PAGE

Khamis, Jun 26, 2008

Ambil iktibar zaman jahiliah

GEJALA sosial bukan fenomena baru, malah berlaku sejak zaman Jahiliah, iaitu sebelum keputeraan Rasulullah s.a.w, sehingga apabila meningkat usianya baginda menyaksikan sendiri kerosakan dilakukan kaum Arab.

Jika mutakhir ini Amerika kuasa besar, ketika itu Rom dan Parsi yang berkuasa dengan empayar tamadun begitu tinggi. Dua kuasa ini bapa penjajah, sentiasa mencengkam negara dan bangsa yang lemah. Bangsa Parsi dan Rom ketika itu mempunyai pentadbiran yang bersistem, malah bala tentera yang besar lagi kuat dan menempa kemajuan dalam pelbagai bidang, terutama pada struktur bangunan, sedangkan kaum Arab sebaliknya.

Kehidupan orang Arab ketika itu primitif, tetapi daripada aspek lain mereka cemerlang misalnya dalam bidang kesenian - sering mengadakan pertandingan sayembara sastera manakala hasil karya digantung di Kaabah. Selain itu, diadakan Pesta Ukaz, yang turut diwarnakan dengan pelbagai acara seperti pertandingan ratu cantik, angkat berat, tari menari dan lawan pedang.

Masyarakat Arab ketika itu putus hubungan dengan Tuhan dan langsung tidak mengenali pencipta. Mereka sekadar mengaku Tuhan wujud, tetapi tidak mengimani kekuasaan Tuhan dalam kehidupan mereka. Jiwa mereka kosong. Apabila berhadapan dengan masalah hidup, ramai yang cepat kecewa, putus asa dan membunuh diri, akibat tidak tahan dengan masalah dihadapi. Pemujaan terhadap berhala begitu menebal. Di sekitar Kaabah ada kira-kira 360 berhala, malah ada yang membuat sendiri patung dan menyembah ‘tuhan’ buatan itu.

Saidina Umar ada bercerita selepas beliau menjadi Muslim: “Kadang-kadang ‘tuhan’ itu diperbuat daripada kuih.
‘Tuhan’ itu akan aku bawa ke mana-mana pada masa aman damai, pada masa perang, mengembara dan bermusafir. Apabila keletihan ia akan aku letakkan di depan dan aku puja tetapi jika lapar, aku makan, kemudian aku buat tuhan baru.”

Pada zaman Jahiliyah juga persengketaan lumrah. Mereka saling berdendam, malah disebabkan rasa tidak puas hati dan atas dasar menebus maruah, mereka memerangi satu puak atau kabilah lain, sehingga pertumpahan darah menjadi kebiasaan.

Golongan yang kuat menindas yang lemah, menyebabkan golongan lemah, miskin dan hidup merempat sentiasa menjadi mangsa, tanpa pembelaan. Perempuan misalnya tiada tempat di dalam masyarakat, hanya dijadikan pemuas nafsu lelaki terutama si kaya. Mereka akan mengambil secara paksa mana-mana wanita yang mereka berkenan tanpa peduli anak atau isteri orang. Tindakan ini juga menjadikan mana-mana keluarga yang ada anak perempuan hidup tertekan. Anak gadis akan diambil dan dirogol. Sudah tentu bagi ibu bapa yang memiliki anak perempuan berasa malu, hingga ada membunuh anak perempuan apabila dilahirkan.

Dalam bidang ekonomi, kaum Arab mengamalkan riba, supaya si kaya dapat menekan si miskin. Amalan riba menjadi budaya dalam sistem ekonomi ketika itu, mengakibatkan orang miskin terperangkap dalam hutang-piutang, sehingga apabila tidak terbayar kerana terlalu banyak wang faedahnya, orang miskin diambil menjadi hamba.

Kehidupan mereka bersifat individualistik. Susah dan senang ditanggung sendiri, tiada yang datang menghulurkan bantuan, sekiranya tiada kepentingan. Rompak, penipuan dan pelbagai bentuk kesalahan gara-gara bertuhankan nafsu menjadi-jadi pada zaman Jahiliyah sehingga masyarakat berada dalam keadaan tidak aman, malah yang lemah dalam dilanda ketakutan sepanjang masa.

Tetapi dengan pengutusan Rasulullah s.a.w, semua kebejatan penyakit sosial itu dapat dirawat, malah sistem nilai ma syarakat dapat diperbetulkan dalam tempoh singkat, jika dibandingkan dengan umat nabi lain, sehingga amalan yang buruk bertukar menjadi baik. Dari sebuah masyarakat yang suka hidup atas dasar kepentingan diri sendiri, hasad dengki dan bersengketa, bertukar kepada masyarakat yang bekerjasama, berkasih sayang dan saling hormat antara mereka..

Jika sebelum itu patung berhala dipuja, malah membuat sendiri patung pujaan terbabit, tetapi dengan kedatangan Rasulullah, mereka menjadi manusia yang mengenal Tuhan Yang Esa, malah menjadi hamba yang taat setia. Perubahan dalam segenap aspek baik dari sudut ideologi, amalan seharian, keperibadian dan sistem nilai menunjukkan kejayaan cukup cemerlang dalam perjuangan Rasulullah s.a.w.

Tetapi pada zaman orbit dunia berputar laju kini, gejala yang serupa makin bertapak, sedangkan dalam masa yang sama Islam semakin diterima ramai, seolah-olah contoh yang terkandung dalam lipatan sejarah dilupai dan tidak dijadikan pedoman.

Adakah kita sanggup kembali ke zaman jahiliah?

Fikir-fikirkanlah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...