SOALAN:
Saya seorang isteri yang berkerjaya serta mempunyai pendapatan yang lumayan dan wajib membayar zakat.
Persoalannya adakah boleh zakat tersebut saya berikan kepada suami?
– Safiah binti Abdul Malik,
Jertih, Kuala Besut, Terengganu.
JAWAPAN:
Puan perlu bersyukur kerana mempunyai pendapatan atau harta yang agak mewah sehingga wajib membayar zakatnya. Puan bebas membayar zakat tersebut kepada mereka yang berhak menerimanya sahaja.
Sekiranya suami dan anak-anak anda termasuk dalam kumpulan yang berhak menerima maka harus anda membayar saja kepada mereka kerana sedekah yang diberikan kepada kaum keluarga itu adalah dikira dua kebajikan berdasar hadis Rasulullah SAW bermaksud: Sedekah kepada fakir miskin itu adalah satu kebajikan (sedekah) manakala sedekah yang diberikan kepada kaum keluarga pula adalah dua kebajikan (sedekah dan hubungan keluarga) (Hadis Riwayat Ahmad Tarmizi dan Nasai).
Dalam satu hadis yang lain bahawa Zainab isteri kepada Ibnu Mas‘ud bertanya Rasulullah: “Wahai Nabi Allah! Sebenarnya kamu mewajibkan sedekah hari ini sedangkan aku ada memiliki perhiasan dan aku ingin bersedekah dari perhiasan itu lalu Ibnu Mas‘ud merasakan dirinya dan anak-anaknya lebih berhak (menerimanya) dari orang lain.” Maka Nabi s.a.w. bersabda: Ibnu Mas‘ud benar, suamimu dan anak-anakmu lebih berhak menerimanya (sedekah kamu itu) (Hadis Riwayat Bukhari).
Berdasarkan hadis inilah, As-Syafieyah dan lainnya mengatakan harus isteri membayar zakatnya kepada suami sahaja kerana isterinya itu orang berada manakala suami pula termasuk dalam orang yang berhak dan bukan tanggungannya. Sedangkan dalam hadis tersebut pula jelas difahami oleh Zainab sebagai sedekah wajib sedangkan sedekah wajib itulah apa yang dimaksudkan dengan zakat.
Tetapi kata sesetengah ulama harta dari zakat tersebut tidak harus dibelanjakan sebagai nafkah untuk membiayai isterinya. Tetapi kata yang lain bila harta itu sudah menjadi miliknya dia bebas membelanjakannya ke mana yang dikehendakinya seperti dalam hadis mengenai kafarah yang juga harus dibayar kepada isteri dan keluarga yang berhak dari fakir miskin.
Wallahualam.
Sumber: UtusanOnLine 13/01/2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...