PAGE

Jumaat, November 16, 2007

Kikis Tabiat Menjerit


Dina anak sulung saya akan menyambut ulangtahun yang ke 3 pada 25 November ini. Memang budak tengah nak membesar, banyaklah benda yg hendak dicuba, melompat sana melompat sini, usik itu ini, tak terlarang dibuatnya. Paling saya tak suka bila Dina berebut barang dengan Dania.

Puas sudah saya cuba menjadi mama yg baik utk Dina dan adik-adik. Tapi selalunya terbabas juga menjerit bila Dina tak mendengar kata. Memang mencabar betul bab-bab melayan karenah anak2.

Ada ketika, saya tanya Dina, "Kakak ni tak ada telinga ke? Mama cakap banyak kali, kakak tak nak ikut, buat-buat tak dengar je." Dan dengan muka selamba & tak bersalah, Dina jawap (sambil pegang telinga dia), "Taklah.. kakak ada telinga, ni telinga kakak." Hampeh....

Dari artikel "Mengelakkan anak dari menderhaka kepada ibubapa", saya paling ingat item no. 17. ... "Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibubapa yang sempurna. Ini akan mengurangkan stress menjadi ibu bapa." Yelah, nobody's perfect. Saya cuba juga control kemarahan, tapi kekadang terbabas juga. Hari ni terjumpa tips utk mengawal kemarahan.

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Kikis Tabiat Menjerit
Oleh Dr Goh Chee Leong, Pakar Psikologi Pembangunan/Kognitif

Ya, anak anda kadang-kala menyusahkan, tetapi menjerit pada mereka boleh menyebabkan kemarahan, menghancurkan harga diri dan menjadikan mereka ‘si penjerit’ juga. Disini diterangkan bagaimana anda boleh mengikis tabiat ini.

Anda pening kepala dan anak anda berlari ke sana sini, menjerit sekuat hati. Anda menyuruh mereka supaya senyap sebanyak dua kali; mereka masih tidak menghiraukan anda. Jadi, anda menjerit pada mereka untuk, “Duduk dan senyaplah!!!”

Jika anda pernah menjerit pada anak anda, sudah pasti anda tahu sekarang ia tidak berguna lagi. Menjerit tidak akan memperbaiki keadaan; ia hanyalah suara yang kuat. Anak anda mungkin sudah kebal dengan jeritan anda – semakin kuat anda menjerit, mereka semakin tidak menghiraukan anda. Anda hilang suara, tekanan darah anda semakin meningkat dan rumah anda pasti menjadi tempat yang tidak aman lagi.

KEBURUKAN MENJERIT

Menjerit akan membuatkan anak anda berasa diri mereka tidak baik. Apabila anda menjerit, anda mungkin menghamburkan perkataan yang menyakitkan hati dan memberi kesan kepada harga diri anak anda. Menjerit membawa kesan yang buruk kepada kanak-kanak yang sensitif dan ini menyebabkan mereka menjadi rimas dan meragam.

BAGAIMANA CARA BERHENTI MENJERIT

• Apakah pencetus kemarahan anda?
Apakah yang menyebabkan anda menjerit? Adakah anak anda yang degil, kecuaiannya atau kerana dia tidak menghiraukan anda? Kadangkala, anda akan marah dengan setiap perkara yang tidak melibatkan anak anda. Misalnya, adakah anda tertekan selepas bekerja dengan teruk di tempat kerja atau selepas bercakap panjang lebar dengan ibu mertua anda? Ketahui pencetus kemarahan dan waktu tertekan anda untuk membantu menangani kemarahan anda dengan lebih baik.

• Berlalu dari situasi
Berehat seketika sekiranya anda berasa ingin menjerit kepada anda anak. Beri masa untuk anda bertenang dan berfikir: apakah yang anda mahu anak anda pelajari? Kemarahan akan menyebabkan anda menghukum anak anda mengikut perasaan dan bukan kerana apa yang telah dilakukannya. Ingatlah bahawa hukuman bukanlah untuk melepaskan kemarahan anda, tetapi tentang tingkah laku yang boleh diterima dan tidak diterima.

• Bercakap dengan tenang
Kembali semula kepada anak anda selepas anda bertenang. Bersikap tegas dan positif. Terangkan kepadanya sebab-sebab kelakuannya tidak diterima dan cara-cara memperbaikinya. Jelaskan dengan terperinci apa yang anda ingin anak anda lakukan. Jika dia sudah cukup besar, galakkan anak anda untuk memikirkan bagaimana dia boleh membetulkan keadaan.

PENJERIT KECIL

Ini adalah fakta: anak anda meniru apa yang anda buat. Jika anda menjerit kepada anak anda secara berterusan, dia akan membesar dengan kepercayaan jeritan adalah satu cara komunikasi yang diterima. Apabila anak anda sudah cukup besar, dia pasti akan menjerit kepada anda pula. Jadi kikis tabiat ini sekarang. Tetapi juga bukan semua jeritan itu tidak baik – jika berlaku kecemasan, respon yang terbaik adalah dengan menjerit!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...