PAGE

Sabtu, September 27, 2008

15 alasan rindukan Ramadan

Salamun'alaik Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh...

Segala puji-pujian kehadrat Allah subhanahu wata'ala, kepada-Nya kita menyembah. Salam serta selawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.

Hari ini kita sedang melalui hari ke 27 dalam bulan Ramadan. Dalam dua-tiga hari lagi, kita akan meninggalkan. Tanpa kita sedari, Ramadan sudah hampir meninggalkan kita semua. Adakah kita telah memanafaatkan setiap detik yang ada di sepanjang 27 hari Ramadan? Fajar 1 syawal pula bakal menjelang dalam waktu yang amat dekat.

Kita tentu sibuk mengejar masa merebut peluang untuk beribadah dalam masa yang masih tersisa. Bagaimana perasaan kita? Sedih kita kerana bulan yang penuh berkat dan rahmat akan pergi,
pernahkah kita terfikir, mungkinkah ini Ramadan yang terakhir untuk kita? Entah kita akan dapat bertemu dengannya lagi, tidak kita ketahui. Gembira kita kerana, insya Allah kita akan dapat melaksanakan perintah Allah menyempurnakan Rukun Islam yang ke tiga. Bagi yang benar-benar menghayati bulan yang mulia ini, pasti akan terasa bulan istimewa ini semakin hampir ke penghujungnya. Seperti seorang kekasih, selalu diharap kedatangannya. Rasanya tidak ingin berpisah walaupun hanya cuma sedetik. Begitulah Ramadan seperti digambarkan sebuah hadis yang diriwayatkan Ibnu Khuzaimah, "Andaikan tiap hamba mengetahui apa yang ada dalam Ramadan, maka ia bakal berharap satu tahun itu puasa terus."



Sesungguhnya, apa adanya di dalam Ramadan itu, ikutilah berikut ini:

1. Gelaran taqwa

Taqwa adalah gelaran tertinggi yang dapat diraih manusia sebagai hamba Allah. Tidak ada gelaran yang lebih mulia dan tinggi dari itu. Maka setiap hamba yang telah mampu meraih gelaran taqwa, ia dijamin hidupnya di syurga dan diberi kemudahan-kemudahan di dunia. Dan puasa adalah infrastructure untuk mendapatkan gelaran taqwa itu.

"Hai orang-orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa." QS al-Baqarah: 183

Kemudahan-kemudahan yang diberikan Allah kepada hambanya yang taqwa, antara lain:

a. Jalan keluar dari semua masalah

Kemampuan manusia amat terbatas, sementara persoalan yang dihadapi begitu banyak. Mulai dari masalah dirinya, anak, isteri, saudara, orang tua, pejabat dan sebagainya. Tapi bila orang itu taqwa, Allah akan menunjukkan jalan bagi persoalan itu. Bagi Allah tidak ada yang sulit, kerana Dialah pemilik kehidupan ini.

"...Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar." QS. Ath Thalaaq: 2

"...Dan barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya." QS. Ath Thalaaq: 4

b. Dicukupkan keperluannya

"Dan memberinya rezeki dari arah yang tak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya...." QS. Ath Thalaaq: 3

c. Ketenangan jiwa, tidak khuatir dan bersedih hati

Bagaimana boleh bersedih hati, bila di dalam dadanya tersimpan Allah. Ia telah menggantungkan segala hidupnya kepada Pemilik kehidupan itu sendiri. Maka orang yang selalu mengingat-ingat Allah, ia bakal memperoleh ketenangan.

"Hai anak-anak Adam, jika datang kepadamu rasul-rasul daripada kamu yang menceritakan kepadamu ayat-ayat-Ku, maka barangsiapa bertaqwa dan mengadakan perbaikan, tidaklah ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati." QS. al-A'raaf: 35

2. Bulan pengampunan

Tidak ada manusia yang tiada berdosa, sebaik manapun dia. Sebaik-baik manusia bukanlah yang tanpa dosa, sebab itu tidak mungkin terjadi. Manusia yang baik adalah yang paling sedikit dosanya, lalu bertaubat dan berjanji tidak mengulangi perbuatan dosa itu lagi.

Kerana dosa manusia itu, maka Allah telah menyediakan alat penghapus yang canggih. Itulah puasa pada bulan Ramadan. Beberapa hadis menyatakan demikian, salah satunya diriwayatkan Bukhari Muslim dan Abu Daud, "Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadan kerana keimanannya dan kerana mengharap redha Allah, maka dosa-dosa sebelumnya diampuni."

3. Pahalanya dilipatgandakan

Tidak hanya pengampunan dosa, Allah juga telah menyediakan bonus pahala berlipat-lipat kepada sesiapapun yang berbuat baik pada bulan mulia ini. Rasulullah SAW bersabda, "Setiap amal anak keturunan Adam dilipatgandakan. Tiap satu kebaikan sepuluh lipat gandanya hingga tujuh ratus lipat gandanya." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

Bahkan amalan-amalan sunnah yang dikerjakan pada Ramadan pahalanya dianggap sama dengan mengerjakan amalan wajib. (Hadis riwayat Bahaiqi dan Ibnu Khuzaimah)

Maka perbanyakkanlah amal dan ibadah.

4. Pintu syurga dibuka dan neraka ditutup

"Kalau tiba bulan Ramadan terbuka pintu syurga, tertutup pintu neraka, dan syaitan-syaitan terbelenggu." (Hadis riwayat Muslim)

Kenapa pintu syurga terbuka? Kerana sedikit sahaja amal perbuatan yang dilakukan, boleh membawa seseorang itu ke syurga. Boleh diibaratkan, bulan puasa itu bulan "Sale". Orang yang tidak membeli akan merasa rugi. Amal sedikit saja dilipatgandakan ganjarannya sedemikian banyak. Ganjaran itu untuk mendorong orang melakukan amal-amal kebaikan di bulan Ramadan. Dengan demikian secara automatik pintu neraka tertutup dan tidak ada lagi kesempatan untuk syaitan menggoda manusia.

5. Ibadah istimewa

Keistimewaan puasa ini dikatakan Allah melalui hadis qudsinya, "Setiap amalan anak Adam itu untuk dirinya, kecuali puasa. Itu milik-Ku dan Aku yang membalasnya kerana ia (orang yang berpuasa) meninggalkan syahwat dan makanannya kerana Aku." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

Menurut Quraish Shihab, ahli tafsir dari IAIN Syarif Hidayatullah Jakarta, puasa dikatakan untuk Allah dalam erti untuk menauladani sifat-sifat Allah. Itulah substance puasa.

Misalnya, dalam bidang jasmani, Allah tidak makan, tapi memberi makan. Itu ditauladani, maka ketika berpuasa kita tidak makan, tapi kita memberi makan. Kita dianjurkan untuk mengajak orang berbuka puasa. Ini tahap dasar menauladani Allah.

Masih ada tahap lain yang lebih tinggi dari sekadar itu. Maha Pemurah adalah salah satu sifat Tuhan yang seharusnya juga kita tauladani. Maka dalam berpuasa, kita dianjurkan banyak bersedekah dan berbuat kebaikan. Tuhan Maha Mengetahui. Maka dalam berpuasa, kita harus banyak belajar. Belajar boleh melalui membaca Al-Qur'an, membaca kitab-kitab yang bermanfaat, meningkatkan pengetahuan ilmiah.

Allah SWT setiap saat sibuk mengurus makhluk-Nya. Dia bukan hanya mengurus manusia. Dia juga mengurus binatang. Dia mengurus semut. Dia mengurus rumput-rumput yang bergoyang. Manusia yang berpuasa menauladani Tuhan dalam sifat-sifat ini, sehingga dia harus selalu dalam kesibukan.

Perlu ditekankan menauladani Tuhan itu sesuai dengan kemampuan kita sebagai manusia. Kita tidak mampu untuk tidak tidur sepanjang malam, tidurlah secukupnya. Kita tidak mampu untuk terus-menerus tidak makan dan tidak minum. Kalau begitu, tidak makan dan tidak minum cukup sejak terbitnya fajar sampai tenggelamnya matahari saja.

6. Dicintai Allah

Nah, seseorang yang meneladani Allah sehingga dia dekat kepada- Nya. Bila sudah dekat, minta apa saja akan mudah dikabulkan. Bila Allah telah mencintai hambanya, dilukiskan dalam satu hadis Qudsi, "Kalau Aku telah mencintai seseorang, Aku menjadi pendengaran untuk telinganya, menjadi penglihatan untuk matanya, menjadi pegangan untuk tangannya, menjadi langkah untuk kakinya." (Hadis riwayat Bukhari)

7. Doa dikabulkan

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, katakanlah bahawa Aku dekat. Aku mengabulkan permohonan orang berdoa apabila dia berdoa, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku." QS. al-Baqarah: 186

Memperhatikan penyusunan kalimah ayat di atas, bererti ada orang berdoa tapi sebenarnya tidak berdoa. Iaitu doanya orang-orang yang tidak memenuhi syarat. Apa syaratnya? "maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku."

Benar, berdoa pada Ramadan mendapat tempat khusus, seperti dikatakan Rasulullah SAW, "Tiga doa yang tidak ditolak; orang berpuasa hingga berbuka puasa, pemimpin yang adil dan doanya orang teraniaya. Allah mengangkat doanya ke awan dan membukakan pintu- pintu langit. 'Demi kebesaranKu, engkau pasti Aku tolong meski tidak sekarang." (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Namun harus diingat bahawa segala makanan yang kita makan, kesucian pakaian, kesucian tempat, itu mempunyai hubungan yang erat dengan pengabulan doa. Nabi pernah bersabda, ada seorang yang sudah lusuh pakaiannya, kusut rambutnya berdoa kepada Tuhan. Sebenarnya keadaannya yang lusuh itu dapat membawa doanya dia diterima. Tapi kalau makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya yang dipakainya diambil dari barang yang haram, bagaimana dapat dikabulkan doanya?

Jadi doa itu berkait erat dengan kesucian jiwa, pakaian dan makanan. Di bulan Ramadan jiwa kita diasah hingga bersih. Semakin bersih jiwa kita, semakin tulus kita, semakin bersih tempat, pakaian dan makanan, semakin besar kemungkinan untuk dikabulkan doa.

8. Turunnya Lailatul Qadar

Pada bulan Ramadan Allah menurunkan satu malam yang sangat mulia. Tersangat mulianya Allah menggambarkan malam itu nilainya lebih dari seribu bulan. QS. al-Qadr

Dikatakan mulia, pertama lantaran malam itulah awal Al-Qur'an diturunkan. Kedua, begitu banyak anugerah Allah diturunkan pada malam itu.

Beberapa hadis sahih meriwayatkan malam laulatul qadar itu jatuh pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan. Seperti dirawikan Imam Ahmad, "Lailatul qadar adalah di akhir bulan Ramadan tepatnya di sepuluh terakhir, malam kedua puluh satu atau dua puluh tiga atau dua puluh lima atau dua puluh tujuh atau dua puluh sembilan atau akhir malam Ramadan. Barangsiapa mengerjakan qiyamullail (solat malam) pada malam tersebut kerana mengharap redha-Ku, maka diampuni dosanya yang lampau atau yang akan datang."

Mengapa di akhir Ramadan, bukan pada awal Ramadan Oleh kerana dua puluh malam sebelumnya kita mengasah dan mengasuh jiwa kita. Itu adalah suatu persiapan untuk menyambut lailatul qadar.

Ada dua tanda lailatul qadar. Al Qur'an menyatakan, "Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan/kedamaian sampai terbit fajar. QS al-Qadr: 4-5

Malaikat bersifat ghaib, kecuali bila berubah bentuk menjadi manusia. Tapi kehadiran malaikat dapat dirasakan. Syekh Muhammad Abduh menggambarkan, "Kalau anda menemukan sesuatu yang sangat berharga, di dalam hati anda akan tercetus suatu bisikan, 'Ambil barang itu!' Ada bisikan lain berkata, 'Jangan ambil, itu bukan milikmu!'

Bisikan pertama adalah bisikan syaitan. Bisikan kedua adalah bisikan malaikat." Dengan demikian, bisikan malaikat selalu mendorong seseorang untuk melakukan hal-hal positif. Jadi kalau ada seseorang yang dari hari demi hari sisi kebajikan dan positifnya terus bertambah, maka yakinlah bahawa ia telah bertemu dengan lailatul qadar.

9. Meningkatkan kesihatan

Sudah banyak terbukti bahawa puasa dapat meningkatkan kesihatan. Misalnya, dengan puasa maka organ-organ pencernaan dapat beristirahat. Pada hari biasa alat-alat pencernaan di dalam tubuh bekerja keras. Setiap makanan yang masuk ke dalam tubuh memerlukan proses pencernaan lebih kurang lapan jam. Empat jam diproses di dalam perut dan empat jam di usus kecil (ileum).

Jika malam sahur dilakukan pada pukul 4.00 pagi, bererti pukul 12 tengahari alat pencernaan selesai bekerja. Dari pukul 12 tengahari sampai waktu berbuka, lebih kurang selama enam jam, alat pencernaan mengalami istirehat total.

Meningkatkan sistem kekebalan tubuh. Berdasarkan penelitian yang dilakukan para ahli kesihatan, ternyata dengan berpuasa sel darah putih meningkat dengan pesat sekali. Penambahan jumlah sel darah putih secara automatik akan meningkatkan sistem kekebalan tubuh.

Menghambat perkembangan atau pertumbuhan bakteria, virus dan sel cancer. Dalam tubuh manusia terdapat parasit-parasit yang menumpang makan dan minum. Dengan menghentikan kemasukan makanan, maka kuman-kuman penyakit seperti bakteria-bakteria dan sel-sel cancer tidak akan dapat bertahan hidup. Mereka akan keluar melalui cairan tubuh bersama sel-sel yang telah mati dan toksin.

Manfaat puasa yang lain adalah membersihkan tubuh dari racun kotoran dan hampas, mempercepat regenasi kulit, menciptakan keseimbangan elektrolit di dalam perut, memperbaiki fungsi hormon, meningkatkan fungsi organ reproduksi, meremajakan atau mempercepat regenerasi sel-sel tubuh, meningkatkan fungsi fisiologis organ tubuh, dan meningkatkan fungsi susunan saraf.

10. Penuh harapan

Ketika berpuasa, ada sesuatu yang diharap-harapkan. Harapan itu kian besar menjelang petang. Sehari penuh menahan lapar dan dahaga, lalu datang waktu berbuka, wah... rasanya lega sekali. Alhamdulillah. Itulah harapan yang terkabul. Apalagi harapan bertemu Tuhan, masya' Allah, menjadikan hidup lebih bermakna.

"Setiap orang berpuasa selalu mendapat dua kegembiraan, iaitu tatkala berbuka puasa dan saat bertemu dengan Tuhannya." (Hadis riwayat Bukhari)

11. Masuk syurga melalui pintu khusus, Rayyaan

"Sesungguhnya di syurga itu ada sebuah pintu yang disebut rayyan yang akan dilalui oleh orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat nanti, tidak diperbolehkan seseorang melaluinya selain mereka. Ketika mereka dipanggil, mereka akan segera bangkit dan masuk semuanya kemudian ditutup." (Hadis riwayat Bukhari)

12. Minum air telaganya Rasulullah SAW

"Barangsiapa pada bulan Ramadan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, maka itu menjadi keampunan bagi dosa-dosanya, dan mendapat pahala yang sama tanpa sedikit pun mengurangi pahala orang lain.

Mereka (para sahabat) berkata, 'Wahai Rasulullah, tidak setiap kami mempunyai makanan untuk diberikan kepada orang yang berbuka puasa.'

Beliau berkata, 'Allah memberikan pahala kepada orang yang memberi buka puasa meski dengan sebutir kurma, seteguk air, atau seteguk susu... Barangsiapa memberi minum orang yang berpuasa maka Allah akan memberinya minum seteguk dari telaga di mana ia tidak akan haus hingga masuk syurga." (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi)

13. Berkumpul dengan sanak keluarga

Pada 1hb Syawal umat Islam merayakan Hari Raya Aidil Fitri. Inilah hari kemenangan setelah berperang melawan hawa nafsu dan syaitan selama sebulan Ramadan. Ketika itu orang ramai melakukan silaturrahim dan saling memaafkan satu dengan yang lain. Termasuk kerabat-kerabat jauh yang datang berkunjung. Orang-orang yang bekerja di kota pulang untuk merayakannya di kampung bersama kedua orang tuanya. Maka setiap hari raya selalu terjadi pemandangan khas, iaitu orang berduyun-duyun dan berhimpit-himpit menaiki kenderaan mudik ke kampung halaman.

Silaturrahim dan saling memaafkan itu menurut ajaran Islam boleh dilakukan bila-bila saja. Tidak semestinya pada Hari Raya sahaja. Tetapi itu juga tidak dilarang. Justeru itu momentum yang seeloknya. Mungkin, pada hari biasa kita sibuk dengan urusan masing-masing, sehingga tidak sempat lagi menjalin hubungan dengan tetangga dan saudara yang lain.

Padahal silaturrahim itu dianjurkan Islam, sebagaimana dinyatakan hadis, "Siapa yang ingin rezekinya dibanyakkan dan umurnya dipanjangkan, hendaklah ia menghubungkan tali silaturrahim!" (Hadis riwayat Bukhari)

14. Qaulan tsaqiilaa

Pada malam Ramadan ditekankan disunnahkan untuk melakukan solat malam dan tadarus al-Qur'an. Waktu paling baik menunaikan solat malam sesungguhnya seperdua atau sepertiga malam terakhir. QS Al Muzzammil: 3

Tetapi demi kesemarakan syiar Islam pada Ramadan ulama membolehkan melakukan terawih pada awal malam setelah solat isya' dengan berjamaah di masjid. Solat ini lebih popular disebut solat tarawih.

Solat malam itu merupakan peneguhan jiwa, setelah siangnya sang jiwa dibersihkan dari nafsu-nafsu kotor lainnya. Ditekankan pula selesai solat malam untuk membaca Kitab Suci al-Qur'an secara tartil (memahami maknanya). Dengan membaca Kitab Suci itu seseorang bakal mendapat wawasan-wawasan yang luas dan mendalam, kerana al-Qur'an memang sumber pengetahuan dan ilham.

Dengan keteguhan jiwa dan wawasan yang luas itulah Allah kemudian mengurniakan qaulan tsaqiilaa (perkataan yang berat). Perkataan- perkataan yang berwibawa. Ucapan-ucapannya selalu berisi kebenaran. Maka orang-orang yang suka melakukan solat malam wajahnya bakal memancarkan kewibawaan.

15. Hartanya disucikan

Setiap Muslim yang mampu pada setiap Ramadan diwajibkan mengeluarkan zakat. Ada dua zakat, iaitu fitrah dan maal. Zakat fitrah besarnya 2.5 kilogram per orang berupa bahan-bahan makanan pokok. Sedangkan zakat maal besarnya 2.5 persen dari seluruh kekayaannya bila sudah mencapai batas nisab dan waktunya.

Zakat disamping dimaksudkan untuk menolong fakir miskin, juga guna mensucikan hartanya. Harta yang telah disucikan bakal mendatangkan barkah dan menghindarkan pemiliknya dari seksa api neraka. Harta yang barkah akan mendatangkan ketenangan, kedamaian dan kesejahteraan. Sebaliknya, harta yang tidak barkah akan mengundang kekhuatiran dan ketidaksejahteraan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...