Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
Li Ye Ping, 80 menunjukkan kaki kuntum teratai miliknya. |
Peradaban dan budaya berkaki kecil sehingga tiga inci di China berakhir dengan tinggal hanya 100 pewaris
PERUBAHAN zaman membawa definisi baru kepada tradisi membengkung kaki di China. Satu ketika dulu, adat membengkung kaki adalah terjemahan kepada kewanitaan dan keayuan. Tanpa kaki kecil bersaiz tiga inci itu, tiada lelaki akan masuk meminang.
Bagaimanapun, hari ini ia disifatkan sebagai penyeksaan dan kezaliman yang tidak terhingga kepada wanita. Walaupun diharamkan sejak 1912, masih ada keluarga yang melakukannya secara rahsia. Hinggalah apabila komunisme menerajui pentadbiran negara itu, Dr Sun Yat Sen berjaya memansuhkan tradisi itu sepenuhnya pada 1930.
Hari ini, wanita berkaki kecil bersaiz tiga inci atau popular dirujuk sebagai 'kuntum teratai tiga inci' masih boleh ditemui hampir di seluruh pelusuk China. Tahun lalu, kajian media tempatan mendapati masih ada 100 wanita berkaki kecil tinggal di Luiyicun, kampung kecil di selatan Wilayah Yunnan. Bulan lalu, wakil media asing menemui enam lagi wanita berkaki kecil di Kampung Tuanshan, di barat daya Wilayah Yunnan. Semua mereka berusia 70 tahun ke atas.
Walaupun hari ini kaki kecil yang berbengkung dilihat sebagai tinggalan peradaban dan kebudayaan masyarakat China, tetapi bagi wanita yang berkaki kecil, jika boleh mereka tidak mahu melakukannya.
Membengkung kaki bermula pada usia muda. Sebaik saja kanak-kanak perempuan mencecah usia lima atau enam tahun, ibu atau nenek sudah mula membengkung kaki mereka.
Kaki kecil dikatakan melengkapkan kesempurnaan seorang wanita. |
Bayangkan kesakitan yang ditanggung gadis kecil apabila jari-jari kaki dipatahkan dan dilipat ke bawah tapak kaki. Selepas itu ia dibalut dengan kain sepanjang 10 inci.
Kain pembalut yang panjang menyebabkan anak-anak kecil ini sukar membasuh kaki. Kerana kesukaran itu, mereka hanya membasuh kaki sekali dalam dua minggu menyebabkan baunya sangat busuk. Malah bau busuk juga terjadi kerana tiada darah yang dapat mengalir ke kawasan itu. Ia menyebabkan kematian tisu dan tulang (necrosis). Apatah lagi kaki yang dibengkung perlu diketatkan dari semasa ke semasa.
Walaupun menyakitkan dan busuk, apabila dilakukan secara kerap ia tidak lagi menjadi persoalan. Apatah lagi tulang kanak-kanak masih lembut dan mudah dimanipulasi. Malah ia sudah menjadi kebiasaan hinggakan kaki yang dilipat bertahun-tahun akan menjadi sangat sakit jika cuba dibentuk semula seperti asal.
Ada juga keluarga yang bertindak ekstrem dalam mendapatkan bentuk yang kecil dan cantik. Mereka memasukkan pecahan porselin dalam balutan kaki untuk menyiat daging. Tindakan ini bagaimanapun ada kalanya menyebabkan kaki menjadi luka, bernanah dan akhirnya terpaksa dipotong.
GAMBAR (kiri): Empat jari kaki yang dilipat dan sukar di bentuk semula. (kanan) Saiz kaki sebesar kotak rokok. |
Bagaimanapun semua kesakitan dan kepayahan itu tidak dipedulikan untuk meraih darjat. Di zaman feudalisme yang mementingkan status, membengkung kaki adalah satu-satunya lesen untuk wanita golongan bawahan melompat status. Ia peluang besar untuk mereka berkahwin dengan golongan kaya.
Kaki berbengkung dilihat sebagai simbol kecantikan, kemurnian dan sopan santun. Ia juga menjanjikan jodoh yang baik buat si gadis.
Dalam sejarah masyarakat China dicatatkan, ibu mentua memilih calon menantu melalui kasut. Kaki kecil simbol kepatuhan kepada keluarga suami manakala tenunan dan sulaman pada kasut adalah lambang kerajinan si gadis.
Bagaimanapun di kalangan lelaki golongan diraja dan aristokrat yang menyimpan gundik, kaki yang dibengkung sebenarnya mekanisme untuk menghalang si gundik lari daripada mereka! Malah di kalangan lelaki waktu itu tidak dinafikan kaki yang berbengkung sebenarnya lambang erotik dan seksualiti.
Kaki yang berbengkung bermaksud si gadis tidak boleh bergerak secara sempurna. Manakala di kalangan gundik, dengan kaki yang kecil dan tarian yang lemah gemalai kerana kurang keseimbangan, ia disifatkan sebagai 'keayuan'.
Kaki yang berbengkung dilihat sebagai bahagian tubuh paling indah dalam anatomi wanita. Apatah lagi apabila memakai kasut cantik buatan sendiri bermanik dan berloceng.
Tradisi membengkung kaki dikatakan bermula pada Dinasti Sung. Walaupun awalnya ia diamalkan di kalangan golongan diraja dan aristokrat, ia menjadi amalan hampir semua masyarakat ketika itu. Lelaki hanya akan memilih wanita berkaki kecil sebagai isteri.
Bagi wanita yang mengahwini golongan bangsawan atau menjadi perempuan simpanan, berkaki kecil mungkin satu kelebihan. Mereka tidak perlu membuat kerja rumah dan hanya melayan maharaja. Malangnya, bagi kebanyakan wanita lain di kampung yang hanya berkahwin dengan golongan kebanyakan, mereka masih perlu kerja di ladang. Justeru, bayangkan azabnya dengan saiz kaki yang tidak seimbang dan terpaksa juga mengendong anak di belakang.
Kaki kecil dianggap simbol erotik, seksualiti
Permulaan tradisi membengkung kaki sebenarnya penuh kontroversi dan ada pelbagai versi mengenai asal usulnya. Antara versi popular adalah tradisi ini dikatakan bermula ketika Dinasti Sung. Seorang maharaja dinasti itu dikatakan jatuh cinta dengan gundik berkaki kecil.
Gundik itu membalut kaki kecilnya dengan sutera cina. Apabila dia menari, pergerakan tarian yang lemah gemalai dan terhad kerana ketidakseimbangan antara tubuh dan saiz kakinya. Namun, pergerakan itu disifatkan maharaja sebagai 'lemah gemalai'. Sejak itu, semua wanita sempurna diwajibkan membengkung kaki.
Satu lagi versi mengatakan ia bermula apabila seorang anak gadis maharaja Dinasti Sung lahir dengan kecacatan pada kakinya. Kecacatan itu ditutup dengan membalutnya dengan sutera. Justeru bagi mengelak malu, si maharaja mengisytiharkan hanya wanita berkaki kecil bersaiz tiga inci paling ideal untuk diperisterikan.
Zaman feudalisme di China juga menyaksikan kedudukan wanita yang sangat rendah berbanding lelaki. Wanita dilihat sebagai pelengkap kehidupan lelaki. Wanita tidak dibenarkan keluar rumah, patuh pada bapa dan abangnya, suami, selepas berkahwin dan anak lelaki jika dia janda. Malah, ketika itu masyarakat berpendapat tidak bijak memberi pendidikan pada wanita.
Justeru, tradisi membengkung kaki dilihat sebagai cara untuk mengawal wanita dan mengawal moralnya.
Tradisi itu kekal dalam budaya masyarakat China hingga abad 20. Pemimpin Manchu dari Dinasti Qing, bagaimanapun tidak mengekalkan budaya ini tetapi tidak berjaya juga untuk menghentikannya. Ketidakupayaan itu sekali lagi dikaitkan dengan simbol kaki kecil tiga inci itu sendiri - erotik dan seksualiti.
Pada akhir 1800, pengaruh barat dan kemodenan menyedarkan masyarakat mengenai kezaliman tradisi membengkung kaki. Golongan feminisme antara mereka yang kuat menentang amalan ini. Antara penggerak penentangan ini adalah Dr Sun Yat Sen yang akhirnya menyaksikan tradisi membengkung kaki diharamkan sepenuhnya di China.
INFO: Bengkung kaki
- Amalan membengkung kaki dipercayai bermula pada zaman Dinasti Sung
- Ia dilakukan sebaik saja kanak-kanak perempuan mencecah usia lima atau enam tahun
- Kaki akan direndam dalam rebusan suam campuran herba dan darah haiwan. Jari kaki akan dipatahkan kecuali ibu jari dan dilipat ke bawah tapak kaki
- Ia dibalut dengan kain sutera atau kapas yang basah berukuran kira-kira tiga meter dan lima sentimeter lebar
- Ritual itu akan diulang setiap dua hari dengan kain pembalut yang baru
- Selepas dilakukan berulang-ulang, kanak-kanak ini tidak lagi berasa sakit dan kaki hanya akan dicuci setiap dua minggu.
- Kaki yang dibengkung mesti mencapai ukuran enam sentimeter bagi golongan aristokrat dan 12.7 sentimeter untuk masyarakat bawahan.
- Amalan penindasan ini diharamkan sepenuhnya pada 1930 selepas komunisme menerajui China.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...