PAGE

Khamis, Mei 15, 2008

Sihat: Rancang kelahiran anak pertingkat kesihatan ibu


MUDAH: Penanaman implanon ke dalam kulit antara kaedah pencegahan kehamilan terkini.

Lelaki salah faham konsep cegah, kekerapan kehamilan sehingga jejaskan kesuburan isteri

MAJLIS Fatwa Kebangsaan 1981 menghalalkan penggunaan kaedah pencegah kehamilan selagi ia bukan berfungsi secara kekal (kasi), sebaliknya disebabkan oleh faktor kesihatan ibu, penyakit ginetik dan kehamilan terlalu kerap. Penggunaannya diharuskan agama untuk menjarakkan anak atas alasan kesihatan ibu bapa dan kanak-kanak, memberikan kemudahan pendidikan sempurna kepada setiap anak dan kesejahteraan keluarga.

Walaupun tidak ada nas atau ayat dalam al-Quran yang menghalang penggunaan pencegah kehamilan, ada beberapa cara digunakan pada zaman Rasulullah yang menunjukkan mencegah kehamilan dibenarkan. Antaranya yang boleh dijadikan contoh, ketika sahabat Rasulullah SAW, Jabir, menyampaikan kepada Baginda mengenai amalan al-azl atau coitus interruptus iaitu memancutkan air mani di luar vagina di kalangan sahabat, Baginda ternyata tidak menghalangnya.

Malah, umat Islam digalakkan menjarakkan usia setiap anak iaitu sebaik-baiknya dua tahun bagi membolehkan setiap anak mendapat belaian dan perhatian sepenuhnya daripada ibu bapa. Ia terbukti berdasarkan ayat Al-Ahqaf dan Luqman yang mengkehendaki anak disusukan selama dua tahun atau 30 bulan oleh ibunya bagi memastikan kanak-kanak berkenaan mendapat khasiat pemakanan secukupnya.

Namun, ada yang mempersoalkan antara al-azl dengan kaedah merancang keluarga hari ini yang lebih dianggap semacam membunuh zuriat dan bertentangan dengan ajaran Islam. Kekeliruan dan salah anggapan juga timbul berdasarkan firman Allah yang mengingatkan agar tidak membunuh anak kerana takut menjadi miskin padahal rezeki itu diberikan Allah. Perbuatan membunuh anak juga adalah jenayah paling kejam di sisi Allah.

Pakar Sakit Puan dan Perbidanan, Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, menerangkan kaedah sebegitu digunakan untuk mencegah kehamilan daripada berlaku,bukannya membunuh zuriat yang sudah berada dalam rahim.



“Fungsi alat atau pil mencegah kehamilan adalah untuk mencegah persenyawaan sperma dalam ovum,seterusnya menghalang kehamilan daripada berlaku. Ia sama sekali tidak membabitkan pengguguran atau pembunuhan kerana janin belum terbentuk. Pil atau alat yang digunakan untuk mencegah kehamilan menghalang penghasilan telur, seterusnya menyebabkan kegagalan berlakunya persenyawaan dengan sperma,” katanya.

Memperkuatkan lagi hujahnya, Dr Harlina merujuk kepada fatwa atau pandangan Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi mengenai perancangan keluarga. Dr Yusuf Al-Qardhawi yakin kaedah moden merancang keluarga hari ini adalah sama fungsinya dengan al-azl dan dibenarkan secara giyas (analogi).

“Menyentuh mengenai pengguguran, beliau ternyata membantah, terutama apabila janin sudah terbentuk dengan sempurna. Islam membenarkan penggunaan kaedah mencegah kehamilan seperti pil oral, sistem intra-uterin (IUS) dan kondom kerana ia tidak membunuh zuriat, tetapi mencegah daripada berlaku kehamilan.

“Kaedah itu tidak berlawanan dengan kepercayaan rezeki di tangan Tuhan atau takdir. Ibu bapa tidak harus menggunakan alasan ulat dalam batu boleh hidup kerana ia tidak relevan dengan gaya hidup masa kini dan apa yang lebih penting ialah kualiti kehidupan berbanding kuantiti,” katanya.

Dr Harlina ditemui pada perbincangan meja bulat media mengenai Perancangan Keluarga dan Pencegahan Kehamilan daripada Perspektif Islam di Muzium Kesenian Islam, *** Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Perbincangan berkenaan dianjurkan Bayer Schering Pharma Malaysia sebagai usaha menangkis salah tanggapan bahawa perancangan keluarga adalah haram. Turut hadir memberikan pandangan, Pengarah Eksekutif Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (Isra), Dr Mohamad Akram Laldin dan pengacara serta juruhebah radio, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid yang turut berkongsi pengalamannya menggunakan kaedah pencegah kehamilan.

Dr Harlina berkata, amat menyedihkan apabila ada wanita masih melahirkan anak walaupun membawa penyakit genetik yang mengancam nyawa bayi dilahirkan. Kehamilan yang tidak dikehendaki juga sering menjadi punca kematian ibu dan anak. Dianggarkan 100,000 kematian ketika bersalin boleh dicegah setiap tahun di seluruh dunia seandainya setiap wanita yang tidak menginginkan bayi menggunakan pencegah kehamilan.

“Di Malaysia, peratusan wanita yang tidak menggunakan kaedah pencegah kehamilan adalah tinggi sejak 1997 iaitu sekitar 58.9 hingga 65.4%. Jumlah ini juga mempengaruhi peratusan kematian ketika bersalin iaitu hampir separuh (55 %) berlaku di kalangan mereka yang tidak menggunakan kaedah pencegah kehamilan.

“Empat tiang yang menentukan keibuan selamat ialah merancang keluarga, penjagaan antenatal mencukupi, kebersihan dan penjagaan perbidanan diperlukan. Lelaki sebagai suami, ayah dan pemimpin masyarakat dan negara turut memainkan peranan dalam keibuan selamat serta kesihatan wanita,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohamad menasihatkan masyarakat Islam agar tidak terus membuat kesimpulan sendiri mengenai ayat yang dibaca dalam al-Quran khususnya dalam hal merancang keluarga. Sebaiknya pandangan ahli agama diperlukan agar tidak timbul sebarang kekeliruan yang hanya merugikan diri sendiri. Menjelaskan kekeliruan mengenai penggunaan pencegah kehamilan yang dianggap membunuh zuriat, Dr Mohamad merujuk kepada jawapan Saidina Ali terhadap persoalan sama yang pernah ditimbulkan seseorang pada majlis yang turut dihadiri Umar Al-Khattab.

Saidina Ali berkata, ia bukan pembunuhan sebelum janin sempurna menjalani tujuh tahap iaitu daripada air mani menjadi seketul darah, kemudian menjadi segumpal tisu, tulang dan dibaluti daging yang akhirnya menjadi zuriat. Umar juga dikatakan mengiyakan jawapan Ali.

“Mencegah kehamilan bukan membunuh, malah dalam al-Quran menyebut agar kita menjarakkan kehamilan bagi membolehkan ibu bapa memfokuskan setiap anak dilahirkan dengan kasih sayang serta kemudahan mencukupi. Islam menekankan kepentingan membesarkan anak sebagai pemimpin masa depan. Seandainya kualiti kehidupan ini dikhuatiri tidak dapat dipenuhi, pasangan digalakkan merancang kehamilan,” katanya.

Merujuk kepada konsep Islam yang memberikan pilihan apabila berdepan kesukaran, Dr Mohamad berpendapat merancang keluarga adalah pilihan ideal untuk pasangan. Mencegah kehamilan haram digunakan sekiranya ia mengancam nyawa atau memberikan kesan negatif kepada ibu. Justeru, amat penting pasangan berbincang sebelum membuat keputusan merancang kehamilan dengan pencegah kehamilan.

Isteri boleh membuat keputusan sendiri untuk menggunakan pencegah kehamilan walaupun tanpa persetujuan suami kerana ia adalah untuk kebaikan tubuh badan mereka sendiri. Dalam Islam, kita tidak perlu taat kepada orang yang menentang perintah al-Quran. Lelaki selalunya ego dan enggan memberikan kerjasama dalam hal ini, tetapi mereka perlu fikir mengenai kesannya. Sebaiknya perkara ini turut ditekankan dalam kursus perkahwinan bagi menerangkan lebih lanjut mengenai pencegah kehamilan,” katanya.

Aleya yang baru mendirikan rumah tangga empat bulan lalu tidak ragu-ragu membuat keputusan untuk menggunakan pencegah kehamilan atas alasan belum bersedia bergelar ibu. Namun, Aleya yang baru berusia 25 tahun menegaskan itu bukan bermakna beliau dan suami tidak menginginkan cahaya mata.

“Kami merancang untuk memiliki lima anak, tetapi bukan dalam masa terdekat. Kesibukan tugas harian membimbangkan kami gagal menjadi ibu bapa yang baik kepada anak yang dilahirkan nanti. Sememangnya menjadi impian saya untuk menjadi isteri dan ibu yang baik. Bagi saya apalah guna melahirkan anak, tetapi tidak mampu memberikan tumpuan dan kasih sayang sepenuhnya kepada mereka. Ia secara tidak langsung adalah satu penganiayaan terhadap kanak-kanak dan ia dikatakan sebagai dosa besar,” katanya.

Beliau berkata, tidak dinafikan keputusannya menggunakan pencegah kehamilan pada awal perkahwinan sering dipandang serong oleh masyarakat sekeliling. Lazimnya ramai pasangan bimbang menggunakan pencegah kehamilan sebelum dianugerahkan dengan cahaya mata kerana dikhuatiri menjejaskan tahap kesuburan mereka pada kemudian hari.

“Memang keputusan saya ini dipandang sebagai sesuatu yang ‘jahat’ sangat. Bagaimanapun, sebelum membuat keputusan ini, saya menemui pakar sakit puan dan ustazah untuk mendapatkan pandangan. Berkahwin bukan bermakna kita harus memulakan ‘kilang’ melahirkan anak, tetapi sebaiknya ia dirancang demi kualiti kehidupan sempurna untuk anak. Kehamilan yang tidak dirancang hanya membuatkan ibu dan anak menderita,” katanya.

Sumber : Halina Mohd Noor di BHarian, Khamis 2008/05/15



1 ulasan:

  1. YEss..bawangGoreng...

    Saya memang mencari-cari artikel tentang implan ni..wooo..kene belah kulit ekk??

    Ok tak pe..whatever..Thanks a lot !

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...