PAGE

Sabtu, Disember 29, 2007

Hentak kepala (Head banging)

Anak suka menghantuk-hantukkan kepalanya ke lantai atau dinding, selalunya dilakukan apabila dia menghendakkan sesuatu barang (mainan selalunya) tapi tak dapat. Hemm.… Pernahkah anda berdepan dengan situasi ini?

Apabila anak kita mula mengamalkan tabiat hentak/hantuk kepala, kita naik risau dan bimbang mungkinkah ia boleh menyebabkan kerosakan pada otak. 20% daripada kanak-kanak yang sihat melalui tabiat ini seketika. Lazimnya, umur bermula setahun setengah dan berakhir secara spontan menjelang umur empat tahun.


Lelaki adalah tiga kali lebih kerap memperoleh tabiat ini daripada perempuan. Kanak-kanak yang berusia lebih empat tahun dan masih mempunyai tabiat ini haruslah di bawa menjalani pemeriksaan lanjut. Selalunya, kanak-kanak meninggalkan tabiat ini dengan sendiri ketika membesar tetapi kita boleh cuba mempercepatkan proses ini dengan mengamalkan cara sambil lewa bila ia berlaku.

Tabiat ini menjadi satu cara kanak-kanak ‘mengugut’ untuk mendapatkan sesuatu atau menarik perhatian. Apabila ia berlaku, kita mesti jangan mengalah dan mengikut segala rentak dan kemahuan mereka. Pada ketika ia berlaku, kita mesti cuba mengalihkan perhatian kanak-kanak tersebut dan mengubahnya ke aktiviti lain.

Mujurnya, kanak-kanak yang sihat tidak akan mengalami apa-apa kecederaan yang serius dengan tabiat ini. Rasa kesakitan mengelakkan mereka dari menghentak dengan kuat dan kanak-kanak bawah tiga tahun tidak boleh menghasilkan tekanan atau tenaga yang cukup untuk mendapatkan kerosakan otak.

Kepala kanak-kanak ini boleh menahan trauma yang menjadi kebiasaan ketika belajar jalan dan memanjat. Kanak-kanak sihat yang menghantuk atau menghentakkan kepala akan membesar menjadi remaja yang normal.

1 ulasan:

  1. salam, anak saya selalu hentakkan kepala ke lantai.. umurnya baru 2 tahun kadang sampai lebam dahinya.. adakah ini normal atau perlu saya bawak ke pakar..

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...