

Apabila makan sekeluarga, misalnya, ayah adalah ketua dalam makan jemaah itu. Sebagai ketua, dia mesti memulakan doa makan atau ‘mengagihkan’ peranan membaca doa itu kepada anak yang dipilihnya (atas tujuan melatih atau mendidik). Ðia kemudiannya memulakan suapan, dan diikuti oleh ahli keluarga yang lain, persis seorang imam dalam solah berjemaah. Isteri dan anak-anak akan mematuhi keputusan itu.

Sebagai pemimpin dalam kehidupan, begitulah kepimpinan semasa makan berjemaah. Ketua jangan memikirkan dirinya seorang sahaja. Sebaliknya, dia mengawasi orang lain yang makan bersama. Lauk yang jauh didekatkan. Mungkin bagi anak yang kecil perlu dicubitkan lauknya, makanan yang pedas diingatkan jangan makan keterlaluan. Jika makanan perlu ditambah, ketua cepat-cepat menambahnya. Jika makanan sedikit, diingatkan supaya berhemah.

Sekalipun kita makan berhidang (bukan dalam talam), tetapi faktor kepimpinan dan pengikutan ini, maka ciri makan berjemaah sudah ada. Sekalipun makan dalam pinggan masing-masing (dengan berkongsi lauk-pauk), tetapi ayah atau orang yang ‘ditua-tuakan’ dapat membimbing dengan baik, manakala yan lain dapat memberi ketaatan, maka itu sudah dikira makan berjemaah.

Sebaliknya, sekalipun makan dalam talam, tetapi tidak jelas siapa yang memimpin, masing-masing membuat keputusan sendiri. Misalnya, keputusan hendak menambah nasi atau hendak menambah sambal, semuanya diputuskan sendiri, tanpa merujuk ketua atau orang lain), maka itu mencacatkan konsep berjemaah. Mungkin pada yang lain, sambal itu pedas, nasi masih banyak.

2 – Niat supaya semua orang kenyang

Satu ciri lain dalam jemaah ialah setiap anggota mestilah mendahului kepentingan orang lain. Jemaah dan pengorbanan adalah saling berkaitan. Si A makan dengan niat hendak mengenyangkan si B. Manakala si B niat hendak mengenyangkan si C. Begitulah niat setiap orang yang makan. Jika niat ini ada, maka satu lagi ciri makan berjemaah sudah diwujudkan. Tercetuslah kasih sayang dan keberkatan. Yang sedikit cukup. Yang banyak dapat diagih-agihkan.

Sekalipun makan secara buffet, tetapi yang mengabil makanan dahulu dengan perkiraan lauk itu mesti dapat dinikmati juga oleh orang yang kemudian, maka itu adalah niat yang baik, sekaligus rasa berjemaah itu wujud. Sebaliknya, jika makan setalam sekalipun, tetapi saling berebut-rebutan, mementingkan diri – yang sedap ingin ‘dimonopoli’ seorang, maka itu bukan makan berjemaah.

Tegasnya, makan setalam hanya memudahkan perlaksanaan konsep makan berjemaah kerana faktor fizikal dan infrastrukturnya yang lebih hampir antara satu sama lain. Apabila dekat, kepimpinan seseorang dapat dirasakan. Ðan niat untuk berkorban demi kawan, akan lebih terasa.

Hakikatnya, ciri makan berjemaah lebih melibatkan soal hati, sekiranya di hati sudah ada iman, rasa ukhuwah akan terhasil secara automatik. Ðan kerana itu soal kepimpinan dan niat mengutamakan orang lain akan tercetus tidak kita di mana, bagaimana dan apa yang kita makan.

Wallahu ‘alam.




Rujukan : Solusi Isu #5 m/s 83

Capaian entry berkaitan :

Butiran selanjutnya ...

ABIM desak Kuan Yew minta maaf


LKY = barking dog?

Anggap kenyataan Menteri Mentor Singapura guris perasaan umat Islam.

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam di Singapura dan seluruh dunia berhubung kenyataannya mencadangkan rakyat Islam di negara itu melonggarkan pegangan agama mereka.

Setiausaha Agungnya, Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata pihaknya turut menggesa Singapura bersifat lebih terbuka dan demokratik dengan membuka ruang dialog antara agama serta kebudayaan lebih luas membabitkan hak umat Islam mengamalkan ajaran mereka di negara itu.

“ABIM menganggap kenyataan Lee itu dibuat daripada perspektif cetek dan tidak didasari dengan kefahaman menyeluruh mengenai konsep asas dalam ajaran Islam.
“Ia jelas menyinggung sensitiviti umat Islam bukan saja di Singapura, tetapi di seluruh rantau ini secara keseluruhan termasuk Malaysia.

“Lee perlu sedar bahawa sejarah kedatangan dan penyebaran Islam di rantau ini membuktikan bahawa Islam agama yang berasimilasi dengan sosio-budaya masyarakat setempat dan disebarkan dengan aman serta saksama,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ahad lalu, akhbar melaporkan Lee menggesa umat Islam di Singapura supaya tidak terlalu kuat berpegang pada ajaran Islam bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara.

Laporan berkenaan turut menyebut Lee selalu menekankan pentingnya keharmonian antara kaum di Singapura yang mempunyai penduduk majoriti berketurunan Cina dan masyarakat minoriti termasuk orang Melayu dan kaum India.

“Saya berpendapat hari ini kita boleh mengintegrasikan semua agama dan kaum kecuali Islam,” katanya yang dipetik daripada bukunya Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going.

Mohamad Raimi berkata, kenyataan Lee itu juga bermotifkan politik dan didasari sifat Islamophobia dengan mengaitkan Islam sebagai agama yang tertutup serta tidak progresif.

“Dalam konteks inilah, perspektif mengenai Islam perlu diperluaskan dengan merujuk fenomena positif dijelmakan umat Islam di seluruh dunia. Muslim di negara Barat misalnya bukan saja hidup harmoni dalam suasana masyarakat majmuk bahkan menyumbang secara produktif sebagai warga negara yang taat,” katanya.




Sumber : BHarian 26/01/2011

Butiran selanjutnya ...

Boungainvillea - cantik dan tahan lasak


Boungainvillea sesuai ditanam ditanah.


Bougainvillea popular kerana kecantikan bunga dan warnanya, senang ditanam dan tahan lasak

POKOK bunga kertas atau ‘bougainvillea’ adalah tanaman hiasan popular yang ditanam sejak dulu lagi kerana mampu mempamerkan bunganya yang cantik bersama pelbagai warna menarik, selain senang ditanam dan dijaga serta cukup tahan lasak.

Ia berasal dari nama seorang pelayar Perancis, Louis de Bougainville yang menemuinya di Amerika Selatan pada kurun ke-18. ‘Bougainvillea’ tergolong dalam famili tumbuhan ‘nyctaginaceae’, sebenarnya adalah bunga rasmi bagi bandar raya Ipoh.

Kelopak bunganya yang berwarna warni sebenarnya ialah pengasuh bunga atau brakta (bract) dengan tekstur seakan kertas. Sebab itulah ia dikenali dengan jolokan, bunga kertas. Bunganya yang sebenar hanya bersaiz kecil dan panjang, manakala kelopak yang sebenar terletak di hujungnya dan setiap bunga akan keluar dari dalam pengasuhnya.

Kecantikan ‘bougainvillea’ terletak pada beberapa ciri berikut:

* Spesies berbunga satu warna tetapi dalam pelbagai pilihan warna menarik seperti ungu, merah tua, jingga, biru dan sebagainya. Contohnya, ‘bougainvillea glabra’ dan ‘Singapore pink’ dengan brakta bunganya berwarna merah muda.

* Spesies yang mempunyai brakta bunga campuran dua warna. Contohnya ‘apple blossom’ yang brakta bunganya campuran merah muda dan putih.

* Spesies berdaun ‘variegated’ iaitu campuran warna hijau dan keputihan. Contohnya ’orange stripe’ yang berdaun campuran warna hijau dan keputihan di tepi daun serta berbunga jingga.

* Spesies yang mempunyai susunan daun cantik serta berbunga satu warna. Contohnya ‘sanderiana’ yang brakta bunganya berwarna merah tua.

Pembiakan dan penanaman

Bunga ini senang dibiak menggunakan teknik keratan batang dan tut. Untuk penanaman menggunakan teknik tut ikuti langkah seperti berikut:



Langkah 1: Batang atau ranting pokok ditoreh atau dipotong kulit di sekelilingnya.

Langkah 2: Letakkan di sekeliling keratan tadi dengan medium tut yang basah untuk menggalakkan pertumbuhan akar.
Medium tut yang sesuai adalah campuran dua bahagian tanah peroi dan satu bahagian bahan organik atau hanya gunakan saja lumut ‘sphagnum moss’ yang basah.

Langkah 3: Balut medium tut dengan plastik lut sinar dan ikat di kedua-dua bahagian hujungnya dengan tali rafia agar medium tanaman tidak terkeluar. Juga kekalkan kelembapan pada medium tut berkenaan.

Langkah 4: Selang beberapa minggu, akar akan tumbuh di bahagian atas kulit yang dipotong itu. Apabila akar sudah tumbuh kira kira satu inci, potong batang atau ranting berkenaan untuk ditanam dalam medium tanaman. Campuran medium tanaman yang sesuai ialah 3:2:2 (tanah peroi: tanah gambut/baja organik: pasir sungai).


Beberapa spesies dikahwin dalam satu pasu.


Penjagaan

* Cahaya - ia perlu didedahkan kepada cahaya matahari terik untuk menggalakkan pertumbuhan bunga yang berterusan.

* Air - siram air dua kali sehari pada waktu pagi dan petang pada hari panas dan siram bila perlu semasa hari hujan. Biarkan medium tanaman kering dulu sebelum menyiram semula dan elakkan air bertakung.

* Pembajaan - pelbagai jenis baja boleh diberi asalkan mengikut sukatan dan kekerapan seperti yang disyorkan. Gunakan baja berwarna hijau untuk pertumbuhan batang dan daun yang sihat terutama selepas pemangkasan. Baja berwarna merah pula untuk menggalakkan pertumbuhan bunga.

Idea pameran

Bougainvillea boleh dipamerkan dalam pelbagai cara seperti ditanam atas tanah, dalam pasu, dilatih memanjat untuk dijadikan pintu gerbang taman, memanjat dinding, pergola, ‘trellis’ dan sebagainya. Beberapa spesies bunga ini juga boleh dikahwinkan pada satu pokok. Ikuti pelbagai idea menarik pameran tanaman ini dalam keluaran dua minggu akan datang.

Tip penjagaan

* Potong tangkai bunga selepas bunganya gugur untuk kelihatan kemas dan menggalakkan pertumbuhan bunga seterusnya.

* Jangan pindahkan pokok ketika ia sedang berbunga kerana akan menyebabkan bunganya cepat layu dan gugur secara tiba-tiba.




Sumber : Abu Bakr As - Siddiq (Pakar tanaman hiasan) di BHarian 19/12/2010

Butiran selanjutnya ...

Simbah isteri dengan asid


JAZAN: Seorang lelaki Arab Saudi ditahan polis kerana menyimbah asid kepada isterinya, seorang warga Yaman di bandar Samta di selatan wilayah Jazan, semalam. Wanita itu cedera di muka, dada, leher dan tangan.

Menurut jurucakap polis Jazan, Kolonel Abdullah Al-Qarni, lelaki itu menyerang isterinya ketika pasangan berkenaan bertengkar.

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Wanita yang dikenali sebagai Wafa itu menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap suaminya, lapor akhbar tempatan Wafa berkata, dia mengahwini suspek 10 tahun lalu dan mereka mempunyai tiga anak lelaki.

“Suami saya tidak mendaftarkan perkahwinan kami dan status anak yang dilahirkan. Kami juga tidak mempunyai kad pengenalan,” katanya. Wafa mendakwa suaminya juga menderanya sejak beberapa tahun lalu.

“Dia telah menyusahkan saya sejak bertahun-tahun lamanya dan langsung tidak menghargai saya sebagai ibu kepada tiga anak lelakinya. Saya akhirnya melarikan diri dan berlindung di kediaman saudara untuk menjaga bapa yang sudah tua,” tambahnya.

“Sejak itu, dia mengancam saya dan memberitahu akan memaklumkan kepada pihak berkuasa supaya saya dan keluarga dihantar pulang ke Yaman. Bimbang dengan keadaan bapa yang sakit dan keselamatan ahli keluarga lain, saya terpaksa kembali kepadanya sebelum disimbah asid ke tubuh,” katanya sambil memberitahu kejadian itu berlaku sebelum Ramadan lalu.

“Saya pulang ke rumah selepas selesai dirawat di hospital akibat melecur. Pada hari wukuf di Arafah pula, dia cuba menyiram saya dengan cecair peluntur. Saya berjaya melarikan diri dan melaporkan kejadian kepada polis,” katanya lagi. - GN

HMetro 26/01/2011


Butiran selanjutnya ...

Selasa, Januari 25, 2011

Bila si nyanyuk membebel...


Sejumlah naskhah buku Hard Truths to Keep Singapore Going yang merupakan memoir Lee Kuan Yew dipamerkan di sebuah kedai buku di Tanjong Pagar, Singapura kelmarin.

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Tersentak saya baca berita ini di Kosmo! 24/01/2011 semalam yang bertajuk, 'Kuan Yew gesa penduduk Islam kurang patuh pada agama'. Tak habis-habis dengan kontroversi dan provokasi....?

Dalam berita itu, katanya Pengasas Singapura (pengasas?! kui kui kui...), Lee Kuan Yew menggesa masyarakat Islam di negara itu supaya menjadi kurang tegas dalam hal pematuhan ajaran agama demi meningkatkan integrasi dan proses pembangunan negara bangsa. Singapura didominasi oleh penduduk etnik Cina manakala kaum minoritinya dibentuk oleh kelompok Melayu beragama Islam dan orang India. Kuan Yew sering menekankan mengenai pentingnya keharmonian kaum.

"Saya ingin menyatakan pada hari ini, kita boleh mengintegrasikan semua agama dan kaum kecuali Islam," kata Kuan Yew dalam bukunya yang bertajuk Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going. Buku tersebut mengandungi pandangan-pandangan jujurnya mengenai Singapura dan masa depannya.

"Saya fikir kita bergerak maju dengan baik sehinggalah timbulnya Islam dan jika kamu tanya tentang pemantauan saya, komuniti-komuniti lain lebih mudah berintegrasi, kawan-kawan, perkahwinan berlainan bangsa dan sebagainya. Saya fikir masyarakat Islam secara sosialnya tidak menimbulkan sebarang masalah, tetapi mereka berbeza dan terpisah," kata Kuan Yew yang menggesa komuniti Islam untuk menjadi kurang tegas dalam mematuhi Islam.

Sewaktu pelancaran buku tersebut pada Jumaat lalu, beliau yang menyifatkan dirinya sebagai seorang yang pragmatik memberi amaran kepada rakyat Singapura tentang perasaan puas hati mereka. Kuan Yew turut menyatakan republik yang majoritinya terdiri daripada etnik Cina itu masih dalam proses membangunkan sebuah negara bangsa. Di dalam bukunya, beliau menyifatkan Singapura sebagai sebuah bangunan 80 tingkat yang dibina di atas tanah berpaya. Kuan Yew menegaskan bahawa Singapura mesti berdepan dengan perasaan bermusuhan daripada jiran-jiran beragama Islam yang lebih ramai.

"Kita mempunyai jiran-jiran yang peramah? Sedarlah... Inilah yang melemahkan kita kerana kita merupakan orang yang gemar mencampuri urusan orang lain," katanya yang mendakwa usaha Malaysia dan Indonesia untuk menjejaskan perniagaan pelabuhan Singapura.

Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965 ekoran perbezaan besar terhadap dasar Kuala Lumpur yang memberi keistimewaan kepada kaum Melayu. Sejak itu, Singapura telah mewujudkan pasukan tentera paling moden di Asia Tenggara untuk menangani ancaman negara asing.

Bercakap tentang politik tempatan, Kuan Yew menyatakan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah sejak tahun 1959 apabila Singapura memperoleh autonomi politik daripada pemerintah kolonial Britain akan kehilangan kuasanya pada satu hari nanti.

"Akan tiba satu masa apabila orang ramai berkata, mari cuba pihak yang satu lagi. Sama ada kerana kualiti PAP telah menurun atau pihak pembangkang sudah menghasilkan satu pasukan yang setanding dengan PAP. Hari itu akan tiba. Bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, saya tidak fikir ia akan berlaku. Menjangkau tempoh itu, saya tidak tahu," katanya.

Kuan Yew menyatakan walaupun satu kaji selidik menunjukkan sebaliknya, beliau percaya rakyat Singapura masih belum bersedia menerima seorang perdana menteri yang bukan daripada etnik Cina.

"Satu undian menyatakan 90% masyarakat Cina Singapura menyatakan mereka akan melantik seorang bukan Cina sebagai PM. Baiklah, ini adalah ideal. Anda percaya undian-undian ini? Betul-betul sampah. Mereka bercakap apa yang secara politiknya betul," tegasnya.

Kuan Yew juga mempertahankan dasar mempromosikan perkahwinan sesama rakyat Singapura yang berpendidikan tinggi. Dasar itu dilihat oleh para pengkritik sebagai satu proses kejuruteraan sosial dan menafikan tanggapan mengenai cinta pandang pertama.

"Rakyat mendapat pendidikan. Golongan yang cerdik akan naik statusnya dan mengahwini pasangan yang sama-sama menerima pendidikan yang bagus. Hasilnya, anak mereka pasti lebih pandai berbanding anak-anak tukang kebun. Ini adalah hakikat kehidupan. Anda mempunyai seekor kuda betina yang bagus, anda tidak mahu membuat kacukkan antara ia dengan seekor kuda biasa. Anda akan mendapat anak kuda yang kurang bagus. Manusia yang tertarik kepada karakteristik fizikal akan menyesal mengenainya," katanya lagi.

Kuan Yew mendedahkan beliau telah mendermakan semua pendapatannya berjumlah AS$10 juta (RM30.6 juta) kepada kebajikan sejak mengundurkan diri sebagai perdana menteri pada tahun 1990 selepas 31 tahun berkuasa. Menteri-menteri kabinet Singapura mendapat bayaran gaji tertinggi di dunia sebagai sebahagian daripada strategi mencegah rasuah dan menarik bakat dari sektor swasta.

Kuan Yew yang memegang jawatan khas, Mentor Perdana Menteri kini bertindak selaku penasihat kepada Perdana Menteri Singapura yang juga merupakan anak lelakinya, Lee Hsien Loong yang mula memerintah sejak tahun 2004. Di sebalik kata-katanya yang tegas, Kuan Yew menunjukkan ciri-ciri kelembutannya apabila ditanya tentang mendiang isterinya, Kwa Geok Choo yang meninggal dunia pada usia 89 tahun, Oktober lalu.

"Ia membawa makna lebih keseorangan," kata Kuan Yew dalam buku tersebut yang mengandungi siri temu ramah eksklusif dengan wartawan-wartawan akhbar Straits Times.

** Tamat petikan berita **


NB : Kesian ya... he's a mean old man, without his mother.... Sudah nyanyuk dan hidup pula dalam ketakutan...

Tohmahan Kuan Yew perlu ditepis ~ BHarian 25/01/2011

KUALA LUMPUR: Pelbagai pertubuhan menyelar tindakan biadab bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang disifatkan sebagai pemimpin nyanyuk dan buta sejarah kerana mencetuskan kontroversi terbaru menerusi bukunya Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going.

Umat Islam seluruh dunia terutama di Malaysia perlu bangkit membuktikan Islam tidak menentang kemajuan dan pembangunan, malah proses integrasi antara masyarakat berbilang kaum bertambah baik jika ajaran Islam diamalkan dengan sempurna.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr Maamor Osman, berkata kontroversi terbaru itu menggambarkan keadaan sebenar Kuan Yew sebagai pemimpin yang sakit jiwa, nyanyuk dan buta sejarah. Katanya, umat Islam perlu bangun dan bangkit sebagai contoh ‘Khairun Ummah’ bagi menepis tohmahan dan dakyah sering dilemparkan oleh pemimpin dunia seperti Kuan Yew.

“Orang sakit jiwa tidak akan akan mengaku mereka sakit jiwa, oleh itu diharapkan ada pihak merujuk Kuan Yew ke pakar sakit jiwa bagi memastikan pemimpin itu tidak lagi mengeluarkan kenyataan menghina Islam,” katanya.

Kelmarin, akhbar melaporkan Kuan Yew menggesa umat Islam di Singapura supaya tidak terlalu kuat berpegang pada ajaran Islam bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara. Laporan berkenaan turut menyebut Kuan Yew selalu menekankan pentingnya keharmonian antara kaum di Singapura yang mempunyai penduduk majoriti berketurunan Cina dan masyarakat minoriti termasuk orang Melayu dan kaum India.

“Saya berpendapat hari ini kita boleh mengintegrasikan semua agama dan kaum kecuali Islam,” katanya yang dipetik daripada bukunya.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali, berkata sebagai pemimpin yang sudah terlalu lama dalam politik, Kuan Yew sepatutnya dapat membezakan sesuatu isu itu sensitif atau sebaliknya jika ingin disentuh.

Katanya, PERKASA tidak menganggap Kuan Yew sebagai pemimpin yang kurang faham bagaimana untuk menghormati kaum yang berlainan agama dengannya, sebaliknya menganggap beliau seorang pemimpin tua yang nyanyuk!


Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails