PAGE

Isnin, Mac 17, 2008

Perihal Talak

Olahan: Marzulina Omar, JAKIM

Pembentukan keluarga yang berjaya ialah yang mampu mengikat perasaan suami isteri dengan ikatan yang saling mengerti antara satu sama lain. Ikatan yang melahirkan suasana bahagia dengan hiasan cahaya mata yang menjadikan kehidupan rumah tangga aman sejahtera dan bahagia.

Kebahagiaan rumah tangga bergantung kepada kedamaian. Tanpa kedamaian, kehidupan berumah tangga tiada ertinya. Malah ia akan menjadi suatu gelanggang permusuhan dan pergaduhan di antara suami dan isteri. Bila perkara ini berlaku sudah tentu sebuah rumah tangga tersebut terdedah kepada kehancuran. Maka bagi mewujudkan kedamaian rumah tangga, tanggungjawab adalah kunci yang paling utama di mana tanggungjawab tersebut bukan sahaja terbatas sekadar menyediakan tempat tinggal dan memenuhi segala tuntutan fizikal seperti pakaian, makan minum, kenderaan dan sebagainya. Malah tanggungjawab yang lebih khusus dan lebih utama ialah memberi kasih sayang, menjaga hati dan perasaan pasangan. Oleh itu Islam mengadakan undang-undang yang lengkap bermula daripada seseorang itu merancang hendak berkahwin hinggalah ke peringkat perceraian sekiranya hubungan suami isteri itu tidak dapat diperbaiki lagi.

Perkahwinan dan Perceraian

Perkahwinan : Perkahwinan merupakan satu komitmen yang serius di antara lelaki dan perempuan untuk hidup bersama sepanjang hayat. Tujuan berumah tangga ialah untuk “mencari ketenangan dan kedamaian di dalam hidup” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Memandangkan perkahwinan dan pembentukan keluarga ini sangat penting maka perkahwinan tidak boleh dianggap sebagai suatu perkara yang mudah dan ringan kerana kewajipan yang dipertanggungjawabkan adalah sangat besar. Oleh itu setiap pasangan yang hendak berkahwin terutama yang masih muda hendaklah disedarkan apakah dia sudah layak untuk berumah tangga atau mampu untuk berkahwin? Sudahkah bersedia dengan ilmu pengetahuan?

Sekurang-kurangnya sekadar yang patut diketahui oleh bakal seorang suami atau isteri, kewajipan menjadi seorang suami contohnya, hukum hakam yang berkaitan dengan soal suami isteri dan tatasusila hidup berkeluarga. Kedamaian hidup berumah tangga mestilah diatur sejak di awal perkenalan iaitu mesti diselidiki latar belakang pasangan di peringkat pemilihan pasangan lagi.

Sekiranya pihak lelaki atau wanita mengikut kriteria yang dianjurkan oleh Islam, insya Allah akan ada kerukunan dalam perkahwinan. Selain itu pasangan yang ingin berkahwin juga hendaklah memahami dengan sebenarnya apakah tujuan di sebalik sesuatu perkahwinan tersebut. Andainya perkahwinan itu sekadar memenuhi tuntutan nafsu dan melayan kehendak tanpa memikirkan tujuan yang sebenarnya, maka perkahwinan tersebut akan lebih terdedah kepada kehancuran. Justeru, bagi menjamin keharmonian, sesebuah keluarga Islam mestilah mempunyai kekuatan iman dan taqwa, pengetahuan dan tatacara hidup serta akhlak yang mulia.

Perceraian/talak : Cerai atau disebut juga sebagai talak mempunyai dua pengertian, dari segi bahasa bermaksud melepaskan ikatan, manakala dari segi syarak ialah melepaskan ikatan pernikahan dengan lafaz tertentu. Islam memberikan kuasa talak kepada pihak suami manakala pihak isteri juga boleh menuntut perceraian dalam bentuk-bentuk lain sama ada secara khuluk (tebus talak), fasakh dan taklik melalui saluran Mahkamah Syariah. Ada tiga jenis talak yang perlu diketahui oleh setiap pasangan suami isteri.

i) Talak Soreh iaitu talak yang jelas dan nyata. Contohnya suami telah berkata: Aku jatuhkan kamu dengan talak satu; atau seumpamanya.

ii) Talak Kinayah iaitu talak yang memerlukan kepada niat di mana ada kalanya lafaz yang diucapkan itu berbeza-beza tetapi niatnya memang hendak menceraikan isterinya. Contohnya suami berkata kepada isterinya: Engkau tidak boleh aku gunakan lagi; atau kata-kata yang seumpamanya.

iii) Talak Taklik iaitu talak yang bergantung kepada sesuatu perkara atau perbuatan. Contohnya suami berkata: Jika engkau keluar dari rumah ini, engkau aku talakkan dengan talak satu. Ia juga boleh berlaku apabila suami berkata: Kalau aku kahwin lagi satu, engkau aku talak.

Sebagaimana cerai yang menunjukkan keterbukaan Islam dalam menyelesaikan konflik rumah tangga begitulah juga Islam bersikap terbuka dalam menyelamatkan sesebuah rumah tangga di mana telah disyariatkan adanya tempoh iddah yang antaranya bertujuan untuk menilai kembali kesilapan, menimbulkan penyesalan kerana keterlanjuran bertindak dan membolehkan pasangan suami isteri menyambung ikatan kasih sayang mereka sebagaimana sebelumnya melalui rujuk.

Firman Allah SWT yang bermaksud, "Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali, setelah itu bolehlah ia (rujuk dan) dipegang terus (isterinya) dengan cara yang sepatutnya (makruf) atau dilepaskannya (menceraikannya) dengan cara yang baik." (Surah al-Baqarah, ayat 229)

Faktor perceraian

“Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.”

Sebenarnya ramai pasangan suami isteri tidak mencapai tujuan perkahwinan yang sebenarnya dalam erti kata tidak ada kebahagiaan rumah tangga. Pelbagai bentuk konflik dihadapi dalam ikatan perkahwinan mereka di mana konflik yang dilalui ini andainya tidak dapat diatasi pasti memaksa sesuatu pasangan terbabit mencari jalan muktamad iaitu bercerai yang memansuhkan ikatan perkahwinan.

Berdasarkan aduan yang diterima oleh Unit Perunding dan Pembangunan Keluarga di beberapa Jabatan Agama Islam di negara ini, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya perceraian seperti:

i) Salah seorang pasangan atau kedua-duanya meneruskan kebiasaan tingkah laku dan sikap yang tidak sesuai dengan alam perkahwinan. Bertindak bersendirian tanpa mengambil kira kesan kepada pasangan atau perkahwinan. Membiarkan pasangan membuat tindakan secara sendirian.

ii) Penguasaan kefahaman terhadap agama berhubung dengan kehidupan suami isteri kurang atau keluar daripada tuntutan Islam sebenar (kesan kepada nilai dan personaliti).

iii) Pengurusan ekonomi rumah tangga tidak diuruskan mengikut konsep kehidupan berumah tangga Islam iaitu berkongsi, bertolak ansur dan mengutamakan yang utama.

iv) Pengurusan cara hidup keluar dari kawalan sosial dan syariat Islam seperti minum arak, judi, menyalahgunakan dadah, berzina dan sebagainya.

v) Pengurusan hubungan dan komunikasi dengan pasangan dan keluarga tidak lancar seperti mengutamakan diri atau keluarga sendiri lebih daripada pasangan atau keluarga pasangan. Tidak mengambil berat terhadap kesihatan, kebajikan pendidikan dan keperluan emosi ahli keluarga.

vi) Menghadapi masalah peribadi yang tidak dapat dikongsi bersama pasangan, mempunyai personaliti mendekat menjauh atau menjauh menjauh seperti pemarah (emosional), cemburu buta, mendera dan mementingkan perasaan sendiri.

vii) Salah seorang pasangan menghadapi masalah kesihatan seperti penyakit yang menghalang berlaku hubungan jenis dalam jangka masa yang terlalu lama, mempunyai nafsu seks yang terlalu tinggi atau lemah.

viii) Gagal mengimbangi tumpuan perhatian serta masa kepada pasangan dan rumah tangga, lebih mementingkan kerjaya atau lain-lain kegiatan luar rumah. Tidak dapat memahami budaya kerja pasangan.

ix) Pasangan tidak dapat mengawal pengaruh luaran daripada pergaulan (kawan-kawan), persekitaran dan keluarga dalam membentuk atau mencorak kehidupan suami isteri.

Bentuk-bentuk konflik

Terdapat tiga bentuk konflik yang biasa dihadapi oleh pasangan iaitu:

i) Nusyuz – dilakukan oleh salah seorang daripada pasangan. Dapat dikesan melalui komunikasi pasangan seperti muka kelihatan masam, wajah selamba atau tidak mahu bertentangan masa. Bercakap dengan kasar atau tidak mahu bertegur sapa, pura-pura tidak mendengar atau berkomunikasi melalui perantaraan. Tidak menghiraukan pasangan, mengelak istimta’ dan bersetubuh. Tidak berlaku adil dalam poligami sedangkan pasangan yang seorang lagi adalah orang yang berakhlak baik dalam pergaulan dengan pasangannya. Bersikap atau tingkahlaku yang membawa nusyuz kepada pasangannya.

ii) Syiqaq – Perselisihan faham suami isteri yang sudah sampai ke tahap saling cerca-mencerca serta pukul memukul.

iii) Dharar – Penganiayaan suami kepada isteri sedangkan isteri adalah wanita yang baik akhlaknya.

Cara menangani konflik rumah tangga:

i) Mengelak keadaan yang boleh menimbulkan konflik sebagai langkah mencegah berlakunya konflik.

ii) Mengadakan proses menyelesaikan masalah mengikut punca, bentuk dan tahap konflik yang dihadapi oleh pasangan.

Menghindari konflik:

Walaupun perceraian adalah suatu perbuatan yang diharuskan oleh syarak, namun menghindarinya punca berlakunya perceraian (konflik) adalah langkah yang paling bijak antaranya ialah:

i) Mengesan perubahan di peringkat awal dengan memerhatikan air muka, gerak-geri dan percakapan.

ii) Elakkan dari bersangka buruk terhadap pasangan.

iii) Apabila menyedari terdapat isu-isu atau masalah yang berpotensi untuk mengeruhkan hubungan suami isteri segera tanganinya tanpa menyimpan sehingga menjadi banyak masalah dan melewat-lewatkan tindakan sehingga keadaan menjadi bertambah parah.

iv) Apabila menyedari kelemahan atau kesilapan pasangan, bantu pasangan untuk membuat perubahan atau baiki kesilapan. Berikan motivasi.

v) Apabila berhadapan dengan sesuatu isu atau masalah, pasangan perlu menyatakan pendapat secara terbuka, tidak mengkritik pasangan atau menyerang pasangan. Buatlah perbincangan dengan sikap tolak ansur.

vi) Dalam pergaulan, pasangan hendaklah menyelaraskan kehendaknya yang inginkan rumah tangga bahagia dan harmoni serta bertimbang rasa dan bersikap terbuka, sedia menerima pandangan pasangan terhadap dirinya. Tidak cepat melenting dan sentiasa meminta maaf bila menyedari kesalahan sendiri. Tunjukkan kasih mesra yang ikhlas dengan mencari kekuatan dalam hubungan suami isteri.

vii) Tidak mendapatkan nasihat atau panduan daripada mereka yang tidak mempunyai kepakaran atau tidak menyukai diri suami atau isteri.

viii) Amalkan teknik komunikasi berkesan dalam pergaulan suami isteri.

Prosedur Perceraian

Adalah disyorkan bahawa sebaik-baiknya perceraian itu hanya menjadi pilihan terakhir jika semua cara penyelesaian lain menemui jalan buntu. Manakala perceraian itu pula hendaklah dilakukan dengan makruf di mana perceraian itu tidak sepatutnya digunakan untuk menjatuhkan martabat isteri.

Islam telah menetapkan peraturan perceraian dengan begitu halus dan teliti agar tidak ada mana-mana pihak yang teraniaya di mana setiap negeri di Malaysia menggunakan enakmen atau akta undang-undang keluarga Islam masingmasing. Contohnya dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 47:

(1) Seseorang suami atau seseorang isteri yang hendak bercerai hendaklah menyerahkan suatu permohonan untuk perceraian kepada Mahkamah dalam borang yang ditetapkan, disertai dengan satu akuan mengandungi butir-butir mengenai perkahwinan itu dan nama, umur dan jantina anak-anak, jika ada, hasil daripada perkahwinan itu;

i) Butir-butir mengenai fakta-fakta yang memberi bidangkuasa kepada Mahkamah di bawah Seksyen 45;

ii) Butir-butir mengenai apa-apa prosiding yang dahulu mengenai hal ehwal suami isteri antara pihak-pihak itu, termasuk tempat prosiding itu;

iii) Suatu pernyataan tentang sebab-sebab hendak bercerai;

iv) Suatu pernyataan tentang sama ada apa-apa, dan jika ada, apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk mencapai perdamaian;

v) Syarat apa-apa perjanjian berkenaan dengan nafkah dan tempat kediaman bagi isteri dan anak-anak dari perkahwinan itu, jika ada, peruntukan bagi pemeliharaan dan penjagaan anak-anak dari perkahwinan itu, jika ada, dan pembahagian apa-apa aset yang diperolehi melalui usaha bersama pihak-pihak itu, jika ada, jika tiada sesuatu persetujuan tersebut telah tercapai, cadangan pemohon mengenai hal-hal itu; dan

vi) Butir-butir mengenai perintah yang diminta.

(2) Selepas menerima sesuatu permohonan untuk perceraian, Mahkamah hendaklah membuat satu saman untuk diserahkan kepada pihak yang satu lagi itu bersama dengan satu salinan permohonan itu dan akuan berkanun yang dibuat oleh pemohon, dan saman itu hendaklah mengarahkan pihak yang satu lagi itu hadir di hadapan Mahkamah untuk membolehkan Mahkamah menyiasat sama ada pihak yang satu lagi itu bersetuju atau tidak terhadap perceraian itu.

(3) Jika pihak yang satu lagi itu bersetuju terhadap perceraian itu dan Mahkamah berpuashati selepas penyiasatan yang wajar bahawa perkahwinan itu telah pecahbelah dengan tidak dapat dipulihkan maka Mahkamah hendaklah menasihatkan suami supaya melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah.

(4) Mahkamah hendaklah merekodkan hal satu talaq itu, dan hendaklah menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftara untuk didaftarkan.

(5) Jika pihak yang satu lagi itu tidak bersetuju terhadap perceraian itu atau jika Mahkamah berpendapat bahawa ada kemungkinan yang munasabah bagi suatu perdamaian antara pihak-pihak itu, Mahkamah hendaklah dengan seberapa segera yang boleh melantik suatu jawatankuasa pendamai terdiri daripada seorang pegawai Agama sebagai pengerusi dan dua orang lain, seorang untuk seorang lagi bagi isteri, dan merujuknya kepada jawatankuasa itu.

(6) Pada melantik dua orang itu di bawah seksyen kecil (5), Mahkamah hendaklah, jika boleh, memberi keutamaan kepada saudara-saudara karib pihak-pihak itu yang tahu akan hal keadaan kes itu.

(7) Mahkamah boleh memberi arahan-arahan kepada jawatankuasa pendamai dan ia hendaklah menjalankannya.

(8) Jika jawatankuasa itu tidak bersetuju atau jika Mahkamah tidak berpuashati tentang cara ia menjalankan perdamaian, Mahkamah boleh memecat jawatankuasa itu dan melantik jawatankuasa lain menggantikannya.

(9) Jawatankuasa itu hendaklah berusaha mencapai perdamaian dalam tempoh enam bulan dari tarikh ia dibentuk atau dalam tempoh yang lebih lama tidak sebagaimana yang dibenarkan oleh Mahkamah.

(10) Jawatankuasa itu hendaklah meminta pihak-pihak terbabit hadir dan hendaklah memberi tiap-tiap seorang dari mereka peluang untuk didengar dan membuat apa-apa penyiasatan yang difikirkan patut dan boleh, jika ia fikirkan perlu, menangguhkan prosidingnya dari semasa ke semasa.

(11) Jika jawatankuasa pendamai itu tidak dapat mencapai perdamaian dan tidak dapat memujuk pihak itu supaya hidup semula bersama sebagai suami isteri, jawatankuasa itu hendaklah mengeluarkan suatu perakuan tentang hal yang sedemikian itu dan boleh melampirkan pada perakuan itu apa-apa syor yang difikirkannya patut berkenaan dengan nafkah dan penjagaan anak-anak belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada, berkenaan dengan pembahagian harta, dan berkenaan dengan hal-hal lain berhubung dengan perkahwinan itu.

(12) Tiada seseorang peguambela dan peguamcara boleh hadir atau bertindakan bagi mana-mana pihak dalam sesuatu prosiding di hadapan sesuatu jawatankuasa pendamai dan tiada sesuatu pihak prosiding di hadapan sesuatu jawatankuasa pendamai dan tiada sesuatu pihak boleh diwakili oleh sesiapa jua, selain daripada seorang ahli keluarganya yang karib, tanpa kebenaran jawatankuasa pendamai itu.

(13) Jika jawatankuasa itu melaporkan kepada Mahkamah bahawa perdamaian telah tercapai dan pihak-pihak itu telah hidup semula bersama sebagai suami isteri, Mahkamah hendaklah menolak permohonan untuk perceraian itu.

(14) Jika jawatankuasa mengemukakan kepada Mahkamah suatu perakuan bahawa ia tidak dapat mencapai perdamaian dan tidak dapat memujuk pihak-pihak itu supaya hidup semula bersama sebagai suami isteri, Mahkamah hendaklah menasihatkan suami yang berkenaan itu melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah, dan jika Mahkamah tidak dapat mendapatkan suami itu hadir di hadapan Mahkamah untuk melafazkan satu talaq, atau jika suami itu enggan melafazkan satu talaq, maka Mahkamah hendaklah merujuk kes itu kepada Hakam untuk tindakan menurut seksyen 48. (15) Kehendak seksyen-kecil (5) tentang rujukan kepada suatu jawatankuasa pendamai tidak dipakai dalam sesuatu kes di mana pemohon mengatakan bahawa ia telah ditinggal langsung oleh pihak yang satu lagi dan tidak tahu di mana pihak yang satu lagi itu berada;

i) Di mana pihak yang satu lagi itu bermastautin di luar Malaysia Barat dan ianya tidak mungkin masuk ke dalam bidangkuasa Mahkamah yang berkenaan itu dalam masa enam bulan selepas tarikh permohonan itu;

ii) Di mana pihak yang satu lagi itu sedang di penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;

iii) Di mana pihak pemohon mengatakan bahawa pihak yang satu lagi itu sedang mengidap penyakit otak yang tak boleh sembuh; dan

iv) Di mana Mahkamah berpuas hati bahawa ada hal keadaan yang luarbiasa yang menyebabkan rujukan kepada suatu jawatankuasa pendamai tidak praktik.

(15) Kecuali sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen kecil.

(16) Sesuatu talaq yang dilafazkan oleh suami atau sesuatu perintah yang dibuat oleh Mahkamah tidak boleh berkuatkuasa sehingga tamat tempoh ‘iddah.

(17) Jika isteri hamil pada masa talaq itu dilafazkan atau pada masa perintah itu dibuat, talaq atau perintah itu tidak boleh berkuatkuasa sehingga berakhir kehamilan itu.

Oleh itu jika prosedur perkahwinan mesti didaftarkan maka perceraian juga mestilah melalui saluran mahkamah serta didaftarkan. Kegagalan berbuat demikian membolehkan pasangan dikenakan penalti oleh mahkamah. Semua ini bertujuan untuk memelihara pasangan agar tidak mempermudahkan talaq selain memudahkan isteri menuntut hak-hak selepas perceraian atau membuat isteri apabila ingin berkahwin lain apabila tamatnya tempoh iddah.

Hukum perceraian melalui sistem pesanan ringkas (SMS)

Perceraian merupakan kata-kata yang senang dilafazkan oleh sesiapa jua pun. Janji manis di alam percintaan sehingga membawa ke alam rumah tangga kenikmatannya dirasai sekejap sahaja. Telah banyak kedengaran pada hari ini pada suami mempermainkan perkataan talaq atau cerai kepada isterinya disebabkan kejahilannya dalam pengetahuan tersebut (tidak memahami hukum agama).

Manakala di pihak isteri pula tidak kurang juga yang lantang menuntut cerai daripada suami tanpa memikirkan akibat yang akan menimpa dirinya atau anak-anaknya. Sedangkan menuntut cerai kepada suami tanpa ada sebab yang harus di sisi syarak adalah haram sebagaimana maksud hadis Rasulullah SAW yang bersabda: “Wanita manapun yang menuntut cerai kepada suaminya tanpa ada sebab yang syari’i maka haram baginya bau syurga.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Malah baginda menegaskan lagi dalam hadisnya yang lain yang maksudnya: “Perbuatan halal yang sangat-sangat dimurkai Allah ialah talak (perceraian).”

Manakala Allah SWT pula ada berfirman yang maksudnya, “Dan bergaullah dengan mereka (isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci (disebabkan tingkah lakunya) janganlah pula kamu terburu-buru menceraikannya, kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu.” (Surah an-Nisaa’, ayat 19)

Sesungguhnya persoalan-persoalan baru mengenai perkembangan moden yang ada kaitannya dengan hukum munakahat Islam memerlukan ijtihad semasa. Samalah jua dengan senario cerai melalui SMS baru-baru ini yang menimbulkan polemik yang pelbagai di kalangan masyarakat.

Isu ini menjadi lebih hangat apabila pihak media turut memberi tumpuan terutama apabila Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur yang mengesahkan dan mensabitkan perceraian pasangan suami isteri Shamsuddin Latif dan Azida Fazlina Abdul Latif yang dikirimkan melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS). Ekoran daripada itu Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke 55 yang bersidang pada 27 Julai 2003 telah membuat penelitian mendalam dan memberi pandangan mengenai hukum perceraian melalui SMS sebagaimana berikut:

i) Talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimili, SMS, e-mail dan sebagainya merupakan talak berbentuk kinayah dan adalah sah sekiranya disertai dengan niat.

ii) Semua perceraian perlu dikemukakan ke Mahkamah Syariah untuk mensabitkan talak tersebut.

iii) Talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden adalah perceraian yang tidak menepati adab perceraian yang digariskan oleh syarak.

Apabila berlaku situasi sebegini, ke mana pasangan perlu pergi untuk menyelesaikan masalah itu? Jawapannya, pihak isteri atau suami perlu membawa kes ke mahkamah syariah untuk mengesahkan kedudukan lafaz itu. Mereka tidak boleh mendiamkan diri atau memutuskan sendiri kes itu sama ada suami mengatakan ada niat atau tiada niat dan sebagainya. Hanya mahkamah syariah yang ada kuasa untuk mendengar dan memutuskan pertikaian sebegini sekali gus mensabitkan atau tidak mensabitkan perceraian antara pasangan terbabit.

Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Negeri Selangor 2003 (EUKIS 2003) memperuntukkan seseorang yang menceraikan isterinya dengan lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, hendaklah dalam masa tujuh hari daripada talak dilafazkan, melaporkan kepada mahkamah.

Selepas itu, mahkamah hendaklah mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada talak yang dilafazkan itu sah mengikut hukum syarak. Jika mahkamah berpuas hati bahawa talak yang dilafazkan sah mengikut hukum syarak, maka mahkamah hendaklah membuat perintah membenarkan perceraian dengan talak, merekodkan perceraian itu dan menghantar salinan rekod kepada pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar bagi pendaftaran.

Kita semua perlu melihat bahawa semua urusan perkahwinan, perceraian dan rujuk adalah suatu yang penting dalam Islam. Apabila seseorang berkahwin secara baik dan terhormat, membuat kenduri dengan begitu meriah, maka apabila perkahwinan tidak dapat diselamatkan, sewajarnya perceraian dilakukan dengan baik dan terhormat, bukan menggunakan SMS dan sebagainya. Sungguh tidak beradab orang yang berkahwin dengan penuh kebesaran dan keriuhan tetapi mengakhiri perkahwinannya dengan menggunakan kaedah SMS.

Kesimpulan

Sesungguhnya dalam menjalani kehidupan berumah tangga sesiapapun tidak dapat lari daripada kemungkinan menghadapi ujian atau konflik. Tetapi pasangan yang sering kali menghadapi konflik dalam rumah tangga menunjukkan bahawa kemungkinan mereka tidak pernah memikirkan secara serius berhubung dengan perkembangan dan kehidupan normatif yang berlaku dalam rumah tangga mereka sedangkan penilaian dalam kehidupan berumah tangga perlu selalu dilakukan.

Persoalan-persoalan seperti: “Adakah pasangan saya berpuas hati dengan keadaan perjalanan rumah tangga saya sekarang ini?” harus sentiasa dipersoalkan. Kehambaran dalam perkahwinan akan mula dirasai apabila pertelingkahan sering timbul akibat daripada tidak seriusnya individu untuk berbincang rasa tidak puas hati di antara satu sama lain.

Hakikatnya kecekapan suami dan kebijaksanaan isteri amat diperlukan di mana dalam setiap perkahwinan perlu mempunyai matlamat di mana seorang suami atau isteri wajib menambah dan mendalami ilmu mengenai kekeluargaan di samping berusaha menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan penuh amanah demi memelihara keteguhan rumah tangganya di mana bagi seorang suami yang menjadi ketua keluarga hendaklah lebih berhati-hati dalam menggauli isteri mereka kerana wanita itu dicipta daripada tulang rusuk kiri lelaki yang bengkok, maknanya jika dibiarkan sikap isteri yang tidak elok, maka sikap itu akan kekal selama-lamanya. Lantaran itu dalam memberi nasihat kepada isteri, hendaklah secara psikologi dan lemah lembut sehingga yang bengkok akan lurus. Sebaliknya jika menggunakan kekerasan, maka tulang yang bengkok itu akan mudah patah.

Dengan lain perkataan jika lemah seorang pemimpin itu maka lemahlah struktur kepimpinannya. Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Awas! Kamu semua adalah pemimpin, bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Ketua negara adalah pemimpin, bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Lelaki adalah pemimpin keluarganya, isteri adalah pemimpin di dalam rumah suaminya, bertanggungjawab terhadap suami dan anaknya. Dan hamba adalah pengurus harta tuannya, bertanggungjawab terhadap rakyat di bawah pimpinannya masing-masing.”

Kempen yang dijalankan oleh kerajaan dalam mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan ‘Utamakan Keluarga: Semakin Hari Semakin Sayang’ seharusnya disambut di mana kedua belah pihak mestilah sensitif dalam mengekalkan kerukunan rumah tangga, lebih banyak bersabar dalam menelan pahit maung kehidupan, membesarkan anak-anak dan dalam menghadapi kerenah pasangan yang tidak menyenangkan. Mereka mestilah pandai mengambil hati antara satu sama lain supaya tidak wujud ketegangan yang memungkinkan perceraian kerana perceraian merupakan satu padah yang amat malang bagi sesebuah rumah tangga. Akibat daripada perceraian bukan sahaja melibatkan pasangan suami isteri, tetapi melibatkan anak-anak dan hubungan antara keluarga.

Sumber: JAKiM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...