“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Ahad, Julai 31, 2011

Puasa si kecil

Ibu bapa lebih arif membimbing anak memulakan latihan berpuasa.

Tip latih anak menahan lapar, dahaga serta sajian juadah seimbang

RAMADAN akan menjelma kira-kira seminggu saja lagi. Seperti lazimnya, ibu bapa sibuk membuat pelbagai persediaan terutama jika anak-anak baru hendak belajar menjalani ibadat berpuasa.

Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya, usah hingga tiba usia akil baligh baru hendak berjinak-jinak berpuasa.

Bagi ibu bapa, usahlah terlalu bercita-cita tinggi melihat si kecil berpuasa hingga lupa batas-batas kemampuan anak anda. Sebaik-baiknya, tanyalah pengalaman adik beradik, rakan taulan dan jiran tetangga mengenai pengalaman mereka mendidik anak-anak berpuasa.

Bukan itu saja, ibu bapa juga boleh menjalankan penyelidikan dan bacaan di internet untuk mendapatkan garis panduan terbaik serta manfaat dari segi kesihatan kepada anak-anak berpuasa.

Perunding Paediatrik Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Fadzillah Ghazali berkata, tiada batas usia tertentu bagi kanak-kanak untuk mula melatih diri berpuasa. Malah, menurutnya, ibu bapa adalah individu yang lebih arif memulakan latihan berpuasa mengikut kemampuan anak-anak.

Dr Fadzillah berkata, ibu bapa boleh melatih anak berpuasa secara berperingkat iaitu seperti beberapa jam sehari, separuh hari dan seterusnya beberapa hari mengikut kemampuan anak. Rutin ini seeloknya ditambah atau dipertingkatkan setiap tahun tibanya bulan Ramadan.

“Pastikan anak-anak sudah mampu mendisiplinkan diri dan boleh berfikir dan membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Pengambilan makanan ketika berbuka puasa pula janganlah berbeza dengan hari-hari biasa dan paling penting pastikan makanan yang dihidangkan seimbang dan berkhasiat.”

“Pengambilan makanan perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati, cuba elakkan berlakunya masalah pencernaan dan kekurangan air dalam badan dengan melebihkan hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan serta makanlah secara sederhana,” katanya kepada kolum Sihat & Selamat.

Dr Fadzillah berkata, bersahur adalah amalan yang sangat penting untuk membekalkan tenaga kepada kanak-kanak sepanjang hari. Minum lebih banyak air dan elakkan makanan yang pedas dan berminyak.

Ada beberapa panduan untuk menggalakkan anak anda bersahur seperti menyediakan makanan panas yang baru dimasak, masak makanan kegemaran anak dan mempelbagaikan variasi hidangan dan jenis makanan. Selain itu, galakkan anak-anak mengambil buah-buahan dan memperbanyakkan minum air semasa bersahur.

Jelas Dr Fadzillah lagi, kanak-kanak masih boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa mengikut kemampuan mereka.

“Bagaimanapun, bagi kanak-kanak yang mengidap kencing manis, masalah buah pinggang atau masalah kesihatan kronik lain, mereka perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa. Selain itu, kesihatannya perlu dipantau dengan lebih kerap dan mengubahsuai pengambilan ubat mengikut keperluan,” katanya.

INFO:
* Luangkan masa berbuka bersama di rumah. Hidangkan makanan yang digemari anak anda kerana ia menimbulkan keseronokan.
* Selepas berbuka, amalkan niat berpuasa bersama keluarga.
* Kejut anak anda untuk bersahur. Bangun pagi untuk menikmati makanan adalah sesuatu yang baru bagi kebanyakan kanak-kanak.
* Jangan biarkan anak terlalu aktif, ini akan memenatkan mereka.
* Jika ada anak kecil berusia kurang empat tahun, jangan biarkan mereka makan di hadapan anak yang sedang berpuasa.
* Kurangkan menonton televisyen kerana ada banyak iklan makanan yang mungkin boleh ‘menggugat’ fokus anak-anak.
* Latih sedikit demi sedikit amalan berpuasa.




Sumber : BHarian 23/07/2011

Butiran selanjutnya ...

Ramadhan menggamit lagi...


Assalamualaikum warahmatullah,

Setahun berlalu, Ramadhan datang lagi. Ya, pejam celik pejam celik, tidak terasa haruman Ramadhan kembali menjengah lagi. Bulan Ramadhan bulan untuk mencuci dosa. Bulan yang penuh dengan keberkatan, kerana itu terlalu banyak hikmah dan rahmat yang Allah turunkan untuk menyempurnakan kemuliaan Ramadhan.

Kedatangan Ramadan juga memberi peluang kita bermuhasabah diri dengan lebih mudah kerana setiap perlakuan atau tindakan kita ketika berpuasa adalah bukti tahap keimanan kepada Allah yang begitu pemurah terhadap hamba-Nya yang bersedia berkorban untuk mencari keredaan-Nya. Maklumlah, selain berlapar dan menahan dahaga banyak kebajikan digalakkan kita lakukan dengan ganjaran pahala berganda, mahu atau tidak, kita juga yang menetapkannya. Pada bulan ini kita disarankan memperbanyakkan membaca al-Quran, berzikir, menunaikan solat sunat dan bersedekah.

Bukanlah bulan lain amalan baik itu tidak dianjurkan, tetapi keistimewaan Ramadan semua orang tahu dan sentiasa ingin mengambil peluang untuk memanfaatkannya kerana seperti yang selalu kita dengar orang berkata, tidak pasti apakah kita masih diberi peluang bertemu Ramadan akan datang. Kita yang berpeluang menghirup rahmat bulan mulia ini, seharusnya menadah tangan kerana bukan semua daripada kita yang terpilih.

Pada bulan Mei yang lepas, pembantu rumah saya telah pergi menghadap Tuhannya. Sebetulnya, arwah telah bercadang untuk pulang ke kampungnya di Medan, Indonesia setelah 5 tahun meraikan Ramadhan dan Syawal bersama saya sekeluarga di sini. Sebelumnya, saya telahpun menyediakan beberapa helai kain untuk dibuat baju bagi meraikan Syawal di kampung halamannya. Tiada siapapun menyangka, hajat arwah tidak kesampaian. Bila tiba masanya, usahkan Syawal, haruman Ramadhan juga tidak sempat dirai. Al-fatihah untuk allahyarhamha Suriyani Md Ali.

Kita yang masih bernafas ini, sepatutnya bersyukur dan gunakan peluang ini untuk mengumpul pahala sepanjang Ramadhan dengan bersungguh-sungguh. Di kesempatan lain belum tentu kita dapat mengulangi lagi kemuliaan Ramadhan ini. Hidup mati kita dalam ketentuan-Nya.

Bulan Ramadhan diturunkan ALlah SWT untuk menjadikan manusia lebih berhati mulia. Ketika itu, huluran sedekah amat dinanti-nanti oleh mereka yang tiada kemampuan. Ketika ini juga Allah menguji kesetiaan kita kepada-Nya, sejauh mana kita mampu menahan diri daripada pancaroba hawa nafsu. Jika selama ini tiada hidangan enak memenuhi meja, Ramadhan inilah kita diuji untuk terus tabah menahan diri daripada terjebak sama dalam kancah pembaziran.

Di kesempatan ini, Laman-Seri mengucapkan selamat berpuasa kepada semua pengunjung sahabat yang sudi berkunjung ke belog ini. Mohon maaf maaf jika ada yg terasa, tersinggung, terperli, terkecik hati, rasa tak diendahkan dan segala rasa -ve yg dibisikkan syaitan atau kerana kesilapan saya sebagai manusia. Mudah-mudahan puasa kita tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya dan mudah-mudahan puasa ini akan memberatkan timbangan amal kita.

Semoga Ramadhan ini membawa barakah ke dalam kehidupan kita semua sehingga ke Ramadhan yang akan datang. Dan tidak lupa juga, semoga bulan Ramadhan ini membawa kesihatan rohaniyah dan jasmaniyah untuk kita semua.

Amiin.


Butiran selanjutnya ...

Bilangan lelaki bujang lebih ramai



Lambat kahwin dedah pelbagai risiko negatif

KUALA LUMPUR: Lelaki berumur 15 tahun dan ke atas yang belum berkahwin adalah lebih tinggi jumlahnya berbanding wanita iaitu masing-masing 37.8% dan 32.2% mengikut data muktamad Banci Penduduk dan Perumahan 2010 yang diumumkan, kelmarin.

Data itu juga menunjukkan penduduk berumur 15 tahun dan ke atas yang belum pernah berkahwin adalah 35.1% manakala yang berkahwin 59.6%. Namun, perkadaran lelaki dan perempuan yang berkahwin adalah hampir sama, masing-masing 59.8% dan 59.4%.

Umur minimum perkahwinan pertama bagi lelaki menurun kepada 28.0 tahun berbanding 28.6 tahun pada 2000. Sebaliknya, umur bagi perempuan meningkat kepada 25.7 tahun berbanding 25.1 tahun pada 2000.

Mengulas perangkaan itu, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata aliran lelaki yang belum berkahwin lebih ramai daripada wanita selaras dengan pertambahan golongan itu berbanding wanita. Katanya, aliran itu sudah lama dikesan dalam setiap bancian pendudukan yang dilakukan di negara ini malah keputusan itu juga lebih kurang sama dengan kebanyakan negara di rantau ini dan peringkat global.

“Hasil bancian LPPKN pada 2004 sudah mengesan trend lelaki kahwin lebih lewat dan hasil bancian 2010 mengesahkan bahawa lelaki berkahwin pada purata umur 28 tahun berbanding wanita 25 tahun,” katanya dihubungi Berita Minggu.

Kelmarin, dilaporkan penduduk Malaysia kini berjumlah 28.3 juta, pertumbuhan 2% untuk tempoh 10 tahun lalu dengan bilangan lelaki mencecah 14.56 juta orang, iaitu lebih tinggi berbanding 13.77 juta wanita.

Aminah berkata, dari segi kesan sosial, gejala kahwin lambat di kalangan lelaki itu menunjukkan golongan itu akan berkahwin pada usia lebih matang, kukuh dari segi ekonomi untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Kesan negatif pula katanya, tempoh yang lama membujang akan mendedahkan lelaki muda kepada cara gaya hidup yang tidak sihat dan risiko yang berkaitan dengannya.

Perkara itu dipersetujui pakar sosiologi dan antropologi, Prof Dr Abdul Rahim Md Nor yang bimbang jika ia berlarutan akan menyebabkan pertambahan jumlah gejala sosial.

“Dalam satu aspek, saya melihat pertambahan jumlah penduduk lelaki akan membawa kesan negatif kepada masyarakat iaitu kebarangkalian golongan itu terbabit dengan jenayah berat seperti pembunuh dan rompakan selain terbabit gejala sosial seperti samseng jalanan atau mat rempit. Ada kemungkinan juga wujud pertambahan kemalangan jalan raya kerana lelaki biasa memandu dengan agresif, sering timbul masalah di jalan raya dan laju,” katanya.

Dr Abdul Rahim yang juga Pengerusi Pusat Pengajian Sosial, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, beliau melihat apabila lelaki lebih ramai maka wanita mempunyai banyak pilihan untuk mencari suami yang lebih berkualiti.

Maka, katanya akan wujud persaingan di antara lelaki dan ini mewujudkan tekanan kepada mereka untuk dipilih menjadi suami.




Petikan : BHarian 31/07/2011

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Julai 30, 2011

Wanita banyak pilihan



Jumlah lelaki lebih ramai

PUTRAJAYA: Penduduk Malaysia kini berjumlah 28.3 juta, pertumbuhan dua peratus untuk tempoh 10 tahun lalu dengan bilangan lelaki mencecah 14.56 juta orang, iaitu lebih tinggi berbanding 13.77 juta wanita.

Data muktamad Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, pada sidang media Pemakluman Laporan Taburan Penduduk dan Ciri-Ciri Asas Demografi Banci 2010 di sini, semalam.

Berdasarkan data itu, bilangan lelaki melebihi perempuan dengan nisbah 106:100. Mengikut negeri pula, Pahang mempunyai paling ramai lelaki (113), diikuti Johor (112), Negeri Sembilan (107), Sabah (107), Selangor (107), Labuan (107) dan Sarawak (106), manakala bilangan lelaki kurang daripada perempuan untuk Putrajaya (89) dan Perlis (97).

Mengulas perkembangan terbaru itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr mansor Mohd Noor berkata, bilangan lelaki yang ramai akan memberi ruang pilihan lebih luas kepada wanita dalam mencari pasangan.

“Pada masa sama, wanita juga memiliki keupayaan dari segi kewangan dan kelayakan pendidikan yang tinggi, sekaligus membuka lebih banyak peluang untuk mereka membuat pilihan pasangan yang difikirkan terbaik,” katanya ketika dihubungi.

Dalam konteks ini, beliau berkata, amat penting untuk meneliti semula dasar sosial sedia ada bagi mewujudkan model baru bagi menangani perubahan semasa dan mewujudkan program khusus membentuk kefahaman sistem kekeluargaan yang bersesuaian perkembangan terkini.

Pensyarah kanan di Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Lee Yok Fee pula berkata, keadaan sedemikian juga dijangka melebarkan lagi jurang kedudukan antara kedua-dua gender dalam aspek kerjaya dan juga pendidikan jika trend wanita mendominasi kecermelangan pendidikan serta kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) berterusan.

“Senario itu akan berlaku jika prestasi lelaki tidak meningkat seiring dengan pertambahan bilangan mereka dan masih gagal menyaingi pencapaian wanita dari segi kecemerlangan keputusan peperiksaan untuk memasuki IPT, sekaligus memberi kesan kepada kelayakan mereka berebut jawatan tinggi dalam pasaran kerjaya,” katanya.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata, bilangan penduduk lelaki yang lebih ramai akan memberi kesan psikologi kepada wanita untuk bekerja lebih keras menyaingi golongan Adam terutama dalam bidang kerjaya.

“Ini kerana apabila bilangan lelaki lebih ramai, mungkin wujud ‘dasar tersembunyi’ atau ‘dasar diam’ yang memberi peluang luas kepada lelaki untuk menjawat jawatan tertentu,” katanya.

Sementara itu pada sidang media, Nor Mohamed berkata, negeri mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi bagi 2000~2010 ialah Putrajaya (17.8%), diikuti Selangor (2.7%), Melakaa (2.6%) dan Sabah (2.1%). Negeri mengalami kadar pertumbuhan rendah ialah Terengganu (1.4%), Perak (1.4%), Labuah (1.3%) dan Perlis (1.2%).

Antara lain, perangkaan itu menunjukkan terdapat 2.3 juta warga asing di negara ini sedangkan warga negara berbangsa India yang juga kumpulan etnik ketiga terbesar di sini hanya 1.9 juta. Jumlah penduduk berbangsa Cina ialah 6.4 juta manakala penduduk Bumiputera berjumlah 17.5 juta seta 200,000 daripada bangsa lain.

Namun, kadar lelaki dan perempuan berkahwin adalah hampir sama, masing-masing 59.8% dan 59.4%. Umur minimum perkahwinan pertama bagi lelaki menurun kepada 28.0 tahun berbanding 28.6 tahun pada 2000, manakala umur bagi peremmpuan meningkat kepada 25.7 tahun berbanding 25.1 tahhun pada 2000.

Laman-Seri : Jadi, tang mana kata wanita lebih ramai daripada lelaki? Hemmmm....




Sumber : BHarian 30/07/2011

Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Julai 29, 2011

Lelaki mudah ‘bxdxh’ oleh kecantikan

~ gambar hiasan dari morzing.com ~


Assalamualaikum dan salam sejatera,

Saya masih ingat, gara-gara aktiviti C&P sebuah artikel yang dipetik di SyurgaDiDunia yang bertajuk Patutlah Lelaki Menjadi Semakin Bodoh Dan Tidak Bertanggungjawab dan dikirimkan ke egrup yang saya sertai, saya telah menerima banyak kutukan dan feedback rasa tidak senang hati rakan-rakan egrup yang membacanya. Mungkin ada yang terasa kerana ia mengenai batang hidung sendiri, jadi ramailah yang melenting. Apa-apapun, berlapang dadalah membaca kerana pendapat sesiapapun, tidak semestinya benar belaka, jadi mengapa harus beremosi belebih-lebihan. Ðalam entry kali ini juga, saya kongsikan perkara yang hampir sama, tulisan ÐrHMTuah pula....

Pernahkah anda terfikir, mengapa lelaki menjadi ‘gabra’ apabila berdepan dengan wanita? Kadang-kadang lelaki itu bukan orang kecil, namun apabila berdepan sahaja dengan wanita, dia kelihatan kaku, tidak dapat bercakap dengan lancar aka gagap, berpeluh, teragak-agak dan tidak keterlaluan jika dikatakan ‘sedikit bodoh’.

Tahukah anda, sebenarnya, itulah kelemahan lelaki. Ðia akan jadi lebih bodoh apabila wanita yang berdiri di hadapannya itu dianggapnya sangat cantik. Malah lebih-lebih bodohnya apabila wanita itu bukan sahaja pada anggapannya sangat cantik, juga sangat-sangat ingin dimilikinya.

Lihat bagaimana reaksi P.Ramlee dalam filem Bujang Lapuk. ketika dia hendak pergi mencari kerja bersama Sudin dan Aziz, tiba-tiba mereka terserempak dengan Salmah. Ramlee terus gabra, berdirinya jadi tidak betul, cakapnya seakan merapu. Hingga Sudin membasuh Ramlee dengan kata-kata, “Ei Ramlee, engkau ni tak boleh tengok perempuan ye. Bila jumpa perempuan je terus mengada-ngada, menyampah!”

Sebenarnya, bukan P.Ramlee sahaja yang begitu. Ðalam raliti yang hampir semua lelaki adalah begitu. Maka itulah, kebanyakan agen sulit terdiri daripada wanita-wanita cantik, supaya dengan mudah mereka dapat masuk ke tenpat-tempat rahsia dengan ‘memperbodohkan’ pengawai-pegawai lelaki yang menjadi penghalangnya. Tentu anda setuju. Jika masih tidak setuju dan tidak mahu mempercayainya, teruskan bacaan anda...

Akhbar Japan Today memetik laporan J-Cast mengenai kajian terbaru pakar psikologi mengenai kajian terbaru pakar psikologi di Universiti Radboud, Belanda, bahawa lelaki melakukan tindakan bodoh bila berinterasi dengan wanita cantik. Idea itu datang apabila seorang daripada penyelidik itu mendapati dia tidak mampu mengingati alamat rumah semasa berbual kali pertama dengan wanita yang menarik minatnya.

Makin cantik makin gabra

Ðalam usaha membuktikan teori berkenaan, mereka membuat kajian terhadap 40 pelajar lelaki heteroseksual. Pelajar-pelajar itu diminta melakukan ujian memori yang standard iaitu mereka perlu menghafal beberapa ayat dan mengulanginya. Kemudian mereka diarahkan berbual beberapa minit dengan kumpulan lelaki dan wanita cantik sebelum mengulangi ujian hafalan berkenaan.

Kajian itu mendapati, lelaki lebih lambat dan kurang tepat memberi jawapan selepas berbual dengan kumpulan wanita cantik berkenaan. Lebih menarik seorang wanita itu pada mereka, lebih rendahlah markah yang mereka perolehi.

Berbeza dengan wanita, tahap memori mereka sama, tidak kira mereka bercakap dengan lelaki atau wanita. (Agensi, 26/04/2011)

Jadi, bukanlah susah untuk mengukur pandangan lelaki terhadap anda. Sekiranya anda lihat seorang lelaki itu sedikit gabra tatkala hendak bercakap dengan anda, itu tandanya dia melihat anda cantik. Semakin kuat gabranya, semakin cantiklah anda di matanya. Jika anda menyukainya, berikanlah respons yang sepatutnya, moga-moga gelojak hatinya yang tidak tentu hala itu akhirnya sampai pada matlamat, iaitu cinta yang suci dan berakhir dengan perkahwinan.

Adalah malang menyangka seseorang lelaki itu terpikat dengan anda, sedangkan sebenarnya tidak. Kegagalan anda mengenali bahasa tubuh ini menyebabkan anda membuang masa menyimpan rasa, hujungnya kecewa.

Sehebat mana pun seseorang lelaki itu dapat mengawal perasaannya, apabila berdepan dengan wanita yang dianggapnya cantik dan ingin membina perhubungan cinta dengannya, dia pasti akan kelihatan serba tidak kena.

Ðia biasanya cukup menurut, misalnya sanggup bersusah payah menelusuri longkang kerana kunci kereta anda terjatuh ke dalamnya. Meskipun dengan itu dia mengalami kesusahan dan kecederaan.

Jika seseorang lelaki bertindak ke tahap ini, ketahuilah, dia sangat meminati anda dan menganggap anda sangat cantik. Ðia mungkin secara serta merta telah membina keinginan untuk berkahwin dengan anda. Pada situasi begini, usah terlalu mendera lelaki berkenaan, sebaliknya berilah dia peluang untuk menjadi lelaki yang bertanggungjawab terhadap anda, andainya dia sememangnya lelaki soleh.




Sumber : Ðr HMTuah di MW#1438

Butiran selanjutnya ...

Kesan sosial pelajar perempuan atasi lelaki



Institusi kekeluargaan mampu porak-peranda jika masalah tak ditangani

PENGAKUAN Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran bahawa nisbah songsang antara pelajar perempuan dan lelaki di institut pengajian tinggi awam (IPTA) perlu ditangani, diharapkan bukan usaha menyekat kemasukan pelajar perempuan yang layak untuk memberi laluan kepada pelajar lelaki yang lebih lemah.

Usaha menangani nisbah 65% pelajar perempuan dan hanya 35% pelajar lelaki sekarang kepada kedudukan lebih berimbang seharusnya dilakukan dengan meningkatkan keupayaan pelajar lelaki.

Antaranya ialah dengan mengatasi masalah keciciran pelajar lelaki yang lebih ketara berbanding pelajar perempuan bermula daripada kemasukan ke sekolah menengah, kemudian memasuki Tingkatan Empat. Usaha mencari jalan kenapa berlakunya keadaan demikian seharusnya ditekankan bukannya dengan menyekat kemasukan pelajar perempuan ke universiti.

Diakui nisbah songsang itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak harus dipertahankan kiranya negara dan rakyat dikehendaki maju dalam suasana baik tanpa menimbulkan masalah sosial pula.

Nisbah tidak seimbang antara lelaki dan perempuan ini bermula pada 1990 lagi apabila jumlah kemasukan pelajar perempuan sudah sama rata dengan jumlah pelajar lelaki. Sejak itu kemasukan pelajar perempuan berterusan meningkat hingga pada 2005 jumlah nisbahnya sudah mencecah 63:37. Dikatakan juga nisbah ini adalah lebih bagi orang Melayu yang sudah menjangkau kepada 70:30 hingga menimbulkan persoalan di mana perginya pelajar atau pemuda Melayu.

Apakah benar ramai pemuda Melayu merengkok di pusat serenti sebagai satu daripada puncanya tidak pula diketahui kerana tidak ada statistik yang boleh memberikan gambaran sebenar. Tetapi yang tidak boleh dinafikan ialah lebih ramai pemuda Melayu yang terjerumus dengan pengambilan dadah daripada pemuda bangsa lain.

Kenapa perkara begini boleh berlaku tidak pula ada jawapannya. Mungkin sudah sampai masanya pihak universiti di negara ini adakan suatu kaji selidik menyeluruh untuk mengetahui kedudukan sebenar mengenai penagihan dadah di kalangan pemuda Melayu serta kenapa berlaku keciciran ketara di kalangan pelajar Melayu lelaki di sekolah.

Universiti juga perlu lakukan penyelidikan terhadap implikasi sosial berikutan dengan fenomena lebih ramai graduan wanita setiap tahun berbanding graduan lelaki.

Sememangnya pada zahirnya tidak salah ada lebih ramai graduan wanita. Malah kita harus mengucap syabas kepada kaum Hawa kerana berjaya dalam pelajaran hingga mendominasi kemasukan ke universiti. Mereka sememangnya mempunyai hak untuk mendapatkan pelajaran setinggi mungkin.

Kita juga harus salahkan kaum lelaki yang diketahui bukan saja tidak fokus terhadap pelajaran kerana banyak sangat perkara yang mengalihkan fokus mereka hingga mengabaikan pelajaran dalam kelas. Dan tentunya mereka ini tidak bersedia menghadapi peperiksaan berbanding pelajar perempuan.

Yang menjadi persoalan ialah implikasi fenomena lebihan graduan wanita daripada lelaki setiap tahun kebelakangan ini terhadap kedudukan sosial kiranya berpanjangan bertahun-tahun. Penulis tidak berhajat persoalkan kegigihan pelajar perempuan yang sememangnya diketahui amat tekun dan fokus dalam pelajaran hingga membawa kepada kedudukan songsang ini.

Apakah tidak mungkin akan berlaku keadaan yang mana semakin ramai gadis memasuki alam perkahwinan lebih lambat. Itu pun kiranya graduan perempuan itu boleh mendapat pasangan. Jika pasangannya setaraf mungkin tidak timbul banyak kerenah, tetapi dalam keadaan isteri memegang jawatan lebih tinggi daripada suami apa pula implikasinya.

Apa implikasi jangka panjang kiranya wujud keadaan demikian yang mana ramai isteri yang menjadi ‘main bread winner’ membawa balik pendapatan lebih daripada suami. Maknanya keluarga akan lebih bergantung kepada pendapatan isteri. Apakah ada implikasinya terhadap perkembangan kekeluargaan apabila isteri mempunyai tanggungjawab lebih di tempat kerjanya hingga boleh menjejaskan tanggung jawabnya kepada keluarga?

Tuhan menjadikan manusia lelaki dan perempuan dengan naluri semula jadi yang tidak mungkin boleh diketepikan atau diabaikan. Maka naluri kewanitaan bagi seseorang perempuan tidak akan hilang setinggi mana pun berjaya dalam kerjaya.

Seorang ibu tetap memberi tumpuan kepada keluarganya dan kehendak anak. Umum mengetahui apabila seseorang anak jatuh sakit yang dihubungi ialah ibunya bukan bapa. Demikian juga dengan kehendak sekolah dan kerja rumah. Yang sering bertanya khabar mengenai kerja sekolah atau membimbing anak mengenai kerja rumah bagi sekolah mereka ialah ibu.

Dalam suasana yang mana ibu mempunyai tanggungjawab lebih di tempat kerja berbanding ayah, ibu tentunya akan menghadapi tekanan lebih. Demikian juga dengan persediaan makanan harian untuk keluarga. Isteri mungkin mempunyai tanggungjawab mendesak di tempat kerja kerana memegang jawatan kanan berbanding suami yang mungkin hanya seorang pekerja biasa.

Maka itu isteri sudah terpaksa menjadi ‘superwoman’ untuk memikul kehendak kerjayanya dan keluarganya serta suami.

Sememangnya suami seharusnya boleh memberi bantuan lebih atau mengambil alih tanggungjawab keluarga, tetapi ini adalah suatu yang tidak akan dapat ditanggung suami sebaik mana yang boleh diharapkan daripada isteri.

Maknanya institusi kekeluargaan akan menghadapi suatu tekanan yang mungkin tidak dapat ditangani dengan baik. Jadi apa penyelesaiannya?

Penulis artikel, Rejal Arbee ialah Felo Kanan UKM.




Petikan : BHarian 28/07/2011

Butiran selanjutnya ...

Khamis, Julai 28, 2011

Bersegera dalam melakukan amalan baik


Assalamualaikum warahmatullah,

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bersegeralah kamu semua untuk melakukan amalan-amalan yang baik sebelum datang tujuh perkara:

1. Adakah kamu semua menunggu sehingga menjadi fakir yang melalaikan diri kamu semua,
2. atau pun kekayaan yang menjadikan diri kamu curang,
3. atau sakit yang membawa kebinasaan tubuh badan,
4. atau tua yang menjadi nyanyuk,
5. atau mati dengan tiba-tiba,
6. atau pun kedatangan pengaruh dajjal yang ianya adalah seburuk buruk makhluk yang tidak dapat dilihat yang memang dinanti-nanti kedatangannya,
7. ataupun datangnya hari qiamat pada hal hari qiamat itu adalah hari yang paling dahsyat bencananya serta pahit pula penderitaannya.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Umat Islam dilarang menangguh-nangguh dan berlambat-lambatkan amal ibadat yang diamanahkan kepada mereka.

Kekayaan dan kemiskinan tidak menghalang seseorang itu menambah amalan untuk beribadat kepada Allah kerana kekayaan dan kemiskinanan merupakan satu dari ujian kehidupan.

Terdapat setengah golongan yang menjadi sibuk dan leka dengan kekayaan dan ada pula menjadi kufur disebabkan hidup menjadi fakir.

Renung-renungkan....


Butiran selanjutnya ...

Ahad, Julai 24, 2011

Celaru gender


Ibu bapa di India upah doktor lakukan pembedahan jantina

KEGHAIRAHAN segelintir manusia untuk menjadi Tuhan bukan satu perkara baru. Mereka sanggup mengenepikan nilai moral dan kemanusiaan demi memastikan matlamat tercapai. Malah dalam banyak keadaan, akibat daripada perbuatan itu - yang selalunya tidak menyediakan jalan pulang - langsung tidak diambilkira.

Itu jugalah sikap sesetengah ibu bapa di India yang cuba menyangkal perjalanan takdir, sanggup mengupah doktor melakukan pembedahan menukar anak perempuan mereka menjadi lelaki semata-mata kerana pengaruh adat kuno kononnya anak lelaki mampu memperbaiki prospek keluarga.

Kerajaan Madhya Pradesh kini rancak menyiasat dakwaan seramai 300 kanak-kanak perempuan ditukar menjadi lelaki menerusi pembedahan di bandar raya Indore. Ibu bapa didakwa membayar AS$3,190 atau kira-kira RM10,000 hanya untuk berasa bangga mengumumkan - “anak perempuan saya adalah lelaki”.

Menerusi pembedahan dikenali genitoplasty, doktor akan membentuk zakar daripada organ seks wanita dan sebagai pengakhiran kepada perubahan itu, kanak-kanak berkenaan turut disuntik hormon lelaki.

Walaupun penyokong hak asasi wanita dan kanak-kanak mengutuk perkembangan itu yang dilabel ‘kegilaan sosial’ dan ‘mempersendakan wanita’, diskriminasi jantina di India bukan perkara baru. Ia wujud berabad lalu, sebati dengan budaya negara itu yang mewajibkan keluarga perempuan menyediakan hantaran dan persiapan perkahwinan besar-besaran.

Akibatnya, banyak keluarga akan menggugurkan janin perempuan yang dikandung atau memilih melakukan pembedahan jantina selepas kelahiran.



Peluang bayi dilahirkan dengan organ jantina tidak jelas masih sesuatu yang luar biasa. Sebab itu Majlis Perubatan India (MCI) dan Jabatan Kesihatan Madhya Pradesh mencadangkan langkah memastikan ibu bapa yang mahukan anak lelaki, tidak cuba merasuah doktor melakukan pembedahan pertukaran jantina ke atas anak perempuan mereka semuda usia setahun.

Berikutan pendedahan terbaru mengenai apa yang berlaku di Madhya Pradesh, MCI mendesak penubuhan lembaga pakar perubatan untuk memutuskan mengenai keperluan prosedur seumpama itu dan mengetatkan pemeriksaan di semua bandar raya.

Pengarah Pendidikan Pembedahan Persatuan Doktor Bedah India, Prof Gautam Sen, berkata perlu ada lembaga perubatan untuk memutuskan sama ada pembedahan itu perlu dilakukan atau tidak dan ia harus keputusan penuh tanggungjawab yang dilakukan panel, bukan di antara ibu bapa dan doktor.

Dakwaan berkenaan turut menggusarkan banyak pihak di India. Seorang kaunselor di Mumbai, Suchitra Inamdar, meluahkan kebimbangan bagaimana kanak-kanak perempuan yang sudah ditukar status menjadi lelaki akan mengendalikan masalah pada masa akan datang.

“Prosedur itu akan memberikan kesan psikologi jangka panjang dan berkekalan ke atas individu berkenaan yang mungkin tidak menerima keputusan menukar jantina mereka yang dibuat oleh ibu bapa dan doktor sebelum mereka cukup umur,” katanya.

Selain kekeliruan, Presiden Akademi Paediatrik India, V P Goswami, berkata prosedur yang digunakan oleh doktor di Indore akan menimbulkan trauma kepada mangsa, masalah lemah syahwat serta kesuburan ketika mereka dewasa walaupun genitoplasty boleh dilakukan ke atas bayi normal kedua-dua jantina.

“Namun pada masa akan datang, organ tidak akan tumbuh dengan pengaruh hormon. Ini akan menyebabkan masalah kesuburan selain lemah tenaga batin. Dakwaan ini berita mengejutkan, kami akan menyiasat dan mengambil langkah menyekatnya. Ibu bapa perlu mempertimbangkan impak psikologi dan sosial pembedahan itu ke atas anak mereka,” katanya.

Walaupun Suruhanjaya Kebangsaan Bagi Perlindungan Hak Kanak-Kanak India sudah mengarahkan Kerajaan Madhya Pradesh menyiasat dakwaan berkenaan dan membentangkan hasil kajian dalam masa 15 hari, aktivis hak wanita, Ranjana Kumari, berkata perubahan seks secara paksa adalah tanda ‘kegilaan sosial’ meruncing yang melanda negaranya.

Jurucakap Pusat Penyelidikan Sosial yang juga lantang menentang pengguguran janin perempuan itu, pernah berharap sistem pendidikan untuk pelajar lelaki dan perempuan dapat menamatkan budaya yang meletakkan anak lelaki lebih utama berbanding perempuan.

“Bagaimanapun semakin anda berpendidikan dan kaya, semakin ramai kanak-kanak perempuan dibunuh. Keluarga tidak mahu berkongsi harta mereka, melabur untuk pendidikan anak perempuan atau membayar hantaran perkahwinan. Ini semua kumpulan pertengahan kelas yang tamakkan wang... amat mengejutkan dan mencabul hak kanak-kanak,” katanya.

Ketaksuban memiliki anak lelaki kini mula membawa padah kepada India apabila negara itu dianggarkan memiliki 30 hingga 40 juta lebih ramai lelaki berbanding wanita usia sesuai untuk berkahwin menjelang 2020. Malah, India juga kekurangan 7.1 juta kanak-kanak perempuan berbanding lelaki sehingga usia enam tahun.

Keadaan itu dijangka menyumbang kepada jurang jantina yang luas di antara lelaki dan perempuan sehingga lebih sejuta dalam masa sedekad.

Pengarah Institut Kajian Lanjutan, Dr Gursharan Singh, berkata budaya cenderung memilih anak lelaki dan kemudahan teknologi untuk menentukan jantina anak dalam kandungan membantu memburukkan nisbah itu, tetapi lebih membimbangkan apabila kawasan yang dulunya tidak mendiskriminasi anak perempuan kini mula berbuat demikian.

“Keadaan itu memburukkan nasib wanita. Rompakan, rogol dan menculik wanita untuk dijadikan isteri semua berkaitan dengan faktor ramai lelaki bujang yang masih muda dalam masyarakat,” katanya.

INFO: Diskriminasi terhadap wanita di India

* Pembabitan lelaki dalam pekerjaan sebanyak 51. 9% berbanding 25.7% untuk wanita.

* Cuma 67.7% di kalangan wanita berusia 15 hingga 24 celik huruf berbanding 84.2% bagi lelaki.

* Sekitar 45% wanita India dipaksa berkahwin sebelum usia 18 tahun.

* Seorang wanita meninggal dunia setiap tujuh minit di India kerana masalah berkaitan kehamilan.

* Kanak-kanak perempuan di India berdepan diskriminasi sejak dilahirkan kerana kurang diberi perhatian dan tidak mendapat layanan sama daripada segi kesihatan, pendidikan dan makanan berbanding anak lelaki.

* Anak lelaki diberi keutamaan mendapat pendidikan manakala anak perempuan melakukan kerja rumah kerana menganggap pendidikan untuk anak perempuan membuang masa.




Sumber : BHarian 24/07/2011

Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Julai 22, 2011

Anggota keluarga penawar terbaik kurangkan tekanan emosi wanita

~ gambar hiasan ~

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

TEKANAN perasaan atau stres sudah menjadi lumrah kehidupan masyarakat hari ini. Tekanan perasaan boleh berlaku sama ada di rumah, di tempat kerja mahu pun ketika memandu di jalan raya. Tekanan perasaan yang sederhana adalah baik kerana ia mendorong seseorang menjadi lebih bermotivasi dan cergas. Namun, tekanan perasaan keterlaluan boleh mengganggu emosi, kebahagiaan dan kesejahteraan hidup, malah menyebabkan seseorang mudah diserang penyakit seperti gastrik, sakit jantung dan penyakit saluran pernafasan.

Cara seseorang itu mengendalikan tekanan perasaan akan menentukan sejauh mana mereka dapat menjalani kehidupan dengan sempurna serta bebas daripada tekanan perasaan melampau. Kita percaya dalam kehidupan yang semakin mencabar tidak semua orang berupaya dan mampu menguruskan tekanan perasaan mereka dengan baik.

Kajian oleh syarikat media dan maklumat, Nielsen berpangkalan di Amerika Syarikat mendapati wanita lebih mudah mengalami tekanan perasaan berbanding lelaki. Kajian itu juga mendapati wanita Malaysia berada pada kedudukan ke-16 dengan 44% wanita, termasuk dalam kumpulan itu. Daripada lebih 27 juta penduduk Malaysia ketika ini, seramai 13.5 juta adalah wanita. Kajian itu dijalankan antara Februari hingga April lalu membabitkan 6,500 wanita di 21 negara dengan wanita di India mendahului senarai dengan 87% mengalami tekanan perasaan.

Walaupun kajian itu tidak menggambarkan emosi keseluruhan wanita di negara ini, namun sekurang-kurangnya ia menjadi petunjuk mengenai keadaan yang berlaku. Hasil kajian itu, mendapati wanita lebih mudah terdedah kepada tekanan perasaan. Antara faktornya mereka mencurigai suami mempunyai hubungan dengan wanita lain, anak tidak berjaya dalam pelajaran dan tidak bekerja. Justeru, wanita perlu mencari pendekatan terbaik dan sesuai untuk menangani tekanan emosi supaya ia tidak menjadi semakin serius. Kita memahami wanita di mana-mana negara, termasuk di negara ini mempunyai tanggungjawab berat, terutama mereka yang berkerja.

Di samping tumpuan terhadap kerjaya di pejabat, mereka juga turut memikul tugas sebagai isteri dan ibu di rumah. Di sinilah pentingnya peranan ahli keluarga, terutama suami agar menjaga perasaan isteri dan tidak mencetuskan sebarang keadaan yang boleh menyebabkan tekanan perasaan terutama rasa curiga dalam hubungan rumah tangga.

Kerukunan dan kebahagiaan rumahtangga boleh tergugat sekiranya isteri yang menjadi ibu kepada anak tidak dapat mengawal tekanan perasaan. Amat penting setiap anggota keluarga mempunyai sifat saling mempercayai, persefahaman dan permuafakatan kerana ia bukan saja dapat mengekalkan kemesraan, malah mampu menghindari perasaan curiga dan cemburu.




Sumber : BHarian 21/07/2011

Capaian entry berkaitan :
* Wanita Malaysia di tangga ke-16 paling tertekan
* Tips menangani tekanan (stress)

Butiran selanjutnya ...

Khamis, Julai 21, 2011

Wanita Malaysia di tangga ke-16 paling tertekan



KUALA LUMPUR: Curiga suami mempunyai wanita lain, anak tidak pandai dalam pelajaran dan tidak bekerja antara faktor ramai wanita di negara ini mengalami tekanan perasaan.

Bagi yang bekerja pula, ada yang menghadapi tekanan kerana terpaksa bekerja dua kali ganda untuk mendapat pengiktirafan majikan berbanding lelaki kerana persepsi lelaki lebih berupaya memegang sesuatu jawatan.

Pakar sosiologi klinikal, Datuk Dr Wan Halim, berkata wanita terlallu mementingkan kesempurnaan berbanding lelaki sehingga ada yang memandang serius persepsi orang lain terhadap diri dan keluarga, berbanding lelaki yang lebih tenang dan tidak mudah dikuasai emosi.

“Jika tidak dibendung, tahap tekanan perasaan semakin meningkat sehingga menyebabkan ada yang tidak mampu mengawal perasaan dan bertindak di luar jangkaan,” katanya.

Beliau mengulas kajian syarikat media dan maklumat, Nielsen di Amerika Syarikat mengenai golongan paling tertekan di dunia yang dilaporkan di media kelmarin. Wanita Malaysia pada tangga ke-16 dengan hasil kajian mendapati 44% wanita termasuk dalam kumpulan ini.

“Apabila prestasi anak merosot, wanita cenderung untuk memarahi anak atau berleter kerana rasa bertanggungjawab, sekaligus meningkatkan tekanan perasaan, berbanding bapa yang lebih tenang memberi nasihat.”

“Wanita juga berusaha sedaya upaya menyelamatkan hubungan walaupun sudah tiada harapan. Jika keluarga bahagia, mereka sendiri mencetuskan tekanan termasuk curiga terhadap suami,” katanya.

Kajian antara Februari hingga April lalu membabitkan 6,500 wanita di 21 negara dengan wanita di India mendahului senarai berkenaan dengan 87%. Sebanyak 13.5 juta daripada lebih 27 juta penduduk di negara ini adalah wanita.

Bagaimanapun, Dr Wan Halim yang juga perunding konflik keluarga hampir 40 tahun, berkata, kedudukan ke-16 itu agak baik dan menunjukkan wanita negara ini bijak menangani tekanan, berbanding di India dengan wanitanya menghadapi masalah ekonomi yang teruk termasuk membayar wang hantaran perkahwinan dan ada dianggap membawa sial.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fazil Che Din, pula berkata, wanita di negara membangun seperti Malaysia amat mementingkan kerjaya, terutama selepas peluang diberi untuk mereka memegang jawatan yang dahhulunya dikuasai kaum lelaki.

“Wanita terpaksa berusaha dua kali ganda mendapat separuh pengiktirafan yang diberikan kepada lelaki kerana masih wujud persepsi wanita tidak boleh melakukan sesuatu dengan lebih baik daripada lelaki,” katanya.

“Wanita dididik untuk sentiasa bertanggungjawab sejak kecil dan mereka suka mengambil tanggungjawab itu.” Datin Paduka Rakibah Abd Manap ~ Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Selangor.

“Wanita perlu bijak tangani tekanan dan tidak terlalu pentingkan kerjaya sehingga mengabaikan kesihatan fizikal dan emosi.” Loke Yim Pheng ~ Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan.


Enggan dicerai punca ramai wanita tertekan, ada pasangan sanggup tinggal berasingan hingga mati

Hidup berasingan dengan suami kerana tiada keserasian serta mahu mendapatkan hak penjagaan anak walaupun tidak mampu adalah antara yang sering dihadapi wanita sehingga menyebabkan mereka menghadapi tekanan perasaan.
Pakar sosiologi klinikal, Datuk Dr Wan Halim Othman, berkata berdasarkan pengalaman mengendalikan kursus konflik keluarga sejak 40 tahun lalu, ramai wanita yang enggan menerima kenyataan rumah tangga mereka sudah tidak boleh diselamatkan tetapi tidak mahu diceraikan.

“Ada kes wanita yang tinggal berjauhan dengan suami selama 20 tahun kerana tidak sanggup diceraikan. Ada yang sampai meninggal dunia hidup berasingan.

“Bagi kes seperti ini, saya sering nasihatkan mereka terus tinggal berasingan jika kedua-dua pihak tidak mahu berkahwin lain apabila bercerai. Wanita juga jangan terus terlalu berusaha memperbaiki hubungan itu,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Semalam, Berita Harian melaporkan mengenai faktor yang mendorong wanita di Malaysia mengalami tekanan perasaan termasuk curiga suami mempunyai wanita lain, anak tidak pandai dalam pelajaran dan tidak bekerja, selain wanita bekerja yang terpaksa bekerja dua kali ganda untuk mendapatkan pengiktirafan majikan, berbanding lelaki.

Dr Wan Halim berkata, ada juga kes ibu tunggal yang mengalami tekanan perasaan bertahun-tahun akibat dipukul suami dan selepas suaminya meninggal dunia, dipukul pula anaknya.
“Jika isteri dipukul suami, mereka mesti cuba melawan kerana jika tidak, anak akan melihat ibunya tidak kisah dipukul. Saya simpati melihat golongan yang datang meluahkan perasaan seperti sudah tidak ada harapan lagi untuk hidup,” katanya.

Beliau juga berkata, ibu tunggal yang tidak mampu menjaga anak perlu melepaskan hak penjagaan kepada suami kerana keinginan untuk menuntut hak itu walaupun berdepan kekangan kewangan menyebabkan tekanan perasaan yang kronik.

Pakar nasihat kawal emosi elak gila

Tekanan perasaan jika tidak dikawall dengan baik boleh menyebabkan gangguan kepada sistem saraf sehingga mendorong seseorang menjadi gila.

Wanita perlu peka terhadap gangguan emosi sementara yang dialami sebelum menjadi gangguan kekal yang menyebabkan mereka mengalami gejala neurosis termasuk sukar tidur dan menggeletar.

Pengarah Institut Sosial Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Fadil Che Din berkata, individu tertekan meluahkan perasaan melalui perbuatan termasuk melepaskan marah kepada orang yang rapat, memukul atau menendang sesuatu, malah melakukan amalan spiritual termasuk membela hantu.

“Ada lima pola tindak balas pemikiran manusia dan jika sampai ke tahap empat dan lima, boleh menyebabkan wanita memusnahkan diri untuk meraih perhatian dan simpati, malah lebih teruk jika meluahkannya kepada orang lain seperti mendera anak atau mencederakan suami,” katanya.

Dr Mohd Fadzil yang juga pakar kaunseling dan psikologi berkata, berbanding lelaki, wanita lebih mudah mendapatkan khidmat pakar psikiatri jika berdepan tekanan perasaan kerana berfikiran terbuka.

Sementara itu, pakar psikologi klinikal, Datuk Dr Wan Halim Othman berkata, wanita perlu bijak mencari ruang menghilangkan tekanan dan tidak takut melepaskannya dengan cara yang betul, termasuk melalui aktiviti seperti bersukan dan keluar bersama rakan.

“Jika suami melarang isteri keluar rumah untuk bersukan, cuba berbincang dengannya. Begitu juga jika majikan meminta kita melakukan sesuatu yang mustahil, cuba luahkan pandangan dan jangan takut jika kita benar,” katanya.




Sumber :
BHarian 20/07/2011 dan BHarian 21/07/2011

Butiran selanjutnya ...

Berjimat cermat bukan sampai jadi bakhil

MANUSIA disaran berjimat cermat ketika berbelanja bagi mengelak pembaziran. - Gambar hiasan

Belanja secara sederhana, berhati-hati agar tidak menjadikan manfaat sebagai mudarat

DALAM menghadapi kegawatan ekonomi dunia, kita pula diseksa dengan harga gula yang naik mendadak. Pastinya, rakyat jelata bukan saja menghadapi masalah perbelanjaan, malah masalah lain yang timbul rentetan tekanan kewangan. Antara saranan yang klise supaya menerima hakikat itu ialah supaya berjimat cermat.

Ungkapan berjimat cermat dalam berbelanja bukanlah sesuatu yang baru didengari, malah ia adalah tuntutan dalam Islam, cuma tidak ramai yang mengendahkannya. Berjimat cermat ialah mempergunakan sesuatu dengan berhati-hati, penuh teliti dan bijaksana termasuk wang, masa dan peluang.

Saranan supaya sentiasa cermat dalam segala urusan bukanlah bermaksud supaya manusia bakhil dengan apa yang mereka ada tetapi berhati-hati agar tidak menjadikan manfaat sebagai mudarat.

Hari ini, ramai yang membazir kerana terlupa pesanan Allah SWT, mungkin kerana menganggap sikap boros adalah sifat semula jadi dan tiada siapa boleh menghalang, sedangkan bersederhana dituntut agama.

Allah SWT menyuruh kita berhati-hati dalam segenap perkara dan meninggalkan keinginan yang terlampau. Yang paling utama adalah bersederhana dalam berbelanja iaitu tidak boros dan tidak pula kedekut sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Furqan, ayat 67 yang bermaksud: "Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian."

Yang perlu diingat ialah, kalau kita diberikan rezeki melebihi keperluan kita dan tanggungan, sedangkan pada masa sama, ada orang lain yang terlalu berhajat dengan keperluan hidup yang tidak mampu mereka peroleh, jangan pula kita menyorok tangan dengan tidak mengambil endah terhadap tanggungjawab sesama manusia.

Kadangkala kita hanyalah perantara yang dilantik oleh Allah SWT untuk membantu sesama makhluk. Tetapi tentunya kita berasa terkilan untuk membantu orang yang tidak tahu berjimat cermat dalam urusan hidupnya. Tiada wang simpanan untuk pendidikan anak, kehidupan pada usia tua, ketika kecemasan, ihsan kepada orang lain sebagai sedekah, untuk mengembangkan syiar agama dan sebagainya kerana terlalu bermewah dengan apa yang ada dan wang habis sekelip mata, sebaliknya tidak malu meminta wang dengan orang lain atas nama hutang untuk menanggung kehidupan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Maka bergembiralah dan berharaplah terhadap apa yang mudah bagimu. Demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan atas kamu, tapi aku mengkhuatirkan atas kamu kalau dibentangkan dunia untuk kamu sebagaimana yang pernah dibentangkan bagi orang sebelum kamu, lantas kamu berlumba-lumba merebutnya, lalu membinasakan kamu sebagaimana dulu membinasakan mereka." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah sendiri tidak terlalu khuatir kalau-kalau umat Baginda akan menjadi fakir, tetapi Baginda takut kalau kita tertipu dengan dunia yang dihiasi dengan isinya yang sementara, yang semuanya hanyalah penyebab untuk kita ke neraka, dan itulah juga penyebab kita ke syurga, jika kita bijak membuat pilihan.

Cermat dalam membelanjakan wang dan masa adalah keutamaan umat Islam untuk dijadikan contoh kepada bukan Muslim, supaya mereka dapat menyedari bahawa moral yang sekecil itu boleh memberi untung yang besar kepada agama.

Tentulah umat Islam tidak rela terpedaya, kerana mereka diberikan petunjuk oleh Allah SWT agar menjauhi kesesatan. Orang yang terpedaya ialah orang yang tidak cermat dalam urusan dunia. Mereka tidak berjimat jika punya wang, mereka tidak rasa beruntung jika mempunyai masa, tidak berhati-hati apabila berbicara ketika orang ingin mendengar kata-katanya, tidak menghargai suami, isteri atau anak yang dianugerahkan Allah sehingga mempersiakan mereka, malah membazirkan semuanya tanpa rasa bersalah, akhirnya mereka tidak punya segala yang ada pada orang lain sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Salman Al-Farisi pernah datang kepada Abu Bakar As Siddiq r.a. ketika beliau sakit dan menghadapi kematiannya. Lalu Salman berkata, "Berpesanlah kepadaku, wahai khalifah Rasulullah". Abu Bakar menjawab: "Sesungguhnya Allah membukakan dunia untukmu kerana itu janganlah sekali-kali salah seorang dari antara kamu mengambilnya kecuali sekadar bekal keperluannya saja."

Rasulullah dan sahabat menunjukkan contoh dan mengajarkan kepada umat Islam mengenai amalan berjimat cermat agar menjadi ikutan umat Islam seluruhnya sehingga ke akhir zaman demi kebajikan bersama.

Sifat boros berbelanja wang atau masa sememangnya patut dijauhi kerana ia adalah amalan syaitan. Allah berfirman dalam Surah Al-Israa' ayat 27 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu sangat kufur kepada Rabb-Nya."

Penulis, Nik Salida Suhaila Nik Salih ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom




Sumber : BHarian 2010/01/07

Butiran selanjutnya ...

Isnin, Julai 18, 2011

Pujian runtuhkan ego suami


Assalamualaikum warahmatullah,

Pernahkah anda bertemu dengan orang yang suka menceritakan aib suaminya? Perkataan yang keluar dari lidahnya hanyalah rungutan, keluh kesah dan serba serbi tidak puas hati dengan apa yang suami beri. Seolah-olah suaminyalah yang paling teruk dari seluruh lelaki di dunia ini.

Duit yang diberi tidak cukup, layanan suami tidak romantik, perhiasan dan baju yang dihadiahkan suami tidak cantik, segala-galanya ‘sifat dua puluh’ suami disenaraikan dengan gaya bahasa yang amat menyakinkan para pendengar. Kedekut, pemalas, pengotor, gelojoj, kuat merajuk, ego, panas baran dan macam-macam lagi dibuka segala aibnya hingga ceita atas katil pun jadi bahan perbualan tanpa rasa malu mahupun segan.

Padahal agama mengajarkan tentang perumpamaan isteri sebagai pakaian bagi suaminya dan begitu pula sebaliknya. Perumpamaan pakaian ini adalah sebagai penutup aurat suaminya, merahsiakan aib dan menjaga maruahnya. Sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah Taala yang bermaksud, “...Mereka itu (isteri kamu) adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah 2:187)

Tidak sedarkah isteri apabila dia menceritakan kelemahan suaminya, sesungguhnya dia telah menderhaka kepada Allah dan suami? Perbuatannya itu termasuk dalam dosa besar yang akan dibalas dengan ancaman seksa kubur hingga ke hari kiamat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Kedua orang dalam kubur ini diseksa. Mereka tidak diseksa kerana perkara yang besar tetapi perkara itu termasuk dosa yang besar. Ada pun yang satu, kebiasaannya berjalan mengadu-adu (namimah - adalah mengadukan aib orang lain supaya yang mendengar benci kepada orang tersebut). Dan yang satu lagi kerana tidak membersihkan bekas kencingnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Balasan yang seterusnya ialah dihapus pahalanya dan ia diberi kepada orang yang diumpat. Sebagaimana mafhum hadis Rasulullah SAW yang diriwayaatkan oleh Imam Muslim tentang orang yang muflis di akhirat adalah orang yang menzalimi saudaranya, memukul, menyakiti jasad dan jiwanya dengan cara menghina, mengumpat dan memfitnah, maka pahala orang yang zalim itu diberi kepada orang yang dizalimi sehingga habislah pahalanya yang asalnya sebesar gunung, maka sedikit demi sedikit diambil utnuk orang ramai yang dizaliminya ketika di dunia dahulu.

Berhati-hati

Kemudian al-Quran juga menceritakan ancaman orang-orang bermulut celupar ini di dalam surah al-Hujurat yang bermaksud, “....dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan (keburukan) orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing (mengumpat) sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (QS 49:12)

Ayat ini dengan tegas dan jelas menerangkan tentang manusia yang paling baik dalam pandangan Allah iaitu orang yang paling bertakwa. Takwa bermakna berhati-hati dalam melakukan sesuatu supaya tidak terjerumus dalam perbuatan maksiat kepada Allah. Jadi, yangberhak menilai seorang insan adalah Tuhannya. Jika Allah Yang Maha Pengampun dan Penyayang suka menutup aib dan cela mansuia, mengapa pula mereka mahu membukanya dan tidak berbelas kasihan langsung terhadap orang yang dicela?

Suami telah menjadi sebahagian daripada jiwa isterinya, jika isteri mengumpat suami, seolah-olah dia menikam dirinya sendiri dengan ketajaman lidahnya. Jenayah lidah boleh mengakibatkan kejahatan yang lebih besar dan sahsyat dalam rumahtangga.

Dosa besar

Selain mengumpat suami, wujud golongan isteri yang kerap terbabit dalam penderaan dan pemaksaan terhadap suami-suami yang lemah, menuntut sesuatu yang suami tidak sanggup memikulnya merupakan dosa besar yang boleh membawa kepada seksa api neraka sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Aku melihat ke dalam neraka dan kebanyakan penghuninya adalah golongan perempuan.” “Mengapa Ya Rasulullah?” Rasulullah SAW bersabda : “Kerana kekufuran mereka.” Para sahabat bertanya : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Rasulullah SAW bersabda : “Mereka kufur kepada suami. Seandainya kamu berbuat baik kepada isterimu sepanjang tahun kemudian dia melihat satu kesalahanmu, maka dia berkata: Aku tidak melihat satu pun kebaikanmu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Itulah puncanya yang menyebabkan kaum wanita ramai terjerumus dalam api neraka. Jika para isteri sentiasa mengingati akan ancaman ini, maka waspadalah terhadap kejahatan lidah anda.

Erk... tetapi bagaimana pula jika perangai suami memang membosankan, takkan isteri sanggup bersabar dan mendiamkan diri hingga sakit jiwa? Memang pun tidak boleh didiamkan sikap-sikap suami yang negatif. Mengapa tidak dipergunakan lidah itu untuk mengucapkan kata-kata yang baik? Atau pun rangsangan dan nasihat yang ikhlas dengan kelembutan bahasa dan kesopanan budi pekerti. Cakap memang senang, dah berbuih mulut menasihati tetapi tidak juga nampak tanda-tanda mahu berubah.

Pujuklah hati anda, kita hanya berusaha, Tuhan pula yang berhak memberi hidayah dan petunjuk-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Anggaplah satu sifat buruk itu boleh digantikan dengan kebaikan-kebaikannya yang lain, takkan tidak ada satupun jasa suami yang anda nampak?

Janganlah diingat sangat keburukannya, lebih elok memuji kebaikan suami. Biasanya orang yang kena puji cepat mengalah dan tunduk. Kadang kala satu kalimah yang anda lafaz membuatkan Allah Taala redha dan memandang anda dengan pandangan rahmat, tetapi mungkin saja anda telah menyebut satu perkataan yang membuat jatuhnya kemurkaan Allah. Oleh itu, jagalah lidah dan selamatkan rumahtangga anda!




Rujukan : Dr Juanda Jaya #1316

Butiran selanjutnya ...

Ahad, Julai 17, 2011

Pil pencegahan kehamilan – mitos dan fakta perlu diketahui wanita


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Terdapat pelbagai mitos berkaitan pengambilan pil pencegah kehamilan. Jika anda masih ragu-ragu lagi berkaitan pengambilan pil pencegah kehamilan, diharapkan penerangan ini mampu merungkaikan persoalan di minda anda.

Berikut adalah mitos dan fakta berkaitan pil pencegahan kehamilan yang perlu diketahui oleh wanita.

Mitos 1 – pil pencegah kehamilan penyebab kanser
Fakta : Pil pencegah kehamilan melindungi wanita daripada kanser ovari dan kanser pada uterus (rahim).

Mitos 2 – Pil pencegah kehamilan memyebabkan kecacatan bayi
Fakta : Kira-kira 100 juta wanita di seluruh dunia mendapat kebaikan daripada penggunaan pil pencegah kehamilan. Kualiti gaya hidup mereka telah bertambah baik dan banyak penyelidikan telah dilakukan terhadap pil pencegah kehamilan. Sehingga kini, tidak terdapat sebarang bukti yang mengaitkan pengambilan pil pencegah kehamilan dengan kecatatan bayi.

Mitos 3 – Pil pencegah kehamilan memberi kesan pada kesuburan
Fakta : Kebanyakan wanita dengan segera akan kembali semula ke tahap kesuburan yang sama sebaik menghentikan pengambilan pil pencegah kehamilan. Ramai wanita mengambil pil pencegah kehamilan sebagai kaedah pencegahan semasa muda. Apabila mereka mengambil keputusan tidak mahu menggunakan pil pencegah kehamilan, usia yang bertambah telah mengurangkan peluang mereka untuk hamil.

Perkara inilah yang menyebabkan salah anggap bahawa pil pencegah kehamilan memberi kesan kepada kesuburan. Sebenarnya, pil pencegah kehamilan melindungi wanita daripada kehamilan ektopik dan fibroid, keadaan yang memberi kesan pada kesuburan. Bagi wanita yang menghadapi masalah haid tidak tetapi sebelum pengambilan pil pencegah kehamilan, mereka memerlukan jangka masa pendek sebelum tahap kesuburan itu kembali semula.

Mitos 4 – Pil pencegah kehamilan hanya digunakan untuk mencegah kehamilan
Fakta : Selain untuk tujuan pencegah kehamilan, pengambilan pil pencegah kehamilan amat berkesan dalam mengurangkan sakit ovulasi, kejang otot semasa haid (sengguggut) dan gejala-gejala prahaid.

Ia boleh mengurangkan risiko anemia, satu keadaan yang biasa berlaku pada wanita yang mengalami haid banyak. Pil pencegah kehamilan juga melindungi wanita terhadap kehamilan ektopik, osteoporosis, sista ovari dan kanser ovari.

Mitos 5 – Pil pencegah kehamilan amat berkesan bermula daripada hari pertama kitaran haid wanita, dan kemudiannya diambil setiap hari sebagaimana yang diarahkan. Jika tidak, kaedah tambahan untuk pencegah kehamilan seperti kondom perlulah digunakan.

Bagi sesetengah wanita jika lebih satu masa diperlukan untuk memastikan hormon semulajadi wanita untuk mencegah ovulasi, maka pil pencegah kehamilan lebih berkesan selepas rawatan satu kitaran haid yang sepenuhnya.

Mitos 6 – Pengambilan pil pencegah kehamilan akan menangguhkan menopaus
Fakta : Pengambilan pil pencegah kehamilan tidak akan menangguhkan menopaus. Usia menopaus seorang wanita adalah 51 tahun.

Mitos 7 – Pil pencegah kehamilan secara automatik menyebabkan keguguran
Fakta : Pengambilan pil pencegah kehamilan tidak menyebabkan keguguran secara automatik. Adalah dinasihatkan untuk berjumpa doktor bagi mengesahkan kehamilan. Berkaitan dengan terlupa mengambil pil pencegah kehamilan sebelum melakukan hubungan kelamin, terdapat pil pencegah kehamilan kecemasan (dikenali sebagai ‘pil selepas waktu pagi’) boleh digunakan. Jika diambil dengan cara yang betul, ia berkesan dalam mengurangkan peluang kehamilan.

Mitos 8 – Semua pil pencegah kehamilan oral (dimakan) adalah sama
Fakta : Terdapat banyak jenis pil pencegah kehamilan yang boleh diambil oleh wanita. Setiap satunya mempunyai kebaikan tersendiri. Selain membantu mencegah kehamilan, pil pencegah kehamilan dos rendah baru telah menambah kebaikan termasuklah pengurangan dalam gejala-gejala berkaitan dengan haid seperti sakit kepala, kekejangan dan rasa sakti pada payudara berikutan dengan jarak bebas hormon yang telah dipendekkan.

Adalah penting untuk berbincang dengan pengamal perubatan atau doktor apabila anda bercadang mengambil produk dan kaedah yang anda fikir sesuai dengan keperluan dan kesihatan anda.

Mitos 9 – Pil pencegah kehamilan boleh menyebabkan jerawat atau akne
Fakta : Pil pencegah kehamilan moden atau pil pencegah kehamilan kombinasi tidak menyebabkan sebarang jerawat. Hakikatnya, terdapat beberapa pil pencegah kehamilan dos rendah baru yang terbukti mampu merawat jerawat sederhana.

Mitos 10 – Pil pencegah kehamilan oral (dimakan) tidak selamat
Fakta : Semenjak diperkenalkan 50 tahun lalu, pil pencegah kehamilan telah menjadi satu daripada ubat yang paling banyak menjalani penyelidikan dan dipreskripsikan. Seperti ubat-ubat lain, terdapat juga beberapa risiko kepada kesihatan tetapi kesan sampingan serius adalah jarang berlaku apabila pil ini diambil mengikut preskripsi doktor.

Mitos 11 – Pil pencegah kehamilan tambah berat badan
Fakta : Apabila memulakan pengambilan pil pencegah kehamilan yang baru, ada wanita yang akan rasa badan dan muka mereka sembab. Tetapi keadaan ini akan hilang seiring dengan masa. Banyak kajian klinikal telah mendapati tidak ada kaitan antara pil pencegah kehamilan dos rendah moden dan berat badan.

Penjelasan yang boleh diberikan terhadap berat badan yang dialami adalah kebanyakan wanita mula mengambil pil pencegah kehamilan semasa muda. Apabila tubuh mereka dewasa, pertambahan berat badan menjadi perkara biasa.

Mitos 12 – Pil pencegah kehamilan menghentikan haid sepenuhnya
Fakta : Ada wanita yang diberi pil pencegah kehamilan oleh doktor untuk membantu mengawal kitaran haid. Pil pencegah kehamilan yang asal telah dicipta untuk meniru semula kitaran haid semulajadi wanita.

Sementara itu, beberapa regimen (tatacara pemberian ubat secara menyeluruh) pil pencegah kehamilan baru dicipta untuk mengurangkan atau menyekat haid sepenuhnya. Kebanyakan pil pencegah kehamilan dos rendah yang baru tidak menghentikan haid dan menyediakan kawalan kitaran haid yang bagus. Namun begitu, jangka masa dan jumlah pendarahan mungkin boleh dikurangkan.

Mitos 13 – Wanita yang mengambil pil pencegah kehamilan dalam satu jangkamasa yang panjang perlu untuk menghentikan penggunaan pil pencegah kehamilan dan berehat seketika
Fakta : Tidak ada alasan untuk wanita sihat untuk berehat daripada menggunakan pil pencegah kehamilan. Pil pencegah kehamilan merupakan satu daripada pilihan pil pencegah kehamilan efektif yang boleh diperolehi. Berehat daripada mengambil pil akan meningkatkan risiko wanita aktif dalam hubungan kelamin untuk mendapat kehamilan tanpa dirancang.

Mitos 14 – Pil pencegah kehamilan melindungi diri daripada penyakit berjangkit akibat hubungan kelamin atau STÐ
Fakta : Pil pencegah kehamilan tidak menawarkan sebarang perlindungan menentang HIV/AIÐS atau sebarang penyakit berjangkit akibat hubungan kelamin (STÐ). Cara terbaik bagi mencegah STÐ adalah menggunakan kondom atau penahanan diri daripada melakukan hubungan kelamin.

Mitos 15 – Antibiotik memberi kesan kemujaraban pil pencegah kehamilan
Fakta : Kemujaraban pencegah kehamilan dan tahap plasma steroid pil pencegah kehamilan tidak berubah dengan kehadiran setentak kebanyakan antibiotik yang diberikan oleh doktor.

Mitos 16 – Pil pencegah kehamilan tidak begitu berkesan dan efektif
Fakta : Apabila diambil denganbetul dan berterusan, pil pencegah kehamilan berkesan 99% dalam mencegah kehamilan. Jika terlupa untuk mengambil pil pencegah kehamilan, ia menjadi kurang efektif, sebagai contohnya, terdapat kira-kira 8% ‘kadar kegagalan pengguna’ dan kehamilan boleh terjadi.

Mitos 17 – Pil pencegah kehamilan membunuh sperma
Fakta : pil pencegah kehamilan mengandungi hormon yang menyekat ovulasi dan menghentikan telur daripada dilepaskan daripada ovari dan sekaligus mencegah kehamilan. Pil pencegah kehamilan tidak membunuh sperma.




Sumber : Bayer Healthcare di MW#1438 & MW##1439

Butiran selanjutnya ...

Risiko ikat peranakan

KEADAAN mengikat peranakan (dari kiri) dilecuhkan, ikat, potong dan klip.

Peluang wanita hamil semula amat tipis biarpun jalani prosedur buka semula salur fallopian dan IVF

APAKAH pilihan yang ada sekiranya selepas mengikat salur peranakan secara Bilateral Tubal Ligation (BTL), anda mengubah fikiran untuk hamil semula? Pertama melakukan prosedur Reversal of Tubal Ligation (RTL) iaitu membuka semula tiub fallopian yang diikat atau teknik Permanian Berhadas yang lebih dikenali sebagai In-Vitro Fertilization (IVF). Apapun pilihan anda, dilemanya tetap ada.

Pelbagai faktor harus diambil kira termasuk emosi, mental, fizikal, peratusan kejayaan kedua-dua teknik ini yang masih rendah selain kosnya yang agak tinggi. Isu berkaitan zuriat memang cukup menyentuh emosi kerana zuriat bukan saja mampu mengukuhkan ikatan perkahwinan malah berkemungkinan menjadi penyebab keruntuhan rumah tangga.

Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Perubatan Reproduktif, Pusat Perubatan Darul Ehsan, (DEMC) Shah Alam, Dr Zamri Abdul Rahim menjelaskan ada beberapa sebab mengapa seorang wanita mengambil keputusan mengikat peranakan atau pembuluh yang membawa telur ke dalam rahim ini.

Pertama, jumlah ahli keluarga sudah lengkap atau kedua dinasihatkan untuk berbuat demikian selepas tiga kali melalui kelahiran secara pembedahan atau caesarean atas dasar kesihatan atau ketiga, kerana berkahwin semula.

“Sayangnya kebanyakan kes wanita yang dinasihatkan mengikat peranakan selepas melahirkan secara caeserean masih muda dan berpotensi untuk hamil lagi,” katanya yang menjelaskan ada negara di dunia yang tidak membenarkan prosedur BTL sehingga menyebabkan risiko komplikasi kepada si ibu.


KEADAAN ketika mengikat peranakan (kiri) dan bagaimana proses mengikat itu dilakukan.

Di Malaysia sebaliknya, kesihatan ibu lebih mustahak berbanding bilangan anak kerana mengikut amalan perubatan di negara ini, kemampuan untuk hamil, adalah satu kebolehan seseorang wanita itu.

Ada beberapa cara mengikat peranakan yang biasa dilakukan di negara ini termasuk teknik terbuka selepas selesai kelahiran caesarean. Ia dilakukan dengan mengikat, memotong dan melecuhkan saluran itu. Jika melalui teknik laporoskopi pula, biasanya klip atau lingkaran cincin digunakan, kadangkala ia turut dilecuhkan.

“Apabila wanita mahu hamil kembali secara normal, peranakan yang diikat tadi boleh dibuka semula menerusi teknik RTL. Soalnya adakah anda calon sesuai untuk prosedur membuka tiub peranakan kerana tidak semua wanita yang pernah mengikat peranakan boleh melakukannya,” katanya.

Sepanjang tempoh pemeriksaan, pakar kesuburan akan memeriksa tahap kesihatan semasa salur fallopian, biasanya menggunakan teknik laproskopi. Pakar juga akan menyemak rekod pembedahan dan patologi di mana prosedur mengikat peranakan dilakukan. Mereka juga akan mengambil kira beberapa faktor berikut seperti bagaimana ligasi tiub dilakukan (sama ada tiub fallopian dipotong, diikat, dilecuhkan atau disekat tanpa surgeri mengguna klip atau cincin); bahagian mana pada tiub fallopian anda ligasi dilakukan; berapa banyak lagi tiub fallopia yang tinggal; tahap kesihatan tiub fallopia dan usia anda.

Isu lain yang sama penting adalah kualiti sperma pasangan, keadaan dan status pelvik bebas dari komplikasi seperti endometriosis atau sebarang parut tisu sekitar tiub atau ovari; kuantiti telur dan kualitinya. Jika komplikasi ini wujud, peluang untuk reversal berjaya sangat tipis. Bagaimanapun, komplikasi ini tidak menjejaskan kehamilan menerusi IVF secara umumnya. Justeru IVF dilihat sebagai pilihan terbaik sekiranya pesakit mempunyai masalah endometriosis atau parut tisu di pelvik.

Walaupun, RTL diamalkan dan boleh menyumbang kepada kehamilan secara normal, perlu diambil perhatian prosedur ini tidak dipraktikkan sekerap IVF di Malaysia berbanding Amerika Syarikat dan Eropah.

“Ini kerana RTL menggunakan kaedah mikro surgeri yang agak rumit, mungkin dari segi kos ia lebih murah dan kedengaran lebih mudah dari segi tekniknya berbanding IVF tetapi rasa bimbang sekiranya ia gagal perlu ada.”

Pakar kesuburan di sini mungkin lebih cenderung kepada IVF memandangkan reversal memerlukan teknik khas termasuk mikroskop dan kelengkapannya yang malangnya tidak banyak hospital di Malaysia sanggup melabur kos yang tinggi untuk menyediakan peralatannya,” jelasnya lagi yang merujuk kepada kadar kejayaan yang rendah dan komplikasi reversal yang tinggi termasuk kes hamil luar rahim (ectopic).

“Cara terbaik adalah bertanya pakar mengenai pesakit lain yang berjaya menjalani prosedur reversal mahupun IVF dan bercakap sendiri dengan mereka. Sekiranya ada cara yang lebih selamat, adalah wajar untuk dipertimbangkan kerana akhirnya pasangan hanya mahukan zuriat yang sihat,” jelasnya yang bangga dengan peratusan kejayaan kehamilan menerusi IVF di DEMC yang kini mencecah 25%.

FAKTA:
Alasan ikat peranakan
  • Tidak mahukan zuriat
  • Mengawal jumlah anggota keluarga
  • Tidak boleh hamil atas sebab kesihatan
  • Aktiviti seks yang aktif dan subur tanpa perlu bergantung pada perancang keluarga seperti pil
  • Atas sebab perubatan/kesihatan

Prosedur ikat
  • Tiub fallopia dipotong dan diikat
  • Disekat dengan gelung silikon
  • Penggunaan klip
Pemeriksaan bagi hamil semula
  • Pakar kesuburan memeriksa tahap kesihatan salur fallopian, biasanya menggunakan teknik laproskopi.
  • Meneliti rekod pembedahan dan patologi prosedur mengikat peranakan dilakukan.
  • Faktor lain diambil kira termasuk bagaimana ligasi tiub dilakukan (sama ada tiub fallopian dipotong, diikat, dilecuhkan atau disekat tanpa surgeri mengguna klip atau cincin); bahagian mana pada tiub fallopian anda ligasi dilakukan; berapa banyak lagi tiub fallopia yang tinggal; tahap kesihatan tiub fallopia dan usia wanita berkenaan.
  • Ujian sperma pasangan turut dilakukan.




Sumber : Suzan Ahmad di BHarian

Capaian entry berkaitan :

* Terbaru: Teknik merancang keluarga
* Rancang jarak kehamilan dan ketahui kaedah merancang kehamilan
* Sihat: Rancang kelahiran anak pertingkat kesihatan ibu
* Panduan elak meroyan
* Kehamilan perlu dirancang
* Ibu murung lahir bayi saiz kecil
* Bayi mati dalam kandungan
* Rancang kewangan demi kesejahteraan keluarga
* Mati bersalin
* Pil perancang: Kenapa masih ‘termengandung’?
* Kesihatan - Elak rahim jatuh
* Rawat segera tekanan perasaan ketika hamil
* Hubungan kelamin selepas bersalin
* Q&A : Bayi melalak hingga ke subuh

Butiran selanjutnya ...

Azab radang sendi

Walaupun adakala bertongkat, Nurul Afida cekal hadapi rheumatoid arthritis arthritis sejak 11 tahun lalu

SESUAI sifat penyakit Rheumatoid Arthritis (RA) yang mengambil masa agak lama untuk menunjukkan gejala yang ketara, fasa awal yang dilalui Nurul Afida Kamaludin, yang menghidap penyakit auto imun ini sejak 11 tahun lalu bermula hanya dengan lenguh dan sakit di bahagian sendi, kejang dan lesu.

Namun, ibu empat anak ini masih tidak sedar akan perubahan dirinya walaupun pernah terjatuh ketika hamil anak ketiga pada 1998.

“Pada mulanya hanya sakit-sakit sendi saja. Lama kelamaan ia mula melarat ke rahang, siku dan bahagian otot lain. Biasanya ia reda selepas makan ubat penahan sakit jadi saya abaikan saja kerana tidak menganggap ia sesuatu yang serius,” kata wanita berusia 45 tahun ini ketika ditemui, baru-baru ini.



Malah, keadaan penyakitnya serta derita yang ditanggung sekian lama, menjadikannya ‘model’ pesakit RA pada majlis perasmian Treat to Target in Rheumatoid Arthritis anjuran Persatuan Arthritis Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Abbott Malaysia di sini, baru-baru ini.

Hanya ketika hamil anak keempat, gejala-gejala seperti kejang, sakit sendi, lesu semakin jelas dan ditambah kematian ayah tersayang, Kamaludin Abdul Razak, pada 2000 yang turut menjadikannya murung.

Namun, Nurul Afida masih tidak dapat mengesan apa penyakit dialaminya walaupun selepas beberapa kali melakukan ujian darah. Akibatnya dia terlalu bergantung kepada ubat tahan sakit. Kemuncak deritanya pada tahun sama, apabila sebaik habis pantang, dia tidak boleh bergerak. Bahu terasa sangat sakit dan terpaksa memikirkan pula keadaan bayinya yang baru berusia dua bulan ketika itu.

“Saya ke sebuah hospital swasta dan membuat ujian darah lagi. Cukup mengejutkan apabila keputusan ujian darah itu menunjukkan faktor rheumatoid arthrtis saya mencecah 480 walhal bacaan seorang yang normal sepatutnya 20 saja. Ketika itu saya tak ubah macam mayat hidup kerana seluruh tubuh badan kaku dan lebih menyedihkan tangan sudah mula berubah dan mengerekot,” kata Penolong Pengarang di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Dia mengambil keputusan untuk tidak lagi ke hospital swasta kerana kosnya yang terlalu tinggi.

Fasa selanjutnya dalam hidup insan tabah yang yang tidak lekang senyuman ini penuh dengan pelbagai dugaan. Urusan kerjayanya sering terganggu. Selain suami, keluarga, saudara mara yang masih belum memahami apakah penyakit yang dialaminya membawanya berdepan pelbagai persepsi dan andaian yang langsung tidak membantu proses pemulihannya.

“Saya sendiri mengambil masa dua tahun untuk memahami pelbagai jenis ubat, penyakit dan bagaimana menguruskan kehidupan dengan penyakit ini. Hidup perlu diteruskan, jadi saya perlu berfikiran positif kerana memikirkan masa depan keluarga dan anak-anak. Walaupun tahun berganti tahun dan penyakit ini masih tidak banyak berubah, saya masih bersyukur melihat perkembangan teknologi perubatan moden yang pantas dan semakin canggih.”

“Allah sentiasa memberi petunjuk dan jalan keluar kepada hambanya. Syukur saya diberi peluang mencuba pelbagai jenis ubatan baru di hospital kerajaan termasuk terapi bukan biologics seperti MTX seminggu sekali manakala biologics pula seperti infliximab selama setahun. Saya harus berterima kasih kepada BERNAMA kerana menanggung kos perubatan itu selama setahun disamping majikan, rakan sekerja dan rakan taulan yang memahami penyakit ini.”

“Walaupun kini ada kalanya terpaksa bertongkat, saya percaya bahawa banyak perkembangan positif yang sudah saya alami. Bayangkan dulu nak pegang apa pun pun tidak berdaya. Kini, walaupun mengalami kecacatan anggota tetapi sekurang-kurangnya saya boleh berfungsi dengan baik sebagai isteri, ibu, rakan dan menyumbang kepada masyarakat. Jika hendak dibandingkan keadaan saya 11 tahun lalu, saya kini lebih baik lagi ditambah pengetahuan dan ilmu yang mendalam yang membantu dalam pengurusan penyakit secara lebih terancang.”

“Pesanan saya kepada wanita berusia di awal 20-an, khususnya, andai alami gejala seperti bengkak pada sendi jari, demam waktu malam dan ruam pada badan, cepatlah berjumpa doktor untuk pemeriksaan, terutama pemeriksaan darah. Percayalah, rawatan awal dapat menghindar masalah keradangan berlanjutan sehingga berlaku hakisan tulang dan mengakibatkan kecacatan anggota seperti yang saya alami.”

Ultrasound bantu kesan RA lebih awal

RHEUMATOID Arthritis (RA), adalah masalah auto imun yang dihidapi hampir 135,000 pesakit di Malaysia. Ia adalah penyakit kronik yang bersifat progresif dan memusnah sendi dan tisu di sekelilingnya. Jika tidak dirawat dengan baik, ia bakal mengundang kecacatan. Laporan Pendaftar Keradangan Arthritis Kebangsaan (NIAR) menunjukkan kebanyakan atau 48.7 peratus pesakit lewat didiagnos iaitu 12 bulan selepas gejala awal bermula.

Dr AnwAr melakukan demonstrasi kepada pesakit rheamatoid Arthritis, menggunakan mesin Musculoskeletal Ultrasaund dimajlis perasmian 'Treat to Target' in rheumatoid Arthritis dan MOU fasa 2 'Power of Imaging Campaign' di Hotel One World.

Lalu, apakah pilihan bagi mereka yang mahu mengesannya seawal mungkin? Pakar Perunding Rheumatologi, Dr Anwar Arshad, menegaskan betapa pentingnya peranan teknologi imbasan ultrasound dalam bidang perubatan rheumatologi.

“Kemajuan teknologi perubatan membantu pakar mengklasifikasikan pesakit tertentu mengikut peringkat dan tahap penyakit. Dan kerana teknologi juga, sejak sedekad kebelakangan ini pakar rheumatologi menjadikan ultrasound sebagai kelengkapan utama di klinik-klinik mereka.”

“Ultrasound muscular sceletol adalah lebih kurang sama dengan aplikasi imbasan lain. Apa yang membezakannya adalah penggunaan frekuensi yang lebih tinggi bagi mengesan struktur di bawah kulit. Sedikit ubah suai dilakukan terhadap teknologi itu bagi membolehkan kami melihat struktur sehingga dua sentimeter di bawah kulit,” katanya selepas membuat demonstrasi penggunaan ultrasound selepas majlis perasmian Treat To Target in Rheumatoid Arthritis (T2T), baru-baru ini.

Kajian menunjukkan ultrasound mampu memberi gambaran tahap keradangan yang berlaku dengan sensitiviti lebih baik dan menumpukan sendi yang bermasalah. Diagnosis atau pengesahan seseorang itu menghidap RA hanya diperoleh selepas penemuan pengimejan digabungkan dengan tanda-tanda klinikal, sejarah pesakit dan maklumat biokimia.

“Maklumat pengimejan ternyata akan membantu pakar rheumatologi membuat keputusan ujian klinikal dan pengurusan klinikal seseorang pesakit. Jika anda ada saudara mara mengalami keradangan awal arthritis, pengimejan adalah saranan terbaik bagi mengesan secara tepat apa sebenarnya berlaku dalam sendi mereka itu,” katanya.

Adalah sangat praktikal bagi seorang doktor melakukan diagnos atau merawat pesakit rheumatology menggunakan ultrasound bagi memeriksa sendi kecil secara lebih tertumpu, seperti sendi jari atau ibu jari kaki, bagi menilai paten kemusnahan dan kerosakan atau sejauh mana aktiviti keradangan. Ultrasound memiliki resolusi ruang yang tiada bandingannya sebaik diaplikasi pada sendi kecil, bagaimanapun nilainya pengimejan itu masih bergantung kepada kepakaran pengguna mesin ultrasound berkenaan.

Dengan kesinambungan Kempen Power of Imaging fasa kedua di antara Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Rheumatologi Kebangsaan dan Abbott Malaysia lebih ramai lagi pakar rheumatologi akan dilatih dan saya percaya dalam beberapa tahun mendatang ia akan menjadi peralatan utama kepada pelatih yang cukup mahir dengan aplikasi rheumatologi. Apa yang pasti pengimejan ultrasound adalah peralatan yang saling melengkapi dan bukan saingan kepada diagnosis dan rawatan susulan RA.

Sementara itu, T2T adalah inisiatif di peringkat antarabangsa yang julung kali diadakan khusus bagi memberi definisi kepada rawatan tertumpu rheumatoid arthritis (RA) bagi mengukur aktiviti penyakit dan menggalakkan diagnosis dan rawatan awal. Buat masa ini, inisiatif ini turut disertai pakar rheumatologi secara global membabitkan lebih 45 negara.

Sasaran utama T2T adalah bagi melengkapkan pakar perubatan rheumatologi dengan arah yang jelas membabitkan rawatan tertumpu dan kawalan penyakit yang ketat, yang di aplikasi secara harian bagi memastikan pesakit mencapai keadaan klinikal di mana kerosakan otot dan kecacatan dapat dielakkan.

INFO: Rheumatoid Arthritis
Segera temui doktor jika...
* Mengalami sendi yang sakit, bahang dan bengkak
* Mendapati simtom pada sendi secara bersimetri
* Alami keradangan sendi yang seringkalinya pada pergelangan tangan dan sendi jari yang paling dekat dengan tangan.
* Ada keradangan sendi yang kadangkala menjejaskan sendi yang lain, seperti leher, bahu, siku, pinggul, lutut, buku lali dan kaki
* Terasa amat penat, mengalami demam tidak tentu pasal dan sentiasa berasa tidak sihat.
* Mengalami sakit dan kaku berlanjutan lebih 30 minit pada waktu pagi atau selepas berehat agak lama.
* Mengalami simtom yang berlanjutan lebih dari beberapa minggu

Sumber: Yayasan Arthritis Malaysia di laman sesawang www.afm.org.my

Antara gejala:
* Sakit sendi (lengan, pergelangan tangan, jari-jari, pergelangan kaki, lutut, pinggul dan bahagian bawah tulang belakang terutama semasa dan selepas aktiviti.
* Bengkak di bahagian sendi
* Kekerasan sendi.

Rawatan:
Selain ultrasound dan pengimbas magnetik (MRI), RA turut dirawat menggunakan terapi Biologics dan bukan Biologics
Biologics : Infliximab, Etanercept, Adalimumab, Rituximab dan Tocilizumab
Terapi bukan Biologics: MTX, SAS, HCQ, Leflunomide, Cyclosporine dan Azathioprine.




Sumber : BHarian 17/07/2011

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, Julai 16, 2011

Rancang jarak kehamilan dan ketahui kaedah merancang kehamilan


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Search keyword pilihan dari statistik belog Laman-Seri minggu ini ialah ‘pil pencegah kehamilan’ atau lebih dikenali sebagai ‘pil perancang’. Merancang jarak kehamilan penting bagi memastikan anak mendapat penjagaan dan kasih sayang mencukupi daripada ibu, lebih-lebih corak kehidupan yang menuntut kos sara hidup tinggi, perancangan teliti perlu untuk kesejahteraan keluarga. Ada ibu bijak merancang tempoh hamil selain mengambil kira tahap kesihatan mereka kerana kadang kala, ketika hamil pelbagai penyakit wujud seperti darah tinggi, diabetis dan kesakitan lain yang tidak diduga.

Paling penting, jarak kehamilan yang dirancang juga memberi kelegaan kepada organ dalaman dan si kecil anda tentunya mempunyai tempoh mencukupi untuk bermanja dengan anda. Justeru, sejak awal tamadun kehidupan manusia, pelbagai cara dilakukan untuk merancang kehamilan supaya perjalanan keluarga dapat diuruskan dengan harmoni atau dalam erti kata lain, biar kuantiti anak berkurangan asalkan berkualiti.

Pada zaman Mesir purba, ramai menggunakan ramuan najis buaya untuk mengawal kehamilan manakala orang Yunani pula menganggap kulit lemon boleh digunakan sebagai penghalang sperma seterusnya mengelakkan kehamilan berlaku. Penggunaan kondom juga sudah diterokai sejak dulu kerana mereka menggunakan kondom daripada linen untuk mencegah kehamilan serta ahli falsafah Greek merumuskan mengenai campuran minyak zaitun dan madu boleh digunakan sebagai bahan pencegah kehamilan. Hakikatnya, masyarakat zaman terdahulu juga bijak merancang keluarga menyebabkan mereka mempunyai banyak cara mengawal kehamilan.

Kini masyarakat tidak perlu risau memikirkan mengenai cara mengawal kehamilan atau kontrasepsi kerana kemajuan sains membenarkan kajian dilakukan oleh doktor dan saintis dalam bidang ini, seterusnya membawa kepada penemuan yang memudahkan banyak pihak seperti penggunaan pil pencegah kehamilan.

Kali ini Laman-Seri membicarakan tentang perancang keluarga yang cukup penting untuk membantu wanita memahami apakah tindakan yang perlu mereka lakukan sebaik sahaja selesai melalui proses bersalin.

Kepentingan merancang kehamilan

Sekiranya mereka berpeluang merancang keluarga, ia menjadi pengurusan kekeluargaan lebih baik dan menyumbang kepada mutu kehidupan yang positif. Mitos dan persepsi mengenai teknik kontrasepsi seperti penggunaan pil dan sistem intrauterine sudah ketinggalan zaman. Dengan kepelbagaian pilihan penggunaan alat pencegah kehamilan kini, wanita berpeluang membuat pilihan yang manakah sesuai dengan keadaan diri mereka.

Kaedah kontrasepsi memudahkan wanita, selamat diamalkan, mampu dimiliki dan ia memberi manfaat bukan saja bertujuan mencegah kehamilan, sebaliknya banyak manfaat kesihatan berkaitan boleh dinikmati wanita seperti mengawal haid serta membawa kebaikan kepada kulit dan tulang.

Penggunaan pil pencegah kehamilan menjamin mutu kesihatan wanita. Apabila wanita dapat merancang keluarga dengan baik, ia menyumbang kepada kurangnya kadar kematian bayi, mengelakkan gangguan prahaid dan masalah akne juga dapat diatasi. Manfaat lain daripada pengambilan pil pencegah kehamilan ini ialah kualiti hidup meningkat dengan wujudnya taraf kesihatan memuaskan di kalangan ahli keluarga seterusnya mempunyai lebih tenaga untuk membina kerjaya peribadi dan kegiatan bermasyarakat.

Penggunaan pil pencegah kehamilan ini juga menyelamatkan wanita dalam banyak perkara terutama kesihatan wanita ketika hamil. Ketika hamil, banyak risiko dihadapi wanita seperti kandungan yang tidak diingini, bayi mati dalam kandungan, gejala berkaitan ovari, barah dan jantung. Dengan pengambilan pil pencegah kehamilan, wanita mungkin dapat mengelakkan daripada mengalami gejala berkaitan dan kesihatan mereka juga terpelihara daripada penyakit berkenaan.

Kemudahan dan akses terhadap pengetahuan mengenai pil pencegah kehamilan ini meletakkan wanita boleh merancang keluarga dengan baik sekali gus memperkasakan wanita baik di tempat kerja mahupun ketika bersama keluarga di rumah.

Banyak kaedah rancang proses kehamilan

Terdapat berbagai-bagai jenis perancang keluarga boleh didapati di negara ini dan ia boleh dibahagikan kepada kaedah moden, semulajadi dan tradisional. Walau bagaimanapun, tiada bukti saintifik yang menyokong keberkesanan kaedah tradisional. Perancang keluarga moden dibahagikan kepada kaedah sementara dan kekal. Kaedah sementara ini terdiri daripada kaedah yang mengandungi hormon dan tidak mengandungi hormon.

Kaedah mengandungi hormon

Kaedah perancang keluarga yang mengandungi hormon adalah pil perancang keluarga, suntikan hormon, implan, plaster, tampalan dan vaginal ring.

1 – Pil perancang keluarga

Terdapat 2 jenis pil perancang kelaurga iaitu sejenis pil yang mengandungi 2 jenis hormon iaitu estrogen dan progesteron manakala sejenis lagi mengandungi 1 jenis hormon sahaja iaitu progesteron. Pil yang mengandungi sejenis hormon selamat digunakan sewaktu ibu tersebut menyusukan anaknya.

Pil perancang berkesan sekiranya dimakan sewaktu haid bermula setiap hari selama 21 hari, kemudian berhenti untuk 7 hari di mana haid akan keluar pada masa tersebut. Pengambilan ubat perlulah setiap hari serta pada masa yang sama agar paras hormon tersebut di dalam badan adalah konsisten bagi mengelakkan risiko mengandung. Sekiranya pengambilan ubat adalah betul, risiko hamil adalah serendah 0.3%. Pengguna kaedah ini akan kembali subur apabila seseorang wanita itu berhenti mengambil pil perancang keluarga.

KOMEN :
Pil perancang jenama Mercillon adalah antara produk yang bagus pada pengujung tahun 90an, tetapi menurut sesetengah individu setelah pengambilan pil, mereka mendapati berat badan tidak konsisten, mood tidak menentu dan kurang bernafsu terhadap hubungan intim. Walau bagaimanapun, kedatangan haid akan menjadi tepat setiap bulan. Harganya pula dalam lingkungan kurang RM20.00 sekotak.

Pil perancang jenama Diane 35 amat terkenal untuk kesihatan kulit. Pengguna akan mendapati kulit muka akan kurang berminyak atau tiada minyak langsung, bintik-bintik hitam atau jeragat dan jerawat (juga jerawat teruk) di muka juga boleh pudar dan menghilang. Sesetengah individu mendapati pil ini tidak menyebabkan berat badan bertambah, tiada kesan mual, pening atau loya akibat pengambilannya. Boleh juga diambil oleh wanita yang mengalami hirsutism (muka ada misai dan berbulu banyak). Kedatangan haid akan menjadi tepat setiap bulan. Harganya pula dalam lingkungan RM35-40.00 sekotak.

Pil perancang jenama Yasmin paling bagus untuk sesetengah individu kerana dikatakan pengguna pil ini tidak mempunyai masalah berat badad, tidak mengganggu mood dan pengguna ‘berselera’ terhadap hubungan seksual (tiada masalah kurang libido). Kedatangan haid adalah tepat pada setiap bulan. Namun harganya sedikit tinggi daripada dua pil yang disebutkan di atas iaitu dalam lingkungan RM40-55.00 sekotak.

Apapun jenama yang menjadi pilihan anda, perlu diingatkan kesan sampingan daripada mengambil pil ini bergantung pada individu. Ini bermakna lain orang, lain kesan sampingan yang akan diterima. Badan juga akan mengambil masa sebulan dua untuk membuat penyesuaian terhadap pil yang diambil, jadi dua bulan selepas pengambilan pil, barulah pengguna akan dapat rasakan sama ada pil yang diambil sesuai atau tidak dengan badan masing-masing.

Sekiranya pengambilan sudah lebih daripada 3 bulan tetapi pengguna masih mengalami muntah yang teruk atau pening, besar kemungkinan besar pil itu tidak bersesuaian dengan badan. Cuba tukar kepada jenama lain jika masih mahu terus mengambil pil perancang.

2 – Suntikan hormon

Suntikan juga mengandungi sejenis hormon dan ia juga boleh diberi pada wanita yang menyusukan anaknya. Suntikan perlu diambil setiap dua atau tiga bulan sekali, bergantung kepada jenis suntikan dipilih.

Keberkesanan kaedah ini bagi mengelakkan hamil adalah tinggi iaitu 99.7%. Kelebihan kaedah ini adalah wanita tidak perlu mengingati untuk mengambilnya setiap hari seperti pil dan amat berkesan bagi wanita yang berkerjaya serta sering outstation.

Tapi perlu diingatkan, penggunaan kaedah berhormon boleh menyebabkan sesetengah wanita mengalami kitaran haid yang tidak teratur untuk beberapa bulan pertama.

KOMEN :
Suntikan hormon ‘Ðepo Provera’, boleh diambil 3 bulan sekali di klinik swasta. Kesan sampingan yang dilaporkan oleh pengguna selepas pengambilan suntikan ini termasuklah pening dan mood tidak menentu. Bagi sesetengah kes, kedatangan haid tiada langsung sepanjang suntikan diambil. Ia juga dilaporkan menyebabkan pengguna kurang bernafsu kepada hubungan seksual. Harga sekali suntikan dalam lingkungan RM35-40.00.

3 – Implan

Implan adalah kaedah yang mempunyai keberkesanan 99.9% bagi pencegahan kehamilan. Kaedah ini boleh digunakan sehingga 3 tahun dan kemudian perlu dikeluarkan. Kaedah ini juga menggunakan satu jenis hormon dan sesuai bagi ibu menyusukan anaknya.

Penggunaan kaedah ini boleh menyebabkan sesetengah wanita mengalami kitaran haid yang tidak teratur untuk beberapa bulan pertama.

KOMEN :
Hampir tiada komen yang negatif tentang impan yang saya dengari. Cuma ada yang meluahkan kebimbangan apabila tiba masanya untuk dikeluarkan kerana dikatakan perlu menjalani pembedahan kecil untuk mengeluarkan impan sebesar batang mancis.

4 – Kaedah kecemasan

Kaedah ini digunakan apabila kaedah lain tidak digunakan dan pasangan suami isteri tersebut tidak bersedia untuk mengandung, sedangkan hubungan seks tanpa perlindungan telah dilakukan. Ðengan ini, pil perancang keluarga kecemasan ini bolehlah diambil selepas bersama dalam masa 72 jam pertama.

KOMEN :
Pil yang biasa dijual adalah jenama Postinor 2. Ia juga popular dengan nama ‘emergency contraceptive’ atau ‘morning after pil’. Bagi sesetengah kes rogol, mangsa akan dinasihatkan mengambil pil ini kerana ia mampu mengelakkan mangsa daripada hamil akibat dirogol.

Ðalam tiap kotak ada 2 biji dan dikatakan boleh diambil sebanyak 4 biji sahaja dalam masa sebulan. Adalah penting pil pertama diambil dalamasa 48 jam selepas bersama dan pil kedua perlu diambil dalamasa 12 jam selepas pil pertama diambil (kena lengkapkan pengambilan pil dalamasa 72jam). Pil ini akan menyebabkan kedatangan haid sedikit ‘lari’ daripada biasa.

Kaedah tanpa hormon

Kaedah perancang keluarga yang tidak mengandungi hormon termasuklah alat dalam rahim (IUCÐ), kondom, diafragma dan kaedah kekal seperti bilateral tubal ligation (BTL) atau vasectomy.

1 – Alat dalam rahim (Multiload copper IUCÐ)

Adalah kaedah perancang keluarga yang boleh digunakan selama tiga tahun dan selepas tempoh tersebut ia perlu dikeluarkan. Alat ini selamat digunakan untuk ibu menyusukan badan disebabkan tiada hormon di dalamnya. Keberkesanan kaedah ini adalah 99.4%. selain itu, kitaran haid juga tidak terjejas disebabkan tiada penggunaan hormon.

2 – Kondom

Kaedah ini boleh didapati dengan mudah dan salah satu cara untuk mengelakkan kehamilan sewaktu melakukan hubungan seks. Ia juga boleh mengelakkan penyakit jangkitan kelamin. Sebelum menggunakannya, pemakai perlu memeriksa tarikh luput, meneliti sebarang kebocoran, serta Pemasangan yang betul perlu diambil kira untuk memastikan kaedah ini berkesan. Risiko kehamilah dengan kaedah ini adalah 2%.

3 – Ðiafragma

Sejenis kaedah halangan oleh golongan wanita di mana ia menutupi bahagian serviks. Kaedah ini kurang mendapat sambutan disebabkan kaedah penggunaannya. Wanita perlu memasukkan sendiri ke dalam faraj dan meletakkannya di tempat yang betul. Risiko kehamilan dengan kaedah ini juga adalah tinggi iaitu 5%.

INFO: Rancang kehamilan

* Merancang kehamilan membantu anda membesarkan anak dengan selesa.

* Apabila anda mempunyai perancangan yang baik mengendalikan keluarga, anak boleh membesar dengan pendidikan dan perhatian yang cukup dari anda.

* Sebaik-baik jarak kehamilan adalah dua tahun untuk setiap anak.

* Jika bersalin melalui pembedahan, dapatkan nasihat doktor untuk kehamilan seterusnya.

* Terdapat pelbagai jenis kaedah pencegah kehamilan di pasaran selain pil, alat seperti gelang getah juga boleh didapati di klinik untuk tujuan mencegah kehamilan dan merancang keluarga.

* Sekiranya mengambil pil pencegah kehamilan, pastikan anda menurut peraturan tertera di sampul ubat.




Sumber info : BHarian 14/07/2011 dan MW#1443

Capaian entry berkaitan :

* Terbaru: Teknik merancang keluarga
* Sihat: Rancang kelahiran anak pertingkat kesihatan ibu
* Panduan elak meroyan
* Kehamilan perlu dirancang
* Ibu murung lahir bayi saiz kecil
* Bayi mati dalam kandungan
* Rancang kewangan demi kesejahteraan keluarga
* Mati bersalin
* Pil perancang: Kenapa masih ‘termengandung’?
* Kesihatan - Elak rahim jatuh
* Rawat segera tekanan perasaan ketika hamil
* Hubungan kelamin selepas bersalin
* Q&A : Bayi melalak hingga ke subuh

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails