Di kalangan wanita Kelantan, lazimnya mereka tidak melakukan hubungan kelamin selama 100 hari selepas bersalin. Apabila ditanya kenapa, tidak ada jawapan khusus kerana ianya hanya amalan turun-temurun dari emak kepada anak. Walaupun tidak melakukan hubungan kelamin, mereka tidur bersama suami. Kecekalan serta daya tahan ini memerlukan dedikasi yang padu dan dari segi perancangan keluarga, ini amat memberangsangkan. Lain bangsa lain pula amalan mereka dan tiada pula bukti yang menyokong kenapa setiap amalan diteruskan.
Walau bagaimanapun, tempoh sebegini boleh dikatakan bagus sebab wanita sempat mengembalikan kecergasan fizikal selepas penat bersalin dan mengandung selama 40 minggu. Suami sepatutnya lebih arif serta memahami tugas serta tanggungjawab baru sebagai seorang bapa. Hubungan suami isteri kini bukan hanya melibatkan hubungan kelamin semata-mata, ianya lebih dari itu!
Walaupun hubungan kelamin semasa mengandung yang kerap, aktif dan menyeronokkan TETAPI lain pula selepas bersalin. Hubungan kelamin bukanlah agenda utama sekarang dan ini akan berlarutan untuk beberapa julat masa yang agak lama kelak.
Proses kelahiran merupakan aktiviti fizikal yang amat meletihkan. Bayangkan isteri terpaksa menahan kesakitan serta kontraksi rahim untuk berjam-jam lamanya, sama seperti pelari maraton semasa menyertai Sukan Olimpik!
Tentulah isteri akan keletihan serta kelesuan, apatah lagi apabila diberi ubat penahan sakit jenis narkotik semasa proses kelahiran. Kemuncak emosi berlaku apabila melihat bayi yang dilahirkan sihat serta selamat.
Badan isteri (kini ibu) akan mengambil masa untuk pulih kembali, terutamanya selepas mengalami beberapa perubahan hormon semasa mengandung. Adaptasi serta fokus isteri kini bertumpu sebagai seorang ibu dan mula menampakkan keanggunan paling menyerlah seorang wanita.
Tempoh selepas bersalin dikenali sebagai “POSTPARTUM” dan kehadiran ‘si sayang’ baru menambahkan lagi keberkesanan perhubungan serta komunikasi suami dan isteri.
Kemaskini cara berkomunikasi bersama sebelum agenda hubungan kelamin dimulakan kembali. Suami tentu faham akan tanggungjawab masing-masing terhadap si kecil dan juga sesama sendiri.Kerana kesibukan tanggungjawab baru, mungkin seorang ibu terlupa akan tanggungjawab isteri dalam hubungan kelamin.
Ingat, penyusuan badan merendahkan hormon estrogen dari ovari dan ini menyebabkan suasana dalaman faraj kering. Jadi sekiranya hubungan kelamin dilangsungkan, pastikan cecair pelincir digunakan, mungkin juga isteri serta suami boleh melambatkan hubungan kelamin (zakar-faraj) dengan meningkatkan aktiviti sentuhan atau cumbuan. Mungkin isteri juga akan perasan yang garis pusat faraj serta kontraksi otot-otot di sekitarnya tidak sekuat sebagaimana sebelum bersalin.
Jangan runsing kerana dengan penyusuan badan serta latihan senaman khusus di bahagian pinggul dan perineum akan mengembalikan struktur asal faraj dengan lebih berkesan. Sekiranya isteri masih tidak berpuas hati, boleh juga berjumpa dengan doktor untuk nasihat lanjut.
Nasihat doktor
Hubungan kelamin mempunyai kebaikannya tersendiri. Hormon yang dikeluarkan semasa hubungan kelamin dapat mencepatkan lagi proses penyembuhan setelah bersalin. Begitu juga dengan penyusuan melalui payudara yang dapat mengembalikan rahim kepada saiz asalnya dengan lebih cepat.
Ada doktor yang menasihatkan supaya berehat dari hubungan kelamin selama enam minggu tetapi sebenarnya nasihat ini tidak mempunyai bukti kukuh bagi menyokongnya.
Ada pula doktor yang nasihatkan supaya berehat di antara tiga hingga enam minggu, bergantung kepada tempoh:
- Berhentinya pendarahan dan discaj selepas bersalin.
- Penyembuhan luka dari episiotomi (guntingan) di faraj semasa proses kelahiran.
- Penyembuhan dari pembedahan caesarean.
Beberapa sebab lain juga boleh menyebabkan keinginan hubungan kelamin menurun seperti:
- Keletihan dan kelesuan dari tanggungjawab baru; setiap kelahiran merupakan pengalaman baru.
- Ketegangan dan rasa tidak selesa; mungkin kesakitan dari tempat jahitan episiotomi dan juga di abdomen dari kelahiran caesarean.
- Menyusu badan; menyebabkan cairan lubrikasi (pelincir) di faraj menurun sehingga faraj menjadi kering dan berasa sakit ketika hubungan kelamin. Cecair pelincir tiruan (alternatif) yang boleh didapati di farmasi boleh digunakan untuk mengelakkan kekeringan.
- Beranggapan bentuk badan sekarang tidak menarik; berat badan bertambah dan kulit pula menampakkan belang-belang di bahagian abdomen (selalunya berlaku di kalangan orang Malaysia kerana mempunyai pigmen warna kulit yang lebih banyak).
- Cemas dan waswas tentang peranan sebagai ibu; akibat melihat si comel yang begitu lemah serta sensitif.
- Fokus terganggu dengan bunyi tangisan si comel; langsung mengganggu aktiviti kelamin.
- Suami juga dipengaruhi oleh faktor-faktor sama dengan isteri; suami mungkin tidak bersyahwat dan langsung tidak berupaya untuk hubungan kelamin. Jangan bimbang, sama-samalah berbincang dan hadapi setiap hari bersama.
- Takut ‘termengandung’; isteri serta suami mungkin tidak bersedia untuk seorang lagi si comel dalam masa terdekat.
Sekiranya ibu menyusu badan secara 100 peratus (tidak amalkan susu formula), proses ovulasi mungkin berlaku selepas tiga bulan. Bagaimanapun, sekiranya pengenalan susu formula dilakukan bertindih dengan penyusuan badan, ovulasi mungkin berlaku hanya selepas tiga minggu. Sekiranya penyusuan badan tidak dilakukan sepenuhnya, haid isteri mungkin akan kembali pada minggu keempat. Secara langsung, mungkin diamati sebagai darah dari proses bersalin yang tidak lagi berhenti dan tiba-tiba jumlahnya banyak dari biasa.
Jadi isteri perlu berbincang dengan suami akan kaedah terbaik kontraseptif (perancangan keluarga) atau berjumpa dan bertanyakan doktor atau jururawat semasa lawatan susulan bayi. Penggunaan kondom adalah cara terbaik untuk peringkat ini memandangkan isteri sedang menyusu badan.
Sekiranya isteri ingin mengambil ubat kontraseptif, pil yang mengandungi progesteron sahaja yang terbaik sebab ianya tidak mengurangkan jumlah susu. Untuk alat dalam rahim pula, pastikan terlebih dahulu yang saiz rahim telah kembali ke saiz seperti sebelum mengandung.
Untuk seketika selepas bersalin, paras hormon estrogen serta progesteron akan jatuh dengan mendadak. Ibu akan mengalami keadaan seperti putus haid terutamanya pada kawasan sekitar faraj. Kadar pH faraj pula akan meningkat dan sel-sel yang melindungi faraj dari iritasi juga berkurang. Ini akan menyebabkan ibu terdedah pada gangguan serta iritasi dari sabun atau cecair pencuci faraj lain. Jangkitan kuman pada faraj juga mudah berlaku pada waktu ini, apatah lagi dengan kehadiran darah dan juga lelehan. Jadi berhati-hatilah dengan bahan pelincir ataupun jenis kondom yang digunakan.
Penjagaan perineum amat penting selepas kelahiran kerana perineum adalah bahagian tubuh wanita yang berada di antara faraj dan dubur. Kawasan ini perlu sentiasa bersih dan kering bagi mempercepatkan lagi proses penyembuhan dan mengelakkan sebarang jangkitan.
Tangan juga perlu dibasuh setiap kali menukar tuala wanita dan memastikan kawasan ini kekal kering dengan menyapu dari depan ke belakang menggunakan tuala atau tisu bersih. Penjagaan rapi dapat mengelakkan kuman dari bahagian dubur daripada merebak ke kawasan luka. Jahitan yang dibuat pada episiotomi ketika melahirkan anak biasanya akan hilang dalam masa dua minggu jika tiada sebarang jangkitan kuman.
Dalam pada itu, ada juga ibu-ibu yang mengalami perubahan emosi selepas bersalin yang turut menyukarkan hubungan kelamin. Kemurungan akan dibebankan lagi dengan tanggungjawab baru sebagai seorang ibu sementara perubahan masa serta perubahan hubungan dengan suami serta anak.
Perasaan juga mungkin terganggu dengan perubahan hormon yang berlaku pada badan. Adalah tidak janggal untuk seorang ibu merasakan cemas, kurang tidur, rasa keresahan serta kemurungan sehingga kadangkala mungkin menangis, sedih dan mudah terguris.
Suami harus memahami perubahan yang dilalui oleh isteri. Semua ini adalah normal sekiranya berlaku dalam masa dua minggu pertama dan akan segera hilang apabila penyesuaian dengan persekitaran baru berlaku. Bagaimanapun, jika masih berterusan, berbincanglah dengan doktor untuk nasihat lanjut.
Sumber: UtusanOnLine
Informasi yang berguna....
BalasPadamTahan Lama