PAGE

Rabu, September 10, 2008

Isteri Ada Hak Ceraikan Suami



Assalamualaikum,


Benarkah Islam membenci penceraian secara mutlak? Bagaimana pula jika suami zalim, haruskah isteri hanya disuruh bersabar kerana kononnya tidak mahu menggoncang arasy Allah SWT? Dan bagaimana pula kenyataan (dari sebuah hadis) yang disebarkan di kalangan kita, wanita yang meminta cerai daripada suami, takkan dapat mencium bau syurga? Maka ramailah yang takut dan terus taat pada suami walaupun hakikatnya suami tidak seperti suami yang sewajibnya diperintah Allah. Kenyataan yang sering disebut-sebutkan itu tidak lengkap, maka banyaklah silap faham di kalangan kita terutamanya para isteri tentang hak-hak mereka.


Sesungguhnya di antara lelaki dan wanita itu terdapat perbezaan dalam membuat sesuatu keputusan di mana kebiasaannya wanita itu lebih mudah tunduk pada perasaan apalagi jika sedang berada di saat-saat genting di mana persoalan perceraian sebenarnya memerlukan kepada pemikiran yang rasional. Mari kita lihat hadis yang lengkap, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram kepadanya bau syurga.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi).


Memang, sebagai isteri, anda tidak boleh terus menceraikan suami (membubarkan ikatan perkahwinan) serta merta. Keputusan itu hendaklah dijatuhkan setelah melalui proses muhasabah, mengkoreksi kesalahan masing-masing dan mahu memperbaiki keadaan. Tetapi jika suami tidak mahu berubah setelah isteri memberi peluang, maka isteri harus berfikir ke arah yang lebih jauh lagi, demi masa depan diri sendiri dan anak-anak.


Isteri ada hak untuk memutuskan ikatan perkahwinan dengan melakukan khulu’ (tebus talak oleh isteri) dan penerimaan ‘iwadh (ganti diterima oleh suami sebagai penebusan). Khulu’ bermaksud permintaan cerai kepada suami dengan pembayaran yang disebut ‘iwadh bagi menebus talaknya. Malangnya perlaksanaan hak wanita ini sering tidak dipenuhi. Lagi menyedihkan apabila wanita itu sendiri tidak mengetahui Apatah lagi memahami hak mereka yang demikian besar. Manakala pihak yang berwajib mempertimbangkan dan meluluskan hak wanita ini pula bersikap tidak endah akibat kejahilan memahami kehendak syariat Islam, akibat terlalu mengikut prosedur yang kadangkala menyalahi kehendak syarak.


Firman Allah SWT yang bermaksud; “……dan tidak halal bagi kamu mengambil kembali dari sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka, kecuali kalau keduanya (suami isteri) khawatir tidak akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah. Jika kamu khuatir bahawa keduanya (suami isteri) tidak dapat menjalankan hukum-hukum Allah, maka tidak ada dosa atas keduanya tentang bayaran yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya. Itu hukum-hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. Barang siapa yang melanggar hukum-hukum Allah, mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Baqarah, ayat 229)


Sebahagian ahli masyarakat memandang talak adalah suatu perkara yang sentiasa negatif. Padahal talak adalah satu jalan penyelesaian bagi masalah yang tidak terungkai melainkan dengan jalan ini. Akibat ianya disekat dan disusahkan pula, pasangan yang mahu berpisah (yang sepatutnya) secara baik, akhirnya berpisah secara buruk dan menimbulkan permusuhan dan dendam sehingga memudaratkan banyak pihak terutama anak-anak.


Apatah lagi wujud anggapan yang menyatakan kalau dijatuhkan talak, maka akan bergegarlah ‘Arasy… Maha Suci Allah! Apakah benar kata-kata sedemikian? Dalam hadis Abdullah bin Abbas r.a., beliau meriwayatkan bahawa isteri Thabit bin Qays datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, saya bukanlah memandang aib dan rendah pada akhlak dan agama suami saya, tetapi saya tidak mahu hidup dalam keadaan kufur sebagai seorang Islam (akibat tidak menyenangi suami).” Sabda Rasulullah SAW, “Apakah kamu mahu mengembalikan kepada suami kamu ladang kurmanya (yang menjadi mas kahwin kamu dahulu)? Jawabnya, “Ya, saya bersedia.” Lalu baginda menyuruh Thabit bin Qays dengan bersabda, “Ambillah ladang kurma itu dan talakkan dia dengan satu talak.” (Hadis riwayat al-Bukhari, al-Nasaie dan Ibnu Majah)


Isteri Thabit bin Qays bukanlah mahu membubarkan perkahwinannya kerana buruknya akhlak dan lemahnya agama suaminya, tetapi dia tidak mahu kufur dalam pergaulan dengan suaminya dan bimbang dia cuai dalam kewajipan terhadap suaminya, disebabkan dia tidak menyukai suaminya. Lantas Rasulullah SAW memberikan dia nasihat dan pandangan, bukan suatu kewajipan agar dia mengembalikan ladang yang menjadi mahar suaminya dulu. Inilah khulu’ yang pertama berlaku dalam Islam dan inilah dia maksud mu’awadah (tukaran barang) dalam khulu’.


Secara umumnya apa sahaja yang boleh dijadikan mahar (mas kahwin) boleh dijadikan bayaran khulu’. Iaitu setiap barang yang bernilai atau mempunyai manfaat dan ditentukan secara pasti tentang benda dan faedah yang hendak digunakan sebagai bayaran khulu’ tersebut. Nafkah yang wajib ke atas suami kepada isterinya atau nafkah anak kecil yang berada di bawah jagaan ibu atau bayaran susuan dan jagaan anak dengan ditentukan jangka waktunya juga boleh dijadikan bayaran khulu’ dari isteri. Dengan ini nafkah yang wajib dibayar oleh suami tidak perlu lagi dibayar dan ia ditanggung sendiri oleh isteri.


Di antara kesan khulu’ ialah bekas suami tidak boleh rujuk kepada bekas isterinya, bekas suami tidak boleh menambah talaq ke atas bekas isterinya, bekas suami tidak boleh menambah talaq ke atas bekas isterinya dalam waktu ‘iddah dan suami juga tidak boleh berkahwin dengan bekas isterinya kecuali dengan akad dan mas kahwin yang baru. Iddah bagi isteri yang dikhulu’ adalah sekali haidh dan pembubaran menerusi khulu’ ini boleh dilakukan pada bila-bila masa iaitu waktu suci atau waktu isteri sedang haidh. Maka berdasarkan khulu’ ini inisiatif untuk perceraian datang dari pihak isteri sendiri dan alasan yang boleh diterima oleh syarak. Namun dalam hal ini mana-mana suami adalah dilarang menggunakan kesempatan untuk bertindak menimbulkan kesukaran kepada isterinya bagi mendapat khulu’ daripadanya kerana dalam kes begini ahli feqah berpendapat khulu’ adalah batal dan bayaran tebus talaq dipulangkan kepada si isteri semula.


Agama Islam adalah syariat yang adil kepada kedua jantina, lelaki dan wanita. Islam sama sekali tidak pernah membezakan hak Apatah lagi menzalimi manusia kerana perbezaan jantinanya. Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia pula sedaya mungkin mahu membela hak dan persamaan kedudukan antara lelaki dan wanita dalam akad kontrak perkahwinan yang diwujudkan. Tetapi mngapa sering kedengaran wanita dizalimi? Hak wanita diabaikan, wanita dipukul, dihina, dibiarkan kelaparan tanpa nafkah dan pelbagai bentuk kezaliman yang dilakukan, namun amat lambat mendapat pembelaan. Sesuatu perlu dilakukan, terutama oleh pihak yang berkuasa. Manakala badan sukarela pembela wanita wajar berperanan lebih serius dalam hal ini sama ada dengan memantau perlaksanaan undang-undang yang sepatutnya membela wanita dilaksanakan secara lebih telus, atau dengan membantu wanita yang mahu mendapatkan hak mereka secara saksama.

Fikir-fikirkanlah!


Sumber: Dr Hj Juanda Jaya (juanda77@hotmail.com) pendakwah bebas, (bekas timbalan Mufti Sarawak)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...