MEMBINA semula cinta yang sudah pudar tidak sesukar yang dijangka jika tahu mengembalikan rasa cinta dan sifat romantis. Bagi pasangan yang sudah berkahwin, suasana romantis juga harus dipertahankan. Romantis pada saat sudah membina rumah tangga tentu tidak jauh berbeza daripada saat bertemu janji dengan kekasih dulu bukan?
Keluar menonton wayang bersama juga dapat mengeratkan kasih sayang.
Jika terasa cinta kian pudar, usah sekali-kali menjauhkan diri. Tiada siapa yang merasakan getar dan pupus cinta itu kecuali anda dan pasangan.
Bahkan bijak pandai mengatakan, untuk merosakkan sesuatu hubungan begitu mudah sedangkan membina dan mempertahankannya semula adalah detik yang begitu mencabar.
Cinta dan perasaan kasih harus diperlihatkan manakala ungkapan sayang haruslah tiada hentinya. Barangkali peluang tidak sering datang bergolek dalam hidup ini.
Usah terlepas peluang untuk merasakan bahawa anda begitu menyayangi seseorang. Lontarkan kata-kata indah yang akan dikenang sepanjang hayat oleh si dia. Justeru, bagaimana caranya?
1. Berilah pujian-pujian kepada pasangan anda
Pujian haruslah diberikan dengan sejujurnya. Bukan bermakna anda memerhatikan segala kelebihannya saja malah menyuntik rasa bangga serta harga dirinya sebagai seorang isteri. Sedar atau tidak, dengan memberi pujian kepada pasangan, anda juga akan membuatkan hari anda berdua terasa berbeza. Jika si dia mempunyai kelebihan dari segi fizikal, apa salahnya memuji. Begitu juga kepandaian si isteri memasak atau kepandaian suami dalam tugasan sehariannya. Usah lupa bersikap positif kerana ia akan membuatkan hubungan perkahwinan serta kasih sayang semakin mendalam.
2. Memberi bunga
Bukan hanya pada peristiwa tertentu seperti ulang tahun perkahwinan atau hari lahir, kiriman bunga buat si dia mampu memberikan kehangatan cinta yang hampir pudar. Kirimkan bunga pada bila-bila masa saja malah anda boleh meletakkannya di atas tempat tidur. Lebih terasa apabila sesekali ia disertai kad ucapan berisi ungkapan betapa besar cinta anda dan betapa bererti dirinya. Jika anda bimbang cara ini membosankan, kiriman bunga itu boleh diselang-seli dengan hadiah lain terutama apabila hadiah itu sesuatu yang sangat diimpikan si dia.
3. Perlakukan dia seperti seorang puteri
Luangkan waktu supaya anda boleh bermesra dengan isteri atau suami. Tidak salah mengajak pasangan anda menonton tayangan filem lewat malam ketika anak-anak sudah terlelap. Anda juga boleh mengajaknya makan malam di tempat romantis. Makan malam biasa di rumah pun boleh diselitkan dengan suasana romantis. Ditemani lilin yang memancarkan cahaya suram dengan alunan muzik yang lembut pasti menjadikan suasana agak luar biasa.
Suasana romantis memang sangat diperlukan apabila diri mencintai seseorang. Dalam perkahwinan misalnya, romantis memang berkait erat dengan keutuhan sesebuah rumah tangga. Jika suasana romantis sering dihidupkan dalam suasana perkahwinan, hubungan suami isteri pasti semakin hangat. Dari segi seksual juga tidak terkecuali, malah saat itu anda berasa perkara paling mengghairahkan adalah suami atau isteri yang paling romantis.
4. Buat kejutan
Dalam usaha meraih cinta si dia, lakukan sesuatu yang mungkin dianggap mengejutkan pasangan anda. Misalnya, sesekali tunjukkan kepandaian memasak resipi istimewa untuk si dia. Biarpun selama ini si isteri yang biasa memasak, katakan pada hari itu bahawa anda ingin mencuba resipi terbaru.
Biarkan si isteri bersantai dengan membaca akhbar atau melakukan hobi yang digemarinya. Berilah kesempatan padanya untuk bersantai bersama rakannya seperti membeli-belah dan seumpamanya manakala anda pula melakukan kerja rumah.
Jika sebelum ini hanya si isteri yang bergelumang di dapur dengan menyediakan sarapan untuk anda, sesekali anda pula mengambil alih. Tentunya sesuatu yang tidak pernah dicuba akan membuat si isteri berasa bahagia.
Jika diaju kata-kata: “Abang dah buang tabiat ke?” atau pelbagai kata-kata sindiran lain, usah ambil peduli. Apa yang penting, hatinya bahagia, begitu juga diri anda apabila melihat si dia gembira dan bahagia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...