PAGE

Selasa, November 13, 2007

Selamat Tinggal Lampin

Oleh Dr Yong Junina Fadzil, Pakar Perunding Pediatrik

Bagaimana dan bila masanya untuk melatih anak menggunakan tandas.

Tidak perlu dipersoalkan lagi bahawa bayi sememangnya comel, daripada pipi mereka yang montel hingga ke jari-jarinya yang kecil. Apabila anda melihat tumbesaran yang pantas pada bayi anda yang berumur tiga bulan, anda mungkin teringin agar ianya kekal lebih lama sedikit sebagai bayi-tetapi hanya jika anda tidak perlu menukar lampinnya buat masa yang lebih lama lagi! Ini adalah satusatunya perkara yang ibu bapa sebulat suara ingin mengatasi dengan lebih awal lagi, supaya bebas daripada kotoran najis bayi dan kebosanan kerana kerap menukar lampin. Ini tidak termasuk kos lampin pakai buang yang semakin meningkat.

Bila masanya untuk mula melatih anak anda menggunakan tandas

Tidak ada umur yang tertentu untuk melatih anak menggunakan tandas. Sesetengah budaya memulakannya pada peringkat umur yang sangat awal, terdapat juga yang bermula seawal-awal beberapa minggu selepas lahir. Untuk kebanyakan orang, terutamanya di Barat, melatih anak menggunakan tandas biasanya bermula apabila anak itu menunjukkan tanda-tanda bahawa dia sudah bersedia. Ini mungkin pada bila-bila masa di antara 18 bulan dan tiga tahun.

Bagaimana saya tahu bahawa anak saya sudah bersedia untuk dilatih tandas?

Anda boleh mula melatih anak anda menggunakan tandas sebaik sahaja dia mampu duduk di atas bekas. Ini boleh dilakukan pada waktu mandi. Jika dia sudah bersedia, dia akan ingin duduk di atas tandas sehinggalah dia dapat mengeluarkan air kencing; sebaliknya, dia mungkin juga akan duduk beberapa saat sahaja, ataupun tidak ingin duduk langsung. Sekiranya dia tidak menunjukkan minat untuk duduk diatas tandas, usahlah memaksa; sebaliknya cuba sekali lagi pada hari lain.

Tanda-tanda sudah bersedia termasuk:

  • Kebolehan untuk memberitahu bahawa dia telah mengotorkan lampinnya. Secara umum, kanakkanak belajar untuk membuang air besar di dalam tandas sebelum membuang air kecil. Lagi memudahkan ialah jika mereka adalah jenis yang tidak tahan dengan bau busuk dan najis di dalam lampin mereka.
  • Perubahan raut muka, terutamanya sebelum buang air besar. Ini membolehkan anda melatih dia duduk di tandas dengan lebih awal lagi.
  • Kebolehan untuk mengekalkan lampin kering selama beberapa jam. Ini menunjukkan pundi kencing dapat dikawal dengan lebih baik dan membolehkan anda mengaturkan masa untuk membawanya ke tandas.
  • Kebolehan untuk memberitahu keinginannya secara bercakap atau menunjuk dengan jari.

Peralatan untuk melatih anak menggunakan tandas Jika dibandingkan dengan perkakas yang anda perlukan untuk menukar lampin, barang keperluan untuk melatih anak anda menggunakan tandas adalah ringkas:

  • Tandas mudahalih plastik yang ringan dan boleh dibasuh. Pastikan tiada bahan tajam, contohnya bekas mengacu di tepi bingkai yang boleh mencederakan bayi.
  • Kertas tandas dan tuala kertas
  • Alas tilam yang boleh menyerap
  • Air
  • Kesabaran


Bahagian 1: Ini Adalah Tandas

Sebelum mengajar anak anda bagaimana dan bila masanya untuk menggunakan tandas, terlebih dahulu anda perlu memperkenalkannya kepada anak anda. Biasakan anak anda dengan tandas dengan meletakkannya di bilik air dan membenarkannya duduk diatas tandas itu beberapa kali sehari.
Biarkan dia duduk di atasnya dengan memakai lampin dan seluar supaya dia berasa selesa dengan keadaan tersebut.

Bahagian 2: Apakah Fungsi Tandas

Beritahu anak anda kegunaan tandas dan berikan dia galakan untuk menggunakannya. Perhatikan tandatanda yang menunjukkan bahawa dia ingin buang air, kerana kemungkinan dia tidak sedar lagi bahawa sepatutnya menggunakan tandas. Lebihkan perhatian terutamanya selepas makan, minum dan tidur. Setiap kali dia menggunakan tandas, bantulah dia untuk duduk dengan betul supaya zakar atau kemaluannya masuk ke dalam dan tidak tersasar.

Bahagian 3: Tidak Mengapa Jika Membuat Kesilapan

Janganlah marah atau berleter jika dia terkencing atau terbuang air besar merata-rata. Dia tidak lakukan kerana ingkar, dia hanya tidak faham dengan konsep baru itu. Bersihkan secepat mungkin, dan nasihatinya dengan lembut supaya menggunakan tandas pada masa yang akan datang. Bersabar dan ulanginya sebanyak yang mungkin sehingga dia ingat. Jika anda tidak ingin dia mengotori seluarnya pada peringkat ini, tetapi tidak juga mahu dia bergantung pada lampin, maka belilah seluar pakai buang yang boleh menyerap (seperti lampin pakai buang yang mempunyai cerut di bahagian pinggang) atau biar sahaja dia tidak pakai apaapa. Pilihan pertama lebih sesuai sekiranya anda menjemput tetamu kerumah!

Bahagian 4: 'Sekarang' Tidak Bermaksud 'Sekarang Juga'

Jika dia duduk di atas tandas dengan senang hati, tetapi lantas bangun tanpa membuat apa-apa, galakkan dia untuk duduk dengan lebih lama lagi. Lima minit sepatutnya mencukupi bagi anda mengagak sama ada dia melengahlengah atau sememangnya dia tidak terasa hendak buang air. Sekiranya dia hendak bangun dan bermain, berikan dia alat mainan atau berbual-bual dengannya supaya dia tidak berasa bosan. Jika selepas beberapa minit tiada apa-apa berlaku, biarkan dia bangun dari situ dan pastikan dalam masa setengah jam kemudian sama ada dia perlu menggunakan tandas atau tidak.

Bahagian 5: Apabila Dia Melakukannya Dengan Betul

Anda pasti gembira apabila anak anda berjaya menggunakan tandas dengan betul. Tunjukkan kegembiraan anda kepada anak anda dengan kata-kata pujian dan ciuman. Biarkan dia menyambung apa yang dia sedang bermain sebelum menggunakan tandas selepas anda menyucinya. Kegembiraan anda akan mendorongnya untuk terus menggunakan tandas dengan betul.

Perkara-perkara Yang Tidak Harus

Harus Anda Katakan

"Kamu ni, asyik-asyik kotorkan lantai. Berapa kali mak nak cakap..."

Dia tidak melakukan kesilapan dengan sengaja, namun begitu ini akan berlaku juga. Daripada mengherdiknya, anda buat gaya bersahaja.

"Kalau tak kencing atas permaidani mak tu, memang tak sah, kan?"


Kanak-kanak tidak faham sindiran. Sekiranya ada alas lantai atau permukaan yang anda ingin lindungi, maka alaskan dengan plastik yang besar sebelum anak anda bermain di atasnya.

"Jijik!"

Semakin anda tunjukkan kejijikan najis di dalam tandas, selagi itu dia tertarik dan berminat untuk memeriksanya.

"Jaga-jaga, nanti jatuh!"

Jangan takutkan dia semasa menggunakan tandas. Walaupun tidak seharusnya dijadikan satu rekreasi, anda juga tidak perlu menakutkan dia.

"Adik tak sempat pergi tandas, ye? Tak apa, lain kali kita cuba lagi."

Tunjukkan kepadanya ia bukannya masalah besar, dan berikan keyakinan anda kepadanya dengan kata-kata "lain kali".

"Jom main diatas tikar merah."

Gunakan alas plastik bagi menandakan ruang tempat dia boleh bermain pada hari-hari dia tidak berlampin. Beritahu dia ini adalah permaidani terbang, padang pasir, kapal angkasa atau apa-apa nama yang menarik, dan katakan kepadanya mengapa dia perlu bermain dikawasan yang ditetapkan.

"Dah tak ada!"

Anda tidak perlu berteriak tentang bahan buangan tubuh sendiri; anda pam sahaja
ke lubang tandas. Maka buatlah yang serupa dengan najis anak anda. Ajarkan dia bagaimana hendak mengepam dan biarkan dia melakukannya sendiri. Kebanyakan kanak-kanak suka aktiviti mengepam, dari itu jadikan ia sebagai suatu insentif menggunakan tandas dengan betul.

"Tunjuk kat Mama macam mana adik bawa kereta?"

Memberi watak untuk dilakonkan boleh menjadi keseronokan pada anak semasa berada di tandas. Walaubagaimanapun, janganlah sehingga ini menjadi acara kemuncak harian. Tentukan yang dia dilayan sepanjang hari supaya dia tidak hanya menunggu masa untuk ke tandas.

Jika ia Tidak Menjadi

Anda mungkin dapati anak anda tidak sempat duduk tandas, atau lupa sama sekali kegunaannya. Dalam kes seperti ini, lebih baik anda pakaikan semula lampin untuk seminggu dua sebelum mencubanya sekali lagi.

Kekal kering Pada Waktu Malam

Apabila anak anda berjaya menggunakan tandas pada siang hari, dan tidak membasahi lampinnya pada waktu malam selama tujuh malam berturut-turut, anda boleh cuba menanggalkan lampin pada malam hari. Sesetengah orang menganjurkan anak mereka untuk tidur dengan tidak memakai apa-apa di bahagian bawah pada tahap ini, supaya dia akan sedar jika dia perlu ke tandas untuk membuang air kecil. Jika anda kurang selesa dengan cara ini tetapi inginkan anak tidur tanpa lampin, anda boleh memberinya seluar pakai buang. Ia merupakan kombinasi di antara seluar dalam dan lampin. Ini akan memberi mereka perasaan bagaikan memakai seluar dalam seperti orang dewasa, dan keselamatan seperti lampin.

Akhir sekali, elakkan daripada membanding anak anda dengan anak-anak yang lain, terutamanya di hadapan mereka. Kanak-kanak berkembang pada tahap yang berbeza-beza; berkat kesabaran dan galakkan, anak anda juga akan berjaya menikmati hidup tanpa lampin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...