“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Khamis, Jun 30, 2011

Dituduh gigit kemaluan isteri

MOHD. Shakri Ismail diiringi dua anggota polis didakwa menyebabkan kecederaan kepada isterinya di Mahkamah Sesyen Kuantan.

KUANTAN - Seorang penoreh getah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya dengan menggigit kemaluan wanita itu yang enggan mengadakan hubungan seks pada April lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd. Shakri Ismail, 28, dari Felda Bukit Goh di sini membuat pengakuan tidak bersalah atas dakwaan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noradidah Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Shakri didakwa menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Roshapida Mat Sidik, 23, dengan menggigit kemaluan mangsa untuk mengadakan persetubuhan antara pukul 12 tengah malam hingga pukul 3.30 pagi pada 21 April lalu di sebuah rumah di Felda Bukit Goh di sini. Selepas kejadian, tertuduh dipercayai melarikan diri sehingga ditahan di Kota Bharu, Kelantan pada 26 Jun lalu sebelum dihadapkan ke mahkamah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan untuk mengadakan persetubuhan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun. Terdahulu, selepas kertas pertuduhan dibacakan tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia tidak melakukan perbuatan itu dan mempersoalkan tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

"Saya tidak mencederakan dia," kata Mohd. Shakri.

Mendengar kata-kata tertuduh itu, Noradidah menyoal semula Mohd. Shakri dengan berkata: "Jika kamu tidak melakukan perbuatan itu mengapa ada kesan gigitan pada mangsa."

Kata-kata hakim itu menyebabkan tertuduh terus mendiamkan diri sebelum mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Berikutan pengakuan itu, Noradidah memerintahkan Mohd. Shakri diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, selain mengenakan beberapa syarat tambahan iaitu dia tidak boleh menghubungi dan pulang ke rumah mangsa ataupun menghampiri isterinya. Bagaimanapun, tertuduh difahamkan gagal membayar wang jaminan dikenakan ke atasnya dan dihantar ke Penjara Penor sementara menunggu sebutan semula kes pada 25 Julai depan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah.




Petikan : Kosmo 30/06/2011 dan Utusan 30/06/2011

Butiran selanjutnya ...

JPM tidak urus belanja isteri PM

~ gambar hiasan ~

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Dilaporkan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) tidak menyediakan peruntukan khusus bagi perbelanjaan mengurus kepada isteri Perdana Menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata JPM hanya membiayai perbelanjaan yang membabitkan Jabatan Perdana Menteri. Katanya, jumlah perbelanjaan lawatan rasmi Perdana Menteri dan isteri dari 2008 hingga June 2011 ialah RM17,118,650.58. Jumlah itu meliputi RM1,739,332.85 pada 2008, RM4,811,837.48 (2009), RM5,140,307.99 (2010) dan RM5,427,172.26 (hingga Jun 2011).

Jumlah perbelanjaan lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri dan isteri dari 2008 hingga Jun 2011 pula berjumlah RM8,020,328.07 iaitu RM2,746,953.94 (2008), RM609,185.01 (2009), RM1,385,977.27 (2010) dan RM3,278,211.85 (sehingga Jun 2011).

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Chua Tian Chang (PKR-Batu).

Perbelanjaan bagi lawatan rasmi Perdana Menteri dan isteri

Tahun

Jumlah (RM)

2008

1,739,332.85

2009

4,811,837.48

2010

5,140,307.99

2011 (hingga June)

5,427,172.26

JUMLAH

17,118,650.58

Perbelanjaan bagi lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri dan isteri

Tahun

Jumlah (RM)

2008

2,746,953.94

2009

609,185.01

2010

1,385,977.27

2011 (hingga June)

3,278,211.85

JUMLAH

8,020,328.07

http://laman-seri.blogspot.com



Laman-Seri : Tajuknya menarik, tetapi isinya macam tidak bersesuaian berapa kena dengan tajuk. Note perbelanjaan PM dan isteri bagi 6 bulan (tahun ini) adalah lebih kurang sama jumlahnya dengan perbalanjaan untuk 12 bulan (2010). Waaah... Berapa peratus kenaikan tu? Bukan 200% ke? Agak-agak berapa jumlah perbelanjaan sehingga bulan December nanti?

Pandai sungguh menyuruh rakyat berjimat-cermat tetapi pemimpin tidak mengapa jika boros! Ramai pemimpin yang tidak menjadikan Khalifah Umar sebagai model mereka. Khalifah Umar mempunyai keperibadian yang tinggi, disukai ramai dan warak yang diwarisi dari datuknya Saidina Umar b Al-Khatab. Beliau amat berhati-hati dengan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat. Sesungguhnya kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri tentunya telah diketahui umum dan tidak perlu diulang-ulang. Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehdupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.

Berbalik kepada perbelanjaan di atas, jika benar JPM tidak urus belanja isteri PM, mengapa ada kenyataan “perbelanjaan lawatan rasmi Perdana Menteri
dan isteri” dan “perbelanjaan lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri dan isteri” ... BUENO! Erk... PM boleh tolong ulang penjelasan...?




Petikan : BHarian 28/06/2011

Butiran selanjutnya ...

Seriuskah Singapura berbaik dengan kita?


Pencerobohan ruang udara, penyeludupan pasir jejas maruah negara

NAMPAKNYA Singapura berterusan saja melakukan hal yang tidak menunjukkan ia mahu berbaik dengan kita sebagai jiran terdekatnya. Dalam tempoh seminggu dua ini timbul lagi masalah yang berterusan dilakukan jiran kiasu ini yang menggugat kita.

Pertama tanpa sedikit pun rasa bersalah jet pejuangnya terus saja menceroboh ruang udara kita hingga mengganggu penduduk kampung di selatan Johor dengan sengaja terbang rendah di ruang udara kita. Sungguh mengaibkan apabila Menteri Pertahanan mendedahkan sejak 2008 hingga Mei lalu, pesawat pejuang republik itu telah menceroboh ruang udara kita sebanyak 2,508 kali iaitu pada puratanya dua kali pencerobohan setiap hari.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya boleh menyatakan kita telah pun membuat bantahan diplomatik ke republik itu. Menakjubkan sungguh kerana pencerobohan berterusan saja berlaku walaupun bantahan telah dibuat. Bagaimanapun, Zahid tidak pula menjelaskan apakah bantahan dibuat setiap kali pencerobohan dilakukan atau hanya sekali saja dalam dua, tiga tahun.

Apa kesimpulan yang boleh kita buat daripada sikap Singapura itu? Kita saja yang bertoleransi tetapi republik itu tidak sedikit pun mahu menghormati kita dan kita pula memberi isyarat seolah-olah tidak bermaya untuk bertindak. Oleh itu, republik itu tidak sedikit pun menghiraukan bantahan atau mahu menghormati kita. Mungkin mereka berpendapat bantahlah sebanyak mana pun, kami akan terus menceroboh ruang udara kamu. Apakah kita tidak boleh melepaskan tembakan amaran apabila mereka menceroboh? Ini akan menunjukkan kita serius mahu pertahankan kedaulatan kita.

Sebaliknya, jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menceroboh masuk ruang udara mereka, apakah republik itu akan berdiam diri? Inilah gambaran yang boleh disimpulkan daripada perlakuan ini. Persoalannya, apa kita tidak boleh lakukan lebih daripada membuat bantahan diplomatik saja? Kita bukannya mahu berperang dengan mereka tetapi apakah republik itu akan berdiam diri saja kiranya pesawat kita memasuki sedikit saja ruang udaranya? Apa agaknya tindakan yang akan ia lakukan kiranya kita berbuat demikian?

Tentunya mereka akan kerahkan pesawat pejuangnya untuk ‘scramble’ menemui pesawat kita. Kenapa kita tidak boleh berbuat demikian? Bukankah kita juga mempunyai jet pejuang yang canggih walaupun tidak secanggih apa yang mereka ada, berkat sokongan padu kepada pulau itu oleh Amerika Syarikat.

Berikutan bantahan diplomatik kita, apakah republik itu pernah mahu mengadakan perbincangan dengan kita mengenainya? Zahid dalam penjelasannya kepada Parlimen tidak pula memberitahu hal ini.

Jelas republik itu mahu berterusan tidak mempedulikan bantahan kita dan terus saja melakukan provokasi terhadap kita. Kita seharusnya meneliti kenapa mereka berbuat demikian. Diketahui, republik itu tidak melakukan sesuatu tanpa sebab.

Isu kedua ialah mengenai penyeludupan pasir ke republik itu yang berlaku seolah-olah ia mendapat restu puak tertentu di Johor. Sebuah akhbar Inggeris minggu lalu mendedahkan bagaimana kegiatan ini berulang kembali setelah dibongkar tahun lalu yang mana tindakan telah diambil ke atas pelakunya oleh pihak berkuasa, itu pun setelah pendedahan mengenainya dimuatkan oleh akhbar itu.

Tetapi apakah pihak berkuasa kita akan bertindak hanya apabila berlaku pendedahan di akhbar? Apakah mereka tidak boleh melakukan pemantauan secara berterusan supaya penyeludupan itu tidak berterusan. Apa gunanya diadakan peraturan mengharamkan penjualan pasir negara ini ke republik itu kalau perlombongan pasir dan penghantarannya ke Singapura berterusan?

Dikatakan penyeludupan kali ini dilakukan oleh syarikat yang diberikan lesen untuk melombong pasir di Sungai Johor hanya untuk kegunaan tempatan bukannya untuk dieksport keluar kerana eksport pasir masih diharamkan.

Oleh sebab syarikat yang diberi permit melombong pasir di Sungai Johor jelas melanggar peraturan, apakah pihak yang mengeluarkan permit tidak boleh membatalkannya serta menyenaraihitamkan syarikat serta keseluruhan pengarah dan pegawai kanan syarikat tidak patriotik ini.

Dikatakan syarikat itu hanya dibenarkan melombong pasir di Sungai Johor pada siang hari. Tetapi syarikat itu melakukan kegiatan haramnya pada malam hari untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Pasir yang dihantar ke Singapura adalah dengan ‘barge’ yang ditarik tongkang dan menyusuri perlahan ke Pulau Punggol Timur republik itu.

Apakah semua pihak berkuasa termasuk kastam, pihak berkuasa tempatan, polis dan agensi maritim tidak boleh bekerjasama menahan dan menutup terus operasi syarikat itu dan membawa semua mereka ke pengadilan termasuk merampas tongkang dan barge yang dikatakan didaftar di republik itu berserta malim dan awak-awaknya?

Diharapkan apabila dikemukakan ke mahkamah, pengadil akan kenakan hukuman seberat mungkin dengan pengarah serta semua yang terbabit dipenjarakan. Sekiranya tiada peruntukan untuk menghukum penjara mereka itu, ia perlu dipinda bagi membolehkan hukuman demikian dijatuhkan ke atas mereka yang tidak patriotik dengan harapan tidak akan berlaku lagi kegiatan haram ini.

Penulis, Rejal Arbee [rejal@mcoba.org] ialah Felo Kanan UKM.




Petikan : BHarian 30/06/2011

Butiran selanjutnya ...

30 Jun hari ‘sayu’ ingati sejarah KTMB

Tanjong Pagar Railway Station

Assaalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Saya kongsikan petikan yang wajar dibaca untuk buat renungan semua.
Saya ingin mengulas mengenai cadangan pihak tertentu untuk berpesta dan bersuka ria di atas gerabak kereta api dalam perjalanan terakhir perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi meninggalkan stesen Tanjung Pagar pada malam 30 Jun ini.

Sebuah akhbar lain pula menyiarkan berita muka hadapan 14 Jun lalu bahawa semua tiket KTM bagi perjalanan terakhir itu sudah pun habis dijual. Tarikh berkenaan iaitu 30 Jun 2011 ialah hari KTM Bhd menutup stesennya di Tanjung Pagar dan berpindah ke Woodlands, stesen barunya di Singapura. Memang sesuai peristiwa berkenaan dimaktubkan sebagai satu hari bersejarah dan patut diingati.

Saya berpendapat tidak kena pada tempatnya jika ada orang merancang untuk berpesta dalam perjalanan kereta api yang akan berlepas bagi kali terakhir dari Tanjung Pagar menuju Kuala Lumpur pada malam 30 Jun itu.

Perancangan ini tidak harus diteruskan kerana 30 Jun bukan satu tarikh untuk bersuka ria. Sebaliknya, ia adalah satu detik amat sedih dalam sejarah KTMB di Singapura.

Pada 1918, kerajaan kolonial British di Singapura menjual untuk selama-lamanya harta benda dan syarikat Singapore Railway kepada Kerajaan Negeri Melayu Bersekutu (Federated Malay States), yang menukar nama syarikat itu kepada Federated Malay States Railway, dan akhirnya berubah menjadi KTMB sebagai sebuah badan korporat.

Apabila KTMB berpindah ke Woodlands pada 30 Jun, maka akan bermulalah juga penyerahan kepada Kerajaan Singapura bukan saja bangunan stesen Tanjung Pagar tetapi juga tidak kurang daripada 175.7 hektar tanah milik KTMB di merata tempat di Singapura. Khazanah tanah KTMB di Singapura dianggarkan mempunyai nilai berbilion ringgit. Sebagai gantian kepada penyerahan stesen dan tanah berkenaan, Malaysia diberi peluang membangun bersama dengan Singapura enam bidang tanah di Marina South dan Ophir-Rocher di bahagian selatan pulau Singapura.

Perhentian di Woodlands bukan stesen kereta api dalam erti kata biasa. Perhentian Woodlands ialah sebuah pusat pemeriksaan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kepunyaan Singapura.

Oleh itu saya berpendapat bahawa 30 Jun melambangkan satu tarikh yang sangat sayu di hati sanubari mereka yang menghayati sejarah, jauh sekali untuk disambut sebagai satu malam berpesta dan bersuka ria.

AK MOHAMAD,
Kuala Lumpur.


Laman-Seri : Penyerahan ini juga bermakna terhakisnya warisan 'Tanah Melayu' di bumi Melayu. Renung-renungkan...




BHarian 24/06/2011

Capaian entry berkaitan :
* Roh pun sayangkan stesen Tanjong Pagar

Butiran selanjutnya ...

Operasi KTMB Stesen Tanjung Pagar, Bukit Timah dihentikan

KAKITANGAN KTMB, Mohd Helmy Rahim menampal poster pemberitahuan pemindahan Stesen Tanjong Pagar, semalam.


Tren terakhir ke Singapura jam 11 malam selepas 60 tahun perkhidmatan

SINGAPURA: Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Stesen Tanjung Pagar dan Bukit Timah di sini, akan tamat mulai tengah malam ini, apabila perkhidmatan ke republik itu berakhir di Woodlands Train Checkpoints mulai esok.

Tren terakhir KTMB akan meninggalkan Stesen Tanjung Pagar mulai jam 11 malam ini menjadi noktah perkhidmatan stesen kereta api Tanjung Pagar, yang turut dikenali sebagai Stesen Keretapi Keppel Road kepada mereka yang mempunyai kaitan dengan pengangkutan itu.

Pengurus Stesen Tanjung Pagar, Shamsul Bahri Sahri, 43, yang turut bersedih mengenangkan tamatnya operasi KTMB di situ, turut berbangga kerana menjadi antara 67 kakitangan termasuk di Stesen Keretapi Bukit Timah itu.

“Tentunya saya turut bersedih, apatah lagi sepanjang hampir 15 tahun bertugas di stesen ini, semua kakitangan di sini sudah dianggap seperti ahli keluarga sendiri.

“Malah, boleh dikatakan 30 Jun memori paling menyedihkan sepanjang perkhidmatan 25 tahun saya bersama KTMB,” katanya yang menganggap dirinya sebagai duta kecil negara di Singapura.

Ketua Stesen Keretapi Bukit Timah, Atan Ahmad, 46, berkata cabaran paling besar sepanjang dua tahun bertugas di stesen yang wujud sejak 1951 sebagai laluan Singapura – Kranji itu adalah bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin.

“Pernah terjadi insiden gerabak terbalik akibat masalah teknikal, namun syukur tiada yang cedera, namun saya gembira dengan tugas sebagai pengawal landasan walaupun ia sangat berisiko. Justeru, semua memori akan terpahat sampai bila-bila dan saya pasti sedih bila perkhidmatan terakhir pada 30 Jun nanti,” katanya.

Jarak laluan dari Stesen Woodlands ke Stesen Bukit Timah adalah sepanjang 14 kilometer, manakala laluan dari Stesen Bukit Timah ke Stesen Tanjung Pagar adalah 10.25 kilometer.




Petikan : BHarian 30/06/2011

Butiran selanjutnya ...

Perjalanan terakhir

STESEN Tanjong Pagar Singapura di awal pembukaannya pada tahun 1932.

TANGGAL 2 Mei 2011 genap 79 tahun Stesen Keretapi Tanjong Pagar di Singapura beroperasi. Biar pun ada yang berkata pernah ada persetujuan bahawa stesen itu akan terus beroperasi selagi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perkhidmatan ke Singapura, namun segala-galanya tinggal kenangan. Stesen yang dirasmikan Sir Cecil Clementi - Gabenor Singapura ketika itu, bakal menghentikan operasi pada 30 Jun ini. Bermula pada 1 Julai 2011, Woodlands Train Checkpoint (WTCP) akan menjadi destinasi persinggahan terakhir KTMB bagi menurunkan penumpang ke Singapura. Manakala nasib Stesen Tanjong Pagar seterusnya akan ditentukan oleh kerajaan Singapura yang berjanji akan mengekalkannya sebagai warisan sebagaimana yang terkandung di dalam Perkara Perjanjian Malaysia-Singapura (POA) pada 1990.

Jadual ke Woodlands akan berterusan sehingga KTMB menamatkan perjalanan ke Singapura sepenuhnya yang sehingga kini tarikhnya belum dimuktamadkan. Selepas itu tiada lagi perjalanan ke republik itu menggunakan kereta api. Stesen terakhir selepas KTMB menamatkan perkhidmatan di WTCP adalah Stesen Johor Baharu Sentral.

Justeru peluang menyusuri perjalanan ke Stesen Tanjong Pagar bersama KTMB baru-baru ini sememangnya membawa kenangan yang tidak mungkin dilupakan. Itu merupakan perjalanan yang pertama memasuki Singapura menggunakan kereta api. Pengalaman itu juga mungkin yang terakhir lantaran Tanjong Pagar kini menghitung hari untuk menutup pintunya. Siren kereta api yang berkumandang untuk tempoh puluhan tahun tidak akan kedengaran lagi di situ. Manakala landasan yang telah hampir 80 tahun menjadi saksi jalinan hubungan antara Malaysia-Singapura tidak akan lagi dilintasi kereta api.

Perjalanan media ke Stesen Tanjong Pagar tidak menggunakan kereta api. Sebaliknya troli yang digunakan untuk proses penyelenggaraan landasan menjadi pengangkutan. Bahagian kiri dan kanan troli terbuka manakala si pemandu mengadap ke kanan landasan dan bukannya ke hadapan seperti mana kereta api atau kenderaan lain. Rombongan media, pelukis dan pasukan komunikasi korporat KTMB berdiri sambil berhimpit. Untuk menaiki troli perlu memanjat tangga besi dua anak mata yang tergantung agak tinggi. Turun pula bukan di platform tetapi di atas landasan. Namun kesemua 'penumpang' rela berasak biar pun peluh memercik di sana sini, asalkan sampai ke stesen Tanjong Pagar.

Ada rahsia di sebalik perancangan KTMB agar perjalanan ke Tanjong Pagar kali ini menggunakan troli. Tentunya mahu setiap denyut laluan kereta api kira-kira setengah jam itu dirasai dan dihayati sepenuhnya. Destinasi pertama adalah Stesen Bukit Timah yang kini hanya menjadi laluan. Stesen tersebut terkenal dengan jambatan besinya. Dalam kesibukan memperkatakan tentang Tanjong Pagar, ramai yang terlupa bahawa Stesen Bukit Timah juga akan ditutup pada tarikh yang sama. Ketua Stesen Bukit Timah, Atan Ahmad yang menyifatkan stesen tersebut rumah keduanya berkongsi nostalgia Bukit Timah. Stesen tersebutjuga dibuka pada 1932 bertujuan menghubungkan kawasan luar bandar Singapura.

Fungsi Stesen Bukit Timah adalah mengawal laluan keretapi menerusi semboyan dan isyarat lampu yang menjadi petunjuk kepada pemandu kereta api. Pelbagai peralatan mekanikal yang dikendalikan secara separa elektrikal masih ada di situ. Biar pun bangunan Stesen Bukit Timah setingkat cuma dan diperbuat daripada batu bata, namun nilai warisannya amat tinggi. Ia menjadi lambang perkembangan sistem pengangkutan darat yang memudahkan hubungan antara kerajaan Malaysia dan Singapura. Perjalanan diteruskan ke WTCP untuk melepasi pemeriksaan kastam dan imigresen Singapura di situ. Dari situ bermulalah keterujaan mahu meneroka Stesen Tanjong Pagar yang Julai nanti tidak lagi dihubung menerusi landasan. Menjejakkan kaki ke stesen tersebut sememangnya menawarkan suasana klasik dan amat berbeza. Manakan tidak perjalanan yang disajikan kepesatan pembangunan Singapura bertukar wajah apabila tiba di stesen tersebut. Keunikan seni binanya masih terserlah. Mural di dinding dalam serta figura di luar bangunan sememangnya mengkagumkan. Mata lekat memandang, makanala otak mencatur kehebatan seni yang dikatakan hanya terdapat di dua stesen di dunia iaitu di Helsinki dan di Tanjong Pagar.

Bangunan tiga tingkat dengan struktur konkrit itu menggunakan kejuruteraan termaju ketika pembinaannya. Terdapat beberapa elemen dominan pada bangunan tersebut antaranya lukisan mural, figura manusia serta menara jam. Empat figura manusia setinggi 22 meter melekap pada bahagian hadapan bangunan. Ia adalah kerja tangan tukang arca terkemuka di Itali, Angelino Vanette dari Studios of Raoul, Floerence. Keempat-empat figura itu mewakil kegiatan ekonomi Singapura ketika itu iaitu perdagangan, pertanian, pengangkutan dan industri. Lukisan mural di dewan menunggu pula direka di studio Messrs Dooulton & Co London memaparkan enam warga Malaya yang sedang bekerja.

Stesen tersebut mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan. Sebaik dirasmikan, operasi stesen-stesen kereta api lain di Singapura seperti di Jurong, Tank road, Pasir Panjang, Mandai, Bukit Panjang dan Telok Belangah dihentikan.

Mungkin ramai yang tidak tahu, bangunan bercirikan Art Deco, Neo-Classical dan seni bina Cina itu mempunyai hotel dua tingkat untuk kemudahan para penumpang. Hotel tersebut pada satu masa amat terkenal namun atas sebab tertentu semuanya tinggal begitu sahaja. Satu lagi yang menarik tentang stesen Tanjong Pagar adalah ruang menunggunya yang luas dan mampu menampung ramai pengunjung pada satu-satu masa. Berbumbungkan konkrit beserta bukaan pada alang, dewan menunggu tidak memerlukan pencahayaan tambahan pada waktu pagi dan petang.

Terlalu banyak mahu disingkap tentang stesen tersebut. Kaunter jualan tiket masih tersergam begitu, manakala papan-papan tanda berusia puluhan tahun dengan ejaan lama kekal untuk tatapan. Begitu juga kipas-kipas lama yang hakikatnya penuh nostalgia sehingga menyukarkan ingatan terhadap Stesen Tanjong Pagar dipadamkan begitu saja. Bagi Ketua Stesen Tanjong Pagar, Shamsul Bahri Shari, 43, berkhidmat 15 tahun di situ sarat dengan nilai sentimental. Air mata lelaki itu menitis tatkala berbicara tentang stesen yang akan ditinggalkan selama-lamanya oleh KTMB. Beliau yang berulang-alik Gemas-Tanjong Pagar (keluarganya di Gemas) setiap hujung minggu amat menghargai pengalaman bertugas di 'bumi kecil Malaysia' di atas tanah Singapura. Biar pun sedih, namun tidak tercapai oleh akalnya untuk memikirkan kehilangan Stesen Tanjong Pagar walaupun dunia mengetahui bahawa ia sememangnya bukan milik negara.

Stesen Tanjong Pagar menjadi realiti apabila Sultan Johor ketika itu Sultan Abu Bakar menerima permintaan British supaya laluan kereta api ke Tanjong Pagar dibina. Selepas 79 tahun - jika dicampur tarikh ia mula dibina iaitu pada 1909 maka usaha untuk menyediakan laluan yang merapatkan hubungan Malaysia-Singapura hakikatnya telah berlangsung selama 102 tahun. Kini Stesen Tanjong Pagar menjadi warisan Singapura.

Lebihan tanah di sekeliling kawasan itu tidak mustahil akan dibangunkan sepesat-pesatnya oleh kerajaan republik itu sekali gus menghimpit Stesen Tanjong Pagar dalam dunia yang tersendiri. Fungsinya kelak hanya sebagai tontonan umum. Tanggal 30 Jun, kereta api terakhir akan meninggalkan Stesen Tanjong Pagar tepat pukul 11 malam membawa kesemua 90 rakyat Malaysia yang bertugas di stesen itu dan juga di depot - meninggalkan tanah Singapura untuk selama-lamanya.




Sumber : Utusan 05/06/2011

Butiran selanjutnya ...

Roh pun sayangkan stesen Tanjong Pagar


PAGI itu, Shamsul Bahri bergerak perlahan ke platform pelepasan tren. Dua bendera merah dan hijau yang ada di dalam genggaman tangan kanannya dipegang elok-elok. Siap mengambil posisi tepat di atas platform berdekatan hujung tren, sejurus wisel ditiup, bendera merah dan hijau diangkat bersilih ganti. Gerabak kereta api yang dilepaskan seawal pukul 4.30 pagi itu bergerak perlahan-lahan dan lenyap daripada pandangan.

Tiba-tiba, hati Pengurus Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Tanjong Pagar di Singapura itu sayu. Sayu bukan kerana melihat kereta api itu yang akan menuju ke Tumpat, Kelantan.

Sebaliknya rasa sayu Shamsul, 43, bertempat. Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, pada tahun hadapan, dia tidak mungkin lagi berdiri di platform tersebut dan melakukan rutin serupa. Perkhidmatan di Stesen Tanjong Pagar bakal berakhir apabila operasinya dipindahkan ke Terminal Pemeriksaan Keretapi Woodlands (WTCP) mulai 1 Julai 2011.

Persetujuan antara kerajaan Malaysia dan Singapura itu sekali gus menandakan berakhirnya sisa-sisa peninggalan warisan Tanah Melayu di Singapura. Dibina pada tahun 1932, ia dirasmikan oleh Gabenor Negeri Selat, Sir Cecil Clementi Smith. Stesen Tanjong Pagar yang terletak di Keppel Road itu telah menjadi periuk nasi buat bapa kepada empat orang anak itu sejak 15 tahun lalu.

DIBINA pada tahun 1932, Stesen Tanjong Pagar yang berusia 78 tahun meninggalkan pelbagai memori kepada ramai orang.

Di stesen berusia hampir lapan dekad itu, satu ikatan persahabatan termeterai. Shamsul menyifatkannya lebih daripada sebuah stesen kereta api biasa, malah ia menjadi rumah kedua dan sebahagian daripada kehidupannya.

Jika dikira, hampir separuh daripada tempoh kerjayanya dihabiskan di stesen yang terletak di tengah-tengah hab pelabuhan Kota Singa itu. Lebih tepat, Stesen Tanjong Pagar merupakan tonggak pengorbanannya selama ini. Di sini, tersimpan banyak kenangan dan nilai sentimental buat Shamsul.

“Seingat saya, ketika mula-mula berpindah, saya sangat teruja. Saya berpeluang tengok negara orang. Tetapi ini bermakna saya dan isteri serta anak-anak terpaksa berjauhan. Mereka di Gemas, Negeri Sembilan,” ceritanya kepada Kosmo! sambil memberitahu anak sulungnya sempat menghabiskan pengajian sehingga darjah tiga di Singapura sebelum berhijrah ke Gemas.

Jika tugas memerlukannya bekerja pada awal pagi, ruang kecil yang terletak di belakang pejabat dan kelihatan seperti stor itu menjadi lokasi dia melelapkan mata.

Sambil melabuhkan punggungnya di atas sebuah kerusi empuk berwarna hitam, lelaki yang memulakan kerjaya dalam bidang kereta api sebagai pemotong tiket sejak tahun 1986 itu menyambung cerita.

Peralatan antik

Tidak perlu lagi mengawal operasi samboyan tren, ada tugasan lebih signifikan yang diamanahkan kepadanya. Wisel dan dua bendera itu adalah simbolik kredibiliti seorang ketua stesen untuk menerima ketibaan serta melepaskan tren setiap hari.

SHAMSUL menunjukkan loceng seberat tiga kilogram yang pernah digunakan untuk melepaskan tren.

“Dulu, kita tidak pakai wisel untuk melepaskan tren, tetapi menggunakan loceng tembaga ini. Setiap kali dibunyikan, penumpang akan berlari pantas mencari-cari pintu tren kerana takut ketinggalan,” katanya sambil ketawa besar.

Loceng seberat tiga kilogram (kg) itu merupakan antara peralatan peninggalan British yang masih kekal di Stesen Tanjong Pagar. Sepasang lampu gerabak akhir atau tail lamp berwarna hitam juga masih dijaga dengan baik. Lampu itu berfungsi sebagai petunjuk kepada ketua stesen bahawa gerabak tersebut adalah yang terakhir.

Tumpuan jurufoto

Mempelawa penulis dan jurugambar Kosmo!, Nooradzrene Mohd. Noor ke platform ketibaan, Shamsul menyatakan menjadi kerugian buat kami andai tidak melihat sendiri cara pergerakan kereta api dialihkan dari satu landasan ke landasan yang lain menggunakan kaedah lama. Alat itu ialah tiga tuas buatan zaman British yang terletak di landasan pelepasan, ketibaan dan Platform Tiga. Tiada sistem motor atau hidraulik, tuas yang berusia sekitar seabad itu diperbuat daripada besi padu dan dikendalikan secara mekanikal.

Ada satu lagi peralatan yang perlu anda tahu. Sistem blok mutlak (key token system) yang diperkenalkan di Britain pada abad ke-19 turut memiliki nilai sentimental bagi Shamsul.

“Semasa bertugas di Stesen Paloh, saya agak takut pada mulanya kerana dalam keadaan kereta api yang bergerak laju, saya perlu menyerahkan token kepada pemandu. Token ialah kuasa untuk pemandu kereta api bagi meneruskan perjalanan ke stesen seterusnya,” tambahnya.

JAM antik yang menjadi penunjuk peredaran zaman.

Tiga hari berada di stesen tersebut, satu pemandangan yang tidak lekang di mata penulis adalah kelibat ramai jurugambar amatur dan profesional dari dalam dan luar Singapura. Semuanya mahu merakam gambar-gambar terbaik di stesen klasik itu.

Sejak penutupan Stesen Tanjong Pagar disahkan baru-baru ini, hampir setiap hari stesen tersebut dibanjiri oleh jurugambar. Begitu asyik memetik butang kamera, ramai juga yang tidak sedar telah melepasi kawasan larangan mengambil foto.

Mural-mural berwarna-warni ala motif batik pada kedua-dua blok dinding tinggi di ruang menunggu itu merupakan lambang senario kemakmuran sosioekonomi Tanah Melayu ketika stesen itu dibina. Setiap lukisan mural memaparkan aktiviti sosioekonomi masyarakat seperti menanam padi, kegiatan memunggah di pelabuhan, menoreh getah dan melombong. Malah, cucu pelukis mural itu pernah sampai ke Tanjong Pagar semata-mata untuk melihat lukisan mural datuknya.

“Hanya generasi lama macam saya yang tahu tentang titik permulaan tempat ini. Sayang rasanya bila ia ditutup kelak. Harap-harap bangunan penuh nostalgia ini tidak akan dirobohkan,” kata Yu-Nam, 60, kepada Kosmo!. Sebagai terminal kereta api pertama di Singapura, pembinaan Stesen Tanjong Pagar sebenarnya bertujuan untuk menggantikan stesen kereta api utama di Tank Road yang dibina pada tahun 1903.

Jurugambar amatur dari Kota Singa itu menyifatkan struktur seni bina bangunan yang dipengaruhi oleh arkitek Stesen Helsinki di Finland, Eliel Saarinen itu subjek terbaik untuk diabadikan dalam seni fotografi. Malah, bapa kepada dua orang anak itu juga berharap generasi akan datang masih berpeluang melihat stesen itu walaupun sekadar membacanya daripada buku sejarah.

Malah, dekorasi luar stesen yang memaparkan empat buah patung batu marmar putih rekaan Rudolfo Nolli itu juga memiliki nilai tersendiri.

KERETA api masih menjadi pengangkutan pilihan ramai orang yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.

Perdagangan, agrikultur, industri dan pelabuhan adalah empat bidang kemakmuran sosioekonomi Tanah Melayu yang dilambangkan menerusi empat patung manusia tersebut.

Pendapatan tiket

Sivasangkar Munusamy, 35, dari Pulau Pinang turut berasa sedih dengan keputusan pengalihan operasi stesen tersebut. Pengurus kanan salah sebuah restoran yang kini menetap di Singapura mengakui, dia sering memberitahu isterinya tentang memori membesar dengan kereta api Tanjong Pagar.

Sementara itu, menurut pengamatan Shamsul, pengangkutan kereta api KTMB itu sangat popular di kalangan orang Singapura dan pelancong asing. Ketiadaan persaingan bas pada awal tahun 2000 membuatkan penumpang sanggup beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan tiket.

“Malah, pada tahun 1980-an, pendapatan kutipan tiket pernah mencecah sehingga S$40,000 (RM93,346) sehari. Jadi, bayangkan betapa banyak yang diraih dalam sebulan. Waktu itu, kita guna kipas pusing, tingkap terbuka dan anak-anak kecil juga dibuai di dalam kereta api. Sesekali penumpang keluarkan kepala dari tingkap, hitam muka mereka terkena asap kereta api,” terangnya sambil memberitahu pelancong asing banyak memuji signifikan perkhidmatan kereta api dari Singapura ke Malaysia pada ketika itu.

Purata bilangan kemasukan penumpang ke Malaysia termasuk warga tempatan yang bekerja di Singapura adalah sekitar 350 penumpang sehari pada hari-hari biasa. Ia dianggap sebagai satu pencapaian yang baik tanpa sebarang promosi pemasaran.

Pelancong asing terutama yang berasal dari India lazimnya mendominasi populasi penumpang. Jumlah bilangan bagasi yang banyak dan berkunci pula menjadikan kereta api KTMB di Tanjong Pagar sebagai pengangkutan utama mereka seperti di kampung halaman sendiri.

STESEN Tanjong Pagar dibanjiri jurufoto amatur dan profesional hampir setiap hari.

Sekitar tahun 1980-an, tingkat dua dan tiga di bangunan stesen yang juga terkenal dengan nama Stesen Keretapi Keppel Road itu pernah menempatkan bilik-bilik hotel dan bar. Dikendalikan oleh seorang tauke Cina, hotel 100 bilik itu dilengkapi pelbagai keperluan asas termasuk kipas angin, tab mandi dan pintu kayu berkualiti tinggi. Sama seperti bangunan-bangunan klasik yang lain, Stesen Tanjong Pagar banyak menyimpan cerita-cerita misteri.

“Ramai yang sangat sayang Stesen Tanjong Pagar. Malah, roh-roh askar zaman British pun masih berkeliaran di sini,” tambah Shamsul.




Petikan : Kosmo 13/08/2010

Capaian entry berkaitan :
* Perjalanan terakhir

Butiran selanjutnya ...

Rabu, Jun 29, 2011

Nikmat ikan


Khasiat penuh kebaikan

JARANG sekali hidangan ikan tidak disukai. Lebih-lebih lagi, ikan ada pelbagai jenis yang boleh dijadikan pilihan dan dimasak dengan aneka gaya masakan serta cita rasa termasuk salai, dibakar, digoreng dan direbus atau dijadikan dalam bentuk makanan lain seperti keropok, jejari ikan, bebola ikan serta sebagainya.

Oleh itu, tidak mustahil apabila statistik menunjukkan sehingga 1995, kadar pengambilan ikan di Malaysia ialah sebanyak 39.1% dan meningkat sehingga 56% pada 2010.

Antara sebab pengambilan ikan penting ialah kerana ia membekalkan di antara 60 hingga 70% protein haiwan kepada manusia. Protein penting untuk pertumbuhan dan perkembangan semua anggota badan, berfungsi membina tisu, kulit, rambut, kuku dan organ dalaman termasuklah otak serta jantung. Protein digunakan sebagai sumber haba dan tenaga sekiranya bekalan lemak serta karbohidrat dalam badan tidak mencukupi.

Hasil kajian juga sudah membuktikan ikan mengandungi protein berkualiti tinggi, di samping asid amino yang diperlukan tubuh untuk pertumbuhan, malah memiliki kandungan khusus dan membantu mengurangi risiko berbagai penyakit merangkumi sakit jantung serta kanser.

Ikan turut mengandungi nutrien lain seperti asid lemak, vitamin dan mineral. Kandungan kalori lemak dalam ikan juga rendah. Kesedaran mengenai kaitan antara diet dan kesihatan menyebabkan pengguna lebih mengambil makanan kesihatan berasaskan ikan.

Khasiat ikan sudah pun dibuktikan dalam berbagai penelitian kesihatan dalam dan luar negara yang memperlihatkan kebaikan ikan bagi kanak-kanak, ibu hamil dan orang dewasa.

Antaranya, kajian penelitian di luar negara pada 2004, mendapati wanita yang mengambil ikan secara rutin sepanjang kehamilan akan mempunyai anak dengan kemampuan bahasa dan komunikasi yang lebih baik sebelum usia 18 bulan. Kajian penelitian yang membabitkan lebih 7,000 kanak-kanak itu berusaha menunjukkan, hubungan menu ikan dengan perkembangan neurologi dan aspek kognitif.

Penelitian lain turut memperlihatkan bahawa risiko melahirkan bayi pramatang dapat dikurangkan secara signifikan apabila ibu banyak mengambil ikan selama kehamilannya. Kajian yang dilakukan oleh pengkaji lain pula menemukan kesan positif lainnya, memakan ikan dapat membantu kelahiran bayi dengan berat normal.

Bagaimanapun, anda juga perlu tahu bahawa kandungan protein dalam isi ikan berbeza mengikut corak pemakanan, jantina, umur, kandungan lemak dan air di persekitaran. Ikan yang kurang berlemak mengandungi protein lebih tinggi berbanding ikan berlemak dan ia menyimpan lemak di dalam hati.

Ikan siakap, kerisi, merah, kerapu dan jenahak dikategorikan sebagai kurang berlemak. Jenis ikan berlemak pula ialah yang menyimpan lemak dalam tisu badan yang lain seperti kembung, cencaru, bawal, tenggiri dan selar kuning.

Bagi anda yang mahu membeli atau memilih ikan untuk dimasak beberapa perkara boleh dijadikan panduan. Antaranya, perhatikan terlebih dulu warna insang ikan berkenaan. Ikan yang baik dan segar, lazimnya warna insang adalah merah dan bukannya hitam atau lebam. Jika ikan bersisik pula pastikan sisiknya masih penuh dan tidak mudah tertanggal.

Untuk mengetahui dan membezakan sama ada itu segar atau tidak, anda juga boleh menekan pada bahagian perutnya. Jika sudah lembik bererti sudah lama dan elak daripada membelinya kerana kurang berkhasiat.

Selain itu jangan tertipu dengan warna kulit ikan yang kelihatan segar terutama ikan kembung ataupun ikan cencaru kerana peniaga yang tidak bertanggungjawab dipercayai menggunakan air minuman berkarbonat untuk tujuan berkenaan.

INFO: Beberapa petua mengenai ikan

Untuk mengelakkan ikan daripada busuk jika anda tidak mempunyai kelengkapan, ia perlu disiang dan dibuang segala isi perut, tahi, dan sisiknya. Tetapi ingat, ikan berkenaan tidak boleh dibasuh dengan air. Selepas disiang, biarkan ikan berkenaan berdarah lalu dibalut dengan kertas surat khabar seekor demi seekor dan jangan sesekali mencampurkannya. Selepas itu letakkan bungkusan itu pada tempat yang teduh. Ikan berkenaan akan tetap segar walaupun dibungkus selama 24 jam.

Bagi mengelakkan ikan melekat di dalam kuali apabila digoreng, anda bolehlah memasukkan sekeping asam gelugur ketika menggoreng ikan berkenan. Anda akan dapati ikan itu bukan saja tidak melekat tetapi juga cepat garing.

Asam jawa dapat menghilangkan hanyir ikan pari dan ikan duri. Mula-mula ambil asam jawa dan air, diramas di dalam satu bekas. Kemudian masukkan ikan pari atau ikan duri selama setengah jam. Selepas setengah jam, kikis hanyir pada badan ikan tadi hingga habis. Kemudian, barulah dipotong ikan tadi dan diramas dengan asam jawa bersama garam kasar berkali-kali. Gosok hingga bersih dan putih serta hilang bau hanyir.

Untuk menghilangkan hanyir ikan sungai antara yang boleh dilakukan ialah rendamkan ikan yang sudah disiang dengan air cucian beras. Biarkan selama 10 minit dan dibilas dengan air biasa, barulah ia boleh dimasak.

Bagi menghilangkan ikan darat (air tawar) pula, petua yang boleh diamalkan ialah gaul dan ramas ikan berkenaan dengan beberapa daun serai dan sedikit asam jawa. Perapkan ikan itu beberapa minit, kemudian dibilas dengan air biasa.

Ikan yang disimpan lama di dalam peti sejuk akan berasa tawar dan tidak segar. Cara mengatasinya ialah rendamkan ikan itu di dalam susu segar selama 15 minit. Masaklah seperti biasa. Ikan akan menjadi segar semula dan enak dimakan.

Sesetengah ikan, sisiknya sukar untuk ditanggalkan. Cara yang mudah ialah dengan merendamkan ikan di dalam air dan biarkan seketika. Kikis sisik ikan di dalam air. Anda akan dapati sisiknya mudah tertanggal.

Resipi : Singgang Pedas Terengganu

Bahan-bahan:
Ikan tenggiri atau merah 2 keping
Lengkuas 2 inci dikisar
Bawang putih 3 ulas dikisar
Bawang merah 3 ulas dikisar
Kunyit hidup 2 inci dikisar
Asam keping 2 keping
Belacan 2 inci
Daun kesum 1 tangkai
Bunga kantan 2 tangkai
Cili padi 150 gram dikisar
Bendi 5 biji
Air 500 liter

Cara menyediakan:
1. Rebus air dan masukkan bahan yang sudah dikisar dan belacan.
2. Apabila mendidih masukkan daun kesum, bunga kanta, asam keping.
3. Sebaik saja mendidih masukkan ikan.
4. Akhir sekali masukkan bendi dan siap.

* Terima kasih: Chef Hsbu Edrud dari Residence Resort Paka, Terengganu




Petikan : BHarian 16/06/2011

Butiran selanjutnya ...

Bangkit seri keladi


Idea kreatif gubah keladi hiasan jenis Caladium dan Alocasia ikut tema tropika, Bali

MESKIPUN keladi hiasan kurang menarik dari segi penampilan khususnya spesis asli namun andai diberi sentuhan ilham dan gaya kreatif seperti di pameran, ia mungkin berupaya tampil cantik sekali gus meraih perhatian orang. Ini yang cuba saya utarakan minggu ini. Beberapa ilham menarik yang boleh dicuba meliputi:
Tanaman di tanah

Kebanyakan pokok keladi yang ditanam di tanah adalah untuk pembentukan taman mini atau landskap bertemakan tropika, Bali dan sebagainya.

Tanaman dalam pasu atau bekas tanaman lain

Kaedah 1: Ia sangat menarik dijadikan pokok spesimen dan ditanam secara solo di dalam pasu dekoratif. Rupa daunnya yang cantik boleh dijadikan bahan pameran umum. Pasu tembikar, seramik dan sebagainya adalah pilihan terbaik. Begitupun, sesetengah keladi hiasan elok dibuat gubahan. Untuk ini, sebaiknya beberapa spesis ditempatkan secara berkumpulan dalam satu pasu.

Kaedah 2: Melalui kaedah kreatif serta menarik, pokok berkenaan yang pada mulanya ditanam secara solo atau berkumpulan, akan diubah serta dipamerkan dalam bekas pameran cantik dan ini diistilahkan sebagai ‘ displaying planter.’



Ada banyak bekas pameran menarik di pasaran baik yang diperbuat daripada kayu, logam, bahan anyaman dan sebagainya. Ikuti langkah ilham pameran diperturunkan ini dengan menggunakan spesis disyorkan seperti dari genus Caladium dan Alocasia:

1) Alas pasu tanaman dengan jaring atau serat kelapa supaya medium tanaman tidak mudah terkeluar bersama air siraman (foto 1).

2) Masukkan campuran medium tanaman untuk pokok berpasu (foto 2).

3) Keluarkan pokok dari pasu masing-masing dan letak atau susunkannya dulu dalam pasu bagi disesuaikan kedudukannya agar nampak cantik dan menarik.

Seterusnya, masukkan lagi campuran medium tanaman atau tanah untuk pokok berpasu kemudian padatkannya supata pokok dapat tumbuh subur (foto 3 dan 4).

Selesai kerja penanaman, siram dan sembur pokok dengan air agar kekal segar dan subur. Kemudian, letak di tempat teduh sehingga pokok berkenaan terus hidup subur selain tidak kecut. Apabila didapati ia semakin subur melalui tanda-tanda seperti pertumbuhan daun baru, bolehlah ia didedahkan kepada cahaya matahari yang banyak namun pastikan juga ia mendapat perlindungan seperti diperlukan.

4) Akhir sekali, bagi penampilan lebih menarik, pamerkan tanaman tadi secara lebih kreatif dengan meletakkan pasu tanaman itu ke dalam bekas pameran yang cantik serta menarik bentuknya.

Tips

  • Sebagai alternatif, anda juga boleh meletakkan bahan sungkupan seperti lumut ‘Sphagnum moss’, serat kelapa dan batu kerikil di bahagian atas medium tanaman bertujuan mengekalkan kelembapan medium tanamannya agar pokok dapat hidup subur. Selain itu, bahan sungkupan juga boleh mencantikkan lagi gubahan berkenaan (foto 5).
  • Bagi hiasan ruang sempit seperti di balkoni, sudut ruang laman dan tempat letak kereta, disyorkan menggunakan beberapa pasu tanaman seperti ini untuk mengindahkan ruang berkenaan.
  • Pamerkan tanaman ini di tempat tinggi agar tidak dicapai oleh kanak kanak sekali gus berupaya mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
  • Jika ingin dipamerkan dalam kediaman, pastikan ia dikeluarkan untuk didedahkan kepada cahaya matahari namun pastikan dalam beberapa hari sekali, diletak di kedudukan terlindung bagi pertumbuhan subur.

Menanam pokok hiasan secara berkumpulan lebih baik berbanding ditanam solo kerana ia dapat membina satu ekosistem tersendiri. Ini bermaksud tahap kelembapan kepada medium tanaman juga di persekitarannya akan menjadi lebih tinggi kerana dedaun pokok bertindak melindungi satu sama lain daripada terik matahari sekali gus menghasilkan pokok yang sentiasa subur.




Sumber : Bersama Abubakr As-Siddiq di BHarian 12/06/2011

Capaian entry berkaitan :
* Keladi hiasan si cantik beracun

Butiran selanjutnya ...

Isnin, Jun 27, 2011

Panduan dicintai suami hingga ke akhir hayat


Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Isteri mana yang mahu suaminya berpaling cinta, perkahwinannya goyah oleh orang ketiga atau berakhir tragis dengan perpisahan. Jika mereka yang bergelar datuk nenek pun boleh bercerai, inikan pula pasangan muda yang sentiasa dilambung gelombang konflik persekitaran yang mengancam.

Oleh itu, tidak hanya isteri, suami juga wajib belajar menghayati panduan melestarikan cinta dan kasih sayang kepada pasangan hidupnya. Bagaimanakah caranya dicintai pasangan anda sampai mati?

1 – Miliki impian yang sama

Apakah anda dan suami sudah menetapkan impian bersama? Impian memiliki kemewahan harta benda, memberi pendidikan yan gpaling hebat dan lengkap untuk anak-anak, memberi khidmat untuk agama dan bangsa, mengikhlaskan hidup untuk Allah SWT, membalas jasa orang tua dan akhirnya impian bercinta sampai mati dengan pasangan hidup anda.

Memang mustahil anda dan suami sepakat atas setiap keputusan, mesti ada perbezaan di sana-sini. Boleh saja berbeza pandangan, cara dan kaedah dalam mengambil keputusan, asalkan matlamat tetap satu iaitu mendapat kebahagiaan cinta.

Namun bagi mereka yang benar-benar cinta kepada pasangannya, biasanya mereka jarang sekali berbeza pandangan. Mereka memiliki kesamaan dalam banyak hal, hampir tidak nampak kerselisihan dan perbezaan. Mereka begitu sehati sejiwa menjalani kehidupan dengan minat dan matlamat yang sama.

Oleh itu jika anda mahu dicintai pasangan sampai mati, belajarlah menyukai apa yang disukai pasangan, membenci apa yang dibenci, meminati apa yang diminati, menggilai apa yang digilainya dan bermimpi dengan mimpi yang sama.

2 – Sedia berubah untuk selalu jatuh cinta

Zaman berubah cepat, tapi takkanlah perasaan anda dan suami tidak berubah-ubah semenjak dulu hingga kini. Bohonglah kalau anda menyatakan bahawa suami saya ok, tiada masalah, hubungan kami mulus, tiada konflik.

Tiada pantai yang tidak dipukul ombak, tiada manusia yang tidak pernah diuji. Mesti ada perubahan perasaan suami terhadap diri anda dan begitu pula sebaliknya. Ðalam mengatasi perubahan itu, anda mesti mencari sebab dan puncanya.

Mengapa suami semakin dingin, mengapa anda pula bertambah panas baran? Mengapa anda berdua kurang bersentuhan, malas bersembang, sibuk dengan aktiviti sendiri-sendiri? Mengapa bunga-bunga cinta itu semakin layu, ghairahnya padam, kemanisannya pudar? Bagaimana membuat anda berdua saling jatuh cinta lagi, apakah yang perlu diubah, diperbaharui dan dibina semula? Setiap hari fikirkanlah tentang bagaimana membuat pasangan anda jatuh cinta lagi kepada anda, kini dan selama-lamanya. Cinta sampai mati!

3 – Abaikan sesuatu atau seseorang demi si dia

Panduan yang ketiga untuk memastikan anda dicintai pasangan sampai mati adalah jadikanlah si dia orang yang paling penting dan paling terutama bagi anda. Abaikanlah kerja-kerja rumah atau pejabat jika bersamanya. Bahkan saudara-mara, anak-anak dan kucing kesayangan pun tidak layak merampas perhatian anda daripada sang suami tercinta.

4 – Lebih sabar daripada pasangan

Buktikan cinta anda kepada pasangan dengan menunjukkan kesabaran anda mendampinginya di kala susah dan senang. Kesabaran adalah modal utama seorang isteri, menyiapkan keperluan suami dan mentadbir rumahtangga bukan calang-calang peranan.

Kadang-kadang memang kedengaran suara isteri merungut letih, emosinya tercabar tetapi semua itu bukan apa-apa dibandingkan dengan ketabahannya melayan kehendak suami dan anak-anak.

Jika suami marah, isteri sanggup diam walaupun dia tahu suaminya yang bersalah. Jika anak-anak menangis, bergaduh sesama sendiri, bermasalah di sekolah, ibu sanggup memaafkan walaupun hatinya sakit. Bukan hanya itu, sanggup pula memeluk anak yang degil itu, mendoakan dan menolongnya menghadapi masalah.

Apa akan jadi apabila isteri hilang sabar? Pastinya suami akan tercabar, anak-anak pula jiwanya tercalar. Oleh itu tunjukkanlah kesabaran yang tebal supaya suami semakin cinta hingga ke titik akhir perjuangan isteri.

5 – Menciptakan suasana tenang pada jiwanya

Tiada ketenangan yang paling bernilai di dunia ini kecuali apabila seorang hamba dekat dengan Allah SWT, mencintai dan dibalas cintanya. Ðan tiada cinta yang diredhai Allah, yang akan mengalirkan ketenangan pada jiwa manusia melainkan cinta suami kepada isterinya.

Para isteri mesti menghayati peranannya sebagai pemikul amanah dari Allah SWT. Untuk sentiasa menciptakan suasana tenang dan tenteram untuk suami tercinta. Apabila kebahagiaan itu telah meresap jauh ke dasar hatinya, dia akan mengingati isterinya sebagai insan yang paling istimewa hingga ke akhir hayatnya.

Biarkan suami semakin mencintai anda kerana sudi menjadi orang yang lebih kuat mencintai, mengatasi cintanya. Sesiapa yang memberi, pasti akan mendapat balasan yang lebih dari apa yang diberinya. Jadikanlah cinta anda suatu pemberian dan sedekah dari hati yang luhur pemberian dan sedekah dari hati yang luhur untuk yang dicintai.

Satu cinta itu pasti akan dibalas dengan 700 kali cinta. Bukankah Allah menjanjikan sedekah dan nafkah ikhlas itu dengan ganjaran sedemikian rupa sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir: seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapaa yang dia kehendaki, dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah 261)

Renung-renungkan...




Sumber : Ðr Juanda Jaya di MW#1423

Butiran selanjutnya ...

Ahad, Jun 26, 2011

Sindrom Williams jarang diketahui

DIKENALI dengan happy face, kanak-kanak ini mempunyai memori pendengaran yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak normal.

KANAK-KANAK ini kelihatan normal, sangat peramah serta ceria. Sikap ramah mereka kadangkala menimbulkan kebimbangan keluarga kerana mereka langsung tidak takut kepada sesiapa.

Namun di sebalik keceriaan itu, mereka berhadapan dengan pelbagai masalah kesihatan antaranya komplikasi jantung dan saluran usus yang sempit. Malah, ada dalam kalangan mereka berhadapan dengan masalah kalsium yang tinggi hingga boleh mengundang maut.

Dengan memiliki wajah yang unik, mereka sebenarnya adalah kanak-kanak Sindrom Williams (SW) yang jarang diketahui masyarakat Malaysia.

Berbeza dengan Sindrom Down yang kerap berlaku dengan kadar nisbah 1:670 pada setiap kelahiran, SW pula sebaliknya. SW juga tergolong dalam satu daripada ribuan Penyakit Jarang Jumpa (PJJ).

Sukar dikesan

Di Amerika Syarikat misalnya, nisbah kelahiran bayi yang menghidap penyakit SW ialah 1:20,000 atau 30,000.

Menurut Ketua Jabatan Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Thong Meow Keong, bukan sahaja masyarakat tidak mengetahui penyakit ini, malah doktor sendiri kurang mengetahuinya kecuali dalam kalangan pakar genetik dan jantung.

“Sukar untuk mengesan SW kerana terdapat kombinasi ciri yang pelbagai dan tidak ada ciri khusus yang mengesahkan seseorang bayi atau kanak-kanak itu menghidap SW,” katanya.

Nama SW diambil sempena nama seorang doktor, J. Williams, iaitu doktor pertama yang mengenal pasti ciri-ciri tertentu pada pesakit kanak-kanak yang dirawat sekitar 1965. Melalui jurnalnya, Williams menyatakan kombinasi ciri-ciri penyakit pada kanak-kanak itu antaranya masalah jantung, saluran injap yang sempit, masalah saluran usus serta memiliki bentuk wajah yang agak unik.

SW adalah penyakit genetik yang bukan berpunca daripada ibu atau bapa. Sebaliknya ia berlaku apabila secebis bahagian pada kromosom nombor 7 iaitu kilang untuk memproses protein bagi menghasilkan elastin yang berfungsi membesarkan salur-salur darah, kulit dan rongga mengikut usia bermula dari dalam kandungan telah hilang. Kehilangan sebahagian cebisan ini menyebabkan 70 hingga 80% penghidap SW berhadapan dengan masalah jantung.

Otak

“Setiap kita mempunyai 46 kromosom atau 23 pasang yang menyimpan 30,000 gen. Apabila terdapat sedikit kecacatan pada kromosom itu, ia akan membentuk pelbagai komplikasi dalam tubuh. Sukar untuk mengesan SW pada peringkat awal kerana ia tidak mempunyai ciri-ciri khusus yang lebih tepat seperti mana yang mudah kita kenali pada kanak-kanak Sindrom Down,” kata Meow Keong.

KANAK-KANAK SW mempunyai ciri-ciri tertentu pada wajah mereka seperti bengkak di sekitar mata dengan kelopak mata yang berlipat dan mulut yang lebar.

Setiap tahun dianggarkan 500,000 kelahiran di seluruh dunia dan kira-kira 20,000 bayi yang dilahirkan mengalami kecacatan. Di Malaysia dianggarkan 3 hingga 5% bayi yang dilahirkan mengalami kecacatan kelahiran yang sebahagiannya ialah PJJ. Pesakit SW jika tidak diagnosis lebih awal boleh mengancam nyawa kerana komplikasi yang dihadapi terutama membabitkan jantung.

“Sekiranya doktor mendapat maklumat awal yang lengkap, SW boleh didiagnosis pada peringkat awal dengan menjalankan beberapa ujian khusus terutama yang membabitkan masalah jantung. Kemudian, pesakit akan terus dirujuk kepada doktor kardiologi untuk menjalankan pembedahan jantung ataupun injap yang sempit bagi menyelamatkan bayi atau kanak-kanak Sindrom Williams,” katanya.

Perkembangan otak bayi dan kanak-kanak SW juga agak lambat berbanding kanak-kanak biasa. Ini menyebabkan perkembangan dan pembelajaran mereka menghadapi sedikit masalah.

“Ibu bapa yang mengesan kelainan pada anak mereka ketika lahir perlu merujuk kepada doktor agar dapat diberi perhatian awal dan menjalani terapi. Dengan rawatan awal juga anak-anak ini boleh ditempatkan di sekolah khas agar mereka boleh hidup berdikari dan tidak ketinggalan berbanding rakan-rakan sebaya yang normal,” katanya.

Bagaimanapun di sebalik kekurangan itu, kebanyakan pesakit SW mempunyai keunikannya tersendiri di mana mereka adalah seorang yang sangat peramah serta mudah ketawa. Dikenali dengan wajah ceria happy face, kajian menunjukkan pesakit SW mempunyai memori pendengaran yang lebih tinggi berbanding orang normal.

“Walaupun peramah, pertuturan mereka sukar difahami. Namun, memori pendengaran mereka sangat tinggi dan ini menyebabkan kebanyakan mereka sangat menyukai muzik. Malah, ada dalam kalangan mereka yang berkebolehan menjadi pemuzik yang baik,” katanya.




Petikan : Kosmo!

Butiran selanjutnya ...

Kedai 1Malaysia dapat sambutan

ORANG ramai tidak putus-putus berkunjung ke Kedai Rakyat 1Malaysia.

Harga barangan jauh lebih murah pikat orang ramai membeli-belah

KELANA JAYA: Harga barangan jauh lebih murah dan berdaya saing menjadi tarikan utama Kedai Rakyat 1Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Rabu lalu.

Kesannya, ruang niaga berkeluasan sederhana di Stesen LRT Kelana Jaya tidak putus-putus menerima kehadiran orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan pelbagai produk termasuk makanan, barangan dandanan diri dan kebersihan pada harga murah.

Antara yang mendapat sambutan adalah rempah ratus, lampin pakai buang, produk dandanan dan kebersihan diri, produk tenusu, kordial, minuman berkarbonat, cecair pemutih pakaian, bijirin, aiskrim, sardin dan air mineral.

Kedai Rakyat 1Malaysia berkonsepkan pasar mini turut menjual 250 produk dibekalkan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang dijenamakan sebagai Kedai 1Malaysia.

Pelanggan, Nur Hidayu Rabaniyah Manan, 25, berkata Kedai Rakyat 1Malaysia bukti komitmen serius kerajaan membela kebajikan masyarakat yang memerlukan keperluan asas penting seperti makanan pada harga mampu beli, sekali gus meringankan beban rakyat di ibu kota yang terpaksa berdepan kos sara hidup tinggi.

“Saya sendiri terpaksa mengikat perut dan berjimat cermat kerana perlu membayar pinjaman rumah dan kereta. Kini sudah ada Kedai Rakyat dan harga pula jauh lebih murah berbanding tempat lain,” katanya sambil menambah kedai itu juga boleh mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan peniaga sekali gus menguntungkan pengguna dari aspek harga.

Bagi Kelvin Lim, 33, kewujudan kemudahan itu memberi pilihan kepada pengguna dan waktu operasi seawal jam 7 pagi sehingga 11 malam amat praktikal dengan rutin kehidupan masyarakat di ibu negara.

Beliau yang selalu membeli barangan dapur dan produk penjagaan diri di kedai runcit atau kedai serbaneka 24 jam selama ini, nyata terkejut dengan harga barangan di Kedai Rakyat 1Malaysia yang jauh lebih murah manakala kepelbagaian produknya juga setanding pasar raya terkemuka.

“Saya juga tertarik dengan pembungkusan produk di kedai ini yang ringkas dan bersih,” kata lelaki berasal dari Pulau Pinang ini yang turut menyarankan Kedai Rakyat 1Malaysia diperluaskan ke seluruh negara kerana ia mampu menggerakkan pembangunan PKS.

Buka kedai rakyat di PPR

ORANG ramai berbaris membeli barangan pada hari pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia di Kelana Jaya pada 22 Jun lalu. – Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar ibu kota bakal menjadi medan projek perintis pembukaan cawangan Kedai Rakyat 1Malaysia fasa pertama yang dilaksanakan tidak lama lagi bagi memperluaskan penjualan barangan harga murah kepada warga kota yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan itu menepati konsep kedai berkenaan untuk menjual pelbagai barangan keperluan asas pada harga berpatutan dan sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup warga kota.

“Kebanyakan kelompok masyarakat di PPR adalah mereka yang berpendapatan rendah dan semestinya menjadi sasaran utama kita. Kami sedang mengumpul data kedai-kedai runcit yang beroperasi di kawasan PPR di seluruh Kuala Lumpur untuk pelaksanaan program ini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Laman-Seri : Saya berkesempatan menjenguk kedai rakyat di Kelana Jaya. Warning untuk yang ke sana, pastikan anda mempunyai kad touch-n-go kerana di sana hanya ada parking untuk pengguna touch-n-go sahaja. Harga produk murah hanya untuk produk yang berlabel '1Malaysia' sahaja. Barang-barang jenama lain sama harga di kedai-kedai biasa.




Petikan : BHarian 26/06/2011 dan Kosmo 02/07/2011

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails