PAGE

Isnin, Disember 24, 2007

Wanita dan kemurungan

KENYATAAN Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr. Mohd. Kamil Hassan sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2007 peringkat negeri itu di Sekolah Menengah Teknik Tanah Merah baru-baru ini, menarik perhatian.

Hari Kesihatan Mental Sedunia 2007 diraikan pada 10 Oktober lalu, kali ini membawakan tema Kesihatan Mental dalam Perubahan Dunia: Impak Budaya dan Kepelbagaian. Beliau melahirkan kebimbangannya tentang masalah kesihatan mental di kalangan penduduk negeri di sebelah pantai timur itu yang semakin merisaukan dan tidak boleh dipandang ringan. Untuk rekod, pada tahun lepas sebanyak 11,828 pesakit mental mendapatkan rawatan di klinik-klinik kesihatan di Kelantan dengan 17 peratus darinya tercicir temu janji atau tidak hadir ke klinik sebagaimana yang ditetapkan.

“Kita berharap pesakit-pesakit ini datang untuk mendapatkan rawatan susulan bagi memastikan penyakit mereka tidak berulang lagi kerana sekiranya ia berulang, mereka boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain,” katanya.

Malangnya, kepercayaan masyarakat kepada hantu, jin dan semangat jahat menyebabkan rawatan bomoh dan pawang lebih dipercayai oleh masyarakat untuk mengubat penyakit mental berbanding rawatan moden. Ketua Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Ling How Kee berkata, rawatan moden di hospital kerajaan dan swasta menjadi pilihan terakhir untuk mengubat penyakit jiwa, gila dan gangguan perasaan.

“Penyakit mental sering dikaitkan dengan perbuatan sihir, ilmu hitam oleh pihak-pihak tertentu atau rasuk oleh semangat jahat.

“Ada yang menolak sama sekali kaitan faktor kesihatan dengan penyakit itu,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pelbagai Rawatan dan Bantuan Penyakit Mental pada Persidangan Kesihatan Mental, di Kuching baru-baru ini.

Empat penyebab utama masalah kesihatan mental sebagaimana yang digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ialah kemurungan, keresahan, insomnia dan bunuh diri.

Kali ini kita akan memberikan perhatian kepada kemurungan atau dalam istilah perubatannya dikenali sebagai depresi. Ia merupakan satu penyakit biasa yang melanda sesiapa sahaja.

Wanita mempunyai dua kali lebih kebarangkalian mendapatnya jikalau dibandingkan dengan lelaki. Kemurungan merupakan satu masalah perubatan yang boleh dirawati, artikel ini akan menerangkan mengenai rungutan lazim kemurungan, bagaimana ia didiagnosis dan apakah ia boleh dirawat?

Mengenali kemurungan

Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof. Madya Dr. Shah Reza Johan Noor, kelainan perubatan ini yang dipanggil kemurungan, biasanya digambarkan sebagai perasaan sedih untuk julat masa tertentu dan juga kehibaan yang berlaku akibat dari kehilangan mahupun kematian insan tersayang.

‘‘Ia mengganggu aktiviti harian, pola pemikiran, perasaan, kelakuan, perangai dan juga kesihatan fizikal. Harus diingatkan yang ia bukanlah satu kelemahan diri mahupun kesalahan atau kecacatan diri seseorang wanita.

‘‘Banyak faktor boleh menyebabkan kemurungan, sejarah kemurungan dalam keluarga memungkinkan anda ke arah kelainan diri ini. Penyakit-penyakit seperti penyakit tiroid, kanser dan juga masalah neurologi boleh mengakibatkan kemurungan,” katanya.

Penyalahgunaan ubat-ubatan serta alkohol boleh membantutkan keseimbangan bahan kimia dalam otak, lantas mencetuskan kemurungan.

Tekanan atau stres yang melampau juga boleh mendorong ke arah kelainan ini. Kadangkala kemurungan boleh berlaku walaupun kehidupan anda adalah sihat dan normal.

Antara penyebab stres termasuklah penat lelah dalam usaha untuk mengimbangkan di antara tugasan di rumah dan juga tempat kerja, mempunyai pekerjaan yang berat dan membebankan, status ibu atau bapa tunggal, masalah kewangan serta, perceraian ataupun kematian pasangan hidup.

‘‘Kemurungan juga menjadi lebih teruk sewaktu fasa-fasa reproduksi seperti semasa kedatangan haid, kehamilan, kematian janin atau bayi, kelahiran bayi (meroyan), kemandulan dan juga semasa tua tatkala haid sudah tidak ada (menopaus).

‘‘Sekiranya intensiti kemurungan bertambah, ia perlulah diberikan rawatan lanjut,” ujar beliau.

Simptom-simptom kemurungan

Dr. Shah Reza berkata, rungutan ini mungkin berlangsung setiap hari, sepanjang hari untuk minimum dua minggu. Lazimnya perkara-perkara berikut akan terjadi:

* Hilang minat pada sesuatu yang memang merupakan satu kesukaan/minat

* Rasa sangat sedih, langsung tidak bermaya

* Rasa tidak berguna dan juga rasa bersalah

* Perubahan selera makan, berat badan mungkin meningkat ataupun menurun

* Ada juga yang berfikir akan kematian, tidak mahu hidup lagi

* Masalah dengan pemikiran dan juga hilang tumpuan. Kesukaran untuk membuat keputusan dan menjadi tidak rasional. Kelupaan bertambah

* Tidur bertambah-tambah, ada juga yang tidak boleh tidur langsung, perasaan bosan melampau, mengantuk menjadi-jadi

* Rasa tidak bertenaga dan letih sentiasa.

Ada juga kemurungan ini yang dimanifestasikan secara fizikal dan mental seperti:

* Sakit kepala, bahagian lain di badan juga menjadi sakit dan mengilukan

* Masalah dengan sistem penghadaman dan pencernaan

* Masalah seksual

* Perasaan negatif serta perasaan tidak berbaloi, tidak berperasaan serta kegagalan

* Selalu dalam kebimbangan dan ketakutan.

Kebiasaannya rungutan-rungutan ini berlangsung dalam jangka masa minimum dua minggu. Julat masa ini dilabelkan sebagai satu episod. Walaupun simptomatologi mungkin tidak terlalu ketara, dapatkanlah rawatan serta bawa berbincang dengan doktor anda.

Sekiranya kemurungan ini tidak serius dan anda mungkin boleh menguruskan diri sendiri, langkah-langkah yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:

* Jangan terlalu membuat permintaan yang bukan-bukan terhadap diri puan. Logik mesti ada

* Buatlah keputusan yang logik dan realistik, jangan anggap anda boleh melakukan kesemua kerja yang ada walaupun kerja-kerja tersebut merupakan rutin pada satu masa lampau

* Sekiranya anda harus membuat satu keputusan yang penting dalam kehidupan, berbincanglah supaya keputusan dicapai setelah pro dan kontra dipertimbangkan

* Elakkan dari penggunaan alkohol serta ubat-ubatan yang bukannya preskripsi

* Berhubunglah dengan mana-mana individu yang boleh dipercayai, termasuklah kumpulan sokongan yang boleh membantu menstabilkan perasaan serta emosi anda

* Jangan ingkar arahan doktor dalam pengambilan ubat-ubatan preskripsi. Temu janji yang berikutnya perlu diingat dan ditanda dalam diari atau kalendar anda

* Adakan ketetapan untuk tidur serta masa bangkit. Tidur yang secukupnya boleh membantu kesihatan

* Amalkan gaya hidup serta tatacara kehidupan yang sihat. Makanan haruslah berzat, banyakkan meminum air.

Rawatan

Rawatan untuk kemurungan memang wujud, cuma cara dan kaedahnya berbeza bagi setiap individu. Persoalan yang mungkin bermain di minda anda – bilakah anda akan sembuh dan apakah risiko serta kesan sampingan setiap rawatan yang diambil.

Ubat antikemurungan

‘‘Ubat ini biasanya digunakan pada kemurungan yang serius. Ia mengembalikan keseimbangan bahan kimia di kepala, puan akan menjadi normal setelah beberapa minggu penggunaan.

‘‘Jenis-jenis ubat antikemurungan yang dipreskripsikan berbeza mengikut individu mengambil kira sejarah lampau, kesihatan serta keluarga,” ujar Dr. Shah Reza.

Secara amnya ubat antikemurungan berkesan sekiranya anda:

* Mengambilnya sebagaimana arahan

* Memberitahu doktor sekiranya terdapat kesan sampingan

* Mengikuti kesemua pelan pemulihan yang dinasihatkan oleh doktor

* Lazimnya kesan tidak diingini berlaku dalam masa satu hingga dua minggu pertama. Kesan sampingan yang biasa termasuklah loya, pening-pening lalat, sembelit, ruam pada kulit, rasa mengantuk ataupun kesukaran untuk tidur, berat badan mungkin meningkat ataupun menurun, rasa resah sentiasa.

Selain itu, anda juga mungkin mengalami masalah dengan seks seperti hilang nafsu syahwat. Sekiranya ada rungutan-rungutan lain, beritahulah doktor dengan segera. Jangan ponteng temu janji untuk peringkat awal kerana optimisasi ubat masih lagi perlu dibuat.

Psikoterapi

Pakar terapi akan bersama anda untuk menghilangkan kemurungan, rawatan tersebut mungkin secara individu ataupun berkumpulan (dengan permasalahan kemurungan yang sama). Kadangkala rawatan ini juga dikembarkan dengan ubat antikemurungan.

Kombinasi ubat dan psikoterapi ini digunakan sekiranya rawatan yang diberikan terdahulu gagal, ataupun kemurungan tersebut serius serta memerlukan pemantauan masa yang panjang dan lebih teliti.

Perawatan menggunakan cahaya

Ini juga merupakan salah satu alternatif perawatan untuk mereka yang tidak serius. Kemurungan ini berkala dan bermusim.

Anda akan didedahkan pada cahaya berspektra lebar setiap pagi selama 20 minit. Kemurungan jenis ini lazimnya berlaku pada mereka yang tinggal di tempat yang mana waktu siangnya pendek.

Hospitalisasi

Kemasukan ke hospital diperlukan sekiranya persekitaran puan tidak meredakan kemurungan yang dihidapi, tekanan keterlaluan dan anda mungkin dihujani dengan pemikiran bukan-bukan yang boleh mengancam nyawa.

Rawatan diberikan lebih tegas di hospital manakala pengamatan dilakukan dengan lebih teliti.

Sumber: UtusanOnLine

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...