PAGE

Isnin, Jun 23, 2008

Alahan Laktosa (Lactose intolerance) dan Alahan Susu Lembu

Apakah laktosa?

Susu dan hasil tenusu mengandungi gula susu yang perlu dipecahkan menjadi lebih kecil supaya dapat diserap ke aliran darah. Gula susu ini dipanggil laktosa. Ia dipecahkan oleh enzim lactase di dalam usus.

Apakah alahan laktosa?

Alahan laktosa adalah ketidakupayaan untuk menghadamkan gula susu atau laktosa.

Bagaimanakah Alahan Laktosa Berlaku?

Ianya berlaku kerana kekurangan enzim lactase secara sementara atau kekal. Enzim lactase ini terdapat di lapisan dalam usus.

Jenis-jenis alahan lactosa

Alahan laktosa mungkin kekal (primary)

  1. Congenital (sejak lahir)
    • Jarang berlaku
    • Berlaku semasa lahir
  2. Lewat (bagi dewasa)
    • Biasa berlaku di kalangan orang asia
    • Berlaku dalam anggaran umur 20 tahun

Alahan Laktosa Sementara (secondary)

Alahan laktosa sementara berlaku disebabkan kerosakan/kecederaan pada usus yang disebabkan oleh:

  • Jangkitan kuman pada usus (Gastroenteritis)
  • Penyakit usus seperti Coeliac Disease
  • Pembedahan usus

Berapa kerapkah keadaan ini berlaku?

  • 2/3 daripada kebanyakan bayi mengalami gejala penyakit ini.
  • Secara am ianya adalah sementara dan tidak merbahaya.
  • Enzim lactase lazimnya akan berkurangan apabila kanak-kanak mula makan makanan pejal.
  • Kebanyakan orang akan terus menghasilkan enzim lactase dan sebahagian (kebanyakan orang asia) pula berhenti menghasilkan enzim lactase apabila meningkat dewasa.

Apakah tanda-tanda dan gejala penyakit ini?

Gejala ini akan kelihatan ½ hingga 2 jam selepas memakan makanan yang mengandungi laktosa:

  • Bayi merengek dan menangis.
  • Perut kembung dan memulas
  • Berak cair yang berbau busuk
  • Kentut yang berlebihan
  • Kulit melecet di bahagian punggung

Diagnosa

Semua tanda-tanda di atas bukan saja berlaku bagi kes alahan lactosa tetapi juga berlaku kepada alahan makanan lain atau penyakit-penyakit lain. Oleh itu diagnosa ini hanya boleh dibuat selepas kes diperiksa oleh doktor.

Apakah masalah yang akan timbul akibat penyakit ini?

Alahan laktosa sementara tidak akan menyebabkan komplikasi kepada kanak-kanak. Walau bagaimanapun, kes yang serius jika tidak dirawat boleh menyebabkan:

  • Kekurangan air dalam badan (Dehidrasi)
  • Kurang zat makanan
  • Pembesaran terencat

Bagaimanakah cara merawat masalah ini?

Kawalan pemakanan adalah cara utama merawat alahan lactosa. Cuba elakkan makan makanan yang mengandungi laktosa, di samping itu pastikan kanak-kanak tersebut mendapat makanan yang seimbang.

Dapatkan nasihat doktor sebelum memulakan sebarang rawatan.

Alahan laktosa yang kekal :

  • Tidak dapat diubati.
  • Elak semua makanan yang mengandungi laktosa.
  • Bayi yang menyusu susu ibu atau susu formula perlu ditukarkan kepada susu yang tidak mengandungi lactosa. Susu tersebut mungkin dibuat dari susu lembu tanpa laktosa (lactose free) atau susu soya.
  • Pastikan makan makanan seimbang dan mempunyai cukup nutrien untuk pembesaran.

Alahan laktosa yang sementara:

  • Kurangkan makanan yang mengandungi laktosa.
  • Selang-selikan penyusuan susu ibu dan susu formula yang tidak mengandungi lactosa.
  • Mungkin perlu minum susu tanpa lactosa sahaja buat seketika.
  • Selepas tiada gejala dalam masa 2-4 minggu, boleh mulakan penyusuan susu formula biasa untuk bayi.

Apakah jenis makanan yang mengandungi laktosa?

Makanan mengandungi laktosa termasuk:

  • Susu dan hasil tenusu seperti keju, mentega dan lain-lain.
  • Coklat dan minuman coklat dan berperisa coklat.
  • Aiskrim.
  • Margerin.
  • Roti dan biskut.
  • Bijirin sarapan.
  • Manisan susu (candy), gula-gula yang mengandungi susu.
  • Susu pekat manis.
  • Susu cair.

Laktosa juga terkandung dalam makanan berikut:

  • Semua jenis susu.
  • Gandum dan protein susu.
  • Susu tepung.
  • Tairu.

Bagaimana keadaan ini boleh dielakkan?

Elakkan semua makanan yang disebut di atas.

Apakah langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil?

  • Baca label kandungan makanan yang hendak dibeli.
  • Berhati-hati memilih makanan yang tidak dicatatkan kandungannya.
  • Dapatkan nasihat pakar pemakanan tentang kandungan makanan yang tidak pasti.
  • Jangan kerap menukar susu bayi anda. Dapatkan nasihat doktor di hospital.


Apa itu alahan susu lembu?

Susu terdiri dari protin, gula lemak, vitamin, bahan galian dan air. Ada sebahagian kanak-kanak mempunyai sistem immunologi abnormal yang bertindakbalas kepada protin susu. Ini menghasilkan keadaan dipanggil alahan kepada susu lembu.

Apakah ia masalah biasa?

  • Antara 1–5 % bayi ada alahan kepada protin yang terdapat dalam susu lembu dan susu formula yang berasaskan susu lembu.
  • Kebanyakan bayi akan bebas dari alahan susu lembu pada usia 2 atau 3 tahun.

Bagaimana mengesan alahan tersebut?

Tanda dan gejala akan timbul dalam jangka masa 6 bulan pertama

2 Jenis tindakbalas utama :

  • Serangan gejala nafas berbunyi, muntah, gatal, ruam / bintat (urticaria), bengkak pelupuk mata dan bahagian lain badan (angioedema) dan tindakbalas seluruh badan (anaphylaxis) yang cepat dan menyerang secara tiba-tiba.
  • Tindabalas yang lewat adalah perkara yang lebih biasa dan ia mengakibatkan gejala termasuk berak cair, najis berdarah, muntah, perut memulas dan pembesaran terbantut (poor growth)

Dapatkan nasihat doktor untuk diagnosa kerana tanda-tanda ini juga biasanya timbul dalam penyakit lain.

Apa kemungkinan masalah yang timbul dari alahan susu lembu?

Masalah yang mungkin timbul termasuk :

  1. Mempunyai risiko tinggi mengalami alahan seperti asma dan ekzema
  2. Penyakit usus disebabkan alahan susu lembu menyebabkan anak tidak membesar.
  3. Kekurangan zat makanan boleh berlaku sekiranya penukaran susu bukan berasaskan susu lembu tidak dilakukan pada peringkat bayi.
  4. Kemungkinan berlaku kematian akibat serangan teruk (anaphylaxis)

Bagaimana alahan terhadap susu lembu dirawat?

  • Bagi kes alahan susu lembu yang teruk, ubatan seperti pinephrine/adrenaline dan antihistamin adalah perlu.
  • Elakkan pengambilan semua makanan berasaskan susu lembu.
  • Ibu yang menyusukan anak mereka juga dihalang dari mengambil makanan berasaskan susu lembu.
  • Bayi yang diberi susu formula disyorkan menukar kepada susu yang berasaskan soya atau yang diproses menjadi separa hadam (chydrolysate based formula). Bagi kes yang teruk tukarkan kepada susu yang berasaskan asid amino dan ini mungkin boleh membantu.
  • Vitamin D dan tambahan kalsium mungkin perlu jika anak anda tidak mengambil susu.
  • Susu lembu mungkin boleh diberikan semula kepada anak anda pada usia 12 atau 18 bulan dengan pengawasan doktor.

Apakah cara mencegah alahan susu lembu?

  • Memberi susu badan sepenuhnya selama 6 bulan adalah digalakkan kepada bayi yang mempunyai sejarah ahli keluarga yang mengalami alahan seperti asma, eczema untuk melewatkan gejala jika bayi anda ada alahan pada susu lembu.
  • Sekiranya bayi anda terpaksa diberi susu formula, susu yang telah diproses menjadi separa hadam (chydrolysate based formula) adalah pilihan yang terbaik.

Peringatan

  1. Alahan bersilang antara susu lembu dan susu soya mungkin berlaku pada sesetengah bayi. Lebih kurang 15% bertindak cepat kepada alahan susu lembu manakala setengah dari mereka mengalami alahan yang lebih lewat adalah alahan kepada protein susu soya.
  2. Baca pada label makanan dan elakkan makanan yang mengandungi atau bahan yang berkaitan dengan protin susu seperti coklat, manisan yang bercampur susu, daging salai dan sosage.
  3. Dapatkan nasihat pakar pemakanan berkaitan kandungan makanan yang kurang pasti.
  4. Apabila anak semakin membesar penerangan perlu diberikan kepada mereka mengapa perlunya dia mesti mengelakkan pengambilan makanan yang mengandungi susu lembu.

Sumber: http://www.myhealth.gov.my/


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...