PERNAHKAH anda bermimpi? Tidak keterlaluan jika dikatakan setiap daripada kita pernah mengalami mimpi, hatta seorang bayi sekalipun. Mimpi yang hadir ada yang menyenangkan dan ada juga mimpi yang buruk. Bagaimana, jika ia mimpi sedih atau gembira? Namun tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang tersirat di sebaliknya. Adakalanya mimpi itu bagaikan angin lalu yang tidak meninggalkan kesan kepada kita dan tidak kurang juga mimpi yang kita alami itu benar-benar menjadi kenyataan. Ada orang berkata, mimpi hanya mainan tidur atau sekadar aktiviti roh yang tidak ada kaitan dengan kehidupan. Tetapi Islam sebagai agama sempurna, memimpin penganutnya dan mengajar kaedah untuk menanggapi persoalan mimpi.
Mimpi bagi orang yang bertaqwa merupakan perkhabaran benar terhadap sesuatu yang akan berlaku. Contohnya, Rasulullah s.a.w tidak bermimpi melainkan mimpi-mimpi baginda menjadi kenyataan. Begitu juga dengan nabi-nabi yang lain yang mengalami mimpi yang benar seperti kisah yang melatarbelakangkan sambutan perayaan Idul Adha. Mimpi sebenarnya ada di dalam syariat, malah selepas nabi mendapat wahyu daripada mimpi seperti mimpi Nabi Ibrahim a.s. ketika turunnya syariat korban, yang dinyatakan oleh Allah dalam surah as Saaffaat, ayat 102, maksudnya: “Apabila anaknya itu sampai umur yang membolehkan dia berusaha bersama dengannya, berkata Ibrahim: Wahai anak ku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan dapati daku dari orang yang sabar.” Kerana yakin mimpi itu datang daripada Allah S.W.T, maka nabi Ismail a.s. merelakan dirinya dikorbankan. Allah menghargai kesetiaan hamba-hamba-Nya yang soleh ini lalu menggantikan Ismail dengan seekor kibas.
Begitu juga mimpi mengenai kenabian Nabi Yusuf a.s. yang disebut ayat 4 hingga 6 dalam surah Yusuf, maksudnya: “(Ingatlah peristiwa) tatkala Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku. Bapanya berkata: Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia. Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu, dan akan mengajarmu ta’bir mimpi, serta akan menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu dan kepada keluarga Yaqub sebagaimana Ia telah menyempurnakannya kepada datuk nenek mu dahulu: Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Begitu juga perkhabaran mengenai kejayaan Nabi Muhammad s.a.w. memasuki Makkah. Dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Fath, ayat 207, maksudnya: “Sesungguhnya! Allah membenarkan Rasul-Nya dalam perkara mimpi itu dengan sebenarnya; iaitu bahawa kamu akan memasuki Masjid Al-Haraam Insya-Allah dengan aman; mencukur kepalamu, dan menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut, kerana Ia mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya; maka Ia sediakan sebelum itu, satu kemenangan yang dekat.”
Dalam sejarah, sebenarnya banyak lagi perkhabaran melalui mimpi, kemudian menjadi kenyataan, seperti mimpi Nabi Yusuf yang mentafsir mimpi raja Mesir dalam surah Yusuf, ayat 43 hingga 49, maksudnya:
“Dan raja Mesir berkata: Sesungguhnya aku mimpi melihat tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai biji-bijian yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menta’birkan mimpi.
Mereka menjawab: Yang demikian itu ialah mimpi-mimpi yang bercampur-aduk, dan kami bukanlah orang yang mengetahui mimpi-mimpi itu.
Dan berkatalah orang yang terselamat di antara mereka yang berdua itu, dan teringat akan Yusuf sesudah beberapa waktu: Aku akan memberitahu kepada kamu akan orang yang pandai menta’birnya. Oleh itu, hantarkanlah daku pergi kepadanya.
Yusuf, wahai orang yang benar! Ta’birkanlah kepada kami tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai biji-bijian yang hijau dan yang lain kering; supaya aku kembali kepada orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui ta’birnya.
Yusuf menjawab: Hendaklah kamu bertanam tujuh tahun seperti biasa, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkai; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.
Kemudian akan datang selepas itu, tujuh tahun yang bersangatan kemaraunya, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan bagi mereka; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan untuk dijadikan benih.
Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah hasil.”
Mimpi baik dan buruk
Dari Jabir r.a., dari Rasulullah SAW sabdanya: "Apabila salah seorang kamu bermimpi dengan mimpi yang tidak disenanginya, maka hendaklah dia meludah ke kiri tiga kali, kemudian berlindung kepada Allah dari gangguan syaitan tiga kali, sesudah itu merubah posisi tidur dari posisinya semula." (Jabir r.a., Bab - Mimpi No Hadis – 2110)
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi SAW sabdanya: "Apabila hari kiamat telah dekat, jarang mimpi seorang muslim yang tidak benar. Mimpi yang paling benar ialah mimpi yang selalu berbicara benar. Dan mimpi seorang muslim adalah sebagian 45 macam nubuwwah (wahyu).
(1) Mimpi yang baik adalah khabar suka dari Allah.
(2) Mimpi yang menakutkan atau menyedihkan, datangnya dari syaitan.
(3) dan mimpi yang timbul kerana illusi angan-angan atau khayal seseorang.
Maka kerana itu jika kamu bermimpi yang tidak kamu senangi, bangunlah, kemudian solat dan jangan menceritakan kepada orang lain." (Abu Hurairah r.a., Bab - Mimpi No Hadis – 2111)
Dari Jabir katanya seorang Arab dusun datang bertanya kepada Nabi SAW: "Ya, Rasulullah! Aku bermimpi dalam tidurku, kepalaku di penggal orang sehingga menggelinding. Lalu kuikuti dia ke mana perginya. Bagaimana itu?" Jawab Rasulullah SAW, "jangan kamu ceritakan kepada orang lain permainan syaitan denganmu ketika kamu tidur." Kata Jabir, "Kemudian kudengar Nabi SAW berkhutbah sesudah itu, sabdanya: "Janganlah salah seorang kamu menceritakan permainan syaitan dengannya ketika tidur." (Jabir, Bab - Mimpi No Hadis – 2113)
Dari Anas bin Malik r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda: "Semalam aku bermimpi sebagaimana lazimya orang bermimpi. Rasanya kami seperti berada di rumah Uqbah bin Rafi' lalu kami diberi orang sebiji kurma yang disebutnya Kurma Ibnu Thab'. Maka kutakwilkan erti mimpi itu, ialah bahawa kita akan mendapat kemuliaan di dunia dan di akhirat dan bahawa agama kita sesungguhnya agama yang benar." (Anas bin Malik r.a., Bab - Mimpi No Hadis – 2115)
Dari Samurah bin Jundab r.a., katanya: "Apabila Nabi SAW selesai solat Subuh baginda menghadapkan mukanya kepada orang ramai dan pernah bertanya: "Adakah di antara tuan-tuan yang bermimpi indah semalam?" (Samurah bin Jundab r.a., Bab - Mimpi No Hadis - 2119)
Kepada manusia biasa, Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya); “Mimpi yang benar daripada Allah, mimpi buruk daripada syaitan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Samurah r.a. diceritakannya daripada Rasulullah SAW perihal mimpi. Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa yang bermimpi seolah-olah kepalanya dipukul orang dengan batu, ertinya orang itu mempelajari al-Quran tetapi tidak diamalkannya dan solat wajib ditinggalkannya.” (Riwayat Bukhari).
Malah, dalam Islam juga mimpi menjadi tanda bermula kewajipan seseorang menunaikan syariat iaitu mimpi baligh (sampai umur). Apabila seseorang remaja bermimpi hingga keluar mani, tanda dia sudah baligh dan kewajipan solat, malah semua rukun Islam seperti orang dewasa. Sebagai ibu bapa, menjadi tanggungjawab merisik-risik anaknya yang baligh, sebab kadangkala anak malu untuk bercerita. Begitu juga mimpi solat istikharah pada mereka yang ingin mendapat petunjuk dalam membuat pilihan. Kadang-kadang jawapan datang dalam mimpi.
Bolehkah percaya pada mimpi? Anda boleh percaya pada mimpi sebagai satu perkhabaran gembira, tetapi ingat, mimpi tidak terlepas daripada pengaruh syaitan, yang kerjanya menipu dan menghiasi perbuatan kotor seolah-olah baik. Contohnya, pandai berkenalan dengan perempuan yang bukan mahram melalui ruangan sembang (chat). Syaitan akan meniupkan bisikan dan pengaruh anda dalam mimpi, kemudian mendorong anda melakukan maksiat. Kemudian, anda beriya-iya mencari nombor ekor, kemudian terbayang dalam mimpi.
Ada juga mimpi dianugerahi Allah pada mereka yang akan mendapat hidayah, seperti mimpi mendengar azan, seorang bukan Muslim akhirnya memeluk Islam.
Sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Salam masuk Islam kerana mimpi sudah masuk Islam. Kemudian, Said bin As mimpi bapanya mendorongnya ke neraka, tetapi selepas itu bermimpi Rasulullah SAW menarik pinggangnya dan keesokkannya dia masuk Islam.
Mimpi bukan sumber hukum. Mimpi bagi orang yang bertaqwa merupakan perkhabaran terhadap sesuatu yang akan berlaku kerana Rasulullah SAW tidak bermimpi melainkan mimpi-mimpi baginda menjadi kenyataan belaka. Namun bagi orang yang jauh dari keimanan, tidak solat, tidak mengambil wuduk dan membaca doa ketika ingin tidur contohnya, kebanyakan mimpi yang datang hanyalah berita yang disebarkan oleh syaitan. Namun mimpi bagi insan yang jauh dari keimanan kebanyakannya datang daripada syaitan. Jika mimpinya itu benar-benar menjadi kenyataan maka itu adalah sebagai peringatan daripada Allah SWT agar mereka yang jauh daripada kebenaran (hidayah) menjadi insaf dan kembali dekat kepada-Nya.
Melalui perbincangan di atas, ada mimpi baik dan mimpi buruk. Bagaimana untuk mendapat mimpi baik? Untuk mendapat mimpi baik, seorang Muslim mesti berakhlak baik dan bercakap benar, sebab Rasulullah SAW mengatakan, semakin benar orang itu, semakin benar mimpinya. Pastikan tidur dalam keadaan berwuduk, berdoa sebelum tidur, membaca al-Quran sebelum tidur dan berzikir (ingat Allah) sehingga terlena.
Wallahu’alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...