Assalamualaikum Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh...
Segala puji-pujian kehadrat Allah subhanahu wata'ala, kepada-Nya kita menyembah. Salam serta selawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.
Saat keyboad ini diketuk, saya terbaca berita kisah 'Abang Mat' yang permohonan berpoligami kali ke empatnya ditolak oleh mahkamah sebelumnya, kini telah mendapat kelulusan pula. Saya tak berapa berminat tentang perkembangan ini cuma ingat-ingatlah wahai lelaki, isteri bukanlah hak milik, tetapi adalah tanggungjawap, amanah dan anugerah dari Allah SWT.
Sejauh manakah anda, sebagai seorang suami menghargai amanah dan anugerah dari Allah SWT? Fikir-fikirkanlah....
Sedangkan Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa wanita, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Tidak ada anehnya, sebab di situlah letaknya normal tidaknya seseorang lelaki. Itu kita, sekuat manapun kita, tanpa wanita siapalah kita.
Apa lagi yang tidak ada di Syurga, namun Nabi Adam a.s. tetap rindukan seorang teman. Itu alangkan Nabi. Betapa kita tidak mahu mengakui kita amat memerlukan wanita di sisi kita. Allah telah memberikan Nabi Adam a.s. sebaik-baik teman, Siti Hawa. Allah juga mungkin telah memberikan sebaik-baik teman iaitu isteri kita sekarang ini.
Kerana adanya wanita, kita ada seseorang untuk dipanggil isteri. Kerana adanya wanita, kita dilahirkan oleh seseorang yang boleh kita panggil ibu. Kalau rezeki kita baik, kita ada anak yang boleh dipanggil puteri. Mereka semua adalah wanita. Mereka menjadi penyeri kepada kehidupan kita.
Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki, tetapi kalau kita sendiri yang tidak lurus, tidak mungkin kita mampu hendak meluruskan mereka. Tidak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.
Wanita diperlukan, tetapi kejadian mereka yang berbeza dengan struktur tubuh kita, menjadikan wanita unik dan istimewa. Menjadi tanggungjawap kita meluruskan mereka. Dengan apa? Dengan harta, dengan kedudukan, dengan pangkat atau dengan nama? Semuanya itu mungkin selagi meniti dia atas petunjuk Ilahi.
Didiklah wanita dengan panduan daripada-Nya. Isteri bukan untuk dizalimi, bukan juga untuk diperhambakan. Ibu bukan untuk dipersia tetapi dihormati dan diagungkan, sesuai dengan jasa dan kedudukannya terhadap kita. Anak gadis untuk diperlihara, dilindungi dan diberikan keselesaan hidup semampu kita. Mereka semua adalah teman untuk perjuangan hidup kita. Tatkala kita sudah tidak berupaya, merekalah yang kita dambakan, tatkala kita berkuasa sudah sepatutnya mereka kita lindungi.
Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal, di situlah suisnya untuk menundukkan mereka kepada Allah, kita sendiri perlu lebih dahulu kenal dengan-Nya. Allah adalah tempat untuk mengadu. Kita ambil seorang isteri atas kalimah Allah, dia adalah amanah untuk kita pelihara dan jaga.
Jika akalnya setipis rambut, tebalkan dengan ilmu. Jika perasaannya selembut sutera, hiasilah dengan akhlak dan kasih sayang. Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan tuhan. Bisikkan ke telinga mereka, kelembutan bukan suatu kelemahan.
Tanpa ilmu, iman, akhlak dan kasih sayang, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula membengkokkan. Lebih ramai lelaki yang dirosakkan oleh perempuan daripada perempuan yang dirosakkan oleh lelaki. Sebodoh-bodoh perempuan pun boleh menundukkan sepandai-pandai lelaki. Di situlah hebatnya wanita yang perlu kita ketahui. Itulah akibatnya apabila wanita tidak kenal tuhan. Bila mereka derhaka, dunia lelaki akan huru-hara. Bila tulang rusuk patah, rosaklah jantung, hati dan limpa.
Wahai lelaki, jangan mengharap ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah, pimpinlah diri sendiri kepada-Nya. Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah pimpinan kita.
Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang memelihara tiga orang anak perempuan, dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, memberikan pendidikan kepada mereka dan mengahwinkan mereka, maka dia berhak masuk ke dalam syurga." (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ibn Hibban)
Akhir kata, jangan bandingkan isteri anda dengan Siti Fatimah, kalau anda belum seperti Sayidina Ali!
Sumber: Dr. HM Tuah
Feedback yg saya terima thru email....
BalasPadamWan Ahmad Wan Mohamad wrote:
Assalamualaikum!
Saya setuju dengan tulisan ini. Pesoalan asas yang dilepas pandang ialah soal asas kefahaman terhadap ikatan dalam perkahwinan iatu sendiri. Salah satu sebabnya mungkin berpunca dari terlalu besar jumlah wang yang perlu dibelanjakan untuk melangsungkan perkawinan. Lantaran itu, ramai pasangan beranggapan bahawa suami atau isteri mereka adalah harta/hak milik peribadi. Jadi, sebagai harta, mereka itu boleh dimanupulasi sesuka hati tanpa boleh digangu gugat oleh orang lain. Mereka lupa atau mungkin memang tidak faham bahawa perkahwinan adalah merupakan satu kontrak sosial dimana didalamnya tergaris terma dan dan syarat yang perlu dilaksanakan oleh kedua-dua belah pihak. Kedua-dua belah pihak harus bergerak dan bertindak seiring dengan tugas dan tanggung jawab masing-masing. Dengan kata lain kedua-dua belah pihak perlu juga menghormati segala hak pihak yang lain selagi mana ianya tidak melangkaui batas yang telah digariskan tersebut. Sikap toleransi dan perbincangan secara objektif perlu diamalkan jika timbul sebarang masalah. Ini bertujuan mengingatkan kedua-dua pihak tentang tugas masing masing dalam menjamin keharmonian dan kerukunan. Yang lebih penting, formula win-winmesti dicari jika timbul sebarang permasalahan. Jangan sampai memerangkap pihak ketiga dalam apai pertlingkahan mereka. Pihak ketiga itu adalah anak-anak, keluarga kedua-duanya dan rakan taulan.
Wassalam