PAGE

Ahad, Oktober 14, 2007

Buasir - buang air besar berdarah

PENYAKIT buasir memang begitu kerap berlaku di kalangan masyarakat moden yang stres. Umum sudah amat mengetahui tanda utama buasir iaitu pendarahan di dalam najis dari rektum. Malangnya amat jarang diperbincangkan untuk tatapan umum masalah pendarahan di dalam najis itu sendiri secara keseluruhannya.

Sebenarnya permasalahan ini adalah lebih penting dari persoalan tentang buasir itu sendiri kerana terdapat bermacam-macam penyebab atau penyakit lain selain buasir yang juga boleh menyebabkan pendarahan di dalam najis.

‘‘Contohnya penyakit kanser usus yang lebih bahaya daripada buasir,’’ kata Pakar Perunding Bedah Am dan Laparoskopik, Columbia Asia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Abd. Hamid Mat Sain.

Menurutnya, rektum adalah sebahagian daripada usus besar yang terletak di atas lubang dubur (anus). Ia digunakan oleh usus untuk menyimpan najis sebelum sampai masa yang sesuai untuk dibuang. Pendarahan di dalam najis berlaku apabila sel-sel darah merah normal yang terletak di dalam saluran dan pembuluh darah, telah keluar dari dinding-dinding usus dan mengalir serta bertakung di dalam rongga-rongga usus.

‘‘Darah yang berwarna merah cerah menandakan pendarahan itu berlaku dari bahagian pembuluh darah arteri dan terletak di bahagian yang sangat hampir dengan lubang dubur seperti usus sigmoid ataupun rektum.

‘‘Manakala, darah yang berwarna merah gelap diandaikan berpunca dari sumber pendarahan yang lebih dalam iaitu bahagian awal usus besar seperti sekum ataupun bahagian akhir usus kecil iaitu ileum,’’ ujar beliau.

Walaupun tidak dianggap begitu oleh kebanyakan pesakit, kata Dr. Abd. Hamid, najis yang berwarna hitam pekat seperti tar di jalanan adalah juga sejenis pendarahan usus. Darah boleh bertukar dari kebiasaan berwarna merah kepada hitam akibat proses tindak balas kimia oleh enzim-enzim penghadaman dan pencernaan yang berlaku kepada sel-sel darah yang keluar dari dinding- dinding perut ataupun usus kecil.

Punca pendarahan rektum

Pendarahan di dalam najis adalah sesuatu perkara yang amat dramatik bagi mereka yang belum pernah mengalaminya. Lebih dramatik jika pendarahan itu berlaku dengan banyak sekali. Pesakit di kalangan ini sepatutnya terus berjumpa doktor ataupun pakar gastroenterologi dengan serta-merta. Tindakan pantas ini memberi peluang awal kepada doktor untuk mengesan punca atau penyakit yang menyebabkan pendarahan itu sekali gus memberikan harapan yang lebih cerah kepada pesakit untuk pulih.

‘‘Malangnya, ada juga mereka yang telah mengalami pendarahan di dalam najis di dalam kuantiti yang sedikit dan jangka waktu yang bertahun-tahun, masih belum mendapat rundingan daripada doktor.

‘‘Jika pendarahan ini disebabkan oleh penyakit yang bahaya seperti kanser usus, maka kelewatan ini boleh membunuh,’’ kata Dr. Abd. Hamid sambil menambah, pendarahan di dalam najis adalah disebabkan oleh penyakit di dalam dinding usus itu sendiri.

Terdapat juga penyakit dalaman yang telah mengubah kecairan darah dengan menyebabkan sel-sel darah menyerap keluar dari dinding-dinding usus ke dalam rongganya seperti kanser sel darah, leukemia. Gangguan kepada sistem yang mengawal kecairan darah juga boleh berpunca daripada pengambilan ubat seperti Warfarin oleh pesakit jantung.

Kebiasaannya, jika pesakit mendapati pendarahan di dalam najis itu berwarna merah cerah; dan ia keluar dahulu ataupun selepas najis, lazimnya perdarahan ini adalah disebabkan oleh buasir. Sementara itu, pendarahan yang berwarna merah gelap dalam kuantiti yang sedikit dan bercampur-baur dengan najis menimbulkan syak tentang penyakit kanser usus.

Seterusnya, pendarahan hitam pekat selalunya disebabkan oleh penyakit radang di saluran esofagus, perut ataupun usus kecil (duodenum). Ia juga boleh disebabkan oleh ulser ataupun kanser di dalam organ-organ tersebut.

Dr. Abd. Hamid berkata, terdapat juga punca-punca lain yang jarang ditemui pada pesakit tetapi amat penting untuk dikesan bagi memastikan rawatan yang tepat. Contohnya, kanser rahim. Jika penyakit ini tidak dirawat dan dibiarkan membesar dan merebak, maka sel-sel kanser ini akan menghakis dinding-dinding organ yang berdekatan seperti usus besar/rektum dan menyebabkan pendarahan di dalam najis. Keadaan ini dinamakan fistula – juga boleh berlaku di antara pembuluh darah tunjang yang bengkak dengan usus kecil.

‘‘Bagi pesakit-pesakit kanser rahim yang telah mengalami rawatan radioterapi, kesan jangka panjang pancaran radiasi itu juga boleh menyebabkan radang usus yang serius sehingga berlaku pendarahan.

‘‘Bagi pesakit-pesakit yang amat tua (70 ke atas) terutama sekali di kalangan wanita, pendarahan di dalam najis boleh disebabkan oleh penyakit seperti Angiodisplasia dan Divertikulosis,’’ jelas beliau.

Angiodisplasia adalah sejenis penyakit saluran darah kecil di dalam dinding-dinding usus akibat proses penuaan manakala Divertikulosis (perubahan di dinding usus yang menjadi semakin nipis akibat dari proses penuaan dan juga sembelit yang berpanjangan).

Apakah yang akan berlaku kepada pesakit yang mengalami pendarahan rektum?

‘‘Jika kuantiti pendarahan di dalam usus itu amat sedikit, ia tidak akan meninggalkan apa- apa kesan kepada pesakit selain daripada kejutan psikologi bagi mereka yang pertama kali menghadapinya.

‘‘Namun, jika kuantitinya banyak iaitu dalam lingkungan 500cc ke atas, akan berlaku perubahan yang ketara kepada sistem kardiovaskular pesakit,’’ kata Dr. Abd. Hamid.

Pesakit akan berasa amat lemah dan tidak bermaya. Mereka juga akan berasa seolah-olah akan pitam dan jika pendarahan ini terus berlaku dengan banyaknya, maka pesakit boleh jatuh pengsan.

Tanda-tanda pendarahan yang lain termasuklah, muka pesakit akan menjadi pucat dan berpeluh dan jika diperiksa nadinya, kadarnya lebih tinggi dari kebiasaan iaitu 70 denyutan seminit.

Saran Dr. Abd. Hamid: ‘‘Jika berlaku pendarahan di dalam najis dengan tanda-tanda di atas, maka pesakit harus dibawa ke bilik kecemasan di mana-mana klinik atau hospital yang menyediakan servis 24 jam.

‘‘Keadaan ini amat kritikal dan pesakit boleh maut akibat pendarahan di dalam najis yang tidak berhenti apabila tekanan darah mula menurun. Pesakit memerlukan rawatan kecemasan yang intensif.’’

Pesakit yang mengalami pendarahan di dalam najis tidak perlu menunggu tahap sebegini sebelum mendapat rundingan daripada doktor dan pakar. Adalah munasabah untuk berjumpa dengan doktor segera jika berlaku pendarahan di dalam najis yang belum ditentukan puncanya oleh doktor sebelumnya.

‘‘Pendarahan merah cerah atau merah gelap yang disebabkan oleh buasir atau kanser usus kebiasaannya tidak akan menyebabkan pesakit mengalami kesakitan sama ada di bahagian perut ataupun dubur.

‘‘Jika ada kesakitan di bahagian-bahagian ini, puncanya adalah disebabkan oleh radang usus (kolitis) ataupun luka di dubur. Jika pendarahan di dalam najis berlaku bersama dengan lendir yang berlebihan, maka doktor akan mengesyaki kanser usus sebagai puncanya.’’

Satu pemeriksaan fizikal yang amat penting yang mesti dilakukan oleh doktor ke atas pesakit yang mengalami pendarahan di dalam najis adalah pemeriksaan dubur. Ia memerlukan doktor memasukkan satu daripada jari tangannya yang telah dipakai sarung dan berjel ke dalam lubang dubur dan sampai kepada bahagian bawah rektum.

‘‘Kebiasaannya, ia tidak memberi apa-apa rasa sakit selain kurang selesa. Walaupun pemeriksaan ini kadangkala boleh menimbulkan kejelikan di kalangan ramai pesakit, ia amat kritikal dilakukan sebelum seseorang pesakit didiagnosis.

‘‘Betapa banyak kes-kes pesakit yang begitu lama dilabel sebagai mengalami penyakit buasir tetapi setelah pendarahan terus berlaku, ia hanya memerlukan seorang doktor melakukan satu pemeriksaan dubur untuk mendiagnosis kanser rektum,’’ kata Dr. Abd. Hamid.

Lain-lain ujian pengesanan

Jika punca pendarahan tidak dapat dikesan oleh pemeriksaan yang disebut di atas, maka beberapa ujian harus dilakukan untuk mencari penyebab kepada pendarahan dari rektum.

Beberapa ujian darah seperti taraf Haemoglobin (Hb) dan fungsi hati (LFT) sering dilakukan secara rutin. Taraf Hb akan memberi gambaran betapa seriusnya pendarahan itu dan LFT boleh membantu mencari penyakit hati sebagai punca pendarahan dan juga menguji kecairan darah itu sendiri.

Pemeriksaan endoskopi juga harus dilakukan untuk terus mencari punca pendarahan di dalam najis.

Endoskopi yang fleksibel yang berpotensi untuk melihat keseluruhan usus besar iaitu kolonoskopi adalah pemeriksaan endoskopi yang sering dilakukan oleh pakar untuk mencari punca pendarahan di dalam najis.

Jika pendarahan hitam dan puncanya dijangka dari perut atau usus kecil, maka endoskopi atas akan dilakukan melalui mulut.

Rawatan
Umumnya, penyakit-penyakit keradangan usus seperti kolitis dan proktitis hanya dirawat dengan ubat-ubatan. Sementara itu, penyakit kanser usus harus menjalani pembedahan major sebelum dibantu oleh rawatan sampingan seperti kemoterapi dan radioterapi.

Buasir pula boleh dirawat secara ubatubatan di peringkat awal dan apabila ia menjadi serius harus dihapuskan dengan beberapa kaedah termasuk Rubber Banding dan juga pembedahan.

Sumber: Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...