Isteri adalah pelengkap kepada kehidupan sebuah keluarga. Isteri juga adalah pendorong kepada kejayaan suami. Malahan, jika ada kehadiran anak-anak, isteri memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan hala tuju mereka dan bagaimana cara mereka membesar.
Kehadiran isteri memang amat diperlukan. Hal ini kerana, walaupun isteri zaman kini bekerja, tanggungjawap terhadap keluarga, suami dan anak-anak tetap ada dan tidak boleh diketepikan. Berbeza dengan suami, mereka masih ada masa untuk meluangkan masa bersama kawan-kawan atau minum petang di cafe, tetapi bagi isteri, mereka harus memikirkan banyak perkara. Anak-anak siapa hendak jaga? Nasi dan lauk-pauk belum masak, kain belum basuh, baju suami dan anak-anak belum disediakan dan macam-macam lagi.
Sering kali isteri mengeluh sendirian memikirkan hal suami yang seakan tidak memahami hal rumahtangga. Secara keseluruhan, isteri memang sukakan hal remeh-temeh sedangkan si suami tidak. Isteri tidak suka jika suami melonggokkan saja pakaian yang ditanggalkan, sedangkan isteri cukup ‘angin’ bila suami berbuat demikian. Tetapi isteri tidak boleh menderhaka pada suami atau meninggikan suara. Sebab itu, isteri suka memendamkan sahaja dan mendiamkan diri.
Begitu juga suami amat jarang memahami citarasa dan kehendak isteri. Isteri bukan cerewet tetapi jika boleh, mereka menginginkan kesempurnaan dalam kehidupan. Begitu juga dengan isteri, mereka tidak sepenuhnya memahami kehendak suami. Sebab itu, dalam hubungan suami isteri begini, perlu ada pro dan kontra. Barulah dapat menikmati asam garam dalam kehidupan.
Bagi suami, bagaimanakah cara terbaik untuk menghargai jasa dan pengorbanan isteri? Di bawah ini disediakan beberapa panduan berguna agar ia dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Bagi suami, hargailah segala pengorbanan dan jasa isteri kerana ia tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Apa yang perlu, tindakan suami diperlukan untuk menggembirakan isteri.
1. Anggap isteri seperti diri sendiri
Semua orang tentu akan merasa bahagia jika dibelai dan diberi perhatian sepanjang masa. Bagi suami, tentu seronok jika kehidupan seharian dijaga oleh isteri dengan sempurna. Makan minum dijaga, pakaian digosokkan, dikasihi, dibelai dan dijaga serta disayangi.
Jadi, anggaplah isteri anda juga menginginkan anda melakukan perkara yang sama terhadapnya. Hargai dan belai isteri anda dengan penuh kasih dan sayang. Semasa bercinta, anda memang dianggap romatis tetapi kenapa selepas berkahwin, segala ucapan dan kasih sayang yang diluahkan seakan hilang? Sepatutnya, semakin hari semakin sayang dan ia akan berkekalan sehingga bila-bila. Ingat, isteri anda adalah cermin diri anda. Ke mana juga anda pergi, dirinya akan bersama dengan anda. Jika ini diamalkan selalu, rumahtangga yang dibina akan bahagia.
2. Ringankan tugas isteri
Mendisiplinkan diri dengan tidak menyepahkan barang atau membuat kotor adalah cara terbaik membantu isteri. Sering kali isteri menrungut (selalunya dalam diam) dek kerana sikap suami yang suka menyepah-nyepahkan barang atau tidak meletakkan sesuatu barang di tempat asal. Bukan susah, jika anda menanggalkan pakaian, apa salahnya gantungkan atau masukkan terus ke bakul kotor. Jangan anda letak di merata tempat sehingga boleh menimbulkan keberangan isteri.
Memang ada segelintir suami yang tidak biasa melakukan kerja rumah malah tidak pernah sekalipun. Mana tidaknya, semasa zaman bujang, segalanya dilakukan oleh ibu atau pembantu rumah. Jadi, bila sudah berumahtangga, mulalah kelam kabut. Jika anda tidak tahu memasak sekalipun, bantulah isteri dengan perkara yang lebih mudah seperti memotong sayur, mencincang bawang, menyiang ikan dan banyak lagi. Jangan sesekali isteri anda sibuk di dapur memasak, tetapi anda seronok goyang kaki di ruang tamu menonton televisyen. Memang tidak patut!
3. Ciuman istimewa untuk isteri
Kuasa ciuman seornag suami memang sangat berkesan. Ia mampu meredakan kepenatan dan kemarahan seorang isteri. Bagi suami, adakah anda ingat , bilakah kali terakhir anda mencium pipi isteri anda? Jangan hanya ketika hari raya semasa memohon ampun sahaja. Itu sudah melampau! Semasa isteri anda tidur, tenunglah wajahnya dalam-dalam dan tataplah dia dengan penuh kasih sayang. Walaupun isteri anda tidak pernah memberitahu anda supaya menciumnya, tetapi bagi suami, kenalah mulakan dahulu. Pasti isteri anda akan tersenyum gembira.
4. Penuhi hajat isteri
Sesetengah suami suka memandang remeh kehendak isteri. Alsan yang sellu digunakan ialah ‘tiada duit’ atau ‘tak cukup duit’. Memang kadang kala jika isteri anda menginginkan benda yang besar dan mahal seperti mesin basuh, kamera, kasut, beg tangan dan sebagainya, anda tidak mampu untuk menunaikannya. Itu tidak menjadi masalah. Apa kata anda kumpulkan wang walaupun terpaksa dalam tempoh jangka masa panjang. Simpan wang sehingga cukup dan anda bolehlah menghadiahkan apa yang isteri anda ingini walaupun agak lambat. Jangan pula anda memarahi isteri anda hanya kerana dia meminta sesuatu yang tidak mampu anda beli. Pujuklah isteri anda dan maklumkan hal sebenar. Jika bajet tidak mencukupi, berterus-teranglah sahaja. Jangan simpan di dalam hati.
Isteri suka jika memperoleh hadiah daripada suami, walaupun kecil. Apa kata anda hadiahkan kerongsang, tudung, makanan dan macam-macam lagi yang anda mampu belikan. Ia sekurang-kurangnya akan membuatkan isteri anda gembira dan tersenyum riang.
5. Pergi bercuti
Ini adalah langkah paling sesuai untuk membawa isteri dan anak-anak beriadah dan menenangkan fikiran. Apa kata, anda mengambil cuti dan bawa isteri berjalan-jalan. Jika bajet anda tidak banyak, tidak mengapa dengan hanya memilih pusat pelancongan berdekatan sahaja. Sekurang-kurangnya, isteri akan mengenangkan saat manis percutian dan menjadikan hubungan anda berdua lebih harmoni dan bahagia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...