PAGE

Isnin, Disember 17, 2007

Langkah awal hadapi artritis

Oleh SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

TIDAK banyak yang boleh kita lakukan untuk menghadapi proses penuaan. Penglihatan yang semakin pudar, sakit sendi dan tahap tenaga yang berkurangan hanyalah sebahagian daripada keadaan yang kita bakal lalui.

Walau apa pun yang kita fikirkan atau dengar daripada orang lain, sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh dilakukan bagi menghadapi masalah sakit sendi.

Sakit sendi terjadi disebabkan peningkatan umur, terutamanya sakit sendi berkaitan artritis. Namun, kita boleh mengurangkan kesan artritis dalam kehidupan kita. Teruskan membaca bagi mengetahui beberapa langkah mudah yang boleh dilakukan untuk menghadapi sakit sendi artritis.

Sakit sendi mungkin merupakan kesan penuaan yang tidak dapat dielakkan, namun kita tidak seharusnya menerima kehidupan yang diselubungi kesakitan dan penderitaan dengan begitu sahaja. Kajian menunjukkan bahawa kerosakan sendi lazimnya terjadi dengan sendiri pada peringkat awal dalam bentuk artritis. Oleh itu, anda perlu mendapatkan nasihat doktor jika anda mengalami sakit sendi yang berterusan. Diagnosis yang tepat diperlukan kerana terdapat pelbagai jenis artritis dan setiap satu jenis mungkin memerlukan cara rawatan yang berbeza.

Terdapat pelbagai pilihan rawatan yang boleh didapati, salah satu daripadanya telah dibuktikan menggunakan suplemen semula jadi seperti minyak ikan kod. Lazimnya dikaitkan dengan kesihatan imunisasi pada kanak-kanak, ia juga kaya dengan asid lemak Omega-3 yang penting untuk rawatan sakit sendi. Apabila diambil dalam kandungan yang tinggi seperti dalam Seven Seas Flexicare, minyak ikan kod dibuktikan secara saintifik untuk mengurangkan keradangan, kesakitan dan kekejangan pada waktu pagi yang biasanya dikaitkan dengan artritis. Penemuan ini diperoleh hasil kajian yang dijalankan oleh Joerg Gruenwald dan sepasukan doktor dari Jerman. Walaupun anda tidak mengalami artritis atau sakit sendi, anda masih boleh memastikan bahawa sendi anda berada dalam keadaan terbaik bagi menjamin agar ia lembut dan fleksibel bagi kesihatan sepanjang hayat.

Apabila anda didiagnosis dengan artritis, perkara terbaik yang perlu dilakukan ialah menjaga diet. Ini bermakna makan makanan yang bersesuaian. Nutrisi yang betul adalah penting untuk memastikan tubuh berada dalam keadaan baik termasuk sendi-sendi badan. Jadi, kekalkan diet seimbang yang kaya dengan vitamin dan mineral, terutamanya kalsium.

Manfaat utama dengan menjaga diet anda ialah dapat mengurangkan berat badan. Kajian menunjukkan bahawa berat badan yang berkurangan dari serendah lima kilogram dapat membantu mengurangkan ketegangan pada sendi seterusnya mengurangkan sakit sendi. Ini disebabkan beban berlebihan akan memberi tambahan tekanan pada sendi di lutut, kaki, belakang badan dan pinggul. Sememangnya, tidakkah anda teringin memperoleh tubuh yang lebih kurus?

Di samping menjaga diet, anda juga perlu menjaga pengambilan air. Kebanyakan orang tidak meletakkan kepentingan untuk minum air yang diperlukan sebanyak 8 gelas sehari. Anda disyorkan minum setengah gelas air pada setiap jam anda berjaga dan bukan hanya ketika anda berasa dahaga. Hal ini kerana, semasa anda berasa dahaga, anda sebenarnya sudah sedikit mengalami masalah dehidrasi (kekurangan air). Kehilangan air menjejaskan sendi kerana ia menyebabkan sendi tidak dapat melincir. Kandungan air yang seimbang dalam tubuh adalah langkah mudah bagi mengurangkan sakit sendi.

Berbeza dengan kepercayaan ramai, anda tidak seharusnya menahan diri daripada bersenam disebabkan anda mengalami sakit sendi. Sebenarnya senaman dapat menguatkan otot yang melindungi sendi. Anda hanya perlukan sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk melakukan perkara yang digemari seperti berkebun, membasuh kereta atau berjalan-jalan di taman.

Salah satu perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah mengambil langkah awal untuk mengelakkan kecederaan sendi. Pastikan anda memanaskan badan dengan sebaiknya sebelum melakukan sebarang senaman, contohnya berlari-lari anak. Anda juga boleh mencuba aktiviti ringan lain seperti menunggang basikal atau berenang kerana ia lebih lembut untuk sendi tapi dapat membantu membakar kalori. Langkah awal ini tidak terhad kepada sukan atau bersenam sahaja. Malahan aktiviti fizikal yang tertentu seperti mengangkat beban berat juga memerlukan langkah berjaga-jaga. Contohnya, jika anda mengangkat kotak yang berat, pastikan kotak diangkat rapat dengan tubuh anda dan menggunakan lengan berbanding mengangkat dengan tangan. Dengan itu, anda menyebarkan berat ke atas permukaan yang lebih besar dan juga mengurangkan risiko kecederaan.

Akhir kata, manjakanlah sendi anda sekali sekala. Mandi air panas atau urutan juga dapat mengurangkan sakit sendi dan melegakan ketegangan otot. Sendi anda pasti menghargainya. Ingatlah, hidup anda tidak berakhir hanya kerana anda mengalami artritis. Hanya amalkan langkah mudah ini dan anda akan sihat sepenuhnya untuk menghadapi artritis.

Sumber: Utusan OnLine


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...