PAGE

Selasa, Februari 05, 2008

Pertama kali datang haid

TAHUN ini, kanak-kanak manis, Fatin Nabila akan berusia 11 tahun tanggal Februari ini. Dia sudah mula ada perasaan malu kepada kanak-kanak lelaki seusianya, tidak mahu lagi memakai pakaian yang mencerminkan kanak-kanak seperti watak kartun, sudah pandai menjaga kulit muka dan inginkan rambut yang berfesyen.

Ini adalah ciri-ciri yang menunjukkan Fatin sedang dalam transaksi kanak-kanak ke alam remaja dan sekali gus baligh. Ini adalah kejadian fisiologi yang biasa terjadi kepada kanak-kanak perempuan yang akan menjadi dewasa, biasanya antara usia sembilan hingga 15 tahun.

Pada waktu usia sebeginilah, darah haid yang menandakan seseorang itu telah baligh akan keluar.

Justeru, kanak-kanak seusia begini harus diberi penjelasan yang sebenarnya. Memang benar mereka telah mengetahuinya mengenai haid ini menerusi iklan televisyen yang mempaparkan penggunaan tuala wanita, namun apa sebenarnya haid dan bagaimana untuk menghadapinya tidak diketahui.

Lebih malang lagi jika ibu-ibu tidak mengendahkan soal kedatangan haid buat kali pertama anaknya itu. Ini kerana banyak persoalan yang bermain di minda kanak-kanak ini yang perlu penjelasan supaya mereka dapat mengalaminya tanpa sebarang masalah.

Antara persoalan yang selalu ada dalam fikiran mereka:

  • Bila haid akan keluar?
  • Bagaimana mereka akan mengalaminya, sakit atau tidak?
  • Bagaimana hendak mengahadapinya?
  • Bagaimana hendak memakai tuala wanita?
  • Malu!
  • Jika datang tiba-tiba di sekolah, bagaimana?
  • Apa yang perlu dihindarkan semasa datang haid?

Sebenarnya banyak lagi persoalan yang tidak mungkin terjawab selagi mereka tidak mengalaminya sendiri, namun seelok-eloknya sedikit panduan harus diberitahu terlebih dahulu.

Pertama, terangkan apakah itu haid?

Setiap bulan, ovari dalam badan perempuan akan menyediakan satu ovum untuk menunggu ia matang dan dilepaskan. Selepas itu, ovum akan berhenti di saluran ovari, sedia untuk persenyawaan. Ketika ini, bahagian dalam uterus akan menjadi lembut supaya ovum boleh berada di dalamnya. Jika ovum bersama dengan sperma, mereka akan bersenyawa di dalam uterus. Jika tidak ovum akan dialirkan keluar badan bersama membran uterus. Darah dan badan sel inilah dikatkan haid.

Kedua, jangka waktu hari haid

Kebiasaannya dalam tiga hingga enam hari. Darah ini berwarna merah atau coklat hitam.

Ketiga, tiada halangan untuk beriadah atau melakukan aktiviti

Kanak-kanak ini boleh terus melakukan aktiviti dan beriadah kerana boleh membantu mengurangkan kesakitan perut ketika haid.

Keempat, sakit

Kadang kala seseorang itu akan mengalami sakit perut ketika datang haid, biasanya di bahagian bawah perut. Ini adalah kerana pengecutan yang kuat oleh uterus untuk mengalir membran uterus keluar.

Kelima, kerap tukar tuala wanita

Biasanya dalam satu hari harus menukar tiga hingga lima kali (anggaran empat hingga lima jam sekali tukar) bergantung kepada banyaknya darah keluar.

Keenam, tindakan jika haid datang tiba-tiba di sekolah

Beri alasan untuk ke tandas. Jika tiada tuala wanita ketika itu, anda boleh meminta daripada guru. Darah yang terkena pada belakang pakaian hendaklah dicuci di tandas.

Ketujuh, pembuangan tuala wanita

Tuala wanita yang telah digunakan haruslah dibungkus dengan suratkhabar dan dibuang ke dalam tong sampah.

Tip semasa datang haid

  1. Kurangkan pengambilan garam kerana boleh menyebabkan pengumpulan cecair dalam badan dan menyebabkan ketidakselesaan.
  2. Makan dengan cukup.
  3. Sekiranya sakit perut, boleh mengambil makanan seperti coklat, teh, yogurt atau susu.
  4. Makan sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin, roti, ikan, tomato dan pisang.
  5. Bersenam dan melakukan aktiviti ringan.
  6. Mandi dan tukar tuala wanita pada masa yang tetap.

Info:

Apa yang dimaksudkan dengan pediatrik ginekologi untuk remaja.

Bagi yang tidak tahu, ginekologi merupakan satu langkah penjagaan kesihatan untuk anggota reproduksi wanita, malah penjagaan ini sebenarnya patut bermula pada apa jua peringkat umur. Pediatrik ginekologi untuk remaja memberikan pengetahuan tentang ilmu mengenai penjagaan anggota reproduksi untuk kanak-kanak perempuan dari usia bayi hingga berumur 22 tahun.

Ahli pediatrik ginekologi untuk remaja.

Ahli pediatrik ginekologi untuk remaja ini telah diberi latihan khas untuk memberi pemeriksaan yang lebih sensitif, umur yang bersesuaian serta rawatannya. Mereka ini telah dilatih untuk memahami kepelbagaian perubahan tubuh badan pada peringkat awal proses kematangan serta dari aspek psikologi. Mereka juga dilatih tentang cara komunikasi dengan kanak-kanak serta ibu bapa mereka.

Pemeriksaan dijalankan dan dijamin tidak mendatangkan ketidakselesaan pada kanak-kanak, peralatan yang digunakan juga direka khas untuk memeriksa kanak-kanak dan remaja perempuan.

Kepentingan pediatrik ginekologi untuk remaja.

Dalam masa setahun daripada tarikh seorang remaja wanita menghadapi haidnya yang pertama, dia juga mestilah menghadiri pemeriksaan kesihatannya dengan mana-mana ahli ginekologi.

Kebanyakan gadis menghadapi haid pertama apabila mereka berumur lingkungan 9 hingga 15 tahun. Menerusi kajian, majoriti kanak-kanak perempuan mula didatangi haid ketika mereka berusia 12 tahun.

Ahli ginekologi terlatih ini akan memberi tahu apakah keperluan kanak-kanak dan remaja ini serta memberi mereka ilmu tentang pemeriksaan bahagian organ seks dan payu dara. Pemeriksaan ginekologi ini memberi jawapan segala persoalan serta informasi tentang isu berkaitan kesihatan dan seksual.

Ahli ginekologi remaja juga telah dilatih untuk memberikan pandangan tentang isu berkaitan hal kesihatan remaja seperti jerawat, perkembangan fizikal badan, pemakanan tidak teratur, penyalahgunaan dadah dan alkohol.

Sumber : Sadatul Mahiran Rosli di Utusan 05/02/2008


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...