Ramai ibu bapa amat ghairah menekankan pendidikan akademik kepada kanak-kanak sehingga terlupa bahawa kanak-kanak memerlukan kebebasan untuk bergaul dan bermain bersama rakan-rakan. Islam menggalakkan ibu bapa mendidik anak-anak supaya menyesuaikan diri dengan rakan-rakan yang berbeza taraf hidup dan kedudukan.
Sikap mengurung anak-anak di rumah kerana ingin menghasilkan anak-anak yang cemerlang dalam akademik dalam umur yang begitu muda adalah bertentangan dengan fitrah ciptaan kanak-kanak.
Kebijaksanaan dan kecemerlangan seseorang adalah berdasarkan kepada pendedahan dan pengalaman hidup sejak dari alam kanak-kanak sehingga dewasa. Jika anak-anak dididik dan dibesarkan dengan ilmu akademik dan tidak didedahkan kepada alam persekitaran, keagamaan dan pergaulan dengan rakan-rakan maka beliau tidak mampu untuk menyesuaikan diri apabila terdedah kepada suasana yang begitu bebas dan tidak terbatas.
Psikologi kanak-kanak perlu difahami oleh kedua-dua ibu bapa jika mereka ingin melihat kejayaan anak-anak mereka. Cara Rasulullah SAW mendidik dan memelihara Aisyah, isterinya yang termuda perlu dijadikan panduan oleh umat Islam. Apabila baginda berkahwin dengan Aisyah, umurnya ketika itu baru menjangkau tujuh tahun dan masih bermain dengan anak patung.
Baginda memberi kebebasan kepada Aisyah bergaul dengan rakan-rakannya sehingga bunyi riuh-rendah dalam rumah baginda kerana Aisyah ghairah bernyanyi bersama rakan-rakannya. Apabila Abu Bakar melalui rumah Rasulullah beliau mendengar Aisyah dan rakan-rakannya menyanyi dan membuat bising lalu beliau masuk ke rumah baginda dan memarahi Aisyah. Rasulullah SAW memberitahu Abu Bakar bahawa Aisyah berhak menunaikan haknya sebagai kanak-kanak dan bergembira bersama rakan-rakannya.
Kecemerlangan kanak-kanak bukan hanya sekadar dalam akademik sahaja. Pemikiran kanak-kanak akan berkembang secara sihat dan cemerlang apabila mereka didedahkan kepada persekitaran.
Ketika ini ibu bapa perlu memainkan peranan penting mengasuh kanak-kanak memahami erti kehidupan dalam konteks alam kanak-kanak. Imam al-Ghazali menggalakkan umat Islam supaya mendidik anak-anak memahami perasaan rakan-rakan mereka.
Anak-anak orang kaya perlu bergaul dengan anak-anak orang miskin supaya mereka dapat memahami bahawa dalam dunia ini ada manusia yang memerlukan pertolongan.
Melalui pergaulan seperti ini kanak-kanak akan membesar secara sihat dan bijaksana. Apabila mereka menjadi pemimpin maka mereka akan menumpukan sepenuh perhatian kepada kebajikan masyarakat bukan untuk mengaut kekayaan kerana jiwa mereka telah sebati dengan jiwa masyarakat.
Ibu bapa yang tidak bergaul dengan masyarakat dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap didikan anak-anak di rumah sehingga anak-anak tidak bebas bergaul dengan rakan-rakan di luar rumah adalah bertentangan dengan konteks kehidupan umat Islam.
Mereka hanya berjaya mendidik anak- anak menjadi cemerlang dalam akademik sehingga mengagumkan orang lain. Hakikatnya, mereka tidak menyedari bahawa sikap mereka boleh menyebabkan anak-anak menghadapi kejutan budaya apabila terdedah kepada alam sekular yang terlalu bebas.
Sikap terlalu mengutamakan pelajaran akademik sehingga menyebabkan kanak-kanak tidak mempunyai peluang untuk bergaul dengan rakan-rakan adalah bertentangan dengan konsep kemanusiaan kerana manusia dicipta sebagai 'makhluk yang hidup bermasyarakat'.
Alam kanak-kanak adalah satu alam yang indah di mana kanak-kanak sama ada miskin atau kaya terlalu gembira apabila dikerumuni oleh rakan-rakan.
Apabila kanak-kanak tidak dibenarkan bergaul dan bergembira bersama kanak-kanak lain maka kehidupan mereka berada dalam alam yang derita. Perasaan demikian tersemat dalam hati nurani mereka.
Ketika mendapat kebebasan dan di luar kawalan ibu bapa, mereka gagal untuk mengimbangi kehidupan sosial dengan kehandalan ilmu akademik yang dimiliki oleh mereka. Ini adalah dilema yang dihadapi oleh Sufiah Yusof yang terkenal sebagai gadis pintar.
Dalam keadaan sedemikian adalah sukar untuk umat Islam dari negara lain mencampuri urusan peribadi Sufiah kerana beliau merupakan rakyat Britain. Perlembagaan Britain memberi kebebasan sepenuhnya kepada remaja berumur lapan belas tahun menikmati hak kebebasan mereka.
Ibu bapa tidak mempunyai hak untuk mencampuri urusan peribadi mereka. Pelacuran merupakan salah satu sumber pendapatan yang diiktiraf oleh perlembagaan British.
Bagi Sufiah yang tidak mempunyai pendidikan dan kesedaran agama melibatkan diri dalam pelacuran merupakan sumber pendapatan baginya. Beliau tidak merasai bersalah kerana kegiatan tersebut merupakan sesuatu yang lumrah dilakukan oleh pelajar wanita di negara Barat.
Kegiatan tersebut juga telah menular ke negara ini. Terdapat pelajar-pelajar wanita dari universiti tempatan juga menjadikan kegiatan pelacuran sebagai sumber pendapatan untuk kehidupan mewah dan bergaya.
Kerajaan Malaysia tidak mempunyai hak untuk mencampuri sebarang urusan peribadi rakyat British mengikut perlembagaan negara tersebut. Adalah sukar bagi sebuah kerajaan Islam mencampuri urusan peribadi rakyat Britian.
Bagi masyarakat Britian yang sekular, wang dan harta merupakan matlamat hidup individu. Oleh itu kerajaan Malaysia perlu menghormati perlembagaan negara tersebut tanpa mengeruhkan keadaan lantaran untuk membantu seorang wanita pintar yang menghadapi kejutan budaya.
Urusan Sufiah sepatutnya diuruskan oleh persatuan-persatuan Islam di Britian dengan menggunakan pendekatan secara hikmah. Proses pemulihan beliau memerlukan masa yang lama kerana sistem pendidikan yang dihadapi oleh Sufiah adalah bertentangan dengan fitrah kejadian manusia.
Oleh itu umat Islam perlu memahami bahawa kebijaksanaan dalam akademik tidak boleh dijadikan ukuran terhadap kejayaan seseorang individu jika sistem pendidikan tidak diimbangi dengan pendidikan kerohaniaan dan keagamaan.
Sumber: UtusanOnLine 08/04/2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...