APAKAH yang akan berlaku pada diri kita jika setiap hari tidak pernah ditimpa kesusahan? Wang yang banyak boleh membeli apa saja dimahukan, anak dan cucu hadir di sisi mengisi kekosongan hati dengan telatah mendamaikan jiwa, rumah besar dan aman daripada sebarang kejahatan, tubuh badan sentiasa cergas dan sihat, populariti disegani dan kedudukan tinggi di mata masyarakat. Semua serba sempurna tiada kecacatan dan kekurangan dirasai. Adakah keadaan sebegini baik untuk iman kita?
Keadaan terlalu selesa sebenarnya boleh membahayakan iman dan menjejaskan ingatan kita kepada keperluan bergantung pada kuasa Allah SWT. Mungkin jika harta sudah banyak terkumpul seseorang mudah lupa bagaimana menadah tangan dan melafazkan doa: “Ya Allah SWT hindarkanlah aku daripada muflis di dunia dan di akhirat.”
Jika hidup sentiasa sihat dan cergas, mungkin manusia suka melayan hawa nafsunya, memuaskan segala keinginan hati, suka bermalas-malasan, lupa menuntut ilmu dan menunda amal kerana ia tidak rasa dekat dengan penyakit dan ajalnya. Dan jika kesenangan saja yang dirasa mungkin apabila sedikit ujian datang kita akan mengeluh, membenci dan marah dengan ketentuan Allah SWT.
Sama halnya dengan kemiskinan, sakit dan ujian kehidupan yang bermacam boleh menjadi perangsang meningkatkan iman atau pun sebaliknya mendekatkan kita kepada kekufuran.
Pernahkah hati kita berbisik, jika ujian kemewahan pun kita tidak kuasa menghadapinya apatah lagi jika kemiskinan yang ditakdirkan untuk kita, apakah akan terjadi dengan iman kita? Jika sihat masih suka mengeluh dan membenci peristiwa dijalani hari ini, bagaimana jika sakit tenat menunggu ajal?
Setiap mukmin mesti membuat persediaan rapi bagi menjaga imannya daripada hasutan syaitan dan penyelewengan hawa nafsunya sendiri. Kadang-kadang kita mencuba beberapa formula untuk menghidupkan iman tetapi kelalaian akan datang berulang. Mengapakah formula yang diamalkan itu tidak menjadi?
Antara kesilapan orang mukmin ketika berusaha meneguhkan imannya ialah:
Sungguh pemikiran yang pelik akibat kejahilan dan dangkalnya ilmu. Apakah dia tahu Tuhan sudah menerima pahala haji dan umrahnya itu? Jika niatnya saja tidak lurus daripada semula, mana mungkin amal diterima. Semua amalan yang rosak niatnya maka rosak pula segala-galanya.
Contoh yang menunjukkan kita lebih suka kuantiti daripada kualiti amal ialah membaca al-Quran untuk mendapat pahala banyak, maka dibacalah beberapa juzuk walaupun tanpa pemahaman dan kehadiran hati. Tidak kita nafi mengenai pahala yang datang beratus ribu jika satu huruf digandakan sepuluh pahala, tetapi sampai bila kita boleh bertahan jika hati tidak rasa seronok dan mungkin jemu kerana keletihan membaca. Seandainya seseorang boleh membaca al-Quran dengan lidah dan hatinya kemudian akal fikirannya membentuk realiti mengenai ayat yang dibaca, tentu lebih seronok dan khusyuk menyelami pemikiran al-Quran.
Bacaan kita akan menghidupkan iman di jiwa walaupun hanya satu ayat yang diiringi dengan tadabbur. Bukankah Rasulullah SAW sering mengulang ayat yang mengesankan hati baginda SAW? Urusan pahala berada pada kuasa Allah SWT, diterima atau ditolak pun kita tidak akan sampai kepada ilmu Allah Yang Maha Tinggi.
Paling penting ialah apa-apa amal soleh walaupun sedikit yang termampu hendaklah membekas ke dalam hati, menguatkan iman dan membentuk keperibadian hamba yang diredai Allah. Yang sedikit tetapi berterusan boleh menghidupkan jiwa adalah lebih baik daripada amal banyak disertai sikap ujub, takbur, riak dan meletihkan jiwa yang sememangnya tidak kuasa hidup seperti malaikat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran selama perhatian hatimu menuju kepadanya, apabila kamu bimbang maka berhentilah.” (Hadis riwayat Muslim)
Mengapa ayat pertama diturunkan berbunyi: “Iqra’, Bacalah! Bukannya solatlah, sedekahlah, buatlah haji dan sebagainya. Kepentingan ilmu lebih diutamakan untuk menguatkan amal seseorang. Orang yang menuntut ilmu akan bertambah yakin setelah mempelajari dalil dan hujah al-Quran mengenai sesuatu amalan yang dilakukan kerana mentaati Allah SWT. Ilmu juga menunjukkan jalan yang dilalui para Nabi dan Rasul menuju keredaan Allah SWT.
Ilmulah membezakan manakah amal yang salah dan mana yang sahih di sisi Allah SWT. Ahli ilmu lebih tinggi kedudukannya daripada orang yang beribadah tetapi meninggalkan ilmu seperti mana sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Kelebihan orang yang berilmu (alim) dengan yang beribadah (abid) seperti kelebihanku ke atas orang yang paling rendah di antara kamu.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi)
Betapa ramai orang disesatkan dalam akidah dan ibadahnya kerana tiada ilmu. Penyelewengan yang ketara ialah apabila kumpulan dan aliran yang mengada-adakan ciptaan dan rekaan sesuatu cara ibadat dengan mengikuti hawa nafsu tanpa sandaran ilmu bersumber daripada al-Quran dan hadis.
Rasulullah SAW pernah memberi peringatan mengenai hal ini dengan sabda Baginda yang bermaksud: “Allah tidak menghapuskan ilmu dengan cara mencabutnya daripada dada manusia. Tetapi dengan jalan mewafatkan para ulama. Apabila tidak ada lagi para ulama, maka manusia mengangkat orang jahil menjadi pemimpin mereka. Lalu mereka bertanya kepada para pemimpin yang jahil itu. Dia memberi fatwa tanpa ilmu dan menyesatkan orang ramai, maka sesatlah mereka semuanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmizi)
Umat Islam seharusnya menjadikan ulama sebagai sumber menghidupkan iman mereka, tetapi ramai yang memerlukan ulama hanya untuk menolong menguruskan mayat, membaca tahlil dan talkin.
Mereka hanya ingat kepada ulama jika ditimpa ujian dan musibah untuk sekadar meminta doa supaya lancar perniagaan diusahakan. Ulama diperlukan untuk majlis kahwin, orang mati dan majlis kenduri.
Mengapa tidak datang kepada ulama untuk meminta seteguk ilmu daripada mata air yang diwarisi daripada Rasulullah SAW supaya teguh iman kita dan lahir jiwa yang kuat mengharungi cabaran dunia dalam segala bidang kehidupan.
Apabila ilmu agama dipisahkan daripada realiti kehidupan yang dihadapi setiap hari, maka akan lahir generasi paginya beriman tetapi pada sebelah petang hilang segala iman di dadanya. Mereka ingat kepada Allah saat di masjid saja, di luar daripada itu mereka rela ditipu oleh dunia.
Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my
Sumber: BHarian 12/05/08
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...