Tiba-tiba anak kecil berusia lima tahun berlari-lari ke arah anda sambil tercungap-cungap dahaga meminta minuman. Wajahnya kelihatan kemerah-merahan dan jantungnya berdegup kencang selepas kepenatan hampir setengah jam berada di taman permainan.
“Maaf, ibu tak bawa bekal air, sayang. Nanti kita beli air, ya.’’
Mungkin anda sebagai seorang ibu pernah berhadapan dengan situasi sama seperti di atas. Pelbagai alasan diberikan termasuk lupa, tidak sempat dan sebagainya. Namun sejauh mana kepekaan anda mengenai peranan air kepada seorang kanak-kanak sukar dijelaskan.
Mengulas situasi yang sama, Perunding Dietetik di salah sebuah hospital swasta di ibu negara, Norhaslina Othman berkata, situasi itu banyak berlaku terutama di kalangan ibu bapa yang kurang sedar mengenai keperluan tubuh terhadap air.
Sedangkan katanya, kekurangan air boleh menyebabkan dehidrasi yang boleh menyebabkan komplikasi perubahan fisiologi sehingga menjejaskan kesihatan.
Lebih-lebih lagi katanya, kanak-kanak sebaya Haikal yang sudah kehilangan air melalui peluh selepas bermain.
Jelasnya, sebaiknya jangan sampai anak meminta minuman. Jika keadaan ini berlaku, kanak-kanak ini sebenarnya sudah banyak kehilangan air dan jika ia dibiarkan akan mendatangkan kesan buruk kepada anak ini,’’ ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Masalah kekurangan air juga turut memberi kesan kepada orang tua terutama penghidap penyakit kencing manis.
Ini kerana semakin seseorang itu berusia, kebolehan badan untuk mengekalkan kandungan air di dalam badan semakin menurun, begitu juga deria mengesan dahaga dan kemampuan badan bertindak balas dengan perubahan cuaca yang semakin rendah.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai keperluan air kepada setiap individu katanya, sekurang-kurangnya lapan gelas air disarankan setiap hari.
Bagaimanapun tidak ramai yang benar-benar mempraktikkan apa yang disarankan, sebaliknya pelbagai alasan diberikan.
“Sesetengahnya berpendapat jika minum terlampau banyak air akan menyebabkan mereka kerap ke tandas dan ini bukan sesuatu yang digemari,’’ ujarnya yang tidak menolak tanggapan sesetengah individu dengan pengambilan minuman seperti teh, kopi dan jus buah-buahan sudah cukup menampung keperluan tubuh mereka setiap hari.
Menurut beliau, seseorang itu juga akan kehilangan bahan elektrolit (mineral) seperti sodium, potasium dan kalsium yang berfungsi menjaga keseimbangan cecair di dalam badan.
“Kadar kehilangan air merupakan perkara normal bagi setiap individu. Bagi individu yang aktif, kadar kehilangan air dan mineral lebih banyak dan perlu diganti segera bagi mengelakkan terjadinya dehidrasi atau masalah kekurangan air,’’ ujarnya lagi.
Norhaslina juga menjelaskan, hampir 60 peratus daripada berat badan seseorang adalah berat air. Sekiranya berlaku dehidrasi, badan akan mengalami perubahan fisiologi yang mungkin boleh menjejaskan kesihatan. Sayangnya, ia berlaku tanpa disedari.
Selain itu, masalah kekurangan air juga katanya, turut menyebabkan jumlah darah yang dipam ke seluruh badan berkurangan. Keadaan ini mengakibatkan jantung terpaksa mengepam lebih kuat untuk membekalkan darah yang mencukupi kepada semua organ dan keupayaan badan mengekalkan tekanan darah juga menurun.
“Oleh kerana badan kekurangan air, seseorang itu tidak akan berpeluh dan haba tidak keluar daripada badan seperti biasa. Dalam keadaan lebih serius, masalah ini akan menyebabkan suhu badan meningkat dan kita mungkin demam,’’ tegasnya.
Bagaimanapun kata Norhaslina, bukan semua kes dehidrasi akan menyebabkan komplikasi serius, tetapi kehilangan dua peratus berat badan boleh mempengaruhi prestasi, terutama di kalangan atlit. Golongan ini akan kehilangan tiga hingga lima peratus berat badan akibat dehidrasi. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan penumpuan tetapi juga tindak balas dan pertimbangan mereka.
Sikap tidak suka minum air juga kata beliau berkemungkinan juga boleh menyebabkan organ penting badan terutama buah pinggang tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini terutamanya melaksanakan fungsinya menapis bahan-bahan toksid daripada air (tindak balas untuk mengurangkan kehilangan air dari badan).
Di kalangan kanak-kanak, kata Norhaslina, air mudah keluar melalui cirit birit, bersenam atau berbasikal, tidak terkecuali ketika diserang demam.
Lagi tinggi suhu badan seseorang, tegasnya, lebih banyak air yang hilang malah lebih memburukkan keadaan apabila kanak-kanak itu mengalami muntah dan cirit-birit.
Oleh kerana itu, ibu bapa yang mempunyai bayi atau anak kecil dinasihatkan agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga apabila bayi mereka mula cirit birit atau muntah-muntah.
Pastikan juga katanya, air yang hilang daripada badan diganti segera untuk mengelakkan kemungkinan yang tidak diingini kerana kehilangan air yang berlebihan boleh menyebabkan kematian.
TANDA-TANDA KEKURANGAN AIR
* Cepat letih, kanak-kanak jadi kurang aktif
* Terlalu dahaga
* Mulut kering
* rasa mengantuk
* air kencing sedikit dan pekat
* Air mata terlalu sedikit atau tiada apabila menangis
* Lemah otot
* Sakit kepala dan pening
Penunjuk terbaik adalah warna air kencing - sama ada kuning cair atau pekat.
Petunjuk serius
* Kurang berpeluh
* Mata cengkung
* Tekanan darah rendah
* Kulit menjadi kering dan tidak kenyal (bila ditekan, lambat kembali ke bentuk asal)
* Denyutan jantung menjadi cepat
* Demam
* Meracau
* Pengsan
PANDUAN MEMASTIKAN BADAN SENTIASA CUKUP AIR
*Perlu disiplinkan diri anda - Air satu keperluan!
* Bawa bekal air minuman ke mana sahaja anda pergi terutama ke taman permainan atau di dalam kereta.
* Sebaiknya minum air masak atau jus buah-buahan.
* Elakkan minum air bergas.
* Jangan sampai berasa dahaga.
Sumber: Utusan OnLine
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...