Dadah bukan sahaja menghancurkan hidup 200 juta penagihnya di seluruh dunia, malah hampir memusnahkan masa depan segelintir wanita Malaysia yang terperangkap dengan sindiket dadah antarabangsa.
Biarpun semakin hampir 51 tahun Malaysia mengecap nikmat kemerdekaan, isu dadah masih melanda masyarakatnya. Justeru, usaha untuk memeranginya terus dituntut walaupun ia kini merupakan masalah global.
Menyedari hal itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar menyeru supaya semua ahli masyarakat bangkit menentang dadah dengan memastikan keluarga dan persekitaran mereka bebas daripada najis itu.
Syed Hamid sangat khuatir dengan penularan gejala ini kerana ia berupaya memusnahkan apa yang kita ada pada hari ini termasuk anak-anak, keluarga, jiran dan masyarakat.
Sejajar dengan itu, sambutan Hari Antidadah Antarabangsa (HADA) pada hari ini dianggap penting bagi mengingatkan masyarakat tentang bahaya masalah ini dan usaha yang dapat dilakukan.
Tema HADA peringkat antarabangsa tahun ini ialah Drug Control melalui slogan Do Drugs Control Your Life, Your Life, Your Community. No Place For Drugs.
Manakala slogan Hari Antidadah Antarabangsa yang akan disambut di Felda Bukit Easter, Kota Tinggi, Johor pada Sabtu ini ialah Dadah Pemusnah... Musnahkan Dadah. Syed Hamid turut menegaskan bahawa masalah dadah begitu serius dan tidak boleh ditangani di peringkat dalaman sahaja.
"Ia perlu ditangani secara bilateral dan multilateral. Oleh itu, sambutan Hari Dadah Antarabangsa ini adalah satu terjemahan bahawa usaha untuk membanteras dadah mesti dilakukan di peringkat rantau dan antarabangsa," tegasnya.
Menyentuh isu penahanan rakyat Malaysia terutamanya wanita yang didakwa menyeludup dadah di luar negara, Syed Hamid berkata: "Kes ini tidak akan berakhir selagi ada rakyat kita yang mudah terpedaya dengan janji-janji manis mereka yang tidak bertanggungjawab.
"Bagi yang ingin ke luar negara, periksa dengan teliti beg yang dibawa dan jangan mudah percaya kebaikan dan kemesraan orang yang baru dikenali."
Jelasnya lagi, pelbagai taktik digunakan penjenayah terbabit termasuk berkahwin dengan rakyat tempatan.
"Ada yang berkahwin dengan wanita di negara ini dan menggunakan saudara-mara termasuk wanita itu sendiri untuk mengedar dadah.
"Mereka ini licik dalam 'permainan' yang direka sehingga boleh menggunakan rakyat negara ini tanpa disedari mangsa. Seharusnya kita lebih berhati-hati," katanya.
Justeru itu, Syed Hamid melahirkan hasrat agar semua ahli masyarakat memerangi dadah secara kolektif dan semua pihak sama ada swasta, kelab-kelab belia atau individu, hadir menyambut HADA di Kota Tinggi nanti.
Peranan wanita perangi dadah
BAGI mencapai sasaran matlamat bebas dadah pada tahun 2015 ini, peranan wanita sangat penting dalam menggerakkan usaha mengatasi masalah dadah.
Sehubungan itu, peranan mereka perlu diperluaskan dalam semua program dan aktiviti yang berkaitan dengan pencegahan dan rawatan pemulihan dadah di negara ini.
Dalam masalah penagihan dadah, peranan wanita boleh dikembangkan meliputi banyak aspek yang merangkumi bimbingan dan kaunseling, ekonomi, kerjaya, kerohanian, integrasi masyarakat, pendidikan dan pencegahan.
Seperti yang diketahui, penagihan dadah membawa bencana kepada diri sendiri, menjejaskan keharmonian keluarga, merosakkan nilai tradisional masyarakat dan mendedahkan negara kepada aktiviti pengedaran dan penjualan dadah secara berleluasa.
Penagihan dadah secara berleluasa dalam negara boleh menjejaskan kedudukan sosio-ekonomi masyarakat dan mengancam keselamatan negara.
Ini kerana negara akan mengalami kerugian daya pengeluaran daripada sumber tenaga manusia yang besar jika terlibat dengan dadah.
Sehubungan itu, masalah penagihan dadah harus ditangani secara bersepadu dan melibatkan semua lapisan masyarakat terutamanya wanita.
Penglibatan golongan ini akan memberi kesan yang sangat signifikan dalam usaha membanteras masalah dadah terutamanya di peringkat pencegahan awalan.
Antara faktor yang menyumbang kepada masalah penagihan dadah berpunca daripada tekanan emosi akibat kegagalan institusi kekeluargaan seperti perceraian.
Ini menyebabkan anak-anak kurang perhatian, kasih sayang dan pendidikan termasuklah hal agama.
Di samping itu, pembesaran anak-anak yang tidak dipantau oleh ibu bapa menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan budaya yang tidak sihat dan terlibat dengan masalah sosial seperti merokok, minum arak, perhubungan tanpa batasan, merempit dan bohsia.
Gejala sosial ini boleh dicegah di peringkat awal di mana wanita berperanan memberi tunjuk ajar, bimbingan dan pendidikan yang berterusan serta secara berhemah.
Berdasarkan statistik laporan penagihan dadah Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (NADI) bagi Januari hingga Mac tahun ini, menunjukkan golongan belia berumur antara 19 hingga 39 tahun merupakan majoriti penagih dadah iaitu seramai 2,627 orang.
Rekod yang dikeluarkan oleh sistem NADI menunjukkan seramai 1,319 orang mengaku mengambil dadah disebabkan pengaruh kawan dan seramai 599 orang kerana mahu keseronokan.
Di samping itu, penagih dadah juga memerlukan ahli keluarga untuk pulih dan mengikuti program memulih secara berterusan.
Oleh itu, peranan ibu, isteri, anak perempuan, saudara mara dan masyarakat adalah perlu bagi menguatkan motivasi dan komitmen mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...