PAGE
▼
Rabu, Julai 30, 2008
Tazkirah: Bersedia Memberi Kemaafan
Assalamualaikum warahmatullah,
Antara sifat positif yang terdapat dalam diri manusia ialah pemaaf, yakni lawan kepada sifat pemarah dan pendendam. Namun, diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf.
Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam diri seseorang. Pertembungan dua unsur ini menwujudkan satu mekanisme yang saling ingin menguasai diri seseorang.
Iman dan takwa
Iman dan takwa menjadi pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan pula mengambil tempat mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa menggunakan kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul sifat haiwaniah dalam diri manusia. Memang tepat sifat pemaaf itu bukanlah satu perbuatan mudah dilakukan.
Contohnya, bayangkan apakah tindakan sepontan kita jika kita ditiup, dihina, dikhianati, dikecewakan dan perkara lain yang tidak kita disenangi. Sudah tentu perasaan marah akan menguasai diri dan diikuti pula dengan tindakan berbentuk lisan dan fizikal. Kadang-kala, perasaan marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu. Dalam keadaan itu, pesaing dianggap musuh yang perlu diatasi dengan apa jua cara sekalipun. Punca ini boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan.
Emosi manusia mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangan logik adalah tindakan yang sepatutnya. Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri. Di sinilah pentingnya kita memupuk sifat pemaaf dalam diri. Sesuatu yang logik tidak semestinya betul. Sebaliknya, ajaran agama adalah petunjuk kepada kebenaran yang mesti diamalkan untuk mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat.
Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesaikan masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar. Ketika itu jika diteruskan niat melakukan tidak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan sehingga melakukan pembunuhan. Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah. Rasulullah SAW bersabda, “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari)
Jangan marah
Pentingnya sifat menahan marah mendorong Rasulullah SAW apabila diminta oleh seorang lelaki agar berpesan atau mengajarnya mengenai sesuatu perkara, menjawap ringkas iaitu ‘jangan marah’. Lelaki itu seperti tidak berpuas hati dengan jawapan baginda. Dia mungkin merasakan apalah besar sangat kebaikan menahan marah. Lalu dia bertanya kali kedua mengharapkan agar Rasulullah memberitahu amalan lain yang lebih besar pahalanya. Tetapi Rasulullah SAW tetap mengulangi perkatan ‘jangan marah’.
Selidiki diri
Untuk mendidik sifat baik dalam diri perlulah menghampiri diri dengan perbanyakkan melakukan ibadat wajib dan sunat. Dengan kekuatan takwa dan iman secara langsung akan menjauhkan perkara yang ditegah, termasuk sifat pemarah. Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang hasil daripada tarbiah yang berterusan. Sebab itu, selalulah memupuk sifat pemaaf. Bermulalah dengan perkara kecil dan mudah hilang sifat marah. Jika ada sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk terlebih dahulu menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih dahulu.
Renungkan dalam hati sendiri, adakah perkara itu juga berpunca dari diri kita sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku? Jika kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan memberi petunjuk apakah tindakan yang wajar dilakukan seterusnya. Pada ketika itu, syaitan tidak berpeluang untuk menyemarakkab perasaan marah, yang lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan.
Sifat pemaaf memberi manafaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.
Bagi orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.
Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca dari sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dalat deselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di dalam hati. Sikap berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah pihak yang lebih banyak berdendam. Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada perasaan buruk sangka. Kadang-kala, yang berdendam hanya sebelah pihak, sedangkan sebelah pihak lagi menganggap persengketaan sebelum ini telah selesai. Jika sifat memaafkan ini diamalkan, insya Allah kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah terlebih awal lagi memberi keampunan dengan rahmat-Nya.
Renung-renungkan!
Sumber: Mohd Huzairi bin Zainuddin, Perunding Motivasi
Alhamdulillah..melalui rencana ini, sy dapat menyedarkan diri sy sendiri..akan sy jadikan peringatan utk diri sy bermuhasaba diri..
BalasPadamAlangkah mulianya menjadi pemaaf..
Banyak yg perlu sy perbaiki..