PAGE

Jumaat, Mei 30, 2008

Tali pusat boleh dipotong pada pangkal

Oleh Hafizah Iszahanid,
hafiza@bharian.com.my
Sumber:BH 18/05/2008





Pemotongan dibuat pada pangkal tali pusat jika bayi perlu menjalani rawatan rapi untuk masalah teruk yang dialaminya

UMUMNYA, tali pusat bayi yang baru lahir akan dibiarkan kering dan ia akan tertanggal sendiri. Malah, di kalangan orang Melayu, ada yang menganggap anak akan menjadi degil jika tali pusat tertanggal awal.

Apapun, dari sudut perubatan apabila seseorang bayi dilahirkan, tali pusat tidak mempunyai fungsi lagi. Ia akan dibiarkan kering dengan sendirinya manakala salur darah di dalamnya juga akan tertutup.

Justeru, apabila tali pusat tertanggal sendiri, ia bermaksud tisu tali pusat dan salur darahnya telah mati dan tidak ada komplikasi perdarahan akan berlaku.

Ketua Jabatan Farmakologi dan Pakar Perunding Pediatrik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Mohd Suhaimi Ab Wahab, berkata apabila bayi dilahirkan, secara umum tali pusat akan dikepit atau diikat sebelum dipotong antara tiga hingga lima sentimeter (sm) daripada abdomen bayi.

Beliau berkata, kepitan menggunakan alat penyepit khas bertujuan menghalang berlakunya perdarahan. Pada hari pertama bayi lahir, tisu tali pusat masih hidup dan sukar untuk tercabut atau terputus daripada badan bayi. Tisu akan mula mati dan mengering secara perlahan pada hari berikutnya.

Katanya, dalam keadaan normal, tali pusat perlu dibiarkan pada bayi sehingga ia tertanggal sendiri. Biasanya, ia akan mengambil masa antara satu hingga tiga minggu. Bagaimanapun, kadangkala ia boleh tertanggal dalam masa kurang daripada seminggu atau melebihi tiga minggu malah mungkin hingga lapan minggu.

Secara lebih terperinci, tali pusat kerap dirujuk sebagai talian hayat kepada janin kerana ia membekalkan darah secara berulang alik antara janin dan plasenta. Ia juga membawa nutrisi dan oksigen kepada janin dan menyingkirkan bahan buangan janin.

“Tali pusat mula terbentuk pada lima minggu kehamilan. Ia kemudian memanjang hingga minggu ke 28 kehamilan yang mencapai antara 22 hingga 24 inci.

“Tidak kiralah sama ada tali pusat itu panjang atau pendek, ada kalanya ukuran tali pusat membawa kesan kepada kandungan. Ia mungkin tidak bersambung dengan baik ke plasenta atau mungkin tersimpul atau termampat,” katanya. Keabnormalan tali pusat boleh mendatangkan masalah ketika hamil atau ketika proses melahirkan, tetapi ada kalanya keabnormalan tali pusat boleh dikesan melalui mesin imbasan.

Dr Suhaimi berkata, di dalam tali pusat terdapat tiga salur darah, dua salur darah arteri dan satu vena.

Justeru, kepitan atau ikatan pada tali pusat yang dibuat sebaik bayi lahir akan menghalang perdarahan daripada berlaku.

“Sekiranya tali pusat dipotong pada pangkalnya, ikatan atau kepitan tidak dapat dibuat dan bayi boleh mengalami perdarahan yang teruk,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Dr Suhaimi ada kalanya doktor sengaja memotong tali pusat bayi pada pangkalnya jika bayi perlu menjalani rawatan rapi untuk masalah teruk yang dialaminya.

“Ia dibuat bagi memasukkan kateter (kateter umbilikal) melalui saluran darah tali pusat. Prosedur ini perkara biasa dijalankan di wad rawatan rapi neonat,” katanya.

Dr Suhaimi berkata, kateter yang dimasukkan melalui salur darah tali pusat akan lebih bertahan lama berbanding dengan kateter yang dimasukkan melalui salur darah periferi seperti di tangan atau kaki bayi. Penggunaan kateter tali pusat ini akan mengurangkan kekerapan membuat cucukan atau tusukan jarum pada bahagian tangan dan kaki bayi bagi mengambil darah atau memasukkan cecair.

Dalam keadaan normal, tali pusat perlu dibiarkan pada bayi sehingga ia tertanggal dengan sendiri. Biasanya ia akan mengambil masa antara satu hingga tiga minggu. Bagaimanapun, kadangkala ia boleh tertanggal dalam masa kurang daripada seminggu atau melebihi tiga minggu malah mungkin hingga lapan minggu.

Secara lebih terperinci, tali pusat kerap dirujuk sebagai talian hayat kepada janin kerana ia membekalkan darah secara berulang alik antara janin dan plasenta. Ia juga membawa nutrisi dan oksigen kepada janin dan menyingkirkan bahan buangan janin.

Dr Suhaimi berkata, bagi bayi yang baru dilahirkan, tali pusat atau pangkalnya boleh mengalami jangkitan.

“Ia boleh dikenali apabila tali pusat atau kulit di sekeliling pangkalnya menjadi merah, bernanah atau berbau busuk.

“Sekiranya ia berlaku, bayi perlu segera mendapat rawatan perubatan. Untuk mengelak jangkitan tali pusat, elakkan daripada basah atau terkena air. Jika terkena air, ia mesti dikeringkan segera dengan cara mengelap dengan kain atau tisu yang bersih dan mendedahkan tali pusat kepada udara,” katanya.

Jelasnya lagi, jika tali pusat tertutup dengan lampin (dibedung), risiko jangkitan akan bertambah. Justeru, sapuan dengan kapas yang mengandungi alkohol yang biasanya diberikan oleh hospital dapat mengurangkan risiko jangkitan.

Info

Tali pusat bayi


  • Dipotong antara tiga hingga lima sm sebelum disepit dengan pengepit khas.

  • Ia akan dibiarkan kering dan gugur sendiri

  • Ada kalanya doktor sengaja memotong tali pusat hingga ke pangkal pusat bagi memudahkan rawatan dan mengelak bayi kerap disuntik untuk mengambil darah.

  • Tali pusat akan gugur antara satu hingga tiga minggu.

  • Tali pusat yang terkena jangkitan akan merah, bengkak dan bernanah.

  • Tiada sebarang saraf di tali pusat, justeru pemotongan tali pusat tidak mendatangkan rasa sakit.
  • Poligami: Jangan Salah Guna Agama!


    Assalamualaikum warahmatullah,

    Saat blog ini ditulis, saya tak update dengan kisah 'Bang Mat' dan permohonan berpoligami kali keempatnya. Biarlah mahkamah yang timbang tara seadil-adilnya, sebelum memberi keizinan untuk berkahwin lagi. Memang jika dibincang-bincangkan kisah poligami, banyak yang mencetus kontroversi/sensasi. Selalunya yang lelaki sekeras-kerasnya akan mempertahankan hak mereka. Yang wanita pula, rata-rata ramai yang membangkang.

    Saya amat tertarik dengan artikel dari Dr. Juanda, kali ini. Bagus untuk membeliakkan mata lelaki, sejarah, asal-usul, sunnah dan hakikat sebenar poligami. Kenyataan inilah yang selalu dipandang 'sepi' oleh golongan lelaki. Wahai lelaki, janganlah terlalu mendabik dada dengan kelebihan yang Allah SWT kurniakan. Bersyukurlah dengan apa yang ada dalam genggaman anda...

    Biasanya, pelbagai alasan diberi suami supaya isteri memberi izin untuk berpoligami, salah satu alasan yang paling ‘menakutkan’ isteri adalah, “tolong abang bertaubat daripada dosa berzina.” Sesungguhnya, sunah Nabi tidak pernah menzalimi kaum wanita, tetapi jangan disalah-guna, buruk padahnya!

    Memahami isu poligami bukan semudah yang kaum lelaki fikirkan. Ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW memang tiada kesilapan dan tetap relevan sepanjang zaman. Yang tersalah faham adalah kaum lelaki yang tidak mengerti hukum agama. Isu poligami ini harus dilihat dan ditimbangkan dari pelbagai sudut. Jadi, jangan cuba memahami ayat al-Quran melalui tafsiran tekstual sahaja kerana diburu nafsu syahwat!

    Pada kebiasaannya, suami akan mencari pelbagai alasan untuk melaksanakan hajatnya. Jadi diharapkan para isteri telah pun bersedia untuk membukam maksud suami itu agar ia tidak layak meneruskan hajatnya jika dikhuatiri suami tidak adil atau akan membawa kesengsaraan kepada keluarga sedia ada.

    Ketika suami memujuk isterinya agar bersetuju, dia akan katakan nasi sudah menjadi bubur, “ini takdir saya dan awak!” Tetapi ingatlah, selagi poligami belum terjadi, jangan sekali-kali anda menyerah. Kerana jika anda menggagalkan rancangan suami yang hendak berpoligami, ia juga termasuk dalam ketentuan takdir. Bagaimana mungkin suami anda tahu takdirnya, sedangkan takdir adalah rahsia Allah SWT?

    Apapun niat dan tujuan suami dan jika perkahwinan kedua suami berlangsung juga, pastikan anda dan anak-anak tidak menjadi mangsa poligami. Suami mesti tetap bersikap seperti sebelum perkahwinannya yang kedua, iaitu suami yang mithali terhadap anda dan ayah yang bertanggungjawap terhadap anak-anaknya. Pastikan juga kebajikan anda dan anak-anak tidak diabaikan sama sekali.

    Alasan untuk berpoligami sebenarnya senang dicari dan beribu lagi alasan boleh diberi jika sudah amat terdesak. Memang segala cara dihalalkan tetapi hakikatnya, kita hendaklah kembali kepada satu matlamat asal.

    Apa matlamat sebenar agama Islam membolehkan poligami?

    Mengapa Rasulullah SAW berbilang isteri?

    Para orientalis yang membenci Islam telah mereka-reka sejarah dan menyebarkan fitnah keji kepada diri Baginda Rasulullah SAW. Namun demikian para pengkaji sirah Rasulullah SAW telah menemukan fakta tentang kesucian Rasulullah SAW. Jika para suami mahu meneliti perkahwinan Rasulullah SAW dengan isteri-isterinya itu, pasti ramai yang tidak sanggup untuk mengikuti sunah baginda ini.

    Tujuan Menolong

    Rasulullah SAW berkahwin dengan Khadijah selama lebih 25 tahun tanpa ada wanita lain sepanjang hayat Khadijah. Apabila puteri-puteri Rasulullah SAW telah berumahtangga kecuali Fatimah dan selepas Khadijah wafat, barulah baginda mencari penggantinya. Itupun seorang janda tua bernama Saudah binti Zam’ah yang tidak mempunyai keinginan lagi. Tiga orang isteri Nabi yang lain Ummu Salamah (mempunyai ramai anak), Zainab binti Khuzaimah (wafat setelah berkahwin selama tiga bulan), Maimunah al-Hilaliyah, mereka semua adalah wanita tua dan miskin yang dikahwini kerana tujuan menolong bekas isteri para sahabat Rasulullah SAW yang telah gugur syahid. Ketika itu umat Islam hidup dalam kesusahan, ditindas dan tertekan. Ramai wanita yang menjadi janda selepas Peperangan Badar dan Uhud. Rasulullah SAW memberi teladan supaya kaum lelaki yang kuat sudi menolong para janda yang miskin ini menjadi anak-anak yatim mereka.

    Syarat Berat

    Zaman moden kini, masih adakah lelaki yang mahu berpoligami dengan wanita tua yang miskin dan beranak ramai? Yang tidak dapat memberi kepuasan seksual lagi? Masih adakah kiranya hati lelaki yang suci seperti baginda dan para sahabatnya? Jadi, jangan salah guna agama ini untuk kepentingan peribadi!

    Isteri-isteri baginda yang lain seperti Aisyah dan Hafsah (janda) adalah anak Abu Bakar dan Umar, Ummu Habibah (janda) adalah anak Abu Sufyan. Mereka adalah anak-anak bangsawan Quraisy yang menjadi nadi bagi pembangunan agama Islam. Safiyah (janda) pula anak ketua Yahudi Bani Nadhir. Rasulullah SAW telah memenangi Perang Khaibar dan mengalahkan Yahudi. Safiyah telah jatuh sebagai tawanan perang, seorang sahabat bernama Dahiyah al-Kalbi telah diberi izin oleh Baginda untuk mengambil Safiyah yang telah dua kali menjanda untuk dijadikan hamba sahaya. Tetapi para sahabat melarang baginda berbuat demikian kerana Safiyah adalah wanita yang paling tinggi kedudukannya antara kaumnya. Untuk mengembangkan dakwah, para sahabat mendesak Rasulullah SAW untuk menjadikannya sebagai isteri.

    Juwairiyah (janda) adalah anak ketua Bani Mustaliq yang kafir dan menentang Islam terapi disebabkan Rasulullah SAW memuliakan anak perempuannya, seluruh kaumnya telah masuk Islam. Maryah Qibtiyah adalah wanita hadiah dari Raja Mesir, Maqauqis. Tujuan baginda mengahwini puteri-puteri orang kenamaan adalah untuk meluaskan dakwah dan menarik keluarga mereka masuk Islam. Ini terbukti setelah anak mereka berkahwin dengan Rasulullah SAW, ramai daripada kaum kereka yang memeluk Islam, membela dan menjaga agama Allah. Tujuan sebenar dari perkahwinan itu adalah motif politik dan dakwah.

    Sungguh berat syarat bagi suami yang mahu berpoligami. Dia mestilah seorang yang kuat zahir dan batin, adil dan mampu. Yang memiliki iman dan ilmu yang mendalam, amal dan akhlak yang mulia dan harta berlebihan. Yang mengharap reda Allah dan Rasul-Nya, bukan demi melampiaskan nafsu syahwat yang jijik, bukan untuk menhancurkan anak-anak dan keluarga sedia ada. Menzalimi hak isteri, merampas hartanya dan menghancurkan masa depan anak-anak, semuanya adalah dosa. Jangan salah guna agama! Para wanita pula jangan ingkar hukum Allah SWT dengan mengatakan bahawa Islam menzalimi anda dengan adanya hukum poligami ini agar tidak disalahguna lelaki yang tidak bertanggungjawap.

    Tanggungjawab berat

    Oleh Murni Wan Omar, murni@hmetro.com.my, Sumber: HMetro 20/05/2008

    KUALA LUMPUR: “Persetujuan sahaja tidak mencukupi tetapi ada syarat lain perlu dipenuhi,” kata peguam syarie, Akhbardin Abdul Kader berhubung tindakan pemandu lori, Mohamed Nor Awang, 57, yang sudah memiliki tiga isteri dan mahu berkahwin kali keempat.

    Akhbardin berkata, berkahwin lebih daripada satu bukan setakat memenuhi kuota lelaki, tetapi perlu disertakan tanggungjawab berat untuk berlaku adil dari segi zahir dan batin.

    “Mengikut hukum syarak, lelaki dibolehkan berkahwin lebih dengan syarat mendapat persetujuan, isteri mempunyai penyakit atau tidak boleh melahirkan anak, mampu dari semua segi termasuk kewangan selain mampu berlaku adil. Jika tidak mempunyai sebab bagaimana mahkamah mahu benarkan? Adil bukan sahaja dari segi kewangan tetapi giliran, kasih sayang dan keperluan perlu diberi sama rata dengan semua isteri, tidak boleh kurang,” katanya. Sebelum ini ada golongan berpangkat tinggi yang mahu berkahwin lagi tetapi tidak dibenarkan mahkamah kerana walaupun mampu dari segi kewangan tetapi pihak lelaki tidak mempunyai bukti atau sebab berbuat demikian.

    “Jangan membandingkan kita dengan Rasulullah SAW kerana baginda berkahwin dengan wanita yang sudah janda atau kematian suami akibat perang.Melihat kepada kes Mohamed Nor, kita sendiri ragu dengan kemampuan dia menjalankan peranan sebagai suami dari segi usia dan kemampuan. Ia seolah-olah salah guna kuasa seorang lelaki sebagai suami,” katanya.

    Akhbardin berkata, mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, mendapat persetujuan daripada tiga isteri yang lain tidak bermakna permohonan berkahwin seorang lagi akan mendapat kelulusan 100 peratus daripada mahkamah.

    “Saya bersetuju dengan keputusan hakim dalam kes itu yang sudah membuat penelitian terhadap kelayakan dan kemampuan Mohamed Nor sebelum meluluskan permohonannya selain meminta dia memberi keterangan tambahan bagi membuktikannya. Mungkin isteri yang lain bersetuju untuk membantu tetapi kita tidak tahu masa depan mungkin boleh terjadi sebaliknya. Keluarga boleh porak-peranda kerana keadaan ini dan kasihan kepada anak-anak yang tidak bersalah,” katanya.

    Harian Metro semalam, melaporkan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, meminta Mohamed Nor mengemukakan saksi bagi menyokong keterangannya untuk berkahwin kali keempat.

    Perintah itu dikeluarkan selepas mahkamah tidak berpuas hati dengan keterangan Mohamed Nor berhubung status kewangan serta alasan kukuh untuk berkahwin kali keempat selepas mempunyai tiga isteri. Mohamed Nor yang mempunyai 18 anak bersama tiga isterinya, Wan Rukiah Mat Yusoff, 52, Kalthum Dollah, 39, dan Noraini Daud, 40, kini dalam proses perbicaraan permohonan kebenaran berpoligami untuk mengahwini kerani, Suzi Sulong, 34, sebagai isteri keempat.

    Hadis pilihan dari JAKIM:

    Hak tanggungjawab Dan Peranan Suami


    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi nafkah kepada isterinya, anaknya dan ahli keluarganya, maka ia (iaitu nafkah) yang diberikan adalah sedekah.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

    Huraian:

    1. Dalam institusi perkahwinan Allah SWT telah mengamanahkan tanggungjawab tertentu kepada suami dan isteri.

    2. Pemberian nafkah oleh suami terhadap keluarga merupakan satu amanah yang mesti ditunaikan di mana nafkah tersebut merangkumi perbelanjaan makan minum, tempat tinggal, keselamatan dan perlindungan.

    3. Pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seseorang.

    4. Kaum wanita tidak diwajibkan bekerja mencari nafkah. namun Islam membenarkan mereka keluar bekerja demi membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh suami. Sumbangan isteri ini merupakan satu sedekah yang akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah SWT.

    Suami Yang Bertanggungjawab

    Saad bin Abi Waqas r.a. menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Nafkah (infak) yang kamu berikan semata-mata kerana Allah nescaya diberi pahala oleh Allah; bahkan apa yang kamu berikan untuk makanan isteri kamu (perbelajaan rumahtangga) akan diberi pahala juga oleh Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

    Huraian:

    Perkahwinan dalam Islam bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan biologi terhadap satu sama lain, malah satu daripada tanda kekuasaan dan kebesaran Allah Yang Maha Esa (Surah ar-Rum, ayat 21). Iaitu kekuasaan-Nya menyatukan dua makhluk yang berlainan jantina serta mempertautkan hati kedua-duanya dengan ikatan kasih mesra. Maka, suami yang baik ialah yang menyayangi serta melindungi isterinya dari perkara berbahaya atau memudaratkannya.

    Suami ialah ketua keluarga yang bertanggungjawab memastikan isterinya memperoleh keperluan hidup seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian yang secukupnya. Suami juga hendaklah membimbingnya agar selamat daripada api neraka. Firman Allah bermaksud: "Kaum lelaki itu ialah pemimpin dan pengawal yang bertanggunjawab terhadap kaum perempuan, oleh sebab Allah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan juga kerana orang lelaki telah memberi nafkah daripada harta mereka..." (Surah an-Nisaa', ayat 34)

    Renung-renungkan!


    Antara lelaki dan wanita

    Salam,

    Dulu saya jengah juga ke bravehost beliau, tapi tak di'update'. Sekarang Pn SuzanaGhazali dah ada blogspot! Sayalah yang paling seronok, sebab saya peminat setia beliau. Beli MW tiap2 minggu sebab nak baca kolum "ResepiHidup". Kolum itulah yang saya 'terjah' dulu!!! Saya suka sebab sejuk hati membaca hasil tangannya. Semoga lebih ramai pakar perunding, pakar motivasi etc.. buat blog sendiri... Yeah!


    Antara lelaki dan wanita

    Sama-samalah kita renung sejenak dan berfikir...

    Wanita menarik nafas lebih kerap daripada lelaki, manakala lelaki menarik nafas lebih dalam daripada wanita.

    Sistem badan lelaki dan wanita pun tidak sama. Lelaki lebih banyak memerlukan oksigen berbanding wanita supaya mereka dapat menukarnya menjadi tenaga.

    Kulit lelaki lebih kasar, kulit perempuan lebih halus.

    Perempuan lebih halus suara berbanding lelaki yang kasar dan besar suaranya.

    Lelaki memiliki tulang anggota yang lebih panjang berbanding wanita. Tulang wanita bukan sekadar lebih kecil malah susunannya berbeza disebabkan wanita diciptakan Tuhan dengan struktur tubuh bagi melahirkan anak.

    Wanita secara umum lebih bersikap mudah mengikut kata hati, lebih berminat kepada cinta dan kasih sayang dan hubungan perasaan.

    Apabila mengamati benda, kedua-duanya juga berbeza. Lelaki lebih menggunakan pengamatan tumpuan. Manakala wanita menggunakan lebih pengamatan luas dan membesar. Pengamatan lelaki ibarat cahaya laser yang menumpu kepada sesuatu objek. Manakala, pengamatan wanita ibarat lampu suluh, yang membuka, menampakkan banyak benda.

    Wanita mahu mengambil tahu semua perkara. Daripada perkara kecil sehingga perkara besar. Sementara lelaki hanya menumpukan kepada matlamat utama.

    Cuba perhatikan kepada wanita, apa yang mereka bawa apabila berjalan keluar rumah. Tengok sahaja pada beg tangan mereka, lebih besar daripada lelaki. Lelaki membawa beg kecil sahaja. Di dalamnya hanya ada lesen kenderaan, duit, surat-surat penting dan kad kredit bank.

    Dalam beg tangan wanita semuanya ada. Di dalam beg tangan perempuan ada dompet duit, kad kredit, buku bank, buku cek, ada alatan make-up, cermin, sikat rambut, tisu muka, pengetip kuku, kunci, pen, pensel, ubat sakit kepala, gambar suami, gambar anak, cermin mata hitam, buku telefon, tuala ehem..ehemm... dan macam-macam lagi.

    Kenapa sedemikian dilakukan oleh wanita?Jawabnya kerana wanita memikirkan pelbagai kemungkinan perkara yang boleh berlaku. Mereka lebih peka, apabila sesuatu terjadi, persediaan sudah pun dilakukan. Ini bermakna pemikiran dan penumpuan wanita lebih lebar.

    Pada lelaki, cukup dengan lesen memandu dan duit. Sebab mereka mahu sampai ke matlamat. Duit untuk membeli. Lesen memandu supaya selamat daripada disoal polis.

    Demikianlah perbezaan yang wujud antara lelaki dan wanita. Kerana itu, tidak hairan apabila suami isteri ini melihat banyak perkara secara berbeza. Urusan-urusan rumah tangga kadang-kadang ditangani secara berbeza.

    Contohnya, suami isteri yang kedua-duanya bekerja, mereka terpaksa keluar dari rumah awal pagi. Dalam banyak hal, wanita bekerja yang paling kerap bersungut. Suaminya, pabila keluar sahaja dari rumah, yang dibawa hanya kunci kereta, masuk dalam kereta dan hidupkan enjin, kemudian tunggu isteri. Matlamat mereka ke pejabat.

    Manakala si isteri, memikirkan apa yang anak bawa ke sekolah, baju di ampaian siapa hendak ambil, anak belum pakai baju lagi, anak belum makan lagi. Kalau bolehnya, dia mahu memikirkan semua benda, kerana padanya, apabila sesuatu terjadi, bagaimana kesudahannya?

    Biar lewat ke tempat kerja, asalkan semuanya beres. Apabila si suami dan si isteri ke kompleks membeli belah . Si isteri, apabila masuk sahaja ke pusat membeli belah, dia melihat banyak benda dahulu, satu persatu, perlahan-lahan, dari atas ke bawah, kain ini dipegang, diperhatikan...... kemudian pegang pula kain lain, selepas berjam-jam barulah dibuat pilihan membeli.

    Pendek kata, si suami yang menjadi pengikut setia mudah bosan. Bagi lelaki apabila hendak membeli sesuatu, terus dituju ke tempat yang ingin dibeli dan membeli. Membeli belah pada lelaki tidak mengambil masa yang lama seperti perempuan.

    Contoh-contoh tersebut menunjukkan wanita mengamati sesuatu berbeza daripada lelaki. Sebab itu, jangan bergaduh selepas membeli belah, jangan bergaduh ketika mahu ke tempat kerja.

    Si isteri jangan putus asa melihat si suami, apabila keluar sahaja dari rumah terus masuk kereta. Tanpa mengangkat botol susu anak, kain lampin anak, dan berbagai lagi untuk dibawa ke rumah pengasuh.

    Akuilah lelaki dan wanita berbeza berbeza. Perbezaan bukan untuk bermusuh, sebaliknya bagi saling membantu dan berkasih sayang. Kerana kita berbeza, kita lebih berkasih sayang. Jangan disebabkan perbezaan pada cara berkasih sayang antara lelaki dengan seorang wanita, maka timbul krisis rumah tangga berpuluh tahun.

    Tentulah kerana perbezaan yang ada antara kita itu , maka kita lebih berkasih sayang. Kerana itu, kita berbeza supaya saling sayang menyayangi.

    Sumber: http://bersamasuzana.blogspot.com/

    Hadis: 3 Amalan Yang Berkat

    Kategori : AKIDAH Akhlak

    Tajuk : 3 Amalan Yang Berkat

    Hadith :

    Dari Ibnu Mas’ud r.a bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Manakah amal yang lebih utama?”. Beliau menjawab, “Sembahyang dalam waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjuang di jalan Allah.” - Bukhari

    Huraian/Pengajaran Hadith:


    Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa setiap amal perbuatan atau amal ibadah walau sekecil zarah sekalipun pasti dibalas dengan pahala oleh Allah S.W.T. Bayangkan, jika kita melakukan amal perbuatan atau amal ibadah yang paling utama tentulah jumlah pahalanya luar biasa banyaknya. Maka beruntunglah orang yang dapat melakukan amalan-amalan seperti yang disebutkan di dalam hadith di atas yang sememangnya sungguh besar ganjarannya.

    Hal ini disebabkan setiap sesuatu kebaikan itu sesungguhnya amat susah untuk dilakukan lantaran terlalu banyak godaan dan halangan khususnya daripada syaitan laknatullah. Berbeza pula halnya dengan kejahatan yang senang sahaja berlaku kerana ini tidak dihalang bahkan dibantu khusus oleh syaitan. Oleh yang demikian, sebagai benteng yang kukuh, manusia mestilah mempunyai keimanan yang teguh bagi melawan hasutan syaitan tersebut kerana kebiasaannya orang yang selalu tewas dan malas dalam melakukan kebajikan adalah orang yang meremehkan pembalasan daripada Allah S.W.T sama ada ia merupakan pembalasan baik atau pembalasan buruk(neraka).

    Khamis, Mei 29, 2008

    Syirik weh!!! (そのII) - “Uncle sebelah buat apa tu, ayah?”

    Salamun’alaik,

    Hidup di kalangan masyarakat majmuk kebanyakan kita akan berjiran dengan keluarga yang bukan Islam. Bagi kaum Tionghua dan Hindu mereka selalu mempunyai tempat penyembahan masing-masing, kaum Cina mungkin di luar rumah manakala Hindu di dalam rumah. Bila kaum Cina yang beragama Taoisme atau Buddha melakukan upacara penyembahan (biasanya depan rumah), anak-anak kita yang masih kecil akan lihat, dan mungkin pernah bertanya kepada kita....

    “Uncle sebelah buat apa tu, ayah?”

    Dan secara amnya, kita akan menjawab, “Dia tengah sembahyang atau tengah sembah tuhan dia.”

    Jawapan itu, nauzubillah …. Sebenarnya syirik! Dikatakan syirik kerana ia bercanggah dengan prinsip dua kalimah syahadah kita, iaitu “tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH”, tetapi apabila kita memberikan jawapan, “dia tengah sembah tuhan dia.”

    Dalam hal ini, kita telah memberi gambaran pada anak kita bahawa ada tuhan yang lain dari ALLAH SWT. Dengan lain perkataan mudah difahami, kita beritahu anak-anak bahawa kaum Cina punya satu tuhan, India satu tuhan, Kristian satu tuhan, dan itu cara mereka menyembah tuhan mereka, lain daripada cara kita menyembah ‘tuhan kita’.

    Sedangkan, lidah kita mengucap kalimah “tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH”. Jadi, mana datangnya konsep atau pengertian, “dia sedang sembah tuhan dia.”? Sekiranya jawapan ini dibiarkan diteruskan, anak-anak kita akan terus keliru dengan konsep dan prinsip syahadah kita “tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH”.

    Seharusnya, kita terangkan pada anak-anak, “Anak, pertamanya perlu faham, tuhan kita dengan tuhan uncle sebelah sama, kerana ada hanya satu tuhan sahaja iaitu ALLAH, tapi cara dia menyembah tuhan itu salah.”

    Nak lagi senang, jawap saja; “Dia sembah tokong atau tok pekong. Syirik, berdosa. Kita orang Islam tak boleh sembah selain Allah.”

    Mungkin ada orang kata, “Eh... takkan nak ajar budak 3-4 tahun macam tu? Depa mana tau syirik tu apa.” Sebenarnya jawapan macam itu yang patut kita jawap kepada anak-anak. Bila mereka sudah mula pandai bercakap, kita beri saja jawapan yang betul. Jawapan macam itu akan diikuti oleh mereka, walaupun kadang-kadang mereka tak faham. Sekurang-kurangnya, dia akan tahu, jika disebut perkataan ‘dosa’, itu maknanya perbuatan itu ‘salah’.

    Ingat, jangan ambil mudah jawapan yang diberikan kepada anak, kerana jawapan yang salah akan merosakkan akidah atau setidak-tidaknya akan kelirukan mereka.

    Hadis dipetik dari JAKIM web (ehadis):

    Kategori : AKIDAH Syirik

    Tajuk : Syirik; Menganiayai Diri Sendiri!

    Hadis : Dari Abdullah r.a. katanya, setelah turun ayat: “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur-adukkan iman mereka dengan penganiayaan...” (hingga akhir ayat surah al-An’am, ayat 82), maka para sahabat merasa sukar memahami maksud ayat itu. Kerana itu mereka bertanya kepada Rasulullah SAW, “Siapakah di antara kami yang tidak pernah menganiayai dirinya?” Jawab Rasulullah SAW, “Bukan begitu! Maksudnya ialah sebagaimana diajarkan Luqman kepada anaknya, katanya: Hai anakku! Janganlah kamu syirik (menyekutukan Allah), kerana syirik itu adalah aniaya besar.”

    Huraian:

    Kita diperintahkan menjauhi dosa syirik kerana dosa orang yang mensyirikkan Allah SWT amat besar. Antaranya ialah seperti yang disebutkan di dalam firman Allah yang maksudnya: “Orang yang menyekutukan Allah, diharamkannya syurga atasnya dan tempat kembalinya adalah neraka. Dan orang-orang zalim itu tidak memiliki para penolong.” (Surah Al Ma’idah, ayat 72)

    Syirik dikatakan sebagai satu kezaliman yang sangat besar kerana manusia yang diciptakan Allah, diberi rezeki oleh Allah, kehidupan oleh Allah, tetapi ia tidak tahu berterima kasih bahkan menyekutukan Allah dengan yang lain.

    Rasulullah SAW telah mengajarkan sebuah doa agar terhindar daripada dosa syirik iaitu: “Ya Allah, aku meminta perlindungan kepada-Mu dari perbuatan menyekutukan Engkau dengan sesuatu, sedangkan aku mengetahui hal itu. Dan aku meminta perlindungan kepada Engkau dari tindakan menyekutukan-Mu dengan sesuatu dan aku tidak tahu.”

    Renung-renungkan, dan selamat beramal!

    Syirik weh!!! (そのI) - surat/email berantai?!

    Assalamualaikum warahmatullah...

    Saya cukup tak gemor dengan email/sms berantai. Selain kisah Sheikh ‘tah apa-apa’, ada jugak yang suruh kita forward kepada tujuh orang rakan, kita akan dapat ‘miracle’ la... macam-macamlah gula-gula dia, paling kelakar, saya pernah terima "insya Allah, masalah kewangan anda akan selesai…"

    Sudah berapa kali saya nasihatkan si pengirim, sudah-sudahlah menyebarkan benda-benda kurafat begini. Eh.. eh.. ada jugak yang beri alasan, “saje je forward…” Apa?! Takut agaknya ditimpa musibah dan mungkin juga mengharapkan ‘miracle’?!

    Sedar tak, dengan menyebarkan email/sms yang diterima, boleh beri impak yang besar pada akidah kita? Haaa… jangan tak tahu, SEBENARNYA BOLEH MENJEJASKAN AKIDAH kita sebagai seorang MUSLIM. Silap-silap haribulan, jatuh syrik! Nauzubillah. Syirik ini dosa besar, jangan main-main!

    Hari ini saya terima lagi email berantai Sheikh ‘tah apa-apa’ tu lagi. Janganlah semakkan mailbox saya dengan email sebegini. Letih la nak cari balik fatwa, nak ‘cut and paste’ etc. Kalau saya buat tak tahu, rasa bersalah pula membiarkan saudara seagama jatuh syirik.

    Kali ini saya cut and paste di blog. Semoga ada manafaatnya.

    Subject: SURAT BERANTAI YG PALSU - SILA DELETE 100%

    Soalan 1
    ++++++++
    Ustaz, saya ada menerima surat berantai yang pada amnya mengajak kita bertakwa kepada Allah. Tetapi di akhir surat itu ada diceritakan berkenaan kisah orang yang mendapat bala kerana tidak menyebarkan sebanyak 20 salinan kepada orang lain. Apa pandangan ustaz?

    Soalan 2
    ++++++++
    Baru-baru ini saya ada menerima e-mail yang mengandungi surat berantai. Di dalamnya menceritakan tentang wasiat seorang alim dari Madinah. Di akhir surat tersebut di suruh sesiapa yang membacanya supaya disampaikan kepada orang lain sebanyak 20 salinan dalam masa 2 minggu. Sekiranya dilakukan akan dikurniakan oleh Allah sesuatu hajat atau niat. Dan apabila tidak dilakukan akan terjadi sesuatu perkara yang buruk. Apakah hukumnya mempercayai surat ini? Dahulu ia diedarkan dengan membuat salinan Photostat tetapi kini ia diedarkan melalui internet. Mungkin pihak AnNur dapat memberikan jawapan yang tepat kepada masalah ini supaya saya dapat edarkan kepada rakan-rakan saya yang masih mengedarkan risalah ini.

    JAWAPAN :
    +++++++
    Setelah diamati, ada beberapa perkara yang boleh dikupas dari surat itu. Pertama dari segi isi. Kebatilannya terbukti apabila surat ini mendakwa Sheik Ahmad bertemu Rasululllah SAW dalam mimpi dan memberi pesanan kepadanya. Seolah-olah belum selesai tablighnya. Kita ketahui bahawa dalam khutbah terakhir ketika haji wida', Rasulullah SAW telah bersabda, "Telah sempurna bagimu agamamu" yang membawa maksud bahawa tiada lagi wahyu atau ugama yang akan turun selepas itu. Mahu ikut yang mana? Surat inikah atau Al-Quran?

    Kedua dari segi arahannya. Sekiranya kita percaya bahawa dengan mengedar 20 keping surat ini akan membawa rezeki atau kebaikan dan sebaliknya sekiranya tidak maka kita kan ditimpa bencana maka secara tidak langsung, kita percaya bahawa ada lagi kuasa selain Allah SWT. Ini akan menjadikan kita syirik. Na'uzubillah. Sheik Ahmad yang dikira kuat iman ini pula sanggup mati dalam kufur. Seseorang yang berilmu, warak, alim dalam soal agama tidak akan mempertaruhkan imannya untuk apa sekalipun. Saya berpendapat surat ini adalah satu dakyah untuk memesongkan aqidah umat Islam.

    Mari kita kaji pula niat disebalik surat berantai ini. Ia mengandungi isi yang menceritakan tentang Sheik Ahmad yang kononnya bertemu Rasulullah SAW dalam mimpinya. Rasulullah kononnya memberi satu statistik yang tujuannya menakutkan pembaca yang memang tiada cara untuk membuktikan kesahihannya. 60,000 orang akan mati tanpa iman, apa maksudnya? Adakah orang yang ke 60,001 akan beriman? Setelah itu diselitkan nasihat supaya pembaca yakin bahawa surat ini berniat baik. Kemudian datang ugutan. Sekiranya tidak diedar 20 salinan, mendapat bala. Untuk meyakinkan pembaca, penulis rela kufur sekiranya isi surat ini adalah palsu. Untuk menambahkan lagi keyakinan pembaca, diturunkan pula beberapa contoh yang menjurus kepada perkara di atas.

    Tentunya susah untuk menentukan kesahihan cerita tersebut. Cuma setahu saya, Allahyarham Tan Sri Ghazali Jawi tidak dibuang kerja tetapi meletak jawatan kerana mahu aktif dalam politik. Kalau ada yang rapat dengan keluarga Allahyarham atau keluarga Datuk Tajul Rosli, mungkin boleh sahkan hal ini.

    Tentunya muslim yang rapuh imannya akan terpengaruh dengan dakyah sebegini. Jika tak dihiraukan maka semacam ada keresahan dalam hati seolah-olah menanti bencana yang dijanjikan. Maka dengan keresahan inilah syaitan dapat menakluk hati kita. Dicekiknya tubuh kita sehingga sakit, maka kita teringat akan surat wasiat tersebut, dan kita edarkan. Syaitan akan melepaskan cekikannya ketika itu kerana dia telah berjaya memesongkan aqidah kita.

    Maka kita berjalan pula di muka bumi Allah ini dan menceritakan pengalaman kita tadi, dan ada pula hamba Allah memasukkannya ke dalam Internet. Kesimpulannya, janganlah percayakan surat tersebut dan selagi ada umat yang percayakannya maka ianya tetap akan beredar hingga bila-bila, kerana seingat saya, surat ini telah beredar sejak saya di sekolah rendah lagi dan mungkin bermula berpuluh-puluh tahun sebelum itu.

    Dari penerangan di atas jelaslah mempercayai surat wasiat tersebut adalah haram.

    Wallahu'allam.

    Jika anda ingin tahu dari siapakah bermulanya surat berantai yang kononnya dari Sheikh Ahmad yang bermimpi bertemu Rasulullah didalam mimpinya, bacalah keterangan dibawah ini:-

    Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan 1978



    SURAT SHEIK AHMED PALSU, KHURAFAT DAN BOLEH MENJATUHKAN MURTAD

    Majlis Fatwa Kebangsaan 1978 mengesahkan surat ini ditulis oleh paderi-paderi biara Blessings of St Antonio, Texas, USA pada tahun 1974/75 untuk mengelirukan umat Islam. Penulis asal surat ini ialah mendiang Father Francis Jose de Villa, seorang paderi Katolik dari Argentina berketurunan Arab-Syria (bekas penganut Islam, nama asalnya Mohamed Elias Skanbeg). Dia pernah bertugas di Instituto Sacristo Convocione Reliogioso di Brindisi, Itali sebagai mubaligh Katolik antara tahun 1966-1968 di bawah Cardinal Agostino Casaroli. Father de Villa meninggal dunia pada tahun 1980 di Texas dalam usia 54 tahun.

    Menurut Allahyarham Sayyed Mohamed Raisuddin Al-Hashimi Al-Quraisy, penjaga makam Rasulullah SAW di Madinah antara tahun 1967-hingga 1979, tidak ada penjaga makam bernama Sheik Ahmad antara tahun 1881 hingga 1979.

    Penjaga makam di Madinah ialah: Sayyed Turki Abu Mohamed Abdul Razaque Al-Hashimi Al-Quraisy (1881-meninggal dunia 1932), anaknya Sayyed Hashim Abu Faisal Abdul Jalil Al-Hashimi Al-Quraisy (1932-meninggal dunia 1934), adiknya Sayyed Abdul Karim Mutawwi Al-Hashimi Al-Quraisy (1934-bersara 1966) dan anak saudaranya Sayyed Mohamed Raisuddin bin Mohamed bin Abdul Razaque Al-Hashimi Al-Quraisyi (1967-meninggal dunia 1979).

    Bekas menteri besar Perak Allahyarham Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi bertaubat dan mengucap kalimah syahadat sekali lagi di hadapan Kadi Daerah Kinta pada tahun 1976 setelah beliau mengaku pernah menerima dan mengirim surat ini kepada dua puluh orang kawannya. Peristiwa ini berlaku tidak lama sebelum beliau meninggal dunia. Bekas Kadi Daerah Kinta meminta beliau mengucap semula kerana bimbang beliau telah gugur syahadah (murtad).

    Allahyarham Datuk Shafawi Mufti Selangor mengisytiharkan bagi pihak Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa barang siapa dengan sengaja menyebarkan risalah ini adalah "melakukan syirik dan tidak mustahil jatuh murtad melainkan dia bertaubat dan menarik balik perbuatannya itu terhadap sesiapa yang telah pun dikirimkan risalah ini". (Surat Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia Bil. 7/78/I).

    Keputusan ini diiktiraf oleh Majlis Raja-raja Melayu dalam mesyuaratnya di Pekan pada 16 Oktober 1978, dipengerusikan oleh Almarhum Sultan Idris Shah, Perak. Menurut majlis Fatwa Kebangsaan 1978, menyebar surat ini "termasuk dalam menyekutukan Allah SWT dengan syirik yang amat besar (shirk-i-kubra) serta mempermainkan Rasulullah SAW serta menyebar dengan niat tidak baik kekeliruan dan muslihat di kalangan umat Islam.".

    Lagipun, “surat ini menggambarkan pembohongan yang amat besar terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta ajaran baginda kerana menggambarkan SHEIK AHMAD sebagai perawi hadith sesudah kewafatan baginda.”

    Allahyarham Datuk Sheik-ul-Islam Mufti Kedah dalam Risalat Al-Aman 1983/Bil 8, surat ini "paling kurang menimbulkan syirik kecil dan murtad secara tidak sengaja terkeluar dari Islam, serta syirik yang besar jika sengaja maka taubatnya tidak sah melainkan dibuat dengan sesungguhnya. Adapun jika seseorang itu menyalin surat ini kepada umat Islam lain, jatuhlah hukum ke atasnya mentablighkan perkara syirik dan khurafat. Sesungguhnya ulama sependapat perbuatan itu sungguh besar syiriknya dan boleh mengakibatkan murtad walaupun tanpa sedar si-pengirim.

    Rabu, Mei 28, 2008

    Penggantian gigi tiruan

    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@nstp.com.my

    Sumber: BHarian


    PANJANG implan menyamai akar gigi asal.

    Implan dibuat daripada titanium, boleh sebati dengan tulang dan berfungsi sebagai penambat gigi

    PERNAHKAH anda terfikir untuk menanam gigi baru bagi menggantikan gigi yang rosak? Tidak kira sama ada kerosakan itu disebabkan kemalangan atau penyakit, inovasi bidang pergigian menjanjikan anda boleh memiliki senyuman menawan dengan susunan gigi yang sempurna.

    Presiden Persatuan Pergigian Implan Malaysia, Dr Firdaus Hanapiah, berkata implan gigi bukanlah kaedah baru, sebaliknya ia sudah diperkenalkan sejak 1960an.


    Beliau berkata, implan gigi bermaksud penggantian akar gigi tiruan dan ia dirintis oleh Prof Per-Ingvar Brånemark dari Sweden.

    Katanya, Brånemark mendapati implan yang dibuat daripada titanium boleh sebati dengan tulang dan berfungsi sebagai penambat untuk gigi.

    “Titanium yang bertindak sebagai implan dimasukkan ke dalam tulang gusi. Kini asas penciptaan Brånemark diperbaharui dan terdapat pelbagai jenis implan gigi yang boleh dipilih oleh pesakit,” katanya.

    LUBANG implan selepas gigi dicabut (gambar kiri). PROSES penanaman implan.

    Berbanding dengan alternatif rawatan pergigian yang lain, implan gigi lebih kuat dan lasak. Ia juga berfungsi hampir menyamai gigi asal. Oleh itu, ia adalah jawapan kepada masalah kehilangan gigi kekal.

    Dr Firdaus berkata, implan bukan saja boleh dipasang secara sendiri tetapi ia juga digunakan sebagai sokongan kepada kaedah pergigian terdahulu seperti jejambat gigi (bridge) atau bertindak menambah kestabilan gigi.

    Selain itu, katanya ia juga boleh berfungsi mengurangkan masalah tisu gusi.

    “Ada beberapa jenis implan dan antara yang popular ialah implan menyerupai akar (root shape implant) dan implan satu keping (one piece implant),” katanya.

    IMPLAN yang sudah ditanam, tetapi belum dipasangkan gigi (gambar kiri). GIGI selepas proses implan.

    Dr Firdaus berkata, implan gigi tidak sama dengan gigi palsu, sebaliknya, implan yang diperbuat daripada titanium bertindak sebagai akar kepada gigi yang hilang. Ia akan ditanam dalam gusi sebelum gigi yang diperbuat daripada porselin dilekatkan di atasnya.

    Katanya, selain bergantung kepada keadaan gigi pesakit dan kekuatan tulang bawah gusi, ada kalanya proses meletakkan implan dan gigi dilakukan beberapa bulan atau hari selepas gigi dicabut.

    Selepas implan ditanam, katanya pemasangan gigi akan dibuat beberapa ketika selepas itu dan sekali lagi ia bergantung pada kekuatan tulang bawah gusi pesakit.

    Bagaimanapun, Dr Firdaus berkata, bagi pesakit yang memiliki tulang bawah gusi yang kuat, prosedur membabitkan penanaman dan pemasangan implan dan gigi dengan kadar segera boleh dilakukan. Kaedah ini dikenali sebagai implan pasang segera (immediate loading procedure).

    Secara umum, pada peringkat antarabangsa, ada beberapa tempoh masa diberikan bagi menanam implan selepas gigi dicabut. Antaranya:

  • Implan pasang segera selepas gigi dicabut

  • Pemasangan implan yang tertunda selepas gigi dicabut (Delayed immediate post-extraction implant placement) yang memakan masa antara dua minggu atau tiga bulan selepas dicabut.

  • Pemasangan implan lewat (tiga bulan selepas dicabut)

    Pesakit kadang kala tidak mahu menunggu lama untuk memasang implan selepas gigi dicabut, justeru implan pasang segera menjadi pilihan.

    Prosedur ini membolehkan implan ditanam dan gigi terus diletakkan di atas. Prosedur ini banyak bergantung kepada beberapa faktor antaranya tulang gusi yang kuat untuk menampung implan dan porselin. Jika tulang gusi tidak kuat, ia tidak boleh dilakukan.

    Dr Firdaus berkata, tulang bawah gusi berfungsi untuk memegang implan dan jika tidak kuat atau nipis, ia tidak boleh menampung porselin sekali gus menyebabkan pecah.

    “Kalau tulang bawah gusi memang tidak kuat, ia diperbaiki dengan menambah kekuatan tulang menggunakan tulang sintetik yang diambil daripada rahang atau pinggang pesakit,” katanya.

    Bagaimanapun, katanya bukan semua gigi boleh diganti dengan implan pasang segera. Hanya gigi yang tidak memiliki gigitan yang kuat contohnya gigi depan saja boleh melalui prosedur ini.

    Katanya, prosedur penanaman implan tidak terhad kepada satu gigi saja. Malah, seseorang itu boleh memasang sehingga 11 implan dalam satu masa.

    “Implan memiliki kekuatan yang sama dengan gigi asal. Ia boleh bertahan lama selagi kita menjaganya seperti mana penjagaan gigi biasa. Plak juga tidak mudah lekat kerana ia diperbuat daripada porselin, jadi ia licin,” katanya.

    Dr Firdaus berkata, jika hanya satu batang gigi saja yang ingin diganti, prosedur implan satu keping menjadi pilihan.

    “Biasanya, implan ini dipasang jika hanya satu batang gigi saja yang rosak atau ia berulang kali berlubang yang tidak boleh dibetulkan atau gigi hanya tinggal tunggul. Selalunya, prosedur ini menjadi pilihan mereka yang kemalangan jalan raya atau mengalami rahang pecah,”

    Mengenali proses implan

  • Diagnos atau imbasan seluruh gigi perlu dibuat bagi mendapatkan ukuran. Ini bagi mendapatkan ukuran panjang implan yang akan ditanam. Panjang implan adalah berdasarkan panjang akar gigi yang akan diganti. Biasanya akar gigi orang dewasa adalah antara lapan hingga 15 milimeter (mm) dengan lebar antara 3.3 mm hingga 6 mm.

  • Pesakit akan dibius menggunakan jenis bius setempat dan prosedur memasukkan implan mengambil masa 10 minit. Proses ini tidak menyakitkan. sementara gigi belum dipasang, satu alat khas dipasang bagi menutup permukaan implan. Gigi (crown) akan diletakkan di atas implan dalam masa dua bulan setengah (minimum).

    Kekurangan alternatif lain selain implan

  • Secara tradisionalnya kehilangan gigi akan digantikan dengan gigi palsu. Bagaimanapun, gigi palsu tidak membolehkan pemakainya menggigit dengan kuat, mudah patah dan pecah.

    Satu lagi rutin gigi palsu yang mesti dipatuhi, ia perlu dibuka sebelum tidur bagi mengelak jangkitan.

  • Selain gigi palsu, alternatif yang ada adalah jejambat gigi (bridge) masalahnya, gigi di sebelah kiri dan kanan perlu dibetulkan bagi memudahkan proses menyangkut bridge. Masalahnya gigi yang elok juga perlu dipotong.

    INFO: Siapa yang boleh menggunakan implan gigi?

    Secara umum, mereka yang boleh memilih prosedur ini adalah;

  • Kehilangan sebatang atau lebih gigi.

  • Memiliki tulang bawah gusi yang kuat atau boleh melakukan prosedur graft tulang.

  • Berhadapan dengan trauma yang menyebabkan gigi rosak, patah atau mengalami penyakit kekurangan gigi sejak lahir (hypodontia)

  • Memiliki tisu mulut yang sihat

  • Tidak berhadapan dengan masalah kesihatan yang boleh mengugat proses penyembuhan tulang.
  • Ikan untuk wanita hamil

    Oleh Shukri Matt Ali, HMetro


    WANITA hamil atau wanita yang menyusukan bayi, sering
    dinasihati agar mengelakkan daripada mengambil
    makanan laut secara berlebihan.


    WANITA hamil atau wanita yang menyusukan bayi, sering dinasihati agar mengelakkan daripada mengambil makanan laut secara berlebihan. Mereka perlu menghadkan jumlah ikan yang dimakan kerana banyak spesies marin atau laut mungkin mengandungi paras plumbum yang tinggi yang boleh membahayakan kesihatan ibu, bayi atau janin.

    Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, tanggapan konvensional itu digugat oleh satu organisasi yang memperjuangkan hak ibu dan kanak-kanak yang menasihati wanita hamil dan ibu yang melahirkan anak agar makan lebih banyak ikan bagi memastikan perkembangan otak yang optimum di kalangan bayi mereka. Saranan itu datangnya daripada Gabungan Kesihatan Ibu dan Kanak-kanak Sihat Kebangsaan, kumpulan bukan kerajaan di Amerika Syarikat, yang memberi tumpuan terhadap isu kesihatan kanak-kanak.

    Penasihat saintifik kumpulan itu, Judy Meehan, yang juga Pengarah Eksekutif gabungan itu berkata, wanita hamil dan yang melahirkan bayi perlu memakan sekurang-kurangnya 12 auns ikan setiap minggu. Sebelum ini, Jabatan Pentadbiran Makanan dan Ubat-uba tan Amerika Syarikat menasihati wanita hamil agar me ngehadkan pengambilan makanan laut mingguan mereka tidak melebihi 12 auns, atau kira-kira dua kali pengambilan saja dalam seminggu. Walaupun kedua-dua pihak itu menyarankan wanita hamil selamat jika mengambil makanan laut sebanyak dua kali dalam setiap minggu, kebimbangan terhadap pencemaran plumbum dalam makanan laut menghalang kebanyakan wanita hamil memilih ikan untuk dimakan.

    Penemuan terbaru menerusi kajian mutakhir menunjukkan asid lemak omega-3, yang kebanyakannya ditemui dalam isi ikan, amat penting bagi perkembangan otak janin dan bayi yang baru dilahirkan.

    Awal tahun ini, satu laporan dalam jurnal perubatan The Lancet , merumuskan wanita yang memakan lebih daripada 12 auns ikan setiap minggu semasa hamil akan melahirkan anak yang lebih cerdik dan cepat dari segi perkembangan fikiran.

    “Nasihat agar wanita hamil mengehadkan pengambilan makanan laut mungkin akan mengurangkan pengambilan nutrien yang perlu bagi perkembangan neurologi secara optimum,” kata sekumpulan saintis daripada Institut Ke sihatan Kebangsaan dan Universiti Illinois, Chicago pula. Menurut Meehan, masalah sebenar dalam hal ini berkaitan dengan wanita yang mengurangkan pengambilan ikan dalam diet mereka.

    “Oleh itu, jika mereka (wanita hamil) makan 12 auns hasil laut, ia lebih selamat, langkah yang wajar dan tiada siapa akan mempertikaikannya,” katanya yang mengetuai penyelidikan menggunakan geran Institut Perikanan Negara, sebagai langkah membantu kempen pendidikannya.

    Katanya, bagi wanita yang mahu mendapat faedah kesihatan tetapi bimbang mengenai kandungan plumbum dan racun lain dalam hidupan laut, langkah yang bijak memilih ikan yang mempunyai paras plumbum yang paling rendah.

    Laporan terbaru dalam Jurnal Persatuan Perubatan Amerika merumuskan faedah kesihatan yang amat kaya boleh di peroleh daripada ikan berminyak seperti ikan salmon, hering dan sardin, yang secara umumnya mengandungi plumbum yang rendah. Antara ikan yang perlu dielakkan kerana mempunyai kadar plumbum tinggi ialah ikan yu, ikan layaran dan tenggiri.

    Selasa, Mei 27, 2008

    Membayangkan?

    Salam,

    Lanjutan daripada feedback yang saya terima dari artikel
    Teladan: Kemesraan Rumahtangga Rasulullah s.a.w., antara kisah yang menarik perhatian adalah berkenaan "Segera menemui isteri apabila tergoda". Pada pendapat saya, saya tak berapa setuju suami mendatangi isteri setelah tergoda/terangsang kerana terlihat perempuan lain. Tak kisahlah perempuan itu 'real' menggoda depan mata or just the one on TV, JANGANLAH suami mendatangi isteri sambil membayang-bayangkan susuk wajah/tubuh perempuan yg dilihatnya, kerana berdosa hukumnya.

    Menurut Rasulullah, sekiranya hati kita cenderung terhadap seseorang yang haram bagi kita, maka cepat-cepatlah 'kembali' kepada pasangan kita yang sah. Sama ada secara fizikal atau secara ruhani, di situ kita akan kembali menemui kebahagiaan dan ketenangan. Begitu lembut dan halus Rasulullah mendidik, tidak menghukum hati yang condong itu sebagai berdosa, sebaliknya mengiktiraf kelemahan manusia sebagai sesuatu yang dapat diperbaiki. Dan kita perlu mengambil hadis tersebut secara dua hala, iaitu satu peringatan yang bukan saja ditujukan kepada kaum lelaki, tetapi juga termasuklah kaum perempuan. Tidakkah kita akui, sesuatu yang haram bagi kita, ia mendatangi kita seumpama 'syaitan' yang akan membinasakan...?
    Berkenaan dengan mendatangi isteri setelah tertarik dengan orang lain, jangan kita lupa ada hadis lain yang mengharamkan kita membayangkan rupa paras orang lain ketika bersama pasangan kita, kerana perbuatan itu samalah dengan kita berzina dengan orang tersebut. Seorang hamba yang beriman yang mengikut pesanan Rasulullah, apakah ingin diri kita terjatuh dalam golongan penzina....?

    Dari UZAR (
    Ust Zaharuddin Abd Rahman), menurut majoriti ulama, hukum membayangkan lelaki dan wanita bukan suami atau isteri semasa melakukan hubungan seks adalah diharamkan. Terutamanya jika ia dijadikan kebiasaan, nafsunya terhadap isteri atau suaminya akan semakin pudar dan beralih kepada si lelaki dan wanita luar yang diharamkan buatnya, maka secara mudahnya ia diharamkan kerana tergolong dalam "Muqaddimat az-Zina" atau jalan-jalan permulaan kepada pelakuan haram zina.

    Disebutkan oleh para ulama bahawa :

    لأن العين تزني وزناها النظر المحرم، والعقل يزني، وزناه الاشتهاء الخيالي المحرم

    Ertinya : "kerana mata itu berzina, dan zinanya adalah pandangan yang haram, dan minda juga berzina dan zinanya adalah membayangkan yang diharamkan."

    Justeru mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali menanggapnya adalah salah satu bentuk zina. Sama juga haramnya minum air kosong sambil dibayangkan minuman arak. Demikian yang disebutkan oleh Ibn Al-Haj Al-Maliki (Al-Madkhal) , Ibn Abidin Al-Hanafi, Ibn Al-Mufleh Al-Hanbali ( Dipetik dari kitab Ar-Ri'ayah al-Kubra oleh Ibn 'Aqil).

    Bagaimanapun tidaklah hukumannya seberat zina yang sebenar hingga disebat atau di rejam hingga mati. Cuma ia tergolong dalam saalah satu dosa. Bermakna, berdasarkanhadith Nabi sesiapa yang mendatangi isterinya maka ia beroleh pahala, maka dalam hal ini, ia beroleh dosa kerana pemikirannya itu.

    Sebahagian ulama Syafie hanya menanggapnya sebagai makruh dan hanya tergolong dalam bab haram kerana "Sadd az-Zariah" iaitu bagi menutup jalan-jalan maksiat yang mungkin berlaku hasil perbuatan tersebut. Adapun sebagaia yang diketahui oleh para ulama, setiap perkara yang diharamkan atau tidak digalakkan kerana Sadd Az-Zariah adalah harus di ketika diperlukan. Bermakna, menurut pandangan sebahagian ulama Syafie, jika si suami sebagai contoh amat tidak mampu bersama dengan isterinya kecuali jika membayangkan wanita lain, jika tidak mereka akan bercerai atau pelbagai mudarat besar lain akan berlaku, di ketika yang khas demikian, perbuatan tadi menjadi baginya. Berdasarkan kaedah

    أخف الضررين
    Ertinya : "Mudarat yang lebih ringan" ( Al-Asbah Wa An-Nazair, As-Suyuti)

    Walaupun demikian, terdapat sebahagian ulama Syafie yang lain sependapat dengan mazhab lain dalam hal mengharamkannya, antaranya yang disebut oleh al-Iraqi ( Rujuk Torhu At-Tathrib)

    لو جامع أهله وفي ذهنه مجامعة من تحرم عليه، وصور في ذهنه أنه يجامع تلك الصورة المحرمة فإنه يحرم عليه ذلك

    Ertinya : "Sekiranya ia menyetubuhi isterinya dan di dalam pemikirannya seseorang yang haram baginya, maka ianaya adalah haram baginya dan setiap penyerupaan itu."

    Kesimpulan UZAR:

    Memang benar, sebuah Hadith Qudsi menyatakan bahawa:

    وإذا تحدث عبدي بأن يعمل سيئة فأنا أغفرها له ما لم يعملها، فإن عملها فأنا أكتبها له بمثلها، وإن تركها فاكتبوها له حسنة ، إنما تركها من جراي" أي من أجلي

    Ertinya : Apabila hambaku bermonolog (memikirkan) untuk melakukan satu kejahatan , maka Aku ( Allah) akan mengampunkannya selagi mana ia tidak melakukannya, dan jika ia lakukannya maka aka dituliskan baginya satu dosa, dan jika ditinggalkannya dituliskannya satu pahala, sesungguhnya ditinggalkannya keranaKU." ( Muslim)

    Bagaimanapun pendalilan menggunakan dalil ini untuk mengharuskan tindakan tadi adalah ditolak oleh majoriti ulama kerana pemikiran sedemikian termasuk dalam kategori permulaan zina yang juga diharamkan oleh Allah SWT.

    Malah bukan semua hasrat dalaman hati itu terkecuali dari dosa, malah masih terdapat bentuk yang juga akan diazab seperti hadith lain yang berbunyi :-

    إذا التقى المسلمان بسيفهما فالقاتل والمقتول في النار

    Ertinya : Apabila bertemu dua Muslim dengan pedang masing-masing berbunuhan satu sama lain, maka keduanya di dalam neraka."

    Nabi menambah apabila ditanya sahabat akan mengapa yang dibunuh juga ke neraka dengan kata Baginda :
    إنه كان حريصًا على قتل صاحبه

    Ertinya : Ia sangat ingin dan berazam membunuh saudaranya" ( Bukahri dan Muslim)

    Ini bermakna apabila ia telah bertindak cuma gagal, ia disamakan dengan mengkhayalakan orang lain ketika persetubuhan yang juga dianggap telah memulakan langkah. Kecualilah jika ia hanya khayalan si bujang.

    Pandangan yang terkuat adalah ianya HARAM sebagaimana majoriti mazhab dan sebahagian ulama Syafie. Sekadar ingin mendapatkan lebih kepuasan dengan tindakan demikian juga adalah haram, malah ia boleh dianggap sebagai suatu penghinaan kepada isterinya.

    Adapun bagi yang sememangnya amat amat terpaksa, ia boleh menjadi harus dengan syarat tidak memberitahu isterinya atau suaminya akan hal demikian bagi menjaga perasaan mereka.

    Wallahu'alam.


    Ahad, Mei 25, 2008

    Islam itu matlamat, bukan alat

    Oleh Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

    E-mel: moasriza@yahoo.com

    Berpegang kepada Islam bermaksud beriman atau yakin sepenuhnya dengan segala inti kandungan ajaran agama yang agung tersebut. Pegangan terhadap ajaran Islam ini hendaklah berteraskan keimanan kepada Allah S.W.T bahawa Dia telah memerintahkan kita untuk tunduk kepada-Nya menerusi kepatuhan kepada titah perintah-Nya dalam al-Quran dan sunah.

    Kita tidak menonjolkan pegangan kita kepada Islam ini kerana hendak menjaga hati rakyat, atau keyakinan pengundi atau “apa orang kata” atau untuk meraih dan mengaut untung sesuatu habuan atau perniagaan. Kita tidak boleh berkempen kepada Islam supaya dapat mengukuhkan politik kita, atau melariskan jualan kita, atau “menghalalkan” kesalahan kita. Berpegang dengan Islam sebagai agama yang diimani amatlah berbeza dengan berpegang dengan Islam sebagai alat mengaut atau meraih keuntungan tertentu. Pegangan Islam sebagai al-Din adalah jalan hidup para rasul dan pengikut mereka. Firman Allah: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya Aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang lurus, (kepada) agama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang tulus, dan dia bukanlah daripada orang-orang yang musyrik. Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan yang demikian itulah aku diperintahkan, dan aku adalah orang yang awal bersegera menyerah diri kepada Allah.. Katakanlah: Patutkah Aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dialah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh seseorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain; kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu ia menerangkan kepada kamu akan apa Yang kamu berselisihan padanya.(Surah al-Am‘am: 161-164). Jelas dari ayat ini, Islam adalah matlamat, bukannya alat. Islam itu dipegang atas kesedaran dan keyakinan bahawa itulah tuntutan dan itulah yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah pada hari akhirat kelak.

    Demikian sepatutnya kita dalam berpegang dengan ajaran Islam ini. Walaupun setiap kita ada kelemahan dan kesilapan dalam hidup ini. Kita mungkin gagal untuk mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh, tetapi kita tidak boleh jadikannya alat meraih keuntungan. Kita mungkin ada dosa, tetapi kita tidak boleh menghalalkan dosa kerana kita telah melakukannya. Maka, ketika kita berpegang atau beramal dengan mana-mana perkara dalam ajaran Islam hendak pegangan dan amalan itu dibina di atas keimanan yang membawa keikhlasan hanya kerana Allah. Di situlah datangnya rahmat dan keberkatan. Bukan kerana sebarang kepentingan yang mengatasi asas tersebut. Jika tidak agama ini menjadi mainan kelompok yang sentiasa mencari untung dan kesempatan.

    Keajaiban

    Jika agama hanya alat, maka kita lihat bagaimana pelbagai ubatan yang dijual pada hari ini yang menggunakan nama agama. Sehingga kononnya ada air ajaib yang dihasil dari tulisan al-Quran atas piring atau pinggan yang jika diminum memperoleh pelbagai keajaiban yang jika para sahabat Nabi s.a.w masih hidup pun akan terkejut mendengarnya. Mereka pun tidak pernah mendapat jampi daripada Nabi s.a.w yang seistimewa itu. Begitulah juga apabila al-Quran dijadikan alat bukan matlamat, maka kita dapati seseorang yang sepanjang hidupnya tidak pernah mempedulikan ajaran kitab agung itu, tiba-tiba apabila meninggal diupah orang untuk dibaca al-Quran di tepi mayatnya. Adakah al-Quran memberikan manfaatkan kepadanya, padahal selama ini dia langsung tidak pernah menghiraukan ajaran dan titah Allah dalamnya? Apakah jika mayatnya mendengar alunan al-Quran yang menyuruh dia bersolat, berpuasa, berzakat, menunaikan haji, amanah, adil, juga larangan berjudi, riba, arak, rasuah, khianat dan sebagainya, dia dapat bangun dari kematian yang telah datang kepadanya untuk melaksanakan semua arahan dan titah perintah itu? Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w menyebut: “Al-Quran itu boleh menjadi hujah untuk membela kamu, atau untuk menentang kamu” (Riwayat Muslim). Namun, oleh kerana ada pihak yang membuat bisnes dengan “melelong pahala”, maka al- Quran menjadi alat untuk mengaut keuntungan, bukan pegangan kehidupan. Maka muncullah dalam masyarakat kita pembekal pahala yang boleh diupah dengan beberapa ribu ringgit yang menggunakan bacaan al- Quran untuk pembikinan pahala. Lalu pahala pun boleh diniaga dan akhirat pun boleh dibeli. Justeru itu Nabi s.a.w. pernah memberi ingatan: “Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

    Begitulah juga dalam pungutan zakat. Kempen ke arah zakat begitu hebat lebih daripada kempen kepada solat. Padahal solat adalah rukun kedua Islam selepas syahadah. Namun zakat adalah fulus, maka berbagai ayat al-Quran tentang dosa tidak membayar zakat pun dikeluarkan. Baguslah. Memang pun kewajipan zakat amat besar. Namun tujuan zakat bukanlah untuk mengutip harta orang berada, tetapi untuk memastikan tiada jurang kekayaan yang menakutkan dalam masyarakat, untuk membersihkan jiwa, menghapuskan permusuhan antara yang miskin dan yang kaya, untuk memastikan prinsip bantu membantu dalam kebaikan dan taqwa ditunaikan dalam masyarakat. Maka sepatutnya, bukan dosa tidak membayar zakat sahaja yang patut dikhutbahkan kepada masyarakat, tetapi dosa tidak mengagihkan zakat dengan cara yang betul juga patut diingatkan kepada pihak yang menguruskan. Jangan sampai zakat puluhan atau ratusan juta terkumpul, tiba-tiba cerita si miskin yang menderita masih banyak dan yang menguruskan zakat tidak pula sampai-sampai ke rumah mereka. Bayangkanlah jika ratusan juta itu diagih secara tepat, apakah masih patut ada muslim yang merempat, tidak bersekolah dan tidak bertukar pakaian? Patutkah ada mualaf yang masih hidup dalam kehinaan? Patutkah badan-badan dakwah masih meminta sedekah? Padahal, yang menguruskan nampaknya sudah ada yang bertukar dan bertambah kereta. Apakah patut hanya dosa tidak bayar zakat sahaja yang ditonjolkan, sedangkan kita melupakan, atau kurang mengingatkan tentang dosa salah guna kuasa, rasuah, kronisme yang membelasah harta negara untuk kaum keluarga? Padahal kesemuanya dosa dan kesemuanya mengundang ketidakadilan kitaran ekonomi dalam negara. Namun, jika agama hanyalah alat, maka kita hanya ingatkan rakyat apa yang boleh untuk dikaut untung lalu kita tinggalkan apa yang kita rasa tidak untung.

    Dalam politik, agama selalu menjadi mangsa. Pelbagai nas dibaca menjelang pilihan raya. Ada yang ikhlas, ada yang salah guna. Dahulu ada sahabat saya yang sering membaca firman Allah: (maksudnya) “Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka merekalah orang- orang yang kafir” (Surah al-Maidah, ayat 44) dan firman Allah: (maksudnya) “Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman, dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apa pun” (Surah Ali ‘Imran ayat 28). Lalu berbagai orang yang dilebel kafirkan olehnya. Saya pernah meminta agar dia meluaskan pengetahuannya mengenai ayat- ayat tersebut supaya dia tidak terlalu jumud dan sempit dalam tafsirannya. Tujuannya agar tidak mengkafirkan orang lain dengan begitu mudah. Dia bantah saya, hampir saya pun dikafirkannya. Namun hari ini, apabila apabila partinya berkongsi kuasa dengan bukan Islam, nadanya sudah berbeza. Saya berkata kepadanya: “Apa jadi dengan nas- nas yang dulu?” Katanya: “Syeikh, kita jangan sempit sangat, mesti tengok pelbagai perkara, bukan semua kita boleh buat”. Saya dengan sinis bertanya: “Tak jadi kafir ke kalau macam tu?” Jawab dia: “Kena tengok keadaan la”. Saya diam. Ya, mungkin kafir dulu itu, kafir politik. Namun, begitulah nasib nas-nas al-Quran apabila ia dibaca untuk sesuatu kepentingan.

    Agama dalam negara ini pun dalam banyak keadaan menghadapi nasib yang sama. Kadang-kala sebutan agama itu hanya sekadar penghias majlis, bukan prinsip yang dipegang. Macamlah mereka yang memulakan majlis dengan bacaan doa rasmi itu dan ini, namun perjalanan majlis tidak pula berteraskan prinsip agama. Islam tidak menyuruh majlis mesti dimulakan dengan “doa rasmi”, tetapi menyuruh agar perjalanan sesuatu program berteraskan ajarannya. Berteraskan ajaran Islam bukanlah bererti kena ada ceramah agama, atau penonjolan kempen agama. Cukuplah sekurang-kurangnya tidak melakukan apa yang menyanggahi agama ini.

    Pendirian

    Maka pendirian pemimpin-pemimpin dalam negara ini pun ada yang bagaikan “sumpah-sumpah” yang boleh merubah warna kulit berdasarkan keperluan majlis. Ada yang bercakap tentang rakyat jangan membazir, tetapi jika dilihat dalam majlis yang lain dia mengepalai pembaziran. Ada yang bercakap jangan rasuah dan amanah terhadap harta negara, tetapi dalam majlis yang lain merekalah juga yang menganugerahkan projek-projek kepada “anak-pinak” dan “rakan-taulan” dengan cara yang dipertikaikan. Ada yang merasmikan musabaqah bacaan al-Quran dan orang yang sama juga akan menolak prinsip-prinsip al-Quran di majlis yang lain. Maka tidak hairanlah jika kita melihat wajah yang amat berbeza antara bidang pendidikan, industri hiburan, perindustrian dan pelbagai lagi. Sekejap macam nak ikut Islam, sekejap macam tidak mahu ikut langsung dan pelbagai lagi.

    Hari ini beras dan barangan mula naik. Nanti akan kedengaranlah forum-forum perdana, atau ustaz-ustaz di televisyen berceramah; “jangan membazir”, jimat cermat, belanja berhemat dan pelbagai lagi. Seakan agama ini hanya diperlukan ketika susah semata, tetapi ditinggalkan ketika senang. Atau seakan agama ini untuk makcik-makcik di kampung sedangkan yang di atas tiada kena mengena. Negara ini cukup kaya, jika diuruskan dengan penuh amanah sejak dulu, semua rakyat akan menikmati kekayaannya. Khalifah Umar bin Abdul Aziz memerintah hanya 30 bulan, tetapi kesemua rakyat merasa tidak layak menerima zakat di bawah pemerintahannya. Kewajipan adil dalam pengagihan kekayaan itu yang wajib diforumkan di televisyen dan radio dahulu, kemudian barulah disuruh rakyat berjimat cermat. Memang selama ini pun, mereka yang kekurangan itu telah pun berjimat cermat. Janganlah agama hanya alat untuk kepentingan tertentu, bukan dijadikan prinsip yang memandu perjalanan negara.

    Allah menyebut tentang sikap manusia dalam al-Quran, firman-Nya: (maksudnya) Dialah Yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan pelbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadanya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, Kami menjadi orang-orang yang bersyukur. Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan derhaka kamu itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri. (dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia ; kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa Yang kamu telah lakukan. (Surah Yunus ayat 22-23)

    Bertindak untuk kepentingan tanpa prinsip itu macamlah cerita Panglima Muda di Negera Entah Berentah yang menghunuskan keris menunjukkan keperwiraan. Namun, apabila dia merasakan pengundi negaranya ada yang tidak bersetuju, maka dia memohon ampun dan maaf hanya kerana keris yang dihunuskan ke langit, belum pun ditikam ke perut. Maka dia yang ingin mendapat sanjungan Hang Berani telah bertukar menjadi Hang Takut. Namun, saya rasa kesalahan panglima Negara Entah Berentah memperalatkan keris itu tidaklah seburuk tindakan memperalatkan nas-nas agama.

    Layari http://drmaza.com/

    Jumaat, Mei 23, 2008

    Teladan: Kemesraan Rumahtangga Rasulullah SAW


    Assalamualaikum warahmatullah,

    Ketika kita menempuh bahtera rumah tangga, ketika kita sedang menjalankan perintah Allah dan Rasul-Nya, kita dianjurkan untuk melihat kembali kecintaan kita kepada keluarga Nabi. Dalam memperkuat kecintaan kita kepada keluarga Nabi di dalam mengayuh bahtera keluarga, kita diwajibkan meneladani perilaku kehidupan keluarga Rasulullah, baik perilaku terhadap isteri mahupun anak.

    Dalam menggauli dan memperlakukan isteri-isteri Baginda, Rasulullah SAW senantiasa menghormati dan menjaga perasaan isteri-isterinya melebihi suami-suami yang lainnya. Satu saat ketika Rasulullah hendak melaksanakan solat malam, beliau dekati isterinya Aisyah sampai Aisyah berkata: Di tengah malam beliau mendekatiku dan ketika kulitnya bersentuhan dengan kulitku beliau berbisik, “Wahai Aisyah, izinkan aku untuk beribadah kepada Tuhanku.”

    Kita bayangkan betapa besar penghormatan Rasulullah kepada isterinya sampai ketika beliau hendak melakukan solat malam, beliau terlebih dahulu meminta izin kepada isterinya pada tengah malam, di saat isterinya memerlukannya. Pada izin Rasulullah itulah tergambar kecintaan dan penghormatan terhadap isterinya.

    Nabi adalah sosok yang sangat sabar dalam memperlakukan isterinya. Hal ini terlihat ketika suatu hari ada salah seorang isterinya datang dengan membawa makanan untuk dikirim kepada Rasulullah yang sedang tinggal di rumah Aisyah. Aisyah dengan sengaja menjatuhkan kiriman makanan itu hingga piringnya pecah dan makanannya jatuh berderai. Rasulullah hanya mengatakan, “Wahai Aisyah, kifaratnya adalah mengganti makanan itu dengan makanan yang sama.”

    Rasulullah mengecam suami-suami yang suka memukuli isteri-isterinya sampai Rasulullah berkata, “Aku hairan melihat suami-suami yang menyeksa isterinya padahal dia lebih patut disiksa oleh Allah SWT.”

    Nabi pun mengecam suami-suami yang menghinakan isteri-isterinya, tidak menghargainya, tidak mengajaknya bicara, dan tidak mempertimbangkan isterinya dalam mengambil keputusan. Nabi bersabda, “Tidak akan pernah memuliakan isteri kecuali lelaki yang mulia dan tidak akan pernah menghinakan isteri kecuali lelaki yang hina.” Kerana itu marilah kita berusaha menjadi suami yang mulia yang menempatkan isteri pada tempat yang mulia.

    Kemesraan pasangan adalah penting untuk mengekalkan keharmonian rumahtangga dan Rasulullah SAW telah mencontohkan kemesraan tersebut dengan isteri-isteri baginda.

    Tidur dalam satu selimut bersama isteri

    Dari Atha’ bin Yasar: “Sesungguhnya Rasulullah SAW dan Aisyah r.a. biasa mandi bersama dalam satu bejana. Ketika baginda sedang berada dalam satu selimut dengan Aisyah, tiba-tiba Aisyah bangkit. Baginda kemudian bertanya, “Mengapa engkau bangkit?” Jawab Aisyah, “kerana saya haid, wahai Rasulullah.” Sabda Rasulullah, “Kalau begitu, pergilah, lalu berkainlah dan dekatlah kembali padaku.” Aku pun masuk, lalu berselimut bersama beliau.” (Hadis Riwayat Sa’id bin Manshur)

    Memberi wangi-wangian pada aurat

    Aisyah berkata, “sesungguhnya Nabi SAW apabila meminyaki badannya, baginda akan memulai daripada auratnya menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isteri baginda meminyaki bahagian lain tubuh Rasulullah SAW. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

    Meminta isteri meminyaki badan

    Dari Aisyah r.a., beliau berkata, “Saya meminyaki badan Rasulullah SAW pada hari Raya 'Aidil Adha' setelah beliau melakukan jumrah aqabah.” (Hadis Riwayat Ibnu 'Asakir)

    Mandi bersama isteri

    Dari Aisyah r.a. beliau berkata, “Aku biasa mandi bersama Nabi SAW menggunakan satu bejana. Kami biasa bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bejana tersebut).” (Hadis riwayat Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah)

    Disikatkan oleh isteri

    Dari Aisyah r.a., beliau berkata, “Saya biasa menyikat rambut Rasulullah SAW, ketika itu saya sedang haid.” (Hadis Riwayat Ahmad)

    Minum bergantian pada tempat yang sama

    Daripada Aisyah r.a., dia berkata: “Saya biasa minum dari cawan yang sama walaupun ketika haid. Nabi mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut, lalu Baginda minum, kemudian saya mengambil cawan tersebut dan lalu menghirup isinya, kemudian Baginda mengambilnya dari saya, lalu Baginda meletakkan mulutnya pada tempat saya letakkan mulut saya, lalu Baginda pun menghirupnya.” (Hadis Riwayat Abdurrazaq dan Said bin Manshur)

    Membelai isteri

    “Adalah Rasulullah SAW tidaklah setiap hari melainkan beliau mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang. Baginda menghampiri dan membelai kami tetapi tidak bersama sehingga Baginda singgah ke tempat isteri yang menjadi giliran Baginda, lalu Baginda bermalam ditempatnya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

    Mencium isteri

    Dari Aisyah r.a, “Bahawa Rasulullah SAW biasa mencium isterinya setelah mengambil wuduk, kemudian Baginda bersembahyang dan tidak mengulangi wuduknya.” (Hadis Riwayat Abdurrazaq)

    Dari Hafshah, puteri Umar r.a., “Sesungguhnya Rasulullah SAW biasa mencium isterinya sekalipun sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat Ahmad).

    Berbaring di pangkuan isteri

    Dari Aisyah r.a., “Nabi SAW biasa meletakkan kepalanya di pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian beliau membaca Al-Quran.” (Hadis Riwayat Abdurrazaq)

    Memanggil dengan panggilan mesra

    Rasulullah SAW biasa memanggil Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang disukainya seperti Aisy dan Humairah (pipi merah delima).

    Menyejukkan kemarahan isteri dengan mesra

    Nabi SAW biasa memicit hidung Aisyah jika dia marah dan Baginda berkata, “Wahai Uwaisy, bacalah doa: Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku dari fitnah yang menyesatkan.” (Hadis Riwayat Ibnu Sunni)

    Membersihkan titisan darah haid isteri

    Dari Aisyah r.a., dia berkata, “Aku pernah tidur bersama Rasulullah SAW di atas satu tikar ketika aku sedang haid. Apabila darahku menitis di atas tikar itu, Baginda mencucinya pada bahagian yang terkena titisan darah dan baginda tidak berpindah dari tempat itu, kemudian beliau sembahyang di tempat itu pula, lalu Baginda berbaring kembali di sisiku. Apabila darahku menitis lagi di atas tikar itu, Baginda mencuci pada bahagian yang terkena titisan darah itu saja dan tidak berpindah dari tempat itu, kemudian baginda pun sembahyang di atas tikar itu.” (Hadis Riwayat Nasai)

    Memberikan hadiah

    Dari Ummu Kaltsum binti Abu Salamsh, ia berkata, “Ketika Nabi SAW menikah dengan Ummu Salamah, Baginda bersabda kepadanya, ‘Sesungguhnya aku pernah hendak memberi hadiah kepada Raja Najasyi sebuah pakaian berenda dan beberapa botol minyak kasturi, namun aku mengetahui ternyata Raja Najasyi telah meninggal dunia dan aku mengagak hadiah itu akan dikembalikan. Jika hadiah itu memang dikembalikan kepadaku, aku akan memberikannya kepadamu.” Dia (Ummu Kaltsum) berkata, “Ternyata keadaan Raja Najasyi seperti yg disabdakan Rasulullah SAW dan hadiah tersebut dikembalikan kepada Baginda, lalu Baginda memberikannya kepada masing-masing isterinya satu botol minyak kasturi, sedang sisa minyak kasturi dan pakaian tersebut Baginda berikan kepada Ummu Salamah.” (Hadis Riwayat Ahmad)

    Segera menemui isteri apabila tergoda

    Dari Jabir, sesungguhnya Nabi SAW pernah melihat wanita, lalu Baginda masuk ke tempat kediaman Zainab, untuk melepaskan keinginan Baginda kepadanya, lalu keluar dan bersabda, “Wanita kalau menghadap, ia menghadap dalam rupa syaitan. Apabila seseorang di antara kamu melihat wanita yang menarik, hendaklah ia mendatangi isterinya kerana pada diri isterinya ada hal yg sama dengan yang ada pada wanita itu.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

    Begitu indahnya kemesraan Rasulullah SAW kepada para isteri Baginda, memberikan gambaran betapa Islam sangat mementingkan sikap kerana sikap dan perbuatan baik cara yang paling efektif menyatakan rasa cinta, kasih dan sayang antara suami dan isteri. Inilah teladan yg perlu dicontohi.

    Gentleman dalam layani isteri

    Diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa ketika Rasulullah SAW kembali dari peperangan Khaibar, baginda menikahi Shafiyyah binti Huyaiy r.a. Baginda SAW mengulurkan tirai di dekat unta yang akan ditunggangi untuk melindungi Shafiyyah r.a. dari pandangan orang. Kemudian baginda duduk bertumpu pada lutut di sisi unta tersebut, baginda persilakan Shafiyyah r.a. untuk naik ke atas unta dengan bertumpu pada lutut baginda.

    Berkhidmat pada isteri

    Salah satu ibadah yang paling besar di dalam Islam adalah berkhidmat kepada isteri. Rasulullah bersabda, “Duduknya seorang lelaki dengan isterinya kemudian membahagiakan isterinya, pahalanya sama dengan orang yang itikaf di masjidku.”

    Kita dapat saksikan para jemaah haji ketika tinggal selama seminggu di sana mereka berusaha melakukan itikaf dengan sebaik-baiknya di masjid Nabawi. Kita akan memperoleh pahala yang sama seperti itikafnya para jamaah haji kalau kita duduk bersama isteri dan berusaha membahagiakan, memberikan ketenteraman dan keselesaan kepadanya.

    Begitu pula bagi para isteri. Mereka haruslah menjadi seorang isteri seperti Khadijah Al-Kubra. Khadijah adalah sosok isteri yang sangat dicintai oleh suaminya. Selama Rasulullah menikah dengannya, Rasulullah tidak pernah memikirkan the other women beside her, wanita lain di samping Khadijah. Rasulullah hidup dalam suasana yang penuh dengan kecintaan dan kasih sayang.

    Cinta kasih Nabi terhadap Khadijah tergambar dalam riwayat berikut ini:

    Setelah Khadijah meninggal dunia, Rasulullah SAW menikah dengan Aisyah. Suatu hari Rasulullah sedang berada di depan rumah. Tiba-tiba Rasulullah meninggalkan Aisyah menuju kepada seorang perempuan. Rasulullah memanggilnya dan menyuruh perempuan itu duduk di hadapan-nya kemudian mengajaknya berbicara.

    Aisyah bertanya, “Siapakah perempuan tua ini?” Rasulullah menjawab, “Inilah sahabat Khadijah dulu.” Lalu Aisyah berkata, “Engkau sebut-sebut juga Khadijah padahal Allah telah menggantikannya dengan isteri yang lebih baik.”

    Ketika itu marahlah Nabi sampai bergoncang rambut di atas kepalanya. Lalu beliau berkata, “Demi Allah, tidak ada yang dapat menggantikan Khadijah. Dialah yang memberikan kepadaku kebahagiaan ketika orang menghinaku. Dialah yang menghiburku dalam penderitaan ketika semua orang membenciku. Dialah yang memberikan seluruh hartanya kepadaku ketika semua orang menahan pemberiannya. Dan dialah yang menganugerahkan kepadaku anak ketika isteri-isteri yang lain tidak memberikannya.” Mendengar itu Aisyah tidak dapat memberikan jawapan. Hadis ini diriwayatkan dalam Shahih Bukhari dan Muslim.

    Dalam ucapan Rasulullah SAW itu, selain terkandung kecintaan Rasul terhadap Khadijah, juga terkandung kebaktian Khadijah terhadap suaminya. Khadijahlah yang menghibur suaminya ketika dalam perjuangan dilanda berbagai penderitaan. Khadijahlah yang mengorbankan seluruh hartanya ketika suaminya memerlukan. Khadijahlah yang mendampingi suaminya dalam suka dan duka. Sehingga Rasul berkata, “Tidak ada seorang pun yang dapat menggantikan Khadijah.”

    Kepada para isteri, jadilah seperti Khadijah yang setiap saat rela mengorbankan apapun demi kebahagiaan suami. Yang di saat-saat suami ditimpa duka dan kesusahan siap berdiri di sampingnya, memberikan hiburan dan kebahagiaan kepadanya dengan seluruh jiwa dan raga.

    Kebaktian kepada suami di dalam Islam dianggap ibadah yang utama. Sampai Rasulullah SAW bersabda, “Kalau seorang perempuan memberikan setitis minum kepada suaminya atau memindahkan barang dari rumahnya ke tempat yang lain untuk membahagiakan suaminya, maka pahalanya sama dengan melakukan ibadah satu tahun.”

    Oleh sebab itu, hormatilah suami. Berikan kepadanya penghormatan yang sepenuhnya dan berikanlah kecintaan yang sepenuhnya. Insya Allah, Tuhan akan berkati keluarga yang seperti demikian.



    Sumber: internet

    Hadis: Menjadi Tanggungan

    Kategori : AKIDAH Akhlak

    Tajuk : Menjadi Tanggungan

    Hadith :

    Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi SAW sabdanya yang bermaksud: “Orang-orang yang berusaha mencari nafkah untuk perempuan-perempuan yang tidak (belum) bersuami dan untuk orang-orang miskin, sama dengan orang-orang yang berjuang fi sabilillah.” - Muslim

    Huraian/Pengajaran Hadith:


    Sudah sepatutnya bahawa ketidakmampuan satu-satu pihak akan menjadi tanggungan kepada pihak yang mempunyai kemampuan. Begitulah sebagaimana yang dimaksudkan di dalam hadis di atas. Namun begitu manusia seboleh-bolehnya diwajibkan berusaha agar tidak menyusahkan sesiapa selagimana mereka masih boleh menggunakan kudrat sendiri untuk menyara diri. Bagi wanita contohnya mereka adalah kaum yang menjadi tanggungan kepada bapa ataupun suami sekiranya mereka di bawah tanggunjawab pihak yang berkenaan. Begitu juga orang yang miskin adalah menjadi tugas pihak yang berkuasa dan masyarakat sekeliling untuk prihatin di atas keperluan golongan ini. Dalam hal ini Islam sebenarnya amat menitikberatkan kebajikan setiap golongan. Tidak ada sesiapa pun terkecuali dan yang boleh bersikap lepas tangan. Jika orang yang bertanggungjawab tidak melaksanakan tanggungjawabnya maka Islam menyeru agar ada insan-insan lain yang peka memberikan bantuan. Ganjaran dijanjikan sebagaimana orang yang berjihad fi sabilillah.

    Tazkirah: Lelaki Soleh

    Lelaki soleh dapat didefinisikan sebagai seorang lelaki muslim yang beriman (mukmin), bersih dari segi zahir dan batinnya, mengambil makanan yang bersih dan halal (bukan dari sumber yang haram) serta sentiasa berusaha menjauhkan dirinya dari perkara perkara yang akan mendorong ke arah maksiat dan menariknya ke jurang NERAKA yang amat dalam.

    Lelaki soleh juga ialah seorang lelaki yang sentiasa taat kepada Allah SWT dan RasulNya walau di mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa sahaja. Kesolehan dan keimanan seseorang tidak dapat dilihat dan diukur dari segi lahiriah semata-mata kerana ianya adalah berkait rapat dengan masalah AKIDAH dan KEYAKINAN, kepada siapa dia menyerah keyakinan dan ketaatan dan sebaliknya. TAUHID merupakan dasar tertinggi dalam kehidupan yang harus sentiasa dipelihara kerana apabila tauhid tidak betul dan sempurna, maka seluruh amalan yang dilakukan adalah sia-sia sahaja. Apabila telah jelas kepada siapa kita memberikan perwalian dan terhadap pihak mana kita menolak kepimpinan, barulah Tauhid akan menjadi kenyataan dan berdiri dengan tegaknya dalam jiwa seseorang.

    Oleh yang demikian, jelaslah bahawa kesolehan seseorang lelaki itu tidak dapat dinilai dari segi lahiriah semata-mata. Ianya adalah lebih jauh dan mendalam dari itu senua. Antara hal-hal yang harus dilihat dan dikaji pada setiap individu muslim ialah perkara-perkara yang bersangkutan dengan keyakinan, tujuan dan pandangan hidup serta cita-cita dan jalan hidup seseorang itu.

    Kriteria-kriteria lelaki soleh yang dimaksudkan oleh Al-Quran dan Al-Hadis.....

    1. Sentiasa taat kepada Allah SWT dan Rasullulah s.a.w.

    2. Jihad Fisabilillah adalah matlamat dan program hudupnya.

    3. Mati syahid adalah cita-cita hidup yang tertinggi.

    4. Sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran dari Allah SWT

    5. Ikhlas dalam beramal.

    6. Kampung akhirat menjadi tujuan utama hidupnya.

    7. Sangat takut kepada ujian Allah SWT dan ancamannya.

    8. Selalu memohon ampun atas segala dosa-dosanya.

    9. Zuhud dengan dunia tetapi tidak meninggalkannya.

    10. Solat malam menjadi kebiasaannya.

    11. Tawakal penuh kepada Allah SWT dan tidak mengeluh kecuali kepada Allah SWT

    12. Selalu berinfaq samada dalam keadaan lapang mahupun sempit.

    13. Menerapkan nilai kasih sayang sesama mukmin dan ukhwah diantara mereka.

    14. Sangat kuat amar maaruf dan nahi munkarnya.

    15. Sangat kuat memegang amanah, janji dan kerahsiaan.

    16. Pemaaf dan lapang dada dalam menghadapi ‘kebuduhan’ manusia, sentiasa saling koreksi sesama ikhwan dan tawadhu penuh kepada Allah SWT

    17. Kasih sayang dan penuh pengertian kepada keluarga.

    Selain daripada ciri-ciri di atas, orang-orang yang soleh juga merupakan insan-insan yang senantiasa mendapat ujian dan cubaan daripada Allah SWT setelah para nabi-nabi dan orang orang yang mulia. Mereka menghadapi segala ujian tersebut dengan hati yang tabah dan tetap teguh dalam keimanan serta pendirian. Mereka tidak mudah menyerah kalah dari keganasan dan tekanan musuh.

    Tugas-tugas dan kewajipan Lelaki Soleh

    1. Mencari nafkah (belanja hidup)

    2. Berjihad Fisabilillah

    3. Melindungi dan membela kaum yang lemah dan tertindas

    4. Memimpin, mendidik dan berlaku adil terhadap isteri

    MENCARI NAFKAH

    Tugas mencari nafkah diberatkan kepada kaum lelaki kerana kelebihan dalam penciptaannya yang berupa kekuatan fizikal dan akal fikirannya. Oleh itu Lelaki mampu untuk bekerja keras untuk mencari nafkah, memberi perlindungan dan pertahanan maruah kehidupannya terutama kepada keluarga, agama, bangsa dan agamanya. Inilah sebabnya lelaki diangkat menjadi pemimpin bagi kaum wanita. Oleh itu, seorang lelaki muslim, lelaki dan suami yang soleh, tidak akan melalaikan tugas ini. Ia wajib bekerja menurut apa sahaja kemampuannya. Dalam melaksanakan tugas ini, dia haruslah MEMBETULKAN NIATnya iaitu ikhlas untuk mencari keredhaan Allah SWT. Dia tidak akan merasa MALU untuk melakukannya sebaliknya gembira dan berbangga terhadap pekerjaannya lebih lebih lagi perkara yang halal.

    Lelaki soleh tidak akan lupa untuk mengingati hari akhirat tetapi menjadikannya sebagai tujuan yang utama. Dia bekerja di dunia untuk mencari keuntungan di akhirat, bukannya mengejar keduniaan semata-mata. Dengan cara ini, usahanya akan sentiasa berhasil dan berjaya didunia dan akhirat. Seperti kata ulama Salaf yang bermaksud; Wahai anak Adam! Juallah duniamu dengan akhirat, maka engkau akan UNTUNG semuanya, tetapi jangan engkau jual akhirat dengan dunia, maka engkau akan RUGI semuanya.

    Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi nafkah kepada isterinya, anaknya dan ahli keluarganya, maka ia (iaitu nafkah) yang diberikan adalah sedekah.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah). Pemberian nafkah oleh suami terhadap keluarga merupakan satu amanah yang mesti ditunaikan di mana nafkah tersebut merangkumi perbelanjaan makan minum, tempat tinggal, keselamatan dan perlindungan.

    “Bagi orang-orang yang telah mengerjakan kewajipan agamanya dengan baik, kemudian terasa penat dan letih pada malamnya, sehingga tidak dapat mengerjakan amalan-amalan sunnah, maka Allah dan RasulNya memberikan jaminan dengan ampunan sepanjang malam yang dilaluinya dengan tidur yang nyenyak.”

    Inilah antara ganjaran yang akan dikurniakan kepada lelaki soleh yang mencari nafkah dengan bersungguh-sungguh. Terdapat dua cara orang berusaha mencari nafkah seperti yang dianjurkan oleh ISLAM.

    Pertama: Hendaklah ia tidak melalaikan tugasnya terhadap Allah SWT dan janganlah ia meninggalkan nilai-nilai yang LUHUR.

    Kedua: Hendaklah dilakukan dengan cara yang halal, bersih dan tidak membawa apa apa kemudaratan kepada orang lain dan tidak pula bertentangan dengan peraturan-peraturan umum.

    Antara cara-cara pencarian harta yang diharamkan oleh Islam ialah:

    1. Riba,

    2. Penimbunan barang-barang yang menjadi hajat orang ramai,

    3. Perjudian dan perdagangan minuman keras,

    4. Berlaku penipuan dalam penimbangan dan penukaran barang,

    5. Mencuri

    6. Memakan harta orang lain dengan cara yang bathil seperti yang diterangkan dalam surah An Nisa 4, ayat 29.

    BERJIHAD FISABILILLAH

    Jihad merupakan amal yang paling utama dan puncak ketinggian Islam. Tidak ada satu pun amalan soleh yang dapat menandingi Jihad. Orang soleh tidak sedikit pun merasa gentar dan takut apabila berjuang menegakkan agama Allah sebaliknya sentiasa tersenyum bangga menjadi seorang Pegawai Allah dengan gelaran paling indah iaitu MUJAHIDIN. Inilah yang dimaksudkan dengan lelaki soleh, yang mana pekerjaan utamanya membunuh atau terbunuh. Jika tidak terbunuh, maka ia mesti membunuh. Tidak terdapat alternatif lain kecuali satu antara dua 'YUQTAL AU YAGHLIB' yakni TERBUNUH atau MENANG.

    MELINDUNGI DAN MEMBELA KAUM YANG LEMAH DAN TERTINDAS

    Sememangnya sejak akhir-akhir ini golongan kafir senantiasa mencari peluang untuk menindas dan menakhluki negara-negara serta umat- umat Islam. Orang orang yang soleh haruslah peka dan bersedia untuk bertindak balas supaya umat-umat Islam tidak akan ditindas dengan sewenang-wenangnya oleh golongan tersebut.

    Saad bin Abi Waqas r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Nafkah (infak) yang kamu berikan semata-mata kerana Allah nescaya diberi pahala oleh Allah SWT, bahkan apa yang kamu berikan untuk makanan isteri kamu (perbelajaan rumahtangga) akan diberi pahala juga oleh Allah SWT.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

    Perkahwinan dalam Islam bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan biologi terhadap satu sama lain, malah satu daripada tanda kekuasaan dan kebesaran Allah Yang Maha Esa (ar-Rum, ayat 21). Iaitu kekuasaan-Nya menyatukan dua makhluk yang berlainan jantina serta mempertautkan hati kedua-duanya dengan ikatan kasih mesra. Maka, suami yang soleh ialah suami yang menyayangi serta melindungi isterinya dari perkara berbahaya atau memudaratkannya.

    Suami ialah ketua keluarga yang bertanggungjawab memastikan isterinya memperoleh keperluan hidup seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian yang secukupnya. Suami juga hendaklah membimbingnya agar selamat daripada api neraka. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kaum lelaki itu ialah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh sebab Allah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan juga kerana orang lelaki telah memberi nafkah daripada harta mereka...” (an-Nisa: 34)

    "Wahai lelaki soleh...! Tugas dan tanggungjawabmu bukanlah ringan, bayangkan langit dan gunung tidak mampu membawanya. Kamu sajalah yang akan tampil dan mampu menyelesaikan persoalan besar ini. Orang orang yang lemah dan sedang tertindas sentiasa menanti kehadiranmu. Mereka berdoa agar kamu segera tiba untuk menjadi pembela dan penolong bagi mereka."

    Inilah laungan yang senantiasa terdengar daripada golongan golongan yang tertindas dan mengharapkan bantuan. Oleh itu lelaki yang soleh haruslah memainkan peranannya sebagai pembela agama sama ada secara langsung ataupun tidak langsung demi untuk mengekalkan kedaulatan agama Islam.

    MEMIMPIN DAN MENDIDIK ISTERI

    1. Mengajar dan membimbing dengan cara yang baik sehingga isteri isteri yang tidak solehah menyedari akan kesilapannya dan menukar cara hidupnya menjadi isteri solehah.

    2. Menangani isteri yang bodoh dan keras kepala dengan bijaksana sehingga dia menyedari hakikat yang sebenarnya dan bersedia mengubahnya.

    Demikianlah cara-cara yang telah digariskan oleh Islam untuk mengatasi masalah ketidak-sesuaian suami isteri dalam kehidupan rumah tangga. Apabila menghadapi sebarang kesulitan, lelaki soleh tidak akan cepat melatah dan bertindak menurut nafsu dan perasaan semata-mata tanpa mengambil kira perasaan orang lain. Lelaki soleh akan bertindak dengan cara yang lebih effisien dan bijaksana dan senantiasa memohon petunjuk dari Allah S.W.T. Dengan ini kebahagiaan rumahtangga akan dapat dikekalkan buat selama lamanya. Suami yang soleh akan sentiasa berlaku baik terhadap isteri. Suami yang soleh akan sentiasa maenjaga kebajikan keluarganya terutama isterinya. Ia senantiasa menjaga hati dan perasaan pasangannya dan sentiasa menggembirakan isterinya. Mereka juga akan bertanggungjawab dalam menguruskan urusan rumahtangga dan bekerjasama dengan isterinya.

    Sabda Rasulullah s.a.w. : “Orang yang terbaik diantara kamu adalah orang yang terbaik terhadap isterinya, dan aku adalah orang yang terbaik di antara kamu terhadap isteriku.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

    Tauladan Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan berkeluarga.

    1. Keadaan baginda sebagai suami dan ayah

    2. Kebiasaan baginda di tengah kehidupan berkeluarga

    3. Cinta kasih baginda terhadap isteri dan anak.

    Sumber: SIM