“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Sabtu, Januari 05, 2013

Cakap banyak, mulut celupar tanda akhlak buruk



Assalamualaikum warahmatullah,

Selamat tahun baru 2013 kepada semua pengunjung LAMAN-SERi.

Dalam entri kali ini, LAMAN-SERi hendak berceloteh sedikit tentang sikap buruk dikalangan kita yang menjengkelkan, malangnya sikap buruk kita ini tidak kita sedari. 

Pernahkah ada ditegur rakan, "Amboi! Mulut tak ada insurans!" Jika ada rakan yang menegur akan sikap kita, maka hendaklah kita bersyukur kerana teguran seorang rakan selalunya ikhlas dari hati. Janganlah pula kita melenting, atau cuba mengelak, "ala... aku dah memang macam ni...", sebaliknya cubalah ambil sedikit masa dan renungkan kembali adakah wajar kita bersikap buruk, sedangkan agama menuntut kita berakhlak baik, tidak kiralah dengan sesiapapun.

Sama ada kita sedar atau tidak, cara kita bercakap sebenarnya mewakili tahap pendidikan, tahap IQ dan pengalaman kita. Jika tidak perlu, maka kurangkanlah mengeluarkan perkataan yang boleh mencacatkan peribadi diri sendiri dan perkataan yang boleh meninggalkan kesan yang tidak berapa cantik kepada orang yang kita cakapkan. Bolehkah seseorang yang mempunyai akhlak buruk berubah menjadi baik? Dan bagaimanakah yang dikatakan akhlak baik yang dikehendaki agama? 

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Perbaikilah akhlak (budi pekerti) kamu sekalian.” 

Imam Ghazali menyebut dalam Ihya’ ulumiddin: “Bagaimana kita boleh menolak perubahan akhlak dan kelakuan pada manusia. Perubahan juga boleh berlaku pada binatang. Bukankah burung helang yang asal sifatnya liar itu boleh dijinakkan? Begitu juga dengan kuda yang degil dan menentang sifatnya, dapat dijinakkan menjadi patuh serta menurut. Semua itu adalah perubahan dalam akhlak dan sikap.”

Orang yang menyatakan akhlak atau sikap tidak mungkin boleh berubah, maka kita tanya kepadanya: “Sekiranya akhlak dan kelakuan itu tidak mungkin untuk berubah, maka sudah tentulah tidak ada gunanya peringatan yang kita dituntut untuk menyampaikannya, atau nasihat-menasihati antara satu sama lain, ataupun pendidikan.”

Hakikat budi pekerti itu adalah perilaku (hal dan keadaan) yang meresap dalam jiwa seseorang. Perilaku inilah yang menerbitkan perbuatan dengan perasaan senang dan mudah, tanpa perlu lagi kepada pemikiran dan pertimbangan.

Jika yang terbit daripada perilaku itu perbuatan elok dan terpuji menurut ukuran akal mahupun syarak, maka perilaku ini dinamakan budi pekerti yang baik. Sebaliknya, jika yang terbit adalah perbuatan jahat, maka perilaku yang menjadi sebab terbitnya segala perbuatan jahat itu dinamakan budi pekerti yang jahat.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis bermaksud: “Sesungguhnya orang yang terdekat kepadaku di hari kiamat ialah yang terbaik akhlaknya.”

Sudah sepatutnya orang yang beriman dengan Rasulullah SAW bersemangat untuk menghiasi dirinya dengan semua bentuk akhlak mulia. Sehingga Rasulullah SAW mencintainya dan dekat dengannya di akhirat kerana sikap dan kelakuannya mengikut apa yang Baginda perintah.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang paling aku cintai di antara sekalian kamu dan paling dekat kedudukannya kepadaku di akhirat adalah mereka yang terbaik akhlaknya. Dan yang terburuk di antara kamu sekalian bagiku dan terjauh dariku di akhirat iaitu mereka yang terburuk akhlaknya. Mereka itulah ‘Tsarsarun’, ‘Mutafaihiqun’ dan ‘Mutasyaddiqun’.”

Maksud Tsarsarun ialah orang yang banyak cakap, mutafaihiqun ialah orang yang sombong dan mutasyaddiqun ialah mereka yang cakap tanpa berhati-hati. Justeru, sesiapa yang ingin dicintai Rasulullah SAW dan ingin dekat dengannya di akhirat, hendaklah ia memperbaiki perangainya dan bersungguh-sungguh hingga tercapai cita-citanya.

Mudah-mudahan kita berubah ke arah yang lebih baik di tahun baru 2013 ini. Renung-renungkan.... 




Rujukan: Ust. Zahazan, BH 18/03/12

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails