Segala puji-pujian kehadrat Allah subhanahu wata'ala, kepada-Nya kita menyembah. Salam serta selawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.
Alhamdulillah, saya bersyukur kehadrat Allah, kerana isu yang ingin diketengahkan ini, siap juga akhirnya. Terima kasih saya ucapkan kepada ahli-ahli al-Falaah yang sudi membincangkan kemusykilan saya kemukakan.
Kita sering mendengar/membaca atau orang dok sebut, "ingatlah, bergegar arasy Allah sekiranya kamu minta apa yang hanya dimiliki para suami...(minta berpisahlah)…". Saya pernah minta dalil/hadisnya dan diberitahu sebegini, "Berkahwinlah dan jangan bercerai kerana sesungguhnya arasy bergegar kerana talak." (riwayat `Amr bin Jumai'in). Walau bagaimanapun, setelah menyemak di beberapa sumber, dari Fikrah, hadis ini disebut oleh Ibn `Adiy (365H) dalam al-Kamil fi Dhu'afa' al-Rijal (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1997) ketika membicarakan biografi `Amr bin Jumai'in (jld 6, ms 196, perawi no: 1279), tentang `Amr bin Jumai'in, berkata Yahya binMa'in: Dia pendusta yang merbahaya. Berkata al-Nasai: Martuk. Imaam Al MAnawi dalam Faidh al qadiir #3289 mengatakan bahawa Ibn Al JAwziyy menyebut bahawa sanadnya maudhuu'. As Sakhaawi dalam Al MAqaasid al hasanah #31 mengatakan dha'eef, Al Albaani dalam silsilah menyebut munkar. Menurut sumber yang lain pula (msm-net), arasy bergegar itu hadis matruk (ditinggalkan) atau maudhu'.
Hadis bergegarnya arasy lantaran berlakunya talak dicipta utk menimbulkan kegerunan pada pasangan supaya seboleh-bolehnya elakkan cerai. Ini suatu perkara biasa dalam ulum hadis, bukan dalam isu talak saja bahkan dalam semua isu targheeb wa tarheeb, akan ada hadis-hadis lemah dan palsu untuk menguatkan targheeb dan tarheeb ini supaya umat Islam menjadi cinta pada kebaikan dan membenci kejahatan dan dosa. Motif hadis ini ialah supaya pasangan mengelakkan talak, maka direkanya hadis tambahan. Allah SWT paling murka pada talak tidak cukup gerun, maka direkanya hadis, gegaran arasy.
Dari sumber, BHarian20081102, ditegaskan isteri tidak dibenarkan memohon cerai tanpa alasan yang dibenarkan syarak seperti diriwayatkan daripada Aisyah R.A "Wanita yang meminta talak daripada suaminya tanpa sebab yang sepatutnya, haram ke atasnya bau syurga." (kitab Nil Al-Awtar) kerana sesungguhnya hadis Rasulullah SAW juga menyatakan mengenai persoalan talak yang bermaksud "Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah talak." (kitab Mughni Muhtaj). Benarkah ayat, “Talak itu salah satu perkara halal yg paling dimurkai/dibenci Allah.” ini? Adakah Allah buat satu hukum (talak itu halal) tapi Dia tak suka/benci? Hemmm… agak pelik bunyinya... Teringat saya satu kisah di mana Rasulullah SAW pernah menceraikan isterinya, Hafsah binti Umar bin Khathab, rujuk hafsah-binti-umar. Jika benar Allah murka/benci akan talak, mengikut logik akal adalah sangat-sangat mustahil Rasulullah sengaja melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Allah.
Selalu juga perkataan “bergegar arasy” disebut-sebut oleh ustaz/ustazah dalam ceramah-ceramah, jadi tak hairanlah orang-orang yang mendengarnya akan menyampaikan kepada orang lain pula. Sejauh manakah benarnya arasy bergegar jika isteri minta cerai/talak dengan suami? Adakah isteri tiada kuasa langsung untuk menentukan hala tuju hidupnya, sekiranya sudah tidak boleh hidup bersama suami? Jika benar bergegar arasy kerana talak, mengapa Nabi membenarkan khulu''?
Dari sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas RA bahawa isteri Thabit bin Qais telah datang berjumpa Rasulullah SAW lantas berkata "wahai Rasulullah, saya hendak meminta cerai dari suami saya dan tidak ada cacian terhadapnya tentang perangainya dan keagamaannya tetapi saya bencikan sifat kekufuran yang ada padanya sedangkan saya seorang Islam." Maka sabda Rasulullah SAW, "Adakah engkau bersedia mengembalikan kebunnya yang telah diberikan kepada kamu sebagai mas kahwin? Jawabnya: Ya saya bersedia. Lalu baginda menyuruh Thabit bin Qais menerima kembali kebunnya dan menceraikan isterinya. Maka Thabit menerima perintah baginda dan diceraikan isterinya." (Bukhari dan an-Nasa'i). Inilah khulu’ yang pertama berlaku dalam Islam. Boleh ikuti entry di Isteri-ada-hak-ceraikan-suami.
Saya bukanlah pengkaji hadis, tetapi saya tidak mahu kita semua terkeliru dengan hadis-hadis palsu yang banyak diguna-pakai oleh orang-orang kita. Agaknya memang orang melayu suka sangat membongkar hadis terpencil, atas alasan apa, tak tahulah. Mungkin untuk menakut-nakutkan orang atau mahu menyukakan sesuatu perkara yang orang lain tak berapa suka. Agaknya sebab itulah ramai sangat isteri rela dianiaya oleh suami durjana. Tak mengapa diri teraniaya tanpa nafkah, tak kisah habis badan lebam biru birat sana sini kena pukul suami tapi nak juga terikat dengan suami yang itu. Semuanya atas alasan takut “bergegar arasy”. Yang mereka-cipta hadis pun satu hal dan yang menyebarkannya tanpa membuat apa-apa penyelidikan pun satu hal juga! Astagfirullah hal aziim... Apa hukumnya kita sebarkan hadis palsu? Rujuk sini, Jangan-bohong-guna-nama-rasulullah!. Boleh juga rujuk di Bolehkah-beramal-dengan-hadis-dhaif.
Kesimpulannya, hadis bergegar arasy ini direka-cipta untuk menakutkan wanita, hadis payung emas direka-cipta untuk memaksa wanita (yang tak berapa ada ilmu) untuk tunduk pada kehendak suami yang mahu berpoligami. Teringat saya kata-kata ustaz yang beri ceramah ketika menghadiri kursus kahwin dulu, kata ustaz "takpe benarkan suami kahwin lagi satu, nanti kamu dapat payung emas." Kami yang mendengar, melopong aje, dalam hati saya bagus juga dapat payung emas, di dunia ni dah memang tentu tak merasalah!.... Ada juga hadis (lebih kurang bermaksud) 'wanita tak ada zuriat/tak beranak macam tikar buruk” direka-cipta oleh orang-orang syiah untuk menghalalkan nikah muta'ah (atau kahwin banyak-banyak, tapi tak perlu bertanggungjawap). Ini semua hadis-hadis palsu yang terpencil tetapi menjadi populis, mungkin kerana terlalu ramai lelaki yang 'kurang' iman dan terlebih nafsu!
Wallahu'alam.
Dalam sepotong-dua ayat dan sepotong hadis ada menerangkannya:
"Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.."
(Surah Al-Hujurat, ayat 6)
"Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman dengan ayat-ayat Allah dan merekalah pembohong-pembohong."
(Surah An-Nahl, ayat 105)
"Barangsiapa mengatakan dariku apa yang aku tidak katakan, maka hendaklah Ia bersedia mengambil tempatnya dari Neraka."
(Hadis riwayat Az-Zahabi dalam Al-Kabair.)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...