PAGE

Jumaat, November 30, 2007

Nafkah pengikat kasih

Ikut keperluan, situasi

NAFKAH adalah perkara asas dalam sebuah keluarga yang membawa kepada kesejahteraan, kecemerlangan dan keutuhan institusi berkeluarga. Tanpanya, ia mengakibatkan kehidupan rumah tangga terumbang-ambing.


Isu nafkah, walaupun tidak diberikan perhatian oleh sesetengah pihak, sama ada menganggapnya perkara remeh atau sengaja ingin lari daripada tanggungjawab, sebenarnya satu topik asasi dalam kehidupan.

“Hendaklah orang yang mampu, memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, hendaklah ia menafkahkan dari apa yang diberikan Allah kepadanya; Allah tidak memberati seseorang melainkan sekadar yang diberikan Allah kepadanya. Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (At-Talaaq:7)

Persoalan nafkah diterangkan di dalam al-Quran seperti dalam petikan ayat berkenaan, tetapi bagi sesetengah masyarakat disebabkan tiada fokus pada isu terbabit menyebabkan mereka gagal memahami maksud dan konsep nafkah.

Nafkah itu apa dan siapa yang sepatutnya memberi serta menerima nafkah? Bagaimana kedudukannya jika tidak diberikan nafkah, bolehkah diambil tindakan dan apakah tindakan permulaan?

Pensyarah Kanan, Pusat Pemikiran dan Pemahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Norhidayah Mohd Hashim, berkata perkara ini memang jelas disebut khusus di dalam al-Quran, malah Rasulullah s.a.w juga ada menyatakannya.

Menurutnya, ruang lingkup nafkah sangat besar, bukan terbatas pada wang ringgit saja, malah merangkumi semua keperluan, termasuk makanan, pakaian, tempat tinggal dan kesihatan.

“Mengikut pendapat ahli fiqah, seperti Ibnu Qudamah, nafkah ialah sesuatu yang dibelanjakan oleh suami untuk melengkapkan apa saja keperluan isteri, termasuk dalam aspek makan, minum dan pakaian.

“Imam Nawawi mengatakan, makanan dan pakaian itu mengikut musim, termasuk tempat tinggal seperti rumah, tempat duduk seperti sofa dan jika perlu selimut, selimut itu nafkah.

“Demikian juga, jika isteri perlu syampu, syampu itu juga perlu disediakan dan itulah nafkah,” katanya sambil menegaskan, seorang suami wajib memberikan nafkah dalam apa saja keadaan kepada isterinya.

Beliau berkata, sekiranya seorang lelaki berkahwin dengan wanita berada yang tidak biasa melakukan kerja rumah, mencari dan mendapatkan orang gaji itu juga termasuk nafkah.

“Isteri yang bergaji besar juga perlu diberikan nafkah, kecuali isterinya mengatakan tidak mengapa sekiranya tidak diberikan padanya,” katanya.

Nurhidayah berkata, begitupun seorang suami wajib memberikan nafkah sekadar termampu.

“Walaupun anak Datuk, Tan Sri tetapi sekiranya suami tidak mampu menyediakan yang lebih selesa, seperti menyediakan orang gaji, si isteri kena reda.

“Nafkah diberi secara berpada, misalnya mengikut keperluan dan situasi. Jika wang ringgit mahu dinilaikan jumlahnya, ia boleh dinilai mengikut keadaan semasa dan lokasi tempat tinggal.

“Tetapi bagi isteri nusyuz (iaitu melakukan perkara yang dianggap menderhaka pada suami), mereka tidak layak menerima nafkah,” katanya.

Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Dr Mohd Naim Mokhtar, berkata jika tidak mengetahui nafkah itu tanggungjawab siapa, masyarakat akan menjadi kelam-kabut.

“Mengikut peruntukan undang-undang, tanggungjawab nafkah terletak pada suami dan isteri berhak menuntutnya di mahkamah jika suami tidak memberikan nafkah kepadanya.

“Nafkah isteri bermula daripada akad nikah. Dalam konteks nafkah kita perlu pada isteri dan ibu-ibu bertindak. Allah sudah mengatakan atas diri kita ada hak.

“Jika suami masih abai tanggungjawab, isteri kena ubah, tegur dan bertindak untuk mendapatkan keadilan,” katanya sambil memberikan ingatan kepada masyarakat: “Banyak rumah tangga terkorban kerana nafkah.”

Kes berkaitan nafkah antara kes utama difailkan di Mahkamah Syariah, sama ada berkaitan nafkah ke atas isteri atau anak-anak.

“Nafkah suatu kewajipan secara umum berkaitan fizikal, jika tidak diberi berlaku kezaliman dan tiada keadilan.

“Satu lagi mengenai nafkah adalah berbentuk spiritual. Sebenarnya undang-undang saja tidak boleh menyelesaikan masalah manusia. Ini kerana dalam undang-undang tidak menyebut mengenai kasih sayang.

“Kita lihat hari ini, walaupun anak isteri diberikan banyak wang, diberikan kad kredit, mereka masih ke mahkamah (kerana berasa terabai).

“Ada kebelakangan ini persoalan kasih sayang yang berkaitan nafkah dan yang ini perlu kepada pindaan,” katanya.

Sumber: HMetroOnLine

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/AdDin/20070921103657/Article/indexv_html


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...