PAGE

Jumaat, Mei 09, 2008

Bila kegiatan sulit suami terbongkar


Assalamualaikum warahmatullah,

Kali ini saya mahu kongsi secebis kisah benar yang rakan saya alami. Cuma nama asal suami isteri ini telah saya tukarkan untuk melindung privasi mereka.

Setelah mendirikan rumahtangga, Fenda menjadi terlalu cemburu terhadap suaminya. Walaupun suaminya sudah meninggalkan perangai ‘gila perempuan’nya, Fenda masih suka menjadi agen perisik yang memantau setiap gerak-geri Fendi. Pergi ke mana, dengan siapa, urusan apa, berapa belanja, siapa yang bersama, semuanya disiasat dengat teliti. Lengkap sudah penderitaan Fendi oleh perangai isterinya yang mengalahkan ejen CIA itu.

Saya sendiri yang tiada kena mengena dengan Fenda, pun berasa sedikit rimas dengan tingkah lakunya yang terlalu mengawasi Fendi. Kasihan, Fendi merasakan yang dia tidak boleh terbang bebas, asyik diikuti, diatur dan disiasat selang 30 minit sehari!

Bertahun-tahun Fendi memendam perasaan. Anak-anak mereka sudah bertambah ramai. Semakin sayang Fendi kepada Fenda dan anak-anaknya. Dia nekad mahu berubah dan melupakan kisah silamnya yang menyimpan skandal hitam. Mengapa Fenda masih meragui kesetiaannya?

Sanggup berjuang

Cinta isteri kepada suami memang tidak terkalah oleh apapun. Isteri sanggup berjuang dan berkorban untuk kebahagiaan suami. Tetapi satu saja yang isteri tak sanggup lakukan untuk suaminya, diduakan, dimadu dan dicurangi. Jadi siapapun wanita di dunia ini pasti berasa cemburu dan gelisah apabila suaminya berteman rapat dengan wanita lain.

Sebenarnya, tidak salah jika ada sikap sangsi atau cemburu pada suami sendiri. Ini kerana isteri ada hak ke atas suaminya. Tetapi sikap yang kurang elok ini hendaklah dikawal dan janganlah berlebihan, kerana jika tidak, hati yang ‘tenat’ mudah dicerobohi tiupan bisikan syaitan.

Pada suatu ketika isteri Rasulullah SAW, Aisyah r.a. menceritakan tentang sifat cemburunya terhadap baginda; “Pada suatu malam giliran Nabi s.a.w. di rumahku, beliau pulang ke rumah lalu menyimpan serbannya, melepaskan seliparnya dan meletakkan dekat kedua kakinya. Kemudian baginda membentangkan hujung kainnya di atas hamparan tilam lalu berbaring. Tidak lama selepas itu, setelah baginda merasa saya telah tidur, baginda mengambil serbannya, mengambil seliparnya dan keluar membuka pintu dan menutupnya kembali perlahan-lahan. Kemudian aku memakai tudung dan kain. Aku mengikutinya hingga ke Perkuburan Baqi. Baginda berdiri agak lama, mengangkat kedua tangannya tiga kali. Ketika baginda pulang, aku pun pulang. Baginda mempercepatkan langkahnya, aku pun demikian. Baginda melambatkan jalannya, aku pun ikut lambat, baginda berlari, aku juga berlari. Sehingga aku mendahuluinya masuk ke rumah. Aku pun segera berbaring.”

Baginda memerhatikan aku seraya bersabda (yang maksudnya), “Wahai Aisyah! Kenapa kamu termengah-mengah sampai perutmu mengembang mengempis? Aku menjawap: “Tidak ada apa-apa.” Baginda bersabda, “Sungguh kamu akan menceritakannya kepada aku atau Allah yang Maha Lembut lagi Maha Mengetahui menceritakannya.” Aku berkata, “Wahai Rasulullah demi bapa dan ibuku.” Kemudian aku menceritakannya. Baginda bersabda, “Jadi, kamukah yang aku lihat tadi?” Lalu baginda mendakapku erat-erat. Kemudian baginda bersabda, “Apakah kamu menganggap Allah dan Rasul-Nya akan menganiayamu?” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Sentuhan kasih sayang

Kisah rumahtangga Rasululullah SAW ini menjadi pengajaran penting bagi suami dan isteri. Sedangkan Aisyah r.a. sanggup memata-matai RasulullahSAW, apatah lagi kita yang lemah imannya berbanding Ummahatul Mukminin ini. Mengapa RasulullahSAW terus mendakap Aisyah r.a. dengan penuh kasih sayang ketiak banginda tahu perbuatan Aisyah r.a. itu? Ini disebabkan hati wanita itu senang untuk dilembutkan, jika ia panas, sejukkannya dengan sentuhan kasih sayang. Jangan api yang marak itu disiram minyak, pasti terbakar hangus rumahtangga yang dibina.

Isteri pula mesti berterus-terang tentang punca kerisauan yang menghantuinya fikiran. Adakah luak perhatian suami kepada anda? Mungkin suami bertambah segak dan nampak muda daripadanya? Lalu bincangkan dan tanya pendapat suami tentang penampilan yang membuat dia tertarik kepada diri anda. Begitulah resamnya perhubungan suami isteri, ada cinta pasti hadir cemburu.

Ada juga isteri yang tak kisah tentang kisah silam suami. Berbahaya juga bila anda tidak sensitif lansung dengan perilaku suami anda di luar rumah. Lelaki tetap lelaki! Ada yang pandai menyimpan belangnya sampai ke mati. Sudah terlalu banyak kisah lelaki yang meninggal dunia dan isterinya yang sah baru tahu bahawa suaminya itu ada isteri lain. Hebat sungguh sandiwara yang dilakonkan suaminya selama hayatnya dikandung badan.

Bagi seorang isteri yang emosional, kecemburuan itu agaknya lebih ketara dibandingkan sang suami yang banyak bertindak secara rasional. Tetapi memang patut dan baik bagi isteri-isteri untuk bersikap waspada terhadap tindak-tanduk suami mereka, kerana wanita-wanita di luar sana mungkin meminati suami anda. Jika anda mempunyai suami yang memiliki karakter yang memikat, karisma, kaya dan bergaya, terkenal, baik hati dan ciri-ciri hebat yang lain, maka berhati-hatilah! Mungkin peminat-peminat suami anda berani mengajak untuk bermadu dengan suka dan rela hati.

Tips untuk mengenali suami curang:

1. Suami anda selalunya tidaklah terlalu bergaya, tetapi tiba-tiba anda perasan suami mula menjaga badan dan berdandan. Tidak lagi biasa-biasa saja atau selekeh lagi dan cukup ambil peduli kisah penampilan diri! Hah! Ini menunjukkan suami anda sudah mula beri perhatian kepada seseorang yang diminatinya.

2. Suami pakai dua atau lebih talipon gengam? Ada sesetengah kompeni memang ada memberi kemudahan talipon genggam dan suami mungkin dikurniakan kemudahan ini. Tetapi awas, jika salah satu talipon genggamnya dipadamkan. Ini memang boleh menimpulkan keraguan!

3. Suami mula dingin atas katil jika anda mengajaknya bersama. Ada pepatah mengatakan, masakan kucing menolak lauk, ya! Atau mungkin bila suami nampak kelemahan anda, suami mula komplen yang anda tidak pandai itu dan tidak pandai ini! Jika suami memilih untuk berdiam diri tanpa komplen, suami akan bermasam muka.

4. Suami anda semakin banyak termenung sendirian sambil tersenyum meleret seorang diri. Orang yang hatinya sudah berputik dan mula ber‘bunga’ biasanya boleh dilihat menerusi ekspresi mukanya. Maklumlah, lelaki yang baru mula menjalinkan hubungan dengan seseorang yang diminatinya mudah dilihat seri cinta diwajahnya.

5. Tiba-tiba suami anda menjadi seorang yang mudah lupa! Mungkin fikirannya merewang jauh kerana asyik terkenangkan 'kekasih gelap'nya, jadi banyak perkara yang dia mudah lupa.

6. Suatu hari suami mengatakan dia ditugaskan ke luar daerah. Jika anda katakan yang anda ingin turut serta tetapi suami pula bersungguh-sungguh pujuk suapaya anda tidak mengikutnya. Awas! Suami mungkin telah berjanji dengan temanitanya untuk berjumpa semasa ke luar daerah. Ingat, ada tambang murah tiket kapalterbang yang memungkinkan suami melancong bersama 'kekasih gelap'nya!

7. Tiba-tiba suami cukup perihatin dan memberi perhatian lebih pada anda? Jangan mudah terpedaya dengan aksi hidung belangnya, kadang-kala sikapnya yang tiba-tiba positif ini sebenarnya untuk mengaburi mata anda supaya anda tidak perasan atau terhidu kesalahannya.

8. Suami selalu lewat tidur. Jika dulu beriya-iya mengajak anda tidur awal supaya boleh diulitnya tiap-tiap malam, awaslah, jika kebelakangan ini dia suka tidur lewat. Jika tiada rancangan menarik di kaca televisyen dan suami asyik mengerling talipon genggamnya, berwaspadalah. Berkemungkinan suami mahu bermain sms dengan 'kekasih gelap'nya! Lewat malam adalah masa yang boleh menimbulkan suasana romantis.

9. Suami tergagap-gagap bila ditanya soalan yang umum, misalnya “Kenapa nak jaga badan sekarang ni?” atau “Ada tak abang suka perempuan lain?”

10. Suami mula tidak ambil ambil peduli kepada anak-anaknya biarpun selama ini suami mengambil berat perihal anak-anak dan selalu bermesra/bermain dengan mereka.

Antara tip dan ‘kerja-kerja gila’ yang boleh dipertimbangkan oleh seorang isteri dalam menyelamatkan rumahtangganya ialah:

1. Talipon gengamnya selalu di‘silent’ atau ditutup ketika berada di rumah. Jika ini berlaku, tentu ada sebabnya, berkemungkinan besar ada sesuatu yang cuba disembunyikannya. Sesekali periksa talipon gengamnya, semak SMS, email dan panggilan telefon suami. Mohon penjelasan secara berhemah tentang sesuatu yang mencurigakan. Jangan mudah menghukum, tetapi tanyalah dengan baik pada masa yang anda berdua selesa.

2. Apa kata anda buat kejutan! Sesekali ambil cuti mengejut dan pergilah melawat suami di pejabatnya dan biarkan hati anda merasa apa-apa yang berlaku di sana.

3. Ambil peduli siapa teman-teman rapatnya. Sekali-sekala, apa kata anda hubungi teman rapatnya. Tiada salahnya jika anda inginkan kepastian teman-teman suami anda bukanlah dikalangan orang-orang yang boleh ‘merosakkan’ suami anda kerana pepatah Arab ada menyatakan: “Jangan tanya siapa dia, tetapi tanyalah siapa temannya. Setiap teman pasti mengikuti temannya.”

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Teman-teman yang akrab pada hari itu (akhirat), sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Zukhruf, ayat 67).

4. Perbaiki layanan anda terhadap suami dan lakukan perubahan yang positif serta selidikilah kekurangan diri.

Adakah anda seorang isteri yang terobses oleh suami anda? Jika anda tidak risau tentang hal ehwal suami anda sendiri, itu adalah petanda awal bagi keretakan perkahwinan yang dibina. Sayangilah diri dan suami, anda berdua akan kekal bahagia selamanya, insya Allah!




Sumber: Dr Juanda & Internet yang telah diolah semula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...