SUNTIKAN mencegah bakteria pneumokokus boleh diberi sebaik kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun. |
Kuman pneumokokus mudah merebak kepada bayi melalui cecair yang dilepaskan ke udara seperti batuk atau bersin
BAGAIMANA anda menghadapi anak kecil yang diserang demam tetapi enggan makan dan tidur sepanjang hari? Bagaimana jika anak anda menunjukkan simptom meningitis (radang selaput otak), doktor terpaksa mengambil air tulang belakang anak anda untuk mengesahkan penyakit itu? Seperti biasa, sebagai ibu bapa kita menolak permintaan doktor terbabit.
Adakah anda tahu, sebenarnya anda membuat kesilapan yang sangat besar apabila menolak permintaan doktor untuk mengambil air tulang belakang anak anda?
Meningitis adalah satu daripada tiga komplikasi utama jika anak anda diserang kuman pneumokokus. Selain itu, komplikasi utama lain termasuk pneumonia, kuman dalam darah (bakteremia) dan jangkitan telinga tengah.
Pakar Perunding Kanak-Kanak (Penyakit Berjangkit), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kelantan, Dr Mohd Suhaimi Abd Wahab, berkata penyakit pneumokokus memang banyak berlaku di Malaysia jika dibuat perbandingan dengan data antarabangsa.
Bagaimanapun, katanya data tempatan tidak banyak dilaporkan kerana penyiasatan mikrobiologi hanya dibuat pada sejumlah kes yang kecil.
“Selalunya jika ada jangkitan telinga tengah, ada sebilangan doktor tidak mahu mengambil sedikit contoh nanah dalam telinga untuk dikaji sama ada ia pneumokokos atau sebaliknya,” katanya.
Malah, jika ia membabitkan meningitis, mengambil sedikit air tulang belakang adalah cabaran paling hebat kerana kebanyakan ibu bapa atau datuk dan nenek membantah sekeras-kerasnya cadangan itu yang kononnya akan merencatkan mental anak mereka.
“Sebenarnya prosedur mengambil air tulang belakang tidak akan menyebabkan anak mengalami kecacatan atau merencatkan akal, sebaliknya masalah itu akan berlaku jika diagnosis dilengah-lengahkan terhadap anak disyaki meningitis yang menyebabkan keadaan itu,” katanya.
Bagaimanapun, katanya bukan semua penyakit pneumokokos memerlukan air tulang belakang. Ia hanya terhad untuk mengesan kuman penyebab meningitis, ensephalitis dan beberapa penyakit urat saraf.
“Keengganan ibu bapa bekerjasama dan sikap doktor yang tidak membuat penyiasatan mikrobiologi menyebabkan Malaysia hanya mempunyai data yang terhad mengenai penyakit pneumokokus,” katanya.
Bagi seorang ibu kepada empat anak, Ritzzamoni Rosli, 30, pengalamannya berhadapan dengan anak yang diserang penyakit pneumokokus menyedarkannya betapa perhatian serius perlu diberi jika anak diserang demam.
Pengalaman itu dialami Ritzzamoni selepas anaknya berusia tiga bulan berhadapan dengan pneumonia selepas tidak mahu minum susu dan sukar bernafas.
“Dunia saya gelap dan saya bertanya diri sendiri mengapa saya terlalu cuai hingga anak saya terpaksa ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), dicucuk di sana sini hingga bil perubatan mencecah RM15,000,” katanya.
Anak bongsu Rittzamoni, Ros Aqidah Rosli disahkan diserang pneumonia oleh doktor selepas warna kulitnya bertukar pucat.
Sebelum itu, katanya Ros Aqidah tidak menunjukkan simptom lain seperti selesema atau demam. Dia hanya tidur berterusan selama empat jam, tidak mahu minum susu dan sukar bernafas.
Di ICU, Ros Aqidah bergantung pada alat bantuan pernafasan 100 peratus. Hati Ritzzamoni luluh melihat anak kecilnya disuntik dengan pelbagai ubat dan dicucuk di sana sini termasuk darahnya diambil. Dia tidak boleh buat berbuat apa-apa, apa yang boleh dilakukan hanya melihat dan berdoa anaknya cepat sembuh.
“Apabila Ros Aqidah sembuh, syukur saya tidak terhingga. Dulu, saya ingat sudah cukup sempurna sebagai ibu kerana ada tiga anak sebelum Ros Aqidah lahir, tetapi tidak. Saya cuai dan tidak tahu sudah lama vaksin menentang pneumokokus ada di pasaran. Jika dari dulu saya ambil vaksin itu, Ros Aqidah tidak perlu melalui pengalaman yang sebegitu getir,” katanya.
INFO: Kenali pneumokokus
- Dikenali juga sebagai bakteria streptococus pneumoniae yang juga penyebab utama penyakit pneumokokus.
- Ia merebak melalui cecair yang dilepaskan ke udara seperti batuk atau bersin.
- Pneumokokus boleh menyebabkan meningitis, pneumonia, kuman dalam darah dan jangkitan telinga tengah.
- Kanak-kanak yang berisiko diserang pneumokokus adalah mereka yang ditempatkan di pusat jagaan kanak-kanak, berusia bawah 24 bulan dan memiliki daya imun yang rendah.
- Pneumokokus boleh dicegah dengan vaksin pneumokokus yang boleh didapati di klinik dan hospital swasta. Ia tidak tersenarai dalam jadual imunisasi kebangsaan.
- Bayi berusia tujuh hingga 11 bulan memerlukan dua dos sekurang-kurangnya dalam tempoh selang sebulan dengan dos ketiga pada tahun kedua usianya.
- Bayi berusia dua hingga 23 bulan juga memerlukan dua dos berselang dua bulan manakala kanak-kanak berumur 24 bulan hingga sembilan tahun memerlukan hanya satu dos.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...