PAGE

Rabu, Mac 19, 2008

Bayi mati dalam kandungan

KEMATIAN bayi di dalam kandungan atau ‘lahir mati’ merupakan satu mimpi sedih bagi sesebuah keluarga khususnya ibu itu sendiri. Segala impian untuk menimang cahaya mata, mendengar tawa tangis si manja hilang dalam sekelip mata. Selepas mengandung melebihi 22 minggu bayi mati dalam kandungan. Betapa berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, namun hidup ini mesti diteruskan, peluang untuk mendapatkan anak masih ada.

Sebagai melengkapkan pengetahuan bagi ibu bapa dan ikhtiar untuk memastikan kandungan akan datang dapat dilahirkan dengan selamatnya, segmen Kesihatan mendapatkan pandangan Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan. Menurut Dr. Jamiyah, bukan semua kes bayi lahir mati dapat dikenal pasti puncanya, kecuali dilakukan autopsi ke atas bayi itu. Kadangkala ujian autopsi telah dilakukan tetapi punca kematian masih tidak diketahui. Malah ada juga langsung tidak diketahui puncanya atau dikatakan takdir. Bagaimanapun bagi kebanyakan kes, ia boleh dielakkan daripada berlaku sekiranya ibu menjaga kesihatan dan mengambil langkah-langkah yang tertentu semasa di dalam proses kehamilan dan prihatin terhadap kandungannya.

Namun, kes-kes yang tidak diketahui puncanya hanya melibatkan peratusan yang kecil. Permintaan dan nasihat Dr. Jamiyah, janganlah berputus asa sebaliknya positif bagi mendapatkan kandungan yang kedua dan seterusnya. Berjumpalah doktor untuk mendapatkan nasihat.

Apakah yang dikatakan istilah lahir mati atau ‘stillbirth’ ini?

Lahir mati adalah kematian bayi di dalam kandungan selepas 22 minggu dikandung sebelum bayi sempat dilahirkan. Maknanya bayi meninggal di dalam rahim beberapa minggu atau jam sebelum atau selepas ibu mengalami sakit bersalin. Keguguran atau ‘keguguran spontan’ pula adalah ‘kehilangan’ kandungan yang berlaku sebelum ia berusia 22 minggu ataupun berat bayi kurang daripada 500gm jika usia kandungan tidak diketahui.

Tanda & simptom keadaan lahir mati

1. Apabila ibu mendapati bayinya tidak lagi bergerak untuk satu jangka masa yang panjang

2. Rahim tidak membesar melewati masa

3. Tiada sebarang pergerakan atau degupan jantung pada bayi semasa menjalani ultrasound.

Antara punca-puncanya

· Jangkitan yang dialami ibu atau bayi dalam kandungan seperti jangkitan Torch iaitu toxoplasmosis, rubella, cytomegalovirus dan herpes

· Masalah uri atau tali pusat. Uri dan tali pusat yang menghubungkan bayi dengan rahim ibu. Kemungkinan uri terpisah atau tercerai daripada rahim terlalu awal ataupun terjadinya pendarahan daripada tali pusat (vasa praevia) dan uri

· Trauma atau kecederaan yang dialami di bahagian abdomen/perut ibu

· Tekanan darah tinggi yang dialami ibu, (kemungkinan ada atau tiada kaitannya dengan kehamilan)

· Diabetes

· Kecacatan struktur bayi yang melibatkan paru-paru, jantung, otak dan buah pinggang. Masalah kromosom yang tidak normal adalah sebab paling utama yang menyebabkan kematian janin di peringkat awal. Ia merangkumi lebih daripada 50 peratus punca keguguran spontan.

· Ibu mengalami gangguan autoimun, suatu keadaan di mana sistem imun atau antibodi seseorang itu yang menyerang dirinya sendiri.

Terdapat sebab-sebab lain yang mungkin turut menyumbang kepada kes lahir mati ini. Namun 10 peratus kes-kes lahir mati ini tidak diketahui puncanya.

Apakah yang patut dilakukan bagi mengelak insiden lahir mati?

· Mengawal itu kadangkala boleh dilakukan dengan mengelak daripada faktor-faktor berisiko semasa mengandung

· Mengawal diabetes mahupun darah tinggi yang boleh mengurangkan risiko lahir mati

· Mengelak daripada penyakit rubella dengan mendapatkan suntikan rubella lebih awal sebagai sebahagian daripada pelalian

· Elakkan makan daging mentah dan membela kucing-kucing untuk menghalang daripada toxoplasmosis

· Kerap mencuci tangan merupakan amalan baik yang boleh menghalang wanita hamil daripada dijangkiti penyakit

· Tidak merokok mahupun menghisap dadah apalagi semasa hamil. Ini kerana ia boleh mengakibatkan pertumbuhan bayi terbantut dan boleh meninggikan risiko insiden lahir mati.

Dr. Jamiyah berkata, lazimnya punca-punca ini boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu, kecacatan semula jadi bayi, masalah uri dan tali pusat serta keadaan ibu berpenyakit yang boleh menjejaskan kehamilan. Kecacatan adalah punca biasa namun sering kali terlepas pandang, seperti kes-kes bayi meninggal dalam kandungan ini. Hampir 50 peratus kes keguguran spontan di peringkat tiga bulan pertama disebabkan oleh masalah kromosom yang tidak normal ataupun kecacatan struktur anggota bayi. Uri dan tali pusat adalah saluran nyawa bayi untuk mendapatkan bekalan oksigen dan zat-zat makanan.

Andai terdapat masalah bagi salah satu daripadanya bermakna terputuslah ‘saluran nyawa’ bayi. Ia boleh juga mengakibatkan gangguan teruk bagi kelancaran peredaran darah, oksigen dan zat-zat makanan kepada bayi. Uri dan tali pusat ‘sering dipersalahkan’ sebagai punca kematian bayi dalam kandungan ini namun ia masih merupakan ‘penyumbang’ sederhana di atas sebilangan kes lahir mati ini. Biarpun bukan kebiasaan, keadaan ibu juga mungkin bertanggungjawab kepada kematian bayi dalam kandungan.

Sesetengah penyakit yang dihidapi ibu seperti diabetes dan darah tinggi serta rawatan ke atasnya kadangkala boleh menyebabkan bayi lahir mati. Apa yang jelas, ujar Dr. Jamiyah, terdapat beberapa punca luar biasa lain yang menyumbang kepada kematian bayi dalam kandungan ini. Beliau juga memberitahu, bayi yang dilahirkan lahir mati ini berhak mendapat sijil kematian dan dikebumikan oleh keluarga tersayang.

Melahirkan bayi lahir mati

Dr. Jamiyah menambah, ibu dan bapa berhak menentukan bilakah bayi itu patut dilahirkan walaupun ia sudah meninggal di dalam perut ibu. Bagi seseorang ibu yang sihat dan tidak mengalami masalah kesihatan, keputusan untuk mengeluarkan bayi itu bergantung kepada ibu bapa bayi berkenaan untuk satu tempoh yang dianggarkan. Bagi pihak doktor, apa yang dapat dilakukan ialah memberi pandangan dari pelbagai sudut, buruk dan baiknya melahirkan bayi itu serta cepat atau lambat. Ibu boleh membuat pilihan sama ada untuk menanti waktu kelahiran secara semula jadi atau merangsang kelahiran secara paksa.

“Bukan semua yang mahu menanti saat kelahiran normal itu sedangkan bayinya sudah meninggal. Kita faham akan keadaan ini. Cuma kita hanya memberi pandangan dari sudut kesihatan dengan memberi sedikit masa sambil mengawasi kesihatan ibu. Itu pun kalau ibu atau keluarganya bersetuju. Keputusan dibuat oleh ibu atau keluarganya sendiri,'' katanya.

Tidak salah jika seseorang ibu itu ingin menunggu kelahiran secara semula jadi tanpa paksaan. Walau bagaimanapun ada kalanya ia boleh melibatkan masa yang agak lama. Jika ia melebihi empat minggu daripada tarikh bayi itu meninggal di dalam rahim, keadaan ibu harus diawasi agar masalah lain tidak timbul.

Dr. Jamiyah menambah, jika rangsangan atau paksaan bagi melahirkan bayi itu dilakukan, ia harus dilaksanakan dengan teliti kerana ia boleh melibatkan komplikasi kerana rahim belum bersedia untuk proses kelahiran. Pintu rahim selalunya diperiksa untuk memastikan ia bersedia untuk proses kelahiran. Ini boleh memakan masa beberapa jam dan kadangkala melebihi 24 jam. Ini adalah untuk memastikan risiko terhadap ibu di tahap yang rendah. Jika rahim dipaksa secara terus-menerus, ia boleh mengakibatkan rahim itu koyak dan memudaratkan ibu.

Maka sebab itulah, pihak doktor akan meneliti kes itu secara teliti sekiranya ibu sudah bersedia bersalin atau jika ia memerlukan rangsangan, ia dilakukan dengan teliti. Ibu boleh melahirkan bayi itu secara normal selepas diberi bantuan yang secukupnya atau apabila sudah ada rasa untuk bersalin. Bagaimanapun sekiranya terdapat komplikasi lain, doktor akan mencadangkan pembedahan Caesarean demi menyelamatkan ibu.

“Tugas kami adalah untuk menyelamatkan ibu dan inilah keutamaannya,” ujar Dr. Jamiyah berulang kali.

Sokongan suami dan keluarga

Beliau menegaskan, di kala isteri melalui saat-saat yang menyedihkan seperti ini, suami atau bapa serta ahli keluarga hendaklah memberikan sokongan moral kepada isteri atau ibu. Kemurungan dan kesedihan boleh terjadi dan menjejaskan kesihatan isteri dan ini hendaklah dielakkan, jelas Dr. Jamiyah.

Menyedari hakikat ini, pihaknya merancang menubuhkan kumpulan sokongan untuk membantu ibu-ibu yang melalui pengalaman sedih atas kehilangan bayi. Bagaimanapun menurut Dr. Jamiyah, sekiranya ibu itu sudah sihat semula, maknanya dia sudah bersedia untuk mengandung lagi dan melahirkan anak yang normal asalkan dia menjaga kesihatannya.

Pihak doktor pula mengawasi kesihatan ibu dan ibu hendaklah datang berjumpa doktor secara berkala lebih-lebih lagi mendapati bayinya tidak bergerak lagi. Tidak ada istilah ‘bayi tidur’ sepanjang masa sewaktu kehamilan lebih-lebih lagi jika bayi itu sudah besar. Walaupun bayi yang melebihi tujuh bulan mempunyai ruang yang terhad untuk pergerakan tetapi ia mesti bergerak seperti biasa. Cuma kekuatan tendangan akan berkurangan kerana ia sudah membesar dan memenuhi hampir seluruh ruang rahim. Bayi yang normal akan bergerak lebih daripada 10 kali dalam masa 12 jam sehari. Bayi akan tidur di dalam kandungan tetapi tidak sepanjang masa.

Dr. Jamiyah juga menyarankan bakal ibu atau ibu menghadiri kelas-kelas untuk ibu hamil, bagi mendapatkan maklumat bukan sahaja mengenai kelahiran, penyusuan ibu malah lain-lain yang ada kaitannya dengan ibu dan anak.

“Kepada suami, berilah semangat dan kasih sayang terhadap isteri di samping anda sendiri juga perlu tabah dan berfikiran positif,” kata Dr. Jamiyah di akhir pertemuan itu.

Sumber: UtusanM’sia 25/09/2005

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...