Ibadah akikah ke atas diri sendiri boleh dilakukan bila-bila masa sahaja, kerana ibadah akikah tidak seperti ibadah korban yang biasanya dilakukan pada hari-hari tasyrik pada bulan Zulhijjah.
Sepatutnya tanggungjawab melakukan akikah di bawah tanggungan ayah. Tetapi harus si datuk melakukan akikah untuk cucunya seperti baginda Rasulullah SAW melakukan akikah untuk kedua-dua cucu baginda iaitu al-Hasan dan al-Husein.
Namun mungkin kerana kegawatan ekonomi menyebabkan akikah tidak dapat dilaksanakan, jadi tidak salah. Malah sah hukumnya dan tetap mendapat pahala sekiranya tuan punya diri melakukan ibadah akikah untuk diri sendiri. Hal ini dapat kita lihat dalam beberapa riwayat bagaimana Rasulullah SAW melakukan ibadah akikah untuk diri baginda.
Adapun persoalan yang mana perlu diutamakan, jawapannya ialah akikah, kerana yang tertanggung ke atas kita sejak kita lahir ialah akikah. Sehinggakan dalam hadis Rasulullah SAW menyebut “terikat” atau “tertanggung” ke atas anak-anak yang lahir. Ini bermaksud tanggungan yang terawal ialah akikah. Maka adalah lebih utama kita mendahulukan tuntutan yang terawal. Walaupun demikian ada pandangan ulama yang mengira ibadah korban dapat melupuskan tuntutan akikah seperti pendapat Ibn Sirin dan al-Hasan al-Basri.
Namun pandangan ini berbeza dengan pandangan jumhur ulama yang berpendapat kedua-dua ibadat itu tidak dapat ganti-mengganti antara satu sama lain. Malah kedua-dua ibadat sunat muakkad itu dilakukan berasingan. Sekiranya duit yang cukup untuk melakukan ibadat akikah, maka lakukan ibadah akikah dahulu. Apabila sudah ada rezeki barulah buat ibadah korban.
Dari segi bahasa, akikah adalah rambut di kepala kanak-kanak. Sementara pengertian akikah dari segi syarak ialah binatang yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi. Akikah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah SWT sebagaimana penjelasan Rasulullah dengan sabdanya yang bermaksud: “Setiap anak yang lahir itu terpelihara dengan akikahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama.” (Hadis riwayat Abu Dawud, al-Turmidzi dan Ibnu Majah)
Ibnu Majah menerangkan maksud “... terpelihara dengan akikah...” (pada mafhum hadis di atas) adalah bahawa akikah itu sebagai sebab yang melepaskan kanak-kanak tersebut daripada gangguan syaitan yang cuba memesongkannya daripada melakukan kebaikan.
Daripada Salman bin Amir al-Dhabley, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Untuk anak lelaki itu akikahnya. Tumpahkan atasnya darah dan hilangkanlah daripadanya kekotoran dan najis.” (Hadis riwayat Abu Daqud, al-Turmidzi dan Ibnu Majah).
Menurut Imam Ahmad bin Hanbal, bahawa apabila seseorang kanak-kanak itu mati dalam keadaan belum diakikahkan lagi, maka anak itu tidak dapat mensyafaatkan kedua-dua orang tuanya di akhirat kelak. Hukum akikah itu adalah sama dengan ibadah korban iaitu sunat muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.
Penyembelihan akikah adalah pada hari ketujuh dari kelahiran bayi atau pada hari ke-14 atau ke-21. Jika tidak dapat maka bila-bila masa selagi anak itu belum baligh. Jika anak telah baligh, maka gugur tuntutan atas walinya dan sunat bagi dirinya (individu yang berkenaan) mengakikahkan untuk dirinya sendiri.
Bagi anak zina, akikahnya sunat dilakukan oleh ibunya kerana nafkah hidup anak zina itu tanggungan ibunya bukan bapanya. Demikian pendapat Ibnu Hajar dan Syeikh Ramli, manakala Khatib Syarbini pula berpendapat, adalah tidak sunat bagi ibu mengakikahkan anak zinanya meskipun si ibu memberi nafkah kepadanya.
Anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing.
Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat agar menyembelih akikah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Hadis riwayat al-Turmidzi).
Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan bahawa Rasullullah SAW menyembelih akikah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Hadis riwayat Abu Dawud)
Sumber: UtusanOnLine (Bicara Agama)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...