PAGE

Ahad, Februari 24, 2008

Larangan poligami kerana tamak

Oleh: MAINUMAH (dcckmonaum@hotmail.com)

MINGGU ini saya paparkan e-mel dari Farra Emelia yang cukup menarik untuk kita sama-sama bincangkan, iaitu isu poligami yang menurutnya sangat sensitif kepada kaum wanita khususnya isteri pertama yang merasakan suami adalah hak mutlak mereka seorang, iaitu seorang suami hanya milik seorang isteri.

‘‘Saya terpanggil untuk berkongsi cerita dan memberikan pendapat berdasarkan kisah benar yang pernah dilalui oleh beberapa orang sahabat, dengan tujuan menyedarkan kaum wanita supaya kembali mengetahui keadaan sebenar, jangan terlalu tamak hanya memikirkan diri sendiri.

‘‘Saya cuba ketengahkan isu ini untuk dibincangkan bersama dengan semangat terbuka dan tidak emosional. Kerana kita sedia maklum tidak ada wanita yang sedia berkongsi suami. Tetapi kalau kita kembali kepada ajaran agama kita tidak akan berasa rugi, malah kita mengetahui mengapa Allah izinkan semua ini terjadi.

‘‘Mula-mula mari kita lihat sekeliling, apabila seorang suami mula menunjukkan minat terhadap wanita lain, maka dengan mudah suami ini akan dilabelkan sebagai lelaki miang, gatal, dan tidak sedar diri, sambil melabelkan wanita atau gadis lain yang ingin dinikahi oleh si suami tadi sebagai perosak rumah tangga orang.

‘‘Sebenarnya wanita lupa akan hak-hak yang telah nyata disebut di dalam al-Quran. Mereka juga lupa bahawa Allah telah menjanjikan ujian demi ujian terhadap hamba-hamba-Nya, lelaki atau perempuan untuk menguji darjah keimanan mereka.

‘‘Tetapi paling menghairankan, ketika kita mengajak kaum wanita dan lelaki memahami manisnya berpoligami atau berkahwin lebih dari satu maka keluarlah isu tentang hak-hak wanita diperjuangkan dan dilaungkan dengan bangga dan kuat sekali oleh kaum wanita lain menentang apa yang telah ditetapkan oleh Allah.

‘‘Dengan mudah juga mereka akan melabelkan mana-mana suami yang ingin kahwin lagi sebagai mementingkan hawa nafsu dan diri sendiri sahaja dan tidak pernah menilai pengorbanan yang mereka lakukan seperti melahirkan zuriat, menjaga rumahtangga, membantu suami menambah ekonomi keluarga dan banyak lagi yang merupakan suatu kewajipan isteri.

‘‘Saya ingin bertanya, jika selama ini kaum wanita melakukan semua tugas itu yang merupakan kewajipan mereka dengan ikhlas ‘lillah hi taala’ adakah mereka mesti dibayar semula dengan satu kemestian atau jaminan bahawa suami mereka tidak boleh berpoligami?

‘‘Jika larangan berpoligami menjadi pegangan hidup golongan isteri pertama, maka mereka boleh dikategorikan sebagai orang yang mementingkan diri sendiri, apatah lagi jika mereka sering meminta diceraikan apabila suami ingin berpoligami.

‘‘Apakah wanita sudah lupa dengan hukum Allah yang melarang sama sekali isteri meminta cerai daripada suami kecuali dengan syarat-syarat yang dibolehkan seperti dianiayai atau sebagainya lagi? Dan adakah dengan bercerai anda boleh menjamin ketenangan hati dan kebahagiaan hidup? Kenapa harus bercerai sedangkan anda boleh mengutip banyak saham akhirat melalui perkahwinan?

‘‘Sekiranya isteri pertama tidak dapat menerima hakikat berpoligami maka ia adalah sama dengan menidakkan satu bahagian dalam agama Islam?

‘‘Seorang rakan baik saya pernah berkata... “Aku tak kisah kalau suami aku ada girlfriends keliling pinggang. Asalkan dia tetap balik kepadaku setiap malam. Bila saya tanya: “Bagaimana kalau suami awak jatuh cinta dan ingin berkahwin dengan salah seorang perempuan tersebut?” Dia menjawab: “Dia kena ceraikan aku dulu. Aku tak mahu poligami. Mudah saja.’’

‘‘Sebabnya, aku sudah banyak berusaha dan sudah letih membesarkan anak-anak dia, aku yang uruskan urusan rumah tangga, aku yang pergi bayar bil sana sini. Aku yang bersusah payah jadi senang macam ini. Jadi sekarang kenapa setelah senang dia nak kahwin lagi dengan mudah?”

‘‘Seorang lagi kawan dengan terus terang memberitahu, dia tahu suaminya ada hubungan luar dengan wanita lain, tapi dia tetap tak izinkan suaminya bernikah lagi, katanya, ‘‘Aku tak peduli berapa banyak dan berapa lama dia nak buat hubungan lain asalkan dia tak nikah satu lagi!”

‘‘Sementara seorang lagi kawan mempunyai prinsip yang lain. Katanya. ‘‘Suami aku boleh kahwin lagi, dengan syarat, isteri barunya mesti hormatkan aku sebagai isteri pertama. Setelah berkahwin, suamiku mesti lebih banyak duduk di rumah isteri pertama daripada isteri barunya, dan seperti yang dijanjikan isteri barunya tak boleh menentang permintaannya. Walaupun suaminya hanya dibenarkan kembali ke rumahnya dua hari dalam seminggu,’’ demikian antara kerenah dan permintaan isteri pertama ditakdirkan suaminya ingin berkahwin lagi.

‘‘Secara tidak langsung, isteri yang menentukan perjalanan kehidupan suaminya, bukan sebaliknya. Apakah ini benar dan dituntut oleh agama Islam? Bukankah suami sebagai ketua keluarga yang menentukan segala-galanya dalam hidup isteri-isteri dan anak-anaknya, bukan sebaliknya? Ini baru namanya suami sebagai ketua keluarga.

‘‘Bagaimanapun lebih pelik, kawan saya Zeky tetap tidak mengizinkan suaminya kahwin lagi, walaupun dia tahu suaminya bersekedudukan hingga melahirkan seorang anak. Katanya suaminya tidak bersalah, sebaliknya gadis tersebut yang sanggup membiarkan dirinya dinodai dan ditaburi janji kosong. Sebagai contoh suaminya tetap tidak menikahi gadis tersebut.

‘‘Akhirnya, si gadis terpaksa menyerahkan bayinya kepada orang lain, dan dia tinggalkan suami Zeky untuk membina hidup sendiri setelah lebih empat tahun bergelumang dengan dosa. Zeky bersorak gembira bila suaminya ditinggalkan kerana dia terlepas daripada dimadukan. Si gadis mengambil tindakan tersebut kerana suami Zeky tidak berani menikahinya.

‘‘Saya sering tertanya tak bolehkah semua pihak berkompromi, berbaik sangka, berterus terang dan jujur terhadap diri sendiri atau antara satu sama lain? Banyak suami apabila depan isteri pertama ‘pijak semut pun tak mati” tetapi di belakang dia menceritakan pelbagai keburukan dan kepincangan rumah tangganya kepada perempuan lain, semata-mata untuk menagih simpati sehinggakan menimbulkan rasa tidak hormat kepada isteri pertama.

‘‘Tidak sedarkah suami bahawa tindakan mereka sebenarnya menganiaya isteri pertama? Terdapat suami yang berkongsi pendapatan dengan isterinya sama ada menjalankan perniagaan atau apa saja, sanggup menyorokkan hakikat yang dia mempunyai keinginan untuk berumah tangga lagi sambil merahsiakan isteri barunya kerana takut terputus punca ekonomi.

‘‘Wahai suami tidak sedarkah anda, tindakan menyimpan wanita lain untuk dijadikan alat memuaskan nafsu adalah menganiaya wanita tambahan pula jika anda tidak berniat menjadikannya isteri semata-mata kerana takutkan isteri pertama.

‘‘Jadilah suami bertanggungjawab dan jujur dengan mengemukakan hasrat untuk beristeri lebih daripada satu kepada isteri pertama. Ceritalah dengan ikhlas. Malangnya tidak ramai suami berani bercerita dengan jujur apatah lagi apabila diugut cerai oleh isteri pertama.

‘‘Setiap pihak mempunyai sebab mereka tersendiri untuk berpoligami. Pada pandangan saya ‘talak’ itu terletak di tangan suami. Ketua keluarga adalah lelaki. Suamilah yang sepatutnya sentiasa perlu meningkatkan ilmu pengetahuan sama ada ilmu agama mahupun dunia dan mempraktikkan ilmu tersebut demi mencapai keharmonian dalam rumah tangga.

‘‘Sama ada isteri pertama membenarkan suami berkahwin lebih dari satu atau tidak, hakikatnya agama membenarkan hak tersebut ke atas suami. Bagaimanapun hak tersebut datang bersama tanggungjawab yang seharusnya dipraktikkan dengan seadil mungkin kepada semua yang terlibat.

‘‘Jika suami sayangkan perkahwinan yang dibina berdekad-dekad lamanya dengan isteri pertama, kenapa mesti melafazkan talak tersebut dengan mudah apabila diminta berkali-kali?

‘‘Kenapa dengan mudah menggunakan alasan dayus jika tidak memenuhi permintaan isteri pertama? Adakah itu semua alasan supaya senang untuk berkahwin lain? Sebelum cerai diterima sebagai suatu takdir, tidak bolehkah si suami memikirkan bahawa tindakan mereka nanti akan hanya mendatangkan suatu penganiayaan terhadap kaum wanita dan meramaikan lagi jumlah ibu tunggal?

‘‘Sebenarnya suamilah yang boleh mencorakkan kehidupan dua atau tiga rumah tangga yang dibina. Isteri-isteri yang berkongsi suami harus bersedia menerima perkongsian itu dengan berkompromi.

‘‘Pokoknya, jika semua pihak kembali kepada landasan agama dan mengambil kira aspek emosi, rohani, fizikal dan keperluan minda pasangan mereka, alangkah amannya dunia ini! Anak-anak terpelihara dan terbela. Lebih ramai wanita mendapat habuan pahala dan dimuliakan kedudukannya di akhirat.

‘‘Sebenarnya kita harus berfikir adakah dengan berumah tangga itu sudah menjamin kebahagiaan dan pasangan kita tidak akan bercinta lagi? Adakah kita sedar bahawa fitrah alam semula jadi melakukan satu evolusi dalam kehidupan? Adakah kita peka terhadap perubahan emosi, fizikal, rohani dan minda pasangan kita?

‘‘Adakah kita kira dengan mempunyai anak tidak perlu lagi mempertingkatkan ilmu tentang kefahaman diri manusia, ilmu berkaitan rumah tangga dan perkara yang membahagiakan pasangan masing-masing terutamanya berkaitan hubungan seksual yang merupakan perkara penting buat lelaki dan wanita?

‘‘Saya amat sedih apabila membaca tajuk yang mengutuk kaum wanita dan salahkan lelaki yang membabitkan isu perceraian. Terutama wanita dituduh serta dilabelkan sebagai perampas dan perosak rumah tangga orang lain. Bukan semua isteri kedua atau ketiga perosak rumah tangga, pisau cukur, perampas dan tidak baik. Bukan semua juga suami tak jujur. Dan bukan semua isteri pertama tamakkan suami.

‘‘Tetapi persoalannya berapa ramai isteri yang jujur, kasih dan sayang terhadap suaminya hingga sanggup mengetepikan rasa negatif tentang poligami dan bersedia berkongsi kasih.

‘‘Untuk menjawab soalan itu, wahai kaum wanita sekalian cuba tanya diri kita sendiri di manakah iman dan keikhlasan hingga menjadi sesuatu yang mustahil untuk mencapai keharmoniaan dalam berpoligami,’’ demikian rangkuman pandangan Farra Emelia dan teman-temannya tentang poligami dan hasratnya ingin berkahwin dengan suami orang tidak terlaksana kerana pendapat, pandangan dan kefahaman yang berbeza dari kebanyakan kaum wanita dan masyarakat amnya.

Lebih menyedihkan sikap kaum lelaki iaitu para suami sendiri yang penakut dan tidak berani berterus terang kepada isteri masing-masing untuk berkahwin lagi. Terutama kepada yang berumur lebih 40 tahun yang bimbang dengan keadaan rumah tangga baru yang akan dibinanya. Mereka bimbang hidupnya akan jadi seperti perumpamaan Melayu ‘yang dikejar tak dapat yang dikendong jatuh berciciran’.

Sebenarnya banyak sebab kenapa ramai suami takut berterus terang. Salah satu mungkin kerana kelemahan sendiri dari segi kedudukan kewangan yang tidak kukuh, seorang yang lemah, penakut tidak ada keyakinan diri dan lebih penting takut kepada isteri kerana kesalahan masa lampau.

Sumber : Utusan 24/02/2008

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...