Salamun’alaik,
Hidup di kalangan masyarakat majmuk kebanyakan kita akan berjiran dengan keluarga yang bukan Islam. Bagi kaum Tionghua dan Hindu mereka selalu mempunyai tempat penyembahan masing-masing, kaum Cina mungkin di luar rumah manakala Hindu di dalam rumah. Bila kaum Cina yang beragama Taoisme atau Buddha melakukan upacara penyembahan (biasanya depan rumah), anak-anak kita yang masih kecil akan lihat, dan mungkin pernah bertanya kepada kita....
“Uncle sebelah buat apa tu, ayah?”
Dan secara amnya, kita akan menjawab, “Dia tengah sembahyang atau tengah sembah tuhan dia.”
Jawapan itu, nauzubillah …. Sebenarnya syirik! Dikatakan syirik kerana ia bercanggah dengan prinsip dua kalimah syahadah kita, iaitu “tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH”, tetapi apabila kita memberikan jawapan, “dia tengah sembah tuhan dia.”
Dalam hal ini, kita telah memberi gambaran pada anak kita bahawa ada tuhan yang lain dari ALLAH SWT. Dengan lain perkataan mudah difahami, kita beritahu anak-anak bahawa kaum Cina punya satu tuhan, India satu tuhan, Kristian satu tuhan, dan itu cara mereka menyembah tuhan mereka, lain daripada cara kita menyembah ‘tuhan kita’.
Sedangkan, lidah kita mengucap kalimah “tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH”. Jadi, mana datangnya konsep atau pengertian, “dia sedang sembah tuhan dia.”? Sekiranya jawapan ini dibiarkan diteruskan, anak-anak kita akan terus keliru dengan konsep dan prinsip syahadah kita “tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH”.
Seharusnya, kita terangkan pada anak-anak, “Anak, pertamanya perlu faham, tuhan kita dengan tuhan uncle sebelah sama, kerana ada hanya satu tuhan sahaja iaitu ALLAH, tapi cara dia menyembah tuhan itu salah.”
Nak lagi senang, jawap saja; “Dia sembah tokong atau tok pekong. Syirik, berdosa. Kita orang Islam tak boleh sembah selain Allah.”
Mungkin ada orang kata, “Eh... takkan nak ajar budak 3-4 tahun macam tu? Depa mana tau syirik tu apa.” Sebenarnya jawapan macam itu yang patut kita jawap kepada anak-anak. Bila mereka sudah mula pandai bercakap, kita beri saja jawapan yang betul. Jawapan macam itu akan diikuti oleh mereka, walaupun kadang-kadang mereka tak faham. Sekurang-kurangnya, dia akan tahu, jika disebut perkataan ‘dosa’, itu maknanya perbuatan itu ‘salah’.
Ingat, jangan ambil mudah jawapan yang diberikan kepada anak, kerana jawapan yang salah akan merosakkan akidah atau setidak-tidaknya akan kelirukan mereka.
Hadis dipetik dari JAKIM web (ehadis):
Kategori : AKIDAH Syirik
Tajuk : Syirik; Menganiayai Diri Sendiri!
Hadis : Dari Abdullah r.a. katanya, setelah turun ayat: “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur-adukkan iman mereka dengan penganiayaan...” (hingga akhir ayat surah al-An’am, ayat 82), maka para sahabat merasa sukar memahami maksud ayat itu. Kerana itu mereka bertanya kepada Rasulullah SAW, “Siapakah di antara kami yang tidak pernah menganiayai dirinya?” Jawab Rasulullah SAW, “Bukan begitu! Maksudnya ialah sebagaimana diajarkan Luqman kepada anaknya, katanya: Hai anakku! Janganlah kamu syirik (menyekutukan Allah), kerana syirik itu adalah aniaya besar.”
Huraian:
Kita diperintahkan menjauhi dosa syirik kerana dosa orang yang mensyirikkan Allah SWT amat besar. Antaranya ialah seperti yang disebutkan di dalam firman Allah yang maksudnya: “Orang yang menyekutukan Allah, diharamkannya syurga atasnya dan tempat kembalinya adalah neraka. Dan orang-orang zalim itu tidak memiliki para penolong.” (Surah Al Ma’idah, ayat 72)
Syirik dikatakan sebagai satu kezaliman yang sangat besar kerana manusia yang diciptakan Allah, diberi rezeki oleh Allah, kehidupan oleh Allah, tetapi ia tidak tahu berterima kasih bahkan menyekutukan Allah dengan yang lain.
Rasulullah SAW telah mengajarkan sebuah doa agar terhindar daripada dosa syirik iaitu: “Ya Allah, aku meminta perlindungan kepada-Mu dari perbuatan menyekutukan Engkau dengan sesuatu, sedangkan aku mengetahui hal itu. Dan aku meminta perlindungan kepada Engkau dari tindakan menyekutukan-Mu dengan sesuatu dan aku tidak tahu.”
Renung-renungkan, dan selamat beramal!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...