PAGE

Isnin, Disember 31, 2007

Rahsia mendidik anak berlandaskan hikmah dalam agama

Assalamualaikum warahmatullah,

Saya terima artikel ini dari email yang dihantarkan oleh seorang sahabat, katanya petikan dari Khazanah Ilmu. Setelah membacanya, saya dapati 'kehilangan' huraian #3 iaitu "Didikan anak waktu usia anak antara empat belas hingga dua puluh satu tahun".

Masih belum berkesempatan mencarinya, insya Allah saya akan update bila terjumpa nanti.

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Rujukan daripada khazanah , As-Syeikh Mucktar A.B Bawazir, "88 yang tersirat." Harap ilmu ini dapat mendatangkan kebaikkan bagi semua, yang baik itu dari Allah dan buruk itu dari diri saya sendiri.

Marilah kita bersama renungkan secara terperinci, satu persatu rahsia yang berkait rapat dengan pendidikan kepada anak-anak agar menjadi anak yang soleh. Rasulullah SAW membahagikan cara mendidik anak itu ada tiga peringkat asas iaitu :
  • Pertama : Didikkan pada usia anak sebelum tujuh tahun.
  • Kedua: Didikan pada usia anak antara tujuh hingga empat belas tahun.
  • Ketiga : Didikan anak waktu usia anak antara empat belas hingga dua puluh satu tahun.

1. Didikan anak pada usia sebelum tujuh tahun

Sebaik sahaja anak dilahirkan, maka azankanlah di kedua telinganya bermula kanan dengan Azan dan sebelah kirinya Qamat. Kemudian yang paling utama mandikanlah. Setelah itu berikan nama yang baik iaitu nama yang lazim dalam Islam yang terdapat dalam Al-Quran.

Jika sampai mempunyai empat orang anak (lelaki) sebaiknya ada satu sekurang-kurangnya yang sama namanya dengan nama Nabi Muhammad SAW. Berwaspadalah dalam hal ini, kerana Nabi SAW bersabda yang bermaksud, "Sesiapapun yang mempunyai empat orang anak, dan tak ada satu pun di antaranya bernama seperti namaku, bererti si-empunya anak tidak berlaku baik terhadapku."

Adapun nama-nama Nabi kita itu terdapat dalam kitab Dalail Khairat iaitu sebuah kitab lama. Himpunan jumlah gelaran atau namanya di dalam kitab tersebut adalah 201 nama (gelaran).

Kemudian buatkan Aqiqah yakni amalan korban ternakan seperti kambing atau lembu. Jika aqiqahnya itu lembu boleh diperuntukan untuk tujuh orang anak dengan cara membuat perkongsian. Sebaiknya ketika anak berusia 7 hari. Jika tidak dapat, boleh membuatnya ketika anak itu berusia belasan tahun atau sebelumnya. Jika tidak dapat lakukan aqiqah itu sebelum meninggal dunia mintalah permohonan ampun kepada Allah SWT. Demikian ini yang diwarisi dari ulama-ulama dahulu.

Pada hari ini, aqiqah sering tidak mendapat perhatian sehingga ramai yang lalai. Mengikut beberapa kajian ternyata anak-anak remaja yang bermasalah dengan orang tua-nya itu, salah satu faktor penyebabnya ialah tidak di'aqiqahkan' ketika mana orang tuanya mampu melaksanakannya.

Jika anak itu lelaki sebaiknya dikhatankan ketika usianya 7 hari. Berkhatan dalam usia tersebut pada hari ini, lazimnya harus mendapat kebenaran terlebih dahulu dari seorang doktor pakar.

Ada doa khusus ketika anak itu dikhatankan. Perhati satu demi satu ertinya yang begitu tinggi nilainya untuk masa depan si anak. Harap maaf doa dalam bahasa Arab tak dapat disertakan di sini, sila rujukan pada "Susunan doa dalam kehidupan" tulisan Kyai Anwar, atau lain-lain kitab doa-doa.

"Ya Allah ini adalah sunnahMu dan sunnah NabiMu, selawatMu atas baginda (Rasulullah) dan keluarganya. Kami mengikuti Engkau dan NabiMu yang berhubungan dengan kehendakMu, niatMu dan tentang urusan yang kau kehendaki."

"Engkau tentukan dan Engkau perintahkan sesuai dengan yang Engkau berikan pengalaman kepadanya, tentang tajamnya pisau sehubungan dengan khatan dan hijamat (pembedahan) dan tentang kesesuainya. Engkaulah yang lebih tahu daripada kami."

"Ya Allah bersihkan dosa-dosanya, panjangkanlah usianya, ringankan kesakitannya dan sihatkanlah dia. Jangan biarkan dia menderita kerana sakit dan miskin. Engkau pemilik pengetahuan, sedangkan kami tidak demikian."

Didikan Awal pada Anak

Paling lama menyusukan anak adalah dua tahun atau dua setengah tahun, terkecuali ada sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Menyusukan anak merupakan didikan awal dari seorang ibu. Janganlah sekali-kali lupa apabila hendak menyusukan anak, membaca doa terlebih dahulu,

"Ta'awuz" iaitu "Aku berlindung daripada syaitan yang direjam" dan "Basmalah", "Dengan nama Allah yang amat pengasih lagi amat menyayangi."

Tujuan membaca Ta'awuz ketika akan menyusukan ialah agar supaya susu yang menjadi darah daging pada anak itu nanti tidak disisipi oleh hawa syaitan dan tujuan membaca Basmalah ketika akan menyusukan anak ialah agar perbuatan menyusukan itu akan menjadi darah daging si-anak iaitu darah daging yang pengasih dan penyayang pada sesama makhluk Allah di muka bumi ini apabila dewasa kelak. Demikian itu yang tersirat di dalam hati seorang ibu yang sedang menyusukan anaknya.

Itulah kunci rahsia dari sekalian kunci-kunci rahsia yang akan mewarnakan kelakuan anak dari awal-awal lagi. Sikap seseorang anak juga ditentukan oleh ibu yang sedang menyusukan kerana ketika itu terjadi hubungan jiwa yang amat rapat antara anak dan ibu yang sedang menyusukan. Mengikut penelitian orang tua-tua, seorang ibu yang mengalami kesedihan, kemudian menyusukan anaknya, anaknya itu akan turut sedih dapat dilihat dari raut wajahnya atau kadang-kadang tersentak menangis semasa masih menyusu pada ibunya.

Ada lima pantang yang harus diingat oleh ibu yang sedang menyusukan iaitu:-
  1. Jangan berangan-angan.
  2. Jangan bercakap yang bukan-bukan.
  3. Jangan mendengar suara-suara yang tidak baik didengar atau yang terlarang oleh syarak.
  4. Jangan makan.
  5. Jangan minum sambil menyusukan.

Maka sebaik-baiknya ketika menyusukan anak sertailah dengan ucapan yang baik- baik seperti selawat dan yang seumpamanya. Dalam pada itu rasakan benar-benar bahawa kasih sayang anak yang sedang menyusu itu adalah semata-mata kasih sayang kurniaan dari Allah SWT.

Curahkan rasa kasih sayang itu melalui pandangan ketika menyusukan. Dahulukan bahagian kanan dan diikuti dengan bahagian kiri. Begitu seterusnya setiap kali menyusukan kanan didahulukan.

Bebaskanlah anak itu bermain sehingga sampai usia tujuh tahun. Walau bagaimanapun, sekali-sekala ketika itu orang tua, khususnya si bapa hendaknya berperanan sebagai sahabat dalam bermain. Apabila genap empat tahun ajarkan huruf-huruf Al-Quran dan begitu pula ketika usia si anak menjangkau hampir tujuh tahun hendaknya telah menguasai hafalan-hafalan tertentu dari ayat-ayat suci Al-Quran.

Janganlah mengaku diri kita, yang kasih sayang itu adalah menjadi haknya. Ertinya gerak hati yang melahirkan kasih sayang itu sebenarnya merupakan gerakan yang datangnya dari Yang Maha Pengasih. Inilah bimbingan yang tersirat didalam hati ibu, suatu bimbingan Tauhid pada anaknya. Nescaya bila dewasa nanti akan memiliki tauhid yang jitu.

Menjelang Usia Anak Tujuh Tahun

Apabila usia anak sampai hampir tujuh tahun, ajarkan padanya solat berjemaah. Malah ajaklah sentiasa bersolat bersama (berjemaah) dan ketika solat bersama, anak lelaki yang Azan dan Iqamah (Qamat). Kemudian satu peringatan keras kepada anaknya itu, apabila mencapai usia 10 tahun meninggalkan solat, pukulah pada bahagian belakangnya dengan pukulan yang sederhana, yang tidak sampai mencederakan.

Ketika anak lelaki berusia mendekati tujuh tahun ia tidak boleh tidur di bawah satu selimut dengan adik perempuannya. Kecuali tempat dan selimut yang berlainan. Tetapi menjangkau usia 10 tahun anak lelaki dan perempuan haruslah terpisah tempat tidurnya. Dalam usia tersebut ajarilah mereka pengertian hadis-hadis yang sederhana yang berhubungan dengan amalan biasa sehari-hari dan tanamkan rasa cinta pada Rasulullah SAW dengan cara memberikan kisah-kisah teladan yang menggambarkan kasih sayangnya Rasulullah SAW pada umatnya dan jangan lupa kisahkan hal Israk dan Mikraj kerana di dalamnya sangat baik untuk pendidikan anak.

NB : Sebabnya dalam usia antara tujuh hingga sepuluh tahun daya tangkap pemikiran anak sangat tajam, ia akan memberikan kesan yang sukar dilupakan.

Ajaklah anak sesekali berekreasi (riadah) dan berolahraga. Cintailah anak-anak, tetapi janganlah keterlaluan dan jangan sampai ditonjolkan atau dimanjakan kerana boleh berakibat buruk pada pertumbuhan jiwa si anak iaitu anak tidak akan berusaha mengatasi suatu kegagalan kerana orang tuanya menjadi tempat bergantung dalam segala sesuatu.

Orang tua yang memanjakan anak sebenarnya merosak pertumbuhan IQ anak itu sendiri kerana akibat anak yang dimanjakan itu, ia akan mempunyai sifat , tidak memiliki kesungguhan berusaha dalam apa sahaja tugasnya, khasnya dalam bidang persekolahannya. Seterusnya akan menjadi malas dan tidak berminat untuk mengatasi kegagalan yang dialaminya. Maka kedudukan ibu bapa semestinya di tengah antara manja dan tegas terhadap anak.

Sebaliknya jangan bersikap kasar terhadap anak dan apabila berjanji, berhati-hatilah, harus penuhi janji itu. Ini adalah cara mendidik anak agar mentaati janji yang diucapkannya kelak, apabila suatu masa nanti diminta janjinya oleh ibu bapa.

NB : Dalam pada itu, ibu bapa sekali sekala membuat janji tertentu pada anaknya dan menunaikannya, tepat dengan apa yang dijanjikannya, Inilah yang dinamakan pendidikan amali di rumah, mudah tetapi amat berkesan.

Jika ada ramai anak sekalipun, janganlah membezakan antara satu sama lain,. Tetapi dalam memberi hadiah utamakan pada anak yang terkecil dahulu. Tujuannya atau matlamat didikan ini ialah agar abang-abangnya dan kakak-kakaknya itu akan terbiasa dan dapat menjaga adiknya, apabila ketiadaan kedua ibu bapanya kelak.

Kemudian apabila anak akan tidur sebelah malam, cucilah terlebih dahulu wajah dan tangannya dengan menggunakan tuala dan sebaik-baiknya dengan air suam. Sambil diniatkan serta memohon pada Allah SWT dalam bentuk siratan di dalam hati, agar anaknya itu akan sentiasa menjaga wuduk dan kebersihan jiwa raganya. Ini dilakukan oleh ibu sebelum usia anak tujuh tahun.

Demikianlah dakwah berwuduk dari ibu pada anaknya dengan cara menyapu-nyapu atau mengelap dengan air suam pada wajah dan anggota tubuhnya ( tangan dan kaki) sebelum menidurkan anaknya dengan siratan didalam hati, memanjatkan doa pada Allah SWT.

2. Didikan pada usia anak antara tujuh hingga empat belas tahun

Seperti tajuk yang telah digariskan di atas, ketahuilah para ibu bapa bahawa pendidikan formal (awal) pada anak sebagaimana yang tersebut tadi bermula dari mengambil wuduk, jika kita benar-benar amalkan maka kelak apabila anak itu dewasa akan dapat merasakan kenikmatan solat.

Apabila solat yang dikerjakan dan telah sebati, maka apa yang dikerjakan selama ini sebagai kewajiban akan terasa ada perubahan yakni bukannya merasakan sebagai kewajiban bahkan ianya merupakan "satu anugerah" dari Allah SWT. Jika telah terasa kewajiban dan mendapat anugerah itu maka seseorang tidak akan meninggalkan solat lima waktu malahan terasa amat gelisah jika belum mengerjakan solat apabila tiba waktunya.

Kalau kita perhatikan jari-jari tangan kita lima, bukannya enam dan bukannya empat. Tentulah ada yang tersirat. Allah SWT menciptakan tangan dengan lima jari-jarinya agar kita sentiasa beringat-ingat pula akan yang lima, iaitu kewajiban lima waktu solat sehari semalam.

Bersalam dengan ibubapa

Mendidik anak yang biasa diamalkan oleh orang-orang dahulu telah dilupakan ialah mengajarkan anaknya agar setiap pagi dan malamnya mencium tangan (bersalam) pada ibu dan bapanya. Sebagai orang tua yang mengharapkan anaknya berakhlak mulia sudah pasti akan merasakan satu kebahagiaan yang tidak dapat dilukiskan apabila si anak datang dan mencium tangan ketika bersalaman. Oleh sebab itu, didiklah anak-anak itu sejak dari kecil lagi. Ajaklah dengan baik agar mengamalkan ajaran bersalaman, yakni berjabat tangan dan si anak mencium tangan orang tuanya pada setiap pagi dan malam.

Waktu-waktu bersalaman ialah pada sebelah pagi hari sebelum pergi ke sekolah dan sebelah malamnya sebelum tidur. Atau paling tidak sehari sekali iaitu bersalaman pada waktu pagi hari. Dahululah ibunya kemudian bapanya. Dengan cara ini maka hubungan anak dan orang tua akan lebih mesra. Dalam pada itu anak akan lebih merasa kasih sayang pada kedua ibubapanya dan akan lebih memperhatikan segala perintah yang diberi. Apa yang tersirat dalam amalan ini adalah banyak sekali. Perlakuan ini jika diamalkan betul-betul memberi pengertian kepada si
anak agar:
  • Mentaati perintah kedua ibubapanya.
  • Dalam tempoh yang agak lama si anak melaksanakan tuntutan bersalaman kepada kedua orang tuanya, maka penghujungnya perlakuan itu akan memberi kesan yang mendalam dalam jiwa mereka, anak-anak akan sentiasa mengingati akan orang tuanya, apabila tiba suatu ketika iblis laknatulallah datang menghasut mereka melakukan kejahatan, maka si anak akan mengingati ibubapa mereka dan terhenti hasrat untuk mereka berbuat kejahatan apabila terbayang akan ibubapa mereka.
  • Anak-anak akan menghargai jerih payah kedua ibubapanya. Mencium tangan memberi didikan menghargai malah lebih dari itu kalau dikatakan dalam bahasa pujangga kedua tangan ibubapa itu ibarat tangan keramat.
Seperkara lagi, pada waktu anak mencium tangan hulurkan tangan kiri bagi menyapu kepala si anak dengan tersirat di hati satu permohonan kepada Allah SWT yang bermaksud, "Wahai Tuhanku lembutkanlah hati anakku dan selamatkanlah dia."

Memberi salam

Begitu pula dalam hal memberi salam dan menjawab salam, dengan cara yang sopan kepada saudara seagama. Ia merupakan didikan yang amat baik kepada anak.

Memberi sedekah

Memberi sedekah pada fakir miskin. Sebaiknya ajarkan pada anak untuk memberikannya juga untuk bersedekah pada hari Jumaat ketika solat Jumaat bersama, berikan wang pada si anak untuk dia sendiri yang memasukkan duit sedekah itu ke dalam tabung.

Dengan demikian ia akan membuahkan bibit kasih sayang dan jika sifat ini telah sebati didalam jiwa raga si anak maka didikan-didikan akhlak selanjutnya akan mudah diterima.

Rasa kasih sayang

Sifat kasih sayang adalah sifat Allah SWT sebab itulah apa sahaja yang akan kita kerjakan dianjurkan membaca, "Dengan Nama Allah Yang Maha Mengasihani lagi Amat menyayangi."

Pada amnya ibubapa mengajarkan pada anak-anaknya membaca Bismillah tersebut hanya pada waktu akan makan dan minum sahaja. Pada halnya agama menganjurkan apa sahaja yang akan dikerjakan mestilah didahului dengan "Bismillahirahmanirahim".

Sudah tentu , kerana ucapan itu mengandungi makna kasih sayang, di samping mengharapkan agar perkerjaan yang akan dikerjakan itu diliputi oleh kasih sayang dari Tuhan Yang Maha Esa.

Doa Harian

Hendaknya kedua ibubapa mengajarkan bacaan doa-doa harian untuk anak. Doa-doa harian khusus untuk didikan pada anak-anak boleh dijumpai didalam berbagai bentuk seperti buku dan tulisan bergambar dan boleh dilekatkan supaya anak dapat melihatnya setiap hari.

Kesan kelakuan Ayah ketika dalam menyambut tetamu

Ketika tetamu atau teman anda datang ke rumah, janganlah sampai lambat memberi jamuan seadanya. Menyegerakan memberi jamuan berbentuk makanan ringan dan minuman pada tetamu sangat dituntut di dalam Islam.

Ajaklah tetamu kamu memakan makanan ringan atau meminum terlebih dahulu. Sebenarnya di sini kita tidak nampak pengaruhnya terhadap anak adalah amat besar, adalah lebih baik jika kita mengajak si anak itu turut bersama membantu menyiapkannya. Waspadalah wahai para bapa dan ibu! Segala gerak-geri dan kelakuan kamu seorang ayah atau ibu akan diperhatikan dan kemudian ditiru oleh anaknya.

Jika seorang ayah asyik membaca surat khabar setiap harinya, maka si anak yang melihat kelakuan ayahnya itu akan meniru-niru suka membaca. Maka jika menginginkan anaknya suka membaca Al-Quran, orang tua mestilah memulakannya.

Jika menginginkan anaknya solat, orang tua mestilah memulakannya. Sudah tentu jika dimulakan dari kanak-kanak lagi amat mudah untuk membimbing selanjutnya.

Orang dahulu berkata : "Melentur buluh biar dari rebungnya."

Ucapan Terima Kasih

Ajarkan anak mengucapkan "terima kasih." ketika menerima sesuatu, tetapi sesudah itu ucaplah "Alhamdulillah."

Pada amnya ibubapa hanya mengajarkan kepada anaknya mengucapkan "terima kasih" apabila diberi sesuatu oleh orang lain. Tetapi lupa yakni si anak tidak mengucapkan terima kasih apabila ibubapa sendiri memberikan hadiah atau sesuatu. Sebenarnya itulah yang membuatkan si anak itu keliru kerana kita hanya mengajar si anak mengucapkan terima kasih ketika diberi oleh orang lain. Bahkan adakalanya anak itu terdiam sahaja ketika menerima pemberian dari orang lain, walaupun sudah diajar berkali-kali.

Sebenarnya ianya menunjukkan tidak ada praktikal sejak di dalam rumahnya sendiri. Ibubapalah sepatutnya selalu mengucapkan terima kasih pada si anak apabila menerima sesuatu dari si anak sewaktu di rumah, amalan ini akan menjadi ikutan pada si anak sehingga dewasa. Di sini jelas sekali bahawa didikan awal yang paling berkesan pada anak-anak itu bermula dari rumah.

Mengajar ucapan terima kasih sahaja sebenarnya masih belum cukup. Sewajarnya sedang kita berterima kasih kepada seseorang kerana kebaikannya, maka jangan sekali-kali lupa bahawa orang itu memberi kerana gerak hati yang di tentukan oleh Allah SWT jua. Oleh kerana itu kita sebenarnya dituntut juga untuk mengucapkan "Alhamdulillah", kemudian barulah "terima kasih".

Dengan demikian yang diucapkan ketika ketika menerima pemberian baik dari ibubapa sendiri atau dari sesiapapun adalah seperti berikut, " Alhamdulillah, terima kasih." (Alhamdulillah itu bererti segala puji itu adalah milik Allah)

Walaupun kelihatannya ucapkan tersebut di atas ringkas dan sederhana tetapi ianya mempunyai didikan "tauhid" yang berakar tunjang yang menjunam ke dalam jiwa seorang anak. Menanamkan rasa tauhid pada masa kanak-kanak adalah masa yang tepat dan akan membuahkan pertumbuhan jiwa yang baik yang dikehendaki oleh agama.

Doa-doa penting yang harus diamalkan

Bagi tujuan pendidikan pada anak, ada lima doa-doa harian yang mesti diamalkan oleh anak-anak. Walaubagaimanapun bukan bermakna doa harian yang lain tidak dimestikan tetapi digalakkan untuk mengamalkannya.

Lima doa yang mesti diamalkan ialah:
  1. Doa ketika makan
  2. Doa sesudah makan
  3. Doa keluar dari rumah
  4. Doa sebelum tidur
  5. Doa bangun tidur
Doa-doa tersebut boleh di dapati dimana-mana toko buku agama, sila rujuk.

Doa sebelum tidur dan apabila bangun dari tidur

Ketika hendak tidur biasakan anak-anak mencuci kaki terlebih dahulu. Bagi anak-anak yang di bawah umur 7 tahun, hendaklah basahkan kain dengan air suam dan laplah pada muka dan kaki anak. Adapun acara malam yakni selepas solat maghrib, membaca ayat-ayat suci (membaca juz amma atau Al-Quran) dalam liputan lebih kurang lima belas hingga tiga puluh minit sudah mencukupi, selepas itu makan malam ( makanan ringan) , selepas itu menyediakan kerja-kerja sekolah atau membaca buku-buku pelajaran. Setelah dirasakan cukup, kemudian solat Isyak dan masuk tidur. Terlebih afdhal jika dilakukan bersama-sama yakni jama'ah sekeluarga dengan bermakmun kepada ayahnya (ayah menjadi imam) dan muadzinnya anak sulung (lelaki). Setelah selesai barulah masuk tidur dengan membiasakan pada si anak bersalam dan mencium tangan ibubapa.

Apabila bangun dari tidur janganlah lupa, biasakan anak membaca doa bangun tidur. Kerana doa bangun tidur itu mempunyai implikasi (akibat) yang amat mendalam di dalam pembinaan taqwa, iman dan budi pekerti seseorang anak. Menurut kajian ilmu jiwa, seseorang anak yang baru bangun dari tidur, otaknya masih belum lagi berfungsi seratus peratus. Daya ingatannya masih ada di dalam potensinya (belum keluar) sepenuhnya. Dengan demikian apabila digugah (dikejutkan) dengan doa yang difahami maksud bacaannya itu, menjadikan ia sebagai daya penggerak ingatannya. Hal ini merupakan satu amalan yang akan membawa ke arah pembinaan taqwa, iman dan budi pekerti anak-anak yang mengamalkannya.

Anak Melakukan Kesalahan

Adakalanya seorang anak itu terlanjur membuat suatu kesalahan baik sengaja atau tidak terhadap orang tuanya. Dalam menghadapi masalah macam ini, orang tua sepatutnya janganlah terus marah, sebaliknya harus bersikap tenang kemudian mengajak anaknya itu masuk ke bilik bersama ibunya. Si anak didudukkan kehadapan kedua ibubapanya kemudian si ibu berilah sebab musabab sehingga si anak faham dan tahu apa kesalahan yang telah dilakukannya. Jika didapati si anak itu bersalah maka barulah si bapa boleh bersuara dan memberikan hukuman.

Misalnya dihukum dengan melakukan pekerjaan, menyapu halaman, (hukuman ringan), membaca atau menulis pelajaran berulang kali, mencuci motosikal atau kereta dan sebagainya mengikut kesesuaian umur anak itu. Setelah anak telah mengerjakan hukuman itu kemudian disuruhnya menulis doa yang bermaksud berikut, "Ya Allah aku mohon keampunan dosa dan kesihatan diri dalam agama di dunia dan di akhirat."

Arahkan anak itu menulis sebanyak mungkin, doa di atas sebagai tambahan hukumannya. Boleh juga diganti dengan menulis doa-doa lain yang sederhana. Satu cara yang berkesan ialah sebaiknya doa yang akan dituliskan ini, ditulis pada kertas tebal yang agak besar dan digantungkan di mana-mana dinding biliknya, agar si anak tersebut sentiasa melihat doa itu (beserta dengan ertinya).

Cara inilah yang telah diamalkan oleh orang-orang dahulu apabila menjatuhkan hukuman pada anak cucunya, apabila melakukan sesuatu kesalahan. Ia bertujuan untuk mengelakkan kenakalan anak berlanjutan pada masa akan datang. Bukanlah menghukum anak sehingga menyakiti tubuh badan dan hati si anak.

Ajarkan anak membaca doa apabila masuk dan keluar bilik air

Dengan mengamalkan doa-doa yakni ketika masuk dan keluar dari bilik air, maka insya Allah akan mendapat perlindungan Allah SWT dari godaan syaitan. Orang tua-tua memberitahu bahawa syaitan akan masuk melalui ubun-ubun seseorang, jika ia masuk ke bilik air tanpa meminta perlindungan dari Allah SWT. Sehingga terlalu kerapnya syaitan itu memasuki ubun-ubun anak (seseorang), maka muncullah atau berlakulah perilaku sumbang.

Rahsia Mendidik Anak Dengan Mengamalkan Kaedah Orang-Orang Tua Lama

Bagi anak-anak yang belum lagi menguasai bacaan doa-doa harian, cubalah dengan cara mengamalkan petua-petua mustajab yang terkandung dalam bab seterusnya ini. Bukannya mudah untuk melembutkan hati anak supaya mendengar kata, dalam erti kata sebenarnya, cakap dah penat macam mana nak ajar lagi? Dinasihatkan janganlah berputus asa dalam berusaha ke arah yang dikehendaki itu. Dalam part yang ini tujuannya sama iaitu bagaimana usaha dan ikhtiar yang harus dilakukan oleh kedua ibubapa supaya si anak ini taat setia kepada orang ibubapanya, menurut kata, berbudi pekerti tinggi dan patuh kepada perintah Allah SWT dan Rasul-Nya serta menjauhi sejauh-jauhnya larangan-Nya.

Insya Allah pembaca akan dapat menjadikan khazanah orang-orang dahulu ini untuk mendidik anak cucu meraih kejayaan serta menjadi manusia yang baik dan berguna, sempurna akhlak dan peribadinya. Saya mohon jika ada sesiapa pembaca yang tidak berpuas hati atau rasa tulisan saya ini tidak betul, saya bersedia menerima teguran demi kebaikkan semua. Sesungguhnya tiada siapa yang sempurna di dunia ini.

Perpada-padalah jika ingin memanjakan anak sekalipun

Kita sering mendengar adanya orang tua yang telah kehabisan akal dan daya usaha dalam mendidik anaknya sehingga pada akhirnya anak-anaknya dibiarkan begitu sahaja. Terdengar banyak keluhan mengenai ketidakupayaan ibubapa dalam mengatasi kerenah dan kenakalan anak sehingga tercetus ungkapan, "Tak boleh buat apa dah!!.." Iaitu nada jawapan keputusan ibubapa yang telah gagal dalam mendidik anak-anaknya.

Pada hari ini ramai orang mengambil pedoman dari pakar jiwa anak-anak malah ada golongan kelas menengah yang terlalu mengagong-agongkan pandangan mereka itu, golongan ini tidak tahu kelemahan yang ada pada pakar kanak-kanak itu yang kebanyakkannya dipengaruhi oleh pemikiran cara barat. Pada hal jika dilihat dari realiti ibubapa yang harus menjadi contoh yang terbaik, ibubapa adalah umpama bayang-bayang pada si anak mereka yang dijadikan pedoman pada si anak untuk mewarnai fitrah anaknya. Justeru itulah akhirnya ibubapa sekarang ini menjadi hamba abdi dan suruhan anaknya sejak anaknya kecil lagi. Ibubapa menurut kehendak anak, tetapi biarlah di dalam keadaan yang sewajarnya.

Istiadat Menukar Nama

Masyarakat dahulu jika menghadapi masalah anak yang tidak dapat di atasi lagi mereka menggantikan nama pada si anak tersebut. Mereka percaya bahawa menukar nama dengan nama baru merupakan kembali ke belakang yakni seolah-olah anak itu lahir semula. Inilah yang tersirat, sebab itulah kita disunnahkan menamakan anak dengan panggilan yang baik-baik dari nama yang baik didalam Al-Quran.

Mereka akan menjemput masyarakat sekeliling bagi membuat kenduri, dinamakan kenduri talak bala. Dipercayai kenduri tolak bala itu berasal dari kenduri menukar nama anak yang nakal dengan nama baru. Sebelum jamuan dihidangkan seperti biasanya dibacakan doa permohonan pada Allah SWT agar anaknya diberi "lunak hati" dan mentaati ibubapanya.

Dipercayai pada masa kenduri diadakan si anak memakai pakaian putih dan didudukkan ditengah-tengah hadirin ketika membaca doa untuknya. Di sini tidak dapat saya sertakan secara detail dan panjang lebar cara-cara dan aturan orang-orang dahulu mengadakan kenduri menukar nama ini, adalah lebih baik jika dirujuk kepada yang lebih arif. Saya hanya akan typekan di sini jika sekiranya ada sesiapa yang benar-benar ingin mempelajarinya. Kerana apa yang akan saya typekan ini adalah adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu lama namun adat tukar nama pada masa sekarang telah lama pupus.

Kepupusan itu mungkin kerana syarat yang ketat dari segi undang-undang dan sebagainya. Walau bagaimanapun sebenarnya tukar nama ini pada masa sekarang masih dapat diamalkan tanpa menukar nama pada surat kelahiran atau ic kerana yang penting adalah panggilannya pada si anak sehari-hari. Panggillah anak dengan nama yang baik itu sudah memadai, masyarakat sekarang terlalu ghairah memilih nama-nama yang sedap disebut dan panjang berjela-jela tetapi mengandungi erti yang kurang baik.

Baju Anak Dan Rahsianya

Mengikut adat resam masyarakat Melayu lama antara baju dan anak mempunyai hubungan amat rapat. Biasanya apabila orang tua membelikan baju tidak terus dipakaikan pada si anak. Tiap-tiap baju yang yang baru dibeli untuk anaknya itu dicuci terlebih dahulu dan setelah selesai dicuci, dijemur di tempat yang teduh atau di dalam rumah. Pada hari ini adat semacam ini sudah lama luput, namun setengah masyarakat Melayu Jawa masih terus mengamalkannya, bertujuan agar anak tersebut sejuk hati dan mengikuti arahan-arahan yang diberikan orang tuanya.

Ada satu kepercayaan orang tua-tua dahulu, tidak mahu bahkan pantang melintasi tali ampaian di mana tempat tersidainya baju anak-anak. Kononnya anak itu kelak bila dewasa akan berani menentang orang tuanya. Wallahhu'alam.

Demikian pula cara memakaikan baju pada anak, anak dihadapkan ke kiblat (kalau masih kecil berdiri mengadap kiblat) kemudian memakaikan seluar dahulu pada kaki kanan kemudian kaki kiri. Diikuti memakai bajunya bermula dari tangan kanan kemudian kiri. Yang paling penting masa mengancingkan butang baju dengan membaca : "Bismillahi Allah Hu Akbar" sehingga terkancing semuanya. Dengan demikian niat mudah-mudahan anak ini terkunci dari gangguan jin yang jahat. Jika diamalkan khasnya oleh ibubapa terhadap anaknya sejak masih bayi lagi, sehingga menjadi amalan yang sebati sesungguhnya Allah akan memenuhi permintaannya. Insya Allah.

Orang tua-tua zaman dahulu tidak memanjakan anak-cucunya

Pada hari ini banyak ibubapa yang terlalu memanjakan anak, itu tidak ubahnya seperti memberi madu tetapi sebenarnya racun. Dikatakan racun kerana sikap ibubapa itu sendiri dapat membunuh sikap-sikap baik yang lahir dari si anak seperti;
  1. Sikap percaya diri sendiri
  2. Sikap mahu berusaha sendiri
  3. Sikap berani kerana benar
  4. Sikap tanggungjawap

Jika keempat sikap ini tiada, keadaan dalam diri si anak bersifat pasif yang kemudiannya segala-galanya bergantung harapan kepada kedua ibubapanya. Sebab itulah benar apabila dinyatakan bahawa masalah memanjakan anak merupakan kesilapan besar dalam mendidik anak. Kajian mendapati bahawa orang tua-tua dahulu berjaya dalam mendidik anak cucu kerana kunci utamanya ialah "tidak memanjakan anak".

Rasulullah SAW bersabda: "Ajarilah anak-anakmu berenang."

Dalam hadis tersebut tersirat suatu hikmah di samping anak itu mendapat kesihatan yang baik dari aktiviti berenang, namun yang lebih utama ialah untuk mendorong mereka belajar berdiri di atas kaki sendiri. Dalam ertikata lain belajar tidak bergantung pada ibubapanya ataupun pada orang lain. Ibarat kita membiarkan anak di dalam air dan biarkan ia sendiri berusaha untuk mengapongkan dirinya supaya tidak tertelan air. Tersirat sesuatu yang unik untuk difikirkan di dalam erti kata belajar berenang ini, hanya dengan belajar berenang sahaja kita dapat menilai sedalamnya maksud belajar berenang dan kaitannya dengan belajar berdiri di atas kaki sendiri.

Kita sering melihat seorang anak yang masih kecil didudukkan di atas bahagian leher belakang (tengkuk) ayahnya, sambil dipegang kedua tangan si anak itu oleh ayahnya. Kononnya ayah itu hendak menunjukkan kesayangannya pada anaknya itu. Bagi orang-orang dahulu perbuatan ayah memanjakan anak seperti yang digambarkan di atas tadi merupakan pantang larang yang amat sangat. Memanjakan anak sehingga berlebihan membawa kesan buruk pada si anak itu sendiri dan jelas kelihatan ketika anak itu meningkat dewasa.

Kesan dari perbuatan tersebut dipercayai oleh orang tua-tua dahulu apabila dewasa anak itu tidak akan mendengar kata dan mentaati perintah ibubapanya, bahkan umpama memijak kepala ibubapa seperti terdapat di dalam pepatah melayu.

Satu lagi pantangan orang-orang tua dahulu ialah menggunakan pinggan yang sama digunakan untuk makan nasi si ayah juga digunakan oleh anaknya. Begitu juga dengan bekas minumannya. Kesan dari sikap ini dipercayai akan menyebabkan anak tidak mendengar kata dan merasa tidak hormat kepada orang tuanya. Orang-orang dahulu sangat memperhatikan masalah pinggan mangkuk dan gelas yang biasa digunakan oleh mereka sebagai larangan di dalam rumahnya. Mereka tidak mahu bahkan melarang pinggan atau gelasnya yang biasa digunakan itu digunakan juga oleh anak cucunya untuk makan minum.

Mengikut kajian dan penelitian saya, amalan menggunakan pinggan mangkuk dan gelas mengikut pemiliknya masing-masing merupakan amalan yang hampir dikatakan "wajib" oleh orang-orang dahulu dan hari ini masih menjadi amalan dari keturunan raja-raja dan keturunan ternama.

Apa yang menjadi bukti ialah anak cucu mereka merasa takut dan mentaati perintah kedua orang tuanya. Bukti ini dapat dilihat sendiri dari keluarga diRaja dan kerap didengar dari mulut ke mulut.

Malah adakalanya kita mendengar seorang yang sudah berumur bercerita, "Dahulu kami takut pada Ayah! Jangankan merokok di hadapannya, melintas di hadapannya pun tidak berani. Budak-budak sekarang lain pula halnya. Terbalik, orang tua pula menjadi takut pada anak-anaknya."

Ungkapan-ungkapan yang senada dengan ini banyak sekali dan kerap kita mendengarnya sendiri. Demikian yang tersirat adanya dari amalan yang menjadi sebati setiap hari oleh orang-orang dahulu. Sebab itulah ada setengah-setengah orang tua yang tidak mahu makan di luar (iaitu di kedai-kedai makan). Wallahhu'alam.

Salah satu lagi pantang larang orang dahulu ialah apabila anak-anak cucunya membuang tulang ayam atau tulang apa pun (selepas memakan dagingnya) di merata-rata tempat atau di tempat yang kotor. Menurut penelitian adat orang-orang lama di dalam masyarakat Melayu sebenarnya ada kaitannya dengan perintah larangan yang disabdakan oleh junjungan kita Rasulullah SAW di mana baginda bersabda bahawa sesungguhnya tulang-tulang yang dibuang itu menjadi daging bagi para jin. Mereka saling berebut-rebut mendapatkannya sebagai rezeki makanan yang berupa daging-daging baginya.

Jika kebetulan tulang itu dibuang di tempat yang kotor kemudian para jin ini mendapatkannya dan marah, maka akan berakibat buruk pada si anak. Boleh jadi anak akan menjadi bebal, degil dan tidak mahu mentaati perintah ibubapanya. Boleh jadi perkara yang lainnya seperti sakit yang sukar diubati dan sebagainya. Sebab itulah masyarakat zaman dahulu (orang tua-tua) sentiasa mengingatkan kepada anak cucunya agar tulang-tulang dari sisa daging-daging yang dimakan itu dikumpulkan di satu tempat khusus dan setelah itu dibuang di tempat yang disediakan.

Jangan Membiasakan Anak Menggunakan Tangan Kiri Untuk Makan Minum Memberi Dan Mengambil

Apa yang harus di ingatkan ialah ibubapa hendaknya berhati-hati dalam hal makan, minum, memberi dan mengambil sesuatu. Sebab perkara ini mesti berlaku di dalam kehidupan sehari-hari kita. Ada satu peribahasa yang baik bagi ingatan kepada ibubapa iaitu: "Bapa kencing berdiri, anak kencing berlari." Kalaupun diluar pengetahuan anak, "Bapa kencing berdiri", maka diluar pengetahuan bapa pun, "Anak akan kencing berlari".

Oleh yang demikian, dalam hal makan dan minum, biasakan dengan cara yang sopan, baik dihadapan anak-anak ataupun di luar pengetahuan anak-anak. Duduklah dengan tertib sebaik menghadap kiblat, baca Bismillah dan seterusnya doa hendak makan dan barulah makan dengan senyap (iaitu tiada percakapan atau kurangkan bercakap-cakap). Ambillah makanan atau lauk yang terdekat dengan kita. Jika harus bercakap, maka percakapannya itu terbatas dan yang menghiburkan sahaja.

Terdapat hadis yang melarang kita menggunakan tangan kiri: Diriwayatkan oleh Muslim, Malik, Abu Daud dan Tirmidzi dari Abdullah bin Umar, Nabi bersabda yang bermaksud, "Janganlah sekali-kali seorang dari kamu makan minum dengan tangan kirinya kerana syaitan makan dan minum dengan tangan kirinya."

Pada riwayat lainnya ditambahkan: "Dan janganlah pula mengambil dan memberi dengan tangan kiri."

Dari hadis-hadis tersebut di atas tadi, jelaslah bahawa kesopanan dalam makan, minum, mengambil dan menerima, memainkan peranan penting pada pembentukkan diri yang baik terhadap anak-anak.

Kaedah orang tua menundukkan hati anak

Bab hari ini saya ingin membawa pembaca kepada petua menundukkan hati anak yang terlalu degil. Kaedah yang diamalkan oleh orang tua-tua kita dahulu bagi mengatasi kedegilan dan kenakalan anak yang sudah melampau adalah seperti berikut. Jika pembaca benar-benar telah putus harapan untuk mengatasi kedegilan anak cubalah berusaha dengan cara ini, cubalah luangkan masa jika benar-benar ingin melakukannya.

Petua-nya ialah:
Bapa yang ketika berada di dalam masjid bagi menunggu solat Jumaat pada masa itu sedang muadzin melaungkan azan dan iqamat. Di antara kedua azan tersebut itu, hendaknya membaca 35 kali, "Ahmad Rasulullah Muhammad Rasulullah"

Selepas solat selesai tidak terus pulang tetapi carilah 40 orang miskin yang diberikan kepadanya sedekah dan harus selesai sebelum Asar. Kemudian setelah selesai kembali ke rumah. Selepas mandi dan ambil air wuduk kemudian solat dua rakaat sunat sebelum Asar. Selepas itu duduk diam tafakur sambil baca ayat kursi 17 kali.

Dalam masa membaca ayat kursi itu selitkan satu permohonan kepada Allah SWT agar anak diberi lunak hati dan mahu mendengar cakap serta taat kepada orang tua. Permohonan tersebut dibaca dalam hati ketika mana datang isyarat suatu perasaan yang lazat dan ketenangan di dalam hati bersamaan masa sedang membaca ayat kursi. Insya Allah dengan izin-Nya jua anak akan berubah menjadi anak yang baik tingkah lakunya. Setelah selesai, barulah solat Asar.

Sebenarnya inilah rahsia segala rahsia, petua yang diamalkan pada hari Jumaat itu tadi memang amat berkesan. Satu dari sebabnya mungkin disebabkan ada di antara orang-orang fakir miskin yang ketika itu sangat-sangat gembira ketika menerima pemberian sedekah dan ketika itu juga bersyukur pada Allah swt dan disaat-saat itulah Allah SWT mengabulkan permohonan hamba-Nya yang telah menggembirakan kaum fakir miskin yang disebutkan itu.

Orang tua dahulu mudah mengatasi kedegilan anak - rahsianya pada kain baju anak.

Satu lagi petua orang tua dahulu untuk mengatasi kedegilan dan kenakalan anak adalah dengan cara tertentu yang dikenal dengan nama "dikancing" ada juga yang menyebut "dipulut". Janganlah terkejut bila mendengar perkataan dikancing, cara ini adalah merupakan adat turun temurun terpulang kepada mereka yang mempercayainya. Namun kaedah ini sungguh mujarab tetapi hari ini sudah hampir tidak lagi diamalkan. Amalan ini sangat bergantung pada keyakinan kita. Kalau yakin maka jadilah apa yang diingini. Kalau tidak yakin memang tidak kesampaian apa yang diingini.

Petua-nya ialah:
  1. Masa anak tidur ambil baju ayah yang dipakai hari itu jadikan sebagai kain selimut si anak.
  2. Pantang bagi si ayah makan atau minum dengan pinggan atau gelas yang pernah digunakan anak itu.
Petua di atas juga sangat elok untuk menyembuhkan kerinduan anak pada ayah yang berjauhan. Sebab adakalanya anak sakit tanpa sebab dan tidak dapat diketahui sakitnya apabila ayah berjauhan. Inilah petua orang dahulu yang masa ini sudah pupus.

Sesungguhnya semua sedia maklum anak adalah amanah Allah SWT pada kita. Saya ingin kongsi bersama amalan di bawah ini, supaya kita dapat bersama-sama membina minda anak kita menjadi anak yang soleh dan solehah.

1) Ajarlah anak anda membaca Al-Quran, kenalkan dengan ayat-ayat Allah dan maknanya sekali sewaktu ia berusia 7 tahun.

2) Janganlah takutkan anak anda dengan sesuatu, seperti kegelapan, dan jangan menakut-nakut mereka dengan benda-benda yang mereka sendiri tidak tahu, seperti perkataan hantu, atau memomok-momokkan mereka. Apabila anak diajar dengan sifat begini apabila dewasa kelak akan menjadi seorang yang penakut, sesungguhnya kubur juga adalah tempat yang gelap, dan semua orang akan menghampirinya dan janganlah sesekali menakut-nakutkan anak anda dengan kegelapan.

3) Bawalah bersama anak untuk menziarahi orang sakit, bersama-sama mereka ketika menziarahi kubur sanak-saudara, melawat orang mati, atau majlis-majlis tahlil. Dengan cara ini anak akan menjadi biasa dengan perkara tersebut, ketika dewasa beliau telah lali dan tidak takut dengan perkataan mati atau takut menziarahi orang mati. Anak anda juga akan menjadi anak yang berani insya Allah.

Petua ini jika diamalkan dengan niat yang ikhlas agar Allah SWT membalasnya dengan suatu kebaikan pada anaknya, salah satu mendidik anak ialah membawanya ketika melihat sahabat yang sedang sakit, doa orang yang sakit itu, insya Allah akan dimakbulkan-Nya. Cukuplah dengan memegang kepada si anak dan dengan ikhlas hamba Allah yang sakit tersebut merasa sungguh gembira dengan kedatangan kita dan dengan ikhlasnya mendoakan untuk anak kita tanpa diminta.

Itulah sebabnya seorang muslim yang sihat digesa sangat-sangat mengunjungi saudaranya seagama yang sedang sakit, rahsia hikmatnya kerana di saat itulah doa orang yang sakit itu amat mustajab, seperti dinyatakan di atas tadi.

4) Ajarlah anak anda berwuduk sebelum tidur kelak akan menjadi kebiasaan pada dirinya sehingga dewasa sentiasa dalam keadaan bersih dan berwuduk. Cara tidur juga penting supaya anak tidur didalam mengadap ke kiblat, dan jika anak masih bayi maka ibubapa seharusnya akan menghadapkan mukanya ke kiblat. Ini mesti dijaga, walaupun kelihatan sesuatu yang ringan tetapi mengandungi rahsia yang mendalam apabila anak tersebut dewasa. Menurut penelitian orang tua-tua dahulu anak kecil yang biasa tidurnya itu membelakangi kiblat ternyata bila dewasa anak itu akan jauh dari agama dan akan mempersendakan.

5) Ajarlah anak anda bagaimana membuang air kecil dengan sempurna, tidak kesenonohan membuang air kecil akan menjadikan sikap kebinatangan melekat perlahan-lahan di hati anak. Ketika anak pandai membuang air kecil dan membersihkannya sendiri, sebagai ibubapa jagalah beberapa perkara ini:
  1. Jangan kencing berdiri
  2. Jangan kencing sehingga memercik kembali pada pakaian atau tubuh anggota badan
  3. Jangan kencing pada takungan air
  4. Jangan kencing di tempat lubang haiwan kecil tinggal
  5. Jangan kencing di jalanan
  6. Jangan kencing di dinding masjid
  7. Jangan kencing di tempat orang beristirehat dan di perkuburan
  8. Jangan kencing pada sekitar pohon-pohonan
  9. Jangan kencing disekitar kawasan rumah
  10. Ketika masuk tandas/bilik air, dahulukan kaki kiri dan ketika membuang air kecil ajarlah anak bertinggung.

Adat membuang air kecil dan air besar

Dikehendaki menjongkokkan badan ke sebelah kiri kemudian bersuci dan keluar dari bilik air setelah bersuci dengan mendahulukan kaki kanan. Jangan sekali-kali meninggalkan "bersuci" selepas kencing, ajarlah pada anak sejak kecil-kecil lagi kerana ianya kunci kebersihan zahir yang mempengaruhi kebersihan batin. Kebaikannya yang paling besar ialah kelak apabila anak sudah dewasa insya Allah akan dapat menjaga farajnya (alat kelamin) dan tidak mudah digoda oleh bisikan hawa nafsu syaitan.

Bersyukur

Ajarlah anak supaya sentiasa bersyukur atas segala nikmat Allah SWT di dunia ini. Amat sedikit orang-orang yang bersyukur pada hari ini, oleh yang demikian wajiblah kita ajarkan tentang rasa syukur dengan penuh keikhlasan terhadap apa yang diberikan kepada kita. Jika benar-benar rasa syukur, maka akan merasa ringan bila menghadapi segala masalah yang menimpa.Malah dengan banyak bersyukur maka segala masalah hidup termasuk menghadapi kedegilan anak-anak itu akan mudah mendapat pertolongan dari Allah SWT. Banyak bersyukur juga merupakan amalan yang akan memudahkan terbukanya pintu rezeki.

Kecacatan fizik atau mental kanak-kanak berpunca dari kelakuan orang tuanya?

Kecacatan anak sebenarnya adalah satu takdir dari Allah SWT untuk menguji hamba-Nya, tetapi takdir itu sendiri tidak datang begitu sahaja. Dalam hal kecacatan anak, baik fizik atau mentalnya para pengkaji mendapati bahawa sebab utamanya ialah kelakuan orang tuanya sendiri. Menurut para pengkaji, Allah SWT yang maha mengetahui segala yang di langit dan dibumi dan kejadiannya adalah kehendak-Nya yang terbukti dengan jelas di dalam surah Yassin ayat 82 yang bermaksud, sesungguhnya keadaan kekuasaan-NYA apabila IA menghendaki adanya sesuatu, hanyalah IA berfirman benda itu: "Jadilah engkau!!", maka ia terus menjadi.

Asal usul segala kecacatan itu adalah takdir Allah SWT dan dari kecuaian kita itu dijadikan penyebabnya. Setelah kita di akad nikah dan ketika melakukan hubungan jimak, si suami yang bakal menjadi bapa ketika itulah bermulanya acuannya. Jika benar-benar mengerti dengan doa ketika berjimak dan faham yang diucapkannya, selamatlah zuriat keturunannya. Disitulah awal terselitnya benih-benih yang akan disenangi atau tidak disenangi (anak-anaknya). Sebab itulah syariat telah menggariskan beberapa rukun dan syarat-syarat dan juga hukum-hakamnya berjimak dan waktu-waktunya yang merupakan larangan berjimak.

Jika dilanggar sama ada seseorang tahu atau tidak, pasti akan menerima akibatnya sama ada diterima oleh perlakunya yakni orang tuanya atau anaknya kelak.

Masa yang baik bagi menurunkan zuriat (anak-anak) yang sihat mentalnya, berbudi bahasa dan taat pada ibu bapanya, orang-orang dahulu menasihatkan jika akan berjimak hendaklah memilih masa yang baik. Insya Allah diberi keturunan yang baik-baik.

Masanya ialah : malam Isnin, malam Selasa, malam Khamis, hari Khamis dan malam Jumaat.

Masa terlarang berjimak ialah:
  1. Ketika telanjang bulat yakni tidak berselimut dan masing-masing melihat kemaluan
  2. Ketika berdiri
  3. Ketika orang lain mendengar suaranya
  4. Beratapkan langit
  5. Di hadapan anak
  6. Ketika masa di antara azan dan iqamat
  7. Ketika bertiup angin kencang
  8. Ketika terjadi gempa bumi
  9. Ketika terjadi gerhana bulan dan matahari
  10. Tanpa mengambil wuduk ketika isteri hamil
  11. Pada hari terakhir bulan Sya'ban
  12. Pada malam 15 Sya'ban
  13. Pada malam Aidil Adha
  14. Pada malam Aidil Fitri
  15. Pada awal jam malam
  16. Di antara azan subuh dan matahari terbit
  17. Pada saat-saat matahari terbenam
  18. Dalam keadaan menghadap matahari
  19. Ketika tidak ada air
  20. Di bawah pohon buah-buahan
  21. Di atas atap sesuatu bangunan
  22. Di atas kapal atau seumpamanya yang bergerak
  23. Ketika berada di tempat suci
  24. Ketika ikhram
  25. Ketika menghadap atau membelakangi kiblat
Menurut penelitiannya, si anak akan buta hati dari ilmu-ilmu Agama, dan sangat payah menerima ajaran-ajaran yang berunsur akhlak. Rasulullah SAW bersabda bahawa ada tiga macam balasan buruk akan segera menimpa seseorang di dunia ini, jika.
  1. Semasa masih ada, anak-anak dahulunya terlalu berani kepada orang tuanya.
  2. Kejam terhadap makhluk Allah.
  3. Tidak tahu bersyukur pada Allah SWT.
"Orang dahulu berkata bahawa kunci dari baik buruknya anak-anak itu sangat bergantung kepada baik buruknya ibu bapa kepada orang tua-nya."

Ingatlah saudaraku sekelian bahawa, apabila seorang hamba Allah itu meninggal dunia dan meninggalkan beberapa orang anak, maka segala amal perbuatan anak-anaknya itu akan menjadi hidangan istimewa terhadap orang tuanya yang telah mati di alam barzah sana. Kalau amal ibadatnya baik hidangannya berbentuk yang menyelerakan, sebaliknya kalau amalan yang dikerjakan oleh anak-anaknya itu amalan-amalan terkutuk atau terlarang sehingga menyebabkan dosa, maka hidangannya akan berbentuk yang menjijikkan seperti bangkai. Ini dipertunjukkan oleh malaikat penjaga kubur pada setiap selepas waktu Asar.

Kasih sayang yang tak berbelah bagi dari ibubapa tak mencukupi andainya anak-anak kita bergaul dengan orang yang tidak sepatutnya. Kasih sayang yang sebenarnya yang harus diberikan pada anak-anak itulah yang akan menyelamatkan anak kita. Cuba kita semua bayangkan anak yang hidup tanpa kasih sayang. Kasih sayang yang sebenarnya bukanlah dengan memanjakan anak dan jika anak membuat kesalahan anak akan dipukul atau diherdik kerana kita merasa anak itu harus diajar dengan cara itu setelah kita memberikan kasih sayang pada mereka. Sebenarnya kita silap, sikap kita sebagai ibubapalah yang penting dalam mendidik anak-anak kita. Ibarat kata pepatah dimana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi, begitulah dengan kita, jika kita hendakkan kuih yang cantik dan tidak cacat sudah tentu kita perlukan acuan yang cantik, jika ayah minum berdiri, usahlah diajar anak kita minum duduk, kan? Disini ingin saya huraikan bahawa dengan kasih sayang yang ikhlas dan sentiasa dipupuk setiap hari Insya Allah anak kita akan merasa sedih untuk melukakan hati kita apa tah lagi untuk membuat sesuatu yang tidak baik bila dewasa kelak.

1) Sentiasa menjadi kawan yang baik dengan anak-anak kita, mulakan sejak ia berusia awal persekolahan lagi. Jika anda seorang ibu, waktu anak berusia 5-8 tahun adalah waktu yang baik untuk memulakan persahabatan dengan mereka. Berbual dengan mereka tentang sesuatu yang mereka suka, sentiasa memuji dengan hasil kerja atau pada setiap perbincangan dengan mereka tentang sesuatu perkara.

2) Jadikan anak-anak tempat untuk anda bermanja, contohnya, walaupun anak masih kecil, selalunya dia suka bermanja dengan kita, tetapi sesekali cubalah tukar pulak, cubalah bermanja dengan mereka dengan menyuruh mereka picit kaki atau ambilkan air , dan setelah itu pujilah mereka, dengan cara itu anak akan menjadi lebih gembira melakukan sesuatu dirumah, (seharusnya ibu-ibu dirumah cuba sediakan air didalam balang plastic yang tidak membahaya untuk anak belajar menuang sendiri, dan janganlah letakkan balang biskut atau makanan kegemaran anak anda didalam balang kaca yang pada mata anda memang cantik tetapi akan melukakan si anak, dan bila balang jatuh pecah anak juga yang jadi mangsa kena marah..kesian pada anak sedangkan itu salah ibunya.)

3) Luangkan masa bersama mereka, walaupun anda penat, baru pulang dari kerja, saya faham ada ibu-ibu yang merasa marah bila pulang dari beban kerja di office terpaksa menempuh beban dirumah pula, ingatlah jika kita menganggapnya sebagai beban segala yang kita lakukan tidak mendapat keberkatan disisi Allah, be honest to yourself, buatlah dengan hati yang ikhlas, anda tidak akan merasa itu sebagai beban, setelah pulang kerumah tentu anak terasa rindu pada kita, masa itulah mereka membuat kerenah, meragam, meminta-minta, yang baik dirumah babysitter/pembantu rumah, terus aje bertukar menjadi lain bila nampak muka ibunya, itulah sebenarnya dinamakan kasih sayang, anak kecil masih mentah untuk memahami kita, janganlah terus diherdik walaupun kita penat, ingatlah kita sentiasa dalam ujian Allah SWT.

4) Lakukan segalanya bersama, agar dapat mengeratkan silatulrahim, janganlah membiarkan anak-anak makan berasingan dari ibubapa, walaupun sikecil masih belum mengerti, bersolat bersama, beriadah bersama anak-anak inilah yang mengeratkan kita dengan mereka, janganlah kesal kelak dan menyalahkan anak bila mereka dewasa, jangan salahkan mereka jika suatu masa mereka merasa janggal dan malu walau untuk bersalam dan mencium tangan kita ibubapa, ada juga yang merungut dengan saya, anak mereka bila dah dewasa rasa malu bila kita memeluk dan mencium pipi mereka, itulah adalah silap kita sendiri.

5) Jika anak yang telah akhil baligh melakukan kesalahan, janganlah terus menghukum mereka, sebaliknya berbincanglah dengan mereka, bercakaplah seperti seorang sahabat menasihati sahabatnya, anak akan sedar sendiri kesalahan mereka, tegaskan kepada mereka dan jika didapati masih melakukan kesilapan yang sama, hukumlah dengan cara yang betul.

Kesempurnaan

Kesempurnaan hidup kita sebagai ibubapa adalah penting dalam kehidupan anak-anak kita. Kempurna yang saya maksudkan bukanlah sempurna dari segi material, sempurna yang dimaksudkan adalah sempurna sebagai hamba Allah swt. Ingatlah jika kita adalah ayah kepada anak, maka kita juga adalah imam dalam keluarga. Segala tingkah laku kita sebagai ibubapa adalah dalam perhatian anak-anak. Ini adalah salah satu didikkan dirumah yang tidak perlu diteorikan. Setiap ucapan kita adalah doa, ucapkanlah perkataan yang baik untuk darah daging kita setiap hari kerana itulah doa yang tidak kita sedari.

Doa kita sebagai ibubapa itulah yang membawa kepada kecermerlangan dan peribadi yang mulia terhadap anak-anak. Sedarkah kita setiap hari dan malam kita mendoakan untuk mereka?

Kesempurnaan ilmu dari ibubapa itulah yang menjadi bekal buat anak-anak kelak. Apabila seorang anak membuat suatu kesilapan, sebelum memarahi mereka, tanyalah diri kita sendiri, adakah kita manusia yang sempurna? Maka itulah yang saya maksudkan dengan kesempurnaan. Bagi pasangan yang ingin berumahtangga dan yang bakal menjadi ibubapa bekalkanlah diri kita dengan ilmu dalam mendidik anak secara Islam. Sempurnakanlah diri kita dahulu, maka akan lahirlah zuriat yang sempurna kelak. Insya Allah.

Pada fikiran saya , bahawasanya jika kita sebagai ibubapa mengambil berat terhadap pendidikkan anak dengan penuh keimanan, serta dibentuk untuk mengawas diri terhadap Allah, takut kepadaNya ia akan meninggalkan kesan yang besar dalam membetulkan diri anak kita.

Kitalah orang yang bertangungjawab yang menjadi pendidik terhadap pendidikkan anak kita dari segi kepercayaannya, dan membentuknya dari segi keimanannya, sehingga anak itu membesar lurus perjalanannya, molek akhlaknya.

Saya tahu ramai ibubapa sebagai sipendidik ini tidak pernah berputus asa untuk mencari cara-cara yang paling baik untuk mendidik anak mereka. Ramai ibubapa telah berjaya dan mereka menggunakan cara yang berbeza-beza dalam mendidik, menggunakan kebijaksanaan masing-masing. Ada anak yang yang cukup dengan memberi syarat dari jauh saja, dan hatinya akan merasa gentar; ada yang cukup dengan menjeling, perasaannya akan berubah; ada yang cukup dengan menunjukkan muka yang masam, atau ada juga yang menunjukkan kemarahan yang terang-terang ada yang dengan tidak bertegur sapa. Apapun caranya yang penting ialah kita mengikut lunas-lunas yang terdapat dalam Islam, cara pendidikkan secara Islam, telah banyak kita diberi petunjuk cara untuk menghukum anak yang dibenarkan dalam Islam. Laksanakanlah ia serta buatlah pilihan yang paling sesuai di antara cara-cara tersebut.

Cara pendidikan:

1. Dengan pendidikan secara tauladan di rumah, si anak akan meniru segala kelakuan kita di rumah, dari sebaik-baik sifat sehinggalah ke sifat yang tidak baik yang ada pada diri kita sendiri.

Jika kita ibubapa yang sempurna akhlaknya dan dia nanti kelak akan meningkat dewasa kepada sifat-sifat yang baik dan mulia dari kita. Insya Allah.

2. Dengan pendidikan secara beradat, si anak akan mencapai sebaik-baik sifat, dan setinggi-tinggi contoh tauladan dalam pembentukan pendidikannya. Ini bergantung kepada cara pemerhatian kita. Seperti yang telah saya tuliskan cara mendidik anak mengikut adat melayu lama.

3. Dengan pendidikan secara nasihat dan pengajaran, si anak akan terpengaruh dengan kata-kata yang berkesan, dan nasihat yang menunjuk ajar, seperti bercerita tentang kisah-kisah tauladan atau berbual sebagai sahabat dengan cara bijak untuk menarik perhatian anak, yang mana tanpa semua ini juga perasaan si anak tidak akan lembut dan tidak akan timbul perasaan kasih-sayang mereka terhadap kita. Dan apabila tidak ada lagi kasihsayang dan belas mereka terhadap kita ibubapa maka harapan untuk memperbaikinya adalah lemah sekali.

4. Dengan pendidikan secara pemerhatian, si anak akan menjadi baik, jiwanya berkembang, dan adab serta akhlaknya akan sempurna. Insya Allah. Anak akan menjadi laksana sebiji batu-bata yang kukuh dalam masyarakat, dan salah sebuah anggota yang penting lagi berguna dalam umat Muslimat. Tanpanya si anak akan cenderung kepada seburuk-buruk akhlak, dan akan jatuh ke dalam serendah-rendah lembah, dan dialah bakal menjadi penjenayah yang amat jahat sekali dalam masyarakat. Laa haula walaa quwata illaa billaah..

Berikanlah perhatian kepada anak-anak kita sama ada diluar atau didalam rumah sejak ia berusia dari usia Tamyiz iaitu usia dari 7~10 tahun. Tunjuk ajar dan juahkan mereka dari perkara kemungkaran apabila ia berusia murahaqah iaitu usia antara 10~14 tahun. Peliharalah mereka daripada kejahatan apabila ia masih dalam usia baligh iaitu usia dari 14~16 tahun.

5. Dengan pendidikan secara hukuman pula, si anak akan mencegah dirinya dari melakukan dosa, berhenti dari kelakuan yang buruk dan sifat yang tercela. Dia akan mempunyai perasaan yang boleh menghalangnya daripada meneruskan perbuatan yang keji disisi Islam. Tanpanya si anak tadi akan bermaharajalela dalam perbuatan keji, dan akan mudah tergelincir ke dalam kerosakan dan kemungkaran.

Waspadalah wahai ibubapa , kita sama-sama dan benar-benar ingin melaksanakan kelima cara ini dengan baik , dan melakukannya dengan cara yang bijaksana. Andai kita ingin melihat masyarakat kita mempunyai akhlak yang mulia dan negara kita sebagai negara Islam yang maha sempurna tiadalah mustahil segalanya atas nama Allah yang Maha Besar.

Renungkanlah...

Mendidik anak untuk menjadikan yang terbaik itu bukanlah mudah, kerana itulah sejak dari rahim ibu lagi kita perlu melentur supaya bila lahir kelak akan menjadi insan yang berakhlak mulia semulia nabi kita Muhammad SAW. Umumnya, wajiblah kita berpegang teguh dengan pendidikan secara Islam.

Sifat Mujahadah (penentangan)

1. Pendidikan dari segi kemasyarakatan untuk si anak adalah penting dalam mendidik anak-anak, hendaklah kita selalu memerhatikan pada diri anak itu tentang cara-cara dia menjalinkan hubungan persahabatan dengan orang lain. Bagaimana sikapnya bila berhadapan dengan masalah lawan yang negatif, sama ada kawan, adik-beradik, gurunya atau kita sendiri sebagai ibubapa.

Wajiblah kita menerangkan tentang sifat cela yang ada pada kawan atau lawannya, terangkan tentang kesudahan perlakuan tersebut walaupun dalam usia yang masih kecil, terangkan dengan menggunakan daya kretif kita sendiri, bukanlah dengan mengajar anak supaya membalas kembali kerana dengan cara yang demikian akan meninggalkan kesan yang kurang baik dimasa hadapan, anak akan menjadi seorang pendendam, dan selalu berfikir kebenaran itu adalah dengan membalas kembali kelakuan cela tersebut.

Ajarlah anak kita dengan sikap tidak bergantung pada orang lain, perhatikan dari jauh apa perlakuan anak kita apabila berhadapan dengan lawan yang mempunyai sifat cela, dari situ kita rasa betapa sifat terpuji yang ada pada anak kita itu akan meninggalkan kesan pada ibubapa lawannya, beliau sendiri sebagai ibubapa akan merasa malu dengan sikap anaknya dan belajar dari kesilapan tersebut, jadi tak perlulah kita tanamkan sifat marah dan berdendam dan wajarlah si anak itu diteruskan dengan sifat beralah, mengalah bukanlah bermakna kita kalah. Tanamkan sifat tidak suka marah, memaafkan dan dari situlah sebenarnya kita mengajar anak kita belajar dari sifat menahan marah, itulah sifat terpuji yang ada pada junjungan kita nabi Muhammad SAW. Biasakanlah anak kita supaya dapat menahan marah ketika dia marah.

Sekali lagi saya ingin katakan teruskanlah mengajar anak tersebut dengan sifat yang baik, berikan pemerhatian pada setiap perlakuannya, mendengar dan melihat setiap tutur lakunya dari jauh antara dia dan lawannya, dan kemudian terangkan padanya jika perbuatan lawan adalah tidak baik dihadapan lawannya, tujuan kita adalah untuk memberi pendidikan pada anak bukan untuk mengajar anak kita bahawa dia adalah benar dan lawannya adalah salah, jika kita sentiasa berada dipehaknya, kelak dia akan sentiasa merasa dirinya betul disuatu ketika yang lain pula. Maka terangkanlah pada kedua belah pehak.

Sifat Nafsi ( Kejiwaan)

2. Hendaklah kita memerhatikan pada diri si anak tentang perasaan mulianya terhadap orang lain. Jika didapati suka mementingkan dirinya, hendaklah kita membimbingnya supaya melebihkan orang lain. Jika didapati anak itu suka membenci orang, hendaklah kita tanamkan didalam dirinya sifat menerima. Janganlah diajar sifat-sifat perkauman pada si anak, sifat siapa pandai, siapa bodoh, siapa cantik dan siapa hodoh. Ingatkanlah selalu padanya bahawa segala cacat cela seseorang itu bukan dari kehendak mereka, dan bukanlah disengajakan. Ajarkan sifat redha dalam diri anak kita. Jika didapati anak itu ditimpa bencana atau sesuatu yang dibencinya atau penyakit, haruslah ditanamkan kedalam jiwanya dan hatinya kepercayaan kepada redha dan qadha dan qadar. Hendaklah kita sebagai pendidik ini menimbulkan perasaan bersih dalam jiwa anak-anak itu perasaan kasih , melebihkan orang lain, mencintainya, berbelas-kasihan serta membersihkan hatinya dari sifat sombong dan iri hati.

Sifat Ruhi ( Kerohanian)

3. Ingatkanlah selalu pada anak-anak kita tentang kebesaran Allah sejak ia masih kecil lagi, perhatikan perlakuan anak dari segi hal-hal kebesaran Allah, mengingatkannya selalu bahwa, Allah SWT itu mendengarnya dan melihatnya, mengetahui segala rahsianya, yang tersembunyi dan yang akan datang. Terangkan pada anak bahawa Allah mengetahui tentang pengkhianatan mata iaitu apa yang anak lakukan dari luar pengetahuan kita, dan apa yang disembunyikan dari kita. Terangkanlah selalu bahawa Allah melihat dari segala penjuru dari langit hingga ke bumi. Hanya dengan itu anak akan merasakan dirinya terkawal ketika dia melakukan sesuatu kebaikkan atau keburukan, merasakan dirinya terkawal apabila dia berfikir. Bahkan dia akan belajar mengawal dirinya dari kemungkaran bila dewasa kelak. Bukakan pintu hati anak kita mengenal keagungan Allah meliputi yang kecil dan besar, yang beku dan yang hidup, pada kejadian tumbuh-tumbuhan, pohon-pohonan yang cantik, bunga-bunga yang indah, manusia yang berbagai-bagai rupa dan jenis, segalanya yang ajaib itu adalah dari Allah. Itulah yang akan mengajar anak kita dan mengukuhkan sifat-sifat takwa didalam jiwanya sejak dari kecil lagi. Mengajar mereka supaya sentiasa berterima kasih pada maha Pencipta, merasa takut dan sentiasa mendekatkan diri pada Allah dan merasa rendah diri disisi Allah.

Ketiga-tiga sifat ini jika ditanamkan dalam jiwa anak-anak kita InshaAllah dia akan menjadi manusia yang lurus, seorang yang berakal dan bijaksana dalam bertindak sesuatu. Bahkan akan sentiasa mendapat penghormatan didalam hati dan mempunyai kemuliaan dan kebesaran didalam jiwanya. InshaAllah.

5 perkara yang penting telah saya kongsikan bersama.

Pada pendapat saya lima perkara didalam mendidik anak ini adalah penting, bagi yang telah lupa lima perkara tersebut adalah:
  1. Mendidik dengan cara menunjuk contoh tauladan.
  2. Mendidik dengan adat kebiasaan atau adat melayu lama.
  3. Mendidik dengan nasihat dan bimbingan.
  4. Mendidik dengan pemerhatian dan pengawasan.
  5. Mendidik dengan denda dan hukuman.
Perkara penting dalam mendidik anak adalah mendidik dengan pemerhatian dan pengawasan.


Pemerhatian dari Segi Jasmani


1. Sebagai ibubapa berilah perhatian pada si anak dari segi nafkah yang wajib ke atasnya, seperti memberi makan yang baik, tempat tinggal yang selesa, pakaian yang sesuai, supaya si anak terpelihara dari berbagai-bagai bahaya dan dihinggapi penyakit dan wabak.

Kita sebagai pendidik harus tahu tentang hal makan minum dan tidur dalam kehidupan Islam.

Dari segi makanan, wajiblah kita perhatikan si anak memakan makanan yang berkhasiat dari minuman pula , perhatikan supaya si anak minum dua teguk dua teguk atau tiga teguk , melarangnya dari bernafas didalam bekas atau gelas ketika minum, dan melarangnya dari minum berdiri.

Dari segi tidur pula, hendaklah kita memerhatikan supaya si anak itu tidur mengiring ke kanan dan jangan membiarkan anak tidur sebaik-baik saja baru selesai dari makan.

2. Memerhatikan anak cara-cara pemeliharaan diri untuk menjaga kesihatan si anak, iaitu dengan membimbingnya supaya tidak memakan buah-buahan yang muda, memakan sayur-sayuran sebelum dicuci terlebih dahulu, ajarkan supaya si anak membasuh kedua tangan sebelum memulakan makan, tidak meniup-niup makanan di dalam pinggan.

3. Didiklah anak dengan kebiasaan bersenam dan berolahraga, bermain permainan yang membina ketangkasannya, membiasakan hidup sederhana, hidup suka berusaha dan rajin, berani, tidak terlalu tenggelam didalam kemewahan, supaya anak-anak kita kuat jasmaninya, kuat kemahuannya dan kuat semangatnya dan juga perasaannya.

Pemerhatiannya dari segi kejiwaan

1. Ibubapa yang dikasihi, pernahkah kita perhatikan pada diri anak-anak kita tentang tabiat anak kita? Jika didapati anak itu bersifat pengecut, takut atau tidak berani menghadapi sesuatu sendirian, tidak berani menghadapi cabaran, lari daripada tanggungjawab, maka wajiblah kita menambah semangatnya dari segi kepercayaan kepada diri sendiri, tidak gentar menghadapi cabaran hidup, tiupkanlah api semangat pada jiwa anak itu selalu sehingga si anak mampu menghadapi kehidupan untuk mengatasi segala macam problemnya.

Dalam hal seperti ini terlebih dahulu khususnya ibu yang sentiasa berada disisi anak sejak dari kecil lagi, janganlah menakut-nakutkan anaknya dengan bayang-bayangan, atau keadaan gelap, memomok-momokkan si anak dengan perkataan hantu, jin atau apa sahaja yang bertujuan untuk menakutkan anak, dan kelak anak akan terbiasa dengan sifat takut yang mana akan menjadi lebih buruk dan inilah yang membayangi mereka sehingga anak menjadi dewasa.

2. Pernahkah kita perhatikan anak tentang sifat merasakan dirinya serba kurang?
Jika ada ibubapa yang menghadapi masalah anak seperti ini, maka hendaklah dia segera memulihkan denga bijaksana dan nasihat-nasihat yang baik, serta cuba bersama anak apabila si anak menunjukkan sikap bermuram dan carilah sebab musabab kenapa si anak berperasaan demikian. Sifat yang demikian sebenarnya berasal dari sifat rendah diri dan kehinaan. Maka wajiblah kita menggunakan perkataan yang baik , bercakap dengan bahasa yang manis ketika memanggilnya atau berbual dengan anak tersebut.

Selalunya sifat tersebut berpunca kerana keyatiman atau ujudnya penceraian antara ibubapa. Untuk itu kita hendaklah menimbulkan didalam jiwa anak itu semangat sabar, bertahan, menggantungkan harapan pada diri sendiri. Tetapi ada juga sebabnya berpunca dari perasaan dengki dan irihati, ini adalah penyakit yang paling saya takuti dalam hidup saya, maka untuk memulihkan dari sifat ini, tunjukkanlah sifat cinta dan kasih sayang kita pada anak-anak dengan adil tanpa membezakan yang perempuan atau lelaki.

3. Pernahkah kita perhatikan anak kita yang mempunyai sifat lekas marah? Atau panas baran? Menurut kajian, sifat ini bermula dari anak usia bayi lagi. Anak kecil selalunya menangis kerana sesuatu sebab, kita sebagai orang dewasa telah sedia maklum kenapa anak itu menangis, kerana itu ada ibu hanya membiarkan sahaja dan menangguhkan dengan membuat kerja lain dahulu dan membiarkan untuk memujuk anak yang mungkin lapar atau tidak selesa untuk ditukar lampin basahnya. Pernahkah kita terfikir dari sikap kita itulah yang membentuk anak kita sejak dari bayi lagi menjadi seorang yang lekas marah atau pemarah?

Ada juga sifat marah itu berpunca dari kemanjaan dan kemewahan hidup, sifat marah ini boleh dibaiki dengan membiarkan anak dengan perlakuan biasa serta membiasakan si anak dengan hidup sederhana.

Pemerhatian anak dari dalam kehidupan bermasyarakat

Pernah tak kita terfikir tentang percampuran anak-anak kita di dalam masyarakat? Pernahkah kita perhatikan apa yang dibaca oleh anak-anak kita dari buku-buku, majalah-majalah, sebaran-sebaran umum. Dan seperti apa yang Adinura kaitkan Memiliki TV di rumah seumpama membiarkan anak-anak anda bermain di jalanan setiap hari baik siang mahupun malam dengan sesiapa sahaja. Yang melekakan itulah yang paling disukai termasuk kita sendiri, saya sendiri cuba untuk mengelakkan anak-anak dari TV memang sukar! (lepas ni kena mintak petua dari Adinura)

Cubalah buat sesuatu untuk luangkan masa anak-anak dari menonton TV, tak dapat tidak hadkan waktu mereka untuk menonton, banyak tugasan yang kita berikan maka kuranglah masa untuk mereka menonton TV, waktu sebelum solat magrib, ajarlah anak-anak kita hormat waktu-waktu yang dekat dengan waktu solat, jika selalunya jam 7.15 waktu solat magrib biasakan anak-anak bersiap sedia sebelumnya, membersihkan diri dan jangan sekali-kali biarkan anak-anak menonton waktu-waktu sedemikian. Saya pernah melihat ada setengah ibubapa yang tidak mengambil endah waktu-waktu sebegini, mereka juga turut bersama anak-anak menonton tv diwaktu orang melaungkan azan solat magrib.

Apa yang hendak saya katakan di sini adalah berkenaan kehidupan anak-anak dalam masyarakat. Berjayakah kita sebagai ibubapa mengawal kehidupan anak kita dan membimbing mereka menghadapi masyarakat apabila mereka keluar dan menghadapi dunia luar? Cara percampuran dengan rakan-rakan adalah salah satu kehidupan mereka dengan masyarakat, pertuturan, dan gaya berpakaian juga adalah kesan percampuran dengan masyarakat. Dari sini kitalah yang perlu tahu iaitu dengan siapa mereka berkawan dan siapa ibubapa kawan-kawan mereka. Bukanlah saya suruh selidik latar belakang keluarga rakan anak kita, kaya ke miskin ke, anak dato ke, tetapi selidiklah akhlak rakan anak kita tersebut.

Di antara pemerhatian dalam segi kemasyarakatan ini, kita sebagai ibubapa harus memerhatikan pada diri anak kita tentang :
  1. Tanggungjawabnya terhadap dirinya sendiri
  2. Tanggungjawabnya terhadap ibubapanya.
  3. Tanggungjawabnya terhadap adik-beradiknya, kaum kerabatnya.
  4. Tanggungjawabnya terhadap jirannya.
  5. Tanggungjawab terhadap gurunya.
  6. Tanggungjawab terhadap orang yang lebih tua di dalam masyarakatnya.
Kesimpulan tanggungjawab ini adalah, adakah kita ajarkan anak-anak kita tentang saling menghormati, saling menghargai hak dan tanggungjawab itu didalam kehidupan anak-anak kita dimasa ini? Tentu ada segelintir ibubapa hanya mengharap pelajaran moral disekolah atau didikan ini tidak perlu diajar. Sejak dari kecil lagi didikan ini haruslah dimulakan. Wajiblah kita sebagai pendidik untuk anak-anak kita, menerangkan tentang kecelaan sifat cuai terhadap tanggungjawab tersebut, dan jangan lupa terangkanlah kesudahannya juga.

Tanggungjawab terhadap diri sendiri

Ajarkanlah anak-anak kita tentang menjaga kesihatan apabila ia meningkat usia 5 tahun, dari bab yang lepas-lepas telah saya senaraikan tentang pembersihan diri anak. Biasakan dengan berwuduk sebelum tidur, bersuci diri sewaktu anak masih kecil lagi adalah baik supaya kelak anak akan menjadi biasa apabila ia dewasa.

Mencuci tangan sebelum makan, membaca doa sebelum melakukan setiap perbuatan, mengajar supaya anak menghormati waktu-waktu tertentu, seperti waktu mengulang kaji, waktu bermain, waktu mandi, waktu kesekolah dan waktu tidur. Ini hanyalah ringkasan dari tanggungjawab terhadap diri sendiri.

Tanggungjawab terhadap ibubapa

Anak-anak sejak dari kecil lagi harus dididik tentang tanggungjawab mereka terhadap ibubapa, tak kira ibubapa angkat atau siapapun yang membesarkan. Bukan kita dibesarkan untuk membalas jasa dengan menaburkan wang ringgit kepada ibubapa, tanggungjawab yang sebenarnya adalah dari hati nurani yang ikhlas. Kerana itulah kita harus didik anak-anak sejak dari kecil lagi tentang bersalam ketika berpergian, contoh paling mudah, ketika ke sekolah, ketika selesai sembahyang berjemaah.

Meminta izin ketika ingin keluar dari rumah dan ingin melakukan sesuatu adalah satu tanggungjawab yang patut kita amalkan sejak dari kecil pada anak-anak.

Tanggungjawab terhadap terhadap adik-beradik, kaum kerabatnya

Ajarkan anak-anak kita sifat bertanggungjawab sesama adik beradik, walaupun dalam usia yang masih kecil, sifat ini harus di tunjukkan kepada abang atau kakak kepada adik-adiknya. Berikan tugas yang mampu dilakukan dirumah kepada si abang atau si kakak umpamanya membantu adik-adik menyiapkan kerja sekolah, menyediakan susu untuk si adik dan contohnya, jika adik dimarahi suruhlah abang atau kakak untuk memujuk adik. Dengan cara demikian akan terpupuk satu perasaan tanggungjawab pada jiwa anak ini terhadap adik beradiknya, dan suatu ketika nanti si adik akan lakukan perkara yang sama pada adik beradiknya yang lain. Apabila anak-anak bermain diluar, berikan satu tanggungjawab pada si abang atau kakak tadi untuk menjaga si adik. Insya Allah anak-anak kita akan terdidik dengan satu sifat tanggungjawab didalam jiwanya sehingga ia dewasa.

Tanggungjawab terhadap jiran tetangganya

Walaupun siapa jiran kita dan apa agamanya, peranan kita sebagai ibubapa penting dalam mendidik anak kita tahu akan tanggungjawab terhadap jiran mereka. Ketika kecil lagi, jangan diajar anak-anak kita mempunyai sifat perkauman. Beritahulah anak-anak kita bahawa amat penting menghormati jiran tetangga kita walaupun apa agama mereka. Sebagai umat Islam haruslah kita menjadi contoh untuk anak-anak, menunjukkan sikap yang terpuji terhadap jiran kita. Sentiasa bermanis muka, bertanya khabar, dan menolong apabila diperlukan.

Tanggungjawab terhadap guru

Guru adalah orang yang mendidik kita dari kecil hingga kita menjadi manusia berguna, peranan guru samalah pentingnya seperti seorang ibu. Ajarlah anak-anak kita ada sifat tanggungjawab terhadap guru mereka, sama ada disekolah atau di Madrasah.

Sifat tanggungjawab ini termasuklah sifat menghormati guru sejak anak berumur seusia 5 tahun, iaitu waktu-waktu awal mengenal sekolah. Menghormati guru samalah seperti menghormati ibubapa kita. Ajarkan anak-anak bercakap perkataan yang mulia terhadap guru mereka, janganlah diajar anak berkata perkataan yang kasar dan biadap terhadap guru walaupun sekiranya guru tersebut melakukan kesilapan. Berbincanglah secara baik. Tegasnya kitalah yang menjadi contoh untuk anak-anak kita sendiri.

Tanggungjawab terhadap orang yang lebih tua didalam masyarakatnya

Tanggungjawab terhadap warga yang lebih tua harus diberitahu pada anak-anak kita apabila anak telah mula faham dan boleh bertutur. Didiklah anak-anak kita rasa tanggungjawab terhadap orang yang lebih tua, agar menghormati mereka, memberikan bantuan jika diperlukan dan rasa rendah diri walaupun mereka hanyalah seorang peminta sedekah.

Contoh berikan wang pada si anak untuk memberi sedekah kepada orang-orang tua yang sering kita lihat di ruang membeli belah atau dikaki lima masjid, orang tua yang buta penglihatan. Ajarlah anak-anak kita sifat tanggungjawab ini supaya anak-anak kita membesar menjadi seorang hamba Allah yang mulia hatinya, walaupun siapa mereka dan dari mana asal usul keturunannya, namun akhlak yang mulia itulah nanti yang akan disebut-sebut orang.

Telah menjadi kelaziman kita ibubapa, selalu melepaskan kemarahan pada anak- anak yang tidak berdosa, berkali-kali berkata tidak akan melakukan lagi, dan berulang-ulang kali akan mengulanginya. Setelah anak diherdik, dipukul, diri sendiri akan menyesal, sesudah itu penyesalan membuahkan kesalan. Tak bolehkah kita katakan pada diri kita sendiri, mereka hanya kanak-kanak, mereka nakal, mereka degil, mereka lasak itu adalah anugerah Allah? Nama mereka ialah kanak- kanak, kita sebagai orang dewasa sendiri selalu melakukan kesilapan cuma bezanya tiada siapa yang nak merotan kita, mengherdik kita, dan jika sekiranya ditegur pun kita sudah merasa jauh hati inikan pula jika diherdik atau dirotan?

Apa kata kita adakan undang-undang di rumah, siapa buat silap, siapa cakap bohong, siapa nakal akan dirotan?

Undang-undang ini bukan untuk anak-anak kita tapi untuk seluruh isi keluarga, tentu ada yang tidak setuju. tapi mahukah kita diherdik, dimarah jika kita membuat silap? bila kita tidak mengikut peraturan? Tentu kita tidak suka diperlakukan begitu, sekali lagi saya ingatkan.. kasihanilah anak-anak kita, mereka menunggu kita pulang sejak dari pagi hingga ke petang, ada yang hingga ke malam, bila pulang kerumah bukan pelukkan kasih-sayang atau ciuman dari kita yang mereka dapat sebalik herdikkan dan perkataan yang menyakitkan hati yang diberi pada anak-anak itu.

Mereka hanya pinjaman untuk kita, dan mereka tidak meminta lebih dari sebuah kasih-sayang dan perhatian. Dengarlah sebentar apa yang mereka ingin perkatakan walau bagaimana penat sekalipun kita waktu pulang dari berkerja.

Pujuklah mereka dengan belaian dan pelukkan jika anak tidak mendengar kata, jika masih melakukan kesilapan untuk yang kali ketiga, maka barulah dibolehkan menghukum mereka. Hukuman memukul atau merotan anak bukanlah dengan cara mengikut perasaan marah, geram atau ingin membalas dendam atau sesuka hati, tetapi hukuman pukulan dengan tujuan pencegahan dari anak-anak melakukan kesilapan berulang-kali. Dibolehkan menyimpan rotan yang halus di dalam rumah sekadar untuk memperlihatkan dan mengingatkan pada anak-anak. Maka apabila terpandang sahaja pada rotan akan mengingatkan mereka. Bukan tujuannya untuk menakut-nakutkan mereka, sekadar mengingatkan.

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Ahad, Disember 30, 2007

Asma dan pengurusan pesakitnya

APABILA anak mempunyai pernafasan kasar, berdehit dan kadangkala cepat penat ketika bermain, ramai ibu bapa bimbang jika anak menghidap asma, apatah lagi pada pasangan yang ada sejarah pesakit asma dalam keluarga mereka. Bagaimanapun, bukan semua gejala pernafasan kasar, berdehit dan kerap berhingus menandakan asma kerana kajian menunjukkan hanya 30 peratus kanak-kanak yang menunjukkan gejala itu mendapat asma apabila berusia melebihi tiga tahun.


Bagi kanak-kanak kurang dari tiga tahun, saluran pernafasan mereka sangat kecil dan sebarang jangkitan pada bahagian ini menjejaskan laluan fungsi laluan udara. Akibatnya, mereka sukar bernafas, pernafasan menjadi kasar dan kelihatan termengah-mengah apabila bernafas.

Pakar perubatan seluruh dunia mengkategorikan asma sebagai penyakit paru-paru kronik paling lazim di dunia. Berdasarkan Laporan Beban Asma, dianggarkan 300 juta penduduk dunia menghidap asma dan angka ini membabitkan semua kaum, umur dan tahap sosio ekonomi.

Pada keadaan normal, udara boleh keluar masuk paru-paru dengan bebas, tetapi jika asma tidak terkawal, dinding pada saluran udara dalam paru-paru mengalami keradangan, bengkak dan menebal, menyebabkan saluran udara menjadi sempit. Malah, ketika ini ia menjadi sangat sensitif terhadap perubahan persekitaran.

Ketika serangan asma, dinding saluran udara membengkak dan otot di sekitarnya mengecut, menyebabkan mukus (lendir atau cecair) menutup liang udara kecil dalam paru-paru. Ini sebabnya serangan pesakit asma menyebabkan pesakit berasa sesak dada dan sukar bernafas.

Serangan asma berbeza antara individu dan gejalanya berubah-ubah setiap masa, hari, minggu dan bulan. Biasanya gejala asma teruk pada waktu malam dan awal pagi. Antara gejala asma ialah kesukaran bernafas, nafas berdehit (berbunyi kasar), sesak dada dan batuk.

Menurut Perunding Paediatrik Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Syed Nazir Syed Kadir, kebanyakan punca asma tidak diketahui dan ia biasanya diwarisi dalam sesebuah keluarga. Jika ibu atau bapa mempunyai asma, kebarangkalian anak mendapat asma ialah 20 peratus dan kemungkinan ini meningkat kepada 64 peratus jika ibu dan bapa menghidap asma.

Namun, asma juga boleh berlaku pada kanak-kanak yang dilahirkan dalam keluarga tiada asma dengan kebarangkalian tujuh peratus. Tiada siapa tahu bagaimana perkara ini boleh terjadi, namun yang pasti asma juga boleh dikaitkan dengan penyakit lain seperti ekzema, alahan dan alahan rinitis.

Berdasarkan kajian, didapati prevalens asma di kalangan kanak-kanak lelaki dua kali lebih tinggi berbanding perempuan (di bawah umur 14 tahun) tetapi keadaan ini terbalik pada golongan dewasa. Pada orang dewasa, lebih ramai wanita mengalami asma berbanding lelaki.

Walaupun tiada penjelasan kukuh menerangkan keadaan ini (kaitan asma dengan jantina), dipercayai ia dipengaruhi saiz paru-paru. Saiz paru-paru kanak-kanak lelaki lebih kecil berbanding perempuan, tetapi apabila dewasa paru-paru lebih besar berbanding wanita.

Bagi kanak-kanak yang ada masalah saluran pernafasan terlalu sensitif, mereka juga mengalami gejala asma seperti batuk pada waktu malam dan awal pagi (jika teruk boleh menyebabkan muntah) serta nafas berdehit.

Biasanya kali pertama mengalami gejala ini, mereka masih belum boleh dikatakan menghidap asma, tetapi jika gejala berulang dua atau tiga kali sebulan dan menunjukkan tindak balas baik dengan ubat asma, berkemungkinan besar mereka menghidap asma.

“Asma pada kanak-kanak biasanya ‘hilang’ selepas mereka berumur tiga tahun. Bagi kanak-kanak yang masih ada masalah asma selepas umur ini, penyakit itu biasanya mengganggu kehidupan mereka selama satu hingga dua tahun dan jika tidak dikawal ia boleh berlarutan hingga dewasa.

“Ini sebabnya ibu bapa dan seisi keluarga perlu sama-sama terbabit dalam pengurusan asma, walaupun hanya seorang anak menghidap penyakit itu. Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah mengelak pesakit terdedah kepada faktor atau perkara yang boleh merangsang serangan asma,” katanya.

Tanda dan gejala asma paling biasa ialah:

  1. Batuk, terutama pada waktu makan, dan menjadi lebih teruk pada awal pagi (sekitar jam 3 dan 4 pagi); ketika cuaca sejuk atau ketika bersenam.
  2. Nafas berdehit (ada bunyi seperti tiupan wisel).
  3. Sesak atau sukar bernafas.


Dr Syed Nazir berkata, gejala asma biasanya berlarutan selama dua hingga tiga hari, tetapi kadangkala boleh lebih lama; bergantung kepada keadaan penyakit setiap individu. Walaupun ia penyakit lazim, sehingga kini masih tiada cara dapat menentukan bila masa seseorang kanak-kanak itu mendapat serangan asma.

Ini kerana banyak faktor boleh merangsang serangan asma dan ia berbeza bagi setiap individu. Namun antara faktor yang dikenalpasti ialah:

1. Selesema — Jangkitan virus pada saluran pernafasan dikatakan menjadi faktor paling lazim menyebabkan serangan asma akut. Ini masalah biasa yang dialami kanak-kanak. Kajian menunjukkan seseorang kanak-kanak mendapat selesema akibat jangkitan virus sebanyak enam hingga lapan kali setahun atau mungkin lebih kerap.

Jika asma dirangsang oleh jangkitan virus, anak anda mengalami gejala seperti demam dan hidung berhingus. Ingat, antibiotik adalah untuk jangkitan bakteria dan ia tidak berkesan ‘membunuh’ virus. Jadi usah gesa doktor memberikan anak anda antibiotik kerana pengambilan antibiotik yang tidak diperlukan menyebabkan masalah lain di kemudian hari.

2. Senaman — Sebarang bentuk senaman, terutama membabitkan aktiviti cergas, boleh memburukkan keadaan jika asma tidak terkawal. Bagaimanapun, ia boleh dilakukan jika asma diuruskan dengan baik.

3. Perubahan cuaca.

4. Asap rokok.

5. Habuk.

6. Kutu rumah.

7. Pencemaran udara.

8. Debunga.

9. Bulu haiwan peliharaan (contohnya kucing, anjing dan arnab).

10. Sesetengah jenis makanan.

Ibu bapa disaran mengenal pasti faktor rangsangan yang boleh menyebabkan serangan asma anak mereka supaya ia boleh dielakkan. Pada masa sama, pakar menyarankan supaya mengurangkan penggunaan permaidani atau hamparan di rumah kerana ia mudah memerangkap habuk yang boleh merangsang serangan asma.

Ubat

Sehingga kini belum ada ubat mampu menyembuhkan asma, tetapi penyakit paru-paru kronik ini boleh dikawal dengan baik dan berkesan. Kawalan baik membolehkan pesakit pergi ke sekolah, bekerja atau melakukan semua aktiviti seperti orang lain.

Secara umumnya pesakit asma kanak-kanak memerlukan dua jenis ubat iaitu pelega dan penghalang.

Ubat pelega — Ia bertujuan membantu melegakan pernafasan dan bertindak dengan cepat ketika serangan. Antara jenis paling biasa digunakan ialah ventolin, bricanyl dan respolin. Ia juga dipanggil bronkodilator yang berfungsi merehatkan dan melebarkan saluran pernafasan supaya lebih banyak udara dapat melaluinya. Ubat ini diambil apabila mengalami serangan asma saja.

Menurut Dr Syed Nazir, untuk serangan akut, pesakit kanak-kanak memerlukan ubat atau bronkodilator setiap empat jam. Bagaimanapun, jika anak anda kelihatan memerlukan ubat lebih kerap, disarankan segera membawa anak berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Ubat lain yang turut digunakan ialah prednisolon iaitu sejenis steroid. Ramai ibu bapa takut apabila diberitahu anak mereka akan diberi ubat streroid kerana bimbang ia menyebabkan ketagihan. Namun anggapan ini salah kerana anak anda diberi ubat dalam dos terkawal dan tidak menyebabkan ketagihan.

Prednisolon membantu saluran pernafasan bertindak balas dengan lebih baik kepada ventolin. Ia juga mengurangkan bengkak dan keradangan pada dinding saluran pernafasan. Prednisolon diberi dalam bentuk sirap atau pil dan mengambil masa enam hingga lapan jam untuk bertindak.

Biasanya pesakit kanak-kanak diberi prednisolon dalam tempoh pendek, iaitu antara tiga hingga lima hari. Kesan sampingan yang dibimbangkan ibu bapa hanya berlaku jika anak diberi prednisolon dalam tempoh lama sehingga beberapa bulan. Jadi untuk rawatan asma yang hanya lima hari, kesan sampingan ini tidak berlaku.

Ubat penghalang — Ubat ini perlu diambil setiap hari untuk membantu mengelak serangan asma. Antara ubat yang biasa diberi kepada pesakit ialah becotide, intal, becloforte, flixotide, tilade dan pulmicort. Bagaimanapun, bukan semua pesakit kanak-kanak memerlukan ubat penahan, tetapi ibu bapa perlu membawa anak berjumpa doktor secara tetap untuk memastikan sama ada mereka memerlukan ubat ini. Doktor akan membuat pemeriksaan dan mengubah suai dos ubat jika diperlukan.

Rawatan antara serangan

  1. Kebanyakan kanak-kanak asma yang mengalami kesukaran bernafas jika mendapat serangan virus tidak memerlukan rawatan di antara serangan asma.
  2. Sesetengah kanak-kanak batuk dan mempunyai bunyi berdehit pada waktu malam atau apabila berlari. Jika gejala ini berlaku lebih sekali dalam masa seminggu, beritahu doktor. Doktor mungkin menyarankan anak anda mengambil ubat penghalang untuk mengelak asma.
  3. Sedutan adalah cara terbaik untuk mendapat manfaat ubat asma.


Ramai juga ibu bapa tertanya, adakah mereka perlu mengejutkan anak yang tidur untuk memberi ubat. Kata Dr Syed Nazir, jika anak anda tidur nyenyak (tidak batuk atau nafas berdehit) ia bermakna mereka dalam keadaan baik dan biarkan anak tidur.

Anda perlu segera membawa anak ke hospital jika mendapati si kecil sukar bernafas dan tidak boleh bercakap. Jika mereka mendapat serangan, segera beri ubat pelega dan paling penting, pastikan ubat penghalang asma diambil setiap hari.

Walaupun kanak-kanak ini masih kecil, mereka boleh diajar untuk menggunakan sendiri pam ubat pelega. Malah, seisi keluarga perlu tahu cara menggunakan pam itu.

Pengurusan asma

Berdasarkan Inisiatif Global Untuk Asma (GINA) iaitu strategi pengurusan dan kawalan asma global, pengurusan baik membolehkan pesakit melakukan semua aktiviti seperti individu sihat tanpa halangan. Ibu bapa tidak sepatutnya berasa risau untuk membenarkan anak bergiat aktif dan bermain dengan kawannya.

Bagaimana hendak tahu sama ada asma anak anda terkawal atau sebaliknya? Asma seseorang pesakit dikatakan terkawal jika tidak mengalami gejala atau serangan, boleh melakukan aktiviti harian tanpa masalah, tidur tidak terganggu akibat batuk pada waktu malam dan tidak (atau hanya sekali sekala) menggunakan ubat pelega. Untuk lebih mudah, sila rujuk Jadual 1.

Dalam program pengurusan dan kawalan asma, ibu bapa dan seisi keluarga perlu bertindak proaktif dengan belajar cara mengendalikan pesakit jika berlaku serangan di rumah. Asma yang terkawal membolehkan anak anda menyertai kawan bermain dengan cergas dan aktif tanpa masalah.

Apa perlu dilakukan? Ibu bapa perlu ada pelan tindakan. Berbincang dengan doktor untuk merangka pelan tindakan ini mengikut gaya hidup anda sekeluarga.

Pelan ini juga akan memberitahu apa perlu dilakukan jika pesakit mendapat serangan asma dan bagaimana mengelaknya. Pelan ini perlu dilekatkan di tempat yang mudah dilihat.

Secara umumnya, empat langkah ada dalam pelan tindakan iaitu:

1. Dudukkan anak dan bertenang.

2. Segera goncangkan pam berwarna biru (pam mengandungi ubat pelega) dan beri anak anda empat sedutan (pam empat kali) menggunakan alat spacer. Beri satu sedutan setiap kali dan suruh anak anda menarik nafas sebanyak 10 kali sebelum diberikan sedutan seterusnya.

3. Tunggu empat minit. Jika tiada perubahan, ulang langkah 2.

4. Jika masih tiada perubahan, panggil ambulans segera. Ketika menunggu, ulang langkah 2 dan 3. Atau segera bawa anak ke hospital berhampiran.

Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin, Sumber HarianMetro – 30/12/2007

Pneumokokal (PnD) mudah berjangkit

EMPAT penyakit berbeza — bakteremia (jangkitan bakteria dalam darah), sepsis (keracunan darah), meningitis (jangkitan selaput saraf tunjang atau otak) dan pneumonia (jangkitan paru-paru) — mempunyai satu persamaan, iaitu semuanya disebabkan bakteria Streptococcus pneumoniae.


Penyakit disenaraikan di atas adalah pecahan penyakit pneumokokal (PnD) yang membimbangkan pakar perubatan kerana ia dikelaskan sebagai pembunuh nombor satu kanak-kanak, terutama pesakit kecil di bawah umur lima tahun.

Walaupun bakteria pneumokokus turut menjangkiti orang dewasa, kesannya lebih ketara dan teruk pada kanak-kanak kecil. Sehingga kini, dianggarkan 1.6 juta orang meninggal dunia setiap tahun akibat jangkitan pneumokokus dan daripada jumlah ini, antara 700 hingga satu juta adalah kanak-kanak berumur kurang lima tahun.

PnD disahkan antara penyakit pembawa maut paling mudah berjangkit. Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2006, lebih separuh kes PnD berlaku di negara rantau Asia Pasifik, terutama di Bangladesh, China, India, Indonesia dan Pakistan.

Pada 2005, WHO melaporkan, daripada 133 juta kes pneumonia di seluruh dunia, 44 juta kes berlaku di India dan 18 juta kes di China. Setiap jam dianggarkan antara 80 hingga 112 kanak-kanak meninggal dunia akibat PnD dan secara purata seramai 1,900 hingga 2,700 kanak-kanak meninggal dunia setiap hari.

Antara punca utama kematian kanak-kanak di seluruh dunia ialah pneumonia (19 peratus), cirit-birit (17 peratus), lahir tidak cukup bulan (10 peratus), jangkitan ketika dilahirkan (sembilan peratus), mati lemas ketika dilahirkan (asfiksia, lapan peratus), malaria (tujuh peratus), HIV/Aids (tiga peratus) dan tidak cukup zat (50 peratus).

Menurut Presiden Persatuan Penyakit Berjangkit Paediatrik Dunia, Profesor Ron Dagan, hampir semua kanak-kanak berisiko mendapat jangkitan bakteria pneumokokus. Kanak-kanak di bawah umur dua tahun mempunyai risiko paling tinggi mendapat jangkitan kerana ketika ini sistem pertahanan sangat lemah.

Kanak-kanak, terutama yang dihantar ke pusat jagaan harian, terdedah kepada jangkitan pneumokokus dan boleh menjadi ejen pembawa serta penyebar bakteria yang berkesan. Kajian menunjukkan kira-kira 60 peratus kanak-kanak prasekolah menjadi pembawa bakteria pneumokokus dan berpotensi tinggi menyebarkannya kepada rakan sebaya tanpa disedari.

“Sehingga kini kajian mendapati ada lebih 90 jenis bakteria pneumokokus, tetapi jumlah yang boleh menyebabkan penyakit pneumokokal serius adalah kecil. Bakteria pneumokokus biasanya ditemui dalam hidung dan tekak kanak-kanak serta orang dewasa yang sihat.

“Dari hidung, bakteria berpindah ke bahagian badan lain melalui aliran darah dan mula menyebabkan masalah kesihatan. Jangkitan bakteria pneumokokus boleh berlaku pada darah dan menyebabkan keracunan darah (sepsis atau bakteremia), keradangan selaput saraf tunjang atau otak (meningitis), keradangan paru-paru (pneumonia) atau jangkitan telinga tengah (otitis media). Namun penyakit paling banyak direkodkan penyebab kematian kanak-kanak ialah pneumonia.

“Catatan kes PnD di Asia jauh lebih tinggi daripada Eropah dan Amerika Latin. Lebih membimbangkan, kebanyakan kes jangkitan berlaku di negara sedang membangun yang kurang kemudahan perubatan, khususnya program perlindungan melalui imunisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Simposium Pertama Vaksinasi Pneumokokal di Rantau Asia Pasifik di Seoul, Korea anjuran bersama Institut Vaksin Antarabangsa (IVI), Persekutuan Vaksinasi dan Imunisasi Global (GAVI) dan Institut Vaksin Sabin.

Tujuh negara yang mencatat kes pneumonia paling tinggi di dunia ialah India (44 juta), China (18 juta), Nigeria (tujuh juta), Pakistan (tujuh juta), Bangladesh (enam juta), Indonesia (enam juta) dan Brazil (empat juta).

Bagaimanapun, sehingga kini masih ramai pengamal perubatan dan ibu bapa di seluruh dunia tidak sedar mengenai penyakit pneumokokal kerana gejala penyakit ditunjukkan berbeza-beza mengikut jenis dan bahagian badan dijangkiti.

Jangkitan dan faktor risiko

Bakteria pneumokokus boleh berjangkit melalui sentuhan, batuk dan bersin. Bukan semua individu yang ada bakteria ini mengalami gejala penyakit kerana pneumokokus didapati ada pada individu sihat. Kumpulan ini dipanggil pembawa dan mereka mungkin membawa empat jenis (serotip) bakteria berbeza pada satu masa.

Apabila bersin atau batuk, bakteria ini dilepaskan ke udara bersama titisan air liur dan menjangkiti orang lain. Kebanyakan kanak-kanak kecil didapati ada bakteria ini dalam hidung mereka dan ia dianggap biasa.

Yang dibimbangkan ialah apabila bakteria ini menyerang dan menyebabkan masalah kesihatan, terutama kepada kanak-kanak di bawah umur dua tahun, kerana badan mereka belum ada antibodi untuk melawan jangkitan pneumokokus.

Dalam pembentangan kertas kerjanya, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kesihatan Global Croatia, Profesor Igor Rudan, berkata insiden pneumonia lebih tinggi di negara membangun (satu kes bagi setiap tiga hingga empat kanak-kanak) berbanding negara maju (satu kes bagi 20 kanak-kanak).

Ini bermakna ada kira-kira 155 juta kes baru setiap tahun dan 150 juta kes berlaku di negara membangun. Daripada jumlah ini 15 juta kes dikategorikan sebagai kes serius yang memaksa kanak-kanak ditahan di hospital dan sedihnya lebih dua juta kes berakhir dengan kematian.

Pengarah Eksekutif GAVI, Dr Orin Levine, berkata kurang pengetahuan mengenai bahaya jangkitan pneumokokus menyebabkan kebanyakan ibu bapa hanya membawa anak mendapatkan rawatan apabila penyakit makin teruk dan sedihnya, ada yang tidak dapat diselamatkan. Ini kerana kematian boleh berlaku dalam masa lima hari jika pesakit kanak-kanak tidak mendapat rawatan sewajarnya.

“Masih ramai tidak tahu mengenai pneumokokal kerana ia tiada tanda khusus yang jelas, walaupun ada banyak gejala. Bagaimanapun, ada cara untuk melindungi kanak-kanak, iaitu melalui pemberian vaksin. Namun kebanyakan negara belum memasukkannya dalam program imunisasi kebangsaan, meskipun mendapat saranan WHO,” katanya.

Kajian di Afrika Selatan mendapati, kanak-kanak HIV/Aids mempunyai kebarangkalian 40 kali lebih tinggi mendapat jangkitan pneumokokus berbanding yang sihat. Golongan ini mempunyai manfaat 15 kali lebih tinggi jika diberi vaksin pneumokokal konjugat (yang memberi perlindungan kepada beberapa jenis bakteria pneumokokus) berbanding kanak-kanak tanpa HIV/Aids.

Jangkitan pneumokokal semakin sukar dirawat kerana bakteria berupaya menentang antibiotik yang biasa digunakan. Penggunaan antibiotik yang berlebihan meningkatkan daya penentangan bakteria terhadap rawatan.

Namun berita baiknya, kini ada vaksin pneumokokal konjugat salarida (PCV-7) untuk memberi perlindungan kepada tujuh jenis bakteria pneumokokus (4, 6B, 9V, 14, 18C, 19F dan 23F) yang didapati bertanggungjawab terhadap lebih 80 peratus penyakit pneumokokal serius pada kanak-kanak di bawah enam tahun di Amerika Syarikat dan Eropah.

Malah, PCV-7 bukan saja mampu memberi perlindungan kepada bayi berusia kurang 24 bulan, tetapi turut melindungi kanak-kanak sehingga sembilan tahun. Pemberian vaksin pneumokokal terbukti mengurangkan jumlah kes dan kematian akibat penyakit pneumokokal yang secara tidak langsung merendahkan beban rawatan.

Di Amerika Syarikat contohnya yang memasukkan vaksin ini dalam program imunisasi kebangsaan, berlaku penurunan 30,000 kes jangkitan pneumokokus yang teruk dan keputusan positif juga ditunjukkan di Australia.

Kajian menunjukkan kanak-kanak yang diberi vaksin penuh mempunyai minda lebih cerdas dan pencapaian pelajaran yang baik kerana jarang ponteng sekolah akibat sakit. Namun cabaran utama dihadapi sekarang ialah memastikan semua kanak-kanak mendapat vaksin ini dan kesinambungan program imunisasi, terutama di negara miskin, kerana kosnya mahal.

Menurut Ketua Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr Hussain Imam Muhammad Ismail, ketika membentangkan kertas kerjanya, penyakit pneumokokal menyebabkan 20 peratus kematian di kalangan kanak-kanak di negara ini dengan 40 peratus mengalami pelbagai masalah seperti terencat akal, perkembangan kemahiran terbantut, sawan dan kehilangan pendengaran.

Pun begitu, catatan kes di negara ini tidak banyak iaitu hanya 258 kes meningitis (16 kematian) pada 2000 dan 340 kes dengan 21 kematian pada 2005; manakala 8,573 kes pneumoia dengan 104 kematian pada 2000 dan 8,207 kes dengan 128 kematian pada 2005. Bagaimanapun, sukar menentukan sama ada semua masalah ini disebabkan bakteria pneumokokus kerana kurang ujian pengesahan dijalankan.

Masalah utama untuk memasukkan vaksin pneumokokal konjugat ke dalam program imunisasi kebangsaan ialah kos kerana kini kerajaan memperuntukkan RM35 juta untuk memberi perlindungan kepada 450,000 kanak-kanak setiap tahun yang akan bertambah 10 kali ganda (RM405 juta setahun) jika dilaksanakan.

Pun begitu, ibu bapa tidak harus bergantung kepada kerajaan semata-mata untuk memberi perlindungan dan kasih sayang kepada anak masing-masing. Justeru, setiap pasangan perlu memasukkan pelan ekonomi, khususnya untuk rawatan dan perubatan dalam perancangan keluarga.

Vaksin konjugat ini ada di Malaysia sejak 2006 dan boleh didapati di hospital swasta pada harga RM225 satu suntikan. Setiap kanak-kanak memerlukan tiga hingga empat suntikan untuk mendapat perlindungan terbaik daripada jangkitan pneumokokal. Vaksin ini boleh diberi serentak bersama program imunisasi kebangsaan sedia ada ketika anak berusia dua, empat dan enam bulan.

Gejala

> Bakteremia — Demam panas dan beberapa tanda penyakit lain yang tidak khusus.

> Meningitis — Demam, sakit kepala yang teruk, loya, muntah, tegang urat leher, mata menjadi sangat sensitif pada cahaya (fotofobia).

> Pneumonia — Menggigil dengan tiba-tiba, sejuk, batuk, demam dan sesak dada.

> Otitis media akut — Sakit telinga, demam, pendengaran terjejas (tidak jelas).

> Sinusitis — Demam sedikit, hidung berair dan batuk.



Risiko pneumonia

> Masalah kekurangan zat.

> Kurang berat badan ketika dilahirkan (kurang daripada 2.5 kilogram).

> Kekurangan imunisasi demam campak.

> Kurang penyusuan susu badan.

> Isi rumah terlalu padat (lebih lima orang).

Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin, Sumber Harian Metro 30/12/2007