PAGE

Isnin, Mac 24, 2008

Membina Hubungan Menantu Dengan Mentua

Oleh : Mohamad Yusoff Dasuki

Bagi sesetengah pasangan, permasalahan hubungan antara menantu dengan mentua seringkali menjadi punca timbulnya konflik antara suami dengan isteri. Meskipun di zaman ini sudah banyak pasangan yang tidak lagi tinggal serumah dengan mentua, namun hal tersebut bukan bererti bahawa masalah menantu-mentua tidak lagi terjadi. Hal ini mengingatkan kita bahawa sebagai anggota dari sebuah keluarga, maka mentua dan menantu pasti akan selalu bertemu dan saling berinteraksi, contohnya ketika pulang berhari raya atau ketika si datuk atau nenek berkunjung ke rumah anaknya untuk menjenguk cucu mereka.

Mentua dan ertinya dalam kehidupan berumah tangga

Suami atau isteri kepada seseorang adalah hasil daripada perkongsian hidup mentuanya di mana keadaan pasangan (suami ataupun isteri) yang terbentuk pada hari ini adalah hasil daripada proses sosialisasi yang telah dilalui oleh seseorang itu semasa bersama-sama dengan ibu bapanya.

Fungsi mentua ini sebenarnya sangat penting dalam kehidupan kerana daripada merekalah berbagai-bagai panduan dan nasihat berhubung dengan soal-soal rumah tangga boleh didapati. Ini kerana mereka terlebih dahulu menjalani kehidupan berumah tangga. Banyak pengalaman mereka yang boleh dijadikan panduan kepada anak-anak ataupun menantunya dalam mencapai kebahagiaan hidup berumah tangga.

Fenomena masyarakat pada zaman kini menunjukkan bahawa bilangan wanita telah berumah tangga dan bekerja terus meningkat. Isteri-isteri yang bekerja sering kali menghadapi masalah untuk mendapatkan pembantu rumah bagi menjaga anak-anak dan menguruskan kerja-kerja rumah. Maka, bagi menyelesaikan masalah tersebut, ramai yang telah meminta bantuan mentua mereka yang masih sihat untuk menjaga anak-anak mereka. Oleh itu, selain dapat mengurangkan beban, risiko keselamatan anak-anak juga akan terjamin apabila berada di bawah jagaan mentua.

Selain itu mentua juga merupakan pembantu terdekat apabila pasangan suami isteri itu menghadapi masalah mengenai kos perbelanjaan keluarga. Hal ini berlaku terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah atau pasangan baru mendirikan rumah tangga. Mereka menjadikan mentua sebagai sumber atau tempat mendapatkan bantuan kewangan. Malah tidak kurang juga dalam masyarakat kita mentua yang menghulurkan bantuan kewangan kepada anak-anak mereka yang telah berumah tangga demi menjamin kebahagiaan anak-anak mereka meskipun tidak dipinta.

Mentua: punca krisis rumah tangga?

“Siapa itu Kasim Selamat? Loyar? Majistret?”

“Ahli musik, mak.”

“Pantang keturunan aku ahli musik!”

Dialog ini memang begitu popular di mana ia dipetik daripada kisah “Ibu Mertuaku” lakonan allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Ia jelas menceritakan tentang sikap tidak baik seorang mentua terhadap menantunya. Ya, tidak dinafikan mentua juga boleh menjadi punca perselisihan antara suami isteri. Ada mentua yang cerewet dan selalu mencampuri urusan rumah tangga anak-anak mereka sehingga anak dan menantu bercerai-berai. Namun tidak dilupakan juga ia adalah berpunca daripada sikap anak itu sendiri yang terlalu bergantung dengan ibu bapa mereka sekalipun telah berumah tangga.

Kebergantungan tersebut sering membuat pasangan merasa, jengkel, marah, kesal, iri hati, cemburu serta bermacam emosi negatif lainnya di mana hal-hal kecik sekali pun dirujuk kepada mentua dan mengikut pilihan mentua. Pasangan tentu sekali akan merasa diabaikan, disingkirkan dan tidak dihargai kerana selalu berada di bawah bayang-bayang mentuanya. Pasangan akan merasa bahawa posisinya hanyalah sebagai pelengkap yang tidak penting dalam menentukan arah kehidupan keluarganya sendiri.

Dalam beberapa keadaan, kebergantungan si anak tersebut bersifat dua arah. Maksudnya, anak menjadi sumber sense or self dari orang tua (kerana kewujudan anak membuatkan dirinya merasa berguna, diperlukan) sehingga mereka intim terus berperanan sebagai orang tua yang menentukan kehidupan anaknya meskipun si anak tersebut telah dewasa dan berkeluarga. Kemungkinan juga, seseorang itu sejak anaknya masih kecil telah menanamkan sikap kebergantungan terhadap diri mereka sehingga anak mereka tidak tahu berdikari. Mereka telah bersikap over-protective dan terlalu dominan sehingga menimbulkan rasa kurang percaya terhadap diri sendiri dalam jiwa anak-anak. Mereka memandang bahawa dirinya tidak dapat berbuat apa-apa tanpa orang tua mereka.

Sikap mentua yang begini lambat laun boleh mengakibatkan berlakunya perceraian. Keadaan ini akan lebih ketara sekiranya pasangan tinggal serumah dengan mereka. Walau bagaimanapun kemungkinan mentua boleh menimbulkan kesan negatif ke atas diri pasangan tidak seharunya dijadikan alasan untuk tidak mewujudkan hubungan yang baik dan mesra antara menantu dengan mentua memandangkan kebaikan yang boleh diperolehi daripada mentua itu banyak sekali di mana terdapat kajian-kajian yang telah membuktikan hubungan baik dengan mentua boleh menyumbang ke arah mencapai kebahagiaan rumah tangga.

Persoalannya bagaimana cara menanganinya sehingga hubungan antara menantu dengan mentua dapat berlangsung secara harmoni?

Cara mewujudkan hubungan baik

Pada dasarnya penyelesaian sesuatu masalah adalah bergantung pada diri kita sendiri. Kitalah yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang sedang kita hadapi. Jika hanya menunggu pihak lain untuk bertindak, kemungkinan besar penyelesaiannya akan menjadi lebih rumit. Maka bagi mereka yang mengalami masalah dengan mentua atau menantu, ada baiknya meereka mempertimbangkan beberapa saranan berikut:

1. Berdamai dengan diri sendiri – ertinya menciptakan suasana tenang dalam diri sendiri dengan mendekatkan diri pada Allah SWT dan mengenepikan sebarang buruk sangka terhadap mentua. Alihkan fikiran secara total pada hal-hal yang positif. Ingatlah bahawa setiap perselisihan pasti melibatkan lebih dari seorang dan dalam hal ini tidak ada manusia yang dapat lari daripada melakukan kesilapan. Oleh sebab itu, jika sebelumnya kita cenderung memikirkan setiap hal secara negatif dan selalu menyalahkan orang lain, maka sekarang belajarlah sedikit demi sedikit melihat sesuatu permasalahan secara objektif.

Mulakan dengan mengubah pola pemikiran kita sendiri. Ingatlah ungkapan yang mengatakan: “change your thoughts and you will change your world”. Hal ini berkait rapat kerana pasangan yang mempunyai sikap prejudis di dalam diri mereka akan terpengaruh dengan sikap tersebut di mana terdapat pasangan yang dari awal-awal perkahwinan lagi telah menunjukkan sikap yang negatif terhadap mentua. Sebagai contoh masyarakat selalu melemparkan persepsi yang salah terhadap mentua seperti: mentua harus dijauhi dan tidak perlu diwujudkan hubungan baik dengannya, mentua tidak boleh dibawa tinggal bersama ataupun menantu tidak boleh tinggal di rumah mentua dan berbagai-bagi prasangka yang lain. Persepsi yang tidak baik ini jika tertanam dalam pemikiran seseorang akan menyebabkan mentua mereka berkecil hati dan mudah tersinggung.

2. Mulailah belajar untuk memahami beberapa perkara seperti:

Setiap keluarga mempunyai budayanya sendiri begitu juga antara menantu dan menantu dan mentua tentunya memiliki budaya keluarga yang berbeza. Yang dimaksud dengan budaya keluarga di sini adalah latar belakang yang seringkali sangat jauh berbeza, sama ada yang menyentuh hal-hal berkenaan tempat tinggal atau pun pengalaman peribadi yang selama ini menjadi pegangan, didikan dan kebiasaan dalam sesebuah keluarga di mana segalanya ini tentu sekali akan membentuk karaktor, sikap dan pembawaan seseorang individu dalam menjalani kehidupan sehariannya dan dalam menghadapi sesuatu masalah.

Dengan lain perkataan, asuhan orang tua atau pun kualiti hubungan yang terjalin antara orang tua dengan anaknya merupakan factor penting yang boleh mempengaruhi kualiti perkahwinan seseorang di masa akan datang. Hal ini mencakupi perihal pemilihan pasangan, pola interaksi komunikasi suami-isteri dan anak-anak, sikap terhadap pasangan dan persepsinya terhadap peranannya dalam keluarganya. Dengan itu jika proses sosialisasi dengan orang tuanya tidak begitu baik, segala emosi negatif dari mas lalu akan terbawa-bawa dalam kehidupan rumahtangganya, baik terhadap diri sendiri, pasangannya dan terhadap makna perkahwinan itu sendiri.

3. Menyamakan pasangan dengan ibu atau bapa sendiri

Seringkali tanpa sedar seseorang akan mencari pasangan dan mentua yang seperti ibunya dan bapanya. Mereka mengharapkan agar pasangannya dan mentuanya memperlakukan dirinya seperti perlakuan ayah dan ibu terhadapnya. Harapan tersebut pada dasarnya tidaklah wajar kerana ia akan mendatangkan masalah yang besar dalam rumahtangga. Sebaliknya menantulah yang harus mengalah dan melayani mentua mereka seperti ibu bapa mereka sendiri selaku orang yang lebih tua daripada mereka bahkan kedudukan mentua sebenarnya adalah sama seperti ibu dan bapa sendiri. Menderhaka kepada mentua samalah seperti menderhaka kepada ibu bapa sendiri. Menantu juga hendaklah menunjukkan sikap bertolak ansur dengan mentua. Mentua seperti individu lain tentunya memiliki sifat kekurangan dan kelebihan tersendiri. Segala sifat mentua ini hendaklah diterima oleh menantu dengan lapang dada.

Kesimpulan

Sesungguhnya mentua adalah orang tua yang membesarkan pasangan kita dan mempunyai pengaruh yang besar dalam hidupnya. Mentua kitalah yang membentuk pasangan kita hingga menjadi peribadi yang mahu mencintai dan menerima diri kita. Oleh itu keserasian dengan mentua adalah antara faktor penting dalam mewujudkan kebahagiaan rumahtangga. Hormatilah mentua sebagaimana kita menghormati kedua-dua ibu bapa kita iaitu dengan mewujudkan sistem komunikasi yang baik. Ini penting kerana ia bakal menjadi contoh kepada anak-anak apabila mereka menjalani kehidupan berumahtangga kelak. Janganlah membalas sakit hati kita dengan melakukan sesuatu yang tidak baik kepada mentua. Percayalah rasa hormat yang kita tunjukkan itu akan membuatkan mereka merasakan diri mereka dihargai dan diterima oleh menantu mereka. Dengan demikian hubungan baik dan mesra antara menantu dengan mentua akan mudah terjalin.

Sumber: www.islam.gov.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...