KECEDERAAN yang dialami kanak-kanak di rumah sebenarnya dapat dielakkan jika ibu bapa mengambil berat dan prihatin terhadap beberapa perkara penting berkaitan aspek keselamatan.
Pakar Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail, berkata kebanyakan kecederaan yang di alami kanak-kanak ketika di rumah boleh dielakkan jika ibu bapa mengamalkan langkah awal keselamatan.
“Ketidakupayaan kanak-kanak berfikir seperti orang dewasa menyebabkan perkara yang pada pandangan ibu bapa tidak berbahaya sebenarnya mengundang bencana yang boleh membawa kecederaan, kecacatan kekal dan lebih teruk lagi, maut,” katanya.
Dr Zulkifli berkata, ibu bapa juga perlu mengetahui perkembangan anak masing-masing supaya dapat mencegah kejadian tidak diingini.
“Ibu bapa perlu mengetahui peringkat mana anak mereka mula berguling, merangkak, bertatih, sudah pandai membuka laci dan pintu, berjalan dan berlari keluar. Ini penting untuk ibu bapa membuat persediaan mengelak kecuaian.
“Begitu juga, jangan biarkan anak-anak yang makan gula-gula berlari, memegang garpu atau benda tajam lain. Ibu bapa juga perlu prihatin dengan persekitaran anak-anak termasuk di dalam dan luar rumah. Jangan biarkan anak-anak terdedah kepada risiko racun, benda tajam dan api,” katanya.
Ibu bapa juga perlu prihatin dengan alat permainan untuk anak-anak dan membeli mengikut usia anak bagi mengelakkan kejadian kecederaan dan tercekik.
“Biasanya pengeluar ada menyatakan kesesuaian usia untuk alat mainan. Namun, perlu diingat pemikiran anak berbeza dengan orang dewasa dan kadang kala mereka kreatif serta inovatif yang mana mereka bermain berbeza dengan cara alat mainan itu dicipta.
“Perabot dan peralatan rumah juga dipastikan bukannya dari kaca, begitu juga pintu kaca perlu diletakkan tanda supaya kanak-kanak tidak terlanggar pintu. Bucu meja seeloknya tidak tajam atau dilapik dengan pelapik khas yang boleh dibeli di kedai perabot,” katanya
Apa yang dimaksudkan kecederaan? Kecederaan adalah seperti jatuh, keracunan, lemas, terbakar, melecur, tercekik dan terkena kejutan elektrik. Namun, kecederaan yang kerap berlaku di rumah ialah kebakaran, jatuh dan melecur.
Jatuh - anak yang jatuh dari ketinggian dua atau tiga kaki (0.6 hingga 0.9 meter) boleh cedera teruk. Antara kawasan berbahaya yang boleh menyebabkan kanak-kanak jatuh ialah tangga, tingkap dan beranda. Ibu bapa mesti sentiasa berwaspada dan memberi perhatian kepada prinsip yang boleh mengelakkan kecederaan.
Keracunan - minyak tanah, ubat-ubatan, cecair membasuh rumah, alat solekan dan ubat membunuh tikus adalah racun yang sering termakan oleh kanak-kanak. Semua racun ini boleh mengakibatkan maut. Apabila anak pandai berjalan, mereka akan
Lemas - kebanyakan daripada anak yang mati lemas di
Kebakaran dan melecur - kebanyakan anak yang mengalami kecederaan ini memerlukan rawatan di hospital. Ini adalah kerana melecur biasanya membabitkan kawasan kulit yang besar. Anak yang kecil sering melecur akibat tercurah cecair panas manakala anak yang lebih besar sering terbakar akibat bermain api. Kebanyakan kes melecur di rumah berlaku di dapur.
INFO: Tip untuk ibu bapa
Jatuh
- Jangan tinggalkan bayi bersendirian di katil, sofa atau meja menukar lampin. Jika hendak menjawab telefon atau membuat kerja lain, bawa bayi bersama.
- Pastikan tangga tidak gelap dan tiada barang bertaburan dan ingatkan anak-anak kawasan tangga bukannya tempat bermain.
- Gunakan pagar keselamatan di atas dan di bawah tangga untuk mengelakkan anak daripada turun naik tangga sesuka hati.
- Jauhkan anak daripada bermain di beranda atau bumbung rumah.
- Jauhkan perabot dari tingkap kerana anak boleh memanjat perabot yang berhampiran.
- Jangan tinggalkan anak yang berumur satu hingga dua tahun di dalam bilik mandi bersendirian. Pastikan jubin bilik mandi daripada jenis yang tidak licin.
- Alat bertatih (walker) berbahaya jika anak tidak diawasi. Alat ini tidak akan mempercepatkan anak mula berjalan.
- Jika buai sarung digunakan, pastikan : anak berumur kurang daripada 6 bulan, alaskan lantai di bawah buai dengan tilam atau bantal, jangan beli buai yang beroda dan anak-anak lain tidak bermain berhampiran dengan bayi di dalam buai.
Keracunan
1. Semua jenis ubat perlu disimpan di dalam almari berkunci atau tempat yang tinggi dan selamat. Ubat yang beraneka warna akan menarik perhatian anak kerana mereka mungkin menjangkakan ia sebagai gula-gula.
2. Jangan letak minyak tanah atau cecair yang berbahaya lain di dalam bekas botol minuman yang terbiar kerana anak akan menyangka bahawa air di dalam botol itu boleh diminum. Cecair beracun patut disimpan di dalam botol yang berlabel dan disimpan di dalam almari yang berkunci sekurang-kurangnya 1.75 meter dari paras lantai.
3. Jangan makan ubat di hadapan anak kerana anak kerap meniru perbuatan ibu, bapa atau ahli keluarga lain. Ubat harus disimpan di dalam bekas yang tidak dapat dibuka anak (child resistant container). Bekas-bekas ini ada dijual di farmasi tempatan. Jika ada anak di rumah, jangan simpan banyak ubat.
4. Racun tikus amat berbahaya! Jangan letak di lantai tempat anak sering bermain. Ubat tikus mesti diletakkan di kawasan yang tidak dapat dilihat dan diambil oleh anak. Lebih elok jika perangkap tikus digunakan kerana ia lebih selamat.
Lemas
Ø Jangan biarkan anak berseorangan di dalam bilik air…. jika hendak menjawab telefon bawalah anak bersama.
Ø Pastikan takungan air di dalam baldi, tempayan atau telaga sentiasa ditutup jika tidak digunakan.
Ø Ajar anak yang berumur lebih daripada 3 tahun cara berenang walaupun diberi tunjuk ajar awasilah mereka apabila berenang.
Ø Awasi anak apabila berjalan berhampiran sungai, kolam air, di tepi pantai. Parit dan longkang di tepi jalan berbahaya jika hari hujan.
Ø Jauhkan anak daripada berenang di kawasan yang tidak dapat diawasi seperti sungai, bekas lombong dan laut yang dalam.
Ø Sekiranya rumah mempunyai kolam renang ia harus dipagar apabila tidak digunakan. Tindakan ini dapat mengelakkan anak kecil daripada berlari dan terjatuh ke dalamnya.
Kebakaran dan melecur
Ø Jauhkan anak kecil dari dapur kerana di situlah air panas, minyak panas dan masakan panas disiapkan dan kemalangan boleh berlaku. Sebagai langkah keselamatan pastikan semua alat memasak (seperti kuali berisi minyak panas, kole berisi air panas) tidak dapat ditarik oleh anak yang masuk ke dapur.
Ø Jangan tinggalkan anak kecil berseorangan apabila makanan atau minuman panas dihidangkan di atas meja. Lebih-lebih lagi sekiranya anak bermain dengan alat bertatih, kerana ia dapat memanjat dan mencari makanan itu. Dalam usahanya, ia akan tersimbah air panas.
Ø Jangan beri mancis kepada anak kerana ia akan bermain dengannya apabila ibu bapa keluar rumah.
Ø Sampah-sarap perlu dibakar oleh orang dewasa dan bukannya anak kecil. Jangan buang tin "aerosol" ke dalam api kerana ia boleh meletup.
Ø Jangan biarkan anak bermain mercun. Tiap-tiap tahun menjelang hari perayaan, ramai anak-anak tercedera akibat bermain mercun.
Ø Kunci semua bahan api seperti minyak tanah, petrol, dan lain-lain yang boleh menyebabkan kebakaran.
Ø Jaga wayar alat-alat masakan seperti cerek, periuk nasi, dan sebagainya.
Tips Dipetik daripada buku Penyakit Kanak-kanak A-Z- Panduan untuk Ibu Bapa oleh Dr Iean Hamzah Sendut & Prof. Dr Zulkifli Ismail ISBN 981-204-584-8 (tahun 1996).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...