PAGE

Selasa, Julai 01, 2008

Memperkasakan diri dengan berbuat baik

Assalamualaikum warahmatullah,

Apa pun latar belakang kita, kita tidak dihalang untuk berbuat baik, sebab berbuat baik itu wajib hukumnya. Mereka yang tidak ingin berbuat baik bakal rugi dunia dan akhirat, mereka yang berbuat jahat jelas menempah kehidupan yang susah di dunia dan tentunya juga hingga ke akhirat.

Adakah kita perlu bergelar ustaz, ustazah, alim ulama terlebih dahulu untuk berbuat baik dan bercakap tentang kebaikan? Sudah tentu tidak! Seorang ayah wajib mendidik anak-anaknya dengan ilmu agama meskipun dia bukan siapa-siapa. Dia perlu bercakap tentang Allah, tentang Nabi, tentang al-Quran, tentang malaikat dan segalanya berkaitan agama.

Tidak kira apakah jawatan si ayah, di rumah dia tetap ketua keluarga. Dia perlu mempastikan mereka yang di bawah pimpinannya tahu serba sedikit perkara-perkara asas tentang agama. Selebihnya dia boleh hantar mereka mengaji secara formal.

Pokoknya dia wajib mengajar. Kalau tidak mengajar pun, sekadar bertanya dan ambil tahu. Mana-mana yang dia mampu ajarkanlah, mana-mana yang tidak, hantarlah ke mana-mana ustaz/ustazah. Yang penting, ilmu agama wajib diajar dan dipelajari.

Jangan menyalahkan keadaan

Amat silap meletakkan kelulusan sebagai alasan tidak mahu mengajar. Jangan jadikan alasan yang kita tiada kelulusan atau tidak bertauliah, kita tidak boleh bercakap tentang agama. Mustahil kita tidak boleh bercakap bahawa Tuhan itu satu, Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah. Melampau jika kita langsung tidak boleh ambil tahu atau bercakap tentang agama, terutama yang asas-asas pada ahli keluarga kita sendiri.

Tetapi tahukah kita, memang ada orang menjadikan hal semacam ini sebagai alasan. Dia buat-buat meletakkan kesalahan pada pihak berkuasa. Katanya, orang sepertinya yang tiada kelulusan agama tidak perlu bercakap tentang agama. Bercakap tentang agama adalah tugas alim ulama, bukan tugasnya yang tiada kelulusan agama. Bolehkah begitu?

Jawapannya sudah tentu tidak boleh sama sekali! Meletakkan alasan seperti itu tidak ubah seperti lagu “Bangau Oh Bangau”. Bangau salahkan ikan yang tidak mahu timbul, sebab itulah badannya kurus. Ikan pula salahkan rumput yang panjang menyebabkan dia tidak boleh timbul untuk dimakan oleh bangau. Rumput pula salahkan kerbau kerana tidak mahu makan dirinya. Kerbau beri alasan sakit perut kerana memakan nasi mentah. Nasi pula mengatakan dirinya mentah sebab api tak mahu menyala, sedangkan api menyalahkan kayu yang basah ditimpa hujan. Hujan pula memberi alasan sebab katak panggil dia. Bila ditanya pada katak, kenapa panggil hujan, jawapnya ular nak makan dia. Apa kata ular bila ditanya kenapa nak makan katak? Jawapan ular mudah, jujur dan berterus terang, iaitu katak memang makanan ular.

Tiada alasan


Nampakkah? Bagaimana pun alasan yang diberikan, akhirnya sampai pada penghujung jawapan yang saling menyalahkan yang lain. Berilah apa-apa alasan sekalipun, akhirnya kita akan terperangkap juga.

Dalam konteks mengajar orang terdekat, berilah alasan apa pun untuk menafikan, hujungnya akan memerangkap diri kita sendiri. Sebagaimana bangau yang mula-mula mencetuskan persoalan ini, akhirnya akan terus berputih mata mendengar jawapan ular dan melihat katak masuk ke dalam mulut ular, sedangkan dia terus kurus dan kelaparan.

Dunia orang memberi alasan sudah berlalu. Hari ini orang bukan lagi memberi alasan untuk tidak berbuat, tetapi mencari sebab untuk berbuat. Katakan kepada diri sendiri, ini rumahtangga aku, aku ketua keluarga, aku perlu lebih tahu dari semua orang yang tinggal di sini, mereka semua perlu ikut perintah aku, maka aku perlu tahu apa yang ingin aku perintahkan. Aku perlu belajar supaya aku boleh mengajar. Apa juga yang berlaku yang berpunca dari rumah ini, aku akan turut dipertanggungjawabkan. Maka, aku perlu betul-betul bertanggungjawab.

Bukankah itu lebih baik daripada memberi alasan tidak mahu berbuat? Tidak mungkin seorang ketua membiarkan saja dirinya dibelenggu kebodohan hinggakan dia langsung tidak dapat mengeluarkan apa-apa arahan yang melambangkan dia seorang ketua. Ibarat, apa yang kita minum itulah yang akan kita sendawakan. Mustahil minum kopi sendawakan teh pula!

Renung-renungkan!




Sumber : HMTuah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...