Assalamualaikum warahmatullah,
Islam adalah satu-satunya agama yang bersikap tegas dalam membela nasib kaum wanita. Islam membawa pembaharuan dalam menilai, memandang dan mengakui taraf kedudukan wanita sehinggakan Saidina Umar bin Al-Khattab r.a. pernah mengeluh tentang keadaan wanita setelah ‘dimerdekakan’ oleh Islam. Beliau merasa takut jika angin pembaharuan yang, membela wanita Islam akan menjejaskan kekuasaan lelaki ke atas mereka.
Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a. beliau berkata: Kami orang-orang Quraisy (di Makkah) pada mulanya mengalahkan kaum wanita. Namun ketika kami hijrah kepada orang Ansar (di Madinah), kami lihat mereka dikalahkan oleh isteri-isteri mereka. Maka isteri-isteri kami mengikuti cara hidup isteri-isteri orang Ansar. Suatu hari aku mengherdik isteriku. Lalu dia mengingatkan aku. Ketika aku tidak menerima nasihatnya, dia berkata, “mengapa kamu tidak menerima peringatanku, padahal demi ALLAH, isteri Rasulullah SAW mengingati baginda, bahkan salah seorang dari mereka suatu hari mendiamkan baginda hingga ke malam hari.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata, hadis ini menunjukkan bahawa sikap terlalu menekan isteri adalah perbuatan tercela kerana Rasulullah SAW menggunakan cara hidup orang Ansar dalam menjalani kehidupan isteri-isteri Rasulullah SAW dan Baginda telah meninggalkan cara hidup adat kaum Quraisy. Akhirnya Rasulullah SAW betul-betul membebaskan wanita dari kezaliman kaumnya menuju cahaya Islam yang terang-benderang. Islam telah memberikan kaum wanita hak sebagai manusia yang merdeka. Manakala para lelaki pula dituntut untuk menggauli mereka dengan sebaik cara. Sesuai dengan sabda Baginda SAW, yang bermaksud, “Orang mukmin yang lebih sempurna imannya adalah yang paling berakhlak dan paling lemah lembut kepada isterinya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dan al-Nasai)
Tapi kini pada zaman moden serba canggih ini, sikap dan amalan jahiliah kembali berulang. Sudah terlalu banyak kisah yang kita dentar tentang para suami yang tidak bertanggungjawap, menyalahgunakan wang milik isteri, melakukan penderaan rumah tangga, tidak menunaikan kewajipan, enggan memberi nafkah zahir dan batin, belum lagi masalah penjagaan anak-anak yang semuanya diserahkan kepada isteri dengan bulat-bulat. Kemanisan rumahtangga yang dibina terlalu cepat berubah dan menjadi racun yang menyeksa isteri-isteri yang malang ini.
Bagaimanakah sikap anda sebagai isteri yang merasa diperlakukan tidak adil oleh suami?
1. Fahami hak anda jika diperlakukan tidak adil oleh suami
- Fahamilah hak anda! Namun jangan lupakan kewajipan sebagai isteri. Nafkah untuk isteri dan anak-anak adalah tanggunjawap suami. Walau bagaimanapun, bagi wanita yang bekerja, mereka dinasihatkan memberi sedekah atau hadiah kepada suami dan anak-anak. Seperti pernah dilakukan oleh Zainab isteri Abdullah bin Mas’ud r.a. yang mengikuti Rauslullah SAW yang bermaksud: “Suami dan anakmu adalah orang yang paling berhak menerima sedekahmu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
- Isteri juga mesti berhati-hati mengenai urusan kewangan rumahtangga. Jangan sama sekali memberi peluang suami menggunakan duit untuk perkara yang tiada faedah, apatah lagi untu berbelanja bagi urusan maksiat, nauzubillah. Pada kebiasaannya, apabila suami melihat isterinya sanggup mengeluarkan duit untuk kepentingan keluarga, dia pula akan menyalahguna sikap baik isterinya itu. Duit pendapatan suami digunakan untuk enjoy dan berfoya-foya, sedangkan isterinya terpaksa membayar semua tuntutan hutang dan tanggungan setiap bulan rumahtangga mereka. Isteri mesti bertegas pada awal perkahwinan lagi, jangan terlalu bermurah hati sehingga memberi peluang suami menyalahguna keadaan. Bukan hanya duit sahaja yang menjadi isu, hal penjagaan dan didikan anak-anak juga adalah tanggungjawap bersama. Kedua-duanya mesti bersatu hati dan jujur dalam menlayari susah payah alam berkeluarga.
2. Dapatkan bantuan undang-undang jika ada ketegangan antara suami isteri:
- Jika ketegangan antara suami isteri semakin meruncing, segera dapatkan bantuan undang-undang. Bahtera rumahtangga itu tidak selamanya tenang. Sesekali ada juga gelombang datang menghentam. Kita dituntut untuk bersikap dewasa dan matang dalam menangani dan menghadapi ujian rumahtangga. Jika salah seorang tersilap langkah, tidak salah bagi pasangannya menegur. Jika kedua-duanya keras hati tidak mahu mengalah, bolehlah mendapatkan Bantuan nasihat pakar kaunseling. Berilah peluang untuk anda berdua berfikiran waras, tenang dan mahukan kebahagiaan seperti dulu.
- Adakalanya penceraian itu baik untuk pasangan yang tidak dapat dipulihkan keserasian hubungan mereka. Ia adalah jalan halal. Untuk membuka lembaran baru yang lebih baik, ada yang perlu dikorbankan. Tetapi penglibatan hati dan perasaan anak-anak mesti diambil kira. Kehancuran identiti remaja banyak berpunca daripada kehancuran institusi keluarga yang kucar kacir. Seorang isteri yang mahu bercerai mestilah mempersiapkan diri menghadapi segala akibat yang akan ditanggungnya. Bagaimana dengan nafkah selepas bercerai? Jika isteri sibuk mencari duit untuk anak-anak, siapa pula yang akan menjaga dan mendidik mereka? Isteri terpaksa menanggung banyak beban untuk mempastikan peranannya sebagai ibu tunggal berjaya. Jangan disebabkan sakit hati dan dendam kepada suami, akhirnya penceraian itu membuat keadaan lebih teruk daripada sebelumnya.
Sumber: Dr. Juanda Jaya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...