PAGE

Khamis, November 15, 2007

Anggur di Malaysia?

Masa tgh cari bahan, terbaca pulak alkisah anggur ditanam di sini (Msia la)... Waaa... tak sangka... dulu masa pi rumah Wani di Saitama ada gak tgk pokok anggur org tanam kat depan rumah. Kalau di Oita, jenuh melantak anggur bila musim panas hampir berakhir. Kat sana kita panggil anggur 'budo-' (ぶどう) .... Quite funny though... silap dengar macam 'bodoh' pulak.... Sedapnya 'kyoho'!!!


¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Tauke anggur

Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my



“POKOK sekarang tengah ‘togel’. Saya buang daun untuk menggalakkan ia berbunga dan berbuah,” kata pemilik nurseri, Khairil Izwan Ahmad Arshad, 30, ketika ditanya mengenai tanaman anggur yang diusahakannya.

Penjelasannya membuatkan penulis sedikit terkilan. Ini kerana ketika Ramadan lalu, penulis menghubunginya untuk meminta panduan mengenai tanaman anggur berikutan pokok anggur penulis belum berbuah biarpun ditanam sejak lebih dua tahun lalu.


Ketika menghubunginya kali pertama, penulis hanya memperkenalkan diri sebagai peminat tanaman anggur dan meminati pertanian, bukan wartawan.

Mencari info mengenai anggur di Malaysia di Internet sebelum ini, penulis tertarik dengan jaminan Khairil di http:www.agribazaar.com.my/mykhairil iaitu laman web Jabatan Pertanian untuk petani menjual produk pertanian mereka terus kepada pembeli.

Khairil memberi jaminan, anggur yang dibekalkan di nurserinya berbuah manis dan ada pelbagai jenis daripada yang berwarna hijau, kuning, merah dan hitam.

Menurutnya, sejak mengusahakan projek tanaman anggur dua tahun lalu, sudah tiga kali dia menuai hasil iaitu tahun lalu, Mac dan Julai lalu.

Ketika mengunjungi nurseri Khairil, Ai Green Enterprise di Taman Cheras Jaya, Cheras, baru-baru ini, benarlah katanya yang pokok berkenaan sedang togel. Pada batang pokok tumbuh pucuk baru berwarna coklat disertai sulur paut.

Pokok berkenaan dibiarkan menjalar pada penyokong setinggi kira-kira dua meter manakala di sudut lain, didirikan para pokok memanjat.

Di baris lain pula ada pokok yang berdaun. Malah, penulis bernasib baik kerana ada pokok yang berbuah walaupun tidak melalui proses penggalakan buah.

“Tengoklah ni. Kita tak suruh dia berbuah pun, dia mahu buah juga,” katanya sambil menunjukkan gugusan anggur serta pokok yang berbunga dan berbuah kecil.

Menurutnya, untuk menggalakkan anggur berbuah, semua daun perlu dibuang untuk membolehkan tunas baru muncul. Proses itu mengambil masa 110 hari sebelum buah dapat dituai. Cara konvensional iaitu memicit digunakan untuk mengetahui sama ada anggur berkenaan sudah boleh dipetik atau sebaliknya.

Khairil bercadang melakukan proses penggalakan anggur berbuah secara berperingkat kerana cara itu membolehkan nurserinya mempunyai anggur yang berbuah sepanjang tahun.

“Sebelum ini, saya membuang daun di semua pokok anggur dan ia berbuah serentak. Apabila habis musim menuai hasil, yang tinggal pokok anggur yang tidak berdaun dan tiada peluang untuk menunjukkan buah anggur kepada pelanggan yang datang,” katanya sebelum memberi gambar yang dirakamnya ketika memetik anggur, Julai lalu.

Anggur yang melalui proses penggalakan berbuah di nurseri anak muda itu dijangka dapat dipetik pada Disember ini atau awal tahun depan.

Di negara ini, penanaman anggur bukan lagi sesuatu yang asing kerana ia semakin banyak ditanam penduduk di taman perumahan. Mungkin ia boleh tumbuh dengan baik dan merimbun serta mencantikkan halaman rumah, namun bukan mudah untuk ‘memujuknya’ berbuah berikutan kurangnya pengetahuan mengenai penjagaan tanaman Mediterannean ini. Jika mampu berbuah pun, mungkin anggur berkenaan masam.

Untuk berkongsi pengetahuan, Nurseri Ai Green Enterprise menawarkan khidmat membekal benih pokok anggur, menjual, latihan dan khidmat nasihat anggur selain membekalkan baja organik, rawatan tanah dan kawalan serangga perosak organik.

Menurut Khairil, benih pokok anggur di Ai Green Enterprise diperoleh daripada projek tanaman anggur di Timah Tasoh, Perlis. Khairil memiliki lapan jenis anggur seperti Isabella, IAC 971, White Malaga, Black Musket, Cardinal, Probolingo, Kyoho dan Black Opol.

Anggur Isabella terbahagi kepada dua iaitu Isabella yang mempunyai rasa masam manis dan Isabella Madu yang berwarna merah kehitaman dengan rasa manis melekit, manakala IAC 971 (jenis biasa) dan IAC Perdana yang tiada biji.

White Malaga berwarna hijau dan manis, Black Musket berwarna hitam dan Cardinal berbau wangi. Probolingo berasal dari Indonesia, manakala Kyoho dari Jepun. Black Opol berwarna hitam, besar dan manis.

Pokok anggur boleh ditanam sama ada dalam pasu atau tanah. Difahamkan, ada beribu jenis anggur di dunia dan di Malaysia, ada antara tujuh hingga lapan jenis anggur yang hidup liar di hutan tetapi rasanya masam.

Khairil menanam kira-kira 100 pokok anggur dewasa di nurserinya. Anggur jenis IAC 971 dan Isabella mengambil masa tujuh bulan untuk matang dan berbuah, manakala jenis lain sehingga 18 bulan.

Anggur sesuai ditanam di tanah yang mempunyai saliran baik dan tidak boleh ditanam dalam air bergenang kerana akar akan reput dan mati. Komposisi tanah perlu seimbang supaya kadar serapan air tidak terlalu peroi seperti tanah berpasir saja.

Kandungan seimbang antara pasir dan tanah biasa adalah yang terbaik dengan percampuran 2:1:1. Oleh itu pasir juga diperlukan untuk tanaman anggur.

Kadar keasaman (Ph) tanah tanah yang terbaik adalah dalam nilai 6.0 — 7.0 kerana dalam lingkungan ini buah anggur menjadi manis. Untuk menstabilkan keasaman tanah, kapur pertanian digunakan.

Kelebihan Malaysia yang bermusim panas sepanjang tahun membolehkan pengeluaran buah anggur berbanding negara Eropah dua kali ganda banyaknya. Pokok anggur perlu disiram dua kali sekali pada musim panas dan cahaya matahari membantu menghasilkan buah yang manis, cantik dan besar.

Anak benih anggur Ai Green Enterprise dijual di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak serta Brunei. Jualan dibuat menerusi Internet di Agribazaar. Anggur hijau biasanya berbuah lebat dan manis, manakala anggur hitam atau merah ada gugusan kecil serta masam manis.

“Untuk pembeli di luar Lembah Klang, jika mereka ingin memesan anak benih, saya akan menjual keratan batang. Batang pokok akan dipotong pada waktu petang. Selepas membasahkan keratan batang itu, pesanan akan dihantar melalui pos.

“Pelanggan akan diberi panduan menanam dalam beg politena. Ada pembeli dari luar Lembah Klang mengambil kesempatan datang ke nurseri ini jika mereka menghadiri program atau majlis tertentu di sini.

“Ada pihak membeli anak benih dalam beg politena secara pukal untuk membuka ladang anggur. Kami akan memberi khidmat nasihat mengenai penanaman anggur supaya dapat menghasilkan buah.

“Jika pelanggan datang, saya akan bertanya sama ada dia tanam untuk mencantikkan rumah atau inginkan buah. Biasanya mereka mahukan kedua-duanya. Jadi, saya akan beri anak benih anggur hijau yang rasanya manis dan anggur hitam yang masam manis. Apabila berbuah, gugusan anggur berwarna warni akan mencantikkan suasana,” katanya.

Khairil yang mempunyai kerjaya tetap menjadikan nurseri sebagai kerja sambilan yang dijalankan pada hujung minggu. Apapun, dia berpuas hati aktiviti itu mampu mendatangkan pendapatan yang bagus. Selain anggur, Khairil mengusahakan tanaman cili besar dan cili padi serta tebu yang dijual kepada peniaga makanan.

Khairil turut menanam pokok mulberi yang berwarna merah kehitaman yang mempunyai rasa manis.

Dia berharap organisasi berkaitan dapat membuat kajian mengenai tanaman anggur serta menghasilkan baka yang tahan lasak. Antara penyakit yang mudah menyerang tanaman itu ialah anthracnose, karat pokok dan downy mildew.

Sumber: HMetro

1 ulasan:

Kongsikan komen anda di sini...