“FAIZAL, mari tolong mak ni..Tak larat mak nak angkat semuanya...”. Faizal masih leka menonton televisyen. Tidak berkelip-kelip matanya, seperti dipukau pula.
“Kejap mak, nak habis dah cerita ni,” jawab Faizal, tidak memandang pada wajah emaknya pun.
Sepuluh minit kemudian barulah Faizal menjengah emaknya di dapur. Emaknya sudah selesai mengangkat barang-barang yang dibeli di pasar. Faizal tergaru-garu kepala yang tidak pun gatal apabila melihat emaknya sudah mula untuk ‘bersyarah’.
“Apa nak jadilah dengan kau ini. Kalau tak suruh tolong, tak nak tahu menolong emak ni. Kan emak sudah tua, tak larat hendak buat semuanya. Kalau beginilah, bagaimana agaknya kalau emak tidak ada. Alamat semuanya tidak menjadi,” ujar emaknya menggeleng-geleng kepala. Bukan niat Aminah hendak berleter panjang dengan anak lelakinya itu, tetapi anaknya wajar dididik supaya lebih prihatin dan peka terhadap persekitarannya.
“Tak pedulikan orang. Tak usah dibiasakan tabiat itu, kelak jadi masalah, bukan sahaja pada diri sendiri, tetapi juga kepada masyarakat dan negara.” sambung Aminah.
Masalah dengan masyarakat dan negara? Kenapa pula? Bisik hati Faizal sambil menarik kerusi di dapur. Memang kebiasaan mereka anak-beranak suka berbincang akan sesuatu perkara.
“Kita kena bantu orang yang dalam kesusahan, orang yang menghadapi masalah, jika tidak nanti jadi seorang yang pentingkan diri sendiri. Sikap kepedulian ini harus terbit daripada kesedaran individu itu sendiri, bukan bersandarkan kepada pulangan yang berbentuk material ataupun kata-kata. Islam sangat menganjurkan kita tolong-menolong sesama sendiri. Bukan itu sahaja, sifat kepedulian atau ihtimam, perhatian dan keprihatinan kepada nasib umat Islam adalah kunci ukhuwah Islam.
“Kepedulian menunjukkan kepekaan hati dan jiwa yang hidup sehingga ketika melihat saudara lain menderita, terzalimi dan sakit, maka ia akan merasakan apa yang dialami saudaranya. Kemudian berupaya sekuat tenaga memberikan bantuan yang boleh dilakukan. Tiada ukhwah tanpa kepedulian dan ukhwah merupakan bukti dari keimanan seseorang,” jelas Aminah panjang lebar.
“Mengapa emak katakan ia berkait dengan masalah negara?,” soal Faizal.
“Cuba bayangkan jika remaja seperti kamu membesar dengan tidak mempedulikan hal orang lain, tidak pedulikan hal negara dan juga tidak mahu tahu langsung mengenai apa yang berlaku di sekeliling kamu, apakah dengan acuan ini negara akan dapat melahirkan insan yang seimbang, berpandangan global dan bersedia mendepani cabaran globalisasi yang semakin menghimpit umat Islam ketika ini?”. Panjang lebar khutbah emaknya.
Faizal teringat gurunya di sekolah pernah mengajar mengenai persaudaraan di dalam Islam. Ujar gurunya, masalah umat sekarang yang berpecah belah adalah kerana tidak peduli akan hal orang lain, umpama ‘enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.’
“Tetapi kawan-kawan saya lebih peduli dengan sesuatu yang aneh dan baru. Hal-hal sosial bukan dalam lingkungan minat mereka. Misalnya, mereka lebih berminat dengan kehidupan artis lebih daripada hal-hal agama dan masyarakat. Lebih berminat belajar merokok daripada memikirkan hal-hal yang menimpa umat. Bagaimana dengan ini pula emak?” tanya Faizal lebih lanjut.
Kata Aminah, hal inilah yang perlu diperbetulkan. Sifat kepedulian harus disertai dengan niat yang ikhlas, berlandaskan kebenaran dan keazaman melaksanakan apa jua yang boleh dibantu. Untuk itu, remaja perlu ada kekebalan yang tinggi untuk menapis dan mempertimbangkan kesan yang datang kepadanya. Bukan terus mengikut apa sahaja yang menjelma di hadapan matanya.
“Oleh sebab itu, banyak pihak perlu terlibat dalam hal ini. Ibu bapa mesti selalu mengingatkan anak-anak mereka supaya lebih prihatin akan persekitaran, malah ibu bapa juga harus bersikap demikian terlebih dahulu. Apabila sistem kekeluargaan sudah dididik dengan nilai sebegitu, sistem masyarakat juga mampu berubah. Ditambah jika media menyokong dengan menyiarkan bahan-bahan yang mendidik pembaca, pendengar atau penonton akan nilai-nilai keprihatinan,” ujar Aminah lagi.
Pihak sekolah dan universiti juga perlu menerapkan didikan ini dalam pengajaran mereka. Sifat kepedulian ini bukan sahaja melahirkan masyarakat yang penyayang dan bertoleransi, tetapi juga melahirkan masyarakat yang lebih kreatif, kritis, telus dan beramanah.
Faizal mengangguk-angguk tanda faham. Aminah tersenyum melihat anaknya sedang tekun mendengar penjelasannya. Dia lebih suka berbincang dengan cara yang lebih berhemah dan melontarkan persoalan agar anaknya bersikap lebih kreatif dan memahami sesuatu perkara berbanding memarahi atau memaksa tanpa penjelasan yang lengkap. Harapannya agar anak-anak lebih faham akan sesuatu perkara dan berpegang teguh kepada nilai-nilai yang diajar oleh Islam.
Sambil memandang anaknya penuh kasih sayang, Aminah berkata, “Jadi lain kali emak mahu kamu lebih prihatin terhadap persekitaran. Sentiasa ingat bahawa apa-apa tabiat kamu sekarang membentuk kepada keperibadian kamu di masa akan datang.
“Banyak faedahnya jika mempunyai sikap prihatin. Umat dan negara juga perlu pemimpin yang mempunyai tahap kepedulian yang tinggi, prihatin akan keperluan masyarakat serta memahami tanggungjawab membela kepentingan masyarakat dan negara.
“Nah yang paling mudah kamu boleh lakukan, mulai sekarang, bila nampak emak memerlukan pertolongan, datanglah bantu emak ye...”
Faizal hanya mampu tersenyum malu, tersipu-sipu mendengar kata-kata emaknya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...