Selama enam tahun, Hainan Hamzah bergelut dengan masalah pembelajaran dan tingkah laku yang membimbangkan kedua-dua ibu bapanya. Tetapi, kini tidak lagi.
"TAK pernah timbul soal malu dan rendah diri apabila anak saya mengalami masalah ini. Tetapi, saya rasa kecewa sekiranya dia tidak mengerti apa-apa.
"Bayangkan perasaan saya tatkala melihat kanak-kanak lain sudah mampu menguasai subjek yang dipelajari di tadika. Mereka boleh mengira, mengeja dan membaca dengan lancar, tapi anak saya sebaliknya," jelas Faezah Salleh mengenai perihal putera sulungnya, Hainan Hamzah yang sukar membaca, menulis dan mengeja seperti rakan sebayanya.
Dari segi fizikal dan pandangan 'mata kasar' mungkin Hainan, 12, tiada bezanya dengan kanak-kanak lain. Namun secara tersirat, murid Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sri Petaling, Selangor ini terpaksa bergelut selama enam tahun untuk keluar daripada masalah yang dialaminya.
"Saya terkejut melihat rekod prestasinya. Meskipun sudah dua tahun menimba ilmu di Tadika Qdees, Hainan tidak menampakkan sebarang kemajuan. Bahkan tenaga pengajar semakin gusar kerana dia masih tidak tahu membaca, mengira dan menulis.
"Setiap kali guru mengajar, dia enggan berada di tempatnya untuk menyalin atau cuba memahami subjek yang diajar. Sebaliknya, dia buat bising, menyakat dan suka menolak pelajar lain," tambah Faezah.
Menurutnya, kelakuan Hainan itu menyebabkannya beberapa kali dipanggil pengetua tadika bagi mengatasi dan membincangkan masalah Hainan.
Sejak meneliti buku laporan dan buku latihan Hainan di tadika, hati Faezah berbisik menyatakan anaknya bukan seorang individu yang lembap atau malas belajar, tetapi menghadapi masalah lain.
Banyak faktor yang menunjukkan Hainan berhadapan dengan kemelut pembelajaran. Daripada pengamatannya, Faezah mendapati Hainan sukar menyalin huruf-huruf yang tertera di papan hitam.
Pelbagai persoalan bermain di benak fikiran Faezah. Bolehkah masalah anaknya diatasi? Mengapa dia tidak boleh membaca atau menulis?
Jika menulis sekali pun, tahap tulisannya memang sukar untuk dibaca dan dimengerti. Ini kerana perkataan yang ditulis langsung tidak mempunyai ruang di antara satu perkataan dengan satu perkataan lain atau tertinggal satu huruf. Sebagai contoh (sayaqergikesekolah = saya pergi ke sekolah).
Pada masa yang sama, Hainan juga keliru membezakan antara huruf B dan D; P dan Q; N dan U atau M dan W. Dia juga menulis sesuatu perkataan secara terbalik (anagram), seperti - qergi untuk pergi.
Bukan itu sahaja, setiap kali pulang dari sekolah, buku sekolahnya pasti terdapat tanda soal yang besar yang ditulis oleh gurunya.
Tambahnya: "Jika saya sendiri tidak memahami tulisannya, tidak mustahil gurunya turut mengalami masalah yang sama. Hainan bukan sekadar bermasalah untuk menulis malah bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pun sukar."
|
|
Sambil menunjukkan contoh tulisan anaknya, Faezah menjelaskan Hainan juga bermasalah berkaitan masa. Sukar baginya untuk menentukan waktu, mengingati hari dalam seminggu, bulan, tarikh lahirnya dan detik bagi sesebuah peristiwa.
Sebelum menjalani diagnosis, Hainan atau lebih mesra membahasakan dirinya abang selalu memberitahu mamanya: "Mama, semalam abang terjatuh atau mama, semalam abang bermain bola atau mama, semalam cerita kartun tu best sangat!.
Anak sulung daripada dua adik-beradik ini akan menceritakan setiap kejadian yang berlaku semalam sedangkan peristiwa itu berlaku pada minggu atau bulan lepas.
Selain itu, sekiranya Faezah memberi dua atau tiga arahan dalam satu masa, sukar untuk Hainan mengikut arahan itu. Apa yang pasti, dia pasti tercicir salah satu arahan.
Tambah Faezah lagi, anaknya yang gemar bermain permainan playstation, turut menghadapi masalah dalam subjek Matematik.
Dia begitu lemah untuk mengingati turutan nombor, apatah lagi untuk menyelesaikan masalah subjek tersebut (melibatkan proses menolak, darab dan tambah).
"Terlalu banyak masalah 'mengganggu' Hainan sehingga dia kerap menangis kerana enggan masuk ke kelas formal (bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Matematik). Ini kerana dia berasa bosan dan penat apabila mengetahui dirinya sukar untuk menerima pelajaran yang diajar guru.
"Oleh kerana sukar menulis atau membaca di dalam kelas, dia lebih cenderung membuat bising dan mengacau murid lain. Dia juga tidak boleh fokus dalam melakukan sesuatu perkara. Tempoh paling lama untuk dia bertahan hanya lima minit sahaja," ujar Faezah ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Sri Petaling, Selangor baru-baru ini.
Oleh kerana kasihan melihat Hainan, Faezah membawa anaknya berjumpa Pakar Psikologi, Pusat Psikologi Malaysia Taman Desa, Kuala Lumpur, Dr.Erward Chan, untuk merungkai segala permasalahan yang dihadapi ini.
Pertemuan tersebut berhadapan masalah kerana anaknya sukar memahami dan gagal bertutur dengan betul dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Namun Dr. Erward enggan mengalah lalu menjalani ujian minda ke atas Hainan. Hasil pemeriksaannya, beliau mendapati IQ Hainan normal, cuma menghadapi masalah bertutur, penulisan dan pendengaran. Mengapa? Akhirnya segala persoalan terjawab apabila Dr. Edward memberitahu Hainan mengalami kondisi kesukaran pembelajaran atau disleksia.
Sementara itu, Hainan berkata: "Sejak belajar di Persatuan Disleksia Malaysia, Titiwangsa Kuala Lumpur, saya sudah boleh membaca, mengira dan bertutur dengan betul. Jika sebelum ini, saya kurang memahami apa yang diperkatakan oleh mama, tetapi hari ini saya boleh bergurau senda.
"Paling menggembirakan, saya sudah bersedia untuk menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bakal tiba. Dahulu, tulisan saya teruk, buruk dan susah cikgu nak baca. Selepas ke kelas persatuan, tulisan saya cantik sedikit (tergelak)," ujarnya yang juga mendapatkan guru persendirian di rumah ketika berusia tujuh tahun.
Selepas lapan bulan belajar, Hainan menunjukkan peningkatan apabila memperoleh markah penuh bagi subjek bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Matematik ketika berada di Tahun Satu. Kemajuan peperiksaan ini menambahkan semangatnya untuk terus berusaha dan belajar.
Walaupun kanak-kanak disleksia mengalami kesukaran membaca dan menulis, tetapi mereka memiliki kecerdasan, kepintaran dan berbakat dalam bidang kreatif, kesenian serta cekap membuat mainan binaan. Seperti Hainan, dia mahir membina bangunan, robot atau bentuk yang disusun menggunakan blok-blok Lego.
"Kebanyakan ibu bapa berpendapat, sekiranya anak-anak menghadapi masalah ini, mereka dianggap malas dan bodoh. Saranan saya, tangkis tanggapan negatif itu," nasihat Faezah yang masih menghantar Hainan ke kelas disleksia setiap hari Sabtu.
Kelainan pada struktur otak
APA itu disleksia? “Disleksia bukan penyakit kronik yang boleh membawa maut. Ia merupakan proses pembelajaran yang terganggu. Bagi golongan normal, mereka menerima proses membaca, mengira dan mengeja dalam jangka masa cepat, tetapi kumpulan disleksia sebaliknya.
“Ini kerana otak mereka tidak memproses dan menerima maklumat seperti kanak-kanak normal. Sistem impuls otak yang bergerak ke kiri dan ke kanan tidak sama. Dan, mereka juga tidak mempunyai bahagian otak yang dominan,” jelas Pensyarah Kanan Psikologi Pendidikan Universiti Putra Malaysia, Dr. Samsilah Roslan.
|
|
Disleksia disebabkan oleh kelainan di dalam struktur dan fungsi otak, malah ia boleh diwarisi dari ahli keluarga. Namun begitu, kajian masih tidak dapat memastikan punca sebenar yang menyebabkan kondisi ini.
Statistik menunjukkan lebih 500,000 kanak-kanak Malaysia menghadapi cabaran hidup disleksia. Pecahan peratusan sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus mendapati kanak-kanak mengalami masalah disleksia pada tahap ringan manakala empat peratus di tahap yang teruk.
Walaupun dislesksia merupakan masalah yang dihadapi sepanjang hayat, kanak-kanak yang mengalaminya masih dapat diatasi dengan dorongan, sokongan dan bantuan yang sewajarnya.
“Sekiranya mendapati anak-anak mengalami masalah dislesksia, segeralah dibawa berjumpa pakar atau guru pendidikan khas. Ini kerana jika tidak dibendung pada tahap awal masalah ini akan melarat sehingga dewasa.
“Kesannya, kanak-kanak menerima sumber maklumat yang terhad, keyakinan diri semakin menurun kerana rasa malu dan bodoh, tidak bijak dalam pelajaran dan sukar untuk menjadi individu yang profesional,” ujar Dr. Samsilah yang memberitahu kanak-kanak disleksia tidak boleh berasa cemas dan takut.
Sumber: Kosmo! 25/06/2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...