BAGAIMANA perasaan anda jika suami yang menjadi tempat bergantung hidup dan menumpang kasih seorang penggoda?. Malah bukan setakat menggoda tetapi turut berpoligami. Bagaimana pula dengan isteri yang terpaksa memendam rasa dengan sikap suami yang suka menggoda dan kerap jatuh cinta ini?
Inilah yang ingin dikongsi bersama oleh Wawa dalam kiriman e-mel yang panjang lebar kepada saya sambil mencurahkan segala isi hatinya yang mempunyai suami kaki menggoda. Di sebalik sikap tidak jujur suaminya itu, kesetiaan Wawa tidak pernah beralih arah sebaliknya Wawa selalu berdoa agar satu hari suaminya akan berubah. Berusia awal 30-an, Wawa dikurniakan sepasang cahaya mata berusia tiga dan lima tahun setelah bernikah sejak enam tahun lalu. Berdasarkan pengalaman, apa yang peliknya kata Wawa bagaimana seseorang wanita itu dengan begitu mudah jatuh hati dengan lelaki jenis ini.
“Saya mengambil contoh suami saya. Dia tidak punya apa-apa, tidak kaya dan bukan bergaji lumayan. Tapi dia tetap menjadi buruan wanita. Orang yang tidak tahu sikapnya luar dalam tidak akan faham kerenahnya yang sebenar. Kita yang jadi isteri ini yang makan hati. Mana tidaknya, di rumah dia suami yang baik, lemah lembut, penyayang dan mengambil berat. Tapi di luar, dia seorang lelaki penggoda!’’ kata Wawa memulakan cerita.
Kenapa fenomena ini berlaku dan mengapa wanita terbabit tidak mahu memikirkan masalah yang bakal timbul akibat perbuatan mereka.
Inilah persoalan yang harus wanita fikirkan, kata Wawa.
Tambah Wawa, memang diakui susah mencari lelaki bujang pada masa ini. Selain faktor umur yang berbeza jaraknya, pasti kebanyakan lelaki yang hebat telah berkahwin. Mahu tidak mahu terpaksalah memburu suami orang.
“Ini dikuatkan lagi dengan senario di mana kebanyakan lelaki sekarang terutama lelaki Melayu berkahwin lebih daripada satu. Mereka bijak menyusun kata dan memujuk rayu. Inilah keistimewaan suami saya.
Cair
“Di depan kita, sayangnya macam tak mahu berpisah. Pendek kata kalau mati seorang dua-dua rasa nak mati sama. Tak cukup dengan itu, hendak satu liang lahad lagi. Kalau di rumah kita tak makan dia pun tak mahu makan. Nak makan beradab-adab sambil bergurau senda kononnya. Lagaknya macam baru kahwin seminggu. Begitulah ibaratnya. Tapi itu di rumah. Di luar rumah gayanya terus berubah, macam pemuda berumur 21 tahun sedang belajar memikat perempuan. Mana tidak cair jadinya wanita yang mendengar pujuk rayu tersebut kalau di ayat dengan macam-macam kata manis. Lentok habis! Silap haribulan sampai pagi tak dapat tidur asyik berangan,’’ tambah Wawa.
Menurut Wawa sebagai isteri yang berdepan dengan sikap suami yang kaki penggoda ini, dia ingin menasihati wanita yang ditimpa penyakit ini supaya berhati-hati.
“Jangan mudah cair dengan pujuk rayu lelaki penggoda jenis ini. Tidak ada faedahnya. Kalau rasa sanggup tempuh ujian getir, silakan. Kalau tidak, fikir masak-masak sebelum terbabit dengan suami orang yang jenis ini. Sebagai isteri kita mesti kuat semangat. Jangan marah-marah, kawal perasaan. Saya mencadangkan isteri-isteri yang mengalami keadaan ini perlu buat kejutan untuk suami mereka. Hubungi wanita berkenaan, itu yang saya lakukan untuk memerangkap suami. Caranya mudah saja. Dapatkan senarai nombor telefon bimbit mereka yang meragukan. Kalau nampak nama pelik-pelik, itulah sasarannya. Cuba dail kalau ada peluang. Gunakan nombor telefon pejabat atau telefon awam sebagai langkah berjaga-jaga agar tidak dapat dikesan. Kita mesti bijak, jangan gelabah,’’ kata Wawa.
Lelaki penggoda ini juga ujar Wawa, perasan diri mereka hebat, tampan dan gagah. Sanggup tak makan untuk hendak mengekalkan berat badan, berulang-alik ke gim menjadi amalan, malah sudah pandai ke salon kecantikan dan spa untuk menjaga wajah dan merawat badan.
“Hujung minggu selalu mengelak daripada membawa anak isteri keluar. Alasan nak pergi spa dan gim. Duit habis pun tak kisah. Dia lebih pentingkan menjaga penampilan daripada melayan keluarga. Kalau kita tegur, buat selamba sahaja, macam tidak ada apa-apa berlaku. Paling tidak, jawapannya: Alah.. suka-suka sahaja.’’
Gelabah
Seperkara lagi ujar Wawa, mereka cukup gembira kalau menerima pujian nampak lebih muda daripada usia sebenar.
“Itu yang buat mereka bergaya lebih macam orang muda. Sebagai isteri kita juga suka tengok sebab suami nampak lawa. Tapi lawanya bukan untuk kita di rumah tapi untuk wanita di luar yang tercari-cari tempat nak bermanja. Jika ditanya katanya dua-dua sayang. Mana boleh sama isteri dan teman wanita. Isteri sah, teman wanita tidak. Yang dulu patut didulukan. Isteri tetap nombor satu, perlu diutamakan. Bagi lelaki yang sudah ada cawangan lagi kuat lakonannya. Mereka cepat gelabah. Sekali dua mungkin boleh lepas tapi bila dah berkali-kali, watak sebenar muncul juga,” kata Wawa.
Itu masa belum dapat, bila sudah dapat lain pula ceritanya. Kalau jemu atau dapat umpan baru, kena pula cari alasan untuk mengelak daripada berjumpa. Begitulah sehingga sampai masa lelaki itu akan sedar dan kembali ke pangkal jalan. Itu kalau mahu sedar dan insaf. Kalau tak alamat sampai pejam mata asyik jadi pelakon tambahan dalam drama yang direka sendiri.
Jelas Wawa lagi, mungkin satu bonus kalau suami mahu taubat dan kembali ke pangkal jalan dan tempat yang hendak dituju tentunya isteri pertama.
“Itulah yang berlaku dalam hidup saya. Tapi saya bersyukur, akhirnya suami insaf dan kembali ke pangkal jalan. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Suami saya ingat dia bijak, rupanya bertemu buku dengan ruas. Dia rancang nak kikis wanita itu, sebaliknya dia yang kena kikis, sampai tinggal sehelai sepinggang, kita yang pergi kutip bawa balik. Sekarang baru tahu langit itu tinggi ke rendah!’’ selamba Wawa menamatkan ceritanya sambil tersengih.
Panjang umur
Kisah Wawa mengingatkan saya kepada banyak lagi kisah yang sama. Pengorbanan isteri berdepan dengan suami yang ‘kaki perempuan’.
Mengapa lelaki jadi begitu? Di mana tanggungjawab mereka?
Bagaimana baik teratur atau sempurna seorang isteri itu tetap tidak elok pada mata suami.
Firasat saya mengatakan, alangkah bertuah jika seorang lelaki boleh bertahan dengan seorang wanita dan masih bersama walaupun salah seorang daripadanya jatuh sakit. Alangkah cantiknya juga hidup ini jika salah seorang sanggup berkorban tenaga dan menjaga antara satu sama lain dan membelainya dengan penuh kasih sayang.
Lalu teringat saya kepada kata-kata seorang teman lama yang ketika zaman mudanya suka berkawan dengan ramai perempuan.
Katanya, lelaki kuat nafsu ini panjang umur kerana mereka diberi masa untuk bertaubat. Mereka memang tidak takut pada azab akhirat kerana hanya fikirkan dunia yang berwarna-warni dan masih sempat untuk bersuka ria walaupun usia sudah masuk era Isyak. Wallahualam!
Oleh itu, wahai wanita-wanita di luar sana, awasi lelaki jenis ini. Bukan tidak boleh cari teman lelaki, tapi hati-hati. Selidik dulu latar belakang mereka sebelum hubungan terjalin lebih jauh.
Ingin saya lahirkan rasa bangga terhadap sikap Wawa kerana tabah menghadapi ujian ini. Bukan mudah bagi seorang isteri menghadapi ragam suami yang ‘nakal’. Sikap Wawa perlu dipuji dan diteladan. Ambil yang positif.
Itulah nilai pengorbanan seorang isteri - menerima suami seadanya. Berapa ramai isteri yang sanggup berbuat demikian dan berapa ramai pula suami yang sanggup bertaubat dan kembali ke pangkal jalan? Mungkin boleh dikira dengan jari.
Mengakhiri catatan, renungi kata-kata ini: Sesungguhnya nikmat besar yang harus dijaga adalah ketika kebaikan itu memenuhi jiwa dan membahagiakan hati. Hati yang sihat adalah hati yang tidak ada syirik di dalamnya, tidak ada tipu daya, tidak ada rasa iri dan dengki.
Istimewa buat Wawa, pesanan telus saya: Dengan kecantikanmu engkau tampak lebih cantik daripada matahari, dengan akhlakmu engkau lebih wangi daripada harum minyak wangi dan dengan rendah hatimu engkau lebih tinggi daripada bulan dan dengan kelembutanmu engkau lebih halus daripada rintik hujan.
Itulah realitinya fitrah seorang wanita bernama isteri!
Salam.
Sumber: Utusan 08/02/2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...