Seorang anak lelaki perlu mengutamakan kehendak seorang ibu berbanding kehendak seorang isteri dan anak-anak. Sebagai contoh, jika ibu menginginkan anak lelakinya pulang ke kampung berhari-raya bersama-sama dan pada masa yang sama, isteri kepada anak lelakinya juga menginginkan perkara yang sama, berhari raya bersama ibu dan bapanya di kampung, lelaki yang berada di dalam situasi seperti ini perlu mengutamakan kehendak si ibu. Kenapa? Kerana permintaan si ibu tidak menyalahi kehendak syarak dan syariat.
Melunaskan
Persoalannya, apakah kehendak si ibu yang menyalahi kehendak syariat? Banyak kes di mana suami gagal menjalankah kewajipan dan tanggungjawap sebagai seorang suami dan juga seorang ayah kerana mengikut kehendak ibu, bapa dan adik-beradik sendiri. Ada sesetengah kes, isteri terpaksa mengeluarkan duit hasil pendapatan sendiri semata-mata terpaksa membantu suami melunaskan kehendak dan keinginan keluarga mentua. Secara logiknya, kes-kes seperti ini tidak wajar berlaku jika setiap anak lelaki dan setiap ibu bapa serta sanak-saudara lainnya mengetahui had dan batasan kewajipan dan hak-hak mereka.
Mungkin ada di kalangan kita yang kurang pasti, apakah perbezaan antara kewajipan dan hak. Kewajipan adalah tanggungjawap yang merupakan perkara-perkara yang perlu dilakukan bagi memenuhi hak seseorang. Sementara hak pula adalah perkara yang hanya boleh diperolehi apabila seseorang menjalankan kewajipan. Sebagai contoh, hak seorang isteri adalah kewajipan yang perlu dilakukan oleh seorang suami. Hak seorang ibu juga adalah kewajipan yang perlu dilakukan oleh seorang suami. Hak seorang ibu juga adalah kewajipan yang perlu dilakukan oleh seorang anak. Namun, bukan semua hak ibu adalah kewajipan anak-anak. Tampahan pula bagi anak lelaki yang sudah berumah-tangga. Kewajipan weorang anak lelaki adalah untuk menunaikan hak-hak isteri dan anak-anaknya terlebih dahulu, barulah kewajipan menunaikan hak seorang ibu. Kenapa? Kerana hak seorang ibu itu sewajarnya dipenuhi oleh suami si ibu iaitu bapa si anak. Jika suami si ibu tiada lagi atau tidak mampu, maka anak-anak lain yang tidak mempunyai kewajipan terhadap isteri dan anak-anaknya sendiri berkewajipan menunaikan hak ibu mereka.
Bererti, walaupun seseorang itu adalah anak lelaki sulung atau tunggal dan telah berumah-tangga serta mempunyai anak-anak sendiri, lelaki ini mempunyai keutamaan untuk menunaikan hak-hak isteri dan anak-anaknya terlebih dahulu berbanding hak ibu bapanya atau adik-beradiknya yang lain.
Perlu diingatkan juga, hak yang dimaksudkan adalah apa-apa perkara yang merupakan keperluan sahaja, bukan kemewahan atau kehendak yang melampau. Seorang suami berkewajipan menunaikan hak-hak yang patut dan wajar bagi seorang isteri dan anak-anak iaitu:
- menyediakan makan minum yang berpatutan dan sederhana
- menyediakan tempat tinggal yang sempurna, memadai dapat berlindung daripada panas matahari dan kebasahan hujan
- menyediakan pakaian yang mampu menutup aurat
- memberikan pendidikan yang dituntut oleh syariat yang merangkumi ilmu-ilmu fardu ain dan fardu kifayah
- menyediakan kemudahan untuk isteri dan anak-anak mendapatkan rawatan jika mempunyai masalah kesihatan
Kemewahan
Bermaksud, walaupun seorang lelaki itu mempunyai harta yang tidak menafikan keupayaannya untuk memberikan kemewahan kepada isteri dan anak-anak dan dalam masa yang sama dia mempunyai ibu, bapa dan adik-adik yang juga memerlukan bantuannya untuk menjalani hidup yang sederhana tetapi lebih sempurna, maka di dalam situasi ini, lelaki tersebut wajar dan wajib membantu ibu, bapa dan adik-beradiknya yang memerlukan walaupun perlu mengenepikan tuntutan isteri kerana tuntutan sedemikian bukan lagi menjadi hak yang perlu tetapi adalah sesuatu yang melampau.
Hakikatnya, setiap individu mempunyai hak dan kewajipan masing-masing. Hak seseorang juga adalah terbatas tertakluk kepada kepentingan dan keutamaan kewajipan seseorang. Lantas, jalan terbaik ialah bersikap bersedia menerima kesederhanaan, sanggup berkongsi dan bertoleransi.
Kepada para isteri, ingatlah: suami anda adalah anak kepada seorang wanita, juga seperti anda yang akan menjadi mertua kepada seorang wanita lain bila tiba masanya nanti. Kepada para ibu, ingatlah: anak lelaki anda adalah suami kepada seorang wanita yang juga mempunyai hak sebagai seorang isteri sama seperti anda.
Hormatilah hak orang lain, hak anda akan dihormati, insya Allah.
Sumber: Resepi Hidup
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...