PAGE

Rabu, Januari 02, 2008

Suami Isteri Bekerja


Ketika sibuk mengemas kini blog dan mencari bahan, saya terbaca sesi soal-jawap yg dikendalikan Ustaz Zaharuddin. Soalannya umum, tapi jawapan ustaz yang menarik perhatian saya untuk dititipkan dikongsi bersama di blog ini.


Sedikit panduan untuk para suami yang isterinya bekerja.


§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§



Soalan


Salam ya UZAR,

Saya bersetuju 100% dengan pendapat Uzar berkenaan isu wanita bekerja ini. Dan saya juga merupakan seorang wanita bekerjaya dan memiliki akademik yang membanggakan. Namun apa yang membimbangkan saya adalah keadaan yang memaksa wanita zaman sekarang untuk sama-sama 'turun padang' mencari rezeki demi keteguhan ekonomi keluarga.

Tambahan pula, saya (belum berkahwin) adalah daripada 6 org adik beradik yang kesemuanya adalah perempuan. Tanggungjawab untuk membantu ibu bapa yang sudah tua juga salah satu faktor yang 'memaksa' kami adik beradik untuk bekerja selain membalas jasa kedua orang tua kami. Namun demikian, saya tidak nafikan saya ingin benar 'kembali kepada fitrah' ajaran islam yang suci yang mana menggalakkan wanita untuk duduk dirumah menguruskan perihal keluarga dan anak-anak bila tiba masanya kelak (berkahwin).


Hakikatnya, calon-calon suami zaman sekarang juga mengenakan syarat untuk mendapat calon-calon isteri yang bekerja bagi membantu mereka meningkatkan ekonomi keluarga dan ada juga yang beralasan pendapatan mereka tidak mencukupi untuk menampung keluarga pada zaman ini (walaupun ada yang berpendapatan RM3,000). Saya kesal sekali dengan keadaan ini dengan tiada sokongan dan peluang untuk saya 'kembali kepada fitrah' ajaran Allah.

Bagaimana pula pandangan UZAR dan rakan-rakan group?


kiriman : ~azlina~


Jawapan


Salam...


Jika isteri bekerja dengan tujuan membantu ekonomi keluarga dan pada masa yang sama, suami juga bekerja, sudah tentu ia adalah harus selagi menjaga tatasusila Islam semasa di tempat kerja dan juga mampu melaksanakan kewajibannya sebagai ibu dan isteri.


Jika terdapat mana-mana bakal suami membuat syarat demikian, bagi saya ia masih boleh diterima jika : -


  1. kedua-dua mereka mempunyai 'planning' sebaiknya maksud saya ia adalah bagi tempoh beberapa tahun awal selepas kahwin disebabkan kos hidup yang tinggi bagi pasangan berkahwin, dan pasangan masih muda.
  2. bertujuan membantu suami atau keluarga di kampung yang benar-benar terdesak.
  3. berbentuk 'temporary' sementara tiada anak sebagai persiapan ekonomi untuk beranak pinak dalam keadaan yang lebih selesa.
  4. memberikan isteri pengalaman kerja di peringkat awal agar jika sesuatu berlaku kepada suami, isteri sudah berpengalaman, boleh dan mampu berdikari dengan lebih berkesan.
  5. menamatkan perjanjian kerja dengan majikan atau kerajaan akibat perjanjian biasiswa dahulu.


Adapun, menjadikannya syarat seperti 'syarat yang paling utama' serta mengharapkan isteri untuk terus membantu selama-lamanya, bagi saya secara peribadi ia sedikit sebanyak mendedahkan kelemahan sang suami. Saya yakin mesti ramai suami dan sebahagian isteri yang tidak berpuas hati dengan kenyataan seperti ini, terpulang. Cuma fikir semula sebelum bantah secara total. Bagi saya apapun hakikat dan realiti di hadapan anda, menyuruh atau mengharap isteri bekerja dan pada masa yang sama mengharap isteri :


  • didik anak dengan hebat dan berkesan
  • layan suami dengan baik,
  • senyum melebar setiap kali bertemu suami yang 'penat' bila balik,
  • tempat suami mengadu masalah dan dapatkan sokongan,
  • memberikan buah fikiran yang baik kepada suami yang buntu di tempat kerja
  • in-charge untuk menjaga berak kencing anak,
  • basuh baju,
  • gosok baju,
  • sidai dan angkat baju,
  • urut badan suami,
  • masak sedap,
  • basuh pinggan,
  • sapu dan buang sampah,
  • kemas rumah,
  • cuci tandas,
  • tangani karenah anak dengan baik
  • ajar anak mengaji
  • tak membebel,
  • tak mahu dengar anak menangis dan harap isteri berperanan,
  • tak muncung dan lain-lain


Menuntut perkara di atas dan pada masa yang sama menyuruh isteri kerja adalah bertentangan dengan fitrah yang ditentukan oleh Allah kepada wanita. Adalah tidak adil sama sekali bagi seorang suami 'demand' hal sedemikian untuk disempurnakan oleh isteri dalam masa yang sama diharapkan income isteri untuk pembiayaan rumah dan kereta dan barang dapur.


Jika suami ingin isteri membantu ekonomi (yang sepatutnya tanggungjawab utama sang suami), maka sebahagian senarai kerja di atas patut di ambil alih oleh suami sebagai timbal balik kepada jasa isteri itu. Jika tidak mahu, mereka perlu mengambil pembantu rumah yang boleh diharap 'cover' sebahagian kerja-kerja teknikal tadi.


Kesimpulannya, suami yang bekerja perlu berilmu cara mengawal rumah tangga dan anak-anak akibat isteri bekerja. Sebarang kekurangan dalam rumah tangga akibat kedua-duanya bekerja adalah di bawah tanggungjawab suami. Jangan salahkan isteri yang bekerja sebagai gagal melaksanakan tangunggjawab di rumah, kerana suami yang 'beri' dan 'minta' isterinya bekerja from the very begining atas sebab-sebab yang disebutkan di atas.


Justeru, bagi saya suami kena kontrol jenis kerja isteri, tempoh masa, suasana sekeliling isteri, jika kecemasan bagaimana, keletihan isteri yang bekerja ini setakat mana, apakah perkaar yang terpaksa dikorbankan disebabkan kerja isteri dan lain-lain. Tatkala itu, suami perlu cari apakah jalan penyelesaiannya terbaik. Panjang ceritanya ini , ringkasannya, suami must be a good planner, manager and he is just like a CEO.


Saudari menyebut, isteri terpaksa 'turun padang' demi keteguhan ekonomi rumah tangga. Soalan saya, mana yang lebih penting "keteguhan ekonomi" atau "keteguhan hubungan rumahtangga" ? Ada orang, rumah dah ada cuma kecil sedikit.. cuma nak di tambah 'teguh'kan dengan membeli yang lebih besar, kerana itu perlukan isteri bekerja??? Kereta dah mampu beli VIVA, cuma untuk 'keteguhan ekonomi' iaitu beli Camry, isteri bekerja. Apakah tanda aras keteguhan ekonomi? Sampai bila mampu tercapai? Akhirnya kebahagiaan rumahtangga tergadai dan bercerai kerana asyik mencari 'keteguhan ekonomi'.


Wallahu'alam.


Jawapan disediakan oleh: Zaharuddin Abd Rahman,

Sumber http://www.zaharuddin.net/



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...