PAGE

Jumaat, Ogos 22, 2008

Jumaat penghulu segala hari

JUMAAT penghulu segala hari kerana kemuliaan dan kelebihannya. Malah, peristiwa agung banyak berlaku pada Jumaat. Banyak hadis menerangkan kelebihan hari Jumaat, misalnya hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan Abu Hurairah berkenaan penghulu hari, bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Sayyidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat. Pada hari itulah Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang ber maksud: “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat. Pada hari itu terdapat suatu masa seorang hamba mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda: "Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia), tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu dari kita, sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu hari Jumaat. Maka hari (Jumaat) adalah untuk kita, esok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani." (Abu Hurairah r.a.)


Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam. Huraian hadis:

1. Islam menyerlahkan perbezaan yang begitu ketara dengan agama-agama lain agar umatnya tidak terkeliru seperti membezakan arah qiblat, kitab suci, hari raya, hari kebesaran dan sebagainya.

2. Islam menetapkan bahawa hari Jumaat adalah sebagai penghulu segala hari. Ini berbeza dengan Yahudi yang membesarkan hari Sabtu dan Kristian yang membesarkan hari Ahad.

3. Perbezaan-perbezaan yang ditetapkan oleh Islam ini hendaklah diamalkan dan dihayati secara praktikal oleh umat Islam kerana dengan cara ini akan menyerlahkan lagi jati diri setiap muslim serta menjauhkan mereka daripada terpengaruh dengan adat dan budaya yang cuba dibawa masuk oleh musuh Islam.

4. Kegagalan umat Islam dalam mempromosikan Islam terhadap masyarakat bukan Islam akan mengakibatkan umat Islam dipandang hina dan Islam dipandang sepi. Dengan itu umat Islam hendaklah berhati-hati agar tidak terikut dengan semua adat dan budaya orang-orang bukan Islam sehingga membawa kepada rosaknya aqidah dan terpadamnya garisan yang telah ditetapkan oleh syarak.



Solat Jumaat

Solat Jumaaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran Allah daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah (mandi dengan membersih seluruh tubuh badan), kemudian dia pergi ke Jumaat (solat Jumaat) (sebagai orang yang pertama sampai) maka sama halnya seperti orang yang berkorban seekor unta; dan sesiapa yang datang sebagai orang kedua, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor lembu betina; sesiapa yang datang sebagai orang ketiga, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor biri-biri bertanduk; sesiapa yang datang sebagai orang keempat, sama halnya dengan seorang yang berkorban seekor ayam; dan sesiapa yang datang sebagai orang kelima; sama halnya dengan orang yang berkorban dengan sebutir telur. Apabila imam telah menaiki mimbar maka para malaikat yang hadir juga ikut mendengar khutbah.” (Bukhari)

Huraian: Allah menetapkan kelebihan tertentu pada tempat dan masa. Contohnya Allah melimpahkan berkat-Nya terhadap Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah daripada segala tempat lain di dunia ini. Begitu juga dengan kelebihan masa iaitu Allah SWT telah melebihkan Ramadhan daripada segala bulan yang lain dan Allah juga melebihkan hari Jumaat daripada segala hari yang lain dalam seminggu. Hari Jumaat juga dinamakan ‘Yaumul-mazid’ iaitu hari pemberian tambahan kerana pada hari berkenaan, Allah mengurniakan rahmat yang banyak kepada hambanya. Segala permohonan seseorang hamba itu akan dikabulkan sekiranya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan ‘waktu mustajab’. Betapa mulianya hari Jumaat ini hingga Allah juga mensyariatkan agar dikerjakan solat khusus pada hari tersebut iaitu yang dinamakan solat Jumaat di mana bagi setiap orang yang pergi menunaikan solat tersebut disediakan ganjaran yang amat besar yang tidak ada pada hari-hari yang lain. Tetapi malang sekali ada juga antara kita yang berasakan hari Jumaat adalah sama seperti hari-hari lain. Ini menyebabkan mereka mengisi hari tersebut dengan hati yang kosong, tanpa doa dan harapan kepada pencipta-Nya. Lebih malang lagi, ada pula yang sanggup meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja, tanpa rasa berdosa kepada Allah SWT. Golongan ini bukan sahaja lupa pada kewajipan mereka terhadap Allah, malah mereka lupa pada azab Allah yang bakal menimpa. Jauh sekali ingin meraih seribu satu keuntungan daripada kemuliaan hari tersebut.

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi solat Jumaat, terus mendengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka diberi tambahan tiga hari lagi. Sesiapa yang memegang kerikil untuk dimainkan sehingga tidak memperhatikan isi khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan kelalaian, yakni bersalah.”

Sebelum menunaikan solat Jumaat, dianjurkan mandi terlebih dulu sebagaimana hadis daripada Abdurrahman bin Abu Sa'id Al Khudri r.a., dari bapanya, katanya Rasulullah SAW bersabda: "Mandi hari Jumaat wajib atas tiap-tiap orang (muslim) yang telah dewasa. Begitu pula menggosok gigi, berharum-haruman sekadar yang dapat ia lakukan." (Abdurrahman bin Abu Sa'id Al Khudri r.a.)

Daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi, tetapi mandi itu lebih utama.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dan Tirmidzi).

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila tiba hari Jumaat, ada pada tiap-tiap pintu masjid - Malaikat yang ditugaskan menulis orang yang datang sembahyang Jumaat seorang demi seorang; kemudian apabila imam duduk di atas mimbar, Malaikat-malaikat itu melipat lembaran-lembaran surat yang ditulisnya serta mereka datang mendengar khutbah." (Abu Hurairah r.a.)

Huraian hadis:

1. Allah S.W.T telah melantik malaikat-malaikat yang khusus bagi mencatat kedatangan sidang jemaah mengikut tertib dan susunannya mulai dari awal waktu hingga tiba masa imam naik ke mimbar membaca khutbah.

2. Kehadiran lebih awal untuk mengerjakan solat Jumaat adalah sangat-sangat diutamakan di dalam Islam. Oleh itu amat besarlah kerugian bagi orang yang terlewat (terlepas) daripada waktu catatan malaikat tersebut.

3. Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat. Umat Islam juga dituntut membuat persediaan sebelum menghadiri solat Jumaat untuk mendapat fadhilatnya, termasuk dalam berwuduk, mandi sunat dan tertib ketika menghadiri solat Jumaat.

Keutamaan saf pertama

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda: "Kalaulah manusia itu tahu keutamaan azan dan saf pertama, tetapi mereka tidak boleh mendapatkannya melainkan dengan jalan diundi, nescaya mahulah mereka diundi. Dan kalaulah mereka tahu keutamaan segera pergi solat nescaya mereka akan berlumba-lumba ke sana dan kalaulah mereka tahu keutamaan solat 'Isya dan Subuh berjemaah, nescaya mereka akan mendatanginya sekalipun mereka akan merangkak." (Abu Hurairah r.a.)

Dari Sa'id Al Khudri r.a katanya: "Rasulullah pernah memerhatikan para sahabatnya yang suka berada di saf belakang. Lalu baginda bersabda kepada mereka: "Majulah ke depan dan ikutilah aku supaya orang yang di belakangmu dapat pula mengikutmu. Memang ada saja orang-orang yang suka di belakang-belakang, sehingga Allah membelakangkan mereka benar-benar." (Sa'id Al Khudri r.a.)

Ponteng solat Jumaat?

Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w, ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya: “Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?” (Muslim)

Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat Jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain. Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar'i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir. Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain daripada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah S.W.T ia juga merupakan suatu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.

14 ulasan:

  1. Memang...lah tapi masaalh nya orng kite ni lebih mengagongkan hari Yahudi & Nasroni...pegi pon smbahyang jumaat pon berpakaian selekeh jee tapi waktu nak gi dating bukan main lawa lagi.

    BalasPadam
  2. Memang menarik artikel ini tapi agak hairan kenapa melayu kita yang mengaku Islam lebih meletakkan hari ahad lebih drp. hari Jumaat sampaikan hendak pergi dan balik solat Jumaat pun terkejar-kejar krn. kerja. Dahlah sampai lewat, Tok khatib beri khutbah panjang sikit, mulalah tengok jam takut lewat masuk kerja.Buat hari Jumaat cuti rehat kan lebih baik spt. Kelantan, Terengganu dan seangkatan dengannya.

    Mereka kata hari Jumaat tak blh cuti kerana susah nak berurusan dgn. mat salleh tapi banggangnya mereka tak sedar pagi kita adalah malam mereka dan sekarang zaman IT. Apalah melayu yang mengaku Islam masih tak reti.

    BalasPadam
  3. Nabi saw menunjukkan contoh kepimpinan yang paling baik. Beliau selalu memerhatikan sahabat-sahabatnya lepas solat. Nabi perasan kalau ada yang tinggal solat jamaah, barangkali dia sakit.
    Suatu ketika dalam kisah Tabuk Nabi memerhatikan sahabat lalu bertanya "Mana Kaab bin Malik?" Memang Kaab bn Malik antara 3 orang beriman yang telah tertinggal dari menyertai perang Tabuk.
    Pernah juga Nabi meleraikan org yg berkelahi ketika beliau berada dalam solatnya.

    Ketika Rasul saw sedang solat, berlaku perkelahian dua org sahaya Bani Muthalib. Maka ditarik Nabi saw dan dipisahkan keduanya sedang baginda masih tetap dalam solat (R. AHmad) dari Pelik tapi Benar solat, Abd Rahman Mohamed, Telaga Biru).


    ----------------------------------------------------------
    Abu Sa'id Al Khudri r.a katanya: "Rasulullah pernah memerhatikan para sahabatnya yang suka berada di saf belakang. Lalu baginda bersabda kepada mereka: "Majulah ke depan dan ikutilah aku supaya orang yang di belakangmu dapat pula mengikutmu. Memang ada saja orang-orang yang suka di belakang-belakang, sehingga Allah membelakangkan mereka benar-benar. "

    BalasPadam
  4. Salam,

    Saudara Ramlan serta sahabat2 yg lain;

    Dalam Islam tidak ada ditetapkan satu hari dalam seminggu yang dituntut bercuti atau ditegah daripada urusan-urusan duniawi. Sepanjang pembacaan saya yang tak seberapanya ini, belum lagi terjumpa dalam Quran mahupun Hadith atau mana2 kitab (in fact memang tak ada pun). Sememangnya hari Jumaat dimasyhurkan dalam Islam sebagai penghulu segala hari, tetapi tidak ada saranan atau tuntutan ke atas umat Islam supaya bercuti atau meninggalkan segala pekerjaan atau perniagaan pada hari Jumaat. Cuma dituntut ke atas lelaki Muslim khususnya apabila tiba waktu solat jumaat tinggalkanlah seketika dahulu segala pekerjaan dan perniagaan. Habis solat Jumaat, sambung le balik kerja tu.

    Juga, Islam tiada menegah dilakukan pada hari Jumaat, apa-apa yang tidak ditegah pada hari-hari lain sepanjang minggu. Hanya dalam ajaran Kristian yang menuntut hari Ahad dan ajaran Yahudi menuntut hari Sabtu, mesti ditinggalkan semua urusan duniawi terutamanya berbentuk pekerjaan dan perniagaan. Tetapi dalam Islam tiada ketetapan sedemikian rupa. Jikalau kita masih bertaqlid mengehendaki hari tertentu mesti cuti dan tak boleh bekerja, tidakkah maknanya kita hampir terikut-ikut cara Kristian dan Yahudi?

    Tentang perihal sesetengah jemaah gelisah melihat jam tangan masing2 semasa khutbah masih berlangsung, perlu juga kita menilai dengan lebih adil dan jangan salahkan jemaah semata-mata. Dalam khutbah Jumaat itu yg mana lebih penting, kuantiti (panjang) atau kualitinya? Jangan tersinggung ya tapi apa yg saudara sendiri buat sepanjang khatib berkhutbah - beri sepenuh perhatian atau sibuk memerhatikan gelagat orang dan mengukur keimanan orang lain?

    Tambahan pula, jangan sesekali disempitkan pengertian ibadah itu. Bekerja menjalankan tugas yang diamanahkan juga adalah ibadah yg turut dinilai oleh Allah. Pada saya, umat Islam yang bekerja menjalankan tugas pada hari Jumaat lebih besar pahalanya daripada yang hanya duduk di rumah memerhatikan anak-bini tetapi tak membantu. Fikir-fikirkan...

    Islam tidak menyusahkan penganutnya dalam beribadah. Tetapi umat Islamlah yang menyusahkan yang mudah dan sebaliknya pula mengambil ringan perkara yang berat. Ketelitian dalam solat memang amat dituntut, tetapi mengapa kebanyakan orang kita (tak semua) hanya teliti ketika nak solat tetapi gagal menjabarkan disiplin yang diamalkan dalam solat itu terhadap seluruh urusan harian kita. Waktu kerja kenapa masuk lambat tapi keluar awal? Kualiti kerja ada saja yg tak kena, itu tak cukup ini tak lengkap? Bila bermesyuarat mengapa hanya jadi sleeping partner menunggu "sesi kopi dan kuih" sedangkan rakan2 sekerja yg lain memerah otak memberi buah fikiran? Kalau beginilah gayanya, don't we give Islam a bad name?

    Sekadar berkongsi pendapat. Maaf jika ada yang terasa.

    Salam hormat.

    BalasPadam
  5. Jangan lupa....kat KEDAH pun mengutamakan hari JUMAAT...........

    BalasPadam
  6. Just to share... saya rasa ramai antara kita tak berapa paham apa yang dimaksudkan "mesti ditinggalkan semua bentuk duniawi " oleh yahudi dan nasrani ni. Bagi penganut yahudi yang betul2 menjaga agamanya, hari sabtu bagi mereka bukan sekadar cuti dari pekerjaan tetapi mereka malah meninggalkan segala bentuk duniawi termasuk menggunakan barang berenjin seperti kereta, TV dll. Mereka ke tempat ibadat mereka dengan berjalan kaki.

    Jadi tidak tepat kalau kita katakan dengan cuti hari sabtu/ahad ini kita sama dengan mereka... Islam tidak pernah menyuruh kita meninggalkan duniawi seperti mereka cuma kita kena bersederhana dgn dunia dan bersungguh dalam mengerjakan amal soleh.

    Saya setuju hampir 100% dengan komen Sdr Nazrul Hilmi

    BalasPadam
  7. Assalaamu'alaikum sahabat kalian

    Dari hari Ahad sampai Sabtu, dijadikan Allah s.w.t. sejahtera selalu. Di antara tujuh hari itu, hari Jumaat special sikit. Sama seperti bulan Ramadhan, semua hari sama kecuali malam Lailatulqadar, special sikit. Setiap hari, setiap saat kita disuruh berzikir mengingati Allah dan beribadat pada Nya walau di mana atau dalam situasi apa sekalipun, tak kira darjat, keturunan, kesibokan kerja, jawatan etc. Haiwan seperti semut misalnya, jika ia tertinggal sesaat berzikir kepada Allah, nescaya ia dipicit dengan jari manusia atau di spray dengan sheltox. Manusia diberi ruang dan kesempatan. Bekerja mencari rezeki halal untuk menyara keluarga termasuk zikir dan ibadat. Cuma hari Jumaat istimewa sikit dan sepatutnya kita menggandakan usaha menambah amal pada hari itu.

    Saya lihat, ketika khatib membaca khotbah Jumaat, kebanyakan makmum (di negeri cuti hari Jumaat atau bekerja pada hari itu) menundukkan kepala sehingga tinggal collar baju sahaja, bukan khusyuk tetapi tidur, dan ada yang mengeluarkan bunyi ngeruh. Jadi, keistimewaan dan peluang seminggu sekali mendengar khotbah tidak digunapakai sepenuhnya. Tak dinafikan kadang-kadang tok khatib pun dah uzur sangat dan dibaca text yang sama berulang2. Dan tak dinafikan juga, bagi penduduk yang bercuti pada hari Jumaat, mengambil kesempatan membawa keluarga makan angin di tepi laut, shopping di kompleks dsbnya.

    Tak kisahlah apa yang dilakukan pada hari Jumaat, asalkan kita sedar bahawa banyak kelebihannya. Satu perkara yang perlu diingat bahawa hari qiamat akan jatuh pada salah satu hari Jumaat ...... tahun ini, tahun depan, sepuluh, seratus atau seribu tahun lagi ..... Wallaahu wa'alam.

    BalasPadam
  8. السلام عليكم دان سلام سجهترا

    Sekadar pendapat. Memuliakan hari jumaat tidak semestinya dengan
    bercuti .. Rujuk di bawah

    يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ
    الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ
    ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (٩)

    9. Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan (bang) untuk
    mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke
    masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat)
    dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian adalah
    baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat Yang sebenarnya),

    فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلاةُ فَانْتَشِرُوا فِي الأرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ
    فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
    (١٠)

    10. kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di
    muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa
    Yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah
    banyak-banyak (dalam Segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia
    dan di Akhirat).

    Sekadar pandangan .

    والسلام

    محمد سيسس بن م جاميل
    (Mohamad Siss M Jamil)

    BalasPadam
  9. Rasa saya persoalannya ialah
    kenapakah cuti mingguan tu bukan hari jumaat
    tidakkah ia akan memudahkan urusan umat Islam?

    Kenapa perlu cuti hari ahad dan sabtu?

    Kalau tiada cuti mingguan, tidaklah berbangkit persoalan disini

    soalnya: Kenapa hari sabtu dan ahad yang dipilih?

    Terima kasih

    BalasPadam
  10. Dalam banyak-banyak respon saya nak respon kepada pandangan nazrul seperti yang beliau tulis di bawah. Memang betul tiada larangan bekerja dalam mana-mana hari pun termasuk hari jumaat. Tida ada seorang pun yang sangkal hal ini. Persoalannya bukannya bekerja atau tidak tetapi lebih kepada hari apa yang sepatutnya kerajaan kita berikan cuti kepaDA KAKITANGANNYA? ahad atau JUMAAT?

    Jumaat adalah penghulu segala hari, maka keistemewaannya hendaklah berlainan dari hari lain. Cuba bukak sikit minda, antara cuti dan tidak pada Hari jumaat mana lebih mudah bagi kita untuk menunaikan sembahyang Jumaat? Bagi yang kerja sendiri cam saya mungkin tiada masalah. Tetapi bagi pekerja yang makan gaji terutama pekerja kilang saya tengok kurang sepurna penghayatan Jumaat lantaran kekangan masa. Malah ramai yang ke masjid lewat (waktu khutbah sedang berlangsung), dengan pakaiai kerja pulak tu (walau pun ok kiranya bersih) dan bergegas balik ke tempat kerja sebaik saja salam.

    Kalu jumaat cuti macam Kelantan dan Trengganu, boleh la relaks sikit ke masjid..datang awal (sunat tau), baca apa-apa ynag patut (juga sunat), lepas salam boleh lagi beriktikaf di masjid (sunat gak), boleh pakai pakaian yang indah sikit sesuai untuk mengadap Tuhan berbanding pakaian kerja yang comot (pun sunat). Nampak tak En Khairul dan tuan-tuan yang sealiran dengannya tentang kelebihan cuti hari Jumaat? Nak berhujah panjang lagi tak tertulis la saya...cuba bukak hati dan minda kita. Memang ada yang kontra, misalnya mereka kata cuti jumaat Bank rugi...ala rugi sikit dunia apa salahnya berbanding rugi akhirat..betul tak? Jangan la kerana sayangkan dunia yang ckit ni kita lepas yang akhirat...en Khairul ooii...Ok thank you

    BalasPadam
  11. Salam

    Minta Sdr Mansor baca balik betul2 apa yg saya telah tulis...

    Dalam Islam tidak ada ditetapkan satu hari dalam seminggu yang dituntut bercuti atau ditegah daripada urusan-urusan duniawi. Sepanjang pembacaan saya yang tak seberapanya ini, belum lagi terjumpa dalam Quran mahupun Hadith atau mana2 kitab (in fact memang tak ada pun).

    Sememangnya hari Jumaat dimasyhurkan dalam Islam sebagai penghulu segala hari, tetapi tidak ada saranan atau tuntutan ke atas umat Islam supaya bercuti atau meninggalkan segala pekerjaan atau perniagaan pada hari Jumaat. Cuma dituntut ke atas lelaki Muslim khususnya apabila tiba waktu solat jumaat tinggalkanlah seketika dahulu segala pekerjaan dan perniagaan. Habis solat Jumaat, sambung le balik kerja tu.

    Juga, Islam tiada menegah dilakukan pada hari Jumaat, apa-apa yang tidak ditegah pada hari-hari lain sepanjang minggu. Hanya dalam ajaran Kristian yang menuntut hari Ahad dan ajaran Yahudi menuntut hari Sabtu, mesti ditinggalkan semua urusan duniawi terutamanya berbentuk pekerjaan dan perniagaan.

    Tetapi dalam Islam tiada ketetapan sedemikian rupa (iaitu yg mengehendaki hari tertentu ditinggalkan semua pekerjaan dan perniagaan). Jikalau kita masih bertaqlid mengehendaki hari tertentu mesti cuti dan tak boleh bekerja, tidakkah maknanya kita hampir terikut-ikut cara Kristian dan Yahudi?
    Next time mohon baca betul-betul jangan baca separuh-separuh lepas tu tersalah tafsir. Dalam Islam TIDAK ADA dituntut hari tertentu dalm seminggu yang mesti ditinggalkan segala urusan keduniaan pada hari tersebut. Dalam kata lain tiada masalah cuti mingguan hari apa sekalipun asalkan saja JANGAN kita orang Islam bertaqlid menetapkan hari tertentu.

    Mungkin kebanyakan negeri cuti mingguannya Sabtu dan Ahad tetapi BUKAN bermakna umat Islam di negeri2 berkenaan bertaqlid mengehendaki Sabtu dan Ahad. Yang jadi masalahnya ialah apabila kita bertaqlid mengehendaki hari tertentu dijadikan hari cuti dan dihindarkan segala pekerjaan sedangkan dalam Islam TIADA dituntut sedemikian rupa. Kenapa dalam bab memilih hari cuti mingguan tiba2 kita nak jadi "lebih Islam daripada Islam tu sendiri" sedangkan perkara2 lain yg lebih penting, kita gagal?

    BalasPadam
  12. Rasa saya persoalannya ialah
    kenapakah cuti mingguan tu bukan hari jumaat
    tidakkah ia akan memudahkan urusan umat Islam?

    Kenapa perlu cuti hari ahad dan sabtu?

    Kalau tiada cuti mingguan, tidaklah berbangkit persoalan disini

    soalnya: Kenapa hari sabtu dan ahad yang dipilih?

    Terima kasih

    BalasPadam
  13. Salam

    Ini adalah soal pilihan dan kebiasaan. Alasan bahawa cuti hari Jumaat memudahkan urusan umat Islam bukanlah suatu alasan yang relevan. Kerana mudah atau payah utk menjalankan urusan seharian itu terletak pada kemahiran mengurus masa, bukannya soal hari itu cuti atau tidak.

    Kenapa sabtu dan ahad. Ini lebih kepada soal kebiasaan. It's safe to say that sengaja hari sabtu dan ahad dipilih sebagai cuti mingguan kerana ia adalah amalan di KEBANYAKAN negara di dunia ini tanpa mengira bangsa, agama mahupun budaya. Anda cubalah tanya kerajaan di beratus2 negara yang cutinya Sabtu/Ahad.

    BalasPadam
  14. Salam saudaraku,

    Kalaulah dikatakan "kebiasaannya" serta diamalkan oleh KEBANYAKAN negara, saya rasa kita terpanggil dan terfikir inilah yang menjadikan kita Umat Islam masih terbelenggu akibat jajahan pemikiran Barat Yahudi Nasrani.

    Pernah kita terfikir masa Kelantan mulakan 5hari bekerja bagi kakitangan kerajaan negeri, kita rasa pelik sebab dah biasa dengan kerja 51/2hari bekerja, diikuti pula oleh Terengganu.Akhirnya Kerajaan pusat mengikutinya dengan kerja 5 hari seminggu.

    Sepatutnya dan rasanya tidak JANGGAL kalau kita mulakan cuti pada hari Jumaat seiiringan dengan "Memuliakan Jumaat sebagai Penghulu segala hari" bukan Ahad.
    Sekurang-kurangnya kita semua mendapat keberkatan dengan mengimarahkan hari Jumaat tersebut dengan mendengar kuliah pagi Jumaat di masjid serta surau serta gotong royong bersihkan kubur di pagi Jumaat.
    Akibat diadung dengan barat, maka "pilihan serta kebiasaannya dijawab"kerajaan yang ada itu semuanya kerajaan Barat dan mereka tidak peduli hari Jumaat sebab hari Ahad ialah hari cuti mereka ke Gereja maka kita pun ikut bercuti sebab apa sebab dah jadi pilihan serta kebiasaan.

    Masya Allah.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...